KARYA
MERCHUAN
SUMPAHKU
Manusia bukan manusia,
orang bukan orang,
isu bukan rasionalisasi subsidi,
tapi emosi hati gagal di rasionalisasi,
jangan sibuk mengata orang,
andai diri kurang bukan kepalang,
senak bukan di benak,
sedu bukan di kalbu,
Diagnostik diri, pandang dunia
bukan aku yang punya,
mengaumnya harimau,
hatiku lemau,
Aku bukanlah raja jauh sekali pendeta,
Cumalah manusia biasa,
yang mungkin ada otak, tak mampu nak batak.
dalam konteks sebenar, aku sekadar hamba.
kekayaan dan kebahagiaan yang aku damba.
Tingkatnya masa digitalisasi,
aku mula kehilangan buah kehidupan,
di manakah hati nuraniku?
di manakah pemikiran rasionalku?
mengapakah aku terlalu manja?
mengapakah aku tersesat meredah kehidupan?
masalah memenuhi bumantara ini,
aku tahu aku salah,
tapi mengapa perlu aku mengalah.
Dalam aku redah ranjau,
aku tidak pernah meracau,
dalam aku menghadapi gundah,
aku cuba untuk tabah.
Pabila aku berkata , aku cegah dusta.
kerana dunia menyaksikan setiap perkara.
aku tidak suka yang lemah ditindas.
ini sumpahku
Aku bukan kalis peluru,
aku bukan kalis hentaman padu,
aku juga punya lemah,
aku juga punya maruah,
ini bukan tarbiyah,
cuba beri dan dapatkan rasa hormat dari orang
lain.
Ayuh anak bangsaku!
inilah kehidupan yang berjalan dalam
kenyataan.
Najmi Haziq bin Johari(4 Agama Ikhtisas)
86
KARYA MERCHUAN
Tanggal
31 ogos
Muhammad Adam Haris Ahmad Termiazi
4 Agama Ikhtisas
Kenangan ialah satu anugerah yang sangat bermakna bagi semua manusia. Begitu juga dengan aku yang
mempunyai kenangan sangat manis dan sukar untuk dilupakan. Kenangan bersama Atukku antara memori
indah yang masih terpahat di minda.
Atuk seorang yang sangat baik hati. Terkadang sifat Atuk yang sangat lucu membuatkan aku sukar
melupakan detik manis itu. Dahulu Atuk seorang yang sangat tegas tetapi apabila umur semakin
meningkat, Atuk berubah menjadi seorang yang sangat baik hati.
Atuk juga seorang yang sangat manja apatah lagi apabila bersama opah. Telatah Atuk yang
bagaikan kanak-kanak sangat lucu tetapi begitu berharga bagiku. Kekadang Atuk curi-curi meminum
minuman manis dan cepat-cepat menyorokkan minuman itu apabila opah ternampak. Atuk tersenyum
gembira apabila opah membebel kepadanya yang mempunyai penyakit diabetes.
Aku begitu rapat dengan Atuk kerana sejak kecil, aku sudah tinggal bersama Atuk. Walaupun
namaku Adam tetapi Atuk memanggil aku dengan panggilan Sadam. Ke mana saja kami pergi, kami
sentiasa bersama. Hari Ahad adalah hari yang paling menyeronokkan bagi aku.
“Sadam oh, Sadam!”
“Iya Atuk, kenapa?”
“Moh teman Atuk pergi pasar Karai, nak?” pelawa Atuk.
“Nak!”
Dengan rasa gembira, aku terus bersiap sepantas mungkin. Lucunya, Atuk pergi ke pasar Karai
hanya untuk membeli sepotong lemang bernilai tiga ringgit. Selesai saja membeli, beliau terus pulang.
Nasib baik Atuk tidak lupa membelikan aku air dan ayam goreng. Kalau tidak, itulah kali terakhir aku
mengikut Atuk. Pandai Atuk mengambil hati aku.
Aku juga selalu menolong Atuk membeli stok barangan kerana Atuk seorang peniaga kedai runcit.
Mengangkat dan menemani Atuk memilih barang sambil mengambil makanan sebagai upah awal
merupakan aktiviti kegemaran aku.
“Atuk, boleh tak Adam nak ambil biskut?”
87
“Kamu ni tak mintak upah tak sah,” usik Atuk.
“Hahaha Atuk kan sayang Adam?” kata aku sambil ketawa.
“Ambil saja la apa yang kamu nak,” jawab atuk sambil mengusap kepalaku.
Begitu juga semasa kami makan di kedai makan. Menu kami akan sama iaitu nasi goreng daging
USA. Biasanya Atuk tidak habiskan makanannya. Hanya jelingan mata Atuk kepada aku memberikan
isyarat untuk aku menghabiskan makanan beliau. Aku sudah faham benar dengan isyarat itu.
Boleh dikatakan aku adalah pemandu peribadi Atuk. Ke mana saja Atuk pergi, pasti aku akan
memandu keretanya. Aku risau akan keselamatan Atuk kerana pada usia sebegitu, apa saja perkara
boleh berlaku.
Setiap kali hujung tahun, Atuk pasti mengajak kami melancong kerana itu hobinya. Atuk sangat
suka pergi ke Terengganu kerana makanan dan pemandangan di situ tidak boleh dinafikan menarik.
Kenangan yang paling aku ingat adalah saat Atuk dimasukkan ke hospital kerana sakit. Aku tidak
tahu sama ada Atuk bergurau atau tidak ketika itu. Atuk menjadi seorang pelupa. Aku bertanya
kepada Atuk selepas Atuk pulih daripada sakit.
“Atuk, ni siapa?”
“Mat Hitam,” jawab Atuk bersahaja
“Atuk, ni Adam la. Dah lupa ke?”
“Adam? Adam mana ni?”
“Ni Sadam Atuk. Atuk ingat?”
“Oh Sadam, Atuk kenal”
Sedihnya aku ketika itu. Atuk sudah tidak mengenali aku, cucu kesayangannya. Namun, bila
difikirkan semula, terasa agak lucu. Dari mana datangnya ‘Mat Hitam’itu. Mungkin Atuk pada ketika
itu melihat aku berkulit gelap lalu memanggil aku dengan nama yang begitu lucu.
Tahun 2020 adalah tahun yang paling perit bagi aku dan Atuk. Atuk yang sebelum ini sangat cergas
dan begitu gembira berubah menjadi sebaliknya. Atuk tidak dapat lagi menjalankan aktiviti seharian
seperti biasa. Sikit demi sikit kekuatan Atuk hilang.
Atuk hanya terbaring dan memerlukan bantuan untuk bergerak. Begitu juga untuk makan dan
membersihkan diri. Atuk terpaksa dipakaikan lampin pakai buang. Atuk bertarung dengan sakit ini
selama setahun. Akhirnya, Allah izinkan Atuk bergerak seperti biasa. Gembiranya rasa hatiku.
Menjelang tahun 2021, Atuk yang aku sangka sudah pulih berubah sebaliknya. Tepat pada 1
Januari 2021, Atuk terjatuh ketika berada di dalam tandas. Kejadian itu menyebabkan Atuk kembali
tidak dapat bergerak. Atuk hanya mampu duduk di atas kerusi roda untuk bergerak. Aku cuba
memberikan kata semangat kepada Atuk agar boleh pulih dengan cepat.
“Atuk kena kuat tau. Atuk kata nak pergi ke Terengganu hujung tahun nanti. Atuk kena
kuatkan semangat, lawan sakit tu, Kalau atuk terbaring je, macam mana nak pergi jalan-jalan?” Aku
berbicara dengan Atuk dengan air mata berlinangan.
“Kalau dah macam ni, macam mana nak pergi. Atuk tak larat dah nak jalan. Makan pun tak nak
sangat. Nanti kalau Atuk terberak dalam kereta, susahkan semua orang,” bicara Atuk dengan nada
hampa.
88
Sebak aku mendengar kata-kata Atuk. Aku faham bagaimana keinginan Atuk untuk sihat seperti biasa
tetapi dengan usia yang hampir mencapai 85 tahun, agak mustahil.
Enam bulan selepas Atuk terbaring, kesihatan Atuk semakin merudum. Atuk yang dahulu boleh
berbual-bual kini hanya mendiamkan diri. Aku begitu risau dengan keadaan Atuk. Rumahku sentiasa
dipenuhi dengan saudara-mara yang datang berkunjung. Tapi kami tidak dapat merasai kegembiraan
kerana kami semua risau akan kesihatan Atuk.
30 Ogos 2021. Aku sudah melihat akan petanda-petanda kecil yang aku akan kehilangan orang
yang paling aku sayang. Tapak kaki Atuk mulai memutih dan sejuk. Hidung Atuk juga mula menjatuh
dan wajah Atuk semakin pucat. Dalam islam, tanda-tanda kematian sering digambarkan. Antaranya,
kulit mulai kerepot, rambut beruban dan daya ingatan melemah. Segalanya berlaku kepada Atuk.
Perkara yang aku tidak pernah terfikir sekali pun ketika bersama Atuk ialah kematian. Namun kini,
perkara itu mulai berkejaran di mindaku.
Semakin lama nafas Atuk semakin tinggi. Kelihatan seperti beliau menahan kesakitan yang amat. Aku
bersama-sama yang lain tidak berhenti membaca surah Yasin sehinggalah jam tiga pagi. Aku terlelap
di samping Atuk kerana terlalu letih.
Jam 9:00 pagi 31 ogos 2021, aku dikejutkan oleh ayahku dengan perkhabaran berita yang
sangat pedih.
“Adam, bangun!”
“Kenapa ayah?”
“Atuk dah tak ada,” kata ayah sambil teresak-esak.
Aku seakan terpukul mendengar khabar tersebut. Ternyata tidur seketika telah memisahkan aku
dan Atuk. Namun aku bersyukur kerana pemergian Atuk dipermudahkan Allah. Kutatap wajah Atuk.
Bersih dan tenang seumpama sedang tidur tetapi kali ini Atuk tidur untuk selamanya.
Walaupun Atuk telah tiada, aku tidak berhenti mendoakan kesejahteraan Atuk. Setiap petang,
aku akan ke kubur untuk membersihkan kubur Atuk. Aku juga berbual seakan Atuk ada di sebelah aku.
Kadangkala ketika aku tertekan atau bersedih, aku akan ke kubur dan mengadu kepada Atuk seperti
yang selalu aku lakukan ketika Atuk masih hidup.
Kehidupan seharianku kini sangatlah terasa sunyi. Namun aku harus percaya akan takdir jodoh,
ajal dan maut, semua di tangan-Nya. Kehilangan seseorang yang kita sayang mengajarkan kita untuk
terus hidup dengan lebih berdikari.
Pemergian Atuk meninggalkan satu kenangan yang tidak akan aku lupakan sampai mati. Beliau
mengajar aku menjadi seorang yang baik hati dan ringan tulang. Aku juga mempelajari tentang
perjuangan yang memerlukan pengorbanan.
Hilanglah sudah orang yang aku sayang di dunia ini tetapi kenangan yang ditinggalkan umpama
lampu menyuluh jalan untuk aku terus hidup dengan lebih baik daripada sebelum ini. H’ arimau mati
meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Atuk adalah nama itu.
89
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BUKIT MERCHU
Jalan Sultan Isk
andar Shah,
33000 Kuala Kangsar,
Perak