The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Terdapat kesemua 16 jenis karangan contoh dalam bahasa Melayu.
6 jenis karangan berformat umum dan 10 jenis karangan berformat khusus. Moga bermanfaat.

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Muallimah Khairiah@MK, 2021-01-31 22:47:58

Karangan Contoh Bahasa Melayu Tahun 6

Terdapat kesemua 16 jenis karangan contoh dalam bahasa Melayu.
6 jenis karangan berformat umum dan 10 jenis karangan berformat khusus. Moga bermanfaat.

Keywords: karangan contoh

Karangan Contoh Bahasa Melayu Tahun 6

Murid-murid diminta menyalin semula karangan contoh ini dalam buku
penulisan.

Karangan Autobiografi

Aku Sebuah Kamus

Aku bersyukur kerana dilahirkan sebagai sebuah kamus. Namaku Kamus
Dewan Pelajar. Badanku berbentuk empat segi. Aku tidak mempunyai kaki
mahupun tangan. Badanku setebal empat sentimeter. Aku dilahirkan di
sebuah kilang percetakan di Kuala Lumpur.

Rumah kedua aku ialah Kedai Buku Popular. “Wah, banyak betul
rakanku di kedai ini!” Mereka ialah rakan kamusku. Aku ditempatkan sederet
dengan rakan kamus daripada pelbagai syarikat penerbitan. Setelah dua
bulan berada di kedai buku tersebut, aku dibeli oleh seorang murid
perempuan bernama Amira dengan harga RM28.00 senaskhah.

Rumah ketigaku ialah rumah tuan baruku. Aku diletakkan di atas rak
buku di dalam biliknya. Amira seorang murid yang rajin. Dia selalu
menggunakanku untuk merujuk perkataan yang sukar. Kadangkala Amira
membawaku ke sekolah.

Cikgu Siti selalu memuji sikap Amira yang membawa kamus ke sekolah.
Aku memerhatikan tidak ramai murid yang membawa kamus ke sekolah.
Jika aku boleh bercakap sudah tentu aku akan menasihati mereka agar
memiliki sebuah kamus untuk meningkatkan kefahaman perbendaharaan
kata.

Kini, Amira telah menamatkan pelajarannya di universiti. Namun, aku
tetap menjadi pembantu setianya walaupun dia sudah memiliki kamus lain.
Aku adalah antara sahabat lamanya yang paling dihargai. Aku berjanji akan
tetap memberikan khidmat yang terbaik untuknya.

Karangan Biografi

Sahabat Karib

Setiap orang mempunyai sahabat. Tanpa sahabat atau kawan, hidup kita
ibarat kera sumbang. Saya mempunyai seorang sahabat yang bernama
Masdor, yang saya anggap cukup istimewa. Saya memanggilnya Dor
sahaja. Dor dilahirkan pada 12 Julai 2009.

Dia ialah anak sulung Encik Masdar Ali, seorang jurutera dan Puan
Marhamah Malim, seorang guru. Saya mengenali Dor sejak kecil lagi kerana
kami berjiran. Selain itu, kami dibesarkan oleh pengasuh yang sama, iaitu
Mak cik Jamilah, yang juga jiran kami.

Persahabatan kami begitu akrab. Saya sering dibawa oleh keluarga
Dor balik ke kampungnya. ‘Macam belangkas’ itulah ungkapan yang sesuai
mengambarkan betapa akrabnya kami.

Dor bercita-cita menjadi seorang jurutera seperti ayahnya. Dalam
pelajaran, kami sentiasa bersaing untuk merebut tempat teratas di sekolah.
Kami sentiasa bersaing sejak kami menjejakkan kaki di bangku sekolah. Kami
sentiasa mendapat ‘A’ dalam semua mata pelajaran.

Dalam bidang sukan, Dor dan saya telah mewakili sekolah dalam
sukan badminton dan bola sepak. Selain itu, kami, juga mempunyai hobi
yang sama, iaitu mengumpul topi dan lencana.

Persahabatan kami yang akrab tidak menghalang untuk saya
mengenali lebih ramai kawan, bak kata pepatah, “berkawan biar seribu,
bermusuh jangan sekali”. Teman setia pula ialah apabila dia sanggup sedih
dan ketawa bersama-sama.

Karangan Cerita/Cereka

Soalan: Kamu dan rakan-rakan kamu sedang menyiapkan tugasan di Bilik
Kemahiran Hidup. Tiba-tiba salah seorang daripada rakan kamu tercedera
kerana terkena benda tajam. Ceritakan tindakan-tindakan yang kamu
lakukan.

Pada suatu hari, aku dan rakan-rakan sedang mengikuti kelas Kemahiran
Hidup. Tiba-tiba seorang rakanku tercedera akibat terkena pahat. Pada
waktu itu, Cikgu Ali, iaitu guru Kemahiran Hidup kami pergi ke tandas.

Justeru, aku terus ke bilik guru untuk memberitahu guru tentang
kejadian itu. Aku turut mendapatkan peti pertolongan cemas yang terletak
di situ. Kami bergegas ke bilik Kemahiran Hidup.

Pada mulanya aku menyapu ubat antiseptik untuk membunuh kuman
yang terdapat pada luka tersebut. Kemudian, aku membalut luka tersebut
mengikut cara yang aku pelajari semasa aktiviti Tunas Kadet Remaja
Sekolah.

Selepas itu, aku dan guruku memapah rakanku ke bilik rehat dan
menelefon bapa rakanku untuk memaklumkan mereka tentang peristiwa
tersebut. Kemudian, kami membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.

Beberapa minggu kemudian, luka rakanku semakin pulih. Dia

berterima kasih atas pertolongan yang aku berikan semasa dia tercedera di

Bilik Kemahiran Hidup tempoh hari. Aku bersyukur kerana luka kawanku tidak

serius dan sudah semakin pulih.

Dia berjanji akan mematuhi segala peraturan semasa berada di Bilik
kemahiran Hidup dan berhati-hati ketika menggunakan benda-benda yang
tajam semasa pengajaran dan pembelajaran.

Karangan Peribahasa

Bagai Aur dengan Tebing

Kampung Pasir ialah sebuah perkampungan yang terletak di tebing sungai
Kelantan. Kebanyakan penduduk kampung ini bekerja sebagai penoreh
getah. Terdapat juga antara mereka yang bekerja sebagai nelayan sungai.

Penduduk Kampung Pasir hidup bersatu-padu. Mereka saling
menolong dan bekerjasama. Segala masalah mereka selesaikan bersama-
sama secara bijaksana. Walaupun sekali-sekala berlaku perselisihan
pendapat, namun mereka tidak pernah bermasam muka.

Sekiranya ada antara penduduk yang mengadakan kenduri-kendara,
mereka akan beramai-ramai menolong menyediakan peralatan seperti
memasang khemah, menyusun kerusi meja dan memasak nasi serta lauk-
pauk. Begitu juga jika berlaku kematian. Mereka akan membantu
menguruskan jenazah sehingga selesai dikebumikan.

Pada penghujung tahun lepas, Kampung Pasir telah dilanda banjir
besar. Hujan yang lebat menyebabkan air Sungai Kelantan melimpahi
tebing. Banjir besar ini telah menghanyutkan beberapa buah rumah
penduduk. Banyak juga rumah yang rosak teruk. Ramai penduduk terpaksa
berpindah ke sekolah di Kampung Pasir. Ketika berada di pusat
pemindahan, penduduk Kampung Pasir bekerjasama memasak makanan.

Setelah banjir tersebut surut, penduduk Kampung Pasir bekerjasama
membersihkan kawasan kampung dan rumah-rumah mereka daripada
sampah sarap dan lumpur. Mereka juga bergotong-royong membaiki
rumah-rumah yang rosak. Selain itu, mereka juga membina pondok-pondok
sementara untuk penduduk yang kehilangan rumah akibat dihanyutkan
banjir. Mereka tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa mengorbankan
masa dan tenaga.

Demikianlah keadaan hidup penduduk Kampung Pasir. Sikap
bekerjasama dan saling membantu dalam kalangan mereka amat sesuai
dengan maksud peribahasa “bagai aur dengan tebing”.

Karangan Gambaran

Pengalaman Menyertai Kem Motivasi UPSR

Baru-baru ini, saya telah mengikuti program motivasi Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR). Program selama dua hari satu malam itu diadakan
di Dewan Kuliah Perdana, Maktab Rendah Sains MARA, Taiping, Perak.
Program ini dimulakan seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada pukul
10.00 malam.

Program anjuran PIBG ini melibatkan empat subjek teras UPSR, iaitu
Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains. Barisan
penceramahnya terdiri daripada kalangan guru pakar dalam keempat-
empat kertas peperiksaan berkenaan.

Setiap peserta dibekalkan dengan fail yang dilengkapi bahan edaran
bengkel. Program motivasi ini merangkumi slot analisis soalan peperiksaan,
slot teknik jawab soalan, slot panduan peperiksaan dan slot pengurusan
masa.

Kesempurnaan pengurusan makan minum, iklim bilik kuliah yang selesa
dan kemudahan prasarana asrama yang canggih menyebabkan kami
sentiasa ceria dan bertenaga sepanjang menghadiri program tersebut.

Kami juga sempat menunaikan solat hajat dan membaca surah Yasin
untuk memohon keberkatan-Nya agar ganjaran maksimum, iaitu pakej 6A
dalam UPSR akan kami miliki.

Sesungguhnya, program motivasi ini telah berjaya membentuk jati diri
dan memperkukuh iltizam saya untuk menghadapi UPSR yang bakal
mendatang.

Karangan Fakta

Faedah Melibatkan Diri dalam Bidang Sukan

Tidak dapat kita nafikan bahawa aktiviti sukan penting dalam rutin
kehidupan seharian. Tubuh yang cergas ialah pemangkin kepada minda
yang cerdas. Jika kita kurang bersukan, tubuh akan menjadi tidak bermaya
dan akan terdedah kepada jangkitan virus. Sesunggunya, ‘fizikal cergas,
minda cerdas’.

Amalan bermain bola sepak, badminton, joging, berenang, aerobik,
tenis atau olahraga ternyata dapat mengistirahatkan benak. Apabila kita
berpeluh, badan kita akan mengeluarkan toksin dan proses pembakaran
lemak yang terjadi pula akan bertindak mengawal masalah obesiti.

Nilai-nilai kesabaran, kerjasama, hormat-menghormati, toleransi dan
muhibah yang lahir semasa bersukan juga akan mewujudkan suasana ceria
dan harmoni dalam kalangan anggota masyarakat. Impaknya, masyarakat
sentiasa menjaga keamanan dalam kehidupan bermasyarakat.

Selain dapat mengisi masa senggang, keaktifan dalam bidang sukan
juga akan menghindari kita daripada terjebak dalam budaya negatif seperti
berbual kosong, bergosip, mencuri, melepak, penyalahgunaan dadah,
memeras ugut, membuli dan sebagainya. Sesungguhnya, gejala sosial
sebegitu akan merencatkan lagi penglahiran masyarakat sihat.

Malahan, selain membantu melonjakkan imej diri dan mengharumkan
nama sesebuah institusi, kejayaan dalam sukan juga membolehkan kita
meraih pelbagai imbuhan dan ganjaran pada pelbagai peringkat
kejohanan. Di samping itu, dapat memberikan pelbagai pengalaman dan
ilmu baru dalam bidang sukan yang diceburi.

Ternyata, amalan riadah ini dapat membentuk barisan generasi yang
proaktif, intelek, beretika dan berwawasan untuk menjadi pemimpin pelapis
pada masa-masa terkedepan. Bak kata pepatah, “jika tidak dipecahkan
ruyung, manakan dapat sagunya”.

Karangan Catatan Harian

Hari Kecemerlangan Sekolah

Rabu, 10 November 2019

7.30 pagi
Semua murid yang menerima hadiah sempena Hari Kecemerlangan Sekolah
berkumpul di tapak perhimpunan. Guru-guru sibuk mengambil kedatangan
murid yang akan mengambil hadiah pada hari ini. Kemudian, semua murid
yang menerima hadiah bergerak ke dewan dalam satu barisan.

8.00 pagi
Guru-guru menyusun murid mengikut kategori hadiah yang diterima murid.
Cikgu Marzuki berada di hadapan pentas untuk memulakan acara. Ibu
bapa yang hadir, duduk di tempat yang disediakan.

8.30 pagi
Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Anuar Saleh.
Selepas bacaan doa, Guru Besar menyampaikan ucapan kepada ibu bapa
yang hadir. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan ucapan oleh Yang
Berhormat Adun Kemasek.

9.00 pagi
Majlis diteruskan dengan persembahan daripada murid tahun lima dan
tahun enam. Semua hadirin terpegun apabila melihat persembahan yang
mengagumkan. Selepas persembahan, acara penyampaian hadiah
dimulakan. Kategori hadiah pertama ialah hadiah CGPA terbaik dan
Graduasi Tahun 6. Hadiah disampaikan oleh Guru Besar SK Kerteh.

10.00 pagi
Seterusnya, acara penyampaian hadiah bagi sijil tamat sekolah dan markah
tertinggi dalam mata pelajaran oleh Yang Dipertua PIBG sekolah. Anugerah
tokoh pelajar lelaki dan perempuan telah disempurnakan oleh YB Adun
Kemasek. Tokoh pelajar lelaki disandang oleh Amirullah Hakimi manakala
tokoh perempuan pula disandang oleh Nadiatul Husna.

12.30 tengah hari
Selesai sahaja acara penyampaian hadiah, majlis diteruskan dengan acara
cabutan bertuah. Ibu bapa yang menerima hadiah kelihatan sangat
gembira. Sebelum pulang, semua ibu bapa dan pelajar dijemput menikmati
jamuan ringan.

Karangan Catatan Beberapa Hari

Perkhemahan Unit Beruniform

Jumaat, 10 Jun 2019
Aku tiba di sekolah untuk mengikuti satu perkhemahan pengakap yang
diadakan di Bukit Ayer. Setelah mendengar taklimat daripada Cikgu Kamal
Ahmad, kamipun bertolak. Ahli pengakap yang terlibat seramai 30 orang
dan disertai oleh 5 orang guru.

Setelah tiba, kami dibahagikan kepada lima kumpulan. Kami diarah
membersihkan kawasan. Setelah itu, kami mendirikan khemah. Aku dan
beberapa orang rakan diarahkan mencari kayu api untuk digunakan
semasa memasak dan untuk dijadikan unggun api. Pada waktu malam,
kami hanya berehat sahaja.

Sabtu, 11 Jun 2019
Selepas solat subuh, kami bersarapan. Selepas itu, kami mengadakan aktiviti
senaman. Kemudian aktiviti berkawad pula diadakan. Banyak yang aku
pelajari semasa aktiviti ini.

Pada waktu petang, kami menjalankan aktiviti meredah hutan. Melalui
aktiviti ini, kami dapat mengetahui tentang flora dan fauna yang terdapat di
hutan ini. Kami juga bermandi-manda di air terjun yang berdekatan. Pada
waktu malam, telah dijalankan aktiviti persembahan. Kumpulan aku
mengadakan persembahan dikir barat. Aku sungguh seronok ketika
membuat persembahan.

Ahad, 12 Jun 2019
Pada pagi ini telah dijalankan aktiviti pertolongan cemas dan ikatan. Selepas
makan tengah hari, kami bersiap-siap untuk pulang. Kami meruntuhkan
khemah dan membersihkan kawasan perkhemahan.

Pada pukul 2.00 petang, kami bertolak pulang. Aku berasa gembira
dapat mengikuti perkhemahan ini kerana banyak pengetahuan dan
pengalaman yang aku peroleh.

Karangan Syarahan

Kamu menyertai sebuah pertandingan syarahan di sekolah. Syarahan yang
kamu sampaikan bertajuk “Kepentingan Disiplin dan Kaitannya dengan
Kecemerlangan Murid”.

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang adil lagi
saksama, penjaga masa, guru-guru, rakan-rakan dan hadirin yang
dimuliakan. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah “Kepentingan Disiplin dan
Kaitannya dengan Kecemerlangan Murid”. Sesungguhnya, kecemerlangan
seseorang murid amat berkait rapat dengan disiplin kendirinya.

Rakan-rakan yang dihormati,
Cuba kita lihat rakan-rakan kita yang cemerlang dan ukur pula disiplin

mereka. Jawapan yang pasti kita peroleh ialah murid yang cemerlang
mempunyai disiplin diri yang tinggi. Mereka bijak menguruskan masa, rajin
mengulangkaji pelajaran, dan sentiasa mematuhi peraturan.

Jika kita membandingkan murid yang cemerlang dengan murid yang
sering ponteng sekolah atau murid yang sentiasa melanggar peraturan
sekolah, sudah tentu pencapaian akademik mereka sungguh berbeza.
Murid yang bermasalah tidak berminat untuk mengikuti pelajaran dan sering
mengganggu rakan dan guru. Nilai disiplin mereka berada pada tahap sifar.

Begitu juga dengan murid yang aktif dalam kegiatan kokurikulum jika
mereka bijak membahagikan masa sudah tentu mereka juga boleh berjaya.
Hal ini kerana disiplin diri yang tinggi dapat menjamin kejayaan.

Perbezaan latar belakang tidak menjadi ukuran, sama ada murid itu
datangnya daripada golongan kaya atau miskin. Jika mereka mempunyai
disiplin yang tinggi, mereka pasti akan berjaya. Murid yang berdisiplin amat
disenangi guru-guru dan rakan-rakan. Mereka bersifat amanah dan
bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan.

Warga dewan yang budiman,
Sesungguhnya, nilai disiplin dan kecemerlangan amat berkaitan

dalam membentuk insan murid. Gilaplah nama kita sebagai murid yang
cemerlang dan berdisiplin kerana harimau mati meninggalkan belang,
manusia mati meninggalkan nama. Sekian, terima kasih.

Karangan Ucapan

Selaku ketua murid, anda diminta menyampaikan ucapan dalam majlis
perpisahan dan penghargaan murid-murid tahun enam di sekolah kamu.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-
guru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-
rakan kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis
perpisahan ini.

Hadirin sekalian,
Sudah hampir 6 tahun kami berada di sekolah ini. Jika menghitung hari

persekolahan, bermakna tinggal 6 hari lagi kami menjadi warga sekolah ini.
Kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-
adik yang dikasihi walaupun kami masih terlalu sayang untuk meninggalkan
sekolah ini.

Kami amat menghargai jasa guru-guru di sekolah ini yang mendidik
kami dengan penuh dedikasi, sabar dan penuh kasih sayang. Dengan
didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan
mengira. Kami akan sentiasa mengingati pesanan guru-guru yang ingin
melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada
masyarakat dan negara.

Hadirin sekalian,
Budi yang guru-guru taburkan tidak mampu kami membalasnya.

Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai
membalas segala jasa guru-guru itu. Kami berjanji akan terus belajar dengan
bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di
sekolah menengah nanti.

Akhir kata, saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala
kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan
segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Kami berasa sangat
sedih kerana terpaksa meninggalkan sekolah ini. Jasa dan bakti guru-guru
akan kami kenang sehingga akhir hayat kami.

Sebelum saya mengundur diri, terimalah serangkap pantun daripada
saya.

Ramai orang menanam padi,
Padi ditanam hingga ke seberang,
Banyak budi perkara budi,
Budimu guru dikenang orang.

Sekian, terima kasih.

Karangan Dialog

Kamu akan menyertai perkhemahan kelab yang kamu sertai pada minggu
hadapan. Kamu berbual dengan rakan untuk bertanyakan pengalamannya
berkhemah pada minggu lepas.

Anuar : Apa khabar, Ikram.

Ikram : Khabar baik, Anuar.

Anuar : Bagaimana dengan perkhemahan pengakap pada minggu lepas,
seronok?

Ikram : Oh, memang menyeronokkan. Banyak pengalaman yang telah saya
perolehi ketika menyertai perkhemahan tersebut.

Anuar : Pada bulan hadapan, saya akan menyertai kelab kembara yang
akan mengadakan perkhemahan di Tasik Kenyir. Apakah persiapan
yang mesti saya lakukan?

Ikram : Sebelum pergi berkhemah, kita perlu memastikan segala
kelengkapan perkhemahan seperti khemah dan tali adalah
mencukupi.

Anuar : Selain khemah, apakah lagi kelengkapan yang perlu kita sediakan?

Ikram : Kita perlu juga menyediakan pelbagai keperluan diri seperti tuala,
ubat gigi, lampu suluh dan makanan. Selain itu, bagi setiap
kumpulan, barang-barang seperti parang, periuk, mancis api serta
bekalan makanan untuk kumpulan perlu disediakan.

Anuar : Apakah perkara-perkara lain yang perlu saya ketahui untuk pergi
berkhemah?

Ikram : Keselamatan adalah perkara yang sangat penting. Ketika kita
mengikuti perkhemahan, kita perlulah sentiasa mengikut arahan yang
diberikan oleh guru.

Anuar : Terima kasih, Ikram. Semoga maklumat yang telah kamu berikan
dapat dijadikan panduan kepada saya dan rakan-rakan kita yang
akan menyertai aktiviti perkhemahan pada bulan hadapan .

Ikram : Sama-sama. Saya ucapkan, selamat berkhemah.

Karangan Wawancara

Kamu mewawancara salah seorang pelajar cemerlang UPSR di sekolah
anda untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.

Najwa : Selamat datang dan terima kasih saudari Alisa sudi untuk
diwawancara. Tahniah atas kejayaan saudari memperolehi
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan baru-baru ini.

Alisa : Pertama sekali terima kasih kepada saudari kerana sudi
mewawancara saya.

Najwa : Terlebih dahulu, boleh saudari kongsikan rahsia kejayaan saudari?

Alisa : Sebenarnya tiada rahsia yang penting melainkan usaha yang gigih
dalam mencapai cita-cita yang mendorong saya berjaya dalam
peperiksaan kali ini. Saya menanamkan sifat tidak putus asa dalam
mengejar ilmu pengetahuan.

Najwa : Selain itu, mungkin ada cara atau teknik yang boleh saudari kongsi
bersama supaya menjadi panduan kepada pelajar lain tentang
rahsia kejayaan saudari ini?

Alisa : Baiklah. Kita perlu menetapkan niat belajar dan sentiasa perbaharui
niat kita supaya kita tidak lupa tujuan sebenar. Keduanya, kita harus
ingat bahawa belajar itu juga merupakan ibadah. Ketiga, susun
strategi untuk kita kuasai sesuatu mata pelajaran. Kita juga haruslah
menumpukan perhatian sepenuhnya semasa guru mengajar di
hadapan. Sekiranya ada kemusykilan, jangan malu bertanya.

Najwa : Saya setuju dengan kata-kata saudari tersebut. Niat merupakan
perkara utama dalam melakukan sesuatu perkara. Adakah saudari
seorang yang aktif dalam bidang sukan?

Alisa : Saya juga seorang yang aktif dalam bidang kokurikulum. Saya
mewakili sekolah dalam pertandingan bola jaring. Bagi saya, bidang
kurikulum perlu seimbang dengan bidang kokurikulum.

Najwa : Akhir sekali apakah nasihat saudari kepada rakan-rakan lain di luar
sana?

Alisa : Nasihat saya kepada rakan-rakan, jangan mudah menyerah menutut
ilmu kerana dengan ilmu pengetahuan sahaja mampu mengubah
kehidupan kita.

Najwa: Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada saudari. Kerana sudi
berkongsi rahsia kejayaan dengan kami.

Alisa : sama-sama

Karangan Laporan

Laporan Sukan Tahunan Kali Ke-45

Temasya Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Taman Saujana, Taiping telah
diadakan pada hari Sabtu, 2 Mac 2019, bertempat di padang sekolah. Majlis
ini telah dimulakan seawal jam 8.30 pagi.

Perbarisan lintas hormat dan ucapan oleh Pegawai Pendidikan
Daerah, Tuan Haji Nor Azizi bin Haji Mohd. Isa, mengisi agenda perasmian
temasya sukan. Selepas upacara pembukaan, sedas tembakan dilepaskan
ke udara sebagai tanda terasminya Kejohanan Sukan Tahunan Kali Ke-45 ini.

Acara sukan yang dijalankan ialah acara balapan, sukaneka, acara
pegawai sukan, acara PIBG dan acara alumni sekolah. Acara klimaks ialah
acara tarik tali akhir yang dijalankan sebelum upacara penutupan. Keadaan
iklim yang baik dan kehadiran sebilangan besar ibu bapa yang memberikan
sokongan moral telah membantu melicinkan kelangsungan temasya sukan
ini.

Persembahan Seni Silat Gayung menghiasi temasya. Kelincahan dan
ketangkasan pesilat yang mempamerkan aksi tempur tanpa senjata
mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada audien.

Johan rumah sukan ialah Rumah Temenggung. Rumah Bendahara
pula menduduki tempat kedua, manakala tempat ketiga dan keempat
ialah Rumah Laksamana dan Rumah Syahbandar. Gelaran olahragawan
dan olahragawati pula diraih oleh Isyraqhakim bin Hussain dan Norhidayah
binti Anoor, masing-masing dari Rumah Temenggung.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Pegawai
Daerah. Temasya sukan tahunan menutup tirainya pada pukul 12.30 tengah
hari. Semua hadirin menunjukkan semangat kesukanan dan kerjasama yang
tinggi. Semoga penganjuran sukan tahunan akan datang lebih menceriakan
para tetamu.

Laporan disediakan oleh, 2 JUN 2019.

Yaziz

(ABDUL YAZIZ BIN MOHAMAD)
Setiausaha Sukan 2,
Sekolah Kebangsaan Taman Saujana.

Karangan Berita

Kejadian Banjir

PAHANG, 16 Jun – Kampung Bangau Parit telah dilanda banjir. Tiga hari
sebelum kejadian, hujan turun dengan lebatnya di kebanyakan kawasan
daerah Temerloh. Menurut seorang penduduk kampung, mereka tidak
menduga kampung mereka akan dilanda banjir kerana sebelum ini banjir
tidak pernah berlaku di kampung mereka. Oleh sebab itu, ramai penduduk
kampung tidak membuat persediaan awal bagi menghadapi situasi
tersebut.

Setelah air naik ke paras bahaya, pasukan penyelamat terpaksa
mengarahkan penduduk kampung mengemaskan barang-barang penting
dan berharga untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat. Penduduk
kampung telah dipindahkan dengan motobot dan ditempatkan di Dewan
Serbaguna Datuk Harun sehingga banjir surut.

Pasukan penyelamat juga mengingatkan ibu bapa agar sentiasa
memantau keselamatan anak-anak. Ibu bapa disarankan agar memastikan
bahawa anak-anak mereka tidak mandi atau bermain air bah yang
tercemar.

Menurut Encik Encik Anuar bin Abu Hassan, Ketua Kampung Bangau
Parit, banjir mula berlaku apabila air Sungai Pahang mula melimpah lalu
menenggelamkan beberapa tempat di kampung tersebut. Menurut beliau
lagi, penduduk kampung mengalami kerugian besar kerana selain daripada
rumah mereka ditenggelami air, banyak tanaman dan haiwan ternakan
mereka juga mati akibat bencana ini. Namun begitu, beliau bersyukur
kerana setakat hari ini, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku.

Menurut Ketua kampung itu lagi, pihak kerajaan negeri akan
menyalurkan sedikit bantuan kewangan bagi meringankan beban
penduduk kampung yang terlibat dengan bencana ini. Penduduk kampung
juga dinasihatkan supaya sentiasa bersedia dan berwaspada bagi
menghadapi situasi banjir selepas ini kerana cuaca sekarang telah banyak
berubah berbanding beberapa tahun sebelumnya.

Karangan Surat Kiriman Tidak Rasmi

Pada tahun ini kamu akan menduduki Peperiksaan UPSR. Kamu menulis
sepucuk surat kepada rakan kamu untuk menceritakan persediaan kamu.

Nur Asmida Binti Azlan,
Lot 2005,
Kampung Panchor Kemumin,
16100 Pengkalan Chepa,
Kelantan.
12 Mac 2019.

Menemui sahabatku, Amalin Husna yang kini berada di Johor Bharu. Saya di
sini dalam keadaan sihat sejahtera. Demikian juga harapan saya terhadap
saudari sekeluarga.

Saudari,
Bagaimana keadaan pelajaran saudari? Saya berharap saudari

sentiasa beroleh kejayaan yang cemerlang setiap kali menghadapi ujian.
Tambahan pula pada tahun ini kita akan menghadapi peperiksaan yang
penting yang akan menentukan hala tuju persekolahan kita pada tahun-
tahun mendatang.

Tentunya saudari sedang sibuk membuat pelbagai persediaan untuk
menghadapi Peperiksaan UPSR nanti. Saya di sini juga demikian. Pelbagai
persiapan telah dan sedang saya lakukan. Setakat ini, saya sentiasa hadir ke
sekolah. Pada saya kehadiran ke sekolah sangat penting kerana setiap hari
pasti ada sahaja topik baharu yang akan diajar oleh cikgu. Jika kita
ketinggalan, maka sukarlah untuk kita memahami topik atau tajuk tersebut.

Pada waktu malam, saya akan menyiapkan kerja-kerja sekolah yang
diberi oleh guru serta menjwab soalan-soalan tahun lepas. Dengan cara ini,
saya dapat menambahkan kefahaman saya terhadap sesuatu tajuk.

Pada hari minggu, saya belajar bersama rakan-rakan yang tinggal
berdekatan rumah saya. Kami mengadakan kumpulan perbincangan.
Segala topik pembelajaran yang tidak difahami, kami akan bincangkan
bersama-sama. Dengan cara ini kami dapat berkongsi idea dan pandangan
serta membetulkan kesilapan.

Bagaimana pula dengan saudari? Saya berharap agar saudari dapat
pula menceritakan kepada saya persiapan yang saudari lakukan. Manalah
tahu jika saya dapat mencontohinya demi meningkatkan pencapaian saya.
Sekian dahulu pada kali ini. Saya berharap agar kita dapat bersua lagi pada
warkah yang akan datang.

Yang benar,
Asmida

Karangan Surat Kiriman Rasmi

Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu akan menganjurkan pertandingan
syarahan antara kelas. Kamu ditugaskan menulis surat kepada guru besar
untuk meminta kebenaran menggunakan dewan dan peralatan.

Persatuan Bahasa Melayu, 29 MAC 2019.
Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa,
16100 Pengkalan Chepa,
Kelantan.

Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa,
16100 Pengkalan Chepa,
Kelantan.

Tuan,
Memohon Kebenaran Menggunakan Dewan dan Peralatan

Merujuk perkara di atas, Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan
Pengkalan Chepa akan menganjurkan satu pertandingan syarahan antara
kelas. Oleh yang demikian, pihak persatuan ingin memohon kebenaran
menggunakan dewan sekolah dan peralatan yang berkaitan.

2. Berikut adalah butiran pertandingan tersebut:

Tarikh : 5 April 2019

Masa : 8.00 pagi – 10.30 pagi

Bilangan Murid : 60 orang

Bilangan guru : 4 orang

3. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat
murid-murid dalam menyampaikan syarahan, di samping mencari peserta
yang berkebolehan untuk mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan
peringkat daerah pada bulan Mei akan datang.

4. Kami berjanji akan menggunakan dewan dan peralatan sebaik
mungkin. Kami juga akan membersihkan dewan dan mengemas peralatan
selepas digunakan.

5. Besarlah harapan kami agar permohonan kami ini mendapat
perhatian yang sewajarnya daripada pihak tuan. Segala pertimbangan dan
perhatian pihak tuan, kami dahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang benar
Nurhusnina

(NURHUSNINA BINTI ZAIDI)
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa.


Click to View FlipBook Version