TEKS UCAPAN MESYUARAT AGUNG PIBG SMK MERU 2021
(PERASMI)
Bismillahirrahanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Terima kasih saudara pengacara majlis,
Yang Berusaha, Pengetua Cemerlang SMK Meru , Puan Siti Dinar binti
Hamid
Yang dihormati, YDP PIBG SMK Meru Encik Zakaria bin Ishat
Penolong kanan Pentadbiran, Puan Norzalina binti Hanafi
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Tuan Haji Mustafa Al-Bakri bin Rein
Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Zamrus bin Mohd Rasid
Penolong Kanan Petang, Puan Norhayati binti Haron
Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Normala binti Misman
Barisan Guru dan Jawatankuasa PIBG, para ibu bapa/waris
Serta para hadirin yang dikasihi sekalian
Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah izin-Nya kita
dapat berkumpul secara maya sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-39 tahun 2021 bagi Sekolah Menengah
Kebangsaan Meru. Saya bagi pihak Pejabat Pendidikan Daerah Klang
merakamkan ucapan terima kasih atas jemputan untuk hadir ke majlis ini
dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung PIBG di sekolah ini.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Penasihat dan Jawatankuasa
PIBG kerana telah dapat merancang, mengelola dan seterusnya
melaksanakan mesyuarat ini. Sesungguhnya jauh di sudut hati , kita
mengimpikan mesyuarat ini dilakukan secara bersemuka. Namun,
apakan daya pandemik Covid-19 menjadi kekangan bukan sahaja
kepada kita bahkan kepada masyarakat seluruh dunia. Kita perlu akur
kepada Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan demi memastikan
kita kembali ke dalam norma yang biasa, InsyaAllah.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Seperti yang kita sedia maklum, semua mesyuarat PIBG sekolah mesti
diadakan pada setiap tahun untuk memilih dan melantik AJK PIBG pada
setiap kali Mesyuarat Agung diadakan. Di samping itu, harus diingatkan
bahawa perkara berkaitan dengan batasan kuasa Persatuan Ibu Bapa
dan Guru (PIBG) perlu dipatuhi pada setiap masa seperti mana yang
tercatat dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 5 Tahun 2001
yang dikeluarkan oleh pejabat Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
(KPPM), KPM. Perkara-perkara yang disentuh di dalam surat pekeliling
itu ialah PIBG sekolah bertujuan untuk mewujudkan pemuafakatan antara
ibu bapa dan guru di sekolah yang berkenaan. Permuafakatan
seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tentang tugas
dan tanggungjawab bersama-sama dalam usaha untuk meningkatkan
mutu pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain
mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu
bapa, dan komuniti setempat (school home community partnership).
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sesungguhnya majlis pada pagi ini amat bermakna, pihak sekolah dan
ibu bapa dapat bertemu dan berbincang dan mencari kata sepakat, demi
kepentingan dan masa depan anak-anak masing-masing. Permuafakatan
seumpama inilah yang menjadi kunci kejayaan PIBG dan pihak sekolah.
Selain daripada memilih dan melantik Jawatankuasa PIBG yang baharu
dan membincangkan usul-usul daripada ibu bapa, diharapkan juga
mesyuarat PIBG pada hari ini akan berbincang dan mendapat
persetujuan bersama dengan sebaik mungkin tanpa menimbulkan
masalah kepada pihak ibu bapa atau waris murid-murid. Harus diingat
juga, kecemerlangan anak-anak kita sebenarnya bermula di rumah.
Sebagai ibu bapa, kitalah yang akan menentukan sama ada anak-anak
kita terdidik dengan nilai-nilai murni dan mempunyai kekuatan dalaman
untuk berhadapan dengan segala gejala negatif di luar rumah. Jelaslah,
tanggungjawab menentukan keperibadian anak-anak sebenarnya adalah
tanggungjawab ibu bapa. Amat tidak adil untuk melepaskan
tanggungjawab itu sewenang-wenangnya ke atas bahu guru dan pihak
sekolah. Dalam konteks ini, PIBG sekolah perlulah bersikap proaktif
untuk menyumbang ke arah usaha tersebut selain daripada membantu
dalam kebajikan pelajar, guru dan juga pembangunan sekolah.
Alhamdulillah, setakat ini kerjasama yang baik dan erat telah ditunjukkan
oleh pihak sekolah dan PIBG.
Dalam usaha menyaingi arus pembangunan, pendidikan berkualiti yang
sepatutnya dinikmati oleh murid-murid wajar diseimbangkan dari segi
pencapaian akademik, kokurikulum dan perkembangan sahsiah. Sebagai
ibu bapa, kita perlu bertindak proaktif dalam mengawasi dan mengambil
tahu segala aktiviti yang diceburi oleh anak-anak kita. Kesibukan kerja
kerap dijadikan alasan dan kita bimbang jika situasi ini berterusan, dalam
diam kita menyerahkan tugas mendidik anak-anak kepada satu pihak
sahaja. Sebagai ibu bapa, kadang-kadang kita pening melayan perangai
tiga atau empat orang anak. Bayangkan tahap kesabaran seorang guru
menangani 35 hingga 40 orang pelajar dalam satu kelas. Satu
penghormatan harus diberikan kepada para pendidik yang begitu
komited dalam melaksanakan amanah dan tugas mereka. Saya berharap
jalinan kepercayaan dan kerjasama antara guru dan ibu bapa dapat
dibentuk melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti pada hari ini.
Terima kasih juga kepada semua ibu bapa yang begitu mengambil berat
dan menjunjung tugas mendidik ini bersama-sama. Kata pujangga, “di
rumah ada ibu, ada bapa, di sekolah ada guru turut menjaga”.
Sidang hadirin yang dimuliakan,
Pembiayaan persekolahan anak-anak memerlukan kos yang banyak dan
semakin meningkat setiap tahun. Kegawatan ekonomi global turut
memberikan kesan menyebabkan ibu bapa menghadapi kesukaran
dalam memenuhi permintaan anak-anak termasuklah hal-hal yang
melibatkan belanja persekolahan. Kata orang, keadaan sekarang ini
ibarat memakai selimut pendek, ditarik ke bawah nampak kepala, ditarik
ke atas nampak kaki. Begitupun saya berharap ibu bapa tetap memberi
sokongan penuh kepada pihak sekolah dan berganding bahu membantu
melancarkan program-program yang direncanakan oleh pihak sekolah.
Sesungguhnya, kejayaan memerlukan pengorbanan dan keprihatinan. Di
sinilah peranan PIBG tampil bersama-sama tenaga pengajar SMK Meru
dalam usaha membentuk modal insan yang cemerlang serta mencapai
matlamat pendidikan berkualiti untuk semua murid. Tanpa kerjasama
semua pihak, mustahil untuk kita mencapai kejayaan.
Para hadirin sekalian,
Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengambil kesempatan di
sini untuk mengucapkan terima kasih atas jemputan ke majlis pada hari
ini. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada
Jawatankuasa PIBG yang bakal dipilih dan dilantik sebentar nanti.
Harapan saya supaya Mesyuarat Agung PIBG SMK Meru kali ke 39, ini
akan berjalan lancar dan teratur.
Dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim, saya denga sukacitanya
merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru
Sekolah Menengah Kebangsaan Meru kali ke-39.
Sekian, terima kasih