The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

permainan tradisional

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by janfaizal90, 2022-06-18 00:27:50

wau

permainan tradisional

1.0 PENGENALAN

Malaysia kaya dengan warisan kebudayaan yang sangat unik dan menarik. Warisan
dalam budaya merangkumi makanan, adat dan permainan tradisi yang terhasil dari asimilasi
pelbagai kaum masyarakat di Malaysia. Permainan tradisi secara amnya terdiri daripada
permainan anjung dan permainan laman. Permainan anjung termasuklah batu seremban,
congkak, dam aji dan lain-lain. Manakala permainan laman pula seperti galah panjang, wau,
gasing, konda kondi, dan lain-lain.

Kebanyakan permainan dimainkan secara berkumpulan dan ini mewujudkan interaksi
sosial serta merapatkan hubungan di antara ahli masyarakat. Pada suatu masa dahulu, aktiviti
permainan merupakan suatu aktiviti senggang yang dijalankan dengan meriah seakan-akan
pesta keramaian. Penduduk kampung tanpa mengira usia akan turun beramai-ramai sama
ada untuk menyertai pertandingan atau sebagai penyokong dalam suasana pertandingan
yang sihat. Permainan-permainan dahulu juga kebanyakannya banyak memberi manfaat
kepada individu dan masyarakat. Selain membina kemahiran sosial, ianya juga memberi
faedah fizikal dan mental. Permainan strategi seperti dam aji dan congkak, akan merangsang
minda seseorang berfikir secara kritis dan membantu mempertingkatkan kemahiran mengira
dan sentiasa fokus dalam sesuatu tugas.

2.0 SEJARAH WAU

Permainan wau merupakan salah satu daripada permainan tradisional orang-orang
Melayu sejak berates-ratus tahun dahulu lagi. Permainan ini mengandungi unsur-unsur
budaya Melayu asli. Ini dapat dilihat pada bentuk dan rekaan corak yang terdapat pada wau
tersebut. Wau atau disebut laying-layang merupakan satu aktiviti menerbangkan layang-
layang tersebut di udara. Perkataan “wau” dikatakan berasal dari perkataan kerajaan Melayu
Pattani (Thai) memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah
menggunakan perkataan tersebut. Kaum yang mempopularkan permainan wau ialah kaum
Melayu dan Siam yang ramai tinggal di negeri tersebut. Perkataan layang-layang pula

digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di pantai barat dan selatan Semenanjung
Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor.

Asal-usul permainan wau yang sebenarnya tidaklah diketahui walaupun dalam
beberapa buku Sejarah Melayu sudah menceritakan tentang permainan ini. Namun begitu,
ramai orang berpendapat bahawa permainan wau ini bermula pada zaman pemerintahan
Sultan Mahmud Shah (1488-1511). Pendapat ini berdasarkan kepada buku Sulalatus Salatin
(Sejarah Melayu) yang mana ada menceritakan tentang permainan wau. Pembuktian
permulaan wau diteruskan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja
Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja. Selain itu
kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada
wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan
menghasilkan bunyi "wau" secara berirama.

Seterusnya. menurut sejarahwan Clive Hart, layang-layang di Malaysia berasal dari
negara China. Ini kerana rekabentuk serta ciri wau di Malaysia mempunyai persamaan dengan
layang-layang tradisional dari negara China. Layang-layang pada masa dahulu menggunakan
daun kayu yang lebar. Kemungkinan evolusi layang-layang di Malaysia juga turut menyerap
unsur-unsur kebudayaan dari negara China memandangkan hubungan Malaysia-China telah
berlangsung sejak zaman Greek lagi. Kemungkinan juga perkataan wau datangnya daripada
perkataan Cina Hokkien (Fujian). Kata untuk wau dalam dialek Hokkien ialah 'ao' di utara
Malaysia.

3.0 MITOS WAU

Mengikut satu cerita, wau itu pada awalnya adalah permainan tanpa nama.
Permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak ini diperbuat dari daun tertentu yang diikat
pada tulang belakang daun tersebut dengan tali kelopak batang pisang atau urat-urat daun
nenas. Wau dimainkan di tempat yang berangin. Satu waktu, permainan tanpa nama itu putus
talinya, dan anak itu pun menangis “wa, wa, wa, wa…”, maka, menurut yang empunya cerita,
lahirlah perkataan "Wau".

Mengikut asal usul yang lain, yang lebih dekat dengan mitos, ia bermula apabila Dewi
Dewa Dani bersalinkan Dewa Muda. Bidan Ketujuh membuang tembuni Dewa Muda ke laut.
Maka Mak si Dewa Dewa yang sedang bertapa di kayangan merasa tidak selesa duduk di
kayangan, lalu dia turun ke Medan Kulum Laman Yang Rata, dan dilihatnya tembuni Dewa
Muda terapung-apung di Sungai Nil. Tembuni itu dipulihkan menjadi seorang dewa yang
dinamakan Awang si Jambul Lebat dan selaput tembuni Dewa Muda itulah dijadikan “rangka”
Wau untuk Dewa Muda.

Untuk menyiapkan Wau itu, Mak si Dewa Dewa mengambil panau Dewa Muda untuk
dijadikan bunga Wau, tangan Dewa Muda untuk sayap Wau, laras kaki Dewa Muda dijadikan
tangan dan badan wau serta rambut Dewa Muda dijadikan jambul Wau. Bila Wau ini
dinaikkan, maka busurnya berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam. Dari bunyi busur
itulah wujudnya nama "Wau". Mengikut asal usul ini juga, wau yang tidak ada busur atau
busurnya tidak berbunyi dua belas bahasa dan dua belas ragam dipanggil "layang-layang".

Mengikut asal usul yang lain pula, wau wujud dari semangat padi. Pada satu hari,
seorang petani bersama isterinya yang tidak mempunyai anak terjumpa dengan seorang anak
perempuan yang cantik, lalu dipelihara oleh mereka. Si suami tiap-tiap hari membawakan
minuman dan makanan kepada anak perempuan itu di tempat dia bermain di rumah padi,
yang akhirnya menimbulkan perasaan cemburu di hati isteri. Anak perempuan itu dipukul
oleh si isteri lantas melarikan diri dari rumah petani tersebut menghala angina barat.
Berikutan dengan kejadian itu, padi petani suami isteri tadi, tidak berbuah dan diserang
penyakit. Mengikut nujum, anak perempuan yang dihalau tadi adalah semangat padi. Untuk
memohon maaf, petani itu harus membuat satu lembaga merupai Wau Bulan sekarang ini
dan dinaikkan setelah menuai.

4.0 JENIS-JENIS WAU

Pelbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Antaranya jenis-jenis wau seperti Wau
Barat/ Wau Daun, Wau Dodo Helang, Wau Jala Budi, Wau Kapal, Wau Kucing, Wau Payuh,
Wau Seri Bulan, Wau Seri Negeri, Wau kangkang, Wau Merak dan yang sangat digemari dan
popular oleh orang Melayu ialah Wau Bulan.

Wau Bulan

Foto 1: Wau Bulan

Menurut lagenda Wau Bulan dikatakan telah bermula pada zaman kerajaan Srivijaya, ia mula
digunakan oleh seorang putera bernama Dewa Muda. Corak bunga dan daun pada wau Dewa
Muda dikatakan merupakan peta daerah yang telah dikuasainya

Bentuk wau bulan ini menyerupai bulan sabit pada bahagian hadapan dan separa bulatan
pada bahagian ekornya. malah, wau bulan ini kelihatan seperti bulan yang terbit di angkasa
apabila diterbangkan. Dari segi saiznya pula, wau bulan dibentuk dengan saiz yang lebih besar
berbanding wau lain. Bidang biasa yang digunakan adalah sepanjang 2.5meter dengan tinggi
3.5 meter. Ini untuk memastikan corak yang terdapat pada wau tersebut kelihatan jelas dan
menyerlah. Bagi menyerlahkan daya tarikan jenis wau ini, pemilihan warna yang terang dan
corak yang lebih besar menjadi pilihan.
Bentuk wau bulan ini menjadi lambang syarikat kepada syarikat penerbangan(MAS). Walau
bagaimanapun, sesetengah pihak mendakwa logo ini sebenarnya diilhamkan oleh wau kucing,
bukan wau bulan. Wau bulan mterupakan wau yang paling popular jika dibandingkan dengan

wau lain. Wau ini mempunyai bentuk seperti bulan sabit di bahagian hadapan dan separa
bulatan di bahagian ekor. Oleh itu wau tersebut seolah-olah kelihatan seperti bulan yang
terbit di angkasa apabila diterbangkan.

Wau bulan juga telah dijadikan lambang kebudayaan Melayu kerana dicetak pada wang kertas
satu ringgit Malaysia, syiling memperingati Sukan SEA-9 pada tahun 1977 dan wang syiling
lima puluh sen pada bahagian belakang wang tersebut. Keadaan ini memperlihatkan bertapa
unik dan tingginya nilai seni kebudayaaan Melayu yang telah dijadikan lambang masyarakat
Malaysia.

Foto 1: Syiling peringatan Malaysia seperna Foto 2: Syiling 50 sen
memperingati sukan SEA ke-9 pada tahun 1977

Foto 3: Wang kertas Malaysia menggunakan Foto 4: logo Syarikat Penerbangan Malaysia
reka bentuk wau (MAS) yang menjadikan wau sebagai lambing

penerbangan Malaysia

Wau Barat/Wau Daun

Foto 5: Wau Daun

Wau Daun atau juga dikenali sebagai Wau Barat atau wau pagi merupakan sejenis jenis
layang-layang yang popular. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-
temurun di Malaysia.
Wau Daun menyerupai bentuk wau bulan tetapi adalah lebih lebar dan ringan. Wau daun
turut memiliki corak-corak yang menarik, tetapi corak-corak tersebut adalah dilukis dan tidak
menggunakan teknik sobek iaitu potong dan tampal, sebagaimana wau-wau yang lain. Ia juga
satu-satunya wau tradisional yang tidak memiliki pedengung.
Oleh kerana corak-corak tersebut hanya dilukis pada badan wau, dan bukannya ditampal, ia
mampu terbang tinggi walaupun semasa pada waktu angin bertiup dengan perlahan, seperti
ketika pada waktu pagi. Oleh itu, ia juga dikenali sebagai wau pagi. Selain itu lukisan pada
badan wau sering kali menggunakan teknik batik malah ia sering kali dilukis oleh pelukis batik,
dan bukannya pembuat wau.
Selain itu, bentuk dan rupa wau daun adalah lebih dinamik dan cepat berubah, sering kali ia
memaparkan reka bentuk asli dan unik yang mulai diterima pakai dalam pertandingan-
pertandingan. Antara puncanya adalah corak-corak tersebut dilukis oleh ahli seni dalam
bidang lain dan juga oleh kerana ia dilukis, adalah lebih mudah mencipta corak-corak baru
berbanding teknik sobek potong dan tampal.

Wau Dodo Helang

Foto 6: Wau Dodo Helang
Wau Dodo Helang merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Terengganu, Ia
tergolong dalam kategori wau burung. Wau dodo helang ini mempunyai rupa yang sama
dengan wau helang kecuali hiasan pada dada layang-layangnya yang berbeza. Kebiasaannya,
wau dodo helang ini akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini
bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur
yang direntang. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada wau dodo helang
adalah motif bunga dan kelarai yang menggunakan teknik sobek.

Wau Kucing

Foto 7: Wau Kucing
Wau Kucing merupakan sejenis layang-layang yang popular. Ia merupakan wau tradisional
yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia. Wau Kucing dikatakan mendapat
nama daripada bentuknya yang menyerupai seekor kucing yang sedang duduk dari sudut
belakang, bermula dari bahagian kepala, badan dan seterusnya ekor kucing. Pada
kebiasaannya, wau Kucing akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya.
Pemasangannya bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin
melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, busur wau Kucing dikatakan
akan mengeluarkan bunyi yang nyaring seperti kucing. Ia dipercayai berfungsi untuk
menakutkan roh jahat dan meramalkan keadaan cuaca pada keesokan harinya. Motif ukiran
sobek yang digunakan pada wau ini ialah motif bunga dan tumbuh-tumbuhan dan cara
hiasannya adalah sama seperti wau bulan.

Wau Jala Budi

Foto 8 : Wau Jala Budi
Wau Jala Budi merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di negeri Kedah. Ia
merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia. Wau Jala
Budi dikatakan mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai daun budi manakala
perkataan jala pula wujud dari kerangka ekor Wau Jala Budi. Pada kebiasaannya, wau jala
budi akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini bertujuan bagi
menghasilkan bungi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang.
Ketika diterbangkan ke udara, Wau Jala Budi dikatakan akan mengeluarkan bunyi berdengung
yang agak sederhana garau yang terbit dari busur yang terdapat di bahagian kepala. Wau Jala
Budi ini juga dikatakan memiliki persamaan dengan layang-layang Chula yang berasal dari
negara Thailand.

Wau Merak

Foto 9: Wau Merak
Wau Merak merupakan sejenis layang-layang yang popular dikalangan keturunan Bugis di
Malaysia. Ia juga dikenali sebagai Layang-Layang Kipas dan dipercayai berasal dari Sulawesi,
Indonesia. Ia memiliki reka bentuk yang bercirikan burung Merak dan tidak terikat kepada
saiz yang tertentu. Wau merak biasanya mempunyai ekor yang panjang yang
membezakannya dengan wau helang.
Pada kebiasaannya, wau Merak akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian
atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin
melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, busur wau Merak dikatakan
akan mengeluarkan bunyi yang nyaring seperti Merak.
Keistimewaan Wau Merak ialah pada busurnya yang boleh memainkan tujuh jenis irama atau
bunyi bunyian. Pada asalnya, ia dimainkan pada waktu malam kerana ia dapat menghasilkan
bunyi yang baik. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada Wau Merak pula
adalah motif tumbuhan menjalar iaitu lada hitam dan gambir.

Wau Kangkang

Foto 10: Wau Kangkang
Wau Kangkang merupakan wau yang popular di Kelantan, Malaysia. Wau ini merupakan wau
tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia. Manakala di kedah wau
ini dikenali segabai Wau puyuh dan merupakan wau rasmi bagi negeri Kedah. Wau Kangkang
atau Wau Puyuh ini menyerupai bentuk Wau Jala Budi tetapi memiliki corak ekor yang
mencapah.
Wau Kapal

Foto 11: Wau Kapal
Wau Kapal pula merupakan sejenis jenis wau yang popular di Selangor. Wau Kapal merupakan
wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia dan Wau Kapal

merupakan wau rasmi bagi negeri Selangor. Wau Kapal menyerupai bentuk wau bulan tetapi
ekornya memiliki corak yang berbentuk seperti kapal.

Wau Seri Bulan

Foto 12: Wau Seri Bulan
Layang-Layang Seri Bulan, iaitu wau warisan dan tradisi rasmi negeri Perak telah lama
dimainkan oleh masyarakat Perak, terutamanya kerabat DiRaja. Ia seakan-akan Wau Bulan
yang popular di negeri Kelantan. Nama layang-layang unik ini dipercayai mula disebut ketika
zaman pemerintahan Sultan Iskandar Shah.
Alkisahnya, almarhum Sultan Iskandar Shah ketika itu dalam perjalanan pulang menyelusuri
Sungai Perak dan ternampaklah rakyat jelata meraikan berakhirnya musim padi dengan
menaikkan layang-layang. Keadaan yang sangat meriah itu telah menarik perhatian baginda
sultan.
Baginda pun menitahkan untuk mendarat di tebing Sungai Perak, dan bersama dengan rakyat
bermain layang-layang.

Seronok bermain layang-layang, baginda pun bertanyakan mengenai nama layang-layang
tersebut, dan salah seorang pemain menyebutnya sebagai Layang-Layang Bulan kerana
bentuknya seperti bulan.
Baginda pun memberikan nama baharu dengan menambahkan 'Seri' lalu layang-layang
tersebut dikenali sebagai Layang-Layang Seri Bulan, sesuai dengan nama lagu kebesaran
negeri Perak iaitu Terang Bulan.
Permainan layang-layang di negeri Perak biasanya berlaku selepas selesai musim menuai
padi. Ia biasanya dimainkan di tepian sawah dan juga sungai yang menjadi punca air untuk
sawah dan bendang.
Wau Puyuh

Foto 13: Wau Puyuh
Wau Puyuh merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Kelantan, Malaysia. Ia
merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia.
Wau Puyuh menyerupai bentuk wau bulan tetapi memiliki corak ekor yang lebih melengkung

Wau Seri Negeri

Foto 14: Wau Seri Negeri

Wau Seri Negeri merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Negeri
Sembilan, Malaysia.
Pada kebiasaannya, wau seri negeri akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian
atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin
melalui tali busur yang direntang.
Ketika diterbangkan ke udara, busur wau seri negeri dikatakan akan mengeluarkan bunyi yang
nyaring. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada wau seri negeri pula adalah
motif tumbuhan menjalar iaitu lada hitam dan gambir.

5.0 MENGHASILKAN WAU

Berdasarkan kajian yang telah dibuat melalui temuramah daripada pemain wau
tradisional dalam pada masa yang sama pembuat wau iaitu Samat bin Man lebih selesa
dipanggil ‘Pak Non’ mengatakan untuk menghasilkan sebuah wau yang berkualiti
memerlukan penelitian daripada peringkat awal hingga akhir prosesnya. Hal ini kerana
menurut beliau aspek pemilihan buluh amat dititik beratkan kerana buluh yang dicari perlu
mengikut aspek-aspek yang diperlukan agar memenuhi syarat.

Jika tidak memenuhi syarat dalam pemilihan buluh dikhuatiri wau tak dapat bertahan
lama dan boleh rosak dalam masa yang singkat. Hal ini kerana selepas pemilihan buluh akan
ada proses selanjutnya untuk mengekalkan kualiti buluh itu sendiri agar bertahan lebih lama.
Proses ini juga akan mengambil proses yang lama lebih kurang enam bulan ke setahun. Bukan
mudah untuk menghasilkan sesebuah wau yang berkualiti. Tanpa ilmu wau dapat dihasilkan
tetapi kualitinya tidak sehebat jika disandarkan melalui ilmu dan rujukan yang tepat daripada
proses awal hingga akhir proses.

Beliau juga menerangkan bahawa yang motif atau corak yang dihasilkan di wau
miliknya semuanya ukiran tangan. Hal ini kerana bagi beliau wau yang motif ukiran tangan
mempunyai nilai sentimental yang tinggi berbanding corak atau motif yang siap dicetak.

6.0 KOMPONEN WAU
Sesebuah wau yang cukup sifatnya akan mempunyai 5 komponen besar seperti

kepala, busur, sayap, pinggang dan ekor. Komponen ini akan menunjukkan identiti wau ini
kerana terdapat beberapa jenis wau tidak mempunyai komponen yang sama tetapi itu tidak
membezakan kategorinya cuma berbeza panggilan atau jenisnya sahaja.

Foto 15: Komponen asas wau

7.0 TEKNIK PEMBUATAN WAU TRADISIONAL

Teknik pembuatan wau yang sempurna bermula dengan kemahiran dan kreativiti
pembuat wau kerana melalui kemahiran wau yang dibuat akan memenuhi syarat iaitu dapat
tinggi dan statik di awan biru. Hal ini kerana aspek aerodinamik dititik berat dalam pembuatan
wau.

Selain itu pemilihan barang mentah dan penyediaan peralatan yang cukup perlu
diteliti. Antara contoh bahan mentah dan peralatan yang diperlukan ketika pembuatan wau
ialah seperti berikut.

Buluh Kulit rotan Papan pemotong

Alat mengukir Alat meraut Peralatan tambahan

Jadual 1: Peralatan pembuatan wau

8.0 PEMILIHAN BULUH

Proses pemilihan buluh amat penting dalam pembuatan dimana ketika proses akan
menentukan buluh yang terbaik untuk dibuat bingkai wau. Buluh untuk dibuat kebiasaanya
menggunakan buluh betung dan buluh duri. Hal ini kerana di negeri Kelantan pembuat wau
disana kebiasaanya menggunakan buluh betung kerana buluh betung lebih banyak disana.
Berbeza pula dengan negeri di utara Malaysia seperti Perlis, pembuat wau disana memilih
untuk menggunakan buluh duri kerana kelebihan yang ada padanya. Kedua jenis ini tidak di
nafikan mempunyai ketahanan yang amat tinggi tetapi terdapat keburukan dan kebaikan
antara dua buluh ini dimana keburukan buluh betung semakin lama disimpan ia akan
mengeluarkan debu ditengah buluh di mana ia seakan di makan oleh serangga perosak
berbanding dengan buluh duri di mana semakin lama ia disimpan semakin tinggi
ketahanannya.

Pembuat wau kebiasaannya akan mengikuti petua orang-orang tua sebelumnya di
mana mereka kebiasaannya akan keluar mencari buluh di waktu siang iaitu pada waktu
tengahari kerana cuaca yang panas dan kering sesuai untuk buluh pembuatan wau. Usia buluh
untuk dibuat wau kebiasaanya berumur pada 3 tahun tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda.
Pembuat wau biasanya akan mencari buluh pada bulan Februari hingga Mei kerana cuaca
pada waktu ini kemarau dan amat baik kualiti buluhnya berbanding pada buluh yang diambil
pada musim hujan yang senang patah dan tidak bertahan lama. Buluh yang dipilih mesti
belum dimakan serangga perosak. Seharusnya mencari buluh yang betul- betul menepati ciri-
ciri yang baik dan berkualiti.

9.0 PENYIMPANAN BULUH

Kaedah penyimpanan buluh bagi pembuat wau akan berkait rapat dengan petua
orang-tua di mana mereka akan menyimpan buluh di tempat tinggi agar tidak di langkah atau
dipijak oleh sesiapa. Hal ini kerana ingin mengelakkan masalah dan memastikan buluh lebih
kuat dan tahan lama untuk jangka masa yang panjang. Buluh yang disimpan sebelum diraut
menjadi bingkai akan disimpan sekurangnya enam bulan hingga setahun bagi memastikan
ketahanan buluh itu tinggi. Bagi pembuat wau negeri perlis, wau yang untuk dipertandingkan
akan merendam buluh didalam air garam selama setahun sebelum dijemur sehingga kering
agar urat buluh lebih ringan dan anjal apabila di naikkan. Keseimbangan buluh yang telah
diraut boleh diukur dengan meletakkan di atas jari menentukan seimbang atau tidak buluh
tersebut.

10.0 MERAUT BULUH

Buluh yang diraut mengikut ukuran dan saiz wau pembuat wau itu sendiri. Di mana
buluh itu akan diraut mengikut tiga jenis bahagian tulang belakang, sayap dan ekor. Pisau
yang digunakan ketika meraut buluh mestilah tajam agar lebih cepat dan mudah. Selepas
proses meraut, buluh akan digosok dengan kertas pasir supaya tekstur atau permukaan buluh
akan menjadi sekata. Ketika meraut mesti juga memikirkan faktor keselamatan dengan
memakai sarung tangan agar tangan tidak tercedera terkena pisau tajam.

11.0 MEMBUAT BINGKAI
Setelah proses meraut selesai maka disusuli dengan proses untuk membuat bingkai.

Proses ini tidak mengambil masa yang lama kerana buluh yang sudah mengikut ukuran yang
dikehendaki telah dibahagi kepada beberapa bahagian utama dimana pada sayap
memerlukan dua keping buluh, satu keping buluh untuk tulang belakang, dua keping untuk
bahagian ekor dan satu keping lagi untuk bahagian busur. Semua buluh yang telah diraut
mestilah di seimbangkan semasa dalam proses meraut agar tidak menjadi masalah ketika
pemasangan bingkai.
Rangka bingkai wau kemudian akan diikat:

1. Membahagi tulang belakang dan menanda kepada tiga bahagian untuk mengikat
sayap, pinggang dan ekor

2. Sebelum mengikat kepingan sayap pertama di tulang belakang mesti meninggalkan
ruang kosong di bahagian atas untuk kepala wau

3. Kepingan pertama sayap diikat terlebih dahulu pada tulang belakang mengikut ukuran
tersendiri dan cantumkan dengan kepingan kedua sayap agar menjadi bentuk sayap
wau.

Foto 16: Bingkai yang telah siap diikat
4. Disusuli dengan mengikat cantuman kedua-kedua kepingan bahagian ekor di tulang

belakang dengan menautkan hujung kedua-kedua bahagian ekor pada hujung
bahagian sayap

5. Ruang kosong di bahagian akan diikat dengan kepingan buluh kecik yang dibentuk
separa bulatan dan diikat dikiri dan kanan bahagian pinggang dengan mengikat di
bahagian sayap dan ekor. Seterusnya kepingan yang diraut nipis dengan bentuk
bulatan diikat di tengah pinggan wau

6. Bahagian kepala wau dibentuk menjadi tiga segi. Tali nilon yang diikat pada bahagian
tulang belakang membentuk bentuk tiga segi dan di sambung pada bahagian sayap.

Bingkai wau yang siap akan dipasangkan dengan satu lapisan kertas dipangil ‘tanah’ dimana
tanah ini kemudian akan ditampal motif-motif ketika proses mengukir dijalankan.

Pemasangan tanah:
1. Ukur kertas berdasarkan saiz bingkai
2. Lebihkan dua sentimeter agar senang ditampalkan.
3. Kertas ditampal menggunakan gam

12.0 MELUKIS DAN MENYOBEK
Proses melukis dan menyobek wau sudah menjadi kemestian bagi memastikan

sesebuah wau itu menjadi lengkap kerana proses ini menjadikan sesebuah itu istimewa dan
unik dengan menonjolkan ukiran-ukiran tumbuhan menjalar di sayap dan ekor wau.
Berdasarkan Dewan bahasa dan Pustaka (DBP), sobek ialah koyak sedikit atau robek. Sinonim
dalam dunia pembuatan wau sobek ini dekenali sebagai proses menebuk lubang iaitu lebih
senang difahami mengoyakkan kertas yang telah dilakar coraknya. Motif yang dilakar tidak
boleh menggunakan benda yang hidup seperti binatang atau manusia. Seperti wau tradisional
motif yang digunakan ialah tumbuhan hidup yang menjalar.

1. Lipat kertas warna kepada empat bahagian untuk bahagian sayap dan lipat dua
bahagian untuk bahagian ekor.

2. Lakaran motif dilukis dibahagian belakang kertas iaitu pada warna putih.

Foto 17: Belakang kertas digunakan bagi melakar corak
3. Menggunakan pisau yang tajam dan khas untuk menyobek motif atau lukisan yang

telah dilukis.

4. Corak yang telah siap disobek akan ditampal diatas kertas warna yang lain bagi
mendapat warna yang diinginkan.

Foto 18: Menampal kertas warna bagi mendapat warna yang pelbagai
5. Tampal ukiran yang telah disobek di tanah yang dipasangkan pada bingkai.
6. Bagi proses kekemasan untuk wau hiasan kebiasaanya akan menampal kertas

hiasan pada belakang wau untuk menutup kecacatan bergantung kepada
pembuat wau itu sendiri.
7. Untuk wau pertandingan akan meminimumkan lapisan kertas sobek dan tidak
ditampal kertas dibelakang wau agar wau tidak berat apabila diterbangkan dan
menggunakan kertas yang tidak menyerap air.

13.0 PEMASANGAN JAMBUL ATAU RAMBU DAN BELALAI
Untuk pembuatan jambul atau rambu dan belalai menggunakan kertas crepe di mana

kertas crepe akan dicampur dengan pelbagai warna akan menjadi warna warni. Setelah itu
kertas crepe akan digunting memanjang. Jambul atau rambu dipasangkan di sayap dan diekor
wau. Belalai pula dipasangkan di kepala wau.

Foto 19: Wau yang telah siap dipasang belalai dan rambu

14.0 MEMASANG BUSUR
Pemasangan busur di wau adalah satu kewajipan kerana busur ini akan mengeluarkan

bunyi apabila diterbangkan. Kemerduan bunyi yang dikeluarkan busur itu bergantung ketika
proses busur di buat. Kebiasaannya busur dibuat menggunakan rotan yang diraut nipis
bahagian tengah.

1. Raut kepingan rotan menjadi nipis dibahagian tengah sahaja tinggalkan dibahagiankan
hujung kedua-dua sisi.

2. Bahagian hujung yang tidak dirautkan akan di ikatkan pada buluh busur menggunakan
tali tangsi atau tali pancing yang akan membentuk lenkungan seperti busur anak
panah.

3. Setelah semua bahagian dicantumkan lekatkan busur tersebut pada kepala wau
dengan menggunakan tali tangsi juga.

Foto 20: pemasangan busur pada wau

15.0 CARA BERMAIN

Permainan wau biasanya di mainkan oleh dua orang. Satu orang akan memegang wau dan
seorang lagi akan memegang tali di panggil sebagai juru anjung. Juru anjung akan mengemudi wau
yang telah diterbangkan. Wau yang dinaikkan ketika angin kuat bertiup dengan melawan arah angin
disebabkan hal ini pemilihan buluh dititik beratkan agar wau yang dinaikkan tidak terlalu berat agar
tidak mengalami masalah setelah dinaikkan seperti tidak stabil dan tidak statik. Juru anjung juga mesti
bijak menggunakan teknik menarik dan menghulur tali dan mengetahui pada waktu yang sesuai
dimana perlu digunakan. Untuk permainan wau saiz kecil atau layang-layang seorang sahaja sudah
memadai kerana tidak memerlukan usaha yang lebih berbanding wau bersaiz besar.

Kawasan yang sesuai juga menjadi faktor utama untuk wau berjaya dinaikkan. Hal ini kerana
jika tempat tidak sesuai digunakan seperti kawasan tidak lapang, berpokok dan ada bangunan maka
wau tidak dapat naik dengan sempurna kerana tekanan angin berkurang. Berbanding dengan kawasan
yang lapang seperti tepi pantai, di tengah sawah padi dan padang yang tekanan angin tinggi amat
sesuai dimainkan wau kerana tiada sebarang sekatan atau halangan.

16.0 LAMPIRAN
PROSES PEMBUATAN WAU

HASIL TEMURAMAH

17.0 RUJUKAN

Addy Saufi Wau - Sejarah dan Asal – usul
http://adisaufi.blogspot.com/2010/05/wau-sejarah-dan-asal-usul.html

Hasrul Hassan. (2019, April 2). Wau Seri Bulan, Wau Tradidi Melayu Perak.
https://www.hasrulhassan.com/2019/04/wau-seri-bulan-wau-tradisi-melayu-
perak.html.

Maruwiah Ahmat (2012) Permainan Tradisional

Sejarah wau. (n.d.). Permainan Tradisional.
https://warisankebanggaanku.weebly.com/sejarah-wau.html

S. (2022, June 17). Permainan Tradisional di Malaysia. Permainan Tradisional.
http://srivalli0201.blogspot.com/2014/10/permainan-tradisional-kaum-kaum-
di.html

Salina Abdul Manan, Zuliskandar Ramli & Azni Hanin Hamzah (2015) Warisan Kelantan

Samat bin Man (2022, Jun 2) Temubual pembuatan wau

Sejarah wau. (n.d.). Permainan Tradisional.
https://warisankebanggaanku.weebly.com/sejarah-wau.html

Siti Nurfarawahida binti Abdul Rahim (2012) Peranan Tourism Information Centre (Tic) Dalam
Mempromosikan Pesta Wau Antarabangsa 2012

User, S. (2020, September 14). Permainan Tradisi. JWN 2020.
https://www.heritage.gov.my/adat-budaya/permainan-tradisi.html

Zuliskandar Ramli., & Adi Baharudin. (2015). Warisan Kelantan. Perbadanan Muzium Negeri
Kelantan.
Zulfadlisidek. (2019, April 15). Wau-Identiti Bangsa.

https://zulfadlisidek-uum.blogspot.com/2019/04/wau-identiti-bangsa.html

Hasrul Hassan. (2019, April 2). Wau Seri Bulan, Wau Tradidi Melayu Perak.
https://www.hasrulhassan.com/2019/04/wau-seri-bulan-wau-tradisi-melayu-
perak.html.


Click to View FlipBook Version