Salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-
guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan
pada hari ini ialah Penebang Kayu Dengan Anaknya.
Di dalam sebuah kampung, tinggal seorang penebang kayu yang miskin. Penebang
kayu itu mempunyai seorang ayah yang telah tua lagi uzur dan seorang anak. Pada suatu
hari, penebang kayu itu bercadang untuk menghantar bapanya ke dalam hutan dan
membiarkannya tinggal di situ.
“Bagaimana nanti kalau jiran kita bertanya tentang ayah?” tanya isteri penebang
kayu.
“Kamu beritahulah mereka bahawa ayah tinggal di tokong untuk menghabiskan sisa-
sisa hidupnya,” kata penebang kayu itu. Penebang kayu dan isterinya tidak sedar bahawa
percakapan mereka telah didengari oleh anak mereka.
Keesokan harinya, penebang kayu pergi ke pekan untuk membeli sebuah bakul yang
besar. Sebaik sahaja waktu senja, penebang kayu itu pun memasukkan bapanya ke dalam
bakul tersebut.
“Apa yang kamu cuba lakukan?” tanya ayahnya.
“Ayah, kami tidak mampu menjaga ayah kerana kami miskin dan sentiasa sibuk. Kami
ingin membawa ayah ke tempat yang selamat. Di sana, ayah akan dijaga dengan baik,”
kata penebang kayu itu sambil memikul bakul tersebut. Orang tua itu berasa sedih dan
mengerti maksud anaknya. Penebang kayu itu pun memikul ayahnya berjalan ke arah
hutan.
Sebelum bayang penebang kayu itu hilang daripada pandangan, anak penebang kayu
itu menjerit, “ Ayah, jangan lupa bawa balik bakul itu semula!”
“Mengapa?” tanya penebang kayu itu dengan hairan.
“Ayah,” kata anak penebang kayu itu dengan lembut, “Apabila ayah tua kelak, saya
akan gunakan bakul itu untuk memikul ayah pula.”
Kaki penebang kayu itu menggigil dan tidak boleh bergerak. Dia tunduk sambil
berfikir. Selepas beberapa ketika, dia pun berkata kepada anaknya. “Marilah kita pulang
ke rumah.”
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sebagai seorang
anak, kita seharusnya sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan orang tua. Kita haruslah
menjaga ibu bapa kita dengan baik agar dicontohi oleh anak-anak. Sekian, terima kasih.