The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by farinasyafiqah42, 2021-09-26 15:10:14

BOLA BALING

BOLA BALING

DISEDIAKAN OLEH : NURFARINA SYAFIQAH BINTI
FARID
KELAS : 6UKMB

§Bola Baling boleh dimainkan sama ada di dalam atau
luar dewan. Peralatan yang diperlukan adalah tidak
banyak. Apa yang diperlukan ialah padang atau
gelanggang (tertutup atau terbuka), sebiji bola baling dan
14 orang pemain (tujuh orang sepasukan). Dua orang
pengadil diperlukan untuk mengawal permainan.

GELANGGANG BOLA BALING DAN UKURAN
PADANG/GELANGGANG (KAWASAN PERMAINAN

§ Permukaan gelanggang mestilah keras dan rata. Gelanggang yang digunakan boleh
merupakan gelanggang berumput di padang terbuka atau gelanggang bersimen atau
berparket di dalam dewan yang tertutup. Gelanggang permainan berbentuk
segiempat bujur, 40 meter panjang di garisan tepi dan 20 meter lebar di garisan gol.
Gelanggang permainan dibahagikan kepada dua bahagian yang sama luas oleh satu
garisan tengah. Setiap kawasan gol mengandungi satu garisan kawasan go yang
berjejari 6 meter dari tepi dalam tiang gol. Garisan balingan percuma adalah putus-
putus dan berjejari 9 meter dari tepi dalam tiang gol. Panjang garisan penalti ialah 1
meter dan berjarak 7 meter dari tengah garisan gol. Panjang garisan penjaga gol pula
ialah 15 cm dan jaraknya dari tengah garisan gol ialah 4 meter. Di dua garisan tepi,
terdapat dua garisan pertukaran pemain dengan panjang 15 cm dan jaraknya dari
garisan tengah ialah 4.5 meter. Semua garisan dalam gelanggang perlu ditandakan
secara jelas dengan ukuran selebar 5 cm.

BOLA

§ Bola harus berbentuk bulat dan diperbuat daripada kulit atau getah berwarna yang tidak
terlalu keras. Berat dan lilitan bola untuk setiap kategori pemain adalah seperti berikut :
1. Lelaki dan remaja lelaki (16 tahun ke atas) Bola saiz 3. Berat antara 425 g sehingga
475 g. Lilitan antara 58 cm hingga 60 cm.
2. Wanita dan remaja perempuan (14 tahun ke atas) dan remaja lelaki (12 tahun sehingga
16 tahun) Bola saiz 2. Berat antara 325 g hingga 375 g. Lilitan antara 54 cm hingga 56 cm
3. Remaja perempuan (8 tahun hingga 14 tahun) dan remaja lelaki (8 tahun hingga 12
tahun) Bola saiz 1. Berat antara 290 g hingga 330 g. Lilitan antara 50 cm hingga 52 cm.
Biasanya, dua biji bola yang telah diperiksa dan disahkan oleh pengadil akan disediakan
bagi setiap perlawanan. Bola yang digunakan dalam sesuatu perlawanan tidak boleh
ditukar ganti kecuali dengan sebab-sebab tertentu. Di peringkat antarabangsa, hanya bola
yang ditandakan dengan logo IHF (Kesatuan Bola Baling Antarabangsa) dibenarkan
dalam sesuatu pertandingan.

TIANG GOL

§Tiang gol perlu diletakkan di tengah-tengah garisan gol.
Tiang gol terdiri daripada dua batang tiang tegak yang
panjangnya 3 meter dan tingginya 2 meter. Kedua-dua
tiang ini disambungkan oleh sebatang palang empat segi
yang panjangnya 3.16 meter. Tiang gol diperbuat
daripada kayu atau bahan sintetik yang serupa dan dicat
dengan warna yang sama dengan ukuran 28 cm. Di
bahagian lain tiang gol dan palang ialah 8 cm.

PEMAIN DAN PAKAIAN

§ Pakaian untuk pemain lelaki dan pemain perempuan terdiri daripada
baju lengan pendek atau panjang, seluar pendek, stoking dan kasut
biasa atau but. Semua pemain gelanggang hendaklah berpakaian
serupa (seragam) kecuali penjaga gol yang perlu memakai warna
pakaian yang berlainan daripada pemain lain dalam pasukannya dan
pemain pasukan lawan. Pemakaian segala alat yang dianggap
berbahaya kepada pemain-pemain adalah tidak dibenarkan. Setiap
pasukan Bola Baling perlu terdiri daripada 12 orang pemain, iaitu 10
orang pemain gelanggang dan dua orang penjaga gol. Pemain-pemain
dibenarkan memakai jersi bernombor antara 1 orang hingga 20. No 1,
12 dan 16 dikhaskan untuk penjaga gol sahaja manakala nombor-
nombor lain adalah untuk pemain-pemain gelanggang.

KEMAHIRAN ASAS PERMAINAN
BOLA BALING

§ 1. Berlari
2. Melompat
3. Hantaran bola
4. Menyambut bola
5. Mengelecek bola dengan tangan
6. Mengadang
7. Menjaring
8. Menjaga gol
Di dalam blog ini, saya akan menerangkan hanya 3 sahaja kemahiran asas dalam
Bola Baling dan prinsip sains yang berkaitan dengan kemahiran tersebut.
3 kemahiran asas tersebut ialah :
1. Hantaran bola
2. Menangkap bola
3. Menjaring

KEMAHIRAN PERTAMA :
HANTARAN BOLA

§ Dalam permainan Bola Baling terdapat beberapa cara
penghantaran bola yang sama dengan cara-cara yang
digunakan dalam permainan bola keranjang dan bola
jaring. Jenis hantaran yang biasa digunakan adalah seperti
berikut :
a) Hantaran bahu
b) Hantaran lantun
c) Hantaran aras dada
d) Hantaran lompat
e) Hantaran sisi

HANTARAN BAHU

§Cara menghantar bola yang sering digunakan
oleh pemain dalam permainan Bola Baling.
Biasanya, cara ini dilakukan semasa membuat
hantaran jauh. Kelebihan cara ini ialah
persediaan hantaran ini boleh mengelirukan
pihak lawan. Dari keadaan bersedia, pemain
boleh terus mengelecek, menjaring, menukar
hala hantaran atau memusingkan badannya.

HANTARAN LANTUN

§Dilakukan apabila membuat hantaran
secara mengejut. Kelemahannya
adalah bola itu dapat disekat oleh
pihak lawan yang bertindak balas
pantas. Hantaran ini biasanya
dilakukan dengan sebelah tangan.

HANTARAN ARAS DADA

§Berasal daripada kemahiran yang sama
dalam permainan bola keranjang. Sesuai
untuk hantaran jarak dekat di aras dada.
Pergerakan bola itu adalah hasil tolakan
dari jari-jari tangan. Tangan hendaklah ikut
lajak di akhir tolakan.

HANTARAN LOMPAT

§Ini adalah satu lagi gerak keliru yang berasal dari
permainan bola keranjang. Biasanya apabila
seorang penyerang melompat untuk menjaring
tidak berpeluang membuat demikian, ia akan
membuat hantaran terus kepada kawannya
supaya bola tidak terlepas kepada pihak lawan.

HANTARAN SISI

§Cara hantaran sisi juga digunakan bila membuat
hantaran jarak dekat dan pantas. Pemain tidak
perlu memusingkan badannya untuk menghadap
ke arah penerima hantarannya apabila hantaran
sisi dilakukan. Hantaran cara ini banyak
melibatkan pergerakan pergelangan tangan dan
memang sesuai bagi pemain yang mempunyai
tapak tangan yang besar.

PRINSIP ASAS HANTARAN
BOLA

§ Keberkesanan sesuatu hantaran bola oleh seorang pemain bola
dilihat dari sejauh mana hantaran itu memenuhi prinsip-prinsip
asas yang berikut:
a) Suai-masa (timing) – bilakah bola patut dilepaskan?
b) Ketepatan – adakah bola ditujukan kepada sasarannya?
c) Arah – ke manakah bola dihantar supaya permainan menjadi
positif?
d) Kekuatan – sekuat manakah boal patut dibaling dalam situasi
yang dihadapi oleh pemain supaya sesuai dengan jarak dan
kedudukan pemain yang menerima bola?

PRINSIP SAINS DALAM
HANTARAN

§ Dalam kemahiran hantaran, prinsip sains yang berkaitan ialah sistem tuas. Tuas ialah suatu struktur
yang teguh yang diengselkan pada satu titik dan daya diaplikasikan kepada kedua-dua titik lain
(Hay,1985). Tuas tubuh badan adalah penting untuk menghasilkan pergerakan yang berkesan
terutama ketika membuat hantaran di dalam permainan Bola Baling. Kemahiran hantaran bola
berkait rapat dengan sistem tuas kelas ketiga. Hal ini disebabkan salah satu fungsi tuas yang berikut:
a) Ia membolehkan rintangan yang lebih besar dari kuasa yang diaplikasikan diatasi.
b) Untuk menambahkan kelajuan sesuatu halangan atau rintangan yang bergerak atau
menambahkan jarak pergerakan sesuatu rintangan. Konsep – konsep Penting dalam Sistem Tuas
1. Daya – usaha di mana otot menghasilkan daya.
2. Beban/rintangan – sebarang objek yang digerakkan atau anggota-anggota badan itu sendiri.
3. Paksi/fulkrum – sendi
4. Lengan daya dan lengan beban.
a) Lengan daya (LD) yang lebih panjang membolehkan beban yang lebih diangkat.
b) Lengan beban (LB) yang lebih panjang membolehkan kelajuan yang lebih dihasilkan.
Kesimpulannya, sistem tuas membolehkan pemain membuat hantaran menggunakan daya yang
terdapat di lengannya. Apabila bola berada di tapak tangan pemain, lengan menjadi daya kepada
bola tersebut untuk bergerak manakala siku sebagai fulkrum atau sendi yang berfungsi untuk
menggerakkan bola tersebut. Oleh itu, jika lengan mengenakan daya yang kuat ke atas bola tersebut
maka bola itu akan bergerak dalam kelajuan yang tinggi dan menyebabkan hantaran bola itu berlaku
dengan cepat.

KEMAHIRAN KEDUA :
MENANGKAP BOLA

§ Prinsip utama dalam menangkap bola ialah mengawal, mematikan kelajuan bola, memegangnya dengan baik dan terus
mengawalnya dengan menggunakan kedua-dua belah tangan yang berkedudukan relaks. Pelbagai cara tangkapan
boleh dilakukan dengan paling penting ialah setiap tangkapan hendaklah dilakukan dengan tepat tanpa mengira
kelajuan atau jenis hantaran yang dibuat oleh rakan. Bagaimanapun, tangkapan yang tepat dan betul bermula daripada
lontaran atau hantaran yang tepat atau sempurna.
Untuk menangkap bola dengan tepat dalam apa jua keadaan dan situasi permainan, seorang pemain mestilah
memberikan perhatian pada faktor-faktor berikut:
1. Penglihatan pemain hendaklah fokus pada bola dan penghantarnya.
2. Kedua-dua belah tangan direnggangkan dan dihulurkan ke arah bola.
3. Tangan dan jari hendaklah dalam kedudukan terbuka semasa membuat tangkapan. Ibu jari berfungsi sebagai
penahan bola.
4. Setelah berjaya ditangkap, bola hendaklah dirapatkan ke dada dalam kedudukan yang selamat.
5. Kedudukan sebelah kaki hendaklah ke depan dan harus berjarak seluas bahu dengan kaki belakang.
6. Sepanjang pergerakan untuk menangkap bola, pemain hendaklah berada dalam kedudukan seimbang.
7. Bola yang diterima berada di atas pinggang perlu ditangkap dengan tangan terbuka dan jari-jari menunjuk ke atas
dengan ibu jari membentuk W di belakang bola. Untuk bola yang berada di bawah pinggang, tangan diterbalikkan dan
bola disentuh hanya pada jari. Untuk menangkap bola terlalu rendah, satu kaki dikeluarkan ke depan, lalu lutut
membengkok dan tangan terbalik. Pemain perlu berupaya menangkap pelbagai hantaran seperti hantaran tinggi,
hantaran rendah dan hantaran sisi sama ada dalam kedudukan bergerak atau statik.

CARA MENANGKAP BOLA

§ 1. Dengan kedua-dua belah tangan – bola aras muka Apabila hendak menangkap bola
setinggi aras muka, pemain seboleh-bolehnya hendaklah berada di belakang hala
pergerakan bola itu. Kedua-dua belah tangan dihulur secara lurus ke hadapan untuk
menangkap bola. Sebaik sahaja ditangkap bola hendaklah dibawa dekat badan untuk
kawalan yang lebih baik.
2. Dengan kedua-dua belah tangan – bola rendah Untuk menangkap bola rendah pemain
perlu merendahkan badannya dan kedua-dua belah tangan dihulur untuk menerima bola
yang menuju kepadanya. Jari-jari menghala ke bawah semasa menangkap bola.
3. Menangkap bola dengan sebelah tangan Cara ini hanya dapat dilakukan dalam situasi
apabila penerima bola tidak menghadapi tekanan atau gangguan daripada pihak lawan
semasa hantaran dibuat. Penerima hendaklah memerhatikan bola sehingga dapat
ditangkapnya. Untuk kawalan bola yang kemas, keseluruhan tapak tangan yang
menangkap bola hendaklah berada di belakang bola.
4. Menangkap bola tinggi Jika perlu pemain hendaklah melompat untuk menangkap bola
hantaran tinggi. Faktor yang sangat penting dalam situasi ini adalah lompatan hendaklah
dibuat pada masa yang tepat. Kedua-dua belah tangan dihulur ke atas untuk menangkap
bola. Sebaik sahaja mendarat, bola hendaklah dibawa rapat ke badan supaya dapat
mengawalnya dengan lebih kemas.

KESALAHAN-KESALAHAN
MENANGKAP BOLA

§1. Memegang bola menggunakan jari dan tidak
menggunakan tapak tangan.
2. Tangan yang dihulurkan ke depan berada terlalu
rendah dan tidak pula berada terlalu jauh di
belakang.
3. Tidak menggunakan pergelangan tangan.
4. Genggaman yang tidak kemas.
5. Tangkapan yang salah dan tidak mengikut situasi
permainan.

MEMEGANG BOLA

§ Selepas menangkap bola, pemain dibenarkan memegangnya tidak lebih daripada 3
saat sebelum menghantarnya kepada rakan atau terus membuat jaringan gol. Dalam
masa yang singkat ini, pemain menguasai bola sepenuhnya. Pemain perlu
memegang bola dengan kedua-dua belah tangannya kerana jika sebelah tangan
digunakan, kemungkinan bola terlepas daripada pegangannya. Apabila bola
dirapatkan ke dada, ia dipegang erat oleh jari-jari yang dibuka dan mengarah ke
depan. Pegangan yang kukuh ini adalah penting bagi membolehkan pemain
melakukan gerakan yang seterusnya.
Umumnya, memegang bola hendaklah menggunakan kedua-dua belah tangan dan
berkedudukan pada aras dada. Pegangan ini hendaklah sekejap mungkin agar tidak
mengganggu pergerakan bola serta memberikan masa dan kesempatan kepada
pemain pertahanan pasukan lawan mengatur pertahanannya atau mematah serangan

SAINS DALAM MENANGKAP
BOLA

§ Dalam kemahiran menangkap bola, prinsip sains yang berkaitan ialah Hukum pertama
Newton iaitu Hukum Inersia. Inersia ialah suatu objek yang tidak bergerak akan berada di
dalam keadaan itu kecuali diganggu oleh daya luar. Jika bergerak, ia akan bergerak terus
dalam arah yang sama dan dalam garisan lurus melainkan jika diganggu oleh daya luar.
Konsep – konsep Penting dalam Inersia
1. Otot – otot besar menghasilkan daya lebih berbanding dengan otot – otot kecil.
2. Sedikit daya diperlukan untuk mengekalkan kelajuan dan arah (momentum) objek yang
sedang bergerak. 3. Daya yang lebih perlu untuk menghentikan objek yang berat dan
bergerak cepat (menyerap momentum)
Dalam kemahiran menangkap bola, tangan dihulur keluar ketika menangkap bola dan
tangan ditarik ke dada bagi menyerap inersia yang terdapat pada bola tersebut. Perkara
ini dilakukan supaya tangkapan bola itu menjadi kemas dan bola tidak mudah terlepas
apabila bola berada di tangan pemain. Hal in juga dapat mengelakkan berlakunya
kecederaan terhadap pemain ketika bola ditangkap.

KEMAHIRAN KETIGA :
MENJARING BOLA

§ Bola baling ialah sukan yang berkisar tentang menjaringkan gol. Sudah tentu pemain
dan penonton akan berasa puas hati dan gembira apabila gol berjaya dihasilkan,
terutamanya jika hasil gol itu dianggap menarik. Dianggarkan purata jumlah gol yang
mampu dijaringkan dalam sesuatu permainan bola baling ialah 40 gol. Maka, bola
baling merupakan permainan yang banyak menghasilkan gol. Walaupun kemahiran
menjaringkan gol dijangkakan dapat dilakukan oleh semua pemain kecuali penjaga
gol, namun kelebihan dari segi keupayaan perlu ada pada pemain barisan belakang
yang sememangnya ditugaskan menjaringkan gol. Manakala pemain-pemain lain
lebih bertanggungjawab dalam mengatur dan melaksanakan taktik dan strategi
permainan agar bola dapat disampaikan kepada barisan belakang yang akan
menjaringkan bola.
Kekuatan, kelajuan ketepatan sasaran dan masa adalah antara kualiti utama yang
perlu ada pada pemain bola baling, terutamanya mereka yang ditugaskan
mendapatkan gol. Pemain-pemain juga diharapkan mempunyai ketangkasan
pemikiran dan tindakan, bijak merebut peluang, bijak memintas, tahan lasak dan tidak
mudah berputus asa.

PRINSIP – PRINSIP UTAMA

§ Umumnya, terdapat beberapa prinsip utama dalam kemahiran
menjaringkan gol dalam permainan bola baling. Antaranya ialah:
1. Pemain mempunyai keyakinan diri pada setiap pemain.
2. Pemain dapat mengawal imbangan dan pergerakan dalam
tempoh permainan.
3. Pemain memberikan penumpuan sepenuhnya pada gerakan
yang hendak dilaksanakan.
4. Pemain mengikut lajak.
5. Pemain bijak mengarah dan menepati sasaran tertentu.
6. Pemain cekap menilai ruang kosong dan kedudukan penjaga
gol.

JENIS JARINGAN

§ Jaringan dari Atas Kepala Jaringan dari atas kepala ialah jaringan yang biasa dan
mudah dilakukan, serta mudah pula untuk mendapatkan gol. Jaringan ini juga paling
disukai oleh pemain-pemain baru. Jaringan ini boleh dilakukan oleh pemain dalam
kedudukan statik dan kedudukan bergerak atau berlari.
Teknik melakukan jaringan dari atas kepala ialah:
1. Pemain bergerak satu langkah ke depan.
2. Pemain meletakkan berat badan pada kaki kiri sambil kaki kanan membengkok.
3. Tangan pemain yang memegang bola dibengkokkan sedikit dan dibawa ke
belakang kepala pada aras bahu.
4. Satu lonjakan dilakukan oleh pemain sambil tangan yang memegang bola
diluruskan ke atas kepala dan membalingnya kuat ke arah sasaran.
5. Tangan dan badan pemain hendaklah mengikut lajak selepas membuat hantaran.

JARINGAN DARI BAWAH
LENGAN

§ Umumnya, jaringan ini kurang berkesan untuk menghasilkan gol. Namun,
ia boleh dilakukan apabila pemain lawan terdiri daripada pemain yang
berbadan tinggi. Kadang-kadang, pertahanan tinggi kurang memberikan
perhatian pada kawalan atau pertahanan rendah. Bola selalunya
diarahkan ke sudut bawah gol pihak lawan. Teknik melakukan jaringan dari
bawah lengan ini adalah seperti berikut:
1. Pemain mengambil satu langkah ke depan dengan kaki kiri. Kaki kanan
dibengkokkan sambil bola dibawa ke belakang bawah aras bahu.
2. Tangan pemain yang memegang bola diluruskan sambil kaki kanannya
melangkah ke depan dan seterusnya bola dilontar dengan kuat ke
sasaran.
3. Kaki kiri pemain dilajakkan ke belakang dan tangan kanan dilepaskan.

JARINGAN LOMPAT

§ Teknik jaringan lompat adalah hampir sama dengan jaringan dari atas kepala, tetapi perkara yang terpenting ialah dalam
jaringan lompat ialah pemain perlu bergerak tiga langkah ke depan sebelum membuat jaringan. Walaupun ia agak sukar
dilakukan, terutamanya bagi pemain-pemain baru, namun jika sudah mahir, ia merupakan jaringan yang berbahaya. Hal ini
terjadi kerana dalam kebanyakan perlawanan, banyak gol diperoleh daripada jaringan ini. Jaringan ini sering dilakukan
selepas serangan pantas. Biasanya, jaringan daripada lompatan dibuat apabila posisi bola berada di puncak lompatan.
Teknik dalam jaringan lompat adalah seperti berikut:
1. Pemain bergerak sebaik-baiknya tiga langkah ke garisan gol. Ketika ini pemain memegang bola dengan kedua-dua
belah tangan.
2. Di luar garisan gol, pemain akan melonjak tinggi ke kawasan gol sambil membuat jaringan dengan menggunakan
sebelah tangan seperti cara jaringan dari atas kepala. Arah yang dituju ialah satu daripada empat penjuru gol pihak lawan.
3. Pemain akan mendarat dalam kawasan gol selepas bola dilontarkan.
4. Tangan dan badan pemain hendaklah mengikut lajak.

Kelebihan-kelebihan yang ada pada jaringan lompat adalah seperti berikut:
1. Dari mula bergerak hingga membuat lompatan, penjaring yang membuat lompatan sendiri boleh mengelirukan penjaga
gol.
2. Penjaring atau penyerang gol boleh menukar arah jaringan dengan pantas secara memusingkan bahu dan lengannya.
3. Pemain boleh melontar bola ke tanah untuk dilantunkan dan bergolek ke dalam gol di celah-celah kaki penjaga gol.
4. Oleh sebab penjaring terpaksa melompat untuk membuat jaringan gol, maka mereka sudah tentu mempunyai kelebihan
psikologi dan peluang.

JARINGAN PADA ARAS PAHA

§ Jaringan ini agak berkesan dalam menghasilkan gol. Namun, ia
memerlukan latihan yang lama. Pemain yang menerima bola,
memegangnya pada kedudukan aras paha, dan dengan serta-
merta terus membuat jaringan. Gerakan dalam jaringan ini
amat pantas. Arah tujuan bola daripada jaringan ini amat sukar
ditentukan oleh penjaga gol atau pemain pertahanan. Cara
jaringannya ialah pemain berlari pantas ke kawasan gold an
membengkokkan lututnya sehingga bola berada di bawah
lengan lawan. Dengan pantas, pemain ini membuat jaringan
yang ditujukan ke sebarang bahagian di bawah palang pintu gol
pihak lawan.

JARINGAN SISI

§ Selain daripada membuat jaringan tinggi atau rendah untuk
menewaskan pertahanan lawan, penjaring juga boleh membuat
jaringan daripada sisi pemain yang mengawal. Pemain tangan
kanan berpura-pura membuat jaringan pada arah kiri pemain
lawan. Secara tiba-tiba , dia akan mengangkat kaki kanannya,
menggerakkan badannya ke kiri dan berdiri pada kaki kiri.
Apabila mendarat di sisi, pemain berkenaan memusingkan
sedikit badan dan bahunya, membawa bola lebih rendah lalu
membuat jaringan di bawah lengan pemain lawan. Jaringan ini
lebih berkesan jika dilakukan secara mengejut.

JARINGAN JUNAM DAN
JARINGAN JATUH

§ Walaupun dianggap berbahaya dan sukar dilakukan terutama oleh pemain-pemain
baru, jaringan junam jika dilakukan dengan baik, hasilnya amat menarik, khasnya
pada aksi dan gerakannya. Ia selalunya dilakukan dalam kawasan balingan percuma.
Jaringan dari arah kedua-dua tepi kawasan memerlukan pemain membengkokkan
badan supaya dapat membesarkan lagi sudut jaringan.
Teknik melakukan jaringan junam adalah seperti berikut:
1. Pemain berada di luar garisan kawasan gol.
2. Dengan menggunakan kaki kiri, pemain melonjakkan badannya ke udara menuju
ke kawasan gol.
3. Semasa melonjak, pemain membuat jaringan ke sasaran, iaitu jaringan dibuat
semasa berada di udara sebelum mendarat.
4. Pemain mendarat dengan mempertahankan badan menggunakan tangan atau
menggulingkan tangan.

JARINGAN PENALTI

§ Jaringan penalti dibuat dari garisan 7 meter. Jaringan ini terhad mengikut undang-
undang penting, iaitu kaki penjaring tidak boleh terkena atau melepasi garisan
balingan. Jaringan hendaklah dilakukan dalam masa 3 saat selepas pengadil
meniupkan wisel.
Teknik dalam melakukan jaringan penalti adalah seperti berikut:
1. Pemain berada di tempat penalti bersama-sama dengan bola. Pandangan
hendaklah fokus pada penjaga gol untuk memerhatikan kemungkinan pergerakan
yang bakal dilakukan.
2. Pemain melakukan jaringan pada sebarang sudut gol pihak lawan.
3. Jika penjaga gol ke depan, pemain menggunakan teknik membuat jaringan
melambung untuk menjaring.
4. Pemain melakukannya mengikut lajak.

JARINGAN LAMBUNG

§ Jaringan lambung (lob) digunakan untuk menewaskan penjaga
gol yang telah bergerak ke depan golnya. Umumnya, terdapat 3
situasi berlakunya keadaan begini, iaitu:
1. Apabila penjaga gol berada jauh di depan golnya dengan
tujuan mengecilkan sudut pemain lawan daripada lontaran
penalti.
2. Apabila penjaga gol meluru ke depan untuk menandingi
pemain lawan yang memperoleh bola untuk membuat jaringan.
3. Apabila penjaga gol keluar untuk mengecilkan sudut
terhadap pemain lawan ketika terjadi serangan pantas.

JARINGAN VOLI

§Jaringan Voli adalah sama dengan jaringan lompat.
Teknik melakukan jaringan Voli adalah seperti berikut:
1. Jaringan ini dimulakan dengan pemain melompat
ke arah bola hantaran.
2. Semasa melompat, pemain menangkap bola
dengan kedua-dua belah tangan.
3. Pemain membuat jaringan sebelum mendarat.

PRINSIP SAINS DALAM
KEMAHIRAN MENJARING

§ Dalam kemahiran menjaring Bola Baling, terdapat dua prinsip sains yang terlibat. Prinsip sains yang
pertama ialah sistem tuas manakala prinsip sains yang kedua ialah daya. Sistem tuas diaplikasikan
ketika tangan dihayun ke udara untuk menjaring manakala daya diaplikasikan ketika kaki membuat
lajak dan melompat ketika hendak membuat jaringan bola. Ketika membuat jaringan, tuas dan daya
memainkan peranan penting kerana salah satu fungsi tuas dan daya adalah untuk menambah
kelajuan sesuatu beban atau halangan atau menambahkan jarak pergerakan sesuatu rintangan.
Penerangan tentang Prinsip Sains yang terlibat:
1. Ketika membuat jaringan, tangan dihayun tinggi ke udara untuk dilepaskan ke kawasan gol.
Semasa hal ini terjadi, sistem tuas kelas ketiga diaplikasikan di mana bola sebagai beban, siku
sebagai fulkrum dan lengan sebagai daya yang akan dikenakan ke atas bola. Lengan memberikan
daya yang kuat ke atas bola supaya bola dapat ditujukan tepat ke sasaran.
2. Semasa hendak menjaringkan bola, kaki akan bergerak 3 langkah ke hadapan untuk memberikan
lajak kerana pada ketika ini, daya akan diaplikasikan ke atas kaki dan memberikan daya yang kuat
supaya bola dapat bergerak dengan lebih cepat ke arah sasaran dengan tepat. Ikut lajak penting
dalam kemahiran menjaring. Ikut lajak merujuk kepada unjuran pergerakan yang telah dimulakan.
Kelajuan terakhir objek berkadar terus kepada jumlah masa daya diaplikasikan. Ikut lajak
memastikan daya menggerakkan tubuh badan digunakan dengan sepenuhnya. Pendeknya, ikut
lajak memastikan pelepasan objek berlaku bersama dengan pergerakan momentum maksimum
tangan. Jika ikut lajak tidak dilakukan, maka daya yang diberi kepada objek adalah kurang.

LATIHAN ANSUR MAJU

§ Jaringan Lompat
a) Berlari dan melonjak atas sebelah kaki.
b) Berlari, melonjak dan mengangkat sebelah tangan ke atas (jika kaki kiri melonjak,
angkat tangan kanan) c) Seperti latihan (b) sambil melonjak bahu kiri menghala ke
sasaran (gol). Tangan kanan (bengkok sedikit) dihayun ke hadapan dari belakang bahu.
d) Ulang latihan (a), (b) dan (c) dengan memegang bola tanpa melemparkannya.
e) Latihan berpasangan – berlari, melonjak dan melempar bola kepada kawan di
hadapan.
f) Latihan dengan tentangan pasif oleh seorang pengawal (latihan ini memerlukan 3
orang).
g) Latihan menjaring dengan tentangan aktif (seorang menjaga gol).
Jaringan – jaringan Lain
a) Latihan membaling pundi kacang, bola sofbol, bola baling antara 2 orang.
b) Latihan membaling bola ke sasaran (tanda di dinding) melalui gelung.
c) Latihan melempar bola ke pintu gol (cara berdiri)
d) Latihan melempar bola ke pintu gol (cara bergerak 3 langkah)
e) Ulang latihan (c) dan (d) dengan tentangan penjaga gol.

10 PERATURAN ASAS
PERMAINAN BOLA BALING

§ 1. Satu pasukan mengandungi 12 orang pemain. Semasa permainan 7 orang bermain dan 5 orang
sebagai pemain simpanan. Penggantian pemain boleh dilakukan bila – bila masa dalam permainan.
2. Permainan diadili oleh 2 pengadil.
3. Permainan dimulakan dengan satu balingan permulaan oleh pasukan yang memilih untuk membuat
permulaan. Balingan dibuat di garisan tengah.
4. Seorang pemain dibenarkan: · Menahan, menangkap, membaling, melontar atau memukul bola
dengan apa cara pun dengan tangan, lengan, kepala, paha atau lututnya. · Memegang bola untuk
selama 3 saat sebelum membuat balingan atau hantaran. · Melantunkan bola berterusan dari satu
tempat ke tempat lain dalam kawasan permainan yang ditetapkan.
5. Pemain-pemain kecuali penjaga gol, tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan gol.
6. Apabila penjaga gol keluar kawasan golnya dia akan dianggap sebagai seorang pemain padang.
7. Jika bola keluar garisan tepi permainandisambung semula dengan satu balingan ke dalam oleh
pasukan yang tidak mengeluarkan bola itu.
8. Semasa balingan percuma, balingan mula atau balingan ke dalam dilakukan, pihak lawan hendaklah
sekurang – kurangnya 3 meter dari pembaling.
9. Satu balingan penalti akan diberi kepada pihak lawan jika seorang pemain itu menghantar bola kepada
penjaga golnya yang berada dalam kawasan gol.
10. Gol boleh dijaringkan dari mana-mana balingan.

REFLEKSI

§ Bola Baling merupakan salah satu permainan padang yang terdapat di Malaysia ini. Mengikut
sejarahnya, Bola Baling (handball berasal daripada Eropah. Bola Baling boleh dimainkan
sama ada di dalam atau luar dewan. Peralatan yang diperlukan dalam Bola baling adalah
tidak banyak. Peralatan yang diperlukan ialah padang atau gelanggang (tertutup atau
terbuka), sebiji bola baling dan 14 orang pemain (tujuh orang sepasukan). Dua orang pengadil
diperlukan untuk mengawal permainan.
Kemahiran asas yang terdapat dalam Bola Baling ialah berlari, melompat, hantaran bola,
menangkap bola, mengelecek bola dengan tangan, mengadang, menjaring dan menjaga gol.
Setiap kemahiran asas ini mempunyai prinsip sains yang diaplikasikan ke dalamnya. Sebagai
contoh, dalam kemahiran hantaran bola, prinsip sains yang diaplikasikan ialah sistem tuas di
mana bola sebagai beban, lengan sebagai daya dan siku sebagai fulkrum.
Dalam kemahiran menangkap bola, prinsip sains yang diaplikasikan ialah Hukum Newton
Pertama iaitu Inersia. Cara penangkapan bola mestilah betul untuk mengurangkan inersia
bola bagi mengelakkan kecederaan berlaku. Selain itu, prinsip sains yang diaplikasikan dalam
kemahiran menjaring ialah sistem tuas dan daya. Sistem tuas diaplikasikan ketika bola
dihayunkan oleh tangan manakala daya diaplikasikan ketika kaki mengikut lajak yang
diperlukan untuk memberikan daya yang kuat. Setiap kemahiran mempunyai prinsip sains
yang diaplikasikan supaya kemahiran tersebut dapat dipertingkatkan lagi dan bagi
mengelakkan kecederaan berlaku kepada pemain.



WAKIL BOLA BALING 2019

TAMAT


Click to View FlipBook Version