Itulah laut yang maha indah,
ke sanalah kita semuanya berpindah,
hasilkan bekal kayu dan juadah
selamatlah engkau sempurna musyahadah.
Hari akhirat benar adanya dan merupakan perjalanan
kehidupan manusia yang sungguh indah iaitu syurga
Tuhan. Manusia yang sedang menjalani kehdiupan di
dunia ini dengan tempoh masa yang telah ditetapkan
oleh Sang Pencipta dan selepas berakhirnya waktu
tersebut manusia akan beralih ke kehidupan di alam
yang bersifat abadi, iaitu hari akhirat. Manusia yang
banyak melakukan amal kebajikan selama hdiup di
dunia maka akan mendapat balasan yang baik di
akhirat kelak selamanya.
Silan itu ombaknya kisah,
banyaklah akan ke sana berpindah,
topan dan ribut terlalu ‘azamah,
perbetuli pedoman jangan berubah.
Cerita perjalanan hidup akan
berubah haluan seperti ombak di
laut. Cabaran hidup hendak
dihadapi walaupun berat namun kita
harus tetap mencari pedoman
dalam menuju ke arah kebenaran
dan berpegang teguh dengan
syariat agama.
Laut Kulzum terlalu dalam,
ombaknya muhit pada sekalian alam
banyaklah di sana rusak dan karam,
perbaiki na’am, siang dan malam.
Setiap dugaan dan cabaran akan mendatang
dalam hidup seorang manusia dan sudah pasti
akan ada rasa kelelahan. Akhirnya akan
tenggelam ke lembah kehancuran kerana
meninggalkan akidah dan syariat agama
kerana sikap yang mementingkan duniawi
berbanding ukhrawi. Oleh itu, kita haruslah
memperbaiki setiap kelemahan diri setiap
masa dan waktu.
Ingati sungguh siang dan malam,
lautnya deras bertambah dalam,
anginpun keras, ombaknya rencam,
ingati perahu jangan tenggelam.
Manusia yang sememangnya seorang
hamba yang lemah seharusnya
sentiasa mengingati Sang Pencipta
setiap saat dan memelihara akidah
agar tidak mudah terlena dengan
kehidupan di dunia sehingga
merosakkan amal dan iman.
Jikalau engkau ingati sungguh,
angin yang keras menjadi teduh,
tambahan selalu tetap yang cabuh,
selamat engkau ke pulau itu berlabuh.
Jika kita sentiasa mengingati dan
berpegang teguh pada syariat agama
nescaya setiap dugaan hidup dapat
dihadapi dengan penuh ketenangan
jiwa kerana Tuhan sentiasa
mempermudahkan segala urusannya
sehingga ke alam akhirat.
Sampailah abad dengan masanya,
datanglah angin dengan paksanya,
belajar perahu sidang budimannya,
berlayar itu dengan kelengkapannya.
Waktu akan sentiasa berlalu pantas meninggalkan
kita, memperbaiki diri dengan segala pedoman dan
tujuan hidup akan usai pada sebuah tempat dan
engkau telah berusaha dalam memperbaiki diri
dengan memanfaatkan masa yang ada untuk
menuju perjalanan untuk tujuan yang hakiki.
Mereka yang berhasil sampai di tempat yang dituju
dengan penuh kemenangan merupakan hasil usaha
mereka dalam mengumpulkan bekalan yang
secukupnya.
Wujud Allah nama perahunya,
ilmu Allah akan [dayungnya]
iman Allah nama kemudinya,
“yakin akan Allah” nama pawangnya.
Allah merupakan Sang pencipta setiap
makhluk yang ada di atas muka bumi ini.
Dengan adanya ilmu dan iman kepada Allah
SWT akan menjadi penolong ataupun
pembimbing kita untuk terus bertahan
dalam menempuhi kehidupan dan yakin
kepada Allah SWT membawa kita pada
perjalanan hidup.
“Taharat dan istinja’” nama lantainya,
“kufur dan masiat” air ruangnya,
tawakkul akan Allah jurubantunya
tauhid itu akan sauhnya.
Ibadah merupakan sebahagian
daripada kehidupan manusia walaupun
kufur dan maksiat sentiasa terus
mengiringi ibadah, namun tawakkal
kepada Allah SWT merupakan
pelindung dan tauhid merupakan
perkatra yang wajib.
La ilaha illallahu akan talinya,
Kamal Allah akan tiangnya,
Assalamualaikum akan tali lenggangnya,
Taat dan ibadah anak dayungnya.
Allah SWT adalah segala-galanya, yang
sempurna daripada segalanya serta
kesejahteraan akan ikatannya
menyempurnakan ibadah kita.
Salat akan nabi tali bubutannya,
istigfar Allah akan layarnya,
“Allahu Akbar” nama anginnya,
subhan Allah akan lajunya.
Ibadah merupakan pembimbing
manusia dalam menjalani perjalanan
hidup.
Sentiasa berzikir dan beristighfar
kepada Allah SWT akan menjadikan
hidup lebih tenang dan aman.
“Wallahu a’lam” nama rantaunya,
“iradat Allah” nama bandarnya,
“kudrat Allah” nama labuhannya,
“surga jannat an naim nama negerinya.
Allah yang maha mengetahui segala-galanya
dengan kekuasaan dan kehendakNya maka
kita berusaha untuk mendapatkan syurga
yang penuh dengan kenikmatan sebagai
negerinya.
Karangan ini suatu madah,
mengarangkan syair tempat berpindah,
di dalam dunia janganlah tam’ah,
di dalam kubur berkhalwat sudah.
Karya merupakan nasihat yang dapat
memberikan perubahan di dunia janganlah
kita menbuang masa dengan hal tidak
bermanfaat dengan terlalu banyak mengejar
kemewahan dunia sedangkan semua itu tidak
dapat dibawa ke alam kubur kerana bekalan
amalan soleh sahaja yang boleh dibawa
hingga mati.
Kenali dirimu di dalam kubur,
badan seorang hanya tersungkur
dengan siapa lawan bertutur?
di balik papan badan terhancur.
Kita perlu menyedari diri di alam kubur
dengan mengetahui keadaan manusia ketika
berada di alam tersebut dengan tidak boleh
lagi kembali ke dunia untuk melakukan
amalan soleh dalam mencari bekalan
secukupnya dan keadaan manusia yang
tersungkur serta sendiri tanpa teman kecuali
amal kebajikan yang dilakukan selama hidup
di dunia.
Di dalam dunia banyaklah mamang,
ke akhirat jua tempatmu pulang,
janganlah disusahi emas dan uang,
itulah membawa badan terbuang.
Ketika hidup di alam dunia sememangnya dipenuhi
dengan pelbagai nikmat hidup namun ketika di alam
akhirat semuanya adalah sama tanpa membezakan
antara orang kaya dengan orang miskin. Alam
akhirat merupakan tempat terakhir dan kekal bagi
semua makhluk. Oleh itu, kita seharusnya tidak
mudah leka dengan harta dan kemewahan yang
dimiliki sehingga menghilangkan ketakwaan kepada
Allah SWT dan menyebabkan hidup kian merana.
Tuntuti ilmu jangan kepalang,
di dalam kubur terbaring seorang,
Munkar wa Nakir ke sana datang,
menanyakan jikalau ada engkau sembahyang.
Kita seharusnya memperkaya dengan ilmu dan
melaksanakan setiap amal kebajikan yang menjadi
tanggungjawab manusia semasa hidup di dunia
kerana di alam kubur nanti akan datang dua malaikat
yang bernama Munkar dan Nakir yang membawa
amanah daripada Allah SWT untuk memberikan
pertanyaan atas amalan yang dilakukan selama hidup
di dunia . Hal pertama yang ditanyakan ialah solat
kerana solat merupakan tiang agama.
Tongkatnya lekat tiada terhisab,
badanmu remuk siksa dan azab,
akalmu itu hilang dan lenyap,
(baris ini tidak terbaca)
Hisab tuhan yang tidak dapat disangkal dan
seksa serta azab Tuhan yang teramat pedih
dan perit. Tubuh manusia yang terkena azab
tersebut akan hancur dan remuk.
Munkar wa Nakir bukan kepalang,
suaranya merdu bertambah garang,
tongkatnya besar terlalu panjang,
cambuknya banyak tiada terbilang.
Bait ini menggambarkan situasi yang berlaku
di alam kubur dengan seksaan kubur yang
menggambarkan dua tugas malaikat iaitu
Mungkar dan Nakir yang membawa tongkat
yang panjang dan cambuk yang sangat
menakutkan dengan nada suara yang keras.
Kenali dirimu hai anak Adam!
Tatkala di dunia terangnya alam,
Sekarang di kubur tempat mu kelak,
Tiada berbeza siang dan malam.
Bait ini menjelaskan situasi di alam kubur
dengan keadaan yang begitu sunyi, sepi, dan
gelap gelita. Alam kubur tidaklah seterang
cahaya ketika di dunia kerana sentiasa dalam
keadaan yang gelap sahaja. Tiada perbezaan
antara siang dan malam. Oleh itu, sentiasalah
beramal soleh ketika hidup di dunia agar
sentiasa dalam keadaan selamat di dunia dan
di akhirat.
Kenali dirimu, hai anak dagang!
di balik papan tidur telentang,
kelam dan dingin bukan kepalang,
dengan siapa lawan berbincang?
Keadaan di alam kubur adalah sangat
suram dan menakutkan dan manusia
ketika itu hanya terbujur kaku di
sebalik papan. Suasana dingin dan
gelap sentiasa menyelubungi. Tiada
seorang pun yang dapat menemani
kita di alam kubur dan hanyalah diri
kita sendiri sahaja.
La ilaha illallahu itulah firman,
Tuhan itulah pergantungan alam sekalian,
iman tersurat pada hati insap,
siang dan malam jangan dilalaikan.
Kalimah La ilaha illallahu merupakan kalam Allah
dan sesiapa hamba Allah SWT yang sentiasa
mendampingi kalimah tersebut di dalam hati,
nescaya akan sentiasa meletakkan Allah SWT
sebagai sebaik-baik penolong, Iman terletak pada
hati yang insaf dan beriman tetapi tidak boleh
dilihat daripada pandangan luar. Oleh itu, kita
hendaklah tidak mudah lalai dengan kemewahan
dunia sehingga kita lupa pada Sang Berkuasa.
La ilaha illallahu itu terlalu nyata,
tauhid ma’rifat semata-mata,
memandang yang gaib semuanya rata,
lenyapkan ke sana sekalian kita.
Kalimah La ilaha illallahu adalah cara
kita mengenal Allah SWT dengan lebih
dekat sehingga mampu mengenal alam
ghaib maka semakin kuat iman kita
dan percaya akan kekuasaan Sang
Pentadbir Alam.
La ilaha illallahu itu janganlah kau
permudah-mudah,
sekalian makhluk ke sana berpindah,
da’im dan ka’im jangan berubah,
khalak di sana dengan La ilaha illallahu.
Manusia seharusnya tidak merendahkan
atau memandang enteng dalam beriman
kepada Allah SWT. Manusia tidak
mempunyai tempat lain untuk dituju kecuali
akhirat. Kita haruslah berpegang teguh
dengan tauhid Allah SWT kerana manusia
yang benar-benar beriman akan Bersama
dengan Allah SWT di akhirat kelak.
Lailahaillallah.itu jangan kau lalaikan,
Siang dan malam jangan engkau sunyikan,
Selama hidup juga engkau pakaikan,
Allah dan Rasul juga yang menyampaikan.
Manusia hendaklah sentiasa
mengingati Allah SWT dengan
sentiasa melazimi zikir dan
menjalankan ibadah siang dan malam.
Ibadah menjadi kewajipan yang
sangat penting dalam kehidupan
kerana merupakan perintah daripada
Allah SWT dan disampaikan oleh
RasulNya.
Lailahaillallah itu kata yang teguh,
Memadamkan cahaya sekalian rusuh,
Jin dan syaitan sekalian musuh,
Hendak membawa dia bersungguh-sungguh.
Kalimah syahadah adalah kuat sehingga
mampu menenangkan jiwa dan mampu
memadamkan emosi jiwa. Jin dan syaitan
adalah musuh yang sentiasa menyerang jiwa-
jiwa yang berpegang teguh pada imannya. Oleh
itu, manusia mestilah memperkukuh iman
dengan penuh bersungguh-sungguh agar
sentiasa dalam lindungan Allah SWT.
La ilaha illallahu itu kesudahan kata,
tauhid ma’rifat semata-mata.
hapuskan hendak sekalian perkara,
hamba dan Tuhan tiada berbeda.
Kalimah La ilaha illallahu adalah
kalimah terkahir yang diucapkan oleh
manusia sebelum menemui ajalnya.
Makrifat merupakan seseorang hamba
yang benar-benar beriman kepada
Allah SWT dan bait ini membutikan
wujudnya Tuhan serta wujudnya
makhuk sebagai satu kesatuan.
La ilaha illallahu itu tempat mengintai,
Medan yang kadim tempat berdamai,
Wujud Allah terlalu bitar,
Siang dan malam jangan bercerai.
Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala
perkara dan Allah SWT merupakan satu-satuya
tempat manusia mencari jawapan dan meminta
pertolongan.
Berdoa perlu sentiasa dilakukan tidak kira siang
atau malam kerana doa merupakan cara kita
mengadu kepada Allah SWT dan mendapat
kemakbulan terhadap doa yang dihajatkan.
La ilaha illallahu itu tempat musyahadah,
Menyatakan tauhid jangan berubah,
Sempurnakanlah jalan iman yang mudah,
Pertemuan Tuhan terlalu susah.
Kalimah La ilaha illallahu adalah tempat umat Islam bersaksi
akan keteguhan imannya dalam mematuhi segala perintah Allah
SWT, membuktikan keimanan kepada Allah SWT dan percaya
kepada Rasulullah SAW. Kita dikehendaki untuk sentiasa
memelihara iman dan tauhid kita serta menyempurnkan jalan
kehidupan dengan keteguhan iman agar dapat bertemu dengan
Allah SWT dengan adanya iman di dada dan memperoleh
kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kelak.
PENUTUP
Kesusasteraan Melayu telah menjadi medium yang digunakan untuk
mengekspresikan pengalaman, idea, pengetahuan dan sebagainya. Hal ini
telah lama diamalkan oleh masyarakat sehingga menjadi sebati dalam
kehidupan mereka. Ketiadaan sastera menyebabkan kurangnya nilai
keindahan kerana sastera sememangnya berintikan nilai-nilai estetika.
Keindahan inilah yang menyebabkan karya sastera menjadi keutamaan
kepada masyarakat di samping karya sastera memainkan peranan yang
begitu penting sebagai alat pendidikan, dakwah, hiburan dan kritikan sosial.
Oleh itu, karya kesusasteraan merupakan hasil seni yang begitu bernilai
dan bermutu dalam menjadikan ciptaan karya yang sentiasa diingati dan
disanjungi oleh semua lapisan masyarakat.
Syair Perahu hasil karya Syeikh Hamzah Fansuri merupakan syair yang berbentuk
nasihat dan pengajaran agama. Penghasilan syair ini membuktikan bahawa Syeikh Hamzah
Fansuri merupakan ulama tasawuf yang berpengaruh dan memiliki keupayaan dalam ilmu
dalsafah dan analogi yang tinggi kerana Syair Perahu ini jelas menunjukkan penggunaan
kosa kata yang banyak dipinjam daripada bahasa Arab. Syair ini sememangnya memberi
kesan yang mendalam kepada masyarakat kerana pandangan beliau dalam hasil karyanya
itu menguatkan nilai-nilai kerohanian dalam jiwa masyarakat. Beliau mengambil
pendekatan dengan meletakkan manusia sebagai perahu yang sedang berlayar di lautan
yang luas. Pelayaran itu dilihat dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan halangan dalam
menuju ke tempat yang ingin ditujui yang sememangnya berkait rapat dengan kehidupan
realiti manusia yang sedang dalam perjuangan untuk mengharungi setiap liku-liku kehidupan
yang mendatang dengan memperlengkapkan bekalan yang secukupnya sebelum tiba di
destinasi yang ditujui. Peristiwa ini juga dapat dikaitkan dengan aspek keagamaan yang
memperlihatkan keteguhan manusia dalam menempuhi cabaran dan dugaan hidup yang
diberikan oleh Allah SWT dan sentiasa mengingati segala perintahNya walaupun bertubi-tubi
didatangani masalah. Begitu juga dengan keadaan perahu yang terpaksa menghadapi
pelbagai cabaran dalam pelayarannya yang dipenuhi dengan ombak yang ganas dan cuaca
yang buruk. Syair Perahu menekankan perjuangan yang penuh dengan pengorbanan dan
usaha yang tidak berbelah bahagi dalam mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.
SEKIAN DAN
TERIMA KASIH….