The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Ebook Undang-Undang Syarikat

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Penerbitan PMS, 2023-09-22 03:17:07

Undang-Undang Syarikat

Ebook Undang-Undang Syarikat

UNDANG-UNDANG SYARIKAT MUHAMMAD RAFIE BIN HAMZAH


HAK CIPTA TERPELIHARA Hak cipta terpelihara. Sebarang bahagian daripada penerbitan buku tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran semula atau ditukarkan ke dalam sebarang bentuk atau dengan sebarang alat, sama ada dengan cara elektronik, gambar dan rakaman serta sebagainya tanpa kebenaran bertulis daripada Politeknik Muadzam Shah, Pahang terlebih dahulu. Penulis: Muhammad Rafie Bin Hamzah Tahun Terbitan: 2023 Diterbitkan oleh: Politeknik Muadzam Shah Lebuhraya Tun Abdul Razak 26700 Muadzam Shah Pahang Darul Makmur


PRAKATA Penulisan buku ini dihasilkan sebagai rujukan dan bahan bacaan tambahan kepada para pelajar politeknik yang mengambil Kursus Company Law bagi Program Diploma Akauntansi. Selain itu, buku ini juga sesuai untuk dibaca oleh mana-mana pihak atau individu yang ingin mengetahui Undang-undang Syarikat secara asas. Adalah diharapkan agar perkongsian ilmu melalui penulisan buku ini akan memberi banyak manfaat kepada para pelajar, pembaca dan pihak-pihak yang berminat. InsyaAllah.


KANDUNGAN Prakata i Penghargaan ii BAB 1 PENGENALAN KEPADA UNDANG-UNDANG SYARIKAT 1 1.0 Pengenalan 1 1.1 Entiti Perniagaan Di Malaysia 2 Perniagaan Milikan Tunggal 2 Perkongsian 3 Perkongsian Liabiliti Terhad 3 Syarikat 4 1.2 Perbezaan Antara Milikan Tunggal, Perkongsian Dan Syarikat 5 1.3 Konsep Entiti Berasingan 8 1.4 Jenis-jenis Syarikat 9 Syarikat Persendirian 9 Syarikat Awam 10 Perbezaan Antara Syarikat Persendirian dengan Syarikat Awam 10 Syarikat Berhad Dan Syarikat Tidak Berhad 11 Syarikat Asing 12 Syarikat Induk 12 Syarikat Subsidiari 13 Kesimpulan 13 BAB 2 PEMERBADANAN SYARIKAT 14 2.0 Pengenalan 14 2.1 Proses Pemerbadanan Syarikat 14 Pemerbadanan Syarikat Melalui MyCOID 14 Penetapan Nama Syarikat 14 2.2 Kesan-kesan Pemerbadanan Syarikat 16 Entiti Berasingan 16 Kesinambungan Hayat 17 Keupayaan Untuk Menyaman Dan Disaman 18 Keupayaan Untuk Memasuki Kontrak 19 2.3 Prinsip Pengenepian Tirai Perbadanan 19 Pengecualian Statutori 20 Pengecualian Kehakiman 21 2.4 Penaja Atau Promoter 25


2.5 Kontrak Pra Perbadanan 26 Kesan Kontrak Pra Perbadanan Menurut Common Law 26 Kesan Kontrak Pra Perbadanan Menurut Akta Syarikat 2016 27 2.6 Perlembagaan Syarikat 28 2.7 Doktrin Ultra Vires 29 Doktrin Ultra Vires Menurut Common Law 30 Doktrin Ultra Vires Menurut Akta Syarikat 2016 31 2.8 Kesimpulan 32 BAB 3 SYER, DEBENTUR & GADAIAN 33 3.0 Pengenalan 33 3.1 Modal Syer 34 Modal Dikeluarkan 34 Modal Berbayar 34 Modal Belum Bayar 35 3.2 Syer 35 Pengkelasan Syer 35 Syer Biasa 36 Syer Keutamaan 37 3.3 Dividen 39 Jenis-Jenis Dividen 39 Dividen Interim 40 Dividen Terakhir 40 Dividen Terkumpul 40 Dividen Tidak Terkumpul 40 3.4 Debentur 40 Debentur Tunggal 41 Debentur Siri 41 Perbezaan Antara Saham Dan Debentur 42 3.5 Gadaian 42 Gadaian Tetap 42 Gadaian Terapung 43 3.6 Kesimpulan 43 Rujukan 44


1 BAB 1 PENGENALAN KEPADA UNDANG-UNDANG SYARIKAT 1.0 Pengenalan Undang-undang syarikat merupakan undang-undang yang mengawal selia sesebuah syarikat bermula daripada proses awal pemerbadanan sesebuah syarikat sehingga syarikat itu dibubarkan. Undang-undang syarikat di Malaysia adalah tertakluk di bawah Akta Syarikat 2016 (Akta 777), iaitu suatu akta yang mengandungi peruntukan bagi pendaftaran, pentadbiran dan pembubaran sesebuah syarikat dan perbadanan serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Akta Syarikat 2016 telah digubal bagi menggantikan Akta Syarikat 1965 melalui Rang Undang-undang Syarikat 2015. Menurut Haslinda Mohd Anuar et al. (2017), Rang undang-undang Syarikat 2015 telah mendapat Perkenan Diraja pada 31 Ogos 2016 dan telah diwartakan pada 15 September 2016 sebagai Akta Syarikat 2016 (Akta 777). Akta Syarikat 2016 telah dikuatkuasakan bermula pada 31 Januari 2017. Dengan penguatkuasaan Akta Syarikat 2016, maka Akta Syarikat 1965 telah dimansuhkan. Akta Syarikat 2016 ini terdiri daripada empat (4) Bahagian yang mengandungi 620 seksyen dan 13 Jadual. Pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang syarikat di bawah Akta Syarikat 2016 adalah merupakan tanggungjawab Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). SSM merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang bertindak sebagai pengawal selia syarikat dan perniagaan di Malaysia. SSM adalah badan berkanun yang mula beroperasi pada 16 April 2002 hasil daripada penggabungan Pejabat Pendaftar Syarikat (ROC) dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB) di Malaysia. Aktiviti utama SSM ialah sebagai sebuah agensi pemerbadanan syarikat dan pendaftaran perniagaan di samping membekalkan maklumat syarikat dan perniagaan kepada orang awam. Selain itu, SSM juga bertindak


2 sebagai peneraju utama ke arah peningkatan tadbir urus korporat dengan melaksanakan fungsi mengawal selia pematuhan perundangan korporat dan pendaftaran perniagaan melalui aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan yang komprehensif bagi memastikan perkembangan positif sektor korporat dan perniagaan di Malaysia. 1.1 Entiti Perniagaan Di Malaysia Entiti perniagaan di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu milikan tunggal, perkongsian dan syarikat. 1.1.1 Perniagaan Milikan Tunggal Entiti perniagaan milikan tunggal merupakan entiti perniagaan yang dimiliki oleh seorang pemilik atau individu sahaja. Ianya merupakan entiti perniagaan yang paling ringkas dan perniagaan yang dijalankan oleh entiti milikan tunggal perlu didaftarkan dengan SSM di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan perniagaannya atau meneruskan perniagaan selepas tamat tempoh pendaftaran boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. Perniagaan entiti milikan tunggal dimiliki sepenuhnya oleh seorang pemilik sahaja yang kebiasaannya merupakan pengusaha perniagaan tersebut. Lazimnya, entiti milikan tunggal adalah entiti perniagaan yang bersaiz kecil dan menjalankan perniagaan yang berasaskan keluarga. Biasanya, ketua keluarga akan menguruskan perniagaan dengan dibantu oleh ahli keluarga yang lain. Peniaga milikan tunggal biasanya akan mengeluarkan modal, tenaga, buah fikiran, kemahiran dan skil sendiri untuk menjalankan dan memajukan perniagaannya. Walaubagaimanapun, milikan tunggal dan pemiliknya merupakan entiti yang sama. Ini bermakna, perniagaan milikan tunggal dan pemiliknya bukanlah entiti yang berasingan. Oleh itu, peniaga milikan tunggal mempunyai tanggungan yang tidak terhad terhadap tanggungan perniagaannya kerana perniagaannya bukanlah badan yang berasingan daripada dirinya (Aishah Bidin, Rusniah Ahmad dan Azimon Abdul Aziz, 2007). Oleh itu, tanggungan pemilik perniagaan milikan tunggal terhadap sebarang hutang perniagaannya adalah adalah tidak terhad dan pemilik perniagaan perlu menyerahkan aset peribadinya jika perniagaannya tidak mampu untuk menjelaskan hutang atau liabilitinya.


3 1.1.2 Perkongsian Perkongsian merupakan entiti perniagaan yang diwujudkan melalui perhubungan oleh dua orang individu atau lebih dengan menjalankan perniagaan secara bersama bagi tujuan mendapatkan keuntungan. Perkongsian adalah tertakluk kepada Akta Perkongsian 1961. Seksyen 3(1) Akta Perkongsian 1961 mentakrifkan perkongsian sebagai suatu perhubungan yang wujud di antara orang-orang yang menjalankan perniagaan bersama bagi mendapatkan keuntungan. Secara ringkasnya, ciriciri perkongsian ialah: ▪ Wujudnya hubungan antara beberapa individu. ▪ Hubungan yang diwujudkan atas dasar menjalankan perniagaan secara berkongsi. ▪ Perniagaan yang dijalankan bagi tujuan memperoleh keuntungan. Bilangan minimum ahli bagi sesuatu perkongsian biasa ialah dua orang, manakala bilangan ahli maksimum ialah 20 orang sahaja. Perkongsian biasa ialah perkongsian yang menjalankan perniagaan bukan profesion seperti bengkel kereta, perniagaan kedai runcit, restoran, kedai dobi dan sebagainya. Walaubagaimanapun, bagi perkongsian profesion seperti firma audit, firma perakaunan, arkitek, klinik perubatan, klinik pergigian dan lainlain, bilangan rakan kongsi tiada had maksimum yang ditetapkan iaitu boleh melebihi 20 orang pekongsi. Akta Perkongsian 1961 tidak menetapkan bilangan maksimum rakan kongsi bagi sesuatu perkongsian, namun demikian seksyen 13 Akta Syarikat 2016 menetapkan bahawa had maksimum rakan kongsi dalam sesebuah perkongsian biasa ialah 20 orang. Walaubagaimanapun, perkongsian profesion adalah tidak tertakluk kepada had maksimum rakan kongsi seperti peruntukan ini. 1.1.2.1 Perkongsian Liabiliti Terhad Perkongsian Liabiliti Terhad merupakan sebuah entiti perniagaan yang ditubuhkan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012. Menurut seksyen 6 Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012, mentakrifkan Perkongsian Liabiliti Terhad sebagai sebuah entiti yang wujud apabila manamana dua orang atau lebih yang telah menandatangani terma-terma perjanjian perkongsian liabiliti terhad sebagai pekongsi-pekongsi bagi menjalankan perniagaan yang sah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Perkongsian Liabiliti Terhad mempunyai beberapa kelebihan berbanding


4 antaranya ialah liabiliti atau tanggungan pekongsi adalah terhad dan jangka hayat Perkongsian Liabiliti Terhad tidak tertakluk kepada hayat pekongsinya. Ini bermakna segala tanggungan atau liabiliti perniagaan akan ditanggung sepenuhnya oleh perkongsian dan Perkongsian Liabiliti Terhad akan terus kekal wujud walaupun semua pekongsi telah keluar daripada perkongsian atau meninggal dunia. Secara ringkasnya, antara prinsip Perkongsian Liabiliti Terhad ialah entiti yang berasingan daripada pekongsinya, tanggungan atau liabiliti terhad, entiti yang kekal berterusan dan memiliki keupayaan yang tidak terhad. 1.1.3 Syarikat Syarikat merupakan entiti perniagaan yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Menurut seksyen 2 Akta Syarikat 2016, syarikat didefinisikan sebagai suatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana undangundang bertulis terdahulu yang bersamaan. Sebaik sahaja syarikat diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016, ia akan menjadi seolah-olah “seseorang” yang wujud dan sah disisi undang-undang yang mana kewujudannya adalah berasingan daripada individu atau pihak yang menubuhkannya. Syarikat akan mempunyai kuasa dan keperibadiannya sendiri yang menjadikan syarikat sebagai suatu entiti berasingan daripada mana-mana pihak atau individu. Ini menjadikan syarikat sebagai sebuah entiti yang lain dan terpisah secara undang-undang dengan sesiapa sahaja termasuklah pengurusannya, lembaga pengarahnya, para pekerjanya, para pemegang saham dan termasuklah individu atau pihak yang menubuhkannya. Seolaholah wujudnya tirai atau veil yang menjadi pemisah antara syarikat dengan pihak yang lain. Dengan kata lain syarikat akan menjadi seperti “individu ciptaan” yang mempunyai entitinya sendiri yang sah di sisi undang-undang dan boleh menyaman dan disaman atau boleh mengambil tindakan dan diambil tindakan atas namanya sendiri, mempunyai kesinambungan hayat, kuasa untuk memiliki harta dan tanggungan ahli yang terhad.


5 1.2 Perbezaan Antara Milikan Tunggal, Perkongsian Dan Syarikat Perbezaan antara milikan tunggal, perkongsian dan syarikat adalah seperti di Jadual 1.2 di bawah. Ciri-Ciri Milikan Tunggal Perkongsian Biasa Syarikat Definisi ▪ Seksyen 4 Akta Pendaftaran perniagaan 1957 mentakrifkan milikan tunggal sebagai sebuah perniagaan yang ditubuhkan, dipunyai, dibiayai dari segi kewangannya dan pengurusannya dikendalikan oleh seorang individu sahaja. ▪ Sesuatu perniagaan yang dimiliki oleh seorang pemilik yang bertanggungjawa b sepenuhnya ke atas modal, pengurusan dan masa depan perniagaan tersebut. ▪ Biasanya terdiri daripada restoran, kedai runcit, bengkel kenderaan dan perniagaanperniagaan lain yang bersaiz. ▪ Seksyen 3(1) Akta Perkongsian 1961 mentakrifkan perkongsian sebagai perhubungan yang wujud di antara orangorang yang menjalankan perniagaan bersama bagi mendapat keuntungan. ▪ Seksyen 2 Akta Syarikat 2016 mentakrifkan syarikat sebagai suatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta ini atau di bawah manamana undangundang bertulis terdahulu yang bersamaan. ▪ Konsep syarikat merujuk kepada satu pertubuhan atau perbadanan korporat yang mempunyai entiti yang berasingan daripada ahliahli syarikat itu. Bilangan Ahli ▪ Dimiliki oleh seorang pemilik ▪ Perkongsian biasa; 2 hingga ▪ Sekurangkurangnya


6 sahaja. 20 orang pekongsi. ▪ Perkongsian profesion; Bilangan pekongsi boleh melebihi 20 orang. seorang ahli dan maksimum 50 orang ahli bagi syarikat persendirian. ▪ Sekurangkurangnya dua orang ahli dan tiada had maksimum ahli bagi syarikat awam. Pemilikan harta ▪ Harta dimiliki penuh oleh pemiliknya. ▪ Harta dimiliki secara bersama oleh rakan kongsi. ▪ Harta dimiliki sepenuhnya oleh syarikat dan ahli syarikat tiada hak ke atas pemilikan harta syarikat. ▪ Harta perlu didaftarkan atas nama syarikat. Tanggungan / Liabiliti ahli terhadap hutang entiti perniagaan ▪ Ditanggung sepenuhnya secara peribadi oleh pemilik. ▪ Tanggungan pemilik adalah tidak terhad. ▪ Harta persendirian peniaga boleh/terpaksa digunakan untuk membayar hutang perniagaan. ▪ Ditanggung secara bersama oleh semua rakan kongsi. ▪ Tanggungan rakan kongsi adalah tidak terhad. ▪ Harta persendirian rakan kongsi boleh/terpaksa digunakan untuk membayar hutang perkongsian. ▪ Ditanggung sepenuhnya oleh syarikat kerana syarikat dan ahlinya merupakan entiti yang berasingan. ▪ Ahli-ahli syarikat tidak menanggung hutang syarikat secara peribadi. ▪ Tanggungan ahli adalah terhad. Tindakan undangundang ▪ Semua tindakan undang-undang akan diambil atas ▪ Semua tindakan undang-undang akan diambil ▪ Tindakan undang-undang akan diambil


7 nama pemilik perniagaan kerana milikan tunggal dengan pemiliknya merupakan entiti yang sama. atas nama rakan kongsi secara bersama kerana perkongsian dengan rakan kongsi merupakan entiti yang sama. atas nama syarikat itu sendiri kerana wujudnya entiti berasingan antara syarikat dengan ahli syarikat. ▪ Syarikat mempunyai hak untuk menyaman dan disaman atas namanya sendiri kerana sesebuah syarikat merupakan entiti yang sah disisi undangundang. Jangka hayat dan pembubaran ▪ Milikan tunggal akan terbubar sendiri jika pemiliknya meninggal dunia. ▪ Perkongsian boleh dibubarkan jika salah seorang rakan kongsi meninggal dunia, atas arahan mahkamah atau tamat sesuatu kontrak. ▪ Syarikat tidak akan terbubar walaupun semua ahlinya meninggal dunia. ▪ Jangka hayat syarikat tidak berkait dengan hayat ahliahlinya. ▪ Jangka hayat syarikat hanya akan berakhir apabila syarikat itu dibubarkan mengikut Akta Syarikat 2016 atau pendaftarannya dibatalkan oleh SSM.


8 Pemerbadanan ▪ Tidak wujud entiti berasingan antara pemilik dan perniagaanya. ▪ Pemilik dan perniagaan merupakan satu entiti yang sama. ▪ Tidak wujud entiti berasingan antara rakan kongsi dan perkongsiannya. ▪ Rakan kongsi dan perkongsian merupakan satu entiti yang sama. ▪ Wujudnya entiti berasingan antara ahli dengan syarikat. ▪ Ahli dan syarikat dianggap sebagai dua entiti yang berbeza di sisi undangundang. 1.3 Konsep Entiti Berasingan Sebaik sahaja sesuatu syarikat diperbadankan, ia akan wujud secara sah di sisi undang-undang sebagai sebuah entiti baru yang berasingan daripada individu atau pihak yang menubuhkannya. Malah syarikat juga merupakan entiti yang berasingan daripada pemilik atau pemegang syernya, pengurusannya, pekerjanya atau dengan mana-mana pihak sekalipun. Ini bermakna, syarikat merupakan sebuah pertubuhan perbadanan yang memiliki identitinya sendiri. Seksyen 20 Akta Syarikat 2016 menyatakan bahawa syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 merupakan suatu pertubuhan perbadanan yang mempunyai keperibadian undang-undang yang berasingan daripada keperibadian ahli-ahlinya dan syarikat akan terus wujud sehingga pendaftarannya ditamatkan atau dibubarkan. Justeru itu, syarikat boleh dianggap sebagai manusia (manusia ciptaan/tiruan) yang sah di sisi yang memiliki personaliti perundangannya sendiri yang berasingan daripada ahliahlinya. Konsep entiti berasingan ini menjadikan syarikat itu unik dan berupaya bertindak seperti manusia sebenar seperti hak untuk memiliki harta, berkeupayaan untuk menyaman dan disaman atas namanya sendiri, keupayaan untuk memasuki kontrak dan keupayaan untuk membuat pinjaman. Konsep entiti berasingan ini dapat dilihat dalam kes Salomon lwn. Salomon & Co. Ltd. (Kes ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam topik 2)


9 1.4 Jenis-jenis Syarikat Terdapat pelbagai syarikat yang ditubuhkan atau menjalankan operasi di Malaysia. Namun demikian, jenis-jenis syarikat ini boleh dikategorikan kepada beberapa asas yang membezakan antara sesuatu syarikat dengan syarikat yang lain. Jadual 1.3 menunjukkan secara ringkas jenis-jenis syarikat yang terdapat di Malaysia. Berasaskan Status Berasaskan Liabiliti Ahli Berasaskan Tempat Diperbadankan Berasaskan Hubungan dengan Syarikat Lain ▪ Syarikat persendirian ▪ Syarikat awam ▪ Syarikat berhad ▪ Syarikat tidak berhad ▪ Syarikat tempatan ▪ Syarikat asing ▪ Syarikat induk ▪ Syarikat subsidiari Jadual 1.3: Jenis-jenis Syarikat 1.4.1 Syarikat Persendirian Di Malaysia, syarikat persendirian boleh dikenali melalui nama syarikat yang akan di akhiri dengan perkataan “Sendirian Berhad” atau singkatan “Sdn. Bhd.”. Menurut seksyen 2 Akta Syarikat 2016, syarikat persendirian ditakrifkan sebagai: • Mana-mana syarikat persendirian yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis terdahulu sebelum Akta ini dikuatkuasakan. • Mana-mana syarikat yang diperbadankan sebagai suatu syarikat persendirian di bawah Akta ini, atau • Mana-mana syarikat yang bertukar menjadi suatu syarikat persendirian di bawah seksyen 41. Ciri-ciri syarikat persendirian dijelaskan dibawah seksyen 42 dan 43 Akta Syarikat 2016. Berikut merupakan ciri-ciri syarikat persendirian: • Bilangan ahli atau pemegang syer tidak boleh melebihi 50 orang. Sekiranya bilangan ahli melebihi 50 orang, maka sesuatu syarikat bukan lagi merupakan syarikat persendirian. • Syarikat persendirian hendaklah menyekat pemindahan syernya. • Syarikat persendirian mestilah mempunyai modal syer. • Tidak dibenarkan menawarkan kepada orang awam untuk melanggan syer atau debentur syarikat. • Tidak dibenarkan mempelawa orang awam untuk mendepositkan wang ke dalam syarikat.


10 Sekiranya syarikat persendirian melanggar peruntukan di atas, syarikat akan terhenti daripada menjadi syarikat persendirian. 1.4.2 Syarikat Awam Syarikat awam di Malaysia boleh dikenali melalui nama syarikat yang akan berakhir dengan perkataan “Berhad” atau singkatan “Bhd.”. Syarikat awam tidak mempunyai perkataan “sendirian” atau singkatan “sdn.” pada namanya. Seksyen 2 Akta Syarikat 2016 mentakrifkan syarikat awam sebagai suatu syarikat selain daripada syarikat persendirian. Secara umumnya, syarikat awam tidak tertakluk kepada larangan-larangan terhadap syarikat persendirian seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 42 dan 43 Akta Syarikat 2016. Ciri-ciri syarikat awam ialah: ▪ Bilangan ahli tidak terhad. ▪ Boleh menawarkan orang awam untuk melanggan syer-syer syarikat. ▪ Boleh menawarkan orang awam untuk melanggan debentur syarikat. ▪ Boleh mempelawa orang awam untuk mendepositkan wang ke dalam syarikat. 1.4.3 Perbezaan Antara Syarikat Persendirian Dengan Syarikat Awam Jadual 1.4.3 menunjukkan perbezaan antara syarikat persendirian dengan syarikat awam. Faktor-faktor Syarikat Persendirian Syarikat Awam Fungsi ▪ Sesuai untuk menjalankan perniagaan kecil dan sederhana. ▪ Sesuai untuk perniagaan yang lebih besar yang memerlukan dana modal yang besar serta melibatkan ramai pelabur dalam syarikat. Keahlian ▪ Tidak melebihi 50 orang. ▪ Tidak terhad. Pengarah ▪ Sekurang-kurangnya seorang pengarah. ▪ Sekurang-kurangnya dua orang pengarah. Sumber Kewangan ▪ Dilarang daripada mendapatkan sumber kewangan daripada orang ramai. ▪ Boleh menawarkan saham dan debentur kepada orang ramai.


11 Mesyuarat agung tahunan (MAT) ▪ Tidak wajib dilaksanakan ▪ Wajib diadakan sekali bagi setiap tahun kalendar tidak lebih daripada 15 bulan daripada MAT yang terakhir. Pemindahan syer ▪ Pemindahan syer adalah disekat. ▪ Tiada sekatan dalam pemindahan syer dan syer bebas bertukar tangan. Deposit wang daripada orang ramai ▪ Dilarang daripada mempelawa orang ramai mendeposit wang ke dalam syarikat. ▪ Dibenarkan mempelawa orang ramai mendeposit wang ke dalam syarikat. Nama syarikat ▪ Perlu meletakkan perkataan “sendirian” atau singkatan “sdn.” di belakang nama. ▪ Jika liabiliti ahli adalah terhad, perlu letak perkataan “Berhad” atau singkatan “Bhd.” di belakang nama. ▪ Tidak perlu meletakkan perkataan “sendirian” atau singkatan “sdn.” Di belakang nama. ▪ Jika liabiliti ahli adalah terhad, perlu letak perkataan “Berhad” atau singkatan “Bhd.” di belakang nama. Jadual 1.4.3: Perbezaan antara syarikat persendirian dengan syarikat awam. 1.4.4 Syarikat Berhad Dan Syarikat Tidak Berhad Menurut seksyen 10(1) Akta Syarikat 2016, terdapat tiga jenis syarikat yang boleh diperbadankan di Malaysia iaitu: ▪ Syarikat berhad menurut syer Sekyen 10(2) Akta Syarikat 2016 menjelaskan bahawa sesuatu syarikat adalah berhad menurut syer jika tanggungan atau liabiliti ahlinya terhad kepada amaun syer yang dipegang dan baki amaun syer yang belum bayar yang dipegang (jika ada) oleh seseorang ahli syarikat. Selanjutnya seksyen 11(1) Akta Syarikat 2016 menjelaskan bahawa syarikat berhad menurut syer hanya boleh terdiri daripada syarikat persendirian atau syarikat awam sahaja. ▪ Syarikat berhad menurut jaminan Seksyen 10(3) Akta Syarikat 2016 menyatakan bahawa sesuatu syarikat berhad menurut jaminan sekiranya tanggungan atau liabiliti ahlinya terhad kepada amaun atau jaminan yang telah


12 dipersetujui untuk disumbangkan sekiranya syarikat itu digulungkan. Kebiasaannya, syarikat berhad menurut jaminan ditubuhkan tanpa modal syer oleh pertubuhan perdagangan, badan-badan kebajikan atau kelab-kelab sosial yang bukan bertujuan membuat keuntungan. Menurut seksyen 11(2) Akta Syarikat 2016, syarikat berhad menurut jaminan hanya boleh terdiri daripada syarikat awam. Selain itu, seksyen 12 Akta Syarikat 2016 juga melarang syarikat berhad menurut jaminan ditubuhkan dengan modal syer. ▪ Syarikat tidak berhad. Seksyen 10(4) Akta Syarikat 2016 menyatakan bahawa tanggungan ahli syarikat ini adalah tidak terhad. Selanjutnya seksyen 11(3) Akta Syarikat 2016 menyatakan bahawa hanya syarikat persendirian atau syarikat awam sahaja yang boleh ditubuhkan sebagai syarikat tidak berhad. 1.4.5 Syarikat Asing Seksyen 2 Akta Syarikat 2016 mentakrifkan syarikat asing merupakan suatu syarikat, perbadanan, pertubuhan, persatuan atau badan lain yang diperbadankan di luar Malaysia. Secara ringkasnya, syarikat asing ialah syarikat yang ditubuhkan atau diperbadankan di negara asalnya, iaitu di luar Malaysia tetapi menjalankan perniagaannya atau mempunyai pejabat berdaftar di Malaysia (Aishah Bidin, 2007). Seterusnya syarikat asing yang ingin menjalankan perniagaannya di Malaysia perlulah didaftarkan sebagai syarikat asing dibawah peruntukan seksyen 561 Akta Syarikat 2016. 1.4.6 Syarikat Induk Seksyen 4 Akta Syarikat 2016 menyatakan sesuatu syarikat merupakan syarikat induk kepada suatu syarikat lain (syarikat subsidiari) jika syarikat itu: ▪ Mengawal keanggotaan lembaga pengarah syarikat yang lain. ▪ Mengawal lebih daripada separuh daripada kuasa mengundi dalam syarikat lain. ▪ Memegang lebih daripada separuh modal syer dalam syarikat lain tidak termasuk syer keutamaan. Sekiranya sesuatu syarikat memenuhi ketiga-tiga syarat di atas, maka ia merupakan syarikat induk kepada sebuah syarikat yang lain.


13 1.4.7 Syarikat Subsidiari Syarikat subsidiari turut dikenali sebagai anak syarikat. Menurut seksyen 4 Akta Syarikat 2016, sesuatu syarikat dianggap sebagai syarikat subsidiari kepada syarikat yang lain (syarikat induk) jika syarikat yang lain itu: ▪ Mengawal keanggotaan lembaga pengarah syarikat itu. ▪ Mengawal lebih daripada separuh daripada kuasa mengundi dalam syarikat itu. ▪ Memegang lebih daripada separuh modal syer dalam syarikat itu tidak termasuk syer keutamaan. 1.5 Kesimpulan Secara kesimpulannya, terdapat tiga entiti perniagaan yang utama di Malaysia iaitu milikan tunggal, perkongsian dan syarikat. Ketiga-tiga entiti perniagaan tersebut tertakluk kepada undang-undang dan akta yang berbeza yang mengawal selia perjalanan dan tadbir urus entiti perniagaan tersebut. Bagi syarikat, Akta Syarikat 2016 merupakan suatu akta yang mengawal selia perundangan yang berkaitan dengan syarikat di Malaysia. Akta syarikat itu sendiri telah digubal dan dipinda mengikut kesesuaian dan perkembangan semasa sektor korporat serta perniagaan di Malaysia bermula daripada Akta Syarikat 1965 hingga kepada Akta Syarikat 2016.


14 BAB 2 PEMERBADANAN SYARIKAT 2.0 Pengenalan Semua syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia perlu diperbadankan dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Syarikat yang diperbadankan akan menjadi entiti yang sah di sisi undang-undang dan memiliki hak, kuasa dan keupayaannya sendiri untuk bertindak sepertimana yang di gariskan oleh peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Pemerbadanan syarikat merupakan satu proses undang-undang bagi membentuk dan mendaftarkan sebuah entiti korporat atau syarikat. 2.1 Proses Pemerbadanan Syarikat Menurut seksyen 14(1) Akta Syarikat 2016, seseorang individu yang berhasrat untuk membentuk sebuah syarikat hendaklah memohon bagi pemerbadanan syarikat kepada Pendaftar iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Sesuatu syarikat yang hendak ditubuhkan mestilah mempunyai tujuan yang tidak menyalahi mana-mana peruntukan undangundang [seksyen 14(2)]. Permohonan bagi pemerbadanan syarikat yang dibuat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia perlu mengandungi butiran seperti berikut: • Nama syarikat yang dicadangkan • Status syarikat sama ada syarikat itu persendirian atau awam • Jenis perniagaan syarikat • Alamat yang dicadangkan sebagai pejabat berdaftar syarikat • Maklumat pengarah, ahli dan setiausaha syarikat • Butiran mengenai kelas dan bilangan syer yang hendak diambil oleh anggota bagi syarikat berhad menurut syer


15 • Amaun jaminan setiap anggota yang akan menyumbang kepada aset syarikat sekiranya syarikat digulung bagi syarikat berhad menurut jaminan • Pengakuan daripada pengarah dan anggota • Perakuan pematuhan daripada individu yang bertanggungjawab ke atas pemerbadanan. 2.1.1 Pemerbadanan Syarikat Melalui MyCOID Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Permohonan pemerbadanan syarikat boleh dilaksanakan secara atas talian melalui salah satu daripada kaedah berikut: • Pemerbadanan terus (Direct Incorporation) iaitu gabungan permohonan nama dan proses pemerbadanan syarikat. • Tempahan nama (name reservation) iaitu menyerah simpan permohonan pemerbadanan syarikat dalam tempoh 30 hari atau apaapa tempoh yang lebih lama yang dibenarkan oleh SSM (maksimum 180 hari) selepas nama diluluskan. Seseorang individu boleh mendaftar serta memperbadankan syarikat melalui portal MyCOID di laman sesawang https://mycoid2016.ssm.com.my dengan menggunakan tiga langkah mudah seperti berikut: • Mendaftar, memasukkan maklumat yang relevan dan membayar melalui portal MyCOID • Mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dan • Menerima pemberitahuan pendaftaran daripada SSM melalui emel Yuran pendaftaran bagi pemerbadanan syarikat ialah RM 1000.00 bagi syarikat berhad menurut saham dan RM 3000.00 bagi syarikat berhad menurut jaminan. 2.1.2 Penetapan Nama Syarikat Untuk memperbadankan sesebuah syarikat, cadangan nama syarikat perlu mendapat pengesahan terlebih dahulu daripada SSM. Pengesahan ketersediaan nama boleh dilakukan serentak semasa proses pemerbadanan syarikat. Ketersediaan nama yang dicadangkan adalah tertakluk di bawah seksyen 26 Akta Syarikat 2016. Sesuatu nama syarikat yang dicadangkan adalah tersedia atau boleh digunakan jika nama itu: • Bukan tidak wajar atau bukan tidak boleh diterima


16 • Tidak sama dengan entiti perniagaan sedia ada di bawah daftar yang di simpan menurut undang-undang yang ditadbir oleh SSM • Tidak sama dengan nama yang dirizabkan di bawah Akta Syarikat 2016 • Tidak sama dengan jenis nama yang Menteri telah arahkan Pendaftar supaya tidak menerima untuk pendaftaran Menurut seksyen 25 (1) Akta Syarikat 2016, nama sesuatu syarikat hendaklah berakhir dengan berikut: • Bagi syarikat awam, perkataan “Berhad” atau singkatannya “Bhd.”. • Bagi syarikat persendirian, perkataan “Sendirian Berhad” atau singkatannya “Sdn. Bhd.”. • Bagi syarikat tidak berhad, perkataan “Sendirian” atau singkatannya “Sdn.”. 2.2 Kesan-kesan Pemerbadanan Syarikat Setelah sesebuah syarikat diperbadankan, ia akan mempunyai kesan seperti berikut: 2.2.1 Entiti Berasingan Sebaik sahaja sesebuah syarikat diperbadankan, ia mempunyai entitinya sendiri di sisi undang-undang, hak dan tanggungjawab syarikat menjadi berasingan daripada ahli-ahli syarikat itu sendiri. Menurut seksyen 20 Akta Syarikat 2016, sesuatu yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 merupakan suatu pertubuhan perbadanan yang mempunyai keperibadian undang-undang yang berasingan daripada keperibadian ahliahlinya dan syarikat akan terus wujud sehingga pendaftarannya dibatalkan atau ia dibubarkan. Prinsip entiti berasingan ini dapat dilihat melalui kes-kes berikut: Kes Salomon lwn. Salomon & Co. Ltd (1897) Salomon merupakan seorang peniaga yang menjalankan perniagaan kasut selama 30 tahun. Beliau menjalankan perniagaan berbentuk milikan tunggal. Perniagaannya telah membawa keuntungan. Kemudian, Salomon telah menubuhkan syarikatnya sendiri yang diberi nama Salomon & Co. Ltd. bagi menjalankan perniagaan kasut tersebut. Beliau merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikat selain daripada isteri dan lima orang anaknya. Selain itu, Salomon juga secara peribadi menjadi pemiutang syarikat.


17 Apabila perniagaan syarikat mengalami kerugian dan syarikat terpaksa dibubarkan, Salomon telah menuntut untuk mendapatkan semula bayaran hutangnya, tetapi permohonannya telah ditolak oleh likuidator/penyelesai atas alasan Salomon dengan syarikatnya adalah orang yang sama. Salomon telah membuat tuntutannya ke mahkamah. Persoalannya adakah Salomon bertanggungan secara peribadi terhadap hutang-hutang Salomon & Co. Ltd.? Adakah Salomon layak untuk menuntut hutang daripada syarikatnya sendiri? Mahkamah telah memutuskan walaupun Salomon dan Salomon & Co. Ltd. pada hakikatnya seolah-olah orang yang sama, tetapi Salomon tetap layak untuk menuntut hutang sebagai pemiutang. Antara Salomon dengan syarikatnya Salomon & Co. Ltd. telah wujud dua entiti yang berasingan menurut undang-undang. Kes Lee lwn. Lee’s Air Farming Ltd (1961) Lee menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Lee’s Air Farming Ltd. Beliau merupakan pemegang saham terbesar dalam syarikatnya. Lee juga merupakan pengarah syarikat dan bekerja dengan syarikatnya sebagai ketua juruterbang. Lee telah meninggal dunia akibat kemalangan ketika menjalankan tugas. Isteri Lee telah menuntut pampasan daripada syarikat, namun permohonannya ditolak kerana Lee bukanlah pekerja syarikat kerana beliau sendiri memiliki syarikat tersebut. Walaubagaimanapun, mahkamah rayuan telah membenarkan tuntutan isteri Lee. Walaupun Lee adalah pemilik syarikatnya tetapi di sisi undang-undang, syarikat dan ahli-ahlinya adalah dua entiti yang berbeza. Oleh itu, Lee boleh bertindak sebagai pekerja syarikat. 2.2.2 Kesinambungan Hayat Seksyen 20(b) Akta Syarikat 2016 menyatakan bahawa syarikat yang diperbadankan di bawah akta ini akan terus wujud sehinggalah syarikat itu dikeluarkan daripada daftar. Oleh itu, syarikat akan kekal wujud walaupun sebahagian atau keseluruhan ahlinya meninggal dunia atau pun kesemua saham syarikat telah bertukar tangan. Ini kerana jangka hayat sesebuah syarikat hanya akan berakhir apabila pendaftarannya ditamatkan oleh SSM atau syarikat syarikat dibubarkan mengikut Akta Syarikat 2016. Kes yang boleh di rujuk ialah: Kes Re Noel Tedman Holding Pty. Ltd. (1967) Syarikat hanya mempunyai dua orang pemegang saham, iaitu pasangan suami isteri yang kedua-duanya juga merupakan pengarah syarikat.


18 Namun demikian, pasangan suami isteri ini telah meninggal dunia dalam satu kemalangan kereta tetapi seorang anak pasangan terbabit yang masih bayi terselamat. Artikel persatuan syarikat mereka memperuntukkan bahawa pemindahan saham hanya boleh dibuat dengan kebenaran pengarah, tetapi kedua-dua pengarah syarikat telah meninggal dunia. Biasanya masalah ini boleh diselesaikan dengan melantik pengarah yang baru. Pengarah yang baru hanya boleh dilantik oleh pengarah sedia ada namun, kedua-dua pengarah sedia ada telah meninggal dunia. Akhirnya mahkamah memberikan kebenaran kepada wakil peribadi si mati untuk melantik pengarah baru dan pengarah baru ini boleh memindahkan saham kepada waris si mati. 2.2.3 Keupayaan Untuk Menyaman Dan Disaman Menurut seksyen 21(1) Akta Syarikat 2016, sesuatu syarikat berupayaa untuk menjalankan semua fungsi semua fungsi pertubuhan perbadanan dan mempunyai keupayaan sepenuhnya untuk menjalankan atau mengusahakan apa-apa perniagaan atau aktiviti termasuklah: (a) untuk membawa guaman atau dibawa guaman terhadapnya. Oleh itu, sesuatu syarikat boleh mendakwa dan didakwa dengan menggunakan namanya sendiri. Malah, ahli-ahli syarikat atau pemegang syer tidak mempunyai locus standi untuk mengambil tindakan undang-undang bagi pihak syarikat. Kes yang boleh dirujuk ialah: Kes Foss lwn. Harbottle (1843) Dalam kes ini, terdapat dua orang pemegang saham Syaarikat Victoria Park Company telah menyaman pengarah syarikat dan beberapa individu yang lain dalam syarikat tersebutatas penyelewengan dan salahguna harta syarikat. Mahkamah memutuskan bahawa sepatutnya dakwaan terhadap pengarah dan beberapa individu yang terlibat perlu dibuat atas nama syarikat itu sendiri dan bukannya kedua-dua pemegang saham tersebut. Ini kerana kerugian yang berlaku telah memberi kesan keseluruhan kepada syarikat, bukannya kepada kedua-dua pemegang saham tersebut. Oleh itu, sepatutnya syarikatlah yang perlu membuat tuntutan tersebut di mahkamah dan para ahli tidak boleh membuat tuntutan tersebut. 2.2.4 Keupayaan Untuk Memiliki Harta Syarikat boleh memiliki hartanya sendiri dan pendaftaran sesuatu harta mestilah dibuat atas nama syarikat. Seksyen 21(1)(b) Akta Syarikat 2016 menjelaskan bahawa sesuatu syarikat berupaya untuk memperoleh, memiliki, memegang, membangunkan atau melupuskan mana-mana harta. Oleh itu, harta yang dimiliki oleh sesebuah syarikat adalah hak mutlak milik syarikat dan bukan milik ahli atau pemegang saham meskipun ahli tersebut


19 menguasai sepenuhnya modal saham syarikat tersebut. Ini kerana harta milik syarikat adalah berasingan daripada harta milik peribadi ahli-ahlinya. Justeru itu, seseorang ahli tidak mempunyai hak dan kepentingan ke atas harta syarikat kerana ahli tersebut bukanlah pemilik sebenar harta syarikat. Sebaliknya, harta syarikat tetap dimiliki oleh syarikat itu sendiri. Kes yang boleh dirujuk ialah: Kes Macaura lwn. Northen Assuarance Co. Ltd. (1925) Dalam kes ini, Macaura memiliki kawasan pembalakan di Ireland. Beliau telah menjual kesemua balak yang dimilikinya kepada Irish Canadian Sawmills Ltd., iaitu sebuah syarikat yang beliau sendiri tubuhkan. Kesemua saham syarikat ini dimiliki oleh Macaura dan ahli keluarganya. Beliau juga telah membeli polisi insurans atas namanya bagi melindungi balak-balak tersebut. Kemudian, balak-balak tersebut telah musnah dalam satu kebakaran. Macaura telah membuat tuntutan dengan syarikat insurans tetapi tuntutannya tidak dilayan. Beliau membawa kes ini ke mahkamah. Mahkamah memutuskan bahawa Macaura bukanlah pemilik sebenar balakbalak tersebut. Sebaliknya pemilik sebenar balak tersebut ialah Irish Canadian Sawmills Ltd. kerana Macaura telah menjual balak-balak tersebut kepada syarikatnya. Maucaura tidak lagi mempunyai kepentingan terhadap balak tersebut dan tiada lagi kepentingan yang boleh diinsuranskan. Oleh kerana insurans dibuat atas nama peribadi Macaura, maka polisi insurans tidak terpakai ke atas balak-balak milik syarikat. 2.2.5 Keupayaan Untuk Memasuki Kontrak Seksyen 21(1)(c) Akta Syarikat 2016 menjelaskan bahawa sesebuah syarikat berupaya untuk melakukan apa-apa perbuatan yang boleh boleh dilakukan atau membuat transaksi. Oleh itu sesuatu syarikat boleh memasuki kontrak atas namanya sendiri. Di bawah prinsip entiti berasingan, syarikat boleh berkontrak dengan mana-mana pihak termasuklah dengan ahlinya sendiri. 2.3 Prinsip Pengenepian Tirai Perbadanan Setelah syarikat diperbadankan, syarikat mempunyai entitinya sendiri yang terpisah daripada ahli-ahlinya. Pemisahan antara syarikat dengan ahlinya bolehlah dianggap sebagai wujudnya satu “tirai perbadanan” atau “tabir korporat / corporate veil” yang akan memisahkan tanggungan syarikat dengan ahli-ahlinya seperti yang difahami di bawah prinsip entiti berasingan. Secara umumnya, setelah syarikat diperbadankan, mahkamah tidak akan melihat di belakang tabir ini untuk mencari siapa sebenarnya yang mengawal


20 atau menguruskan syarikat tersebut. Walaubagaimanapun, pemakaian prinsip entiti berasingan ini berkemungkinan mewujudkan beberapa masalah apabila terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab akan menyalahgunakan prinsip ini untuk faedah peribadi atau untuk mengelakkan diri daripada bertanggungjawab secara peribadi dari segi perundangan. Contohnya, seorang pengarah atau pegawai syarikat yang membuat pinjaman atas nama syarikat, tetapi menggunakan wang pinjaman tersebut untuk faedah dan kepentingan peribadi dan mendakwa dia tidak bertanggungan ke atas hutang pinjaman tersebut kerana hutang tersebut dibuat atas nama syarikat. Oleh itu, syarikat yang akan bertanggungan terhadap hutang tersebut. Situasi ini berkemungkinan akan berlaku jika tiada pengecualian dalam pemakaian prinsip entiti berasingan. Oleh itu, untuk menegakkan keadilan, mahkamah akan menggunakan dasar pengecualian ini untuk mengenalpasti individu yang bertanggungjawab melakukan sesuatu kesalahan menggunakan nama syarikat. Secara ringkasnya, maksud prinsip pengenepian tirai perbadanan ini ialah mahkamah akan menggunakan pengecualian dengan menyingkap “tabir korporat” atau “tirai berbadanan” untuk mengenalpasti individu yang melakukan kesalahan yang sepatutnya bertanggungan. Prinsip pengenepian tirai perbadanan ini boleh dilihat daripada dua pengecualian, iaitu pertama pengecualian statutori di mana ianya berdasarkan peruntukan dalam Akta Syarikat 2016, kedua ialah pengecualian kehakiman iaitu berdasarkan kepada keputusan kes mahkamah. 2.3.1 Pengecualian Statutori Pengecualian statutori daripada pemakaian prinsip entiti berasingan ini adalah berdasarkan kepada peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 dan akta-akta lain yang berkaitan. Keadaan-keadaan adalah seperti berikut: 2.3.1.1 Seksyen 131(1): Pengagihan dividen bukan daripada keuntungan syarikat Peruntukan seksyen ini hanya membenarkan syarikat untuk membuat pengagihan dividen kepada pemegang syer daripada keuntungan syarikat dan syarikat adalah dalam keadaan solven sebaik selepas pengagihan dibuat. Menurut seksyen 132(3), syarikat dianggap sebagai solven jika syarikat itu berupaya untuk membayar sebarang hutang-piutangnya dalam masa dua belas bulan selepas pengagihan dividen dibuat. Sekiranya pengarah atau pegawai syarikat melanggar seksyen ini boleh disabitkan kesalahan di bawah seksyen 131(2) yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi tiga juta ringgit atau keduaduanya sekali.


21 2.3.1.2 Seksyen 540(1): Perdagangan secara fraud Seksyen ini memperuntukkan liabiliti atau tanggungan ke atas pegawai syarikat yang menjalankan perniagaan yang bertujuan untuk menipu pemiutang-pemiutang syarikat atau apa-apa bentuk penipuan, maka manamana pegawai atau pengarah syarikat akan bertanggungjawab secara peribadi ke atas hutang syarikat disebabkan perdagangan secara fraud semasa penggulungan syarikat. 2.3.1.3 Seksyen 540 (2) dan seksyen 539 (3) Di bawah seksyen ini, sekiranya seseorang pegawai atau pengarah syarikat telah membuat hutang bagi pihak syarikat tetapi pada masa yang sama pegawai atau pengarah berkenaan mengetahui atau menyedari bahawa syarikat tidak mampu membayar hutang tersebut, maka pegawai berkenaan akan bertanggungan secara peribadi untuk membayar keseluruhan atau sebahagian daripada hutang tersebut. Pegawai syarikat boleh disabitkan kesalahan dengan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau kedua-duanya sekali. 2.3.2 Pengecualian Kehakiman Pengecualian kehakiman dibuat berdasarkan kepada keputusan keskes mahkamah sebelum ini. Di bawah pengecualian kehakiman, mahkamah akan menganggap syarikat dan ahli-ahlinya sebagai satu entiti yang sama, di mana ahli yang dibuktikan kesalahannya akan bertanggungjawab terhadap sebarang penipuan yang berlaku. Di sinilah mahkamah akan menyingkap “tirai perbadanan” untuk mencari individu yang berselindung di sebalik nama syarikat bagi menjalankan kegiatan penipuan mereka atau kegiatan yang menyalahi undang-undang. Berikut antara keadaan yang mana mahkamah tidak menggunapakai prinsip entiti berasingan dan telah mengenepi “tirai perbadanan” dengan menganggap ahli dan syarikat sebagai satu entiti yang sama: 2.3.2.1 Syarikat Digunakan Untuk Mengelakkan Tanggungjawab / Melakukan Penipuan Pihak yang melakukan penipuan biasanya berselindung di sebalik nama syarikat untuk mengelakkan daripada bertanggungan. Mereka menyalahgunakan prinsip entiti berasingan untuk melindungi pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan penipuan ini. Berikut adalah antara beberapa kes yang boleh dirujuk bagi menjelaskan keadaan ini:


22 Kes Gilford Motor Co. Lwn. Horne (1933) Dalam kes ini, Horne merupakan bekas pengarah urusan Gilford Motor. Ketika berkhidmat di syarikat tersebut, Horne telah menandatangani satu kontrak dengan Gilford Motor yang melarangnya daripada mengambil pelanggan Gilford Motor setelah beliau tidak lagi bekerja dengan syarikat. Namun demikian, Horne telah melanggar perjanjian tersebut apabila beliau berhenti bekerja dengan Gilford Motor beliau telah menubuhkan syarikatnya sendiri JM Horne & Co. Ltd. Syarikatnya ini telah mengambil pelanggan syarikat Gilford Motor. Akhirnya mahkamah telah mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang Horne dan syarikatnya daripada meneruskan tindakan tersebut. Kes Jones lwn. Lipman (1962) Dalam kes ini, Lipman telah bersetuju untuk menjual rumah kepada Jones. Walau bagaimanapun, Lipman telah berubah fikiran dan mengelakkan tanggungjawabnya menyerahkan rumah tersebut kepada Jones dengan menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Alamed Ltd. dan memindahkan hak milik rumah tersebut kepada syarikatnya. Jones telah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Alamed Ltd bagi mendapatkan rumah tersebut. Walaubagaimanapun, Lipman mendakwa Alamed Ltd bukanlah pihak yang berkontrak dalam perjanjian jual beli rumah terdahulu kerana kontrak tersebut hanya melibatkan Jones dan Lipman sahaja. Mahkamah memutuskan syarikat Alamed Ltd ditubuhkan oleh Lipman hanya sebagai satu helah atau perisai untuk mengelakkannya menyerahkan rumah tersebut kepada Jones. Justeru itu, mahkmah mengarahkan Lipman dan Alamed Ltd. untuk memindahkan hak milik rumah tersebut kepada Jones. Kes Re Darby (1911) (High Court, England) Darby merupakan seorang yang diisytiharkan muflis serta pernah disabitkan kesalahan beberapa penipuan. Darby bersama seorang rakannya telah menubuhkan syarikat City of London Investment Corporation Ltd. Yang menjalankan perniagaan jual beli lesen kuari dan telah melakukan penipuan kepada pelanggan-pelanggannya. Syarikatnya telah menjual satu lesen kuari kepada syarikat Welsh State Quarries Ltd. pada harga yang sangat tinggi. Darby telah membahagikan keuntungan yang diperolehi bersama rakannya. Syarikat Welsh State Quarries Ltd. telah mengalami kerugian dan dibubarkan. Liquidator atau penyelesai yang dilantik telah mendakwa Darby dan menuntut keuntungan yang diperolehinya. Namun


23 demikian, Darby mendakwa di sisi undang-undang, antara dirinya dan syarikatnya City of London Investment Corporation Ltd. adalah dua entiti yang berasingan. Walaubagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa Darby bertanggungan ke atas penipuan yang dijalankan oleh syarikatnya. 2.3.2.2 Apabila syarikat dijadikan ejen atau “alter ego” kepada ahliahlinya Menurut prinsip ejensi, tindakan ejen akan menyebabkan prinsipal bertanggungan kerana tindakan ejen adalah dibuat bagi pihak prinsipal. Dalam sesetengah keadaan, sesebuah syarikat mungkin bertindak sebagai agen kepada pihak lain. Oleh itu, tindakan syarikat boleh dianggap sebagai tindakan oleh pemegang saham atau syarikat induk. Dalam kes sebegini, prinsipal adalah bertanggungan terhadap tindakan syarikat berdasarkan kepada prinsip agensi. Antara kes yang boleh dirujuk ialah Kes Aspatra Sdn. Bhd. Lwn Bank Bumiputra Malaysia Bhd. (1988). Mahkamah akan mencari ahli-ahli yang melakukan penipuan dan akan bertanggungan terhadap penipuan tersebut. Ahli-ahli tidak lagi boleh berselindung di sebalik nama syarikat untuk mengelakkan bertangunggan. 2.3.2.3 Apabila syarikat dijadikan topeng untuk melindungi fakta Dalam sesetengah keadaan, jika sesebuah syarikat ditubuhkan dengan tujuan untuk dijadikan topeng bagi melindungi fakta yang sebenar, mahkamah akan menyingkap “tabir korporat” dan mengenepikan prinsip entiti berasingan bagi menegakkan kebenaran. Dalam keadaan ini, mahkamah akan menganggap syarikat dan ahli-ahlinya sebagai satu entiti. Kes Re FG (Films) Ltd. (1953) Dalam kes ini, syarikat FG (Films) Ltd. ditubuhkan semata-mata untuk menerbitkan sebuah filem berjudul “Monsoon”. 90% saham syarikat ini dimiliki oleh seorang warganegara Amerika dan selebihnya dimiliki oleh seorang warganegara British. Satu perjanjian telah dibuat di antara syarikat ini dengan sebuah syarikat dari Amerika iaitu Filem Group Incorporated (FGI) yang akan menyumbangkan modal dan peralatan berkaitan penerbitan filem. Setelah itu, syarikat FG (Films) Ltd. ingin mendaftarkan filem “Monsoon” sebagai filem British tetapi permohonan itu telah ditolak kerana pada hakikatnya filem ini dihasilkan oleh syarikat Amerika iaitu FGI. Mahkamah memutuskan bahawa syarikat FG (Films) Ltd. bukanlah syarikat yang menghasilkan filem “Monsoon” tersebut. Sebaaliknya, syarikat ini


24 ditubuhkan untuk melayakkan filem “Monsoon” diiktiraf sebagai filem British. Oleh itu, filem “Monsoon” tidak layak diiktiraf sebagai filem British kerana filem ini telah dihasilkan oleh syarikat dari Amerika. 2.3.2.4 Apabila mahkamah menggunakan dasar ekuiti dan analogi Dasar ekuiti dan analogi digunakan apabila mahkamah menggunakan budi bicaranya dan tidak mengikut peraturan undang-undang yang telah ditetapkan dalam keputusan sesetengah kes yang memerlukan mahkamah berbuat demikian untuk menegakkan keadilan. Perintah “penangguhan perlaksanaan” merupakan satu perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah untuk menangguhkan keputusan mahkamah yang telah dibuat dalam kes-kes tertentu. Antara kes yang boleh dirujuk ialah kes Orri lwn Mounderas (1980). 2.3.2.4 Apabila melibatkan kumpulan syarikat Pada asasnya, syarikat induk dan anak syarikat dianggap sebagai dua entiti yang berbeza. Namun dalam sesetengah keadaan, satu kumpulan syarikat boleh dikira sebagai satu entiti yang sama. Sekiranya satu kumpulan syarikat mempunyai fungsi yang sama, maka mahkamah akan menganggap kumpulan syarikat berkenaan sebagai satu entiti. Oleh itu, mahkamah akan mempertimbangkan sama ada syarikat induk dan anak syarikat berfungsi sebagai satu entiti atau tidak bagi menyingkap tabir korporat. Kes Hotel Jaya Puri Bhd. Lwn National Union of Hotel, Bar & Restaurant Worker (1980) Beberapa pekerja Jaya Puri Chinese Garden Restaaurant Sdn. Bhd. telah diberhentikan apabila restoran berkenaan ditutup. Restoran ini merupakan anak syarikat milik penuh Hotel Jaya Puri Sdn. Bhd. Kesatuan Pekerja mendakwa pekerja-pekerja tersebut telah diberhentikan oleh majikan mereka yang sebenar iaitu Hotel Jaya Puri Bhd. dan mereka berhak untuk mendapatkan pampasan kerana Hotel Jaya Puri masih beroperasi. Mahkamah Perindustrian telah menerima hujah ini dan memerintahkan hotel membayar pampasan kepada pekerja yang telah diberhentikan. Pihak hotel telah membuat rayuan. Mahkamah Tinggi memutuskan walaupun Jaya Puri Chinese Garden Retaurant dan Hotel Jaya Puri Sdn. Bhd. adalah dua entiti yang berbeza, namun pada hakikatnya kedua-dua syarikat beroperasi sebagai satu entiti. Mahkamah Tinggi telah mengekalkan keputusan Mahkamah Perindustrian.


25 2.4 Penaja Atau Promoter Promoter atau penaja merupakan seseorang yang berusaha atau mengambil inisiatif dalam menubuhkan syarikat dan telah mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menubuhkan syarikat. Antara langkahlangkah awal yang dilaksanakan oleh seseorang promoter ialah mendaftarkan syarikat, menyediakan perlembagaan syarikat, membincangkan kontrakkontrak awal dan menyediakan prospektus syarikat. Promoter atau penaja bertindak sebagai individu atau pihak yang bergerak aktif untuk menubuhkan sesebuah syarikat. Dalam kes Twycross lwn Grant (1877), Hakim Cockburn J. Menyatakan: “Promoter merupakan seseorang yang berusaha menubuhkan sesebuah syarikat dan yang menentukan arah tuju syarikat berkenaan. Beliau juga akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memenuhi tujuan tersebut.” Sebagai seorang penaja atau promoter, beliau memainkan peranan penting dalam penubuhan sesebuah syarikat. Oleh itu, seseorang penaja atau promoter mempunyai tugas fidusiari terhadap syarikat yang akan ditubuhkan. Antara tugas fidusiari seorang penaja ialah: • Bertindak dan melakukan tugasnya secara suci hati untuk manfaat syarikat. • Tidak boleh mempunyai kepentingan peribadi yang bertentangan dengan kepentingan syarikat. (conflict of interest) • Tidak menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan keuntungan rahsia. • Membuat pendedahan penuh dan berterus terang kepentingannya dalam mana-mana transaksi syarikat. • Tidak menggunakan pengaruh yang tidak wajar ke atas syarikat. Antara kes yang boleh dirujuk bagi membincangkan tugas fidusiari seorang penaja ialah: • Erlanger Lwn New Sombrero Phosphate Co (1878) • Gluckstein Lwn Barnes (1900) • Whaley Bridge Calico Printing Co Lwn Green (1886) Sekiranya seseorang penaja atau promoter didapati bersalah dan telah melanggar tugas fidusiarinya, syarikat mempunyai hak untuk mengenepikan mana-mana kontrak yang dimasuki oleh penaja sebelum penubuhannya. Justeru itu, segala tanggungan akan ditanggung oleh penaja secara peribadi.


26 2.5 Kontrak Pra-Perbadanan Kontrak pra-perbadanan merupakan kontrak atau transaksi yang dimeterai oleh penaja atau promoter bagi pihak syarikat sebelum syarikat tersebut ditubuhkan. Dalam konteks ini, kontrak pra-perbadanan bermaksud mana-mana kontrak atau transaksi yang dimasuki oleh syarikat sebelum penubuhannya. Isu utama berkenaan kontrak pra-perbadanan ialah kesan kontrak tersebut ke atas syarikat setelah syarikat ditubuhkan, iaitu sama ada syarikat akan bertanggungan atau tidak ke atas kontrak tersebut. Justeru itu, kesan kontrak pra-perbadanan ini akan dibincangkan daripada dua perspektif, iaitu kesan di bawah Common Law dan kesan di bawah Akta Syarikat 2016. 2.5.1 Kesan Kontrak Pra-Perbadanan Menurut Common Law Menurut Common Law, sesebuah syarikat tidak boleh memasuki kontrak sebelum ianya ditubuhkan. Ini memandangkan sebelum sesebuah syarikat ditubuhkan, ianya tidak mempunyai entitinya sendiri. Oleh sebab itu, syarikat tidak mempunyai kelayakan untuk berkontrak atau mempunyai ejen untuk berkontrak bagi pihak syarikat. Kesannya, syarikat tidak mempunyai hak dan tanggungan kontrak. Oleh itu, di bawah Common Law kontrak pra-perbadanan tidak memberi kesan, tidak sah dan tidak mengikat syarikat. Contohnya, seorang penaja yang telah mengeluarkan wangnya sendiri bagi membayar yuran pendaftaran syarikat tidak boleh membuat apaapa tuntutan daripada syarikat untuk menggantikan wangnya kembali memandangkan pada ketika itu syarikat masih belum wujud. Prinsip ini akan menimbulkan pelbagai masalah kepada penaja dan juga pihak-pihak lain yang berurusan dengan syarikat. Prinsip ini juga akan merugikan pihak yang berurusan dengan syarikat kerana mereka tidak boleh membuat sebarang tuntutan sekiranya pihak yang berkontrak dengan syarikat telah melanggar kontrak atau enggan meneruskan kontrak yang dimeterai. Malah, syarikat juga boleh mengelakkan tanggungjawabnya dalam kontrak dengan menggunakan prinsip ini. Kes Newborne Lwn Sensolid (Great Britain) Ltd. (1954) Dalam kes ini, Newborne telah memeterai kontrak untuk menjual 200 tin daging kepada Sensolid (Great Britain) Ltd. Kontrak ini telah dibuat sebel syarikat Newborne ditubuhkan. Malangnya, pasaran daging dalam tin telah mengalami kemerosotan. Ini menyebabkan syarikat Sensolid enggan meneruskan kontrak tersebut. Maka, Newborne telah mengambil tindakan


27 undang-undang ke atas syarikat Sensolid. Wujud persoalan sama ada kontrak yang dimasuki oleh kedua-dua syarikat tersebut sah atau tidak. Mahkamah Rayuan England memutuskan bahawa kontrak tersebut tidak sah kerana ianya dibuat sebelum penubuhan syarikat Newborne. Oleh itu, syarikat Sensolid tidak bertanggungan untuk meneruskan kontrak. Kes Black Lwn Smallwood (1966) Black telah memasuki kontrak penjualan tanah kepada Western Suburbs Holding Pty. Ltd. Syarikat ini masih belum ditubuhkan semasa kontrak dimeterai. Smallwood dan Cooper yang merupakan pengarah syarikat Western Suburbs Holding Pty. Ltd. enggan meneruskan kontrak tersebut. Black telah mendakwa Smallwood dan Cooper bertangunggan kerana mereka telah bertindak sebagai ejen syarikat. Walaubagaimanapun, Mahkamah Tinggi Australia telah memutuskan sesebuah syarikat yang belum ditubuhkan tidak layak mempunyai ejen. Oleh itu, syarikat atau penandatangan kepada kontrak tersebut tidak bertanggungan. 2.5.2 Kesan Kontrak Pra-Perbadanan Menurut Akta Syarikat 2016. Di bawah Akta Syarikat 2016, kontrak pra-perbadanan boleh disahkan atau diratifikasikan oleh syarikat selepas penubuhannya. Oleh itu, Akta Syarikat 2016 membenarkan kontrak pra-perbadanan sebagai kontrak yang sah apabila ianya disahkan atau diratifikasikan oleh syarikat setelah syarikat ditubuhkan. Menurut seksyen 65(1) Akta Syarikat 2016, sesuatu kontrak yang dibuat sebelum syarikat ditubuhkan mempunyai kesan yang sama sebagaimana kontrak atau traksaksi itu dibuat bagi pihak syarikat yang telah ditubuhkan. Namun demikian, walaupun pihak yang memasuki kontrak tersebut dianggap sebagai ejen atau wakil syarikat, maka pihak yang menandatangani kontrak bagi syarikat itu bertanggungan secara peribadi/sendiri ke atas kontrak atau transaksi itu. Oleh itu, selagi syarikat tidak mengesahkan kontrak yang dimasuki, maka wakil syarikat itu akan bertanggungan secara peribadi terhadap kontrak tersebut. Seksyen 65(2) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan bahawa sesuatu kontrak yang dimasuki oleh ejen atau wakil syarikat sebelum pemerbadanan syarikat, boleh disahkan oleh syarikat selepas pemerbadanannya. Dengan pengesahan itu, syarikat akan terikat dan bertanggungan sepenuhnya ke atas kontrak berkenaan dan syarikat telah menjadi suatu pihak kepada kontrak atau transaksi itu. Kontrak tersebut dianggap bermula pada tarikh ianya ditandatangani, bukannya bermula pada tarikh ratifikasi dibuat. Ratifikasi syarikat boleh berlaku secara nyata atau tersirat. Ratifikasi secara nyata ialah apabila syarikat menyatakannya secara terbuka sama ada melalui surat pengesahan atau resolusi yang diluluskan oleh syarikat. Manakala ratifikasi


28 secara tersirat berlaku menerusi perbuatan atau tindakan syarikat. Contohnya, kontrak pra-perbadanan telah dibuat untuk menyewa ruang jualan dan pejabat syarikat. Ratikasi secara tersirat berlaku apabila syarikat menggunakan ruang jualan dan pejabat yang disewa. Kes Cosmic Insurance Ltd. Lwn Khoo Chiang Poh (1981) Sebelum penubuhan syarikat, En. Khoo Chiang Poh telah dilantik sebagai pengarah urusan. Surat perlantikan menyebut: “Khoo Chiang Poh akan menjadi pengarah urusan seumur hidup kecuali beliau meletakkan jawatan, meninggal dunia atau disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Syarikat atau beliau dilarang menjadi pengarah urusan menurut peruntukan Akta.” Selepas syarikat ditubuhkan, satu resolusi telah dibuat untuk meluluskan jawatannya seperti berikut: “Adalah dipersetujui bahawa Khoo Chiang Poh dilantik menjadi pengarah urusan dan akan memegang jawatan tersebut seumur hidup mengikut peruntukan artikel dan memorandum persatuan syarikat dan beliau adalah bertanggungjawab terhadap lembaga pengarah syarikat.” Kemudian berlaku pertelingkahan antara Khoo dan Lembaga Pengarah yang menyebabkannya telah dipecat daripada jawatannya. Beliau telah membuat tuntutan ke mahkamah. Persoalan yang timbul ialah sama ada surat perlantikan En. Khoo sebagai pengarah urusan seumur hidup tersebut merupakan kontrak pra-perbadanan. Sekiranya ianya merupakan kontrak praperbadanan, adakah ianya telah diratifikasikan oleh syarikat. Majlis Privy Singapura memutuskan surat perlantikan tersebut merupakan kontrak praperbadanan dan ianya telah diratifikasikan oleh syarikat apabila syarikat meluluskan resolusi berkenaan perkara tersebut. Syarikat didapati telah melakukan kesalahan dengan memecat En. Khoo Chiang Poh daripada jawatannya. 2.6 Perlembagaan Syarikat Di bawah Akta Syarikat 2016, sesebuah syarikat tidak lagi diwajibkan untuk menyediakan memorandum persatuan (Memorandom of Association) dan artikel persatuan (Article of Association) bagi tujuan penubuhan syarikat. Bermula 31 Januari 2017, memorandum persatuan dan


29 artikel persatuan telah digantikan dengan perlembagaan syarikat seperti yang termaktub di seksyen 34 (c). Menurut seksyen 31(1), sesebuah syarikat, selain daripada syarikat berhad menurut jaminan mempunyai pilihan sama ada untuk mempunyai perlembagaan syarikat atau sebaliknya. Ini bermaksud, penyediaan perlembagaan syarikat adalah suatu pilihan dan bukan mandatori bagi syarikat selain daripada syarikat berhad menurut jaminan. Oleh itu, sesebuah syarikat boleh beroperasi tanpa sebarang perlembagaan melainkan syarikat berhad menurut jaminan. Menurut seksyen 31 (3), sekiranya syarikat tidak mempunyai perlembagaannya sendiri, syarikat itu, setiap pengarah, dan setiap ahli syarikat akan mempunyai hak, kuasa, kewajipan dan obligasi sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta Syarikat 2016. Hak, kuasa, kewajipan dan obligasi ini bagaimanapun boleh diubah atau disesuaikan mengikut keperluan melalui perlembagaan syarikat. Walaubaimanapun, perlembagaan syarikat tidak akan sah atau tidak memberi kesan jika peruntukannya bertentangan dengan Akta Syarikat 2016. Bagi syarikat sedia ada yang telah mempunyai memorandum dan artikel persatuan, memorandum dan artikel persatuan tersebut akan menjadi perlembagaan syarikat kecuali syarikat memutuskan sebaliknya [seksyen 619(3)]. Bagi tujuan ini, syarikat kena membuat dan mendapatkan resolusi biasa. Untuk syarikat berhad menurut jaminan, perlembagaan syarikat adalah mandatori. Perlembagaan syarikat hendaklah mengandungi perkara berikut: • Bahawa syarikat merupakan syarikat berhad menurut jaminan. • Objek atau tujuan syarikat. • Kapasiti, hak, kuasa dan keistimewaan syarikat. • Jumlah ahli yang dicadangkan bagi penubuhan syarikat. • Perkara yang dipertimbangkan dalam Akta Syarikat 2016 untuk dimasukkan dalam perlembagaan. • Sebarang perkara lain yang dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam perlembagaan. 2.7 Doktrin Ultra Vires Apakah yang dimaksudkan dengan ultra vires? Di bawah Common Law, ultra vires merupakan tindakan syarikat yang menjalankan aktiviti yang tidak berkaitan dengan penubuhannya seperti yang dinyatakan dalam fasal objek memorandum persatuan sesebuah syarikat. Fasal objek dalam memorandum persatuan syarikat akan menentukan ruang lingkup dan


30 batasan aktiviti-aktiviti yang syarikat dibenarkan beroperasi. Tujuan doktrin ultra vires ini adalah untuk melindungi pemegang saham dan pemiutang syarikat yang berhak mengetahui objektif syarikat bagi memastikan wang yang dilaburkan dalam syarikat hanya digunakan dalam aktiviti yang dibenarkan oleh fasal objek sahaja, bukan dalam aktiviti yang tidak sah. Walaubagaimanapun, kesan doktrin ultra vires daripada segi undang-undang dan kedudukan aktiviti syarikat di luar fasal objek mempunyai keadaan yang berbeza bagi Common Law dan Akta Syarikat 2016. 2.7.1 Doktrin Ultra Vires Menurut Common Law Menurut Common Law, semua tindakan syarikat yang dilakukan luar fasal objek adalah tidak sah dan tidak mengikat mengikat syarikat. Ini kerana, sesebuah syarikat mestilah bertindak dalam ruang lingkup skop fasal objek seperti yang terkandung dalam memorandum persatuan syarikat, manakala tindakan atau aktiviti syarikat di luar kapasitinya akan terbatal. Oleh itu, sekiranya pihak syarikat mungkir atau enggan meneruskan sesuatu kontrak, pihak yang berkontrak dengan syarikat tidak boleh memaksa syarikat meneruskan kontrak itu dengan alasan bahawa syarikat terikat dengan kontrak yang ditandatangani. Secara ringkasnya, semua aktiviti atau transaksi syarikat yang ultra vires adalah tidak sah dan tidak mengikat syarikat walaupun aktiviti tersebut telah dipersetujui oleh semua ahli. Kes Ashbury Railway Carriage & Iron Co. Lwn Riche (1875) Objektif syarikat adalah untuk membuat, menjual, meminjam, menyewa gerabak keretapi dan menjalankan perniagaan kejuruteraan mekanik dan kontraktor am. Pengarah syarikat telah memasuki satu kontrak untuk membeli konsesi pembinaan landasan keretapi, namun kemudian syarikat enggan meneruskan kontrak. Penjual konsesi mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat kerana telah melanggar kontrak yang dimeterai. Mahkamah memutuskan pembinaan landasan keretapi tidak termasuk dalam lingkungan fasal objek. Oleh itu, kontrak tersebut adalah ultra vires dan ianya tidak sah dan tidak mengikat syarikat. Kes Jon Beauforte (London) Ltd. (1953) Syarikat ditubuhkan untuk menjalankan perniagaan menjahit baju dan mengeluarkan kain baju. Syarikat kemudian bercadang untuk membuat perniagaan “veneered panels”, suatu aktiviti yang di luar dan tidak dibenarkan oleh fasal objek syarikat. Syarikat telah menempah arang batu secara kredit daripada seorang pembekal dan dalam surat tempahan syarikat tercatat perkataan pengeluar “veneered panels”. Pembekal telah mendapat notis bahawa syarikat menjalankan perniagaan tersebut yang di luar fasal


31 objeknya daripada maklumat dalam surat tempahan. Pembekal ingin menuntut hutang daripada syarikat. Mahkamah memutuskan pembekal tersebut tidak boleh mendakwa syarikat untuk menuntut hutangnya dan perjanjian di antara syarikat dan pembekal adalah ultra vires dan terbatal. Mahkamah juga berpendapat pembekal telah mendapat notis konstruktif bahawa perniagaan “veneered panels” adalah di luar fasal objek. Kesan doktrin ultra vires di bawah Common Law ialah: • Sesuatu urusan atau tindakan syarikat yang ultra vires adalah tidak sah. • Syarikat tidak boleh didakwa berasaskan suatu kontrak yang ultra vires. • Syarikat juga tidak boleh mendakwa pihak yang terlibat dalam kontrak ultra vires. • Pihak yang bertindak dengan suci hati tidak boleh bergantung kepada alasan tidak mendapat notis tentang ketiadaan kuasa syarikat. 2.7.2 Doktrin Ultra Vires Menurut Akta Syarikat 2016 Di bawah sekyen 35 (1) Akta Syarikat 2016, perlembagaan syarikat mengandungi peruntukan berhubungan tujuan syarikat, keupayaan, hak, kuasa atau keistimewaan sesebuah syarikat. Namun demikian, perlaksanaan Akta Syarikat 2016 juga memberikan syarikat keupayaan penuh sebagai seolah-olah natural person. Memandangkan sesebuah syarikat mempunyai keupayaan penuh, doktrin ultra vires tidak lagi relevan di Malaysia. Kontrak yang ultra vires adalah sah dan perlu dikuatkuasakan. Walaubagaimanapun, doktrin ultra vires ini masih mempunyai kesan terhadap syarikat yang mempunyai perlembagaan syarikat yang menetapkan objek atau tujuan syarikat syarikat atau syarikat berhad menurut jaminan di bawah fasal objek. Dengan kata lain, syarikat hendaklah disekat daripada menjalankan perniagaan atau aktiviti yang tidak terdapat dalam tujuannya dan syarikat mempunyai keupayaan dan kuasa sepenuhnya untuk mencapai tujuannya kecuali jika perlembagaan memperuntukkan selainnya [seksyen 35(2)(a)&(b)]. Seksyen 21 telah memperuntukan sesebuah syarikat mempunyai keupayaan yang tidak terhad. Syarikat berupaya untuk menjalankan semua fungsi dan mempunyai keupayaan sepenuhnya untuk menjalankan apa-apa perniagaan atau aktiviti. Justeru itu, kontrak yang dimeterai tetap sah dan mengikat syarikat walaupun kontrak tersebut adalah ultra vires.


32 2.8 Kesimpulan Secara kesimpulannya, pemerbadanan sesuatu syarikat akan menjadikannya satu entiti yang sah disisi undang-undang dan mempunyai keupayaannya yang tersendiri sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh undang-undang di Malaysia. Syarikat yang diperbadankan mempunyai entitinya sendiri yang berasingan daripada pemilik dan pegawainya. Setelah ditubuhkan, sesebuah syarikat mempunyai keupayaan penuh untuk melaksanakan sebarang aktiviti dan perniagaan yang sah di sisi undangundang.


33 BAB 3 SYER, DEBENTUR & GADAIAN 3.0 Pengenalan Setiap syarikat yang ditubuhkan memerlukan sumber kewangan untuk menjalankan segala operasinya seperti pembelian aset, peralatan & barang niaga, penyewaan ruang pejabat atau ruang jualan, pembayaran gaji, pembayaran bil utiliti dan sebagainya. Justeeru itu, syarikat memerlukan modal yang secukupnya bagi membiayai operasi syarikat supaya berjalan dengan lancar dan seterusnya menjana pendapatan dan keuntungan yang disasarkan. Terdapat pelbagai cara untuk syarikat mendapatkan modal bagi membiayai keperluan operasinya. Salah satu cara yang menjadi kelaziman untuk mengumpul modal syarikat ialah melalui penawaran syer syarikat kepada mana-mana pihak yang berminat untuk melabur dalam syarikat. Pelabur atau pemegang syer akan melanggan syer syarikat berkenaan dan seterusnya bertindak sebagai pemilik syarikat sepertimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Pemegang syer akan membayar sejumlah wang untuk melanggan syer syarikat dan syarikat akan menggunakan wang hasil langganan syer tersebut sebagai modal perniagaan. Pemegang syer akan menerima bayaran dividen jika syarikat memperolehi keuntungan sebagai pulangan pelaburan mereka. Selain itu, pemegang syer juga mempunyai hak dan keistimewaan tertentu ke atas syarikat bergantung kepada syarat-syarat tertentu seperti hak kawalan ke atas syarikat, mengundi dan sebagainya. Selain daripada menawarkan syer sebagai kaedah untuk mendapatkan modal, syarikat juga mempunyai pilihan untuk membuat pinjaman atau menawarkan dibentur kepada pelabur yang berminat sama ada pinjaman bercagar atau sebaliknya. Syarikat juga mendapatkan modal melalui pinjaman daripada individu awam, institusi kewangan atau bank. Pihakpihak yang memberi pinjaman kewangan kepada syarikat dikenali sebagai


34 pemiutang. Pemiutang tidak menjadi ahli syarikat, tidak mempunyai hak mengundi dalam syarikat dan tidak menerima dividen syarikat. Sebaliknya, pemiutang akan menerima bayaran faedah atau bunga atas pinjaman yang diberikan kepada syarikat. Selain daripada pnjaman, syarikat juga boleh menerbitkan debentur untuk mendapatkan pinjaman daripada orang awam atau institusi kewangan. Bab ini juga akan membincangkan peraturanperaturan dan undang-undang yang berkaitan mengenai syer, debentur dan cagaran. 3.1 Modal syer Modal syer merupakan sejumlah modal yang diperolehi melalui pengisuan syer oleh syarikat bagi tujuan pengumpulan dana untuk pengoperasian syarikat. Dalam lain perkataan, syarikat boleh mendapatkan wang atau modal dengan menawarkan saham untuk dijual kepada orang awam atau institusi pelaburan. Pelabur atau orang awam atau institusi pelaburan yang berminat kemudiannya akan membayar sejumlah wang kepada syarikat bagi melanggan syer syarikat berkenaan. Syarikat akan mendapat sejumlah wang hasil daripada pengisuan syer tersebut yang kemudiannya akan dijadikan modal untuk membiayai operasi syarikat. Modal syer boleh dikelaskan kepada tiga iaitu: • Modal dikeluarkan • Modal berbayar • Modal belum bayar 3.1.1 Modal Dikeluarkan Modal dikeluarkan adalah modal syer yang telah diisukan kepada pemegang syer. Ianya merupakan syer yang telah dilanggan oleh pemegang syer. 3.1.2 Modal Berbayar Modal berbayar merupakan modal syer yang telah dibayar dengan tunai oleh pemegang syer sebagai balasan bagi sejumlah syer yang dilanggan. Ianya adalah jumlah wang yang diterima oleh syarikat daripada pemegang syer sebagai bayaran ke atas syer-syer yang telah mereka langgan. Nilai modal berbayar mungkin lebih kecil daripada modal dikeluarkan sekiranya bayaran yang dibuat oleh pemegang syer adalah secara tidak penuh. Syarikat boleh menggunakan dana ini untuk membeli aset atau barang niaga, sewaan atau pengubahsuaian premis perniagaan atau dijadikan sebagai sebahagian daripada modal kerja.


35 3.1.3 Modal Belum Bayar Modal belum bayar merupakan syer yang telah diisukan dan dilanggan oleh pemegang syer, tetapi pemegang syer tersebut masih belum membuat bayaran penuh ke atas syer yang dilanggan kepada syarikat. Pemegang syer adalah bertanggungan ke atas syer yang belum mereka bayar secara penuh. Menurut seksyen 214(1)(d), pemegang syer belum bayar adalah bertanggungan untuk membuat bayaran penuh ke atas syer belum bayar apabila syarikat dibubarkan. 3.2 Syer Menurut seksyen 2 Akta Syarikat 2016, syer ertinya modal syer dikeluarkan sesuatu perbadanan dan termasuk saham kecuali perbezaan antara saham dengan syer dinayatakan atau tersirat. Syer juga merujuk kepada satu unit stok yang mewakili kepentingan seseorang dalam sesebuah syarikat. Selain itu, syer juga bermaksud satu bahagian daripada modal sesebuah syarikat yang membolehkan pemegang syer berkongsi keuntungan syarikat. Definisi syer dapat dilihat menerusi kes Burland’s Trustee lwn Steel Bros. & Co. (1901). Dalam kes ini, Hakim Farwell menyatakan bahawa: “Syer merupakan kepentingan pemegang syer dalam syarikat yang diukur dengan sejumlah wang bagi tujuan liabiliti, dan kepentingan dan juga merupakan satu siri perjanjian bersama di antara pemegang syer inter se” Secara ringkasnya, syer adalah sebahagian daripada pemilikan bagi sesebuah syarikat. Seseorang individu yang membeli atau melanggan sebahagian daripada modal syer syarikat akan menjadi pemegang syer syarikat yang merupakan pemilik syarikat secara bersama dengan pemegangpemegang syer yang lain. Oleh itu, setiap pemegang syer akan mempunyai kepentingan terhadap syarikat berdasarkan jumlah syer yang dilanggan oleh mereka. 3.2.1 Pengkelasan Syer Modal syer syarikat dibahagikan kepada beberapa kelas syer yang berbeza. Syer yang dikeluarkan oleh syarikat mempunyai hak dan keistimewaan yang berbeza bergantung kepada kelas syer yang ditetapkan. Menurut seksyen 69(1) Akta Syarikat 2016, syer di dalam syarikat boleh dalam kelas yang berbeza. Oleh itu, sesebuah syarikat boleh mengeluarkan syer-syer daripada jenis yang berlainan. Antara perbezaan yang wujud di antara kelas-kelas syer ialah seperti syer yang boleh ditebus semula oleh syarikat, hak mengundi, tiada hak mengundi, keutamaan dalam pengagihan


36 keuntungan syarikat dan keutamaan dalam pengagihan modal syarikat. Secara amnya, perbezaan kelas syer boleh dikategorikan kepada dua seperti berikut: • Syer biasa • Syer keutamaan 3.2.1.1 Syer Biasa Syer biasa merupakan kelas syer yang paling lazim bagi sesebuah syarikat dan paling banyak dikeluarkan. Syer biasa juga dikenali sebagai ekuiti syer di bawah Akta Syarikat 2016. Menurut seksyen syer ekuiti bermaksud apa-apa syer yang bukan syer keutamaan. Sebagaimana yang yang telah diperuntukkan di bawah seksyen 71 Akta Syarikat 2016, antara hak-hak pemegang syer selain daripada syer keutamaan ialah: • Hak untuk menghadiri, menyertai dan bersuara dalam mesyuarat • Hak untuk mengundi dengan mengangkat tangan atas mana-mana ketetapan syarikat • Hak satu undi bagi setiap syer dalam pengundian ketetapan syarikat • Hak ke atas syer yang sama dalam agihan lebihan aset syarikat • Hak ke atas syer yang sama dalam dividen yang dibenarkan oleh lembaga pengarah syarikat Antara ciri-ciri syer biasa ialah: • Merupakan syer yang mempunyai hak biasa tanpa takrifan tertentu. • Pemegang syer biasa hanya akan dibayar dividen setelah dividen dibayar kepada pemegang syer keutamaan. • Pemegang syer biasa mempunyai hak mengundi dan mengawal polisi syarikat. • Kadar dividen untuk pemegang syer biasa tidak tetap. Ianya berubah-ubah bergantung kepada keuntungan syarikat dan mengikut ketetapan lembaga pengarah syarikat. • Sekiranya syarikat digulung atau dibubarkan, pemegang syer biasa adalah yang terakhir menerima agihan lebihan aset syarikat yang masih ada.


37 3.1.1.2 Syer Keutamaan Menurut seksyen 2 Akta Syarikat 2016, syer keutamaan merupakan suatu syer tidak kira dengan apa nama pun ianya dipanggil, pemegangnya tidak mendapat hak untuk mengundi atas ketetapan syarikat atau apa-apa hak untuk mengambil bahagian di luar amaun yang dinyatakan dalam manamana pengagihan sama ada melalui dividen, penebusan, dalam penggulungan atau selainnya. Dalam lain perkataan, pemegang syer keutamaan tidak mempunyai: • Hak untuk mengundi (melainkan dividennya telah tertunggak selama dua belas bulan). • Hak untuk mengambil bahagian melebihi daripada amaun yang dinyatakan secara spesifik dalam mana-mana pengagihan dividen, atau lebihan aset ketika penggulungan syarikat. Antara ciri-ciri syer keutamaan ialah: • Pemegang syer keutamaan bukanlah pemilik syarikat. Ini kerana mereka tidak mempunyai hak untuk mengundi atau campur tangan dalam urusan syarikat. • Pemegang syer keutamaan mempunyai keutamaan dalam tuntutan pembayaran dividen. Dividen akan dibayar kepada pemegang syer keutamaan terlebih dahulu, kemudian barulah dividen dibayar kepada pemegang syer biasa. • Kadar dividen syer keutamaan adalah tetap dan tidak bergantung kepada jumlah keuntungan yang diperolehi syarikat. • Pemegang syer keutamaan mempunyai keutamaan dalam tuntutan ke atas pembahagian modal syarikat ketika penggulungan syarikat. Syer keutamaan boleh dibahagi kepada empat jenis iaitu: • Syer Keutamaan Penyertaan – Syer ini memberikan hak bukan sahaja untuk menerima dividen yang telah ditetapkan jumlahnya, tetapi juga dividen tambahan jika terdapat baki lebihan keuntungan selepas dividen dibayar kepada pemegang syer biasa. • Syer Keutamaan Kumulatif Dan Bukan Kumulatif - syer keutamaan kumulatif memberikan hak untuk mendapatkan dividen pada kadar tetap sepanjang hayat syarikat. Sekiranya syarikat mengalami penurunan dalam keuntungan yang menyebabkan kadar dividen sebenar tidak dapat dibayar, tunggakan bayaran dividen boleh dibayar pada tahun berikutnya.


38 Bagi syer keutamaan bukan kumulatif pemegang syer ini berhak untuk mendapatkan pembayaran dividen pada kadar tetap hanya pada tahun yang syarikat memperolehi keuntungan mencukupi. Sekiranya keuntungan syarikat turun, pembayaran dividen yang ditetapkan tidak akan dibawa ke tahun berikutnya. • Syer Keutamaan Boleh Tukar – Syer yang boleh ditukar kepada kelas syer yang berbeza. • Syer Keutamaan Boleh Tebus – Syarikat boleh menebus syer ini daripada pemegang syer pada jangka masa akan datang yang telah ditetapkan atau opsyen syarikat. Seksyen 72(2) Akta Syarikat 2016, syarikat boleh mengeluarkan syer keutamaan boleh tebus jika ianya dibenarkan oleh perlembagaan syarikat, ia dibuat mengikut perlembagaan, syer tersebut berbayar penuh menurut seksyen 72(4) dan penebusan tidak mengurangkan amaun saham. Selain itu, penebusan perlulah dibuat daripada keuntungan atau melalui pengeluaran syer baharu atau modal syarikat. Berdasarkan seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016, perlembagaan syarikat mesti menetapkan hak-hak pemegang syer keutamaan dari segi: • Pembayaran balik modal • Penyertaan dalam lebihan aset dan keuntungan • Dividen terkumpul atau tidak terkumpul • Pengundian • Keutamaan pembayaran modal berbanding dengan syer lain atau kelas syer keutamaan lain • Keutamaan pembayaran dividen berbanding dengan syer lain atau kelas syer keutamaan lain Perbezaan antara syer biasa dengan syer keutamaan adalah seperti Jadual 3.1 seperti dibawah. Hak Pemegang Syer Syer Biasa Syer keutamaan Hadir mesyuarat / / Hak mengundi / X Kadar dividen Tidak Tetap Tetap Pembayaran dividen Dibayar selepas pembayaran syer keutamaan Keutamaan pembayaran sebelum syer biasa


39 3.3 Dividen Secara umumnya, pelabur atau pemegang syer mengharapkan pulangan pelaburan daripada setiap syer yang telah dilanggan oleh mereka. Pulangan pelaburan ini ialah dividen. Secara prinsipnya, pemegang syer atau ahli sesebuah syarikat tidak boleh mendapatkan wang daripada syarikat kecuali dalam bentuk dividen. Dividen merupakan amaun yang diterima oleh pemegang-pemegang syer sesebuah syarikat apabila syarikat memperolehi keuntungan. Dengan kata lain, dividen merujuk kepada agihan sebahagian daripada keuntungan syarikat setelah diputuskan oleh lembaga pengarah kepada pemegang syer syarikat. Dividen tidak boleh dibayar kecuali jika syarikat memperolehi keuntungan yang mencukupi untuk tujuan pembayaran dividen. Syarikat boleh mengagihkan kesemua atau sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi kepada ahli-ahlinya dalam bentuk dividen. Dividen boleh dibayar dalam bentuk wang tunai atau syer dividen, aset-aset khusus atau tertentu, debentur, stok debentur atau cara lain yang ditetapkan oleh perlembagaan syarikat. Bagi membolehkan sesebuah syarikat membuat pembayaran dividen, syarikat mestilah memenuhi keperluan berikut: • Seksyen 131 – Syarikat hanya boleh membuat pengagihan dividen daripada keuntungan. • Seksyen 132 – Pengagihan dividen dibuat setelah dibenarkan oleh pengarah syaarikat. • Seksyen 132(2) – Pengarah boleh membenarkan agihan dividen dibuat jika pengarah berpuas hati bahawa syarikat adalah solven sebaik selepas agihan dividen dibuat. • Seksyen 232(3) – Syarikat dianggap solven jika syarikat itu berupaya membayar semua hutangya yang perlu dibayar dalam tempoh dua belas (12) bulan selepas dividen diagihkan. Seksyen 131(1) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan bahawa syarikat, setiap pegawai dan mana-mana orang lain atau individu yang melanggar seksyen ini mengenai pengagihan dividen telah melakukan kesalahan dan jika didapati bersalah boleh dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi tiga juta ringgit atau kedua-duanya skali. 3.3.1 Jenis-jenis Dividen Dividen boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu dividen interim, dividen terakhir, dividen terkumpul dan dividen tidak terkumpul.


40 3.3.1.1 Dividen Interim Dividen interim diisytiharkan oleh pengarah apabila yakin dengan kedudukan kewangan syarikat dan dibayar sebelum berakhir atau tamat tempoh tahun kewangan tersebut atau sebelum mesyuarat agung tahunan diadakan. Sekiranya kedudukan kewangan syarikat berubah dan syarikat menjadi tidak solven selepas pengisytiharan dividen interim, maka pengarah syarikat boleh membatalkan dividen interim pada bila-bila masa sebelum pembayaran dibuat. Pengisytiharan dividen interim bukan suatu hutang kepada syarikat. 3.3.1.2 Dividen Terakhir Pengisytiharan dan pembayaran dividen terakhir dibuat setelah keuntungan syarikat diperolehi bagi sesuatu tempoh perakaunan telah tamat. Ini bermakna keuntungan syarikat telah dapat diketahui dan disahkan. Sebaik sahaja dividen terakhir diisytiharkan, ianya akan menjadi tanggungan atau hutang syarikat kepada pemegang syer. Oleh itu, pemegang-pemegang syer syarikat boleh memaksa syarikat untuk membuat pembayaran tersebut. 3.3.1.3 Dividen Terkumpul Dividen terkumpul merupakan jumlah pembayaran dividen yang tidak dibayar pada tahun kewangan semasa dan dibawa ke tahun hadapan atau tahun-tahun seterusnya. Jumlah dividen tertunggak tersebut ialah dividen terkumpul. Dividen terkumpul ini biasanya melibatkan syer keutamaan kumulatif. 3.3.1.4 Dividen Tidak Terkumpul Dividen tidak terkumpul merujuk kepada dividen yang dibayar bagi satu tahun keuntungan sahaja dan tunggakan pembayaran dividen tidak akan dibawa ke tahun hadapan. 3.4 Debentur Seksyen 2 Akta Syarikat 2016 mentafsirkan debentur sebagai termasuk saham debentur, bon, sukuk, nota dan apa-apa sekuriti lain sesuatu perbadanan sama ada merupakan suatu gadaian ke atas perbadanan itu atau tidak. Debentur merupakan satu instrumen hutang yang menjadi surat saksi yang dikeluarkan oleh syarikat kepada pihak atau individu yang memberikan pinjaman modal kepada syarikat. Pihak atau individu yang memberikan pinjaman modal dengan melanggan debentur ini disebut sebagai pemegang dibentur. Oleh itu, debentur merupakan satu dokumen yang dikeluarkan oleh


41 syarikat untuk menunjukkan atau menyaksikan hutang yang telah dibuat oleh syarikat daripada pemegang dibentur, sama ada hutang tersebut dijamin dengan cagaran atau tanpa apa-apa jaminan cagaran. Debentur mempunyai satu ikatan kontrak yang dipersetujui oleh syarikat dan pemegang debentur. Ikatan kontrak ini adalah suatu penyaksian bahawa pihak syarikat akan membuat bayaran faedah bagi sesuatu tempoh yang telah ditentukan dan bayaran balik jumlah pinjaman atau prinsipal berserta pulangan faedah yang dipersetujui apabila debentur mencapai tempoh matang. Debentur merupakan satu instrumen pinjaman jangka panjang. Ciri-ciri debentur ialah: • Pemegang debentur berhak untuk menerima bayaran faedah secara berkala pada kadar yang telah dipersetujui. • Pemegang debentur juga berhak untuk menebus modal mereka (pinjaman yang diberikan) mengikut perjanjian/kontrak. • Pemegang debentur tidak mempunyai hak mengundi. • Kebiasaannya, debentur dijamin oleh caj atau gadaian ke atas aset-aset syarikat. • Pemegang debentur mempunyai hak untuk menyaman syarikat jika gagal melunaskan sebarang bayaran tertunggak seperti ikatan kontrak. Terdapat dua jenis debentur iaitu debentur tunggal dan debentur awam/siri. 3.4.1 Debentur Tunggal Debentur tunggal merupakan dokumen yang menyaksikan pinjaman yang dibuat oleh syarikat di antara individu persendirian, bank atau institusi kewangan. Kebiasaannya, debentur tunggal dijamin dengan caj tetap atau caj terapung ke atas aset-aset syarikat. Pembayaran balik secara automatik boleh diminta oleh pemegang debentur sekiranya berlaku pembubaran syarikat atau peristiwa lain yang menyebabkan syarikat gagal menjelaskan hutangnya. 3.4.2 Debentur Siri Merupakan debentur yang diterbitkan kepada orang ramai. Ianya juga dikenali sebagai debentur awam. Sekiranya syarikat menerbitkan debentur kepada orang awam, syarikat diwajibkan melantik pemegang amanah kepada pemegang-pemegang debentur tersebut [seksyen 176(1)]. Debentur siri merupakan sekuriti hutang atau debentur stok yang mana pinjaman ini diperolehi melalui tawaran kepada awam di Bursa Malaysia. Menurut seksyen 158(4), syarikat yang mempelawa orang awam untuk membeli


42 debentur atau menerima deposit wang atau pinjaman daripada orang awam perlu mengeluarkan dokumen yang menyaksikan hutang-hutang tersebut dalam masa dua bulan daripada tarikh penerimaan wang daripada orang awam. 3.4.3 Perbezaan Antara Saham Dan Debentur Terdapat beberapa perbezaan antara saham dan debentur seperti berikut: • Pemegang debentur merupakan pemiutang kepada syarikat, manakala pemegang syer adalah seorang ahli syarikat. • Syarikat perlu menjelaskan keuntungan dalam bentuk faedah kepada pemegang debentur, manakala syarikat mengagihkan dividen kepada pemegang syer. • Pemegang debentur bukan pemilik syarikat, manakala pemegang syer merupakan pemilik syarikat. • Pemegang debentur tiada hak mengundi dalam syarikat, manakala pemegang syer mempunyai hak mengundi dalam syarikat. 3.5 Gadaian Gadaian juga dikenali sebagai cagaran atau caj. Menurut seksyen 2 Akta Syarikat 2016, gadaian termasuk suatu gadai janji dan apa-apa perjanjian untuk memberi atau menyempurnakan suatu gadaian atau gadai janji sama ada atas tuntutannya atau selainnya. Gadaian bermaksud syarikat mencagarkan aset-asetnya sebagai suatu sekuriti atau jaminan terhadap hutang atau pinjaman yang dibuat oleh syarikat. Kuasa sesebuah syarikat bukan sahaja boleh membuat pinjaman, tetapi syarikat juga mempunyai kuasa untuk mencagarkan aset-asetnya sebagai jaminan ke atas pinjaman yang dibuat. Sekiranya syarikat mungkir atau gagal melunaskan pinjaman yang dibuat, pemberi pinjam mempunyai hak ke atas aset yang dicagarkan bagi menyelesaikan hutang syarikat. Aset yang dicagarkan boleh dijual bagi tujuan penyelesaian hutang syarikat telah dijamin dengan gadaian ke atas aset tersebut. Terdapat dua jenis gadaian, iaitu gadaian tetap dan gadaian terapung. 3.4.1 Gadaian Tetap Gadaian tetap dibuat ke atas aset yang spesifik yang melibatkan aset tetap syarikat seperti tanah, bangunan, loji, jentera, kilang dan premis. Sebaik sahaja syarikat membuat gadaian ke atas aset-aset tetapnya, syarikat tidak lagi mempunyai kuasa untuk berurusniaga dengan aset yang telah dicagarkan itu, melainkan setelah mendapat kebenaran daripada pemegang


43 gadaian. Pemegang gadaian merupakan pemiutang syarikat yang telah memberikan pinjaman kepada syarikat dan pinjaman tersebut dijamin dengan gadaian tetap. Maksud syarikat tidak boleh berurusniaga dengan aset yang telah dibuat gadaian tetap ialah syarikat tidak boleh menjual atau menyewakan aset tersebut tanpa mendapat keizinan daripada pemegang gadaian terlebih dahulu. 3.4.2 Gadaian Terapung Gadaian terapung merupakan cagaran yang dibuat ke atas aset syarikat yang tidak spesifik dan ianya sentiasa berubah-ubah sama ada aset syarikat yang sedia ada atau aset syarikat pada masa hadapan. Aset-aset yang dicagarkan di bawah gadaian terapung ini masih boleh syarikat berurusniaga dalam urusan biasa perniagaan. Dengan kata lain, gadaian terapung merupakan cagaran yang tidak tetap dibuat ke atas beberapa jenis aset semasa syarikat yang sentiasa berubah-ubah selari dengan operasi syarikat seperti stok dagangan, penghutang, bahan mentah dan saham tanpa menjejaskan operasi dan urusan harian syarikat. Syarikat masih boleh berurusniaga seperti biasa urusan jual beli aset yang telah dicagarkan ini. Ciri-ciri gadaian terapung ialah: • Merupakan gadaian ke atas aset semasa syarikat yang tidak spesifik sama ada aset sedia ada atau aset yang akan datang. • Aset yang dicagarkan sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa atas urusan jual beli atau urusan operasi biasa syarikat. • Syarikat masih mempunyai kuasa untuk berurusniaga dengan aset yang dicagarkan. 3.5 Kesimpulan Kesimpulannya, sesebuah syarikat yang ditubuhkan memerlukan modal untuk beroperasi, mengembangkan operasi, pembelian aset dan membayar segala kos urusan perniagaannya. Terdapat pelbagai kaedah untuk sesebuah syarikat memperolehi modal perniagaannya seperti penerbitan syer, penerbitan debentur dengan membuat pinjaman daripada bank atau institusi kewangan atau daripada orang ramai. Segala urusan syarikat dalam mendapatkan modal perniagaan ini telah diterangkan secara terperinci oleh Akta Syarikat 2016 dan peruntukan undang-undang ini wajib dipatuhi oleh syarikat.


44 RUJUKAN Aspalella A. Rahman et al (2000). Siri Modul Kendiri Undang-undang Syarikat. Sintok. Pusat Pendidikan Profesional & Lanjutan UUM. Asiah Bidin, Rusniah Ahmad dan Azimon Abd Aziz (2007). Siri Perkembangan Undang-undang Di Malaysia Jilid 5: Undangundang Syarikat. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. ILBS (2017). Undang-undang Malaysia: Akta Syarikat 2016 (Akta 777) & Peraturan-Peraturan. Petaling Jaya. ILBS. Haslinda Mohd Anuar et al (2017). Prinsip Undang-undang Di Bawah Akta Syarikat 2016. Sintok. Penerbit Universiti Utara Malaysia. Siti Salwa Jaafar & Marliana Jamaluddin (2019). Polytechnic Series: Company Law. Shah Alam. Oxford Fajar Sdn. Bhd.


Click to View FlipBook Version