The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by PSS SK AMAN JAYA, 2022-04-01 01:55:55

novel comel

novel comel

Liyana Jasmot Makan Hati
Berulam Jantung

Terbeliak biji mata Liyana Jasmot,
nyaris tidak tersembul dari kelongsong
matanya. Mulutnya melopong bulat seperti
Gua Niah. Tergamam 10 saat dan dia tidak
langsung bereaksi sedari tadi.

“Eh, mengapa kamu masih tercegat di situ,
Liyana? Jemputlah masuk. Ibu beritahu yang
kamu beria-ria mahu berjumpa dengan anak
saudara kamu yang baru lahir ini. Mengapa
wajah kamu seperti terkejut badak?” Kak
Liyanee iaitu kakak kedua kepada Liyana
Jasmot mempelawa adik bongsunya masuk
ke dalam rumah. Liyana Jasmot kekok

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

memangku bayi montel Kak Liyanee yang
masih di dalam tempoh berpantang.

“Sebenarnya, saya terkejut melihat saiz
badan Kak Liyanee. Nyaris saya tidak kenal
tadi. Saya sangkakan tong dram yang sedang
bergerak-gerak. Saiz badan Kak Liyanee
sudah setara saiz badan ibu pula. Alamak!
Ma... maafkan saya. Saya tidak bermaksud
mahu...” Liyana Jasmot menekup mulutnya.
Ibunya menjegilkan mata bulat ke arahnya.
Geram!

“Amboi, boleh tahan juga mulut kamu,
Liyana. Cepat, minta maaf kepada Kak
Liyanee. Sekiranya mahu bercakap, biarlah
berlapik sedikit.” Puan Sharepah kurang
senang dengan mulut tidak berinsuran anak
bongsunya. Kak Liyanee pula hanya ketawa
terkekek-kekek. Dia sudah masak benar
dengan perangai adiknya yang suka bercakap
melulu.

3

Mama Bella

“Tidak mengapa, ibu. Liyana masih
muda remaja. Mungkin dia tidak faham
yang sekiranya perempuan baru melahirkan
anak, badan akan mengembang dan hormon
juga akan bertukar. Selepas berpantang,
InsyaAllah barulah boleh kembali ke saiz
normal.” Kak Liyanee tersengih sendirian.
Dia sedikit pun tidak kisah dengan kelebaran
saiz pinggangnya yang bertambah sebanyak
dua kali ganda. Pipinya juga bagaikan kuih
pau terlebih ibu yis. Dagunya seperti kuih
lapis.

“Itu saya faham. Tetapi... kakak sulung
kita, Kak Liyanur juga telah tiga tahun
melahirkan anak kembarnya. Dia masih kekal
bersaiz seperti tempayan. Ops...” Liyana
Jasmot memukul kecil mulutnya sendiri.
Mak cik Sharepah dan Kak Liyanee hanya
menggelengkan kepala mereka. Mereka
tidak sedikit pun mahu melayan karenah
Liyana Jasmot. Mereka lebih menumpukan

4

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

perhatian kepada bayi tembam yang mula
merengek.

Semenjak akhir-akhir ini fikiran Liyana
Jasmot mula bercelaru. Dia keliru, bingung
dan kelu. Liyana Jasmot mula risau dan
baru tersedar yang kesemua adik beradik
dan saudara maranya tergolong dalam
kategori saiz gemuk, montel, gebu dan
bulat-bulat belaka. Masing-masing tidak
pernah kisah dan peduli akan bentuk badan
mereka. Malah, kakak-kakak dan sanak
saudara Liyana Jasmot boleh berbangga
membandingkan kelebaran saiz pinggang
dan pinggul mereka. Ianya cuma dianggap
seolah-olah gurauan setara plot-plot hiburan
pentas dalam Maharaja Lawak.

Situasi ini sungguh merunsingkan hati
Liyana Jasmot yang tidak rela masuk ke
dalam kelompok XXL. Dia mahu kelihatan
ramping, langsing dan kurus melidi. Itulah
trend terkini di kalangan gadis-gadis Sekolah
Sri Bangsar. Jangan sampai tidak ada

5

Mama Bella

pelajar sekolah yang sudi mahu berkawan
dengannya. Jangan sampai dia terpaksa
menjadi katak puru gemuk di bawah
tempurung buruk. Liyana Jasmot mencubit
pipi dan pinggangnya sendiri. Ternyata
pipinya sudah sedikit bulat dan pinggangnya
juga sudah dihinggapi lemak comel sebanyak
seinci.

“Argh... tidak... tidak!” Liyana Jasmot
yang berangan sendirian menjerit sehingga
membuatkan bayi Kak Liyanee terjaga dari
tidur. Bayi montel pewaris saiz badan ahli
keluarga Mak cik Sharepah, tauke kantin
Sekolah Sri Bangsar.

Minggu berikutnya...

“Liyana, mari ikut ibu. Kita mahu ke
kenduri di rumah nenek kamu. Lama
kamu tidak ke sana. Lagipun, ibu akan
menyumbangkan satu sajian istimewa hasil
air tangan ibu iaitu nasi beriani lobak terlebih

6

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

gam!” Mak cik Sharepah selaku pengusaha
kantin Sekolah Sri Bangsar dan pengusaha
bisnes katering cukup berbangga sekiranya
dia dapat menyajikan sanak saudaranya
dengan juadah hasil masakannya yang
terkenal enak sehingga menjilat 10 jari.

Setibanya di rumah neneknya, sekali lagi
Liyana Jasmot merasa sesak nafas. Ketika
bersalaman dengan semua sanak saudaranya,
dia terkejut melihat saiz badan mereka
semua sudah berkembang dengan pesatnya,
setara dengan saiz kembang dan merendang
seperti ibunya juga. Masing-masing gembira
bertukar cerita sambil menukar juadah yang
dibawa. Mereka makan tanpa had dan tanpa
rasa bersalah. Semuanya riang dan ceria
sahaja.

Tatkala terlihat sahaja kelibat neneknya
yang telah beberapa bulan tidak ditemui,
Liyana Jasmot terasa mahu pitam. Dia hampir
tidak mengenali neneknya. Mujur senyuman
manis bersari nira yang dipamerkan oleh

7

Mama Bella

nenek kesayangannya membuatkan Liyana
Jasmot pantas mencium kedua belah pipi
dan tangan neneknya.

“Kamu terkejut melihat bentuk badan
nenek? Nenek sudah tidak boleh bangun
sekarang. Lutut nenek sakit. Nenek baru
sahaja keluar dari hospital akibat penyakit
jantung dan kencing manis. Biasalah orang
tua, memang begini.” Sedikitpun neneknya
tidak risau. Liyana Jasmot masih terkejut
melihat neneknya yang bersaiz L dahulu
telah mengembang ke saiz XXL. Sama seperti
saiz sanak saudaranya yang lain juga.

Sekali lagi mulut Liyana Jasmot melopong
apabila melihat terdapat talam yang penuh
dengan pengat durian, kuih seri muka dan
puding karemel di sebelah katil neneknya.
Malah, nasi beriani lobak terlebih gam
masakan ibunya turut disajikan. Alasan
neneknya adalah, tidak salah sekiranya
makan besar ketika hari kenduri-kendara
demi memupuk kemesraaan dan silaturrahim.

8

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

Liyana Jasmot mula perasan yang tiada
sebarang buah-buahan dan sayur-sayuran
yang dihidangkan di atas meja makan
makan. Semuanya makanan yang lemak
berkrim, manis bersari dan pekat bersantan
belaka.

Oh! Inilah warisan keluarganya! Warisan
yang menakutkan, bakal menjejaskan saiz
tubuhnya!

Malam itu, Liyana Jasmot tidak dapat
melelapkan matanya. “Bagaimana selama
ini saya tidak sedar? Secara tidak langsung
saya mewarisi baka genetik gebu, gemuk
dan gempal? Oh, bagaimana sekiranya saya
juga turut bersaiz seperti ibu, nenek, Kak
Liyanur dan Kak Liyanee? Aduhai, saya baru
teringat… moyang yang meninggal akibat
sakit jantung bulan lepas juga bersaiz XXL.
Adakah saya juga bakal menjadi obesiti? Ini

9

Mama Bella

tidak boleh dibiarkan sama sekali. Tidak!
Tidak!” Liyana Jasmot menekup mukanya.

Tiba-tiba kedengaran suara Mak cik
Sharepah memanggil Liyana Jasmot dari
ruang dapur. “Liyana, esok hari Ahad. Ibu
tidak masak sarapan. Kamu mahu ibu belikan
nasi lemak, nasi dagang atau nasi kerabu?”
Nyaring suara Mak cik Sharepah bergema.
Dia sedang sibuk mengacau lempuk durian
di dapur sambil menyanyi kecil keriangan.

Serba salah Liyana Jasmot menjawab.
Dia sebenarnya terkejut mendengar menu
sarapan yang mahu dibeli oleh ibunya esok.
Semuanya berat-berat, segalanya berasaskan
nasi dan pasti boleh menggemukkan tubuh
badan!

“Ibu, esok tidak perlu beli makanan untuk
saya, saya mahu puasa. Hmm... puasa ganti.”
Laju Liyana mengelak.

“Erk... puasa?”

10

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

“Eh! Mengapa baju awak nampak padat dan
ketat?” Yunana mencebikkan bibirnya.

“Apa? Padat dan ketat? Mana ada! Saya
rasa biasa-biasa sahaja. Lagi pun ini baju
saiz M, memang padan dengan saya.”
Liyana Jasmot berpusing tiga pusingan arah
lawan jam. Dia cuba mencari maksud kata-
kata sahabatnya, Yunana yang masih kekal
menjuihkan mulutnya.

“Hah? Awak pakai saiz baju M dan ianya
kelihatan ketat dan sendat? Saiz M adalah
saiz ke arah gemuk gedempul. Sebagai gadis
remaja, kita mesti mengekalkan saiz XS dan S
sahaja.” Yunana melompat setempat. Sengaja
memberi impak terlebih terkejut beruk.

“Saiz M sudah dikira saiz gemuk?
Bukankah sekiranya bersaiz XL barulah kita
dikira gemuk gedempul?” Liyana Jasmot
menggigit jarinya. Dahinya berkerut-kerut.

11

Mama Bella

Berkeringat sebaldi dan kepalanya terasa
berpinar-pinar. Pertama kali mendengar
fakta saiz M dianggap gemuk.

“Awak mesti ingat, Liyana. Awak adalah
anak kepada Mak cik Sharepah yang
mengusahakan kantin sekolah kita. Hidup
awak dilimpahi makanan yang menggunung.
Awak mesti lebih berhati-hati. Ingatlah
kepada motto pelajar perempuan sekolah
kita yang terkini dan terhangat.” Yunana
mengingatkan sahabatnya dengan penuh
semangat meruap-ruap.

Liyana Jasmot mati kutu. Dia tidak
teringat langsung akan motto terkini dan
terhangat pelajar perempuan Sekolah Sri
Bangsar yang dimaksudkan oleh Yunana
yang ayu bertudung. “Motto? Motto apa?
Mengapa saya boleh terlupa dan tidak
tahu?”

Yunana yang turut obses bersaiz
kurus melidi mula mempengaruhi Liyana

12

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

Jasmot yang tidak mahu ketinggalan. Dia
mengherotkan bibirnya ke kanan dan pantas
mencatat sesuatu di atas sekeping kertas.
“Nah! Tanam motto dan prinsip ini dalam
kepala awak.”

Kurus itu cantik! Saiz S itu menawan kalbu!

Saiz lain semuanya hodoh dan buruk belaka.
“Betul juga kata awak. Mungkin itulah

sebabnya, walaupun saya tersadung kaki di
hadapan Tengku Affin dan Fahrin, mereka
langsung tidak menoleh sedikitpun ke
arah saya. Sebelah mata pun tidak sudi
mengerling.” Liyana Jasmot menggigit
jarinya. Sebagai pelajar perempuan yang
normal, dia turut tidak mahu terlepas
menjadi perhatian hero-hero pujaaan ramai
di Sekolah Sri Bangsar.

“Oh, sungguh ironi sekali. Siapa yang
tidak mahu berlaga bahu dengan hero
sekolah kita? Baik awak cepat mencapai
semula saiz S, Liyana. Jangan sampai awak
tergolong dalam kategori saiz gemuk sebab

13

Mama Bella

sekiranya gemuk, awak akan menjadi tidak
sihat. Perut orang gemuk adalah sarang
kepada 1001 penyakit kronik. Paling tragis,
kegemukan tahap obesiti boleh membawa
kematian.” Yunana memberi hujah seperti
pemidato tersohor. Tangannya menerawang
ke udara dengan penuh gaya berhemah.

“Baiklah! Mulai hari ini, saya berikrar
menjadikan makanan sebagai musuh ketat
saya. Sekiranya lapar, saya akan hanya minum
air milo tanpa gula sahaja.” Liyana Jasmot
mengangkat tangan dengan gaya membaca
ikrar rukun negara. Kemudian, terus Liyana
Jasmot memberikan seketul ayam goreng
ranggup ala KFC di atas pinggannya ke arah
kucing KenotKenot yang gebu dan montel
milik ibunya. KenotKenot segera menggigit
ayam goreng yang enak dan garing itu
dengan gaya ganas. KenotKenot memang
begitu berselera sekiranya mendapat ayam
goreng. Malah, KenotKenot juga tidak kisah
sekiranya dihidangkan dengan buah-buahan

14

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

dan sayur-sayuran sekalipun. Ia adalah
kucing dari baka yang tidak pandai menolak
rezeki. Sama seperti Mak cik Sharepah juga.

Semenjak hari itu, Liyana Jasmot mula hanya
mengudap makanan ringan seperti keropok
sekiranya berada di kantin sekolah. Sambil
mengudap, Liyana Jasmot akan bergelak
ketawa dan bersembang dengan kawan-
kawannya di kantin seolah-olah dia turut
sakan makan pada waktu rehat. Liyana
Jasmot tidak mahu sekiranya ibunya dapat
mengesan aktivitinya yang tidak mengambil
sebarang makanan berat. Dia malas
mahu mendengar ceramah dan syarahan
merangkap bebelan Mak cik Sharepah
yang cukup kecoh sekiranya melibatkan
soal pemakanan. Kecoh sekiranya anaknya
berlapar dan tidak mahu menjamah
masakannya yang dicop mohorkan sebagai
enak-enak belaka.

15

Mama Bella

Liyana Jasmot menjadi begitu obses mahu
mencapai saiz XS atau saiz S. Saiz M mesti
segera dinyahkan dalam diari hidupnya. Bagi
mencapai hasrat itu, Liyana Jasmot mengira
setiap kalori makanan yang memasuki
mulutnya. Dia telah mencetak tebal dari
internet tentang bilangan kalori setiap jenis
makanan yang menerpa di hadapan mata.
Itu membuatkan dia hanya menjadikan
air milo tanpa gula sebagai penghilang
rasa lapar. Di hadapan ibunya pula, Liyana
Jasmot pura-pura bersendawa kuat banyak
kali. Kedengaran seperti kekenyangan tahap
maksima. Sebenarnya itu semua hanya
lakonan semata-mata!

Liyana Jasmot juga sentiasa membawa
tali pengukur pinggang di dalam beg
sekolahnya setiap hari. Ini bagi memastikan
agar dia sentiasa mengambil ukuran lilitan
pinggangnya setiap kali ke tandas sekolah.
Setiap pagi di rumah pula, Liyana Jasmot
turut menimbang berat badannya tanpa

16

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

jemu. Kadang-kala dia menangis teresak-esak
di atas alat penimbang berat yang diletakkan
di bawah katilnya. Dia menangis tersedu
sedan hanya semata-mata kerana berat
badanya bertambah 100 gram cuma.

Saban malam pula, Liyana Jasmot sering
terjaga di tengah malam kerana ditimpa
mimpi buruk. Mimpi buruk tentang
badannya menjadi seperti Kak Liyanur, Kak
Liyanee, ibu, nenek dan arwah moyangnya.
Dia juga pernah bermimpi menjadi anak
gergasi dan badannya membulat seperti
badak berendam dan badak sumbu. Pernah
dia menangis teresak-esak apabila bermimpi
dihempap oleh segunung burger, coklat,
aiskrim dan kek keju. Dia sesak nafas dan
berpeluh-peluh sekilogram. Mujur semuanya
hanya mimpi buruk sahaja.

Petang itu sebelum pulang, Yunana berjumpa
dengan sahabatnya Liyana Jasmot di kantin

17

Mama Bella

sekolah. “Saya ada berita ‘terhangat dan
terhangit’ yang mahu disampaikan. Tadi saya
terserempak dengan Umie Aidah di dalam
tandas sekolah.” Liyana Jasmot membuat
laporan tanpa dipinta.

“Umie Aidah? Umie Aidah yang
merupakan penolong ketua pengawas
sekolah? Mengapa? Awak didenda? Apa
kesalahan awak? Dia melihat awak mengukur
pinggang dengan tali pengukur di dalam
tandas? Atau… awak tidur di dalam tandas?”
Kalut Yunana mahu tahu.

“Ish, mana mungkin saya mahu tidur di
dalam tandas! Begini, pada mulanya Umie
Aidah tidak perasan dengan kehadiran saya.
Saya telah melihat Umie Aidah muntah di
singki tandas.”

“Apa? Mun... muntah?” Mata Yunana
yang penyibuk terjegil bulat seperti bola
pingpong.

18

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

“Ya, muntah. Saya sangkakan Umie Aidah
demam panas. Kemudian, baru saya perasan
yang dia sengaja mengorek anak tekaknya.
Dia mengorek makanan yang dimakan. Bila
ditanya, serba salah dia memberitahu yang
dia telah terlebih makan pada waktu rehat.
Maka, dia merasa bersalah pada dirinya
sendiri. Seolah-olah dia menganiayai diri
sendiri. Katanya, cara yang terbaik adalah
dengan mengorek makanan yang telah
dimakan sebelum masuk ke dalam perut.”

“Dahsyatnya! Mungkin anak tekaknya
akan terluka dan berdarah. Eeew... takutlah.”
Yunana menjongketkan keningnya sambil
memasang wajah kengerian.

“Kata-kata Umie Aidah di dalam tandas
itu tadi telah disokong padu oleh Nurismimi
yang turut menjelma di belakang saya.
Katanya, dia sendiri tidak berselera mahu
menjamah makanan. Dia tidak mahu
nampak gemuk di dalam cermin. Makanan
adalah punca kegemukan dan menjadi

19

Mama Bella

musuh ketatnya. Dia sanggup tidak makan
apa-apa langsung sehari suntuk.” Liyana
Jasmot kelihatan berbangga menerangkan
kesanggupan Nurismimi berlapar.

“Wah, hebatnya. Jadi itulah sebabnya
badan kurus keding dan cantik melidi persis
model. Jadi, apa yang dimakannya selama
ini?” Yunana sakan mengorek rahsia.

“Katanya... semua makanan tidak dapat
menaikkan seleranya. Dia sudah tidak
bernafsu lagi mahu makan. Sudah seminggu
dia hanya makan epal hijau sebiji sahaja
sehari dan air mineral sahaja. Dahsyat
bukan?”

“Hah? Sebiji epal hijau dan air mineral
sahaja? Bukankah itu sudah gila namanya?
Sekiranya begitu, saya pun kalah dengannya.”
Liyana Jasmot tersenyum mendengar kata-
kata Yunana. Kembang kempis hidung
masing-masing membayangkan kehebatan
Nurismimi yang kerempeng badannya

20

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

seperti papan bergerak dapat menahan
selera makannya. Oh, itulah idolanya!

“Ini adalah gejala anoreksia dan bulimia! Ini
tidak boleh dibiarkan!” Cikgu Aini memetik
jarinya.

Cikgu Aini selaku guru kaunseling Sekolah
Sri Bangsar telah ke kantin sekolah bagi
menempah kek lapis daripada Mak cik
Sharepah. Secara tidak sengaja, dia telah
terdengar perbualan Yunana dan Liyana
Jasmot tanpa mereka ketahui. Cikgu Aini
menggelengkan kepalanya sambil fikirannya
galak berputar. Selaku guru kaunseling
yang begitu prihatin, dia mahu mengambil
tindakan proaktif supaya dapat menangani
soal pemakanan kurang sihat yang melanda
para pelajar perempuan Sekolah Sri Bangsar
semenjak kebelakangan ini.

Selesai membuat tempahan kek lapis dari
Mak cik Sharepah, Cikgu Aini yang berpura-

21

Mama Bella

pura tidak mendengar perbualan Yunana
dan Liyana Jasmot, bergegas ke biliknya.
Dia menongkat dagu dan meletakkan jari
telunjuk kanannya di kepala. Gaya profesor
yang sedang mencari ilham, dia masih belum
benar-benar dapat menghadam segala butir
bicara Liyana Jasmot dan Yunana tadi. Cikgu
Aini masih terkejut badak.

‘Sebiji epal... memuntahkan makanan...
mengorek makanan... hmm... ini semua
sudah melampau dan mencapai tahap serius
yang kronik.’ Cikgu Aini pening berfikir
sendirian.

‘Hmm... mungkin juga para pelajar
perempuan takut menjadi seperti Mimi
Monira yang senang dibuli apabila bersaiz
bulat dan gemuk. Logik juga.’ Getus hati
kecilnya lagi.

Tiba-tiba telefon di atas mejanya
berdering. Terkejut Cikgu Aini kerana
lamunannya terhenti. “Helo... saya Cikgu

22

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

Aini. Ya betul, saya adalah cikgu kaunseling
Sekolah Sri Bangsar. Ada apa yang boleh
saya bantu?”

“Eh... Encik Kerem Singh Welie dari
TV13? Apa yang boleh saya bantu encik?
Perbincangan slot khas? Slot ‘Aduan Remaja’
di Sekolah Sri Bangsar?” Terkelu sejenak,
Cikgu Aini mengerutkan wajahnya. Dia
mendengar dengan teliti kata-kata wartawan
TV13 bernama Kerem Singh Welie di hujung
talian. Kerem Singh Welie yang begitu petah
berbicara dan berpantun seloka membuatkan
Cikgu Aini hanya terdiam dan mengangguk
kepala lemah beberapa kali.

“Baiklah, saya akan bincangkan hal ini
dengan Puan Pengetua terlebih dahulu.
Saya harap Encik Kerem Singh Welie faham
yang pihak Sekolah Sri Bangsar begitu
menjaga nama baik sekolah kami. Saya
akan menghubungi pihak encik sekiranya
mendapat kata putus daripada Puan

23

Mama Bella

Pengetua. Terima kasih.” Klik! Telefon
dimatikan.

Cikgu Aini menelan air liurnya. Perit
terasa dan dia mengeluh lesu. Berat dan sarat
minda dibuatnya akibat keterlaluan berfikir.
Hatinya bergetus sendirian. ‘Ini semua mesti
gara-gara kes pelajar yang telah masuk ke
hospital akibat menelan sebotol pil kurus
baru-baru ini. Jangan sampai orang luar dan
pihak media masuk campur.’

Cikgu Aini akan melapurkan segalanya
segera kepada Puan Zaiton, Puan Pengetua
Sekolah Sri Bangsar. Gejala bulimia dan
anoreksia yang melanda para pelajar
perempuan bakal dibentangkan dengan
terperinci kepada Puan Zaiton yang sentiasa
segar dengan 1001 idea bagi mengatasi
sebarang masalah yang timbul.

Sebelum menuju ke bilik Puan Zaiton,
Cikgu Aini mencari idea agar dapat diusulkan

24

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

dalam perbincangan kelak. Dia berfikir
sejenak dan mengomel sendirian.

“Pertama, bangkitkan nafsu makan
pelajar dengan menyajikan makanan yang
enak. Kedua, edarkan contoh gambar gejala
orang yang telah mejadi mangsa bulimia
dan anoreksia. Hmm... ketiga, paksa pelajar
yang terlibat supaya makan. Paksa... paksa
bagaimana? Tidak mungkin dapat menyuap
mulut mereka semua. Paksa dengan cara
berhemah? Cara profesional? Bagaimana?
Siapa yang dapat membantu?” Cikgu Aini
meletakkan pen di celah tudungnya yang
telah mula senget sebelah.

“Ahah!” Cikgu Aini tersengih lebar. Dia
cuma terbayangkan seorang sahaja yang
dapat diusulkan kepada Puan Zaiton. Cikgu
Aini teringatkan kek lapis yang ditempah
tadi.

25

Mama Bella

Liyana Jasmot mula merasa kelainan pada
dirinya. Mungkin penangan akibat amalan
hanya meminum air milo kosong tanpa
gula setiap hari. Dia tidak mahu ibunya
perasan yang wajahnya telah mula bertukar
pucat. Badannya lesu dan matanya kuyu.
Sekiranya mahu mengikut nafsu makannya,
dia bebas menjamah apa sahaja yang
diingini kerana ibunya adalah tukang masak
handalan. Tetapi... Liyana Jasmot tidak rela
dihurung dan diselubungi rasa bersalah
yang menghantui dirinya. Di atas meja di
rumahnya dan di dapur sentiasa terhidang
penuh dengan pelbagai makanan yang
berkalori tinggi dan berlemak. Sekiranya
Liyana Jasmot memakan karipap pusing
walau sebiji cuma, dia akan merasa bersalah
sepanjang hari. Apatah lagi, di sebelah
malamnya pula dia bermimpi lemas di
lautan yang penuh dengan karipap pusing
yang berjuta-juta banyaknya.

26

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

Liyana Jasmot segera mencapai telefon
mahu menghubungi Yunana selaku penasihat
yang tidak bertauliah. “Apa yang perlu saya
lakukan? Saya rasa seperti mahu pitam. Saya
sudah mula menggeletar dan tidak boleh
belajar. Saya perlu makan tetapi saya takut
mahu makan. Saya tidak mahu ibu perasan
dengan keadaan diri saya.”

Yunana mula merasa risau mendengar
situasi yang melanda Liyana Jasmot. Dia
menggigit bibirnya sendiri. “Ini tidak boleh
dibiarkan, Liyana. Awak perlu segera
makan.”

“Saya cemburu sebab awak kekal bersaiz
XS tetapi awak masih boleh makan dengan
riang gembira.” Liyana Jasmot tidak rela
bersaiz M yang dianggap sebagai saiz menuju
ke arah saiz gemuk gedempul.

“Sebenarnya, badan kita berbeza, Liyana.
Kadar metabolisme kita semua berlainan.
Saya lebih aktif di dalam sukan olahraga dan

27

Mama Bella

bola jaring. Saya sering mengeluarkan peluh.
Jangan banyak berfikir lagi. Awak perlu mula
makan sekarang. Tetapi makanlah dengan
berpada-pada. Awak boleh makan sup
sayur, ikan rebus, tomyam, ayam bakar atau
buah-buahan. Jangan pula makan kek keju,
ais krim, coklat dan donat.” Yunana segera
mencadangkan. Dia gusar mendengar suara
Liyana Jasmot yang sudah mula kedengaran
lemah dan tidak bermaya.

“Semua makanan itu tetap berkalori.
Hanya air kosong sahaja yang mempunyai
sifar kalori. Saya takut mahu makan.” Liyana
Jasmot masih berkira-kira tentang jumlah
kalori makanan walaupun dia sudah tidak
larat mahu bercakap.

“Okey, apa kata saya cuba telefon Mak
cik Sharepah sekarang? Saya akan minta ibu
awak masakkan sup sayur campur dengan
tofu dan suhun sebagai menu makan awak
malam ini. Awak pergilah mandi dahulu.
Tahulah saya mahu cakap bagaimana dengan

28

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

Mak cik Sharepah. Serahkan segalanya
kepada saya.” Yunana mempelawa diri
kerana menyalahkan dirinya sendiri yang
sering menghasut Liyana Jasmot tentang saiz
M yang dianggap gemuk gedempul.

“Hmm... bagus juga cadangan awak.
Saya memang serba salah mahu minta ibu
masakkan menu hidangan tanpa lemak dan
tanpa minyak. Di atas meja di rumah hanya
terhidang dengan pelbagai makanan yang
lemak berkrim dan bersantan. Makan hati
berulam jantung dibuatnya saya melihat
semua makanan yang terhidang. Saya jadi
takut mahu makan. Saya merasa fobia mahu
menyentuh makanan. Saya juga serba salah
mahu suruh ibu tukar menu. Nanti ibu kata
saya mengada-ngada pula. Okey, awak
tolong telefon ibu saya, ya.” Liyana Jasmot
tersenyum lega.

Beberapa minit kemudian, Kak Liyanur
pula menelefon adiknya, Liyana Jasmot.
Liyana Jasmot terus meluahkan hatinya

29

Mama Bella

kepada Kak Liyanur. Sama sepertimana
yang dihamburkan kepada Yunana tadi, Kak
Liyanur turut mempelawa mahu menelefon
ibu mereka. Biar Mak cik Sharepah
menyediakan makanan yang lebih ringkas
dan berkalori rendah buat adik bongsunya.

“Baiklah, Liyana. Janganlah risau. Sekejap
lagi, Kak Liyanur akan telefon dan beritahu
ibu. Kasihan kamu, rupa-rupanya adik kakak
ini makan hati berulam jantung selama
ini. Makan hati dengan kesibukan ibu dan
makanan yang tidak berkhasiat yang ibu
sediakan.”

Yunana dan Kak Liyanur memain peranan
masing-masing. Mak cik Sharepah yang
menjawab telefon sambil memasak jem
nenas dan puding jagung, hanya mengiakan
sahaja kata-kata Yunana dan Kak Liyanur
yang menerjah masuk bertubi-tubi. Dia
tersenyum sendirian mengenangkan Liyana
Jasmot yang malu berterus-terang.

30

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung

“Kasihan anak aku, makan hati berulam
jantung rupa-rupanya. Apalah sangat
permintaannya.” Keluh Mak cik Sharepah
yang sibuk tidak henti-henti.

Tidak semena-mena, telefon bimbit Mak
cik Sharepah berdering lagi. Kali ini Mak
cik Sharepah menjadi kelam kabut apabila
melihat nama Datin Syasyah Al-Yahya tertera
pada skrin telefon bimbitnya. ‘Rezeki jangan
ditolak, bala jangan dicari.’ Bisik hatinya
sambil tersengih lebar sehingga ke telinga.

“Liyana, ibu mahu keluar dahulu, ya. Maaflah
semenjak akhir-akhir ini ibu sibuk sedikit.
Ibu ada temujanji dengan Datin Syasyah
Al-Yahya. Lusa, datin mahu mengadakan
majlis hari jadi dan kenduri doa selamat
untuk cucunya. Rezeki kita sebab datin sudi
mahu mengambil tempahan katering kita.
Ibu keluar dahulu, ya.” Mak cik Sharepah
kelihatan kelam kabut sekali.

31

Mama Bella

“Ma... makan malam saya?” Serba salah
Liyana Jasmot bertanya. Dia tertunduk.

“Oh, janganlah risau, sayang. Kak Liyanur
dan Yunana sudah beritahu. Makan malam
kamu ada di bawah tudung saji.” Mak
cik Sharepah kalut mencium anaknya lalu
bergegas keluar. Begitulah rutin hidupnya.
Siang begitu sibuk di kantin sekolah.
Malamnya pula sibuk memasak atau
mengambi tempahan bisnes kateringnya.
Liyana Jasmot tercengang-cengang sambil
melambai tangan ke arah ibunya.

Liyana Jasmot membuka tudung saji
dengan wajah berseri-seri. Aroma yang enak
menerjah di sebalik tudung saji mengkuang
itu. Tiba-tiba mulutnya melopong bulat.
Matanya terbuntang. “Apa? Ibu masak kicap
hati ayam goreng dengan kacang buncis?
Ulam jantung pisang dan sambal belacan
pun ada?”

32

Liyana Jasmot Makan Hati Berulam Jantung
Rupa-rupanya akibat kelam kabut tadi,

Mak cik Sarepah telah tersalah faham. Dia
telah tersilap mendengar yang Liyana Jasmot
mahu makan hati dan ulam jantung. Walhal,
anak bongsunya selalu makan hati berulam
jantung dengan kesibukannya.

Liyana Jasmot menepuk dahinya. Dia
tersandar sambil mengunyah ulam jantung
pisang. ‘Sedap juga... pasti rendah kalorinya.’
Bisik hatinya. Liyana Jasmot tidak tahu sama
ada mahu menangis atau ketawa.

~ TAMAT ~

33


Click to View FlipBook Version