SEJARAH KEMERDEKAAN
Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15
Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan
niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni. Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi
oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris
telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu
kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.
Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 berjaya
mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan
hak kewarganegaraan.
Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera
sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu,
cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu
termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres
Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 – 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah
jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang,
Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.
Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United
Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang
akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di
Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini
bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan
memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya dan memelihara dan mempertahankan
agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.
Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang
ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan
orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang
Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu
Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-
Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai
kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis
Mesyuarat Undangan Persekutuan.
TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN NEGARA
1. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid
Halim Shah
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (8 Februari 1903 – 6
Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana
Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada
tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai
"Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".
Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain.
Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung. Tunku biasa
mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.
Tunku telah banyak berkorban untuk negara. Pelbagai cabaran serta rintangan dihadapi namun
segalanya berjaya diatasi dengan cekal dan tabah. Bapa Perpaduan Malaysia ini telah membuktikan
bahawa beliau merupakan seorang pemimpin yang berwibawa. Tunku merupakan seorang tokoh yang
mempunyai perwatakan dan keperibadian tersendiri serta istimewa yang sukar ditandingi.
Tunku Abdul Rahman telah menunjukkan bakat kepimpinannya sejak menjadi Pegawai Daerah
Beliau sentiasa prihatin terhadap insan lain seperti memperbaiki mutu kesihatan penduduk-penduduk di
luar bandar yang diserang penyakit malaria dan membela nasib pemandu-pemandu teksi di Sungai
Patani. Beliau juga sanggup menghantar misi pendamai dan keamanan ke Congo, Afrika yang dilanda
perang saudara 1961. Beliau berusaha menyatu padu rakyat berbilang kaum dalam usaha menentang
British dan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau juga berusaha meningkatkan status ekonomi
rakyat dan negara. Beliau turut dikenali sebagai “Bapa Keamanan dan Perpaduan”.
Ketegasannya dalam membantah pengiktirafan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai parti sah sewaktu
Rundingan Baling membolehkan negara kita bebas daripada ancaman atau pengaruh komunis.
Kegigihan, keberanian dan ketegasan beliau telah membebaskan negara kita daripada belenggu
penjajah. Rakyat seharusnya berasa kagum dengan matlamat hidupnya yang begitu mulia dan
menghargai kesanggupannya mengorbankan masa-masanya yang berharga bagi membentuk negara
yang merdeka.
Beliau juga merupakan seorang yang aktif dalam sukan. Mempunyai banyak hobi termasuk
menunggang kuda, memancing ikan dan memasak.
Meminati bidang sukan sejak kecil terutama menunggang kuda dan bermain golf. Bola sepak merupakan
bidang yang paling diminati. Pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu, Bola Sepak
Selangor dan Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia pada 14 Febuari, 1954.
Tunku dilantik sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1957.
Beliau turut memegang portfolio Menteri Dalam Negeri. Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau
pernah memegang beberapa jawatan lain.
Kerjayanya bermula pada 10 Disember 1931 apabila beliau berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kuala
Muda, Padang Terap, Kuala Nerang, Sungai Petani dan Kulim, Kedah.
Pada tahun 1940, Tunku menjadi Timbalan Pengarah Keselamatan Awam Kedah. 1943 pula, beliau
telah dilantik menjadi Penyelia Pelajaran Kedah. Tunku juga pernah bertugas sebagai Pendakwaraya di
Perkhidmatan Kehakiman Kuala Lumpur.
Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi
kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut,
pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada saat itu merupakan parti
campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik
sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti
Perikatan pada tahun 1955
.
Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang
kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh
kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku
mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang
diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai
sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan Malaysia yang biasa.
Pada tahun 1955, Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.
Penglibatan beliau dalam bidang politik tamat apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana
Menteri Malaysia pada 22 September 1970.
Ibarat kata pepatah Melayu ”Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”.
Begitulah ungkapan yang paling bererti untuk mengenang jasa dan sumbangan negarawan ulung Tunku
Abdul Rahman Putra. Sepanjang hayatnya, Tunku telah menunjukkan kehebatan sebagai pemimpin yang
berwibawa dalam pelbagai bidang, seorang pejuang yang berjiwa kental dan mempunyai semangat jati
diri yang tinggi untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah. Penglibatan menentang Malayan
Union, mengemudi kepimpinan UMNO melalui perubahan slogan dari Hidup Melayu kepada Merdeka,
mengatur strategi pakatan antara kaum dengan kerjasama pihak Majlis Raja-Raja Melayu telah
membuktikan kepimpinan Tunku sehingga berjaya mencapai kemerdekaan secara aman melalui meja
rundingan. Liku, cabaran, perit jerih terbayar dek nikmat kemerdekaan yang diwarisi sehingga kini dan
kita sebagai rakyat Malaysia perlu merasa terhutang budi kepada Tunku – Bapa Kemerdekaan.