CONTOH KARANGAN
WAKAF 9 (Munsyi Azizi)
Model: KARANGAN FAKTA
Faedah Melibatkan Diri dalam Bidang Sukan
Tidak dapat kita nafikan bahawa aktiviti sukan penting dalam rutin kehidupan
seharian. Tubuh yang cergas ialah pemangkin kepada minda yang cerdas. Jika
kita kurang bersukan, tubuh akan menjadi tidak bermaya dan akan terdedah
kepada jangkitan virus. Sesunggunya, ‘fizikal cergas, minda cerdas”.
Amalan bermain bola sepak, badminton, joging, berenang, aerobik, tenis
atau olahraga ternyata dapat mengistirahatkan benak. Apabila kita berpeluh,
badan kita akan mengeluarkan toksin dan proses pembakaran lemak yang terjadi
pula akan bertindak mengawal masalah obesiti.
Nilai-nilai kesabaran, kerjasama, hormat-menghormati, toleransi dan
muhibah yang lahir semasa bersukan juga akan mewujudkan suasana ceria dan
harmoni dalam kalangan anggota masyarakat. Impaknya, masyarakat sentiasa
menjaga keamanan dalam kehidupan bermasyarakat.
Selain dapat mengisi masa senggang, keaktifan dalam bidang sukan juga
akan menghindari kita daripada terjebak dalam budaya negatif seperti berbual
kosong, bergosip, mencuri, melepak, menyalahgunakan dadah, memeras ugut,
membuli dan sebagainya. Sesungguhnya, gejala sosial sebegitu akan merencatkan
lagi penglahiran masyarakat sihat.
Malahan, selain membantu melonjakkan imej diri dan mengharumkan
nama sesebuah institusi, kejayaan dalam sukan juga membolehkan kita meraih
pelbagai imbuhan dan ganjaran pada pelbagai peringkat kejohanan. Di samping,
dapat memberikan pelbagai pengalaman dan ilmu baru dalam bidang sukan yang
diceburi.
Ternyata, amalan riadah ini dapat membentuk barisan generasi yang
proaktif, intelek, beretika dan berwawasan untuk menjadi pemimpin pelapis pada
masa-masa terkedepan. Bak kata pepatah, “jika tidak dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya”.
(Lebih kurang 140 patah kata)
WAKAF 8 (Munsyi Azizi)
Model: KARANGAN FAKTA
Faedah Bawa Bekal ke Sekolah
‘Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis’. Ungkapan ini amat sinonim dengan
amalan berjimat cermat. Antara konsep yang menepati peribahasa ini adalah
dengan mengamalkan budaya membawa bekal ke sekolah.
Pada hakikatnya, sikap hemat ini dituntut oleh agama, manakala sikap
membazir pula ialah warisan akhlak syaitan. Keprihatinan dalam berbelanja juga
menjadikan kita individu yang beretika dan insan yang lebih bertanggungjawab.
Murid yang membawa bekal ke sekolah akan menyelamatkan kos
perbelanjaan harian. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa dapat disimpan untuk
kegunaan pada waktu-waktu darurat.
Malah, sekiranya wang ini ditabung di bank, deposit yang telah
menjangkau tempoh matang akan diberi faedah oleh pihak bank. Prosedur bank
ini akan memperkasakan ekonomi peribadi dan berperanan pula menstabilkan
pendapatan kasar negara.
Amalan pembawaan bekal ke sekolah juga dapat menghindari kita daripada
keracunan. Makanan yang disediakan dari rumah lebih lengkap pengisian
ramuannya, bersih dan bebas daripada jangkitan bakteria, sedangkan makanan
yang dibeli di sekolah mungkin lebih berisiko kerana melalui proses penyediaan
yang kurang sempurna kerana terperangkap dalam kekalutan untuk mengejar
masa.
Daripada penerangan di atas, jelaslah bahawa amalan membawa bekal ini
dapat menyediakan pelaburan jangka panjang. Bak kata pepatah, “berakit-rakit ke
hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang
kemudian.”
(Lebih kurang 140 patah kata)
Model: KARANGAN GAMBARAN
Suasana di Pasar Malam
Pasar malam yang dibuka pada pukul 5.00 petang biasanya diadakan seminggu
sekali. Laluan yang dijadikan lokasi pasar malam akan ditutup lebih awal untuk
memudahkan para peniaga menyusun barangan jualan.
Selepas maghrib, lampu dari gerai-gerai mula bergemerlapan menerangi
medan beli-belah ini. Apabila pasar malam sesak, suasana menjadi riuh-rendah
dengan aktiviti tawar-menawar dan laungan suara peniaga yang berebut-rebut
untuk menjaja barangan jualan mereka.
Pelbagai produk dijual di pasar malam, seperti bahan mentah, makanan
segera, perkakas dapur, pakaian, aksesori wanita, barang-barang permainan,
teks bacaan, bahan audio, barangan terpakai dan lain-lain.
Kendatipun, tidak semua pengunjung yang datang ke pasar malam
berhasrat untuk berbelanja. Ada yang hanya menjamu mata, ada yang mundar-
mandir memperagakan penampilan dan ada juga yang menjadikan pasar malam
sebagai medan pertemuan peribadi.
Gerai yang sering memonopoli kunjungan ialah gerai yang menggunakan
kemudahan audio untuk mencanangkan barangan jualan. Pembesar suara saling
bergema dari pelbagai arah untuk mempropagandakan jualan lelong,
memperkenalkan ubat-ubatan dan mempromosi teks ceramah, lagu-lagu atau
filem terkini yang popular di pasaran.
Pasar malam lazimnya akan beransur-ansur lengang selepas pukul
10.00 malam. Pada waktu ini, para peniaga akan mulai berkemas dan
kemudiannya akan membersihkan tapak gerai masing-masing.
(Lebih kurang 130 patah kata)
Model: KARANGAN FAKTA
Cara-cara untuk Mewujudkan Keceriaan di Bilik Darjah
Setiap murid ingin memiliki bilik darjah yang yang bersih, kemas dan ceria
agar sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam iklim yang
selesa. Pelbagai inisiatif perlu digembleng untuk merealisasikan kelas impian
ini.
Panel khas perlu ditubuhkan untuk menyelaraskan aktiviti keceriaan ini.
Panitia yang bertanggungjawab untuk membuat pembahagian kumpulan tenaga
kerja dan pengagihan tugasan harian ini perlu memastikan bahawa setiap murid
akan memainkan peranan seperti yang dipertanggungjawabkan.
Antara pengisian dalam slot jadual tugas harian ini termasuklah
tugasan untuk menyapu lantai, mengelap dan membersihkan tingkap serta
mengenyahkan habuk dan sawang daripada kipas dan lampu.
Bagi menonjolkan kelainan dan keunikan panorama hiasan dalaman,
kedudukan susun atur perabot seperti almari dan kerusi meja juga mestilah
dalam penampilan malar ceria. Budaya tampalan carta, gambar rajah atau poster
tertentu yang sarat dengan input ilmu mutakhir pada dinding juga akan
menambahkan keindahan kelas.
Penyediaan sudut bacaan yang dilengkapi dengan pelbagai sumber teks
juga pastinya memeriahkan personaliti bilik darjah. Malah, kelas juga akan
menjadi lebih anggun penampilannya sekiranya setiap jendela berhiaskan
langsir yang menepati trend fesyen terkini.
Sesungguhnya, seandainya setiap usaha ini dapat disempurnakan
semaksimum mungkin, maka sudah pasti suasana di bilik darjah akan
sentiasa menjadi lebih bersih, ceria, kemas dan selesa lantas mewujudkan suasana
pengisian ilmu yang melangkaui kebiasaan.
(Lebih kurang 130 patah kata)
KARANGAN UPSR
Model: KARANGAN LAPORAN
Laporan Sukan Tahunan Kali Ke-45
Temasya Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Taman Saujana, Taiping, telah
diadakan pada hari Sabtu, 2 Mac 2019, bertempat di padang sekolah. Majlis ini
telah dimulakan seawal pukul 8.30 pagi.
Perbarisan lintas hormat dan ucapan oleh Pegawai Pendidikan Daerah,
Tuan Haji Nor Azizi bin Haji Mohd. Isa, mengisi agenda perasmian temasya
sukan. Selepas upacara pembukaan, sedas tembakan dilepaskan ke udara
sebagai tanda terasminya Kejohanan Sukan Tahunan Kali Ke-45 ini.
Acara sukan yang dijalankan ialah acara balapan, sukaneka, acara
pegawai sukan, acara PIBG dan acara alumni sekolah. Acara klimaks ialah
acara tarik tali akhir, yang dijalankan sebelum upacara penutup. Keadaan iklim
yang baik dan kehadiran sebilangan besar ibu bapa yang memberikan sokongan
moral telah membantu melicinkan kelangsungan temasya sukan ini.
Persembahan Silat Seni Gayung oleh murid-murid tahap dua menghiasi
masa rehat temasya. Kelincahan pesilat yang mempamerkan aksi tempur tanpa
senjata telah mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada audiens.
Johan rumah sukan ialah Rumah Temenggung. Rumah Bendahara pula
menduduki tempat kedua, manakala tempat ketiga dan keempat ialah Rumah
Laksamana dan Rumah Syahbandar. Gelaran olahragawan dan olahragawati
pula diraih oleh Isyraqhakim bin Hussain dan Norhidayah binti Anoor,
masing-masing dari Rumah Temenggung.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Pegawai
Daerah dan temasya sukan tahunan menutup tirainya pada pukul
12.30 tengah hari. Semua hadirin menunjukkan semangat kesukanan dan
kerjasama yang tinggi. Semoga penganjuran sukan tahunan akan datang, lebih
menceriakan para tetamu.
Laporan disediakan oleh, 2 Jun 2018.
Yaziz
(ABDUL YAZIZ BIN MOHAMAD)
Setiausaha Sukan 2,
Sekolah Kebangsaan Taman Saujana.
Model: KARANGAN KEPERIHALAN
Menangani Kecemasan
Matahari yang mencacak menjadikan suasana perhimpunan semakin
membahang. Deretan ucapan juga menyebabkan kami kelesuan dan
tertekan. Keringat mulai menghiasi tubuh. Wajah beberapa orang murid kelihatan
agak pucat kerana tidak betah menangani terik matahari.
Tiba-tiba, Abdullah yang berdiri di sisiku terhuyung-hayang. Aku sempat
menyambarnya sebelum dia terlentang ke dataran kejat. Suasana menjadi panik
apabila murid lain mulai berkerumun.
Sebagai anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, kes sebegini
memang “kacang” bagiku. Dengan bantuan Ikmal, Abdullah, kami usung ke
kantin untuk mengelakkan gangguan lain. Aku menyeru-nyeru namanya dan
menampar-nampar pipi Abdullah untuk memastikan tahap kesedarannya.
Setelah terbukti Abdullah benar-benar pengsan, Ikmal kuarahkan mencari
minyak angin dan setimba air. Aku menanggalkan baju Abdullah dan
menggunakannya sebagai pengibas. Tali pinggang Abdullah juga kulucutkan
untuk melancarkan perjalanan darahnya.
Ikmal kemudiannya muncul kembali. Manakala aku membasahi kepala
Abdullah dan menyeka air ke wajahnya, Ikmal kuminta menyapukan minyak
pada bahagian-bahagian sendi tertentu pada tubuh Abdullah untuk
mengembalikan kesedarannya.
Usaha ini nampaknya berhasil kerana Abdullah tiba-tiba mencelikkan
mata dan menggerak-gerakkan tubuhnya. Selepas menenangkannya, Abdullah
kami iringi ke bilik rawatan untuk beristirahat sementara menunggu rawatan
susulan. Syukur kerana pada hari ini, satu lagi disiplin nilai telah
kurealisasikan.
(Lebih kurang 140 patah kata)
Model: KARANGAN FAKTA
Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum
Kokurikulum ialah aktiviti luar darjah yang bermanfaat dan begitu berkesan
untuk membentuk personaliti murid yang kreatif, progresif, dinamis, berdaya
saing dan berwawasan. Kegiatan yang merangkumi persatuan, unit beruniform
serta permainan ini dijalankan selama dua jam seminggu.
Tidak dapat kita nafikan bahawa penyertaan dalam kegiatan
kokurikulum ini banyak faedahnya. Aktiviti kokurikulum menekankan amalan
bekerja secara berpasukan. Hasilnya, setiap agenda yang diusahakan akan
menjimatkan masa, tenaga dan material.
Jika ditinjau daripada aspek pembentukan sahsiah, selain membolehkan
murid memartabatkan ilmu dan mendominasikan kemahiran mekanikal,
keaktifan dalam kegiatan kokurikulum juga akan melahirkan individu yang
tegas, beretika dan cekal dalam menangani kemelut kehidupan seharian.
Penglibatan dalam aktiviti ini juga membolehkan masa murid terisi
dengan tugasan yang memanfaatkan, lantas menghindari mereka daripada
sebarang pengaruh negatif.
Malahan, kegiatan kokurikulum juga berpaksikan semangat berdikari
dan jati diri, yang memungkinkan seseorang murid bertindak secara
sendirian.
Menyedari hakikat tersenarai, jelaslah bahawa selain menjana idea dan
kemahiran kreatif, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum mampu
membentuk personaliti dan sahsiah diri setiap murid untuk mengharungi
pelbagai aral terkedepan.
(Lebih kurang 130 patah kata)
Model: KARANGAN KEPERIHALAN
Pengalaman Menyertai Kem Motivasi UPSR
Baru-baru ini, saya telah mengikuti satu program motivasi Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR). Program selama dua hari satu malam ini diadakan di
Dewan Kuliah Perdana, Maktab Rendah Sains MARA, Taiping, Perak. Program
ini dimulakan seawal pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 10.00 malam.
Program anjuran PIBG ini melibatkan empat subjek teras UPSR, iaitu
Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains. Barisan penceramahnya
terdiri daripada kalangan guru pakar dalam keempat-empat kertas peperiksaan
berkenaan.
Setiap peserta dibekalkan dengan fail yang dilengkapi bahan edaran
bengkel. Program motivasi ini merangkumi slot analisis soalan peperiksaan, slot
teknik jawab soalan, slot tip peperiksaan dan slot pengurusan masa.
Kesempurnaan pengurusan makan minum, iklim bilik kuliah yang selesa
dan kemudahan prasarana asrama yang canggih menyebabkan kami sentiasa
ceria dan bertenaga sepanjang menghadiri program tersebut.
Kami juga sempat menunaikan solat hajat dan membaca surah Yasin untuk
memohon keberkatan-Nya agar ganjaran maksimum, iaitu pakej 6A dalam
UPSR akan kami miliki.
Sesungguhnya, program motivasi ini telah berjaya membentuk jati diri
dan memperkukuh iltizam saya untuk menghadapi UPSR yang bakal mendatang.
(Lebih kurang 130 patah kata)
WAKAF 7 (Munsyi Azizi)
Model: KARANGAN KEPERIHALAN
Kesiangan
Sergahan dan cubitan mengejutkan lenaku. Wajah ibu mencuka. Terkebil-kebil
aku dibuatnya. Alamak, jam mempamerkan pukul 7.05 pagi! Kesiangan kiranya
aku. Musibah apakah yang menafikan tugas penggera jam locengku? Bateri
agaknya. Sempatkah aku ke sekolah?
Aku bingkas meraih tuala. Ibu mengomel keterkilanan kerana kelewatanku
mengerjakan solat subuh. Dalam kekalutan, aku menerpa ke kamar mandi. Oleh
sebab kesuntukan, mandi kerbaulah nampaknya.
Selepas beruniform, aku menjengkau dua keping sandwic yang terhidang di
meja. Ibu yang sedari tadi asyik memperhatikanku, menggeleng-gelengkan kepala
apabila aku merapatinya. Selepas memperoleh restu ibu, aku menghambur keluar.
Basikal yang setia tersandar di dinding garaj lantas kusambar.
Aku mengayuh dengan pantas. Kelajuan dayunganku rasa-rasanya mampu
membunuh kucing yang melintas. Berpeluh-peluh juga aku semasa tiba di
sekolah. Hari ini, terekodlah namaku dalam kes hadir lewat.
Aku meluru ke kelas. Selepas membaca doa pelembut, aku mengetuk pintu.
Sebaik-baik sahaja Puan Ana memberikan isyarat, aku menapak masuk. Setelah
ucap salamku bersahut, aku terus mohon maaf atas kelewatanku. Sambil
mengangguk, beliau menasihatiku agar tidak mengulangi kesilapan tersebut.
Aku bersyukur kerana proses pembelajaran dan pengajaran masih belum
dimulakan. Aku dimaklumkan bahawa semua murid masuk ke kelas agak lewat
kerana banyak pengisian yang telah diperturunkan semasa sesi perhimpunan tadi.
(Lebih kurang 120 patah kata)
Model: KARANGAN GAMBARAN
Kejohanan Sukan Olahraga Sekolah Saya
Kejohanan Sukan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan St. George Satu,
Taiping, Perak telah diadakan pada hari Sabtu, 28 Februari 2019, bertempat
di padang sekolah. Temasya ini telah dimulakan seawal jam 8.30 pagi.
Perbarisan lintas hormat dan ucapan oleh Yang Dipertua PIBG, Encik
Muthaya, mengisi agenda perasmian temasya sukan. Selepas upacara
pembukaan, sedas tembakan dilepaskan ke udara sebagai tanda terasminya
Kejohanan Sukan Olahraga Sekolah Kebangsaan St. George Satu Kali Ke-45.
Acara sukan yang dijalankan ialah acara balapan, sukaneka, acara
pegawai sukan, acara PIBG dan acara alumni sekolah. Acara klimaks ialah
acara tarik tali akhir, yang dijalankan sebelum upacara penutupan.
Keadaan iklim yang baik dan kehadiran sebilangan besar ibu bapa yang
memberikan sokongan moral telah membantu melicinkan kelangsungan temasya
sukan ini.
Persembahan Silat Seni Gayung oleh murid-murid tahap dua menghiasi
masa rehat temasya. Kelincahan pesilat yang mempamerkan aksi tempur
tanpa senjata telah mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada audiens.
Johan rumah sukan ialah Rumah Temenggung. Rumah Bendahara pula
menduduki tempat kedua, manakala tempat ketiga dan keempat ialah Rumah
Laksamana dan Rumah Syahbandar. Gelaran olahragawan dan olahragawati pula
diraih oleh Mohd. Zikrilhakim bin Nor Azizi dan Wan Shahirah binti Wan
Suhaimi, masing-masing dari Rumah Temenggung.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Pegawai
Daerah, Haji Faisal binti Hanafiah. Temasya sukan olahraga tahunan menutup
tirainya pada pukul 12.30 tengah hari.
(Lebih kurang 140 patah kata)