CUKUP
Derita
ITU
Fatin Amirah, Nurliana Atika,
Nurfarhana, Amalin Wahida
Kelihatan sosok seorang gadis sedang gigih menyelak buku
teksnya untuk mengulangkaji pelajaran walaupun jarum pada
jam dinding menunjukkan pukul 12 tengah malam di bilik
tidurnya dengan hanya berbekalkan cahaya dari lampu
mejanya. Setelah beberapa lama dia membaca tulisan-tulisan
yang ada di buku teksnya, dia menutup bukunya dan hanya
merenung muka hadapan buku teks tersebut. Dapat dilihat
nama gadis tersebut tertera pada kertas putih yang ditampal
pada kulit buku teks tersebut, Amanda Syafikah binti Jamal dari
kelas tingkatan 3 Fatanah. Tanpa Amanda sedar, air matanya
mengalir di pipi kerana walaupun dia telah mengorbankan masa
tidurnya demi mengulangkaji pelajaran, dia masih tidak dapat
menyelesaikan masalah Matematik bagi soalan yang diberikan.
Dia selalu mempersoalkan kepandaian kakak dan adiknya
dalam pelajaran walaupun mereka sering menghabiskan masa
mereka dengan menggunakan gadjet dan bermain dengan
rakan-rakan yang lain. Kakak Amanda yang dikenali sebagai
Ratna merupakan salah satu pelajar cemerlang dalam SPM
dengan keputusan 10A manakala adiknya, Zainal baru berumur
13 tahun dan baru sahaja menamatkan pelajaran di sekolah
rendah dengan keputusan 6A dalam UPSR. Amanda sering
dibandingkan dengan kakak dan adiknya kerana Amanda selalu
mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan dalam
peperiksaan. Air mata Amanda semakin deras apabila dia
teringat kejadian petang tadi.
Amanda sedang menyelesaikan kerja sekolah yang
diberikan oleh gurunya di meja ruang tamu manakala Ratna
pula sedang menonton televisyen di sebelahnya. Bunyi
bising daripada televisyen dan ketawa Ratna mengganggu
fokus Amanda untuk menyiapkan kerja sekolahnya
sehingga dia berasa marah dan menyuruh kakaknya untuk
mengurangkan kelantangan suara televisyen tersebut agar
dia dapat fokus untuk menyiapkan kerja yang diberikan. Hal
ini menyebabkan Ratna tidak puas hati dan marah kepada
Amanda. Kekecohan yang terjadi antara Amanda dan Ratna
menyebabkan ibu mereka yang sedang menyiapkan minum
petang di dapur naik ke ruang tamu untuk melihat apa yang
terjadi. Amanda cuba untuk menjelaskan situasi yang terjadi
antara dia dan kakaknya namun kakaknya turut membela
dirinya dengan memberi alasan Amanda yang sengaja
membesarkan masalah yang kecil. Ibu Amanda yang berat
sebelah lebih mempercayai Ratna dan menengking
Amanda “Kenapa kau belajar di sini? Kau tidak nampak
kakakmu menonton televisyen?” Ratna tersenyum sinis
melihat Amanda dimarahi. “Sengajalah tu nak menunjuk dia
rajin belajar”, tambah Ratna membuatkan ibunya semakin
naik angin. Amanda amat terkejut dengan kata-kata
kakaknya dan hatinya bertambah sakit apabila mendengar
ibunya berkata “Kau tak payah nak tunjuk rajin, kau belajar
pun nanti keputusan peperiksaan kau tetap sama.
Memalukan aku ke sekolah untuk mengambil keputusan
kau yang tidak cemerlang. Cuba kau lihat kakak dan
adikmu, kedua-duanya pelajar cemerlang di sekolah. Kau
patut contohi mereka berdua”.
Belum sempat ibunya menyambung bebelannya, ayah
Amanda yang baru pulang dari kerja bertanya apa yang
berlaku kerana dia dapat mendengar bunyi bising dari luar
rumah lagi. Ibu Amanda terus mengatakan “Sudah! Kau
masuk bilik kau belajar di sana”. Mendengar arahan ibunya,
Amanda terus masuk ke bilik dengan air mata yang berjuraian
di pipi.
Lamunan Amanda terhenti apabila dia mendengar ketukan
pintu dari luar bilik. Amanda langsung mengusap air matanya
di pipi sebelum membuka pintu biliknya. Kelihatan ayahnya
berdiri di hadapan pintu dengan wajah yang risau. Ayah
Amanda bertanya tentang keadaan Amanda kerana terdengar
suara tangisan daripada biliknya semasa hendak ke dapur
untuk minum. Amanda hanya tersenyum kepada ayahnya dan
memberi alasan dia sedang menonton cerita sedih melalui
telefon bimbitnya. Ayah Amanda mengangguk dan menasihati
Amanda untuk menceritakan kepadanya sekiranya
mempunyai masalah sama ada di rumah ataupun di sekolah.
Amanda hanya mengangguk kepada ayahnya dan
mengatakan dia hanya baik-baik sahaja di sekolahnya. Ayah
Amanda sempat berpesan untuk tidur kerana telah lewat
malam dan dia perlu bangun awal pagi untuk ke sekolah.
“Baik, ayah”, hanya itu yang dibalas oleh Amanda.
Hari berganti hari, tanpa disedari hari peperiksaan PT3
semakin dekat dan debaran yang dirasai oleh Amanda
semakin kuat. Amanda sentiasa belajar dengan gigih sama
ada di rumah mahupun di sekolah. Terkadang Amanda
terpaksa meluangkan masanya di sekolah sehingga petang
kerana dia lebih selesa untuk belajar di perpustakaan sekolah.
Hal ini kerana keadaan di sana lebih tenang untuk dia
mengulangkaji pelajaran berbanding di rumah kerana ibunya
selalu memarahinya. Bagi ibunya, Amanda hanya berpura-pura
belajar kerana dia tidak mahu ibunya menyuruh dia untuk
melakukan pekerjaan di rumah seperti menyapu, melipat kain
dan kerja-kerja yang lain. Amanda pernah mengatakan
bahawa dia perlu fokus untuk belajar kerana dia perlu
menduduki peperiksaan PT3 dan menyuruh kakak untuk
menggantikannya kerana kakaknya yang hanya duduk
menonton televisyen kerana dia sedang menunggu keputusan
panggilan untuk masuk ke university untuk menyambung
pelajarannya. “Amboi, ibu suruh kau yang buat semua kerja tu
tapi kau suruh aku pulak yang buat? Sebelum ini, aku pun
pernah menduduki PT3 tapi semua kerja rumah aku jugak
yang buat. Keputusan aku tetap cemerlang. Kau tu jangan
manja sangat. Buat semua kerja tu sendiri”. Itulah balasan
yang akan diberi oleh kakaknya, Ratna setiap kali dia meminta
bantuan untuk membuat kerja rumah yang diberikan oleh
ibunya.
Bagi Amanda, sekiranya dia mengulangkaji pelajaran
di perpustakaan sekolahnya, dia tidak perlu
mendengar bunyi televisyen yang kuat serta suara
kakaknya yang terkadang ketawa, atau menangis
kerana menonton cerita yang ditayangkan. Adiknya,
Zainal juga selalu mengganggu Amanda semasa
belajar kerana dia ingin Amanda bermain dengannya.
Disebabkan hal-hal seperti ini, Amanda tidak dapat
belajar dengan fokus dan tenang di rumahnya.
Setiap hari, hanya ayah Amanda yang selalu memberi
semangat kepada Amanda untuk belajar dengan gigih
dan tidak menghiraukan ibunya yang selalu
membandingkan pencapaian Amanda dengan anak-
anaknya yang lain. Bagi ayahnya, Amanda merupakan
anaknya yang paling baik dan selalu mendengar kata.
‘Ingat Amanda, walaupun orang lain cakap kamu ni
anak yang hanya memalukan orang tua, tapi ayah
bangga dengan kamu sebab kamulah anak ayah yang
paling rajin dan baik. Biarkan orang lain cakap kamu
macam-macam, mereka tidak tahu susah payah yang
telah kamu lalui. Ayah doakan kamu sentiasa berjaya
dalam kehidupan kamu”. Itulah kata-kata ayah
Amanda yang selalu menjadi pembakar semangat
Amanda setiap kali dia merasa hilang semangat untuk
belajar.
Tanpa disedari, hari yang dinanti-nantikan telah tiba,
Amanda menduduki peperiksaan PT3 di sekolahnya.
Sepanjang hari peperiksaan tersebut, Amanda selalu tidur
lewat malam kerana mengulangkaji pelajaran sebelum
menjawab peperiksaan pada hari berikutnya. Setiap hari,
ayahnya akan menghantar Amanda ke sekolah untuk
memberi semangat kepada Amanda namun ibunya tidak
mengendahkan Amanda kerana baginya, Amanda hanya
akan mendapat keputusan yang tidak cemerlang seperti
Ratna dan Zainal. Walaupun Amanda tidak menyimpan
harapan untuk ibunya menyokongnya, namun Amanda
tetap rasa kecil hati dengan perbuatan ibunya tersebut.
Beberapa bulan kemudian.
Dari luar rumah lagi, ayah Amanda boleh mendengar
isterinya sedang menengking Amanda. Semuanya
disebabkan keputusan Amanda yang baru sahaja keluar
tidak memuaskan hati ibu Amanda. “Apa nak jadi dengan
kau ni? Kau tengok keputusan kau ni? Kau bangga la
dengan keputusan kau yang buruk ni? Kau ni memang anak
yang tidak tahu beruntung. Selama ni kau memang tidak
belajar betul-betul kan. Kau buat apa di sekolah sehingga
petang? Kau melepak dengan kawan-kawan kau kan bagi
alasan belajar”. Itulah kata-kata yang dilemparkan kepada
Amanda sebaik sahaja Amanda memberikan slip
keputusannya kepada ibunya. Ibunya sangat marah kerana
Amanda hanya mendapat 2A dalam peperiksaannya.
Apabila encik Jamal masuk ke rumah, dia dapat lihat
isterinya sedang berdiri di hadapan anaknya sambil
memegang slip keputusan dan rotan di tangganya serta
Amanda yang terduduk sambil menangis kerana
dimarahi dan dipukuli oleh ibunya. Kelihatan beberapa
bekas pukulan di tangan Amanda membuatkan ayah
Amanda terus masuk ke rumah dengan cepat dan
menarik Amanda untuk masuk ke bilik. Di bilik, ayah
Amanda menenangkan Amanda agar dia berhenti
menangis. Amanda memeluk ayahnya dan mengatakan
bahawa dia tidak dapat memberikan keputusan yang
baik. Ayahnya mengusap air mata Amanda dan
membelai anaknya itu untuk menghentikan
tangisannya. “Manjakan lah lagi anak tu nanti makin
naik kepala”, dari luar ibu Amanda masih marah. “Apa
pun keputusan Amanda, ayah tetap bangga dengan
anak ayah ni” pujuk ayah. “Terima kasih, ayah”
senyuman mula terukir di bibir Amanda. Setelah
memastikan Amanda telah tenang, ayah keluar dari
bilik dan cuba menenangkan isterinya yang masih
marah.
Tahun yang silih berganti gelap dan terang, 2 tahun berlalu,
kini Amanda merupakan seorang pelajar yang bakal
menduduki peperiksaan SPM manakala Zainal bakal
menduduki peperiksaan PT3. Ratna pula telah menyambung
pengajiannya di Universiti Malaya bagi peringkat diploma.
Seperti sebelum ini, Amanda gigih untuk belajar agar dia boleh
mendapat keputusan yang cemerlang untuk membanggakan
ibunya. Sama seperti Amanda, Zainal juga sering mengulang
kaji pelajarannya di rumah. Ibu sangat gembira melihat Zainal
dan selalu memujinya kerana Zainal rajin dan akan mendapat
keputusan yang cemerlang. Segala keperluan Zainal untuk
belajar seperti buku latihan, buku-buku nota tambahan dan
sebagainya disediakan dengan lengkap. Semua permintaan
Zainal ditunaikan sebaliknya, apabila Amanda meminta ibunya
untuk membeli buku rujukan, ibunya tidak mengendahkannya.
“Kau kan boleh guna buku-buku kakak kau sebelum ni, aku
masih simpan lagi buku tu dalam stor. Nanti kau cari lah di
sana, Tak perlu beli buku baru”. Itulah kata-kata yang akan
dilemparkan kepada Amanda ketika dia meminta buku latihan
SPM sebelum ini. Disebabkan hal ini, terkadang Amanda
terpaksa bekerja sambilan di gerai berdekatan sekolahnya
untuk mendapatkan duit lebih agar dia boleh membeli buku
baru. Amanda takut untuk meminta kepada ibunya kerana dia
pernah dipukul sebelum ini hanya kerana dia meminta duit
lebih untuk membeli buku nota tambahan. Walaupun ayah
Amanda terkadang memberinya duit lebih secara senyap untuk
membeli barang keperluan persekolahan, namun Amanda tidak
ingin menambah beban ayahnya untuk bekerja lebih keras
demi memberinya wang tambahan.
Waktu cepat berlalu keputusan SPM Amanda telah
diumumkan dan Amanda sangat kecewa kerana
walaupun dia telah belajar dengan bersungguh-
sungguh, keputusannya tetap tidak dapat
memuaskan hati ibunya. Walaupun keputusan
Amanda telah banyak meningkat dan mendapatkan
4A dalam SPM, ibunya tetap membandingkan
keputusan Amanda dan kakaknya yang telah
mendapat keputusan cemerlang dengan 10A. Seperti
pelajar-pelajar yang lain, Amanda berasa teruja
kerana ingin menyambung pengajiannya di universiti.
Amanda meminta pendapat ibunya sebelum mengisi
borang di UPU untuk memohon kemasukan
mahasiswa baru. “Kau tak payah beranganlah nak
masuk univeriti. Dengan keputusan kau tu, universiti
mana yang nak ambil kau? Daripada kau membuang
duit aku bayar yuran persekolahan kau, lebih baik
kau cari kerja. Sekurang-kurangnya kau boleh tolong
ibu dan ayah cari duit untuk beli keperluan rumah ni
dan yuran persekolahan adik dan kakak kau tu”.
Amanda hampa apabila ibunya berkata sedemikian
semasa dia meminta pendapat ibunya. Amanda
hanya mampu menurut kata-kata ibunya.
Seperti yang disarankan oleh ibunya, Amanda mencari
pekerjaan di sekitar kampungnya. Puas Amanda pergi
ke kedai-kedai runcit, gerai mahupun restoran, tiada
satu pun yang boleh menerima Amanda sebagai
pekerja kerana mereka tidak memerlukan pekerja baru.
Oleh itu, Amanda mengambil keputusan untuk keluar
dari kampung dan mencari pekerjaan di bandar.
Amanda hanya menyewa sebuah bilik sebagai tempat
dia berteduh di bandar tersebut. Setelah beberapa hari
mencari, akhirnya Amanda mendapat pekerjaan di
sebuah kilang. Walaupun gaji yang diberikan tidak
terlalu banyak, tetapi bagi Amanda gaji tersebut sudah
cukup untuk dia menampung hidupnya di bandar dan
menghantar ke kampung untuk diberikan kepada
keluarganya.
7 tahun kemudian
Amanda masih bekerja di kilang yang sama tetapi dia
telah dinaikkan pangkat sebagai manager kerana cara
kerjanya yang sangat cekap dan pengalamannya yang
telah lama bekerja di kilang tersebut. Ratna dan Zainal
telah menghabiskan pengajian di universiti. Ratna telah
menjadi seorang doktor di sebuah hospital besar di
bandar manakala Zainal pula telah menjadi seorang
arkitek yang sangat terkenal.
Ibu mereka sangat bangga dengan kejayaan yang diperoleh
kedua anaknya tersebut sehingga melupakan Amanda yang
telah lama bertungkus lumus bekerja demi membantu mereka
di kampung. Ibu Amanda sangat gembira kerana baginya
kedua anaknya tersebut boleh membantunya ketika susah
kerana mereka telah berjaya lebih-lebih lagi anak sulungnya,
Ratna telah menjadi seorang doktor yang boleh merawatnya
sekiranya dia sakit. Hanya ayah Amanda yang masih
menghargai pengorbanan Amanda yang sanggup tidak
menyambung pengajiannya demi membantunya mencari duit
untuk membayar yuran pengajian Ratna dan Zainal walaupun
dia telah diterima di salah satu universiti. Amanda sanggup
menggadaikan impiannya demi meringankan beban ayahnya
yang telah tua.
Disebabkan Amanda, Ratna dan Zainal telah bekerja, ibu
bapa mereka terpaksa tinggal berdua di kampung. Terkadang,
ibu bapa mereka datang ke bandar untuk melawat anak-
anaknya kerana Ratna dan Zainal tidak mempunyai masa
yang cukup untuk pulang ke kampung melawat puan Jamilah
dan encik Jamal. Mereka berdua hanya pulang ke kampung
ketika menyambut hari perayaan untuk disambut dengan ahli
keluarga yang lain. Walaupun mereka tidak pulang setiap
tahun, puan Jamilah tetap bersangka baik kepada anaknya.
“Mereka tidak pulang ke kampung kerana mereka sibuk
bekerja, bukan kerana mereka lupakan keluarga! Amanda tu
kerja kilang sebab tu dia senang dapat cuti untuk balik ke
kampung”. Kata puan Jamilah setiap kali encik Jamal mencari
Ratna dan Zainal yang jarang pulang ke kampung.
Seperti biasa, encik Jamal dan puan Jamilah datang
ke bandar untuk melawat Ratna dan Zainal. Walaupun
Amanda turut tinggal di bandar yang sama, puan
Jamilah jarang datang ke rumah Amanda dan hanya
encik Jamal yang akan datang ke sana untuk melawat
anaknya. “Ingat Jamilah, Amanda tu pun anak awak
juga. Lawatlah dia sekali. Siapa yang tahu bila tua nanti
dia yang jaga kita di kampung”, pesan encik Jamal
setiap kali ingin mengajak isterinya untuk ke rumah
Amanda. “Kalau dia tak jaga aku pun, aku masih ada 2
orang anak yang boleh jaga aku nanti. Kalau awak nak
melawat anak awak tu, pergi lah sendiri. Saya mahu
tinggal di rumah Ratna”, balas puan Jamilah. Akhirnya,
encik Jamal selalu datang ke rumah Amanda seorang
diri tanpa ditemani isterinya. Setiap kali ayah Amanda
datang ke rumah Amanda, dia selalu mencari ibunya
dan bertanya khabar tentang ibunya. “Ibu tak datang
hari ini? Bagaimana keadaan ibu? Ibu sihat?” Banyak
soalan yang dilontarkan kepada encik Jamal setiap kali
dia datang ke rumah Amanda namun, dia hanya
mampu tersenyum kepada Amanda. Setelah beberapa
lama di rumah Amanda, encik Jamal meminta diri untuk
kembali ke rumah Ratna untuk mengambil puan
Jamilah.
Alangkah terkejutnya encik Jamal apabila sampai ke
rumah Ratna, kelihatan isterinya sedang duduk di
kerusi luar rumah sambil menunggunya. Dapat dilihat
pintu rumah tertutup rapat dengan kunci yang
bergantung. “Mengapa awak duduk berpanas di luar
rumah? Di mana Ratna?”, tanya encik Jamal kepada
puan Jamilah. “Tadi Ratna mendapat panggilan
daripada hospital. Katanya ada pesakit baru yang
perlu dirawatnya, jadi dia perlu ke sana segera. Saya
perlu keluar rumah agar dia boleh mengunci pintu
rumahnya”, balas puan Jamilah. Dalam diam, puan
Jamilah terasa hati dengan perlakuan Ratna
terhadap dirinya. Dia sangat sedih kerana tidak
menyangka anaknya sanggup meninggalkan dirinya
di luar rumah hanya kerana dia perlu pergi ke
hospital. Akhirnya, puan Jamilah mengajak suaminya
pulang ke kampung dengan hati yang sakit.
Hujan turun dengan lebatnya pada malam itu ketika kedua-
dua ibu bapanya sedang dalam perjalanan pulang ke
kampung. Raut wajah ibu Amanda kelihatan sangat resah
kerana memikirkan tingkah laku Ratna dan Zainal yang
sangat mengguriskan hati. Keluhan ibu Amanda telah
menyebabkan ayah Amanda juga semakin kebingungan.
Ayahnya berusaha untuk melegakan hati puan Jamilah.
Namun begitu, puan Jamilah tidak dapat menahan
perasaannya sehingga menangis teresak-esak kerana bagi
beliau, mereka telah menyayangi Ratna dan Zainal bagai
menatang minyak yang penuh namun balasan yang diberikan
oleh kedua-dua anaknya itu sangat mengecewakan dirinya.
Fokus encik Jamal semakin terganggu ketika memandu dan
tanpa disedari beliau telah memasuki lorong yang
bertentangan, dan bertembung dengan sebuah kereta Hilux.
Mereka telah mengalami kemalangan yang sangat teruk
sehingga meragut tiga nyawa dan kereta mereka juga telah
mengalami kerosakan yang tidak dapat diperbaiki lagi. Ketika
puan Jamilah sedar, kereta mereka telah dirempuh oleh
kereta lain dan ramai orang yang telah mengerumuni beliau.
Beliau tercari-cari keberadaan suami yang amat dicintainya
itu, namun tidak kelihatan sehingga beliau telah diangkat oleh
para petugas kesihatan. Seorang petugas kesihatan telah
memaklumkan bahawa encik Jamal telah menjalani tahap
kritikal kerana gegaran otak. Hentakan yang terlalu kuat pada
kepala encik Jamal ketika kemalangan tersebut telah
menyebabkan beliau berada dalam tahap yang kritikal di
hospital dan kemungkinan besar akan meninggal dunia, kata
seorang petugas kesihatan itu.
Setelah Ibu Amanda mengetahui berita itu, beliau sangat
terkejut dan teriak dengan sekuat hati kerana tidak dapat
menerima kenyataan. Beliau berusaha untuk
menghubungi Ratna dan Zainal namun tidak disambut
oleh anaknya. Puan Jamilah terlalu angkuh dan tidak
menghiraukan Amanda, beliau juga tidak menghubungi
Amanda dan hanya berusaha untuk menghubungi Ratna
dan Zainal. Ratna amat sibuk dengan kerjayanya sebagai
seorang doktor saraf dan tidak mempunyai masa untuk
melihat telefon bimbit sewaktu bekerja. Beberapa jam
kemudian, setelah bangun dari tidur yang lena, ibu
Amanda tidak dapat menggerakkan kedua-dua belah
kakinya dan segera memanggil jururawat dengan nada
yang sangat kuat. Setelah membuat pemeriksaan, puan
Jamilah disahkan lumpuh dan pada masa yang sama juga
encik Jamal telah meninggal dunia pada jam 11.06 pagi.
Ibu Amanda seperti seorang yang hilang arah setelah
mengetahui perkara itu serta meminta bantuan dengan
para petugas untuk menghubungi Ratna dan Zainal.
Doktor yang telah merawat encik Jamal telah
menghubungi Zainal pada ketika itu. Sewaktu Zainal
mengetahui bahawa ayahnya telah meninggal dunia,
senyuman sinis Zainal kelihatan dan pelbagai perkara
yang telah bermain di minda Zainal. Zainal langsung tidak
merasa sedih tentang kematian arwah ayahnya malahan
lebih memikirkan tentang harta yang ditinggalkan.
Jam telah menunjukkan pukul 3 petang, Zainal telah tiba
di hospital untuk bertemu dengan ibunya, puan Jamilah
terus memeluk anaknya namun Zainal tidak berapa
mengendahkan ibunya. Zainal bertanya kepada ibunya,
adakah berita kematian ini telah diketahui oleh adiknya,
Amanda. Dengan lantang suara puan Jamilah “Mengapa
perempuan itu perlu tahu?”. Senyuman sinis Zainal
semakin lebar kerana semakin besar peluangnya untuk
mendapatkan semua harta pusaka yang ditinggalkan oleh
arwah. Tidak lama kemudian, kakak Amanda iaitu Ratna
telah menghubungi kembali ibunya dan memaklumkan
bahawa dia akan pulang secepat mungkin. Kini, Amanda
sahaja yang belum mengetahui tentang berita tersebut.
Berita kematian itu telah tersebar ke merata tempat dan
kawan Amanda yang berada di kampung telah mengetahui
dan terus menghubungi Amanda. Mendengar berita itu,
Amanda sangat terkilan dengan tingkah laku kakak dan
adiknya, dia berasa bahawa mereka tidak menganggap
kewujudan Amanda dalam keluarga itu. Amanda menangis
teresak-esak kerana tidak dapat menahan rasa sakit itu,
dia berasa kehilangan yang sangat besar kerana ayahnya
yang selalu berada di sisinya untuk membantu dia ketika
dimarahi ibunya telah tiada buat selamanya.
Kesakitan yang dirasai oleh Amanda lebih perit apabila
telah tiba di kampung halamannya. Amanda tidak dapat
melihat wajah arwah ayahnya buat kali terakhir kerana
ketika dia tiba di rumah, arwah ayahnya telah
dikebumikan beberapa jam yang lalu. Ibu Amanda
berasa sangat marah apabila melihat Amanda ketika itu,
namun Amanda menganggap itu hanyalah sekadar
kemarahan biasa. “Tik tok, tik tok” jam berbunyi
menandakan jam 3.00 petang, Zainal dan Ratna
bergegas balik ke rumah masing-masing tanpa
menghiraukan ibunya yang sedang lumpuh itu. Puan
Jamilah bertanya kepada mereka “Kemana kamu
hendak pergi? Kamu tidak ingin menemani ibu untuk
beberapa hari lagi? kata puan Jamilah kepada anaknya.
Malangnya, Zainal dan Ratna tidak membalas sebarang
pertanyaan ibunya dan terus pergi meninggalkan
kampung halaman itu. “Tidak apa ibu, Amanda sudah
menghubungi bos Amanda kerana Amanda telah
mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjaga
ibu sepenuhnya di sini” kata Amanda kepada ibunya
yang sedang duduk di kerusi roda. Ibunya terus menolak
kerusi roda itu dengan segera sambil menjeling ke arah
Amanda, “Kau fikir aku tiada anak yang lain boleh
uruskan aku? Mereka itu sangat sibuk dan mungkin akan
kembali ke sini selepas bekerja! Kau tidak perlu jaga aku
di sini, aku juga boleh urus diri sendiri!” ucap ibu kepada
Amanda. Amanda tertunduk dan mata Amanda terlihat
dengan jelas telah berkaca-kaca.
Azan telah berkumandang tepat pada pukul 6.33
bagi menunjukkan azan maghrib, Amanda bergegas
menunaikan ibadah solat. “Ya Allah, kau
lembutkanlah hati ibuku untuk menerimaku apa
adanya, kau berikanlah aku kesabaran yang
seutuhnya untuk menghadapi segala dugaan dan kau
peliharalah diriku daripada sifat-sifat dendam kepada
seluruh ahli keluargaku” doa Amanda sambil
airmatanya jatuh berlinangan. Setelah selesai solat,
Amanda menyiapkan makan malam untuk ibunya,
pelbagai juadah yang telah disediakan oleh Amanda
untuk ibunya namun ketika Amanda ingin
menyuapkan makanan kepada ibunya, beliau telah
menepis tangan Amanda sehingga menyebabkan
semua makanan terjatuh di lantai dan pinggan juga
telah pecah. Segala yang dilakukan oleh Amanda
tidak diterima oleh ibunya sehingga satu tahap
ibunya telah mengatakan “Keluar! Aku sangat jijik
melihat kau berada di rumah ini!” ungkap puan
Jamilah kepada Amanda. Pada saat itu setiap tutur
kata yang diungkapkan oleh ibunya sering bermain di
dalam fikirannya. “Apa yang telah aku lakukan
sehingga ibu tidak menganggap aku sebagai
anaknya? Besarkah dosa yang telah aku lakukan?”
pelbagai soalan bermain dalam fikiran Amanda.
Setiap hari puan Jamilah menunggu panggilan daripada
Ratna dan Zainal namun kedua-dua anaknya itu langsung
tidak menghubunginya. “Alahai anak yang aku sayang
selama ini langsung tidak pernah menjengukku lagi,
semenjak ayah mereka telah pergi, mereka langsung tidak
ingat kepada aku sedangkan aku di sini terlantar menahan
sakit” ucap puan Jamilah sambil melihat ke luar tingkap.
“Kring, Kring, Kring” bunyi deringan telefon puan Jamilah
memecah suasana rumah yang sekian lama telah sepi.
Akhirnya, Zainal merupakan anak lelaki yang amat
disayanginya telah menghubungi beliau. “Hai ibu, macam
mana dengan wasiat arwah ayah? Bila boleh dibahagikan
harta itu? Kalau tunggu ibu yang cerita tentang harta,
memang tak lah sehingga ke tua pun ibu tak bahagikan harta
itu!” ucap Zainal kepada ibunya. “Ya Allah, sungguh tidak aku
duga begini sebenarnya tingkah laku anak yang telah aku
tatang bagai minyak yang penuh, tidak bertanya tentang
kesihatanku tetapi lebih mementingkan harta” bisik hati puan
Jamilah. Luluhnya hati seorang ibu apabila anak yang sangat
disanjunginya sejak kecil telah mengguris hatinya tanpa
memikirkan perasaannya. “Ibu dengar tak Zainal sedang
bertanya ini! Kenapa ibu tak menjawab? Kakak Amanda
selalu mengingati adik untuk hubungi ibu kerana katanya ibu
terlalu rindukan adik? Tapi kenapa sekarang ibu tak berkata
apa-apa setelah Zainal hubungi ibu?” ucap Zainal lagi
kepada puan Jamilah. Puan Jamilah terkedu dan tidak
mampu untuk berkata-kata tetapi puan Jamilah sempat untuk
meminta untuk Zainal dan Ratna balik ke kampung untuk
membicarakan semula tentang pembahagian seluruh harta
arwah ayahnya.
Ketika Amanda sedang sibuk untuk mengemas rumah
dan menyiapkan makanan, puan Jamilah merenung muka
anaknya itu dan mengingat semula semua tingkah lakunya
terhadap Amanda sejak kecil sehingga sekarang. Beliau
terlalu angkuh dengan membanding-bandingkan bakat
semula jadi anak-anaknya sehingga tidak menghiraukan
Amanda serta tidak menghargai setiap apa yang dilakukan
oleh Amanda. Bagi beliau Amanda hanya berpura-pura
dalam menimba ilmu dan tidak bijak dalam bidang
akademik seperti kakak dan adiknya itu. Beliau juga
mengingati setiap saat dia memarahi puteri keduanya
bahkan kadang kala sehingga memukul tanpa ada rasa
kasihan kerana terlalu pilih kasih terhadap ketiga-tiga
orang anaknya itu. Sedang puan Jamilah dihanyuti dengan
lamunan, lamunan itupun terhenti buat seketika apabila
wajah anaknya iaitu Amanda sedang membawa makanan
untuk menyuapkannya. Buat pertama kali suapan Amanda
itu diterima dengan hati yang terbuka. “Ya Allah,
ampunilah dosa-dosaku selama ini kerana tidak
menghargai anugerah yang telah kau berikan ini, aku
sangat bersyukur walaupun dia tidak aku berikan kasih
sayang yang sepenuhnya tetapi dia merupakan seorang
yang lebih prihatin dan sanggup untuk berhenti bekerja di
kilang untuk menjagaku sepenuh hati tanpa meminta
balasan” bisik hati puan Jamilah sambil airmata jatuh
berlinangan. Setelah habis makan senyuman Amanda
semakin kelihatan kerana baginya ini adalah masakan
pertama yang dimakan oleh ibunya.
Beberapa hari kemudian, Ratna dan Zainal pun tiba di teratak
rumah peninggalan arwah ayahnya. Zainal menjejakkan kaki
ke rumah itu dengan menjerit-jerit untuk memanggil puan
Jamilah tanpa memberi salam. “Ibu, cepatlah keluar! Saya
tidak boleh lama-lama di sini, lebih banyak kerja saya di luar
sana!” Zainal berkata tanpa ada rasa malu. “Betul itu! Saya
juga mempunyai lebih ramai lagi pesakit yang perlu saya
rawat!” sahut Ratna lagi. Amanda keluar dengan rasa yang
sangat marah kepada kakak dan adiknya itu. Puan Jamilah
tidak dapat keluar dari bilik kerana badannya berasa sangat
lemah sehingga tidak dapat bangun namun beliau dapat
mendengar semua perkara yang diucapkan oleh ketiga-tiga
orang anaknya itu. “Pang, Pang, Pang” semua barang di
dalam rumah itu dihumban oleh Zainal kerana mendesak
untuk ibunya keluar dari bilik membincangkan tentang harta.
“Hei Zainal! Ratna! Kamu tahu kan yang ibu itu sedang
terlantar kesakitan? Kenapa kamu buat sedemikian? Hanya
disebabkan harta kamu balik ke kampung dan bukannya
bertujuan untuk melawat ibu? Seorang doktor dan seorang
arkitek yang tidak mempunyai hati dan perasaan! Seorang
yang bekerjaya namun tidak mementingkan kesihatan ibunya
sendiri! Sibuk dengan pesakit yang ramai namun tidak dapat
merawat ibunya yang sedang sakit! Hebat! Ibu dan arwah
ayah telah menjaga kamu sebaik mungkin dan memberikan
kasih sayang yang seutuhnya namun ini balasan kamu?”
ungkap Amanda dengan nada yang sangat tinggi dan
mengeluarkan seluruh isi hatinya selama ini. Ratna dan Zainal
terdiam untuk seketika namun mereka tetap dengan pendirian
mereka untuk mendapatkan harta.
Tidak lama kemudian, Amanda masuk ke dalam bilik
untuk mengambil surat wasiat yang telah digantikan
seluruh pembahagian harta mereka bertiga kepada
Ratna dan Zainal sahaja. Puan Jamilah menangis
teresak-esak di dalam bilik kerana tidak menyangka
kelakuan anaknya di luar dari jangkaannya. “Nah
ambil harta ini! Aku tidak hadap dengan semua harta
ini! Ambillah aku tidak ingin harta yang telah
diberikan kepada aku, aku hanya ingin menjaga ibu
sehingga sihat tanpa memerlukan bantuan harta
daripada kamu semua yang tidak
berperikemanusiaan!” ucap Amanda. Senyuman sinis
Zainal dan Ratna semakin lebar kerana melihat
segala harta hanya diberikan kepada mereka berdua
sahaja. “Sedarlah diri kau tu memang tidak disayangi
oleh ibu dan ayah sejak dulu jadi harta ini memang
diberikan untuk kami berdua sahaja dan bukan untuk
kau!” sindir Ratna kepada Amanda.
Ibu mendengar semua kata-kata yang keluar daripada
ketiga-tiga orang anaknya namun ibu tidak mendiamkan diri.
“Ratna! Zainal! Jaga mulut kamu berdua! Ibu sedar selama
ini ibu banyak buat salah dengan Amanda, ibu mengaku
semua kekhilafan ibu! Tapi tolong kamu jangan mengulangi
kesilapan yang telah ibu lakukan! Ibu tidak sangka kamu
berdua begitu, ibu fikir ibu telah mencurahkan kasih sayang
sepenuhnya dan kamu dapat menjaga ibu di hari tua namun
ibu silap, seorang Amanda yang ibu pukul, ibu marahi dan
ibu sempat tidak menganggap dia sebagai anak, itulah anak
yang menjaga ibu yang lumpuh ini dengan seikhlas hati dan
sanggup hilang pekerjaannya hanya untuk menjaga ibu!
Tetapi kamu berdua di mana? Sibuk dengan kemewahan
sendiri tanpa memikirkan ibu yang sedang terlantar sakit ini!”
ucap puan Jamilah dengan nada yang sangat sayu kerana
kemarahan telah membuatkan badannya lemah. “Ah
sudahlah ibu, ibu juga yang mengajarkan kami dan
membesarkan kami sehingga kami berkelakuan sebegini!
HA, HA, HA, yang penting aku semakin kaya sekarang! Aku
sudah tidak memerlukan bantuan ibu selepas ini! Hiduplah
ibu bersama anak kesayangan ibu yang tidak mempunyai
pekerjaan selepas ini, biarkan semua orang kampung
berkata bahawa ibu sudah miskin dan tidak mempunyai
anak-anak yang bekerjaya!” ungkap Zainal dan Ratna
sambil menaiki kereta dan berlalu pergi meninggalkan
halaman rumah itu.
Setelah kejadian itu, ibu yang tidak pernah memeluk
Amanda terus memeluk anaknya itu dengan sekuat
hati serta memohon kemaafan daripada Amanda.
“Nak, ibu minta maaf ya nak selama ini ibu terlalu
pilih kasih dan tidak menerima kamu dengan
seadanya, ibu minta maaf kerana terlalu
membandingkan setiap kejayaan yang diperoleh
daripada kakak dan adik tanpa memikirkan
perasaanmu. Ibu sedar bahawa setiap anak
mempunyai kebolehan atau bakat yang tersendiri,
seperti kamu yang tidak terlalu cemerlang dalam
akademik, tetapi kamu lah yang cemerlang dalam
menjaga ibu ketika sakit tanpa meminta apa-apa
balasan pun” ucap puan Jamilah dengan penuh
kesedihan. “Ya Allah, beginikah rasanya disayangi
oleh ibu selama ini, baru kali ini aku merasakan
pelukan ibu yang sangat erat dan ikhlas. Aku
ikhlaskan dan aku terima semua kekhilafan ibu ketika
mendidikku, kau ampunilah ibuku Ya Allah” bisik hati
Amanda. Amanda dan Puan Jamilah saling
berpelukan dan bermaafan serta menginsafi setiap
kesalahan yang telah dilakukan terdahulu.
Beberapa minggu kemudian
Hubungan puan Jamilah dan Amanda semakin hari
semakin akrab, namun ketika mereka sedang
berehat untuk minum petang, Zainal tiba-tiba datang
ke kampung untuk melarikan diri daripada
pemiutang. Zainal yang terlalu leka dengan
kemewahan terlalu bangga sehingga membeli
semua barang kehendak tanpa memikirkan had
perbelanjaan yang sepatutnya. Setibanya di
halaman rumah, Zainal terus memeluk ibunya untuk
meminta bantuan bayaran yang terlalu banyak
kerana takut akan ancaman-ancaman yang telah
diberikan oleh pemiutang. Puan Jamilah sangat
terkejut apabila Zainal menceritakan semua
permasalahan yang dihadapinya di bandar dan
Zainal juga telah mengakui serta menyedari hal-hal
yang telah berlaku. “Mujurlah ibu masih menyimpan
duit simpanan yang telah ditinggalkan oleh arwah
ayah, kamu gunakanlah terlebih dahulu duit itu
untuk membayar semua hutang-hutang kamu nanti
kita boleh kumpul duit untuk pembiayaan hospital
ibu” ucap ibu kepada Zainal.
Tidak lama kemudian, Ratna juga tiba di kampung
kerana menyedari semua kekhilafannya dan
berhasrat untuk membawa ibunya membuat rawatan
yang lebih canggih di bandar bagi membantu ibunya
untuk berjalan semula. “Ratna malu ibu, Ratna telah
memikirkan semula ucapan Amanda yang
mengatakan bahawa ratna tidak dapat merawat ibu
sendiri sedangkan dapat merawat orang lain” ucap
Ratna ketika tiba di halaman rumah mereka. Amanda
tersenyum dengan kebahagiaan yang mereka miliki,
kakak dan adiknya telah menyedari semua kesalahan
mereka dan memohon maaf untuk membetulkan
setiap kesalahan itu. “Benarlah kata orang, setiap
yang terjadi pasti ada hikmahnya, keluargaku yang
dulu tidak lagi sama seperti sekarang, kami telah
menjadi sebuah keluarga yang saling sayang
menyayangi tanpa wujudnya perasaan kasih saya,
cukup derita itu yang pernah aku lalui” bisik hati
Amanda sambil tersenyum melihat kebahagiaan ibu
terserlah kembali setelah banyak perkara yang telah
kami lalui bersama.
-TAMAT-
CUKUP
Derita
ITU
Nurfarhana, Amalin Wahida,
Fatin Amirah, Nurliana Atika