Bercakap Dengan Jin – Siri 1
“Isteriku.”
“Engkau dengannya tidak boleh bersama.”
“Aku tahu, tapi aku mahu pulang padanya, aku mahu dia membela dan memberi aku makan.”
“Kalau dia tidak mahu bagaimana?”
“Aku akan mencari keluarga aku yang terdekat untuk meminta perlindungan.”
Datuk berhenti bercakap. Timah yang sedar dari pengsan menerkam ke arah kami. Mayat itu masih terkapai-kapai.
Timah terus berlindung di belakang ketua kampung.
“Apa pesannya pada kau sebelum dia mati?”
Dengan mendadak saja Datuk mengajukan pertanyaan pada Timah. Timah termenung sejenak mengingati sesuatu.
“Tak ada apa-apa,” sahut Timah.
“Mesti ada, kalau tidak hantu suami kau tidak pulang,” sanggah Datuk. Timah menggigit bibir.
Mayat suami Timah kelihatan berhempas pulas mahu bangun. Bila mayat itu boleh bangun, Datuk menekan kaki
kirinya yang terdapat bulu burung gagak di bawahnya.
“Kalau kaki ini terangkat, syaitan yang menyerupai suami Timah akan lari, kemudian mengacau semua penduduk
kampung,” ujar Datuk pada ketua kampung. Serentak saya dan ketua kampung angguk kepala
Dalam keadaan yang serba gawat itu, dengan tiba-tiba Timah bersuara :
“Dia ada pesan, sebelum dia dimandikan dan di kapan, dia suruh saya tikamkan tapak kakinya dengan jarum.”
“Kau buat apa yang disuruhnya,” Datuk memotong cakap Timah.
“Tidak.”
“Sebab?”
“Tak sampai hati.”
“Kalau kau membuatnya dulu, semua ini tidak akan terjadi.”
“Saya tak faham.”
“Suami kau yang sebenarnya sudah mati, apa yang kau lihat dan kita lihat ini ialah kapitnya .”
“Maksudnya,” soal Timah macam orang bodoh.
“Suami kau masa hidupnya berkawan dengan syaitan, bila dia mati, kapit atau kawannya itu mencari tuan yang lain.”
Dengan cakap Datuk itu, Timah mengerti tentang keadaannya yang sebenar. Dan dia mula faham, kenapa masa
suaminya hidup dulu, tanah sawah dan kebun tidak pernah di jenguk, tetapi habis di tebas dan dicuci orang. Bila
ditanya pada suaminya. Dia hanya mendapat jawapan begini: Sahabat kita yang mengerjakannya. Dan sekarang
fahamlah Timah, siapakah sahabat suaminya yang sebenar. Dia juga mula faham kenapa suaminya selalu bercakap
seorang diri waktu dinihari. Ketua kampung terus tercenggang melihat keadaan yang tidak pernah dimimpikan untuk
melihatnya.
Datuk menyuruh saya memijak bulu burung gagak. Saya akur dengan perintahnya itu. Bila dipijak, tapak kaki saya
terasa cukup panas. Datuk terus meluru ke arah mayat. Datuk merentap kain kapan yang membalut bahagian kaki
mayat itu. Mayat terus menghulurkan kedua belah tangannya pada Datuk, seolah-olah minta tolong.
Datuk tidak menghiraukan semuanya itu. saya lihat Datuk terus menarik kaki mayat. Dia memasukkan sesuatu di situ.
Lagi sekali mayat itu menjerit. Bila gema jerit mayat itu berakhir, saya lihat Datuk duduk berdirikan lutut. Di atas
kepala saya terdengar bunyi sesuatu yang berat dan keras melanggar pokok. Saya terus meniarap. Bila saya bangun
dari meniarap. Saya lihat mayat suami Timah sudah tidak ada lagi di situ, tetapi bau busuk tidak juga hilang dari
tempat yang kami duduki.
51
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Datuk datang ke arah kami. Di kaki langit cahaya kemerah-merahan mula naik. Tidak lama selepas itu, terdengar
suara beduk dipalu orang bertalu-talu dan diikuti dengan suara Azan memecahkan kedamaian subuh hening.
Datuk menyuruh Timah kembali ke rumahnya, kami bertiga terus menuju ke surau. Selepas mandi dan menunaikan
fardu subuh, Datuk mengadu pada saya kepalanya terasa pening. Sebaik saja Datuk melangkah mahu keluar dari
surau, dia terjatuh. Orang-orang kampung mengusung Datuk ke rumah ketua kampung.
Seorang dukun dipanggil untuk merawat Datuk, setelah minum air panas bercampur limau nipis, sakit kepala Datuk
beransur kurang, kemudian dukun itu mengurut seluruh badan Datuk hingga pulih.
“Angin,” kata dukun itu pada Datuk, sebaik saja Datuk sendawa dan kentut bertalu-talu. Semua orang yang berada di
rumah riuh rendah. Bila ketawa sudah berakhir, ketua kampung menceritakan apa yang kami alami malam semalam.
Ada yang mengerutkan muka dan ada pula yang geleng kepala. Tetapi, mereka tidak menolak untuk diajak pergi
tempat kejadian malam semalam.
Semuanya terpaksa mengalah pada ketua kampung yang meminta mereka sarapan pagi di rumahnya. Kira-kira dua
belas orang penduduk kampung, termasuklah saya, Datuk dan ketua kampung terpaksa duduk bersila di anjung
rumah ketua kampung menikmati kopi dan rebus pisang pagi itu. Badan terasa segar, bila perut sudah diisi barulah
sedap mengatur perjalanan.
Matahari pagi terus bersinar ketika kami meninggalkan anjung rumah ketua kampung. Sepanjang perjalanan tidak
banyak orang yang bertanya sesuatu daripada Datuk atau saya, semuanya melangkah dengan tenang.
Kira-kira dua rantai mahu sampai ke tempat kejadian tersebut, semua orang menekup hidung. Bau busuk mula
tercium. Dua tiga orang kampung tidak mahu meneruskan perjalanan. Mereka muntah dan terus pulang.
“Bau bangkai apa?” saya terdengar suara bertanya pada Datuk. Pertanyaan itu tidak segera dijawab oleh Datuk. Dia
cuma tersenyum.
“Entah, cuba tanya ketua kampung,” sebaik saja Datuk habis bercakap dia berdeham dua tiga kali.
“Itulah bau yang kami cium sepanjang malam.” Sahut ketua kampung sebelum orang yang bertanya mengemukakan
pertanyaan padanya.
Bila saja kami masuk ke tempat kejadian malam tadi. Bau busuk itu bertambah kuat. Datuk terus menunjukkan pada
orang-orang kampung tempat mayat itu duduk. Tanah di situ kelihatan berlubang. Di sekelilingnya terdapat sejenis
serbuk berwarna putih seperti hampas kelapa. Bau busuk yang cukup meloyakan tekak itu berpunca dari situ.
Tiba-tiba Datuk mengambil secebis kain putih yang terdapat di situ. Bila diangkat kain itu, ia bertukar menjadi habuk
macam tepung. Tangan Datuk yang memegang kain itu digosokkan ke tapak kaki kiri. Tujuan Datuk berbuat begitu
mahu menghilangkan bau busuk yang terdapat di tapak tangannya.
“Ini membuktikan, bahawa syaitan tu memang wujud, dia mempengaruhi anak adam mengikut keadaan,” ujar Datuk
tenang.
Matahari pagi kian meninggi, sudah melampaui pucuk getah. Dari situ, kami terus ke rumah Timah. Sampai saja di
kaki tangga rumahnya, Timah terus mengadu bahawa dia tidak boleh duduk di dalam rumah peninggalan suaminya.
“Kenapa?” Ketua kampung menyoal.
“Seluruh rumah berbau busuk, macam bau bangkai, hingga beras dalam tempayan pun berbau busuk tok,” suara
Timah sayu. Dengan perintah Datuk, saya disuruh naik ke rumah. Sebaik saja saya berada di muka pintu , saya terus
termuntah. Semua yang saya makan pagi itu habis keluar. Cepat-cepat saya turun.
Atas persetujuan orang-orang kampung sebuah rumah lain didirikan untuk Timah. Rumah lamanya ditinggalkan
terbiar. Rumah baru Timah didirikan berhampiran dengan rumah ketua kampung, dengan usaha ketua kampung itu
sendiri (tiga bulan selepas itu) Timah dijodohkan dengan seorang nelayan yang tinggal di Telok Gadung - Pulau
Pangkor.
Habis dari perkongsian hidup Timah dengan suami barunya itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Dan anak
lelaki itu kini sudah bekerja dengan Bank Bumiputra. Dalam tahun 1977, anak lelaki Timah itu telah ditukarkan dari
Bank Bumiputra Ipoh ke Bank Bumiputra Batu Pahat - Johor dan sekarang bertugas di Kuala Lumpur. Masa orang-
orang kampung mendirikan rumah Timah, saya dan Datuk turut membantunya. Malah, sebelum Timah pindah ke
rumah barunya, Datuklah orang pertama tidur di situ. Tujuan Datuk berbuat begitu untuk menjamin rumah itu tidak
didatangi oleh sebarang hantu syaitan, di samping Datuk mencari sesuatu alamat.
52
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Menurut Datuk, setiap orang yang mahu menduduki rumah baru, sekurang-kurang satu malam mesti ditiduri oleh
orang lelaki terlebih dulu dengan membawa sebungkus gula, susu dan segenggam beras. Orang yang tidur di situ,
mestilah dirinya dalam keadaan bersih.
Sebaik-baiknya melakukan sembahyang hajat di rumah itu, mohon petunjuk dari Allah atau memohon padaNya
supaya orang yang akan mendudukinya kelak tetap selamat serta melakukan sesuatu yang baik dan teguh iman serta
kuat beribadat.
Pada hari Timah menaiki rumah barunya, orang-orang kampung telah mengadakan pembacaan doa selamat. Dua
hari selepas Timah duduk di rumah baru, saya dan Datuk pun meninggalkan Kampung Changkat Cermin.
Sebaik saja Datuk sampai ke rumahnya, dia lagi sekali jatuh pengsan. Bila Datuk sedar dari pengsan seluruh
badannya lebam. Dia tidak boleh berdiri. Datuk terpaksa merangkak dari muka pintu hingga ke tempat tidur. Seluruh
sendinya terasa sakit, macam ditikam-tikam dengan jarum.
Bila malam, Datuk menjerit sendiri. Anehnya Datuk saya, bila dibawa ke doktor ternyata dia tidak mengalami
sebarang sakit dan bila dia masuk ke dalam rumah, sakitnya datang semula. Dan Datuk tidak mengizinkan saya atau
nenek mencari dukun untuk mengubatinya.
Sakit Datuk itu berlanjutan hingga ke bulan puasa, tetapi yang peliknya Datuk dapat meneruskan puasanya dengan
sempurna. Pada malam dua puluh tujuh likur, Datuk memanggil saya dan nenek. Dia menyuruh kami mencari limau
tiga serangkai yang mengarah ke matahari terbit.
Limau itu harus dipetik sendiri tanpa menggunakan galah atau tangga. Akhirnya apa yang dikehendaki oleh Datuk itu
saya perolehi. Dia suruh saya meletakkan limau itu di atas pinggan putih bersama pinang kering.
Lebih kurang pukul dua belas malam. Rumah Datuk didatangi oleh bau yang cukup wangi. Saya lihat pintu rumah
Datuk terbuka dengan sendiri. Tidak berapa lama selepas itu, saya terdengar bunyi suara orang perempuan
membaca Quran, suaranya cukup merdu yang datangnya dari tempat tidur Datuk.
Perkara itu berlaku tiga malam berturut-turut. Saya tanyakan hal itu pada nenek. Kata nenek isteri muda Datuk datang
mengubatnya. Kadang-kadang saya terdengar orang bercakap dengan Datuk. Pernah saya terdengar orang itu
bertengkar dengan Datuk. Bila pertengkaran itu berakhir suasana menjadi sepi.
Kemudian dengan jelas saya mendengar suara orang perempuan berkata begini pada Datuk : Al-Quran yang
diturunkan oleh Allah sudah cukup lengkap untuk manusia. Di dalamnya tersembunyi seribu rahsia perubatan, apa
salahnya kita mengambil ayat-ayat darinya untuk penawar.
Dan saya tidak pernah bertanyakan hal itu pada Datuk. Walau bagaimanapun saya merasa gembira, bila pagi Syawal
tiba, saya lihat Datuk sudah sihat. Dia bangun pagi-pagi dan membaca al-Quran sebelum pergi sembahyang hari
raya. Di masjid Datuk duduk di barisan hadapan membaca takbir bersama orang ramai.
Setelah selesai sembahyang hari raya, saya dan Datuk terus menziarahi rumah seluruh penduduk kampung. Bila
saya dan Datuk kembali ke rumah , saya terkejut melihat dua orang perempuan duduk di anjung rumah. Perempuan
yang berusia agak lanjut itu tersenyum pada saya bila saya melintas di depannya, manakala perempuan muda yang
bersel indang lingkup itu wajahnya terlalu manis air mukanya cukup bersih.
Siapa bertanya dalam diri saya, siapakah gerangan perempuan itu?” Dalam keadaan yang kebingungan itu saya lihat
perempuan itu mendekati Datuk lalu mencium tangan Datuk dengan diperhatikan oleh perempuan di sebelahnya.
Nenek cuma tersenyum saja.
Siri 16 - Kain Dalam Perut Gadis
Sesudah perempuan muda itu mencium tangan Datuk, dia pun membetulkan selendangnya yang jatuh ke atas bahu.
Saya lihat alis mata perempuan itu cukup tebal dan lentik. Kerlingnya cukup tajam. Datuk memperkemaskan silanya
dan sepasang mata Datuk terus meratah ke paras wanita muda di depannya. Nenek terus menghidangkan lemang
dan rendang. Bunyi mercun dan meriam buluh sekali-kali terdengar juga memecah kesunyian kampung. Tiba-tiba
saya terkejut, perempuan tua bangun serentak, tanpa menjamah barang-barang yang dihidangkan oleh nenek.
Mereka menuju ke muka pintu, sampai bendul pintu mereka merenung ke arah nenek dan Datuk sambil melambaikan
tangan. Datuk kelihatan tersenyum senang. Perempuan tua dan perempuan muda memijak anak tangga. Sinar
matahari yang mencerah di luar menerpa ke wajah mereka.
53
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Datuk, tiba-tiba terbatuk dengan kuat. Mata nenek dan mata saya tertumpu ke wajah Datuk sebentar. Bila saya dan
nenek berpusing ke arah muka pintu, batang tubuh perempuan muda dan tua sudah tidak kelihatan lagi di situ. Hilang
entah ke mana.
“Ke mana mereka pergi tok?” saya bertanya. Datuk merenung muka nenek. Mereka berbalas senyum lalu Datuk
menghadapi hidang yang tersedia.
“Siapa mereka tok?”
Datuk terus menghampiri saya. Dia menepuk bahu saya sambil berkata :
“Itulah nenek muda kau,” suara Datuk menendang gegendang telinga saya. Wajah Datuk saya lihat, terpamir sejuta
kepuasan dalam dirinya. Saya renung muka nenek, rasa cemburu di wajahnya tidak timbul. Betapa nenek berkorban
untuk kebahagiaan Datuk. Fikir saya dalam hati.
“Sudahlah tu, mari minum,” Datuk menarik tangan saya. Nenek ketawa melihat telatah saya yang menurut perintah
Datuk itu. Nenek terus duduk di sisi saya. Selesai makan ketupat dan rendang Datuk mengajak saya ke tanah
perkuburan untuk melihat pusara Datuk nenek. Selesai menziarahi kubur Datuk nenek dan menghadiahkan Al-
Fatihah atas roh, mereka, Datuk terus mengheret saya bertandang ke rumah kenalannya. Satu kerja yang amat tidak
saya senangi. Menyusurlah saya di bawah pepohon getah mengikut langkah Datuk yang rancak. Sinar matahari yang
keras petang itu memaksa badan saya mengeluarkan peluh. Baju dan seluar terasa bergetah. Kain samping sudah
tidak lekat di pinggang sudah bertukar menjadi kain selimpang.
“Ke mana kita tok, saya dan tak tahan ni,” saya mengadu.
“Jalan sikit lagi, kita pergi ke rumah Ujang Selamat.”
“Jauh lagi ke ?”
“Lepas pokok asam kumbang sampailah kita.” Suara Datuk mula keras. Matanya, tajam memandang muka saya.
Tempat yang dituju sampai juga, sebuah rumah papan beratap zink di pinggir bukit Paya Takung . Halaman rumah
yang bersih itu menghala ke sawah yang saujana mata memandang. Itulah rumah Ujang Selamat ketua kampung
Paya Takung dan rumahnya adalah rumah yang paling cantik dan besar di dalam kampung tersebut.
Ujang Selamat yang berbadan tegap, bermisai lebat memakai seluar dan baju hitam mempersilakan saya dan Datuk
naik. Datuk dan Ujang Selamat bersalaman. Ujang Selamat ketawa menampakkan giginya yang besar dan
kekuningan itu. Data Datuk, Ujang Selamat berasal dari negeri Petani di Selatan Siam. Dia meninggalkan kampung
halamannya sesudah tercetus peperangan antara rakyat Petani yang menuntut kemerdekaan dari kerajaan Siam.
Dalam pertempuran itu, banyak rakyat petani yang tewas ditawan oleh tentera Siam. Ujang Selamat melarikan diri
hingga sampai ke kampung Paya Takung. Dia bertani dan bercucuk tanam hingga berjaya mendirikan rumah dan
membeli tanah di situ. Kemudian kahwin dengan orang di situ hingga beranak cucu.
Sedang saya dan Datuk asyik menjamah lemang, tiba-tiba rumah Ujang Selamat didatangi tetamu. Lima orang
semuanya. Ujang Selamat memperkenalkan saya dan Datuk pada tetamu tersebut. Kami bersalaman, berkenal
mesra dan sama-sama menjamu selera.
Selesai mengisi perut. Kelima-lima tetamu itu meninggalkan rumah Ujang Selamat. Saya bingkas, duduk kat bendul.
“Memang hajat tu nak ke rumah awak, bila awak dah datang elok benarlah,” kata Ujang Selamat pada Datuk sambil
mengipaskan badannya dengan kertas surat khabar.
“Apa halnya?”
“Awak pawang besar tentu tau atau dapat tanda-tanda,”
“Saya bukannya pawang, saya cuma berusaha untuk menolong.”
“Begini.” Ujang Selamat memperkemaskan silanya. Perut gendutnya yang berlapis itu bagaikan bergerak-gerak.
Angin dari tengah sawah terasa menyapu wajah.
Datuk termenung panjang, saya lihat daun telinganya bergerak tiga kali ke depan, macam telinga arnab. Mata dan
muka Ujang Selamat ditenungnya.
“Ada saudara mara awak yang sakit?” tanya Datuk.
54
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
“Semalam, ada orang dari Parit mencari, kalau ada orang yang boleh mengubat anak dara berperut buncit.”
“Tidak, dia sakit,” biji mata Ujang Selamat terbeliak memandang wajah Datuk. Saya sandarkan badan ke dinding.
Matahari petang kian condong.
“Kaum awak Ujang?” soal Datuk.
“Ada kena mengena dengan bini saya.”
“Jadi apa ikhtiar kau?”
Minta jasa tok pawanglah untuk mencari orang mengubatnya atau tok pawang sendiri berusaha.”
Datuk terdiam, saya tahu Datuk tidak berapa senang kalau dia dipanggil pawang atau bomoh. Itu bukanlah cita-
citanya, tetapi kalau dia dipanggil pemburu atau tok buru, dia memang tak menolak. Dia megah kalau ada orang yang
memanggilnya demikian. Datuk termenung panjang. Saya memanglah tidak begitu gembira kalau Datuk memenuhi
permintaan Ujang Selamat itu, tetapi sesiapa pun tidak dapat menahan sikap terpuji Datuk yang suka menolong orang
itu.
Di luar, matahari mula condong, tanah sawah yang sudah ditumbuhi rumput-rumput padi sudah tidak berapa jelas
kelihatan, burung pipit terbang rendah menuju ke pohon yang memagari batas sawah.
“Bagaimana?” soal Ujang Selamat sebaik saja kami sampai di kaki tangga. Datuk terdiam. Ujang Selamat masih lagi
berdiri di tepinya. Memang, Ujang Selamat minta kata pasti dari Datuk.
“Kena tengok macam mana jenis penyakitnya.”
“Bila agaknya, kita boleh pergi.”
“Ujang, usahlah kau susah, pagi esok kita pergi dengan bas.”
“Baiklah,” suara Ujang Selamat dibungai kegembiraan.
Malam itu Datuk menceritakan pada nenek tentang hasratnya untuk menolong orang sakit. Nenek membantah
dengan alasan, sejak akhir-akhir ini, setiap kali Datuk pulang dari mengubati orang sakit, dia pula akan diserang sakit,
hingga terpaksa menjemput isteri mudanya. Dan hal begini tidak berapa digemari oleh nenek, sebagai seorang wanita
walau sebaik mana hatinya, rasa cemburu itu tetap wujud dalam dirinya. Akhirnya, nenek mengalah juga bila Datuk
menerangkan bahawa di dalam hidupnya dua perkara saja yang boleh menggembirakan hatinya.
Pertama memburu binatang dan kedua menolong orang sakit dengan tidak membelakangi kasih sayang dan
tugasnya sebagai seorang suami terhadap isteri. Seperti biasa sebelum Datuk pergi ke suatu tempat untuk mengubat
orang dia akan melakukan sembahyang hajat. Mohon restu dari Allah yang maha besar. Dan malam itu Datuk pun
melakukan sembahyang hajat.
Dan pagi esoknya, saya, Datuk dan Ujang Selamat bertolak dengan bas menuju ke Parit. Dari pekan kecil itu kami
menaiki perahu menyeberangi Sungai Perak menuju ke sebuah kampung. Belanja Kiri namanya. Dari pangkalan
perahu kami berjalan arah ke utara menuju ke sebuah rumah yang dikelilingi dengan pokok buah-buahan seperti
durian, langsat, manggis dan rambutan.
Ujang memperkenalkan Datuk dengan Haji Azhar tuan rumah. Dan Ujang Selamat menyatakan tujuan dan maksud
Datuk datang ke rumahnya. Haji Azhar yang berkulit putih berambut jarang itu tersenyum. Dia mempersilakan kami
naik ke rumahnya. Kami naik ke rumahnya. Kami duduk di bahagian anjung rumah. Haji Azhar terus menyatakan rasa
putus asanya untuk mengubati sakit yong dideritai oleh anaknya. Sudah berbelas ekar tanah bendangnya dijual.
Sudah berpuluh dukun Siam, China, Gurkha dan orang Asli ditemui mengubati sakit anaknya, semuanya menemui
kegagalan.
Dia hanya menyerahkan pada keadaan saja. Dan menerima siapa saja yang datang ke rumahnya untuk mengubati
sakit anaknya itu. Untuk mencari dukun atau pawang dia tidak mahu. Dia benar-benar kecewa.
Datuk meminta izin pada Haji Azhar untuk melihat si sakit. Dengan rasa rendah hati Haji Azhar membawa saya dan
Datuk masuk ke dalam bilik anaknya. Datuk merenung muka anak dara Haji Azhar sambil mulutnya membaca
sesuatu.
55
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Anak dara Haji Azhar gelisah di tempat perbaringan. Matanya bersinar-sinar merenung ke wajah Datuk. Perut anak
dara Haji Azhar kelihatan membusut mengandung sembilan bulan. Nafasnya kelihatan tersangkut-sangkut, rambut
panjangnya menutup bantal di bawah kepalanya.
Datuk minta kebenaran pada Haji Azhar dan isterinya untuk menjamah tubuh anaknya. Mereka mengizinkan. Datuk
pun meraba pergelangan tangan anak dara Haji Azhar lalu berkata :
“Dah berapa lama kena sakit ni?”
“Dah dekat setahun , tapi baru dua bulan ni yang teruknya.”
“Berjalan ke bilik air pun kena pimpin,” celah isteri Haji Azhar. Datuk anggukkan kepala.
Saya, Datuk dan Haji Azhar kembali ke ruang tengah rumah. Kami dapati Ujang Selamat tidak ada . Dada saya
berdebar. Dengan tidak diminta Haji Azhar terus menceritakan pada Datuk selain daripada berubat cara kampung dia
juga sudah membawa anaknya ke rumah sakit Ipoh. Hampir sebulan anaknya ditempatkan di rumah sakit tersebut.
Setelah diperiksa didapati anaknya itu tidak mengalami sebarang sakit ataupun mengandung. Pihak rumah sakit
berpendapat sebab perut anaknya buncit kerana mengandungi air. Dan mereka pun berusaha mengeluarkan air dari
perut anaknya itu, tetapi usaha itu gagal. Perut anaknya tidak juga mahu surut. Akhirnya anak kesayangan Haji Azhar
dibawa pulang.
Dua bulan sesudah itu lagi sekali Haji Azhar membawa anaknya ke rumah sakit besar - Ipoh. Perut anaknya di X-ray.
Pihak doktor di rumah sakit itu tetap berpendapat anaknya tidak menghidap sebarang jenis penyakit, malah salah
seorang doktor Melayu bertugas di situ, Dr. Megat Khas telah menasihatkan Haji Azhar supaya berubat cara
kampung. (Dan Megat Khas sudah meninggal dunia dalam tahun tujuh puluhan).
Semua yang diceritakan oleh Haji Azhar itu, didengar oleh Datuk dengan cukup teliti. Dan setip kali Haji Azhar
berhenti bercakap sepasang matanya tetap tertumpu ke wajah Datuk, seolah-olah dia mengharapkan sangat-sangat
Datuk dapat menyembuhkan penyakit dideritai oleh anaknya itu.
“Siapa nama anak tuan Haji itu?”
“Latifah.”
“Dulu pernah dipinang orang atau ada menaruh hati pada sesiapa?”
“Menaruh hati tu, saya tak tahulah, tapi orang meminangnya memang ada.”
“Jadi bertunang.”
“Tidak, saya tolak.”
“Sebab.”
“Belum masanya.”
Datuk anggukkan kepala dua tiga kali. Sesekali Datuk merenung keluar ikut tingkap rumah yang terdedah. Kemudian
Datuk memberi janji pada Haji Azhar untuk berikhtiar mengubati anaknya, dengan syarat Haji Azhar harus
menyediakan buah pinang merkah di pokok, daun delima dan tulang kucing hitam. Dengan pertolongan Ujang
Selamat semua benda-benda itu dapat diadakan.
Lebih kurang pukul sepuluh malam Datuk pun mula menjalankan tugasnya dengan penuh teliti. Sedang Datuk
membaca mantera, tiba-tiba seketul batu melayang masuk ke dalam rumah. Jatuh di hujung kepala anak dara Haji
Azhar. Dengan sekelip mata saja batu kecil itu, mengeluarkan asap yang berkepul-kepul penuh satu ruang rumah.
Semua orang dalam rumah itu habis terbatuk.
Datuk bangun, lalu membuka kain lilit kepalanya. Dua tiga kali dia mengibaskan kain lilit kepalanya ke kanan dan ke
kiri. Asap itu berhenti dan batu pun ghaib. Tempat batu itu jatuh nampak berlubang dan hangus. Datuk berhenti dari
meneruskan kerjanya.
“Nampaknya sakit anak tuan haji ni, dibuat dengan cara sihir, ada orang dendam dengan keluarga tuan haji. Ini
semua kerja syaitan,” rungut Datuk sambil merenung muka Haji Azhar.
56
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
“Orang yang membalas dendam ni, bukan kepalang orang, saya minta diri untuk mengubatnya,” sambung Datuk.
Muka Haji Azhar berubah. Saya perhatikan kedua belah kelopak matanya digenangi air jernih. Anaknya yang
terlentang kelihatan resah dan badannya berpeluh.
Datuk menarik tangan Haji Azhar ke sudut rumahnya. Datuk merapatkan mulutnya ke telinga Haji Azhar.
“Tangguh dulu, kita ikhtiar cara lain malam, esok,” kata Datuk.
“Saya mengikut saja, asalkan sakit anak saya baik.”
“Saya tahu, sakit anak tuan haji ni, bukan sebarang sakit, ada campur kerja syaitan.”
“Habis apa yang mesti saya buat?”
“Bersabar dan berikhtiar, dalam alam ini, yang maha berkuasa adalah Allah dan tidak ada penyakit yang tidak boleh
diubat, kalau diizinkan Allah.”
Mendengar cakap Datuk itu, Haji Azhar tersenyum. Masih ada harapan untuknya berusaha. Ujang Selamat juga
memberi harapan yang begitu juga pada Haji Azhar. Sepanjang malam itu, saya dan Datuk tidak dapat tidur dengan
cukup lena, kerana bermacam-macam bunyi yang kami dengar di luar rumah Haji Azhar, bila hal itu diceritakan pada
Haji Azhar pagi esoknya, dia mengakui bahawa sejak anaknya jatuh sakit. Bunyi begitu memang selalu didengarnya.
Datuk membuat keputusan untuk pergi ke rumah kawannya di Sungai Rokam - Ipoh. Menurut Datuk kawannya itu
berasal dari Bawean dan boleh mengubati sakit yang dialami oleh anak Haji Azhar itu. Dengan daya usaha Ujang
Selamat, Datuk pun bertolak ke Ipoh dengan sebuah kereta kepunyaan anak buah Ujang Selamat. Datuk
meninggalkan Kampung Belanja Kiri di tepi tebing Sungai Perak itu, kira-kira pukul lapan setengah pagi. Dan pukul
lima petang dia pun pulang dengan seorang wakil yang berbadan kurus.
“Ini kawan saya, namanya Wansi, dah dua kali ke Mekah,” Datuk memperkenalkan kawannya pada Haji Azhar dan
orang-orang yang menyambut kepulangannya di halaman rumah. Datuk terus bercerita tentang kawannya itu pada
orang ramai. Kata Datuk, kawannya itu dulu bekerja dengan Kelab Lumba Kuda Perak, memang handal berjudi,
minum arak dan kaki perempuan, bila dia jatuh sakit teruk, tiga bulan terlantar di rumah membuat dia insaf, bila dia
baik dari sakit terus menjadi baik dan meninggalkan kerja-kerja yang ditegah oleh Allah.
Sebelum mengubati anak dara Haji Azhar, Wansi meminta hanya saya, Datuk dan dirinya saja yang boleh berada di
tempat dia akan lakukan kerjanya. Semua permintaannya itu dipenuhi. Dia juga meminta pada Haji Azhar semua
kerja yang dilakukannya jangan diberitahu pada orang ramai.
Satu syarat yang agak ganjil yang dikenakan oleh Wansi, dia minta Haji Azhar membuat sebuah pondok kecil di
depan rumah Haji Azhar dan pondok itu tidak berpintu. Orang yang boleh mendiami pondok itu ialah saya, Datuk dan
dirinya sendiri. Hari yang dipilih oleh Wansi untuk mengubat ialah hari Rabu, mulai pukul satu tengahan.
Sebelum itu, kami tidak dibenarkan menemui sesiapa, selama lima jam, kami tidak boleh memijak tanah, tidak buang
air kecil dan besar. Satu kerja yang cukup seksa saya rasakan, kerana Datuk mahu saya mengenali berbagai ragam
kehidupan yang ganjil atas dunia ini, saya terpaksa mematuhinya.
Tengahan Rabu, matahari sudah agak tergelincir dari ubun-ubun kepala. Saya dan Datuk serta Wansi menghadap
dupa yang mengeluarkan asap kemenyan kerana semua tingkap di pondok itu ditutup, badan terasa panas.
“Sedia,” kata Wansi yang sebaya dengan usia Datuk. Dia pun mula bercakap dalam bahasa Bawean, terlalu cepat
cakapnya. Dia berhenti lalu merenung pada Datuk. Dia angguk kepala. Datuk juga angguk kepala. Datuk
menghampirinya.
“Ada apa Wansi?” tanya Datuk.
“Kita baca ayat Quran dulu,” jawab Wansi sambil menerangkan pada Datuk ayat mana yang mesti dibaca. Sedang
mereka asyik membaca ayat-ayat suci itu, pondok kami bagaikan di gegar orang, serentak dengan itu api menyala
dengan tiba-tiba di tengah pondok. Bila api itu dipadamkan, menyala pula di bahagian lain. Saya jadi kelam-kabut di
buatnya.
Dengan tenang Wansi mencampakkan seketul besi ke tempat api yang menyala itu. Tiba-tiba api itu padam dengan
sendiri. Dan api ajaib itu tidak lagi datang menyerang pondok. Saya diberitahu oleh Datuk, besi yang berjaya
memusnahkan api ajaib itu di depan dupa.
Muka Wansi kelihatan berkerut. Seekor kelawar hitam terbang rendah di depan dupa lalu jatuh di situ. Wansi
mengambil kelawar hitam itu dimasukkan ke dalam uncang yang dibuat dari kain hitam.
57
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Wansi bangun. Dia merenung Datuk dan saya. Wansi melangkah keluar pondok, ikut tingkap. Saya dan Datuk juga
berbuat demikian, sebaik saja kami bertiga memijak bumi, dua tiga titik darah jatuh atas pipi kami, dari mana
datangnya saya pun tidak tahu. Wansi naik ke rumah Haji Azhar terus masuk ke dalam bilik tempat anak dara Haji
Azhar terkapar.
Saya terkejut, bila Wansi merentap kain yang menutup perut anak dara Haji Azhar. Perut anak dara itu kelihatan
berkilat dengan urat-urat yang timbul sekali imbas macam buah tembikai. Wansi menekan perut anak dara itu dengan
kedua belah tangannya. Jeritan anak dara itu menguasai seluruh Kampung Belanja Kiri. Saya dengan Datuk hanya
melihat saja. Jeritan anak dara yang kuat itu, makin lama, makin beransur kurang dan akhirnya berhenti terus. Dari
hidung anak dara itu keluar darah.
Wansi terus menekan perut anak dara itu, saya lihat tangan Wansi yang keras itu masuk ke dalam perut anak dara itu
bagaikan terkoyak. Pergelangan tangan Wansi penuh dengan darah. Tiba-tiba Wansi berpaling pada Datuk dan
berkata:
“Sudah dapat.”
“Apa dia?”
Wansi tidak menjawab pertanyaan Datuk itu. Dia terus menarik tangannya dari perut anak dara. Saya lihat di tangan
Wansi terlekat kain batik Jawa yang berlipat cantik. Dengan segera perut anak dara yang buncit itu terus kempis dan
rata. Wansi melihat lelehan darah di perut anak dara itu. Dia membaca sesuatu, kemudian perut anak dara itu
digosoknya dengan tapak tangan kanan tiga kali berturut-turut. Dalam sekelip mata saja perut itu bercantum kembali
tidak terdapat sebarang kesan luka atau darah di situ
Anak dara Haji Azhar sedar dari pengsan. Dia membuka matanya dan memandang ke arah Datuk. Anak dara Haji
Azhar bangun dan terus duduk.
“Kenal, kain siapa ni?” tanya Datuk pada anak dara Haji Azhar.
“Saya punya, tapi sudah lama hilang dalam simpanan saya.”
“Di mana hilangnya?” Wansi pula menyoal.”
“Kain batik tu, saya jemur di ampai, tiba-tiba hilang, itu saja yang saya ingat,” terang anak dara Haji Azhar dengan
jujur.
Datuk pun memanggil Haji Azhar dan isterinya. Mereka mengakuinya, bahawa kain batik tu dibeli oleh Haji Azhar
ketika dia pergi menziarahi keluarganya di Bandung-Indonesia, bila pulang ke rumah kain itu dihadiahkan pada
Latifah anaknya. Dan pada suatu hari Latifah mendapati kain batik itu hilang di ampaian sesudah basuh.
Pada petang Rabu itu juga, Latifah anak dara Haji Azhar dimandikan dengan tujuh jenis bunga di tepi tebing Sungai
Perak oleh Wansi, Menjelang waktu Maghrib Latifah di letakkan di atas pelantar yang dibina berhampiran dengan
ampai tempat kain batiknya hilang. Semua kerja dilakukan oleh Wansi.
Pada sebelah malamnya, ketika Wansi dan Datuk bercakap di anjung rumah, seketul tulang lengan manusia
dilemparkan oleh satu lembaga hitam dari halaman rumah. Bila tulang lengan itu dijamah oleh Datuk, tulang itu terus
menjadi arang.
“Sekarang, kita mesti menangkap orang yang menyihirkan kain batik ke dalam perut anak dara Haji Azhar,” ujar Datuk
pada Wansi.
“Ya, tapi aku tak mahu orang itu dibalas memadai saja dia disuruh bertaubat,” sebaik saja Wansi habis bercakap,
wajah seorang lelaki muncul di depan Wansi dari dalam kegelapan malam itu, bila Datuk mengamati wajah pemuda
itu ternyata dia adalah pawang orang asli yang terkenal dari batu enam belas jalan Tapah ke Cameron Highland,
Pahang.
Wajah lelaki yang bengis itu kelihatan mengeluarkan asap dan melangkah mahu menerkam ke arah Datuk dan
Wansi.
Siri 17- Bertarung Dengan Bomoh Orang Asli
Dan Wansi segera bangun. Datuk juga begitu. Dalam beberapa saat saja lelaki itu hilang dari penglihatan Datuk dan
Wansi. Serentak dengan itu, terdengar suara jeritan Latifah yang cukup keras dan nyaring. Datuk dan Wansi segera
masuk ke dalam bilik Latifah. Latifah berguling-guling atas lantai, kedua belah tangannya memegang batang leher.
Matanya kelihatan merah. Haji Azhar dan isterinya tidak dapat berbuat apa-apa selain daripada menangis. Wansi
58
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
segera memegang pergelangan kaki kiri Latifah. Ditekannya dengan sekuat hati atas lantai. Jeritan Latifah berhenti
dan tidak lagi berguling-guling atau meronta-ronta. Wansi menyuruh Haji Azhar mengangkat anaknya ke atas tilam.
Datuk rapat kepada Wansi dan mendengar dengan teliti apa yang dicakapkan oleh Wansi padanya. Datuk keluar dari
bilik untuk beberapa minit. Masuk kembali dengan kain hitam terselempang di bahu. Wansi menyambar kain hitam itu
lalu melibas ke badan Latifah tiga kali berturut-turut.
Datuk duduk di hujung kepala Latifah. Dia membaca sesuatu. Tiga kali dahi Latifah ditamparnya dengan belakang
tangan. Latifah bangun dan terus duduk.
“Apa yang kau nampak nak?” tanya Wansi.
“Orang hitam mengajak saya keluar,” suara Latifah merendah.
“Lagi apa yang dibuatnya pada kau,” sanggah Datuk.
“Dia lari dengan tiba-tiba,” jawab Latifah tenang.
Wansi terdiam seketika. Dia meminta pencil dan kertas. Bila kertas dan pencil sudah ada di tangannya. Dia menulis
sepotong ayat al-Quran. Kertas yang sudah ditulisnya itu diserahkan pada Haji Azhar.
“Bacalah ayat ini, ke telinga Latifah bila dia agak resah. Dan kau harus mengamalkannya,” ujar Wansi.
“Caranya?” tanya Haji Azhar.
“Baca seratus kali selepas kau sembahyang yang lima waktu, bila dia sebati dengan dirimu, banyak faedahnya. Untuk
menghalau hantu syaitan.” Cukup lembut nada suara Wansi. Serentak dengan itu dia menyerahkan sebatang besi
pendek yang berbentuk tulang. Menurut Wansi besi itu adalah besi tulang lengan mawas.
“Besi ni saya tinggalkan pada awak untuk tiga minggu, lepas tu saya ambil balik,” tambah Wansi. Besi tulang mawas
bertukar tangan dari Wansi ke tangan Haji Azhar.
“Untuk apa?”
“Untuk mengubat penyakit anak kau,” sahut Datuk.
“Kalau dalam tempoh tiga minggu, anak saya tak baik macam mana?”
“Dengan pertolongan Allah anak kau akan baik. Percayalah, dengan syarat selama tiga minggu, jangan beri sesiapa
menemui Latifah, kecuali kau dan emaknya,” Wansi memberikan sebuah keyakinan dan harapan pada Haji Azhar.
Haji Azhar tersenyum. Sebelum meninggalkan bilik Latifah Wansi berpesan pada Haji Azhar supaya mengunci bilik
dari dalam. Dan jangan hiraukan dengan apa yang berlaku di luar. Haji Azhar angguk kepala.
Rumah Haji Azhar cukup besar. Ada lapan bilik di dalamnya. Jarak bilik Latifah dengan anjung rumah memang agak
jauh juga jaraknya. Pada mulanya Haji Azhar menawarkan dua bilik penginapan untuk kami, tetapi Datuk dan Wansi
menolak dengan alasan tidur di anjung lebih baik. Tidak panas serta mudah menjalankan kerja-kerja untuk mengubati
Latifah.
Saya resah tidak menentu. Dua tiga kali saya memejamkan mata. Saya tidak juga mahu tidur. Lampu gasolin sudah
lama dipadamkan. Digantikan dengan lampu minyak tanah sengaja dipendekkan oleh Datuk. Cahayanya sekadar
cukup menerangi wajah Datuk dan Wansi, tetapi lingkaran cahaya lampu itu sampai juga ke muka saya, agaknya
kerana itulah saya tidak dapat tidur.
Saya merenung ke arah Datuk dan Wansi. Mereka sedang membalut rokok daun sambil bercakap sesuatu. Saya
mula terdengar kokok ayam bertalu-talu, saya kira sudah hampir pukul dua malam. Dugaan saya tepat sekali. Tidak
lama lepas itu, terdengar bunyi jam loceng Haji Azhar berbunyi dua kali berturut-turut.
Angin malam yang bertiup menambahkan rasa dingin di badan. Saya terpaksa membengkokkan badan, seperti angka
lima. Sayup-sayup saya terdengar suara burung hantu dan suara anjing menyalak panjang. Datuk dan Wansi masih
juga belum tidur.
Tiba-tiba, Datuk dan Wansi melompat dan lampu padam. Bila Datuk menyalakan lampu minyak tanah kembali
terdapat batang pisang berkembar dua terletak atas lantai di anjung rumah. Batang pisang itu seolah-olah baru lepas
digunakan untuk memandikan mayat. Bila Datuk mahu menjamah batang pisang tersebut, cepat-cepat Wansi
menyepak tangan Datuk.
59
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
“Jangan dipegang,” kata Wansi.
Saya menggeletar sendirian. Dua kali saya cuba bangun, tetapi saya terjatuh dengan sendiri hingga kain yang saya
pakai terlucut dari pinggang. Saya bogel dalam sinar samar-samar cahaya lampu minyak tanah. Wansi yang
terpandangkan saya turut tersenyum.
“Kau pergi ke sana,” katanya pada saya, sambil merungut kerana Datuk membawa saya. Tanpa banyak bicara saya
akur dengan perintahnya. Saya bersandar pada tiang rumah. Saya lihat dari batang pisang itu keluar asap berkepul-
kepul. Dua tiga ekor kelawar hitam berterbangan dengan bebasnya di anjung rumah, kelawar hitam itu akan kencing,
airnya merah macam darah.
Di luar anjung, kedengaran bunyi deru angin yang cukup kuat. Saya lihat ada bayang putih memanjang melayang di
halaman rumah. Darah saya tersirap. Benda putih itu masuk ke dalam kawasan anjung dan hilang betul-betul di
tengah-tengah batang pisang. Suasana di luar rumah agak gamat juga dengan bunyi suara kokok ayam, salakan
anjing dan suara jampuk bersahut-sahutan. Kelawar yang hinggap di bahagian anjung rumah terus bersuara, cukup
seram, giginya yang putih berkilat itu nampak tajam di samping memperlihatkan taringnya.
Saya jadi tidak tentu arah. Berdiri salah, duduk pun salah. Apakah syaitan-syaitan ini akan meragut nyawa saya.
Timbul pertanyaan dalam diri. Dalam keadaan yang serba gawat itu, saya masih dapat membaca beberapa potong
ayat al-Quran yang saya kira dapat menghalau syaitan-syaitan itu. Datuk dan Wansi kelihatan tenang memandang
batang pisang yang berasap itu.
Wansi berdiri lalu mengangkat sebelah tangannya ke atas. Lengan tangan kanan yang diangkatnya itu dirapatkan
pada lubang telinga kanannya. Sementara tangan kirinya diletakkan atas dada, kaki kanannya, menapak dua tapak
ke depan. Manakala kaki kirinya dibengkokkan sedikit.
Wansi menjerit sekuat hati. Bila jeritannya berakhir. Dia bercakap dalam loghat bahasa Bawean, selesai dia bercakap,
beberapa ketul batu dan kayu berterbangan masuk ke dalam anjung rumah. Wansi sedikit pun tidak bergerak. Bunyi
suara kucing hutan melalak di bawah rumah. Beberapa ekor tupai hitam, entah dari mana datangnya berlompatan di
lantai. Semuanya melompat ke tanah. Sebaik saja tupai-tupai itu ghaib, seekor beruk besar muncul di depan Datuk
dan Wansi.
Kali ini Datuk mara ke depan dan menolak Wansi ke belakang. Saya agak, tentulah Datuk tahu, bahawa kawannya itu
tidak berdaya menentang cubaan syaitan-syaitan itu. Datuk berpeluk tubuh. Dia membaca mantera hingga tubuhnya
kelihatan berasap. Batang pisang di tengah anjung bagaikan diangkat orang, bergerak sendiri menuju ke muka pintu
dan hilang dalam gelap.
Tempat batang pisang itu digantikan dengan api yang menyala ganas. Bahang panas itu terasa ke muka saya. Wansi
mengambil uncang hitam lalu memukul ke arah api. Api itu mula runduk. Wansi memukul lagi hingga api itu bertukar
menjadi bara sebesar bola pingpong. Bara itu terbang. Berlegar-legar dalam rumah akhirnya keluar menuju ke
pondok tempat saya dan Datuk serta Wansi bernaung dulu. Pondok itu terbakar.
“Orang ni benar-benar mahu memalukan keluarga Haji Azhar dan mahu membinasakan kita,” kata Wansi sambil
melurut lengan kirinya dengan tapak tangan kanan. Dalam beberapa saat saja pondok itu hancur menjadi abu. Bara
api sebesar bola pingpong menuju ke arah kepala Wansi. Cepat-cepat Wansi mengelakkan diri. Sementara itu , Datuk
masih berusaha untuk menghalau syaitan-syaitan ganas itu mengikut kemampuan yang terdaya olehnya.
Bara api sebesar bola pingpong terus berlegar-legar dalam ruang anjung. Wansi mula bertindak, saya lihat mukanya
berubah. Mulutnya terus bercakap dalam bahasa Bawean. Wansi membalut tangan kanannya dengan uncang hitam,
kemudian bola bara api itu dipegangnya sekuat hati. Saya lihat tapak tangannya berasap. Saya kira dalam hal ini
Wansi lebih gagah dan banyak ilmu dunianya jika dibandingkan dengan kehandalan yang terdapat dalam diri Datuk.
Datuk tersandar di dinding. Mukanya kelihatan biru. Dua kali Datuk terbatuk dan mengeluarkan darah yang cukup
kental. Saya urut belakang Datuk. Wansi meletakkan bola api yang sudah menjadi seketul arang itu di tengah anjung
rumah. Dia rapat pada Datuk. Dua kali dia menumbuk belakang Datuk.
Datuk terbatuk,dari mulut Datuk keluar segumpal cacing tanah dan ulat bulu. Cacing dan ulat bulu itu bergerak atas
lantai. Wansi memukulkan uncangnya ke muka Datuk. Datuk segera pulih. Wansi kembali ke tempat arang yang
diletaknya. Arang itu masih berasap. Bila asapnya hilang saya lihat ada kepala manusia terletak di situ, Berlilit dengan
kain. Matanya terkedip-kedip merenung ke muka Datuk, bagaikan minta pertolongan.
“Saya kenal dia Wansi,” kata Datuk.
“Siapa manusia ni?”
60
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
“Bomoh orang asli, dari batu enam belas, saya pernah bertemu dengannya dua kali,” terang Datuk dengan jujur.
Wansi tersenyum. Wansi duduk bersila di depan kepala manusia yang seolah-olah melekap pada papan lantai itu.
“Kenapa kau buat jahat dengan orang?” tanya Wansi.
“Saya dapat upah encik,” jawab kepala itu dalam gaya bahasa orang asli bercakap Melayu. Matanya terkelip-kelip
macam katak puru kena sembur air. Wansi atau Datuk. Biarkan mereka dengan tugas mereka. Saya cuma mahu
melihat peristiwa ini sebagai bahan kenangan atau sejarah yang tersimpan dalam diri saya. Itu saja tekad saya.
“Siapa yang mengupah kau?” Datuk menyoal.
“Orang kampung ini juga.”
“Siapa namanya.”
“Tak boleh cakap encik, itu sumpah saya,”
“Awak tahu, kerja awak ni menyusahkan saya dan orang lain,” kian keras nada suara Wansi. Datuk mula resah. Dia
berpusing-pusing dua tiga kali di depan kepala yang terlekap di lantai.
“Tak tahu encik, dia datang minta tolong, katanya orang itu meludah mukanya waktu dia usik-usik untuk ajak kahwin,
orang itu maki dia, jadi saya ingat perbuatan orang itu tak baik menghina sesama manusia kerana itu saya tolong dia.”
Bagaikan mahu berbuih mulut orang itu bercakap, cukup seksa.
Datuk dan Wansi berbisik. Kepala yang terlekap di lantai kelihatan bergerak-gerak. Mukanya berpeluh-peluh. Dua tiga
helai rambunya gugur. Suasana malam yang tadi agak gawat sekarang sudah cukup tenang.
“Awak mesti bercakap betul dengan saya, kalau tidak saya botakkan kepala awak di sini,” Wansi mula mengugut.
Datuk menggigit bibir.
“Jangan buat jahat dengan orang encik.”
“Saya tak buat jahat, awak yang mulakan dulu.”
“Saya mengaku, saya dah kalah, encik kuat. Apa yang encik mahu sekarang?”
“Jangan kacau orang di baruh, nanti orang di darat susah, siapa orang di baruh yang upah awak?”
“Baiklah encik, kalau saya cakapkan, encik mesti berjanji dengan saya tidak balas dendam.”
“Kami tak mahu balas dendam, kami cuma mahu tahu saja.”
“Orang itu akan datang sendiri berjumpa encik minta maaf, saya akan suruh dia jumpa encik,”
“Bila?” potong Datuk dengan cepat.
“Dua hari lagi.”
Selesai saja orang itu bercakap. Wansi pun memukul kepala orang itu dengan uncang yang dibuat dari kain hitam.
Kepala orang itu pun hilang. Jam milik Haji Azhar berbunyi empat kali berturut-turut. Dingin subuh mula meresap ke
batang tubuh saya. Dalam kedinginan yang menggigit tulang itu saya terlelap . Bila saya membuka kelopak mata,
matahari pagi sudah pun memancarkan sinarnya di halaman rumah. Murai dan merbah sudah pun berhenti berkicau.
Datuk dan Wansi duduk bersila panggung sambil menghisap daun rokok nipah. Mereka merenung ke arah pondok
yang tertegun gagah di bawah kelopak matahari pagi. Kepala saya terasa pening kerana malam tadi saya
menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri pondok itu musnah dijilat api. Apakah saya bermimpi atau ditipu oleh
perasaan takut yang menguasai diri saya. Timbul berbagai pertanyaan dalam hati kecil saya.
“Kenapa pondok ini tidak hancur tok, malam tadi saya lihat terbakar,” itulah pertanyaan pertama pagi itu, saya ajukan
pada Datuk. Datuk merenung muka saya sambil tersenyum.
“Memang terbakar, tetapi dibakar oleh syaitan,” balas Datuk.
Saya terdiam. Memanglah perkara ini tidak masuk di akal. Kalau diceritakan pada sesiapapun tidak ada orang yang
percaya sedangkan pada kenyataannya saya melihat kejadian-kejadian itu sendiri.
61
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Bila Datuk melihat daya termenung panjang, dia pun menghampiri saya. Dan menyatakan apa yang saya lihat itu,
bukanlah satu perkara yang aneh. Semuanya terjadi atas kemahuan Allah yang maha besar.
“Allah itu maha pemurah dan penyayang.”
“Jadi,” tingkah saya.
“Dia akan memperkenankan apa juga yang diminta oleh makhluknya sama ada jahat atau baik.”
“Kalau minta jahat bagaimana?”
“Dipenuhinya dan tanggunglah akibat dari permintaan itu. Sebagai manusia kita diberikan fikiran untuk meminta
sesuatu yang baik atau jahat.”
Saya pun angguk kepala mendengar cakap Datuk itu. dalam masa yang sama Haji Azhar minta Datuk dan Wansi
duduk sebulan di tempatnya.
“Minta maaf, saya banyak urusan. Saya boleh tunggu hingga hari Jumaat kerana ada orang yang akan datang ke
sini?” Saya lihat wajah Wansi cukup tenang.
“Siapa?” soal Haji Azhar.
“Nantilah saya beritahu kemudian, lagi pun saya mesti balik cepat kerana saya belum lagi membuat persiapan
untuk…’” suara Wansi terhenti. Dia merenung keluar pada pepohon rambutan dan langsat yang disentuh angin pagi.
Matahari terus bersinar garang.
“Nak ke mana selepas mengubat anak saya ni?”
“Saya nak berangkat ke Tanah Suci,” jawapan Wansi itu amat mengejutkan hati Datuk. Memang sebelum ini, Wansi
tidak pernah menceritakan hal itu padanya. Saya merasa amat kagum dengan Datuk dan Wansi yang tidak mahu
menceritakan apa yang di alaminya malam tadi pada Haji Azhar. Meskipun Haji Azhar bertanya beberapa kali.
Seolah-olah mereka sepakat merahsiakan perkara itu.
Bagi menanti hari Jumaat yang ditunggu, saya dan Datuk serta Wansi ke Cangkat Banjar dan Cangkat Melintang
mencari akar-akar kayu dan pucuk-pucuk hutan. Akar-akar kayu yang dipilih itu dijadikan minuman menggantikan
kopi, sementara pucuk-pucuk kayu dijadikan air pembasuh muka selepas menunaikan sembahyang subuh.
Menurut Wansi akar-akar kayu itu berguna bagi mencegah sakit buah pinggang, darah tinggi. Pucuk-pucuk hutan pula
berkesan bagi perjalanan darah di samping mengkalkan wajah supaya kelihatan muda dan merah.
Memang sudah menjadi amalan dalam hidup Datuk selepas menunaikan sembahyang subuh, dia akan membaca
Quran. Begitu juga dengan Wansi. Saya disuruh oleh Datuk membaca surah Yasin. Kelam-kabut juga saya dibuatnya
oleh Datuk. Bagaimana tidak menggelabah bila Datuk menyuruh saya membaca surah Yasin tanpa naskah Yasin Bila
melihat saya dalam keadaan cemas begitu. Wansi memberikan naskah Yasin pada saya.
“Kau mesti ikut macam Datuk kau, boleh baca Yasin tanpa buku,” ujar Wansi.
“Dah diajar, tapi cucu saya ni keras kepala sikit,” tingkah Datuk. Disambut dengan ketawa yang memanjang dari
Wansi.
Ketika matahari mula bersinar. Dari muka jalan masuk ke rumah Haji Azhar, kelihatan seorang pemuda berbadan
tegap mendatangi ke arah Datuk dan Wansi. Sebaik saja sampai di kaki tangga pemuda itu memberi salam. Wansi
mempersilakannya naik.
“Jangan mengapakan saya, malam tadi saya tak boleh tidur, badan saya macam terbakar hangat sampai ke pagi,”
terus terang pemuda berkulit hitam manis, berhidung mancung, rambut ikal itu meluah kan rahsia dirinya. Wansi dan
Datuk berpandangan.
“Badan saya masih terasa dingin, walaupun matahari bersinar terang, kabus nipis kelihatan keluar dari bumi di antara
pepohon manggis dan langsat. Suasana di Kampung Belanja kiri pagi itu terasa cukup tenteram dengan kicau burung.
Melompat dari dahan ke dahan.
“Apa sebabnya awak datang ke sini?” Datuk bersuara parau.
“Sayalah yang mengupah bomoh orang asli memasukkan kain batik ke dalam perut anak Haji Azhar,” sambung
pemuda itu sambil merenung lantai. Wansi memperkemaskan silanya.
62
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
“Kau harus tahu membuat atau menganiaya sesama manusia satu dosa besar. Allah tidak dapat mengampunkannya
sekiranya orang yang kena aniaya itu tidak memaafkannya,” terang Wansi.
“Saya tahu, saya bertaubat tuan, saya melakukannya kerana mengikut nafsu.” Sebaik saja pemuda itu selesai
bercakap. Haji Azhar dipanggil oleh Wansi. Haji Azhar pun segera datang. Duduk bersila di antara Datuk dan Wansi.
“Inilah orang yang saya tunggu,” kata Wansi pada Haji Azhar. Bila mata haji Azhar terbeliak. Dia kenal benar dengan
pemuda itu, pernah bekerja dengannya sebagai pemandu bot penambang dari Belanja Kiri ke Pekan Parit, di
seberang tebing Sungai Perak, Haji Azhar tahu pemuda itu boleh bergerak bebas dalam kawasan rumahnya.
Orangnya pendiam dan bersopan-santun.
“Apa, dia keluarga awak?” Satu pertanyaan keluar dari mulut Haji Azhar.
“Tidak tuan Haji,” pendek jawab Wansi.
“Habis kenapa dia jumpa awak.”
“Usah tanya tentang hal itu, kalau awak sayangkan anak awak, jangan rosakkan budak ni, jangan dipukul atau
membalas dendam.”
“Saya tak faham.”
“Saya boleh beri awak faham, tapi awak jangan membalas dendam kerana perbuatan itu ditegah oleh agama kita
yang suci, kalau awak boleh memenuhi syarat ni, awak akan bahagia hidupnya dan pemuda ini akan tenteram
jiwanya.”
“Saya berjanji,” satu keputusan tegas dari Haji Azhar.
Datuk serta Wansi berdiri. Pemuda dan Haji Azhar duduk berhadapan sambil bersalaman, waktu salam keduanya
belum terbuka. Datuk membaca ikrar yang bermaksud, bahawa Haji Azhar tidak akan membalas dendam dan
pemuda itu akan bertaubat. Selesai saja ikrar itu dibuat, barulah Wansi menceritakan apa yang dilakukan oleh
pemuda itu terhadap anaknya. Badan Haji Azhar saya lihat menggigil menahan marah.
Bila semua urusan selesai. Pada sebelah malamnya diadakan kenduri doa selamat. Dan pada keesokan harinya kami
bertiga pun berangkat meninggalkan Kampung Belanja Kiri. Dua bulan lepas itu, saya dijemput oleh Haji Azhar
datang ke rumahnya lagi sekali, untuk menyaksikan Latifah bersanding dengan pemuda yang dipilih oleh Haji Azhar.
Dengan pemuda pilihan bapanya itu, Latifah memperoleh dua orang anak. Sekarang Latifah menetap di Kulai, Johor.
Menurut cerita yang terbaru saya dengar, anak sulung Latifah sudah melahirkan dua orang anak. Haji Azhar
meninggal dunia dalam tahun 1980 di Belanja Kiri kerana sakit tua, isterinya masih lagi hidup dan tinggal bersama
Latifah.
Pemuda yang mengupah bomoh siam itu meninggalkan kampung, Belanja Kiri, sesudah meminta ampun dan maaf
pada Haji Azhar. Walaupun perkahwinan Latifah pada hari itu cukup meriah tetapi Datuk tetap berwajah suram,
kerana Wansi yang banyak berjasa pada keluarga Haji Azhar tidak dapat datang. Dia meninggal dunia di Tanah Suci.
Dua hari selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Haji Azhar itu, saya dengan Datuk pergi ke Cangkat Pinggang
dekat Kampar kerana urusan membeli tanah dusun. Dua malam tidur di rumah ketua Kampung Cangkat Pinggan.
Lepas itu kami bertolak ke Tapah. Di Tapah Datuk menginap dua hari di rumah kawannya di Lubuk Katak kira-kira
suku batu dari Pekan Tapah.
Pada keesokan harinya saya dengan Datuk bertolak dari Pekan Tapah menuju ke Cameron Highlands. Sampai di
Batu enam belas Datuk memetik loceng bas. Kami turun di situ. Dari gigi jalan kami memasuki satu lorong yang kiri
kanannya di tumbuhi pokok-pokok hutan. Di hujung lorong itu terdapat sebuah perkampungan orang asli.
Tidak jauh dari kampung orang asli pada masa itu, terdapat beberapa buah bangunan pekerja-pekerja yang terlibat
dengan pembinaan projek hidro elektrik. Kebanyakan pekerjanya terdiri daripada pemuda-pemuda Melayu terutama
di bahagian buruh kasar seperti menebuk terowong dan meratakan batu. Pergerakan pekerja-pekerja itu dapat dilihat
dengan mudah dari perkampungan orang asli yang terletak di kawasan tanah yang tinggi. Sekarang projek itu sudah
siap.
Kedatangan saya disambut dengan baik oleh bomoh orang asli yang berwajah agak garang itu. Namanya Bah Lanjut.
Dia mempersilakan saya dan Datuk duduk di anjung rumahnya. Apa yang mendatangkan rasa kurang senang dalam
diri saya, bila melihat anjing kepunyaannya berkeliaran dalam rumah. Hati saya agak terhibur kerana dari radionya
terdengar suara Saloma mendendangkan lagu Mengapa Dirindu yang menjadi lagu top ketika itu.
63
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Kerana mahu menghormati Datuk dan saya yang diketahuinya tidak berapa senang dengan keadaan rumahnya, lalu
dia menempatkan kami di sebuah pondok yang keadaannya cukup bersih. Siap dengan tempat tidur dan tikar
sembahyang. Menurut Bah Lanjut, pondok itu memang dikhaskan untuk orang Melayu dan Islam bermalam bila
meminta ubat darinya. Dalam pertemuan itu Bah Lanjut berkali-kali minta ampun dan maaf atas perbuatannya di
masa lalu. Malah, dia sanggup mengajar beberapa ilmu yang ada pada dirinya untuk Datuk.
Hasratnya itu tidak ditolak, Datuk mahu menuntut ilmu darinya asalkan ilmu yang dituntut itu tidak bercanggah dengan
hukum-hukum Allah. Bagi tujuan itu, Datuk dan saya terpaksa tinggal di perkampungan orang asli itu selama dua
minggu. Di sini tugas saya bertambah lagi, terpaksa menjadi tukang masak pada Datuk di samping berburu ayam
hutan dan pelanduk untuk lauk makan tengahan dan malam, beras disediakan oleh Bah Lanjut hasil dari tanaman
padi humanya di lereng bukit.
Siri 18 - Diganggu Lembaga Hitam
Di luar hujan turun mencurah-curah. Kilat dan guruh tingkah meningkah. Cahaya kilat yang masuk ke dalam pondok
menjilat wajah Datuk, Bah Lanjut dan saya. Bila bunyi hujan beransur reda, diganti pula dengan bunyi angin yang
cukup keras melanggar dahan dan ranting pokok hutan. Api pelita melentuk-liuk mengikut arah tiupan angin. Bagi
menyelamatkan api pelita dari padam, Bah Lanjut segera menaruh daun bertam muda di sekelilingi badan pelita.
Beberapa bahagian daripada daun bertam muda itu dibuat lubang kecil bagi mendapatkan cahaya dari pelita tersebut.
Di luar hujan sudah berhenti terus. Angin sudah tidak sekeras tadi merempuh ranting dan dedahan pokok hutan.
Bunyi cengkerik cukup gamat. Sekali-sekala terdengar lolongan anjing hutan sayup-sayup. Bunyi suara burung
tukang cukup nyaring. Saya melihat jam saku Datuk yang bertali tembaga di hujung lututnya.
Waktu Bah Lanjut memperkemaskan silanya,saya dengar raungan harimau cukup nyaring bersama tempikan gajah.
Tanpa di minta oleh Datuk, Bah Lanjut perkenalkannya dengan pemuda yang membalas dendam pada anak Haji
Azhar. Menurut Bah Lanjut, seorang asli membawa pemuda itu menemuinya dan menceritakan apa yang di alami
oleh pemuda itu hingga timbul rasa balas di hatinya.
"Saya menolongnya kerana saya fikir dia telah dihina," nada suara Bah Lanjut penuh kesal. Datuk tersenyum dan
menyuruh Bah Lanjut melupakan peristiwa tersebut.
"Lupakan tentang tu, mari kita cerita tentang hal lain," ujar Datuk sambil melagakan gigi bawah.
Bah Lanjut melunjurkan ke dua kakinya. Kulit belakang Bah Lanjut bertemu dengan dinding pondok yang diperbuat
dari kulit kayu Merbau dan Jelutung.
"Ilmu kita bukan untuk merosakkan orang, ilmu kita untuk menolong orang," keluh Bah Lanjut.
"Ilmu kita pun begitu juga," tingkah Datuk.
Beberapa ekor nyamuk hutan berterbangan dalam pondok. Melihat saya resah dengan kedatangan nyamuk itu, Bah
Lanjut menepuk tangan, saya lihat nyamuk yang berterbangan itu menuju ke arahnya Bah Lanjut menadahkan kedua
belah tapak tangannya. Nyamuk-nyamuk jatuh atas tapak tangannya.
"Pulanglah,jangan kacau kami," kata Bah Lanjut Nyamuk di tapak tangan segera terbang menuju ke arah tepi dinding
dan terus keluar.
Bunyi suara cengkerik di luar pondok beransur kendur. Malam bertambah dingin. Dua kali saya menguap panjang.
Datuk dan Bah Lanjut masih terus bercakap.
"Mahu awak menuntut ilmu pengasih?" kelopak mata saya terasa ringan, mata saya bersinar merenung ke arah muka
Bah Lanjut. Saya mengisut ke arahnya, kepala lutut saya dengan kepala lutut Bah Lanjut berlaga.
"Caranya?" soal Datuk. Hati saya cukup gembira, saya memang mengharapkan Bah Lanjut menurunkan ilmu itu pada
Datuk dan sekali gus saya akan dapat mengutip ilmu itu. Saya kira, ilmu pengasih itu cukup baik untuk saya, bila saya
sudah ada ilmu pengasih saya boleh memilih bakal isteri dari anak dara yang wajahnya cantik dari kalangan orang
yang berada. Kalau saya di panggil untuk temu duga sebarang pekerjaan, ilmu pengasih dapat menolong saya.
Orang menemu duga saya akan kasih pada saya, lalu memberikan pekerjaan, walaupun tidak ada kelulusan, fikir
saya dalam hati.
Bah Lanjut mengunyah sesuatu di dalam mulut. Saya tidak tahu apa yang dikunyahnya.
64
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Ilmu tu saya tak mahu, bagilah saya ilmu-ilmu lain," ujar Datuk secara tidak langsung membunuh harapan yang
bertunas dalam hati saya. Saya mengeluh dan Datuk tersenyum merenung ke arah saya, bagaikan dia tahu, apa
yang bergolak dalam dada saya.
"Kalau awak tak mahu, berikan pada cucu awak," Bah Lanjut mengemukakan cadangan. Lagi sekali, saya lihat
senyum Datuk bermain di bibir.
"Jodoh pertemuan dan rezeki di tentukan oleh Allah yang maha besar," Datuk menepis cakap Bah Lanjut.
"Kita disuruh berusaha."
"Bukan dengan cara itu tok batin, lagi pula ilmu pengasih ni, banyak buruk baiknya, terutama kalau terlepas ke tangan
orang muda."
"Tujuannya baik "
"Memang tujuannya baik, tujuan baiknya sikit sangat. Yang dibuat tujuan yang jahat yang banyak di lakukan, ilmu tu
banyak penggodanya."
"Jadi, awak tak mahulah. Kalau awak mahu,boleh saya bawa naik bukit dan guna mencari ibu minyaknya."
"Terima kasih sajalah tok batin," suara Datuk merendah.
Bah Lanjut terdiam. Suara anjing hutan makin keras. Bunyi burung hantu dan jampuk bersahut-sahutan di puncak
bukit. Sesekali saya terdengar bunyi orang berjalan di bawah pondok. Malam bertambah larut. Datuk bangun, lalu
membuka pondok. Datuk terkejut. Dua tapak dia undur ke belakang. Muka Datuk pucat. Bah Lanjut menerkam ke
arahnya.
Saya juga menerkam ke muka pintu. Kaki kami bagaikan terpaku di lantai. Di muka pintu, tercegat satu lembaga
berbulu hitam tebal. Dahi lembaga itu berbulu, lubang hidungnya cukup luas. Gigi putih lembaga itu menyeringai,
bagaikan mahu menelan kami. Saya amati lembaga itu lama-lama. Bentuknya macam seekor monyet besar. Tiba-
tiba, Bah Lanjut bergolek di atas lantai menuju ke arah pelita. Dia cabut daun bertam, lalu membakar kain pelikat
Datuk yang tersangkut dekat dinding. Dengan mendadak saja api marak dalam pondok kami. Dan lembaga yang
berdiri di kaki tangga bersuara, bagaikan suara beruang jantan tercium buah kelubi.
Lembaga itu menggawang-gawangkan tangannya ke kiri dan ke kanan. Kemudian lengannya yang berbulu itu
menutup kedua belah matanya. Lembaga hitam itu menjerit dengan sekuat hatinya, lalu menendang dinding dekat
pintu. Dinding yang dibuat dari kulit kayu itu runtuh dan pecah berkaca.
Lembaga itu melompat ke tanah dan diikuti dengan bunyi kayu tangga patah. Lembaga itu pun hilang dalam
kegelapan malam yang pekat itu.
Datuk, saya dan Bah Lanjut kembali duduk di ruang tengah pondok, sesudah api yang membakar kain pelikat Datuk
dipadamkan.
"Apa bendanya tu tok batin?" soal Datuk dengan tenang. Bah Lanjut terdiam. Dia merenung liar ke kiri dan ke kanan.
"lnilah masalah yang kami hadapi sekarang," bisik Bah Lanjut pada Datuk. Datuk angguk kepala. macam itik angsa
bertemu kawan. Saya resah sendiri. Bimbang benar hati saya, kalau lembaga hitam itu datang lagi.
"Saya harap awak boleh menolong kami dalam hal ini?" Bah Lanjut menyuarakan hasrat hatinya. Datuk merenung
lantai yang terbuat dari buluh itu. Bah Lanjut nampak resah. Sesekali dia membetulkan parang yang tersangkut di
pinggangnya.
"Benda tu, cuma takut pada api saja," sambung Bah Lanjut dengan rasa kesal. Dan barulah saya faham, kenapa
waktu tengahan mahu jatuh di kaki lantai, orang asli membakar kayu besar yang dilonggokkan di sekeliling rumah
mereka.
Api biarkan menyala hingga ke subuh. Bah Lanjut berjalan ke hulu ke hilir dalam ruang pondok. Berhenti dekat bendul
pemisah, antara ruang tengah dengan dapur. Dia duduk dekat bendul sambil menakik-nakik kayu bendul dengan
parang kontotnya. Datuk hanya memperhatikan saja tingkah laku Bah Lanjut. Dari gerak-geri itu, Datuk dapat
meramalkan, bahawa penghulu orang asli itu di amuk rasa resah yang tidak menentu. Bah Lanjut merenung ke arah
Datuk. Datuk angkat kepala lalu pandangan mereka bertembung.
"Yang kita bimbangkan tentang keselamatan anak buah kita, terutama anak-anak dara," Bah Lanjut mengeluh.
65
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Sebab?"
"Binatang sial tu, mencari anak dara, sudah dua orang anak buah saya di kampung bukit sebelah mati kerananya."
"Dahsyat tu."
"Kerana itulah, kalau boleh saya mahu minta tolong dari awak, walaupun saya handal tetapi dalam hal ni, saya
mengaku kalah," Bah Lanjut mengakui kelemahan yang terdapat pada dirinya. Datuk kerutkan dahi. Saya rebahkan
badan di atas lantai buluh. Bah Lanjut bangun ambil kain dari dalam beg Datuk. Kain itu dicampakkannya pada saya.
"Selimut badan kau, sejuk ni," ujarnya sambil ketawa kecil. Bah Lanjut terus mendekati Datuk. Mereka bercakap. Apa
yang dikatakan oleh mereka itu dapat ditangkap oleh gegendang telinga saya, walaupun kelopak mata saya pejam
rapat.
Fikiran saya berperang sama sendiri. Bentuk lembaga hitam yang besar itu menari-nari dalam kepala saya.
Bagaimana, ketika saya terlelap lembaga itu datang, lalu membawa saya ke tempatnya? Barangkali lembaga itu
memakan daging manusia. Apakah daging paha saya akan dibahamnya?
Semuanya berlegar-legar dalam kepala saya. Datuk terus juga bercakap dengan Bah Lanjut. Saya pusing kanan.
Setiap kali badan saya bergerak, lantai buluh tetap berbunyi kiuk-kiuk. Bila bunyi itu terdengar berturut-turut kali,saya
terasa seronok,macam satu nada irama lagu yang terjadi tanpa penciptanya.
Bah Lanjut memberitahu Datuk, lembaga hitam itu sudah dua tiga kali masuk ke dalam perkampungannya, malah
satu ketika anak buahnya hampir berjaya memberkas lembaga hitam itu dengan mengepungnya, tetapi lembaga itu
berjaya menghilangkan diri dengan berpaut pada dahan meranti condong. Menurut Bah Lanjut, setiap kali lembaga
hitam datang, mesti diiringi dengan bunyi burung hantu atau salakan anjing hutan.
Begini saja, esok kita cari kesan tapak kakinya," Datuk memberi satu keputusan yang muktamad. Dan Bah Lanjut
bersetuju dengan cadangan Datuk itu.
"Sampai ke mana?" soal Bah Lanjut.
"Sehingga mana yang boleh kita cari," batas Datuk . Bah Lanjut anggukkan kepala. Mereka terus bercakap.
Gegendang telinga saya sudah tidak mampu mahu mendengar perbualan Datuk dengan Bah Lanjut. Saya terlelap.
Bila saya terjaga dari tidur, saya lihat Bah Lanjut sudah tiada dalam pondok.
Datuk saya lihat masih termenung panjang. Malas saya mahu menyuruh Datuk tidur. Saya kira dia sedang
memikirkan sesuatu. Saya tidur kembali. Pagi itu, sembahyang subuh, Datuk terus mengajak saya mandi air embun.
Pagi di perkampungan orang asli cukup mengesankan. Saya melihat matahari terbit di puncak banjaran gunung
Titiwangsa, kabus nipis berarak menuju ke dada langit, kicau burung hutan dan ayam hutan bersahut-sahutan.
Lepas mandi air embun, saya bakar ubi kayu dan Datuk masak air panas. Bila matahari sudah meninggi, sayup-sayup
terdengar bunyi suara jentera dan pekerja hidro-elektrik dan di turuti dengan bunyi ledakkan yang cukup kuat.
"Apa benda tu tok?" tanya saya.
"Dia orang tebuk bukit buat terowong air," begitulah Datuk memberi penjelasan. Saya melihat ke arah bunyi ledakkan
itu, saya lihat ada asap berkepul naik ke udara.
Selesai makan ubi bakar dan minum kopi, Bah Lanjut datang menemui Datuk. Dia mengajak Datuk mencari kesan
tapak kaki lembaga hitam yang datang ke pondok malam tadi.
"Boleh, nanti saya tukar pakaian," jawab Datuk.
Saya dan Datuk pun ke atas pondok. Bah Lanjut menanti di tanah. Dia memakai seluar pendek kuning, berbaju hitam
dengan parang kontot tersangkut di pinggang. Sumpit panjangnya tersandang di belakang.
Saya dan Datuk turun ke tanah. Sesudah berkeliling di kawasan sekitar pondok. Saya terjumpa kesan tapak kaki
binatang, macam bentuk tapak kaki gajah, mempunyai empat jari. Saya segera memberitahu Datuk dan Bah Lanjut.
"Memang inilah tapak kakinya," kata Bah Lanjut sambil menguis dedaun di kelilingi tapak kaki itu. Bah Lanjut berhenti
menguis. Dia mengambil sesuatu dari muka tanah.
"Inilah bulunya," pekik Bah Lanjut sambil menunjukkan pada Datuk.
66
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Saya dan Datuk pun rapat pada Bah Lanjut. Bulu hitam keras itu pindah dari tapak tangan Bah Lanjut ke tapak tangan
Datuk. Datuk renung bulu hitam keras itu. Bila bulu itu terkena sinar matahari, warnanya menjadi perang. Datuk
menyerahkan bulu itu pada Bah Lanjut. Dan Bah Lanjut memasukkan ke dalam buluh yang tersangkut di pinggang
sebelah kirinya. Berpandukan kepada kesan tapak kaki itu, kami bergerak menuju ke arah barat daya. Datuk dan Bah
Lanjut menemui beberapa ranting kayu patah kena pijak. Dua tiga pokok hutan kelihatan terkulai, bagaikan dirempuh
sesuatu. Kesan itu hilang di sebuah lurah menghala ke sebuah anak bukit yang di pisahkan oleh sebatang anak
sungai dengan perkampungan orang asli.
Matahari sudah berada betul-betul di tengah kepala. Kerana kesan tapak kaki lembaga itu tidak dapat di kesan lagi,
Datuk dan Bah Lanjut membuat keputusan pulang saja ke pondok. Datuk memberi janji akan menolong Bah Lanjut
mengatasi masalah tersebut, demi keselamatan anak buahnya. Dan Bah Lanjut juga memberi ikrar akan membantu
Datuk sedaya upaya untuk menangkap atau mengusir lembaga hitam itu.
Sebaik saja kami sampai di pondok, lima orang pemuda Melayu dengan topi putih berbucu depan belakang, seakan-
akan bentuk topi keledar menanti kami. Mereka bercakap sesama sendiri.
"Apa halnya ni," tanya Bah Lanjut. Kelima-lima pemuda itu diam. Mata mereka merenung tepat ke arah saya dan
Datuk . Salah seorang daripada pemuda itu berbadan tegap, berkulit hitam manis menghampiri saya.
"Awak orang asli atau orang Melayu?" tanyanya dengan berbisik pada saya. Saya tersenyum. Aneh juga rasanya,
kerana mereka tidak dapat membezakan saya dan Datuk dengan orang asli.
"Saya orang Melayu," jawab saya.
"Itu Datuk saya," muka anak muda yang bertanya kelihatan berubah.
Dia hulurkan tangan, bersalam dengan saya dan Datuk .
"Saya Zamri," katanya pada Datuk .
"Awak orang mana?"
"Saya orang Jeram, dekat Kuala Dipang, Kampar, saya bekerja di sini." Mendengar cakap pemuda itu, Datuk angguk
kepala dan tersenyum. Datuk lalu mempersilakan mereka duduk di atas tunggul kayu di halaman pondok. Bah Lanjut
berdiri di depan kumpulan pemuda tersebut. Saya terus duduk di sisi salah seorang anak muda yang berkulit hitam,
berhidung mancung.
Tanpa diminta anak muda itu memberitahu saya namanya, Amiruddin, berasal dari Teluk Bahang, Pulau Pinang.
Sudah dua tahun menjadi buruh hidro elektrik di situ.
"Apa halnya?" tanya Bah Lanjut lagi. Zamri bangun sambil meraba-raba batang hidungnya.
"Kawan kami kena patuk ular di kaki bukit, waktu menebas," katanya.
Bah Lanjut renung muka Datuk dan menyatakan, pekerja-pekerja di situ memang selalu menemuinya jika ada
menghadapi kesulitan seperti itu.
"Kenapa tak bawa jumpa doktor?" Datuk menghadapkan pertanyaan itu pada Zamri. Bah Lanjut menggosok-gosok
ulu parang kontotnya.
"Salah seorang kawan saya sudah pun jumpa ketua, memang mahu dibawa ke Hospital Tapah, tetapi kami terpaksa
tunggu kereta.
"Dia mana kawan awak tu?" saya pula bertanya.
"Ada dekat stor, menanti kereta."
Bah Lanjut membisikkan sesuatu ke telinga Datuk. Kemudian Bah Lanjut mengajak kelima-lima pemuda itu pergi ke
tempat kawan mereka yang kena patuk ular itu. Setelah meredah hutan dan menuruni dua buah anak bukit, akhirnya
saya, dan Datuk dan Bah Lanjut sampai ke belakang stor.
Di situ, saya lihat seorang pemuda terbaring atas pangkin. Seorang lelaki berbangsa Jerman berdiri di sisinya.
Pangkal paha pemuda yang baru berusia lebih kurang dua puluh lima tahun itu diikat dengan kain kuat-kuat. Lelaki
berbangsa Jerman itu meletakkan sesuatu di bahagian bawah paha yang sudah diikat itu.
67
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Pemuda yang malang itu tidak bergerak. Dadanya kelihatan berombak. Kedua kelopak matanya rapat. Zamri
menghampiri lelaki Jerman yang berbadan tegap. Mereka bercakap dalam bahasa Inggeris. Dua tiga kali orang
Jerman itu geleng kepala. Zamri terus juga bercakap akhirnya orang Jerman menghampiri Datuk.
"Migiteis," ujar lelaki itu. Datuk angguk kepal. Lelaki itu bercakap sesuatu pada Datuk. Saya lihat kelopak mata Datuk
pejam celik. Dia tidak mengerti dengan apa yang diperkatakan oleh orang Jerman itu. Bahasa yang diucapkan oleh
orang Jerman itu terlalu asing buatnya.
"Ini ketua kami, dia setuju memberi peluang pada kami mengubat kawan yang malang itu, mengikut cara kampung,
sementara menanti kereta yang akan membawanya ke rumah sakit Tapah," Zamri menjadi juru bahasa pada Datuk
dan Bah Lanjut.
Orang Jerman yang berbadan tegap itu renung muka Datuk dan Bah Lanjut. Bila orang Jerman itu meninggalkan
bahagian belakang stor menuju ke pejabat kecilnya bengkel membaiki lokomotif, Bah Lanjut memerintahkan Zamri
dan kawan-kawannya mencari batang tepus dan pokok pisang karok (pisang hutan) serta daun langkah dengan
secepat mungkin.
Tidak sampai dua puluh minit, barang-barang yang dikehendaki oleh Bah Lanjut itu diperolehi, pemuda malang di atas
pangkin di bawa ke satu tempat lapang berdekatan dengan pokok jelutung mati dahan. Bah Lanjut meletakkan
barang-barang yang di kehendaki di sekeliling pangkin.
"Pukul berapa?" tanya saya pada Zamri.
"Dekat pukul dua petang," jawabnya, tiba-tiba Datuk menepuk bahu saya menyuruh saya diam. Bah Lanjut
mengambil batang tepus lalu dipukul ke pangkal pokok pinang hutan, dipalu ke tanah tujuh kali. Manakala pucuk daun
langkap dikoyak-koyak, separuh dibuang ke dalam hutan, separuh lagi dikunyahnya.
Pucuk langkap yang sudah hancur itu diluahkan di pangkal pangkin. Bah Lanjut menyuruh saya dan Datuk serta
kawan-kawan Zamri, duduk di satu tempat agak jauh juga jaraknya dengan pangkin sambil berpesan jangan bercakap
atau bangun. Dan gerak-gerinya jangan di tegur. Kami beredar.
Muka Zamri dan kawan-kawan agak cemas, mereka agak bimbang kalau-kalau yang kena patuk ular itu tidak pulih
dalam waktu yang ditepatkan, kereta dari Batu Tiga Puluh Dua akan datang dan ketua mereka akan memerintahkan
supaya kawan yang malang itu dibawa segera ke Hospital Tapah. Bah Lanjut duduk mencangkung di depan pangkin.
Dia bercakap dalam bahasa orang asli, macam kicau burung hantu bunyinya. Lepas itu dia mengambil sehelai daun
berhampiran tempat tersebut lalu meniupnya. Bunyi tiupan dari daun itu cukup nyaring dan sakit gegendang telinga
saya dibuatnya. Bah Lanjut terus meniupnya tanpa berhenti-henti. Peluh di dahi dan di belakang mula keluar. Tiba-
tiba saya melihat beberapa ekor ular keluar dari hutan kecil di belakang kami, semuanya meluru ke arah pangkin
pemuda malang itu. Anehnya, ular itu berpatah balik ke dalam hutan.
Bah Lanjut terus meniup daun tanpa berhenti-henti. Tanah lapang dekat pangkin pemuda malang itu, sudah pun di
penuhi dengan berbagai bentuk ular, beberapa ekor ular menjalar dan memanjat belakang Bah Lanjut yang meniup
daun. Saya berasa takut, belum pernah saya melihat ular sebanyak itu dengan beraneka rupa dan bentuk. Saya kira
semua ular di dalam hutan sekitar itu berkumpul di situ.
Dada saya berdebar, tanpa mempedulikan kami, ular-ular terus berkeliaran keluar dan masuk ke dalam hutan
belakang. Kami tidak bergerak. Kami benar-benar jadi tunggul buruk. Saya jeling ke muka Daluk. Saya lihat wajahnya
tetap tenang. Ular berkeliaran di kaki pangkin. Bah Lanjut terus meniup daun, ular yang begitu banyak di tanah lapang
beransur kurang.
Kawan Zamri yang malang masih terkapar atas pangkin di panggang matahari yang keras. Dalam beberapa saat
saja, semua ular yang ada di situ ghaib semuanya. Bah Lanjut duduk kembali, dia terus meniup daun dengan sekuat
hatinya. Seekor ular hitam, sebesar lengan kanan saya merayap keluar dari hutan di belakang kami. Ular itu bergerak
malas menuju ke arah Bah Lanjut. Ia berhenti betul-betul di depan Bah Lanjut. Ular itu panggungkan kepala di depan
muka Bah Lanjut.
Kepala Bah Lanjut dan kepala ular itu kelihatan sama parasnya. Ular itu mematuk leher atau kepala Bah Lanjut. Ular
hitam yang nampak berkilat di sinar matahari itu merebahkan badannya atas tanah seketika, kemudian panggung
kepala lagi. Perbuatan itu dilakukannya sebanyak tiga kali berturut. Nada tiupan dari Bah Lanjut beransur perlahan,
iramanya yang tadinya keras berubah pada nada irama yang agak sayu sedikit.
Ular hitam di hadapannya bergerak malas menuju ke arah pangkin, bergerak dengan bebasnya di atas tubuh kawan
Zamri yang terkapar di situ. Ular itu berhenti betul-betul di bahagian dada kawan Zamri yang malang.
Ular panggung kepala lagi ke arah Bah Lanjut, nada tiupan Bah Lanjut bertambah lemah, ular hitam rebahkan kepala
lalu merayap ke celah paha kawan Zamri dan berhenti di situ.
68
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Saya lihat ular itu membenamkan kepalanya di bawah ikatan pada kawan Zamri,lama juga ular itu menghisap sesuatu
di situ. Bah Lanjut bangun, bunyi tiupan dari daun di celah mulut Bah Lanjut bertambah perlahan.
Ular hitam berpusing atas pangkin, kemudian turun ke tanah dengan gerak yang amat perlahan sekali. Sebaik sahaja
ular hitam itu sampai di hadapan Bah Lanjut, ular hitam itu sudah tidak bergerak lagi. Bah Lanjut menerkam ke arah
kawan Zamri di atas pangkin, daun hutan yang di buat serunai dikelapkan bahagian betis kawan Zamri yang di patuk
ular itu. Bah Lanjut menepuk dada kawan Zamri. Kawan Zamri di atas pangkin menggerakkan kaki dan tangan. Bah
Lanjut menggamit kami datang ke arahnya.
"Dia dah sedar dari pengsan, bisanya dah dihisap oleh ular yang mematuknya," kata Bah Lanjut, kawan Zamri yang
malang pun bangun. Dia turun dari pangkin. Serentak dengan itu kereta dari Batu Tiga Puluh Dua pun sampai dan
orang Jerman yang mengetuai pekerja di situ datang ke arah kami, mukanya bengis, dia memaki Zamri dan kawan-
kawannya kerana membawa pemuda yang kena patuk ular ke tempat lain tanpa memberitahunya.
Orang Jerman itu terkejut, bila dia melihat pemuda yang kena patuk ular itu sudah boleh berdiri serta berjalan ke
arahnya dan terus bersalam dengannya. Orang Jerman memeluk Datuk dan Bah Lanjut sebagai tanda mengucapkan
ribuan terima kasih kerana berjaya menyelamatkan pekerjanya.
"Beri dia berehat dulu, petang esok saya datang lagi," kata Bah Lanjut pada Zamri. Bah Lanjut mengambil bangkai
ular hitam itu dan dibelitkannya ke leher.
"Buat apa?" tanya duduk penuh ragu.
"Mesti ditanam," jawabnya. Datuk dan saya berpandangan.
"Ilmu inilah yang mahu saya tuntut dari awak," Datuk menyatakan hasratnya.
"Boleh, tapi awak mesti tolong saya hancurkan lembaga hitam dulu."
"Saya cuba tok batin."
Kami pun meninggalkan kawasan pekerja hidro elektrik menuju ke arah perkampungan orang asli. Sebaik sahaja
sampai di pondok, Datuk terus duduk di atas tunggul buruk di hadapan pondok. Bah Lanjut terus pulang ke rumahnya.
Saya terus masuk ke dalam pondok merebahkan badan, kerana terlalu letih saya tertidur. Bila saya terjaga dari tidur,
saya lihat Datuk membincangkan sesuatu dengan Bah Lanjut. Saya segera mendapatkan mereka.
"Malam ini, kita tunggu lembaga hitam tu datang, esok kita pergi ke kampung lain dekat Kampung Raja di Tanah
Rata," Datuk memberitahu saya. Saya terdiam. Bah Lanjut renung muka saya.
"Di kampung orang darat sana, ada orang sakit kena sembur lembaga hitam." Bah Lanjut menerangkan kepada saya.
"Walaupun begitu, malam ini kita mesti berjaga kalau lembaga hitam itu datang," terang Bah Lanjut. Saya angguk
kepala.
Siri 19 - Diresapi Semangat Monyet
Langit di Batu Enam Belas Jalan Tapah-Cameron Highlands malam itu cukup cerah. Bah Lanjut dan Datuk terus
berjaga di pangkal pokok Jelutung patah dahan. Saya terus mencampakkan dahan dan ranting kayu ke dalam
unggun api di belakang pondok. Bahang dari unggun itu menghilangkan rasa dingin yang menyelimuti tubuh saya.
Sesekali terdengar bunyi dahan kayu berlaga sesama sendiri, dirempuh angin malam, lalu melahirkan satu nada
irama yang memanjang. Embun jantan mula menitik atas kepala saya.
"Sudah dinihari," keluh Datuk. Bah Lanjut angguk kepala. Matanya merenung tajam ke arah hutan tebal di sebelah
kanan pondok. Saya terus mencampakkan puntung-puntung kayu ke dalam unggun, bila puntung kayu berada di
dalam anggun api, ia kelihatan marak dan bunga api berterbangan ke udara. Saya kira sudah pukul dua lebih. Suara
binatang buas terdengar sayup-sayup di kaki bukit. Saya lihat Datuk tertidur di pangkal pokok Jelutung. Bah Lanjut
terus bergerak ke hulu ke hilir sambil memaut golok di pinggang. Saya tidak mempedulikan mereka.
Tiba-tiba saya terasa kelopak mata cukup berat. Lepas itu, saya tidak tahu apa yang berlaku, bila saya membuka
mata kembali, saya lihat Bah lanjut pula tertidur di pangkal pokok Jelutung dan Datuk pula bertindak sebagai
pengawal. Datuk, saya dan Bah Lanjut merasa cukup kecewa. Lembaga hitam yang dinantikan sepanjang malam,
tidak juga menjelma.
"Dia bagaikan tahu kita menantinya," kata Datuk pada Bah Lanjut sesudah melihat fajar subuh bangun di kaki langit.
69
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Dia takut agaknya," sahut Bah Lanjut.
"Boleh jadi juga," balas Datuk dan Bah Lanjut kecewa. Bah Lanjut meminta diri pulang ke rumahnya. Saya dan Datuk
beredar menuju ke arah sebuah anak sungai. Kami mengambil air sembahyang. Hari mula beransur cerah.
Waktu Datuk mahu mendaki anak bukit ke pondok, di terserempak dengan tapak kaki binatang, sebesar tapak kaki
gajah, anehnya tapak kaki menyerupai tapak kaki manusia, tetapi mempunyai empat jari. Jari sebelah kanan
berbentuk bulat macam anak lesung batu. Datuk membuat kesimpulan, itulah ibu jari kaki lembaga hitam. Datuk
menandakan kesan tapak kaki binatang itu dengan sebatang pokok kecil yang dipatahkan dua. Sebelum beredar
Datuk baca sesuatu di situ.
"Supaya jangan hilang bila dicari," Datuk memberitahu saya. Dan saya cuma tersenyum sambil angguk kepala dua
tiga kali.
Selepas menunaikan sembahyang subuh dan bersarapan pagi, saya dan Datuk di halaman pondok. Beberapa minit
kemudian Bah Lanjut datang. Wajahnya nampak riang.
"Kita kena bertolak pergi ke sana," katanya. "Jalan kaki," sahut Bah Lanjut.
"Susah tu," celah saya.
"Tak susah sebelum matahari condong sampailah kita ke sana." Bah Lanjut memberikan satu keyakinan dalam diri
saya. Datuk termenung panjang. Datuk berjalan dua tiga tapak keliling halaman pondok. Berhenti betul-betul di depan
kaki tangga pondok.
"Begini tok batin, tok batin pergi dulu, kami ikut kemudian." "Nanti sesat, susah."
"Tak apa, syarat utamanya bila tok batin sampai ke sana, tandakan kawasan itu dengan kain merah," Datuk
mengemukakan cadangan.
"Cara?"
"Ikat kain merah pada buluh, dan buluh itu dicacakkan atas tanah lapang."
"Baiklah." Bah Lanjut pun melangkah ke arah utara. Sebelum hilang ditelan oleh pokok-pokok hutan yang tebal itu,
Bah Lanjut sempat melambaikan tangan ke arah saya dan Datuk. Saya lihat cukup tangkas Bah Lanjut bergerak,
saya tidak dapat melihat bayang atau tubuhnya kecuali melihat pokok-pokok yang bergerak saja. Tidak sampai lima
minit, saya tidak dapat mendengar suara Bah Lanjut menjawab laungan dari Datuk. Matahari bertambah tinggi, tetapi
rasa sejuk masih kuat mencengkam diri. Bibir saya terketar-ketar. Datuk mengambil dua tiga helai daun kayu muda.
Digosoknya ke tapak tangan beberapa kali.
"Bila kita bertolak ke Kampung Raja tok?" tanya saya sesudah melihat Datuk tidak membuat sebarang persiapan
untuk pergi ke tempat tersebut. Datuk tidak menjawab pertanyaan saya. Dia terus menakuk-nakuk pangkal pokok
jelutung dengan golok peraknya. Datuk menyuruh saya mencari ranting dan dahan kering. Saya patuh dengannya.
Saya sudah pun berjaya mengumpul satu bekas dahan dan ranting kering. Saya tempatkan di bawah pokok.
"Bila kita nak pergi," tanya saya lagi sekali. Datuk merenung tajam ke arah saya. Dia kerutkan mukanya.
"Itu urusan aku. Bila aku ajak, kau ikut. Kalau tidak kau tunggu di sana," nada suara Datuk membayangkan
kemarahan. Datuk terus duduk atas tunggul buruk. Saya terdiam memukul tanah dengan tangan kiri sebanyak tiga
kali. Matahari terus memancar. Bunyi burung terus bersahut-sahutan. Saya duduk termenung di bawah pondok. Tidak
berani saya melihat muka Datuk yang macam muka harimau itu. Datuk berubah tempat duduk bersila di bawah pokok
jelutung. Kedua belah lengannya diletakkan atas kepala lutut.
Mata Datuk merenung ke arah hutan. Tiba-tiba saya lihat beberapa ekor monyet melompat atas dahan sambil
menjerit, monyet-monyet itu terus melompat dari dahan ke dahan dengan cepat seperti dikejar sesuatu. Dada saya
berdebar, dari sebelah utara pondok, keluar dua ekor harimau belang berbadan besar. Salah seekor daripada
harimau belang badannya besar. Salah seekor dari pada harimau itu ternyata mempunyai kaki yang untut sebelah
kiri.
Harimau itu menuju ke arah Datuk yang duduk mencangkung Lebih kurang lima minit lamanya, salah seekor daripada
harimau itu memusingkan ekornya mengusap dan menyapu wajah Datuk dengan ekornya. Datuk membiarkan
harimau itu melakukan apa saja terhadap dirinya. Bila sudah penat, harimau itu beredar dan duduk kembali di depan
Datuk. Harimau yang seekor lagi pula, menerpa ke arah Datuk dan menjilat wajah Datuk dengan lidahnya yang
merah. Saya lihat misai harimau yang keras itu berlaga dengan misai Datuk yang lembut. Datuk menepuk-nepuk
pangkal leher harimau itu dengan lemah lembut. Harimau itu mengaum kecil. Datuk memeluk leher harimau itu
dengan penuh rasa kasih sayang.
70
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Kau rindukan aku," terdengar suara Datuk. Harimau menggerak-gerakkan ekornya. Manakala harimau yang lagi
seekor berguling-guling di atas tanah sambil keempat-empat kakinya menghala ke langit.
"Aku dan cucuku selamat di sini, pulanglah. Berkalih hari kau datang ke sini," selesai saja Datuk bercakap, dia
bangun. Harimau segera berdiri di sisinya. Harimau kaki untut sebelah kanan, yang tidak untut di sebelah kiri.
"Pulanglah," tambah Datuk lagi sambil menepuk-nepuk belakang harimau.
Kedua ekor harimau itu mengaum serentak. Dan berjalan tenang masuk ke dalam hutan tebal. Datuk merapati saya
lalu menyuruh saya memasak nasi. Datuk juga memberitahu saya, bahawa dia akan turun ke sungai untuk
menangkap ikan.
Datuk terus meninggalkan saya di pondok. Dan saya terus menghidupkan api. Membasuh beras dan memasak nasi.
Sebaik saja air nasi di dalam periuk kering, Datuk kembali dari sungai membawa ikan. Datuk mencari kayu kecil dan
ikan itu lalu dipanggang dan diangkatkan pada api. Semuanya berjalan dengan baik. Bila matahari sudah berada
betul-betul di tengah kepala, saya dan Datuk terus makan, Datuk berdiri di halaman melihat bayangannya di atas
bumi.
"Sudah masuk sekarang," pendek saja suara Datuk. Dan fahamlah saya, bahawa Datuk menyuruh saya pergi ke
sungai mengambil air sembahyang. Saya terus pergi ke sungai. Setelah selesai sembahyang, Datuk terus duduk di
pangkal jelutung. Entah apa yang dibuat oleh Datuk di situ saya sendiri pun tidak tahu.
"Bah Lanjut sudah sampai ke tempat yang dituju," Datuk memberitahu saya. Datuk terus naik ke pondok. Ambil
pakaian dan barang-barang keperluan. Saya juga berbuat begitu. Datuk menutup kedua belah mata saya dengan kain
hitam. Dia menyuruh saya berdiri di kaki tangga. Saya akur dengan perintah itu, Datuk menyuruh saya meluruskan
kedua belah tangan saya ke hadapan.
Darah saya tersirap. Saya menyentuh badan harimau. Saya terasa lidah harimau menjilat-jilat kedua belah lengan
saya. Datuk memimpin saya ke depan, lalu mendudukkan saya atas badan harimau.
"Kau tunggang dia sendirian," kata Datuk.
"Aku naik belakang siuntut, tetapi jangan buka kain penutup mata, kalau kau ingkar, kau tak akan melihat dunia lagi,"
sambung Datuk ada nada mengugut perasaan hati saya.
"Saya faham tok."
"Faham saja tak mahu, tapi mesti taat," tengking Datuk.
"Saya taat Datuk"
"Hum ... bagus."
Saya terasa harimau yang saya tunggang itu bergerak perlahan-lahan, kemudian laju dan terus laju saya terasa
kedua belah cuping telinga saya cukup sejuk kerana di sentuh angin. Saya tidak pasti sama ada harimau yang saya
naik itu terbang atau berjalan di atas bumi. Dalam saya berfikir-fikir itu, harimau yang saya naik berhenti berjalan.
Datuk pun membuka kain yang membalut ke dua belah mata saya.
"Bagus, kau dah berani sekarang," serentak dengan ucapan itu Datuk terus memukul belakang saya dua tiga kali.
Saya raba bibir saya yang terasa kebas. Saya gigit bibir hingga terasa sakit.
"Kau dah berani sekarang," ulang Datuk sambil mengeluarkan bertih dari uncangnya. Bertih itu ditaburkannya atas
tanah lapang untuk makanan harimau peliharaannya. Sesudah memakan bertih, harimau itu mengaum kecil sambil
menggoyang-goyang ekornya. Datuk tepuk kepala harimau dan ia pun terus masuk ke dalam hutan tebal lalu hilang.
“Di mana kita sekarang ni tok?"
"Kita ikut tepi hutan ni menuju ke arah matahari naik." Datuk dan saya pun melangkah serentak meredah hutan,
melanggar akar dan duri. Sayup-sayup terdengar bunyi kokok ayam hutan, tingkah meningkah dengan salakan
anjing.
Saya yakin, bahawa kami memang tidak jauh dari perkampungan orang asli. Matahari bertambah condong, kabus
tebal mula bangkit di sekitar kawasan hutan. Badan saya bertambah sejuk. Datuk dan saya terus meredah hutan, dari
jauh sudah nampak asap berkepul dari puncak sebuah bukit kecil.
71
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Berhenti," Datuk memaut bahu kanan saya. Kami terdengar bunyi benda bergerak di sebelah kiri, saya lihat pokok-
pokok di situ bergerak sendiri. Dada bertambah cemas. Seorang lelaki muncul di situ.
"Bagaimana cepat awak sampai," kata Bah Lanjut kehairanan.
"Kita belum lagi memacak kain," tambahnya sambil meraba dahi. Datuk tidak menjawab pertanyaan itu. Datuk
meminta Bah Lanjut membawanya segera ke perkampungan orang asli di Kampung Raja.
"Mari," ajak Bah Lanjut, Kami lagi sekali menyelusup di bawah akar dan pokok hutan. Akhirnya kami sampai ke
sebuah kawasan perkampungan orang asli. Bah Lanjut membawa kami ke sebuah rumah di tepi pokok meranti. Bah
Lanjut memperkenalkan Datuk pada penghuni rumah itu.
Bah Lanjut juga meminta tuan rumah itu menyediakan sebuah tempat khas untuk Datuk dan saya, tempat itu mestilah
bersih, tidak boleh anjing masuk ke situ. Tuan punya rumah itu sanggup menyediakan apa yang diminta oleh Bah
Lanjut. Saya dan Datuk ditempatkan di sebuah rumah kosong berhampiran dengan sebuah anak sungai.
Datuk gembira, kerana dia mudah mengambil air sembahyang dan mandi. Sesudah meletakkan barang-barang yang
di bawa ke rumah itu, saya dan Datuk kembali semula ke rumah yang mula-mula di temui. Bah Lanjut sudah menanti
di situ. Bah Lanjut bercakap dalam bahasa ibundanya dengan tuan rumah itu.
Kemudian, Bah Lanjut membawa saya dan Datuk ke satu ruang di tengah rumah. Seorang gadis orang asli terbaring
di situ. Cantik juga raut wajahnya. Di hujung kaki itu terletak beberapa naskah majalah filem. Di hujung kepalanya
pula terletak beberapa batang keladi dan pucuk ubi kayu.
Bah Lanjut memberitahu Datuk nama gadis itu ialah Kuntum. Menurut Bah Lanjut, dulu Kuntum tinggal di Jalan
Parang, bersekolah di situ. Gagah untuk menyambungkan pelajaran ke sekolah menengah di Tapah. Dia terpaksa
pulang ke kawasan Kampung Raja membantu orang tuanya bercucuk-tanam. Hinggalah pada suatu hari, Kuntum
telah di tangkap oleh satu lembaga hitam, ketika dia menanam padi di lereng bukit.
Tiga hari, tiga malam Kuntum hilang, akhirnya orang bertamu Kuntum duduk menangis di pangkal pokok bertam yang
berduri lebat. Bila bawa pulang ke rumah, Kuntum meraung-raung tidak tentu arah. Kuntum terpaksa diikat, dengan
kepandaian Bah Lanjut, sakit Kuntum beransur baik, anehnya pula, Kuntum tidak dapat bergerak ke mana-mana
waktu siang. Dia terkapar di ruang khas.
Bila malam, Kuntum akan sihat seperti orang yang tidak terkena apa-apa. Dia boleh memasak, membaca dan
menyanyi. Kadang-kadang turun ke tengah halaman menari dengan iringan bunyi suara buluh yang dihentakkan ke
bumi. Menjelang dinihari, satu lembaga hitam akan datang lalu memangku Kuntum untuk di bawa ke dalam hutan.
Bila fajar subuh bangkit ke kaki langit lembaga hitam akan memulangkan Kuntum.
Kerana hari sudah beransur gelap, Datuk minta diri untuk pulang ke rumah yang disediakan untuk kami. Datuk
berjanji akan pulang ke rumah Kuntum sesudah waktu Isyak. Datuk tidak dapat memberikan kata putus sama ada dia
boleh mengubati atau tidak penyakit yang dideritai oleh gadis orang asli itu. Datuk sekadar menyatakannya.
Saya lihat Datuk sudah mengenakan baju dan seluar hitam ke badan. Kepalanya dililitkan dengan kain merah selebar
dua jari. Datuk mengikat uncang hitam di pinggang. Dia menyuruh saya memakai baju Melayu putih dan seluar putih.
Belitkan kain kuning ke kepala saya. Hati saya berdebar, belum pernah Datuk menyuruh.
"Bermacam usaha telah dilakukan, pernah orang-orang di sini menyerang lembaga hitam itu, tetapi semua tidak
berjaya, lembaga hitam itu lebih kuat dari kami," beritahu Bah Lanjut pada Datuk. Datuk kelihatan resah. Dia gigit
bibir.
"Jadi sekarang bagaimana?" tanya Datuk.
"Kedua orang tua Kuntum tidak dapat berbuat apa-apa, melainkan menyerahkan Kuntum pada lembaga hitam itu,
saya pun harap awak akan dapat menolong kami dalam hal ini," secara jujur Bah Lanjut menyuarakan hasrat hatinya.
Dia memberitahu kepada kedua orang tua Kuntum bahawa dia akan menyiasat dan mengkaji punca penyakit itu
terlebih dahulu, sebelum memberikan ubat. Selepas sembahyang Isyak, Datuk terus baring. Pusing kiri, pusing
kanan. Akhirnya dia terlelap. Bila melihat Datuk terlelap, saya pun merebahkan badan dengan harapan Datuk akan
melupakan janjinya dengan Bah Lanjut. Saya tahu dan faham benar, kalau Datuk pergi ke situ. Sejam dua jam
kerjanya tidak akan selesai.
"Bangun," sergah Datuk pada saya. Kelam-kabut saya dibuatnya. Saya memakai pakaian. Mahu bertanya, saya takut
Datuk naik angin. Jalan paling baik saya ikuti ialah, patuh saja dengan apa yang di perintahnya.
72
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Bawa damar," ujar Datuk.
Saya pun ambil damar dari beg yang terletak dekat dinding rumah. Kemudian, saya ikut Datuk turun. Sebaik saja kaki
saya memijak bumi, saya terasa badan saya seram sejuk. Saya melihat cahaya api yang berkelip-kelip dari arah
rumah orang tua Kuntum. Datuk terus melangkah sambil menarik tangan saya.
"Datuk," jerit saya sekuat hati bila melihat satu lembaga hitam berdiri di kiri saya. Datuk pun menoleh ke arah
lembaga itu. Cepat-cepat Datuk meraba mancis api di dalam saku seluarnya. Datuk membakar kertas yang baru
diambil dari dalam uncang hitam. Cahaya dari kertas yang dibakar, menerangi kawasan dari sekitar. Saya dapat
melihat lembaga hitam itu dengan jelas. Tingginya, lebih kurang tinggi saya, seluruh badannya berbulu.
Wajahnya macam wajah beruk. Datuk menerkam ke arah lembaga hitam itu sambil membuka silat harimau meniti
batang. Lembaga hitam itu menepis setiap buah silat yang Datuk lepaskan, saya lihat lembaga hitam itu juga boleh
bersilat, mengikut rentak silat Datuk. Api yang membakar kertas padam. Datuk terus bersilat.
Suara lembaga hitam itu mengaum sambil mematahkan pokok-pokok kecil di sekelilingnya. Kerana Datuk tidak dapat
menahan serangan lembaga hitam itu, Datuk berundur hingga sampai ke kaki tangga, saya terus naik ke rumah, lalu
membawa pelita minyak tanah ke muka pintu. Cahaya dari pelita minyak tanah itu, dapat menolong saya melihat
gerak lembaga hitam itu bertarung dengan Datuk.
Satu tendangan yang kencang membuat lembaga hitam itu terguling.
Lembaga hitam menjerit dengan sekuat hati. Serentak dengan itu beberapa lembaga hitam lain muncul semuanya
mahu menyerbu ke arah Datuk. Kali ini saya tidak wajar membiarkan Datuk berjuang sendirian. Saya harus bertindak.
Saya ambil golok yang terletak di ruang rumah kemudian melompat ke tanah, lalu membuka silat halilintar. Saya
melompat ke kiri dan ke kanan sambil menikam bertubi. Salah satu lembaga hitam itu yang terkena tikaman saya
menjerit lalu masuk ke dalam hutan, dengan di ikuti oleh lembaga hitam yang lain. Datuk terduduk atas tanah.
Dadanya berombak -ombak menahan penat. Dengan mendadak saja saya lihat Bah Lanjut muncul di hadapan saya
dan Datuk.
Hati saya segera bertanya sendirian, apakah lembaga hitam itu ada hubungannya dengan Bah Lanjut. Apakah
lembaga hitam itu jelmaan dari Bah Lanjut. Semuanya bersarang dalam kepala saya. Dengan cara berbisik, saya
ajukan pertanyaan itu pada Datuk.
Tanpa diduga, Datuk terus menampar muka saya. Sakitnya bukan kepalang. Bah Lanjut terkejut melihat aksi Datuk
itu. Tetapi dia tidak berani bertanya kenapa Datuk melakukan hal itu pada saya. Dengan cara penuh diplomasi Datuk
menyuruh Bah Lanjut menunggu kedatangannya di rumah orang tua Kuntum. Bah Lanjut akur dengan permintaan
Datuk itu.
Bila Bah Lanjut sudah agak jauh dari kami, barulah Datuk dan saya memulakan perjalanan ke rumah orang tua
Kuntum. Datuk memilih jalan belakang. Ada dua sebab kenapa Datuk memilih jalan belakang, pertama dia mahu
kedatangannya tidak di ketahui oleh Kuntum dan kedua orang tuanya. Kedua, Datuk mahu mengesan dari arah mana
lembaga hitam itu masuk ke rumah
Kuntum.
"Kenapa ikut belakang, pintu depan terbuka," suara Bah Lanjut nyaring dalam gelap. Dia muncul tiba-tiba di hadapan
saya dan Datuk. Lagi sekali hati saya berdebar. Dan macam-macam sangka yang buruk terhadap Bah Lanjut timbul
di hati. Datuk tidak menjawab dan saya mengikut langkah Bah Lanjut. Kemudian naik ke rumah.
Ayah Kuntum tersenyum menyambut kedatangan kami. Sementara ibunya duduk mencangkung dekat dinding. Datuk
terus bercakap dengan kedua orang tua Kuntum. Datuk membuka uncang kain hitam dan mengeluarkan kain merah,
lalu dibakarnya bucu kain merah. Bila api itu mula mahu marak, Datuk memadamkannya. Secara mendadak saja
Kuntum bangun lalu menyepak tangan Datuk. Dia bercakap sesuatu yang saya lihat Datuk mengerti. Datuk terus
memukul tulang kering Kuntum dengan belakang tangan.
Kuntum menjerit lalu rebah. Ayah Kuntum bangun sambil mengeluarkan parang mahu menetak Datuk. Perbuatannya
itu segera di tahan oleh Bah Lanjut. Segera Bah Lanjut menerangkan padanya kenapa Datuk berbuat demikian. Ayah
Kuntum mengerti dan minta maaf pada Datuk.
Kuntum segera diangkat ke tempatnya dan dibaringkan di situ. Malam bertambah larut. Di luar rumah terdengar orang
berjalan dan bunyi ranting kering patah kena pijak.
Beberapa ekor kelawar liar berterbangan. Tiba-tiba hidung saya tercium bau wangi yang amat sangat. Mata saya
terasa berat sekali. Kepala terasa sakit dengan mendadak. Saya lihat ayah dan ibu Kuntum tersungkur ke lantai,
begitu juga dengan Bah Lanjut. Tidak sampai lima minit mereka berdengkur.
73
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Berikan aku damar," Datuk minta damar dari saya. Saya serahkan damar pada Datuk. Datuk segera memecahkan
damar itu dengan hati-hati. Separuh diberikan pada saya dan separuh lagi diambilnya.
Datuk suruh saya menekapkan damar itu ke hidung. Bila saya tercium damar,mata saya kembali segar. Kemudian
Datuk menyuruh saya pura-pura tidur dan berdengkur. Datuk juga berbuat begitu. Saya terasa rumah bergegar. Saya
membuka mata sedikit tetapi saya terus pura-pura berdengkur.
Kuntum berlari ke tengah rumah. Dia menghulurkan tangannya pada lembaga hitam yang macam beruk di muka
pintu. Lembaga hitam yang berwajah hodoh itu memeluk Kuntum. Hidungnya yang dempak dan keras itu di tekan ke
pipi Kuntum yang lembut sambil bersuara "Heh ... heh heh ... heh ... hum".
Kuntum menjerit manja kerana terasa geli bila bulu lembaga hitam itu menikam kulit badannya. Lembaga hitam itu
terus mendukung Kuntum ke tempat tidur. Saya dan Datuk menggolek-golekkan badan sambil berdengkur hingga
sampai ke pintu ruang tempat Kuntum tidur. Lembaga hitam meletakan Kuntum ke atas lantai. Dia terus mencium
Kuntum bertubi-tubi. Kuntum mengerang kepuasan.
Datuk menarik kaki saya lalu meratakan bibirnya ke telinga saya.
"Kau pergi ke sana, jangan lihat," ujar Datuk. Saya mengesotkan badan ke arah lain. Tempat saya segera di ganti
oleh Datuk. Walaupun begitu telinga saya masih dapat menangkap suara Kuntum yang sesekali mengerang bersama
bunyi suara lembaga hitam itu. Saya terkejut bila lembaga hitam itu menjerit. Saya sudah tidak dapat berpura-pura
tidur lagi. Saya buka mata.
Saya lihat Datuk berdiri di hadapan lembaga hitam. Kuntum terkapar di lantai. Telanjang bulat, matanya tegak
merenung atap rumah. Datuk menyuruh saya melekapkan damar ke lubang hidung Bah Lanjut dan kedua orang tua
Kuntum. Bila damar dicium, semuanya bangun. Masing-masing terkejut melihat Datuk berhadapan dengan lembaga
hitam. Bah Lanjut lalu memasang lampu minyak tanah. Ruang menjadi terang benderang.
Saya nampak cukup jelas, lembaga hitam itu sebenarnya ialah sejenis monyet besar dan mempunyai sepasang mata
yang cukup tajam. Datuk terus mempertahankan diri dari serangan lembaga hitam. Bah Lanjut dan kedua orang tua
Kuntum mula rapat ke arah lembaga hitam.
Melihat keadaan yang cemas itu, lembega hitam itu terus melompat dua tiga kali. Kemudian menghempaskan
badannya di dinding rumah yang di perbuat dari kulit kayu. Dinding rumah pecah. Lembaga hitam itu jatuh ke tanah
dan menjerit lalu melarikan diri dalam gelap yang pekat.
Tanpa membuang masa lagi Datuk terus rapat kepala kepada Kuntum. Tubuh Kuntum dibalut dengan kain batik.
Datuk minta Bah Lanjut mencarikan daun dedap. Bah Lanjut segera mencarinya.
Datuk merimbas daun itu ke tubuh Kuntum sebanyak tujuh kali. Kuntum terkejut dan dia bagaikan tersedar dari mimpi
lalu bertanya pada ibunya apa yang sudah terjadi. Ibunya menceritakan peristiwa yang berlaku. Kuntum menangis.
Datuk mengambil damar itu diramasnya kuat-kuat. Saya lihat dari celah--celah jari Datuk keluar asap. Damar yang
sudah hancur itu digaulkan dengan daun dedap dalam satu bekas. Datuk melumurkan semuanya ke tubuh Kuntum.
Datuk membiarkan Kuntum berguling atas lantai. Kuntum kelihatan macam ikan kekeringan air. Kuntum terus lemah
dan tidak berdaya. Tubuh Kuntum dilitupi asap dan asap itu membentuk satu lembaga yang menyerupai monyet
besar berdiri hingga sampai ke bumbung. Datuk membaca sesuatu lalu menghembuskan ke arah asap yang
berbentuk lembaga itu.
Asap berpecah sekejap, bercantum kembali, berbentuk macam bantal guling, melayang-layang di dalam rumah.
Datuk pun menggigit bibir.
Dengan tangkas Datuk membuka tapak tangan dan menghalakan ke arah asap berbentuk lembaga. Datuk
menghembus ke arah tapak tangannya. Asap berbentuk lembaga itu menuju ke arah pintu lalu keluar.
"Binatang sial itu, sudah meresapkan semangatnya ke dalam Kuntum," kata Datuk.
Bah Lanjut terkejut. Datuk menyuruh Bah Lanjut menjaga Kuntum hingga ke siang. Dan Datuk serta saya kembali ke
rumah khas. Pagi esoknya, saya dan Datuk menemui kesan dan tapak kaki seperti yang kami temui di Kampung Batu
Enam Belas.
Datuk segera memanggil Bah Lanjut. Mereka membuat keputusan untuk mengesan tapak kaki itu ke arah mana
lembaga hitam itu lari. Sebelum pergi, saya dan Datuk melihat Kuntum dulu. Saya lihat Kuntum bertambah segar,
tetapi mukanya kelihatan pucat.
74
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Setelah berbincang dengan Bah Lanjut lebih kurang sepuluh minit, kami pun mula mengesan tapak kaki lembaga
hitam itu. Kerana malam tadi tidak hujan, kesan tapak kaki itu dapat dilihat dengan jelas.
Kami terus berjalan sambil memotong anak-anak pokok hutan sebagai tanda tempat itu sudah kami lalui. Dua kali
saya berhenti kerana perjalanan itu terasa cukup jauh. Matahari yang tadi terang sudah beransur condong. Tempat
yang kami tuju masih juga belum sampai. Bila hari sudah beransur gelap, kesan kaki itu sudah dapat kami kesan. Ia
hilang betul-betul di hadapan sebuah gua.
Siri 20 - Memburu Raja Pukau
Datuk mengambil keputusan untuk pulang saja ke perkampungan orang asli. Bah Lanjut tidak membantah dengan
keputusan yang di buat oleh Datuk itu. Kami meredah hutan untuk pulang. Kami sampai di perkampungan orang asli
ketika bulan sudah berada di pucuk tualang bercabang lima. Malam itu Datuk tidak dapat tidur dengan lelap. Dia
selalu saja terjaga dan Datuk akan melompat ke halaman dan berjalan sambil mengelilingi pondok. Saya
mempersetankan saja telatah Datuk itu.
Bila Datuk selesai sembahyang subuh, dia membakar sehelai kain buruk yang baunya cukup wangi. Datuk hanya
membakar sebahagian saja dari kain buruk itu. Dan abunya Datuk isikan dalam buluh yang beruas pendek. Buluh itu
Datuk letakkan di hujung bendul pokok.
Bila matahari mula kembang di kaki langit, Bah Lanjut sudah terpaku di halaman pondok. Dia memberitahu Datuk,
bahawa sepanjang malam anak buahnya berjaga makhluk ganjil berbulu tebal tidak datang mengacau anak dara di
tempatnya. Bah Lanjut mengucapkan ribuan terima kasih pada Datuk. Dia yakin, Datuk telah melakukan sesuatu
untuk keselamatan anak buahnya.
"Itu cara kebetulan saja tok batin," kata Datuk.
"Kita tak percaya, awak memang handal."
"Terpulanglah pada tok batin sendiri," jawab Datuk sambil tersenyum lalu merapati Bah Lanjut.
Datuk berbincang sesuatu dengan Bah Lanjut. Kemudian Datuk naik ke pondok lalu menghampiri saya.
"Ke mana?" balas saya agak ragu. Datuk merenung muka saya dengan renungan yang cukup tajam. Datuk ambil kain
selimpang lalu turun. Saya termangu tidak tahu apa yang patut saya lakukan. Akhirnya, saya juga melompat turun ke
halaman. Saya renung muka Bah Lanjut mengajukan pertanyaan.
"Biarkan dia, kalau dia nak ikut siap," jawapan itu bukan saja ditujukan oleh Datuk pada Bah Lanjut, malah ditujukan
juga pada diri saya. Fahamlah saya, bahawa mereka mahu menjejak makhluk yang berburu tebal itu.
Sebelum panas terik mencengkam perkampungan orang asli, kami pun berangkat menuju ke gua tempat makhluk
ganjil menghilangkan diri.
Sampai saja di hadapan pintu gua, Datuk dan Bah Lanjut terus duduk di situ. Saya menyapu peluh di muka dengan
tapak tangan. Waktu saya menoleh ke kiri, saya lihat Datuk sudah pun duduk bersila sambil membentangkan kain
hitam atas tanah. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Datuk bangun, berjalan di depan pintu gua tiga kali.
"Kita masuk," kata Datuk sambil menjeling ke muka Bah Lanjut. Saya lihat wajah Bah Lanjut agak cemas.
"Ini kerja mati," Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam hati saya. Dia rapat pada saya lalu menjentik telinga
saya, "Kau jangan banyak kerenah," cukup lembut nada suaranya memukul gendang telinga saya, tetapi mempunyai
kesan yang amat pahit bagi diri saya.
"Sediakan mancis," Datuk memberitahu Bah Lanjut lalu menyerahkan segumpal kain buruk pada saya. Datuk
melangkah ke dalam gua. Bah Lanjut dan saya mengekor dari belakang. Memang sukar berjalan dalam gua yang
agak gelap itu. Akhirnya kami sampai ke satu kawasan lapang. Kiri kanan kawasan itu didinding oleh batu pejal. Di
sudut sebelah kanan, terdapat satu lagi lubang gua yang lain.
"Kita berada betul-betul di tengah antara dua gunung," beritahu Datuk pada saya. Bah Lanjut angguk kepala. Dari
kawasan lapang itu, saya dapat melihat awan dan langit. Sekiranya berlaku hujan kami pasti basah, kalau masuk ke
dalam perut gua. Menurut Datuk keadaan seperti itu memang terdapat dalam kebanyakan gua di Malaysia.
Tiba-tiba kami terdengar bunyi sesuatu, saya pun merenung ke atas, terdapat seekor ular hitam menyusur perlahan-
lahan pada akar-akar kayu yang berjuntaian di lurah gunung itu. Ular itu terus bergerak dan berpaut pada sebatang
pokok kecil yang tumbuh di tepi lurah.
75
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Pedulikan," kata Datuk bila melihat air muka saya berubah. Serentak dengan itu kami terdengar bunyi orang berjalan
ke lubang gua sebelah kanan. Datuk menyuruh kami menyorok di celah-celah batu besar. Bunyi itu, makin lama,
makin jelas akhirnya terpacak tiga makhluk ganjil yang berbulu tebal di kawasan lapang.
Makhluk ganjil itu duduk di situ sambil memakan daun-daun kayu yang di bawanya. Gerak-geri makhluk ganjil itu tidak
banyak bezanya dengan manusia, sama ada cara dia duduk dan mematah dahan-dahan kayu yang berpucuk hijau.
Tingginya lebih kurang 2.5 meter, kira-kira lapan kaki.
Bila berjalan agak membongkok sedikit ke depan. Wajahnya hampir menyerupai orang utan. Suaranya macam suara
monyet. Ketiga-tiga makhluk ganjil itu, terus baring di kawasan lapang. Datuk terus menjerit dengan sekuat hati dan
melompat ke kawasan lapang dituruti oleh Bah Lanjut.
Makhluk ganjil berbulu tebal itu segera bangun. Bersedia untuk menerkam ke arah Datuk dan Bah Lanjut. Datuk
bertafakur sejenak sambil membaca sesuatu. Salah seekor daripada makhluk ganjil itu bergerak ke belakang dan
mengambil seketul batu besar. Batu itu dihumbankan ke arah Datuk. Cepat-cepat Datuk mengelak.
"lni bukan syaitan atau penunggu hutan, binatang ini sesat ke sini," kata Datuk pada saya yang secara mendadak
menghampirinya. Bah Lanjut termenung sejenak. Dia kelihatan serba salah.
"Apa yang harus kita buat," datang pertanyaan dari Bah Lanjut.
"Kita halau saja dari sini," jawab Datuk sambil meminta mancis api dari Bah Lanjut. Datuk pun memerintah saya
membakar kain buruk yang dibawa. Perintah Datuk segera saya laksanakan. Bila melihat api, makhluk ganjil itu
menjerit sambil menutup matanya dengan tangan yang berbulu tebal. Makhluk ganjil itu takut pada api dan tidak
tahan dengan asap dari kain yang dibakar. Makhluk ganjil itu pun lari masuk ke dalam perut gua. Bila saya lihat ke
atas terdapat berpuluh-puluh ekor monyet bergayut di akar yang berjuntaian di cerun gunung.
"Dia akan meninggalkan tempat ini terus," Datuk memberitahu Bah Lanjut, sesudah melihat sesuatu dari kain hitam
yang digenggamnya.
"Tetapi makhluk ganjil itu akan datang juga ke sini untuk membalas dendam," sambung Datuk sambil mengajak saya
dan Bah Lanjut keluar dari tengah kawasan gua tersebut.
Sejak dari peristiwa itu kawasan perkampungan orang asli di Kampung Raja, Cameron Highlands tidak lagi diganggu
makhluk tersebut. Bila kami kembali ke Batu Enam Belas, Bah Lanjut menyatakan hasratnya untuk menganut agama
Islam. Bah Lanjut kagum, setiap kali Datuk berhadapan dengan musuh selalu membaca ayat--ayat Al-Quran.
Hasrat Bah Lanjut itu tidak dihampakan oleh Datuk. Bah Lanjut dibawa ke Tapah untuk menemui penghulu dan
penghulu terus menghubungi Jabatan Agama Islam Perak. Seminggu kemudian, Bah Lanjut berjaya membuat
sebahagian besar daripada anak buahnya menganut agama Islam.
Dua hari sebelum meninggalkan kampung orang asli di Batu Enam Belas itu, Datuk telah di datangi oleh seorang
pemuda asli yang mendakwa datang dari Pahang. Pemuda itu memberitahu, beberapa orang pemburu telah
menemui lapak kaki binatang yang menyerupai tapak kaki manusia di Kuala Teris, dekat Lanchang di Pahang.
Setelah berunding agak lama dengan pemuda itu, Datuk bersetuju pergi ke Kuala Teris ikut jalan hutan satu hari
perjalanan, akhirnya kami sampai ke Kuala Teris dan Datuk terus menyiasat tapak kaki makhluk ganjil menyerupai
tapak kaki manusia itu, cukup besar dan panjang bentuknya.
"Binatang ini, kami halau dari Kampung Raja. Usah bimbang, tetapi orang-orang di sini mesti berjaga, makhluk ganjil
itu cukup suka pada anak dara, dia boleh membawa anak dara lari ke hutan," begitulah Datuk memberitahu beberapa
orang penduduk Lanchang yang bertanyakan tentang makhluk ganjil itu. Menurut hemat Datuk, makhluk ganjil itu
akan datang lagi ke kawasan Cameron Highlands kerana kawasan tersebut sesuai dengan makhluk ganjil itu yang
mahukan tempat yang dingin.
Datuk yakin, binatang itu datang dari banjaran gunung Himalaya di Nepal dan berpecah dengan kumpulannya ketika
berlaku ribut salji di kawasan tersebut. Dan binatang ganjil itu sesat ke dalam hutan besar di Pahang. Dari Lanchang
Datuk terus ke Jerantut menemui Dukun Nong. Dua minggu saya dan Datuk menginap di rumah Dukun Nong.
Masa di rumah Dukun Nong, Datuk dijemput oleh seorang lelaki ke Came-ron Highlands lagi sekali untuk mencari
seorang saudagar sutera dari Thai-land yang berbangsa Amerika dan didapati hilang, ketika berjalan mengambil
angin di kawasan sebuah banglo. Datuk mencari saudagar itu bersama dengan pasukan keselamatan.
Seluruh hutan di puncak Cameron Highlands telah di jelajahi tetapi saudagar yang hilang tidak juga ditemui. Akhirnya,
Datuk membuat keputusan sendiri. Dia mengajak saya pergi ke kawasan gua tepat menemui makhluk ganjil dulu,
dengan ditemani oleh beberapa orang anggota polis.
76
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Di situ Datuk hanya memenuhi beberapa pokok besar yang sudah patah dan beberapa carikan kain yang dipercayai
kepunyaan saudara tersebut. Datuk yakin saudagar itu sudah ditawan oleh makhluk ganjil tersebut. Pendapat Datuk
itu tidak diterima oleh pasukan polis. Dan Datuk tidak mahu ikut dalam usaha selanjutnya.
Ternyata akhirnya, usaha polis tidak mendapatkan sebarang hasil. Mereka terus membatalkan rancangan untuk
mencari saudagar sutera dari Thailand itu. Kehilangan saudagar itu terus menjadi tanda-tanda hingga ke hari ini.
Kejadian ini berlaku dalam tahun enam puluhan.
Sesudah itu, saya dan Datuk lagi sekali pergi ke rumah Dukun Nong dan menceritakan pengalamannya ketika
mencari saudagar yang hilang itu. Dan dukun juga bersetuju dengan pendapat Datuk. Menurut firasat Dukun Nong,
saudagar sutera itu memang ditawan makhluk ganjil sebagai membalas dendam terhadap orang yang mengganggu
kawasan persembunyiannya.
Dalam pertemuan itu Dukun Nong memberitahu Datuk, makhluk ganjil itu masih berkeliaran dalam hutan negeri
Pahang. Tempat persinggahan yang paling di sukainya ialah di sekitar kawasan sejuk. Tetapi dukun Nong cukup
yakin binatang itu akan berusaha sedaya upaya melarikan dirinya dari bertemu dengan manusia, kecuali kalau sudah
tidak boleh dielakkan.
Dengan Dukun Nong, Datuk mendalami ilmu-ilmu kebatinan. (Dukun Nong meninggal dunia dalam tahun tujuh
puluhan). Walau bagaimanapun, sejak kehilangan saudagar sutera dari Thailand yang berbangsa Amerika itu, cerita
mengenai makhluk ganjil itu sudah tidak didengar lagi.
Pengalaman-pengalaman yang dikutip semasa mengikut Datuk di Cameron Highlands menjadi bahan yang cukup
menarik untuk diceritakan pada nenek. Dan nenek hanya ketawa senang mendengar keistimewaan-keistimewaan
yang dimiliki suaminya. Tetapi nenek memang tidak mengharapkan salah seorang dari pada cucunya mengikut jejak
langkah suaminya.
Menurut nenek, kerja yang dilakukan oleh Datuk adalah kerja yang berat dan sukar. Tidak mudah untuk diikuti oleh
anak cucunya yang akan hidup dalam dunia yang serba maju ini.
"Kau jangan ikut macam Datuk kau," kata nenek kepala tangga sambil merenung wajah Datuk yang duduk di sisinya.
Datuk melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya berkali-kali. Sepasang mata Datuk merenung ke arah pintu jalan.
"Ada motosikal masuk ke mari tu," Datuk segera bangun. Sebelum melangkah ke tanah, dia merenung muka nenek
sambil berkata, "Kerana cucu kita, tak boleh ikut macam kita?"
"Sudah."
"Sudah bagaimana?" balas Datuk lagi.
"Mengamalkan ilmu yang awak tuntut bukannya mudah, mesti menjauhkan diri dari semua perbuatan yang dilarang
oleh agama."
"Jadi, awak fikir cuma kita tak boleh buat semuanya tu?"
"Saya ingat tak mudah mereka boleh membuatnya, tak boleh menipu, berjudi, berjahat dengan perempuan, terpisah
dari dunia kehidupan zaman ini, mana ada anak cucu kita bila sudah ke bandar boleh menjauhkan diri dari perkara
begitu, sembahyang lima waktu belum tentu mereka tunaikan dengan sempurna", begitu nenek memberikan
pendapatnya dalam hal tersebut.
Motosikal Honda 50cc berhenti di kaki tangga. Dua orang lelaki berdiri di tengah halaman. Lelaki yang memakai
songkok hitam menyandang senapang kampung berlaras satu itu saya kenai. Mat Pie namanya, orang Kampung
Dendang dan ada pertalian keluarga dengan Datuk saya.
Dia adalah anggota pengawal kampung yang di kenali pada masa itu dengan nama A.P. kemudian ditukar menjadi
Home Guard atas H.G. Dia sudah membunuh lima anggota komunis di Tanah Empat Ratus yang sekarang telah
dijadikan tanah rancangan dengan nama Bukit Kota kira-kira 8 kilometer dari pekan Beruas, terletak di jalan menghala
ke bandar Parit. Mat Pie kawan karib Tok Janggut yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas komunis di
Sungai Rotan dekat Padang Gajah, Taiping. Mat Pie sudah pun meninggal dunia, anak cucunya masih ada lagi di
Kampung Beruas.
"Apa hajatnya'?" tanya Datuk pada Mat Pie. Mat Pie memperkenalkan kawannya pada Datuk. Orang Tanjung
Tualang, bertugas sebagai kerani dengan sebuah perusahaan lombong bijih di tempatnya. Orang itu namanya Kulub
Mai-din dan lebih di kenai dengan nama Din Kerani di tempatnya.
77
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Datuk pun mempersilakan, kedua orang kawannya itu naik ke rumahnya. Nenek pun membuat kopi Tidak sampai lima
minit bercakap, nenek pun menghidangkan kopi panas dan ubi keledek rebus pada mereka.
Saya pun tumpang sama. Dari percakapan mereka, saya mendapat tahu yang Din Kerani meminta pertolongan Datuk
untuk mencegah kejadian pukau yang kian menjadi-jadi di tempatnya, malah kegiatan gerombolan pukau itu sudah
mula melarat ke beberapa buah kampung lain di sekitar Batu Gajah.
"Perkara yang benar-benar saya kesalkan kumpulan pukau tu mencuri harta benda orang-orang kita yang susah", Din
Kerani memberitahu Datuk.
Dia juga menyatakan rumah pengurusnya juga sudah di masuki oleh pencuri dengan menggunakan ilmu pukau yang
melakukan kegiatannya dalam seminggu sekali dan masanya tidak sama.
"Habis apa yang patut saya buat'?" soal Datuk.
"Begini, saya tidak mengharapkan sesuatu yang besar, kalu dapat pihak awak menghalang kejadian dari itu dari
berlaku di tempat kami sudah cukup."
"Susah tu, lagi pun saya ni bukannya pandai sangat dan saya belum pun sampai seminggu berada di rumah."
"Dia minta tolong tak akan tak boleh dicuba," sanggah Mat Pie. Saya lihat ,muka Datuk tidak begitu gembira. Dia
termenung panjang.
"Begini saja, awak balik dulu esok atau lusa saya akan datang," cukup cepat Datuk membuat keputusan. Din Kerani
tersenyum. Mat Pie terus menghirup air kopi, kemudian menjamah ubi keledek rebus.
"Tinggalkan alamat rumah awak pada saya," Datuk bersuara pada Din Kerani. Mat Pie segera mengeluarkan pensel
dari saku bajunya dan menyuruh saya mencari secarik kertas. Bila kertas saya serahkan pada Mat Pie, dengan
tenang dia bersuara, "Kau lukiskan rajah rumah kau, jadi senang dia mencarinya."
"Betul juga," Din Kerani ambil kertas dan pensel dari Mat Pie. Dia melukiskan rajah masuk ke rumahnya. Bila selesai
kertas itu diserahkan pada Datuk. Datuk menatap kertas itu agak lama juga. Dia menggaru pipi kirinya yang berparut.
Telatah Datuk diperhatikan dengan teliti oleh Mat Pie dan Din Kerani dengan tenang.
"Ada pokok tak sebelum masuk ke rumah awak?", soal Datuk.
"Ada, awak turun dekat sekolah, sebelah kanan jalan ada pokok pauh, ikut jalan tanah merah itu ke darat, hujung
jalan tu rumah saya," Din Kerani memberikan penerangan.
Datuk angguk kepala tanda faham. Bila semuanya sudah selesai, mereka pun pulang. Datuk mengiringi mereka
hingga ke muka jalan raya. Masa perjalanan itu Mat Pie tolak motosikal dan Din Kerani terus bercakap dengan Datuk.
Entah apa yang mereka cakapkan, saya sendiri pun tidak tahu.
Malam itu selepas menunaikan sembahyang Isyak, Datuk duduk bersendirian di anjung rumah sambil melukiskan
rajah-rajah di atas sekeping kertas. Dia memanggil saya menghampirinya. Dia menyuruh saya melihat dia melukis
rajah dan menulis perkataan dengan tulisan jawi. Saya akur dengan permintaannya.
"Hari yang baik kita bertolak petang Rabu, tidak ada bahaya yang kita akan peroleh laba, kalau pergi Khamis,
perjalanan bahaya, kita akan kerugian," Datuk memberitahu saya, sambil memberi petua bagaimana mahu memilih
hari yang bertuah dalam setiap perjalanan. Lepas itu, Datuk membaca sesuatu sambil memeluk tubuh. Dia minta
nenek menyediakan bara atas tempat bara. Barang yang di minta tiba. Datuk menaburkan kemenyan atas bara. Asap
kemenyan penuh di ruang anjung. Datuk menolak tempat bara itu ke tepi. Dia sandarkan badan ke dinding.
"Kalau tidak kerana Mat Pie, saya memang berat nak pergi ke Tunjung Tualang," rungut Datuk.
Nenek mendengar apa yang dicakapkan oleh Datuk itu.
"Kenapa pula?"
"Saya sudah malas dengan kerja ini."
"Orang minta tolong, mestilah ditolong."
"Saya faham, tapi ... ," Datuk tidak meneruskan kata-kata itu. Dia bangun lalu pergi ke ruang tengah. Perasaan Datuk
saya lihat tidak tenteram malam itu. Saya sesungguhnya memang tidak tahu dengan apa yang bergolak dalam
78
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
dadanya. Timbul rasa belas dalam hati saya. Kenapa Datuk mesti menyusahkan diri sendiri untuk menolong orang
lain.
Timbul pertanyaan dalam diri saya. Anehnya, pertanyaan itu tidak saya kemukakan pada diri Datuk. Saya takut
menerima akibat darinya. Tanpa saya sedari, Datuk turun ke tanah di malam yang pekat itu. Dia terus naik ke rumah
duduk kembali di ruang tengah. Datuk termenung panjang di situ.
"Kenapa tok?" tanya saya. Datuk renung muka saya.
"Perkara ini berat," jawabnya.
"Sebab?"
"Orang yang kita cari ni, bukan sebarang orang, dia menggunakan tengkorak manusia untuk kerja pukaunya," nada
suara Datuk menurun. Dahinya saya lihat berkerut empat.
"Walau bagaimanapun kita mesti menolong orang ini," tambahnya dengan rasa penuh keyakinan sambil
mengepalkan penumbuk. Saya tersenyum dan Datuk terus masuk ke bilik tidur.
Sebelum memulakan tugasnya, Datuk lebih suka meninjau keadaan tempat untuk dia menjalankan kerjanya itu. Ini
memang sudah menjadi satu kebiasaan yang mesti di lakukannya. Dua hari berada di rumah Din Kerani, seluruh
kawasan kampung itu sudah dijalaninya.
Datuk sudah memilih kawasan hutan mana yang harus dilaluinya pada setiap pagi untuk mandi embun. Hampir
separuh dari penduduk kampung itu sudah di lawannya bercakap ketika berjemaah di surau. Menurut Datuk hal ini
perlu dilakukan untuk mendapatkan kerjasama orang ramai, tanpa kerjasama kejayaan agak sukar diperolehi. Masuk
malam yang ketiga bermalam di rumah Din Kerani, sebuah rumah telah di pukau.
Habis harta benda tuan rumah dilarikan orang. Dan esoknya Datuk meninjau kawasan rumah itu. Datuk hanya
menemui sekeping daun dedap kering yang diselitkan oleh kumpulan pukau pada tiang seri rumah. Datuk ambil daun
itu. Datuk meminta Din Kerani mendirikan satu pondok khas untuknya.
Alasan Datuk memerlukan pondok itu ialah untuk memudahkan bagi dirinya menjalankan kerja membanteras kejadian
pukau. Permintaan Datuk ditunaikan.
Dengan kerjasama orang kampung sebuah pondok didirikan tidak berapa jauh dari rumah Din Kerani.
"Kumpulan pukau ni, diketuai oleh orang yang banyak tahu tentang ilmu batin", kata Datuk pada Din Kerani pada
suatu senja. Datuk berazam untuk menewaskan kepandaian ketuanya sebelum kumpulan itu dihancurkan. Pada
malam yang keempat, Datuk sudah bersedia.
Dia memakai seluar hitam, baju hitam dan bertanjak hitam dengan kain selimpang berwarna merah terpampang di
dada. Datuk duduk bersila sambil kedua lengannya terletak di atas kepala lutut. Datuk menghadapi sehelai kain putih
yang diletakkan ke dinding. Dia menyuruh saya menaruh kemenyan dalam tempat bara yang terletak di hadapannya.
Dalam masa tidak sampai lima minit, ruang pondok dipenuhi dengan bau dan asap kemenyan, macam bau bangkai.
"Orang ini menggunakan tengkorak manusia yang mati di bunuh. Tengkorak itu sudah disalaikan ke api hingga
mengecut jadi sebesar putik kelapa," Datuk memberi tahu saya. Saya angguk kepala. Kain putih saya lihat bergerak-
gerak dan saya lihat ada bayang manusia di situ.
Saya perhatikan kain putih itu penuh minat. Memang ada wajah manusia yang bermisai, hidungnya pesek mempunyai
sepasang mata yang tajam agak jauh ke dalam letaknya. Orangnya kelihatan seperti orang yang berbudi bahasa
dengan sulah di dahi yang cukup luas. Tingginya lebih kurang lima kaki.
"Sudah jangan lihat," jerit Datuk sambil memadamkan bara api dengan tapak tangannya. Saya lihat tangannya tidak
apa-apa. Tetapi muka Datuk saya lihat dirayapi oleh peluh-peluh halus.
"Orang ini dari sebuah kampung dekat Kampung Gajah, Teluk Anson (sekarang Teluk Intan) dulu menjadi S.C.", ujar
Datuk lagi sambil membuka kain putih yang tergantung di dinding. Kain itu di lipatkannya. Dimasukkan ke dalam beg
kertas cap kuda terbang.
"Minggu depan dia akan datang ke sini, kalau tak silap kali ini mereka akan memukau rumah ketua kampung,"
tambah Datuk.
Dia duduk di sisi saya sambil memetik ibu jarinya. Walaupun begini, Datuk melahirkan rasa bimbangnya untuk
berhadapan dengan ketua kumpulan pukau itu. Menurut hematnya, kalau silap langkah Datuk akan menanggung
79
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
malu yang cukup besar. Tidak ada jalan lain, Datuk terpaksa menghubungi isterinya orang bunian dengan
perantaraan kuasa ghaib. Datuk memejamkan matanya yang terbuka luas. Dalam sekilap mata saya, saya lihat di
tapak tangannya sudah tersedia dua biji limau nipis dan sebilah keris pendek.
"Kita akan menolong orang di sini," kata Datuk dengan nada suara yang cukup riang pada saya. Dia bangun, berjalan
dalam ruang pondok.
"Ketua pukau ini memang handal orangnya, di Slim River dia meletakkan satu keluarga di tengah padang dan tidak
mengambil barang-barang yang di rumah," tambah Datuk lagi.
"Kenapa jadi begitu tok?"
"Dia mahu menguji kehandalan tuan rumah tu yang cuba mahu menghalang kerjanya, tuan rumah itu kononnya
bersedia menangkap ketua pukau tu dan meminta bayaran yang tinggi pada kerjanya tu, berita itu sampai ke
telinganya dan dia menguji."
"Siapa yang handal dalam hal ni tok?"
"Tentulah ketua pukau, kalau tidak masakan dia mahu memalukan tuan rumah itu." Penerangan Datuk itu
memberikan satu kepuasan pada diri saya.
Malam yang dinantikan pun tiba, sebuah kereta jenis Moris Minor berhenti di tepi jalan dekat sekolah Tanjung
Tualang. Dari perut kereta itu keluar tiga orang lelaki menuju ke rumah ketua kampung.
Jam ketika itu sudah pukul dua subuh. Saya dengan Datuk memperhatikan gerak-geri manusia bertiga itu dengan
penuh minat. Sampai di rumah ketua kampung, ketiga-tiga manusia itu mengelilingi rumah ketua kampung sebanyak
tujuh kali.
Kemudian mereka meletakkan tengkorak kecil dipangkal tiang seri. Lelaki yang berbadan kurus itu terus memuja
tengkorak kecil itu yang bertukar warna dari putih ke warna kehitam-hitaman. Lepas itu dia membakar kemenyan
dengan api rokok. Asap kemenyan diasapkan pada tengkorak.
Tengkorak di kepala tiang seri kelihatan berbuih-buih dan bergerak-gerak. Serentak dengan itu seluruh kawasan
berbau busuk kemudian berbau wangi. Saya terasa kelopak mata cukup berat.
"Pukaunya sudah menjadi," bisik Datuk pada saya sambil meletakkan kedua tangannya ke muka saya. Saya terasa
segar dan rasa mengantuk terus hilang.
Siri 21 - Berguru Dengan Syaitan
Datuk tersenyum memandang saya. Dengan pertolongan cahaya bulan yang samar-samar itu, saya lihat ketua pukau
terus berdiri dekat tengkorak kering. Tengkorak itu masih juga mengeluarkan buih dan sejenis habuk seakan-akan
asap. Menurut Datuk, tengkorak itu diambil dari tengkorak orang mati dibunuh, ketika hujan panas.
Lebih berkesan lagi kalau tengkorak itu dari tengkorak orang yang mati kena tikam. Tidak kira, sama ada orang yang
mati itu orang Islam atau tidak. Mengambil tengkorak orang yang mati dibunuh itu, harus melalui beberapa ujian yang
tertentu.
Bila tengkorak itu diambil dari tanah perkuburan, harus dipisahkan dengan badannya, tengkorak yang sudah di
pisahkan dengan badan itu tidak boleh menyentuh tanah atau dipegang. Mesti dibawa pulang dengan mengandarnya.
Orang yang mengandarnya mesti ditutup kedua matanya dengan kain. Mesti sampai ke rumah sebelum subuh.
Tengkorak itu akan disalai sampai kecut, kemudian dipuja oleh orang-orang yang tahu dengan kerja-kerja syaitan itu.
Lepas itu baru diserahkan pada orang yang memerlukannya dengan syarat, bila memasuki rumah orang, tuan rumah
jangan dianiayai, kecuali tuan rumah itu bercakap besar atau takbur dan mahu menguji kebolehan orang yang
menyimpan tengkorak tersebut.
"Sebenarnya, ilmu pukau ini ada bermacam-macam cara, tetapi memukau dengan tengkorak cukup berkesan.
Kekuatan ghaibnya mengatasi ilmu--ilmu pukau yang lain", begitulah yang dinyatakan oleh Datuk pada saya secara
ringkas.
"Lihat mereka sudah bersedia untuk masuk ke dalam rumah," kata Datuk dengan nada suara yang cukup perlahan.
Memang benar cakap Datuk itu, saya lihat ketua pukau dua tiga kali berjalan di hadapan anak tangga. Dia
memerintah anak buahnya memijak anak tangga pertama dengan hati-hati.
80
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Saya terdengar selak pintu jatuh. Serentak dengan itu daun pintu terbuka. Tuan rumah tercegat dan mempersilakan
kaki-kaki pukau memijak lantai rumahnya .
"Kau tidurlah, kami tak ganggu kau", cukup lantang suara ketua pukau. Tuan rumah angguk kepala lalu merebahkan
diri di muka pintu.
"Bukan di situ, tempat kau di bilik", mendengar suara ketua pukau, tuan rumah segera bangun dan menuju ke bilik
tidur. Ketua pukau mengambil tengkorak lalu melekapkan pada hujung gelegar rumah dekat tiang seri. Dia bagaikan
bercakap sesuatu dengan tengkorak tersebut. Ketua pukau ketuk dinding rumah tiga kali berturut sambil berkata:
"Mulakan. Ingat niat kita hanya mengambil barang, jangan ganggu anak isteri tuan rumah."
Habis saja ketua pukau berkata-kata, seluruh perut rumah terang benderang. Anak buah ketua pukau pun masuk ke
rumah. Mereka mencari barang-barang berharga. Lebih dari setengah jam mereka menjalankan kerja tersebut. Anak
buah ketua pukau menurunkan barang yang dicuri. Semua barang-barang itu diserahkan pada ketuanya. Saya lihat
ketua pukau memasukkan barang-barang kemas dalam beg kulit hitam, kemudian menghitung wang yang dicuri.
"Dah selesai?" tanyanya pada anak buah.
"Ambil daun tujuh helai dan ranting berkapit dua", ketua pukau memberitahu anak buahnya. Perintah itu segera
dipatuhi oleh anak buahnya. Daun dan ranting berkepit dua lalu diletakkan di bawah rumah. Ketua pukau lagi sekali
berhadapan dengan tengkorak kecut. Dia bercakap sesuatu di situ.
"Apakah yang mesti kita buat sekarang tok", saya menyoal Datuk bila melihat ketua pukau dan anak buahnya
meninggalkan kawasan rumah yang di curi.
"Biarlah mereka pergi", pendek saja Datuk memberikan jawapan.
Bila kumpulan itu sudah pergi jauh dan Datuk yakin jentera kereta kumpulan pukau sudah dihidupkan dan kereta
mereka sudah bergerak, Datuk pun mengambil ranting berkepit dua dan sehelai daun di bawah rumah. Semua
benda-benda itu Datuk bawa pulang ke pondoknya.
Sebaik sahaja Datuk sampai ke pondok, dia segera menyalakan pelita dan menghidupkan bara api di tempatnya.
Daun yang sehelai itu dilayarkan ke api pelita, manakala ranting berkapit dua dipatah-patahkan lalu ditaruh ke dalam
tempat bara api.
Saya tidak bertanya kenapa Datuk melakukan semua kerja itu. Saya lihat Datuk terus termenung di depan bekas bara
api sambil menaburkan kemenyan ke dalamnya.
"Aku harap orang-orang yang mencuri itu akan datang menemui aku siang esok," kata Datuk dengan nada suara
yang tenang.
Saya terus diam dan merebahkan badan di hujung lutut Datuk . Lepas itu saya tidak tahu apa yang Datuk buat tetapi
saya di kejutkan oleh Datuk ketika azan subuh menguasai kampung.
Pagi itu Din Kerani menemui Datuk dan mencarikan pada Datuk apa yang berlaku di rumah ketua kampung. Datuk
juga diberitahu, barang-barang yang hilang dinilai lebih dari enam ribu ringgit, termasuk wang tunai yang berjumlah
dua ribu ringgit, hasil dari penjualan tanah isteri ketua kampung di Rendang Sawa, dekat Batu Gajah.
Secara terang-terangan Din Kerani melahirkan rasa kesal kerana Datuk tidak berjaya menahan kejadian pukau itu
dari berlaku. Malah Din Kerani meminta kata putus dari Datuk sama ada dia sanggup menjalankan kerjanya atau
tidak. Kalau tidak sanggup Din Kerani mahu mencari orang lain.
"Apa kau fikir menangkap orang berilmu sama macam menangkap anak ayam?", tanya Datuk pada Din Kerani sambil
membeliakkan biji mata.
"Saya dah tak boleh sabar, semua orang kampung dah tahu, saya yang bawa awak ke sini untuk mengatasi masalah
ini, kalau tak berjaya tentulah saya malu."
"Kenapa kau begitu bodoh, beritahu orang kampung? Apa kau tak boleh sabar sikit?"
Nada suara Datuk yang meninggi itu membuat Din Kerani termenung panjang. Dia bimbang benar kalau rumahnya
akan menjadi mangsa ketua pukau. Datuk minta Din Kerani menunggu di pondok hingga pukul empat petang.
"Buat apa?"
"Untuk melihat ketua pukau"
81
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Mendengar cakap Datuk itu, air muka Din Kerani segera berubah. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang
dicakapkan oleh Datuk. Mana mungkin pencuri mahu menyerah diri, kalau tidak ditangkap. Fikir Din Kerani.
"Benar atau berjenaka?", Din Kerani meminta kepastian.
"Benar", jawab Datuk dengan tegas.
Entah apa malangnya, ramalan Datuk tidak menjadi kenyataan. Hingga jam lima petang ketua pukau yang diharapkan
itu tidak datang. Satu tamparan yang cukup hebat dalam tugas Datuk. Belum pernah dia mengalami perkara seperti
itu sebelumnya. Mukanya merah padam. Din Kerani tidak mahu bercakap walau sepatah pun dengan Datuk. Dia
meninggalkan pondok dengan seribu pertanyaan.
"Orang ini benar-benar handal dan dia tidak akan tunduk pada sesiapa," keluh Datuk sambil merenung ke muka saya.
Dia terus ambil air sembahyang lalu menunaikan fardu asar. Saya tidak tahu apa yang dilakukan oleh Datuk selepas
sembahyang. Saya lihat dia tertungguk depan tikar sembahyang sambil membuka beberapa buah kitab.
Habis membaca kitab, Datuk membaca surah Yasin. Datuk berhenti melakukan semua itu, setelah masuk waktu
Maghrib. Saya dan Datuk sembahyang di pondok. Bila masuk Isyak saya dan Datuk berjemaah bersama-sama orang
kampung di surau.
Di surau orang-orang kampung membentuk satu jawatankuasa bertindak mengawal kampung. Mulai malam itu, lima
orang lelaki dikehendaki mengawal kampung mulai jam 9.00 malam hingga 2.00 pagi. Dari pukul 2.00 hingga 6.00,
orang yang lain pula datang mengambil tugas itu yang berjumlah lima orang juga. Din Kerani dipilih sebagai ketua
gerakan tersebut. Dia diwajibkan berada di surau setiap kali lepas waktu sembahyang Isyak.
Saya merasa kurang senang hati terhadap sikap orang-orang kampung pada Datuk. Mereka buat tidak kisah dengan
Datuk, tidak seperti mula-mula Datuk datang dulu. Barangkali mereka mula sedar, bahawa Datuk tidak mampu
bertindak lebih jauh lagi untuk mencegah kejadian pukau. Meskipun begitu Datuk tidak merasa kecil hati. Dia tetap
melayan orang-orang kampung dengan baik dan peramah. Dia bercakap dengan tok siak, dia menyapa tok imam dan
ketua kampung. Sebelum pulang Datuk bercakap dengan Din Kerani dan Datuk minta Din Kerani datang ke
pondoknya kira-kira pukul satu malam.
Malam itu Datuk tetap berusaha untuk memberkas ketua pukau. Dia berazam untuk menangkap ketua pukau itu dan
mahu menasihatinya supaya jangan meneruskan kerja yang boleh menyusahkan orang ramai. Datuk mahu
menasihatkan ketua pukau itu supaya mencari rezeki yang halal.
Datuk membentangkan kain hitam di tengah ruang pondok. Dia meletakkan keris panjang di tengah kain. Mangkuk
putih yang berisi air ditempatkan diburu kain hitam sebelah kanan. Bucu sebelah kiri diletakkan tempurung serta
sabut.
Datuk berdiri tegak menghadapi benda-benda itu semua. Datuk memakai seluar hitam serta baju hitam dan
pinggangnya diikat dengan kain merah. Kepala dililit dengan kain kuning. Datuk berdiri sambil memeluk tubuh. Datuk
terus membaca ayat Al-Iqra' hingga tamat.
Lepas itu dia membaca Al-Fatihah. Sebaik saja Datuk selesai membaca dengan tiba-tiba mangkuk putih yang berisi
air bagaikan meletup, air melimpah atas kain putih. Datuk terus duduk. Keris panjang saya lihat bergerak sendiri
menuju ke bucu kain hitam sebelah kanan. Wajah Datuk cukup cemas. Peluh halus muncul dengan tiba-tiba di dahi
luasnya.
"Orang ini mencabar aku", kata Datuk pada saya.
Cepat-cepat Datuk membuka bungkusan kain kuning yang disimpannya dalam beg rotan. Dia mengeluarkan sebilah
keris pendek berulu gading. Mata keris itu kelihatan berkarat. Datuk pernah menceritakan pada saya, bahawa keris itu
memang di bawanya dari Jambi, Indonesia. ltulah satu-satunya peninggalan orang tuanya yang dapat diwarisinya.
Keris itu pernah digunakan, ketika menentang Belanda di Acheh.
"Besinya dikutip dari besi-besi sekitar Acheh dan Jambi, dibuat dengan tangan. Mata keris itu sudah di taruh racun
getah ipoh", kata Datuk pada saya satu masa dahulu. Datuk juga memberitahu keris tersebut pernah membunuh
beratus-ratus tentera Belanda.
Keris itu disimpan dalam busut di bawah rumah. Bila orang tuanya mahu meninggal dunia, keris itu diserahkan
padanya dengan syarat dia tidak boleh memijak bumi Jambi sampai akhir hayat, kalau mahu keris itu menyimpan bisa
dan kuasanya.
Hanya itu saja yang saya tahu tentang keris tersebut. Datuk terlalu merahsiakan tentang keris itu dari anak cucunya,
kecuali saya. Datuk melayarkan mata keris ke atas bara. Saya lihat keris itu bertukar kemerah-merahan. Di mata keris
82
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
tersebut timbul huruf--huruf jawi iaitu dua kalimah syahadah. Datuk menyimpan keris kembali. Dia merenung tembikar
mangkuk putih yang berserak.
"Kau memang mahu menghancurkan aku", tiba-tiba saya terdengar satu suara dari arah kanan. Saya segera
menoleh. Seorang lelaki tua berdiri di situ. Dari mana datangnya saya sendiri tidak tahu. Datuk merenung lelaki itu
dengan pandangan yang tajam.
"Aku sebenarnya tidak pernah tenang dan aku harap kau akan memberikan ketenangan itu pada aku", lelaki itu
bersuara lemah.
Datuk terdiam. Saya lihat Datuk seperti berada dalam keadaan yang tidak tentu arah.
Datuk menarik tangan saya. Dan saya pun segera mendekatinya. Dalam keadaan yang agak tenang itu, Datuk
sempat memberitahu saya, bahawa lelaki tua yang kelihatan itu adalah kenalannya yang sama-sama datang dari
Jambi.
Bila sampai ke semenanjung, kenalannya itu sudah mati lemas di sungai, dekat pangkalan di Hutan Melintang.
Perahu yang dinaiki kawannya itu karam akibat berlanggar dengan batang kayu di musim tengkujuh. Datuk menyuruh
saya duduk di muka pintu pondok. Arahan Datuk itu saya patuhi.
"Kenapa kau yang datang Tandang Ali. Aku bukan mencari kau", kata Datuk sambil membaca sesuatu. Ibu jari tangan
Datuk menekan pangkal belikat. Wajah Datuk agak pucat sedikit.
"Aku tahu apa yang kau cari Ucang Diah", beritahu lelaki itu. Saya terkejut, kerana lelaki itu dapat menyebut nama
Datuk dengan tepat. Sebenarnya tidak ramai orang yang tahu nama sebenar Datuk. Dalam kad pengenalan Datuk
namanya tercatat sebagai - Kulub Mohd Diah. Dan orang-orang kampung, anak cucunya juga tahu itulah nama Datuk
yang sebenar.
Tetapi pada saya, Datuk memberitahu secara rahsia nama sebenarnya yang diberitahu oleh orang tuanya ialah
Ucang Diah. Ucang itu adalah nama keturunan atau suku yang dibawanya dari Jambi.
"Engkau boleh memberi ketenangan pada roh aku"
"Maksud kau?"
"Akulah yang memberikan tengkorak pada ketua pukau. Aku mengambilnya dari kubur dan aku memujanya. Selagi
tengkorak itu tidak hilang darinya, roh aku tidak aman."
"Kenapa kau memanjangkan ajaran syaitan?"
"Itulah silapnya aku."
"Kau tahu hukumnya menyeksa mayat? Berdosa besar."
"Masa itu aku tidak terfikir. Yang aku fikirkan masa itu ialah menyuruh mereka memukau rumah-rumah orang putih
yang menjajah negara kita, tetapi mereka melakukan sebaliknya."
"Apa pun niat kau tetap berdosa. Islam tidak mengajar pengikutnya membuat jahat. Islam menyuruh umatnya
berunding dan menggunakan akal fikiran. Kenapa kau menyempitkan ajaran Islam?"
"Aku tahu..", belum pun sempat orang itu mengakhiri cakapnya, Datuk terus membelakanginya. Dengan sekelip mata
saja, lelaki itu hilang dari pandangan saya. Datuk terus menuju ke muka pintu. Dengan tenang memijak anak tangga
pondok. Saya mengekornya dari belakang.
"Ke mana tok?"
"Ke surau."
Sebaik saja saya dan Datuk melangkah lima langkah ke depan, tiga orang lelaki menghalang. Saya kenal lelaki yang
berbaju putih dengan badik di tangan itu ialah ketua pukau.
"Hei kalau kau benar-benar handal tunjukkan, apa hak kau menghalang kerja kami?", cukup keras suara ketua pukau.
Salah seorang dari rakannya memberikan golok perak kepadanya. Datuk menyuruh saya undur. Muka ketua pukau
saya lihat merah padam dalam samar-samar cahaya bulan malam itu.
"Aku guni kan awak dengan anak awak, kami nak campak ke dalam Sungai Kinta," ketua pukau terus mengugut.
83
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Datuk berdiri tegak di hadapan ketiga-tiga lelaki itu. Kaki kanan Datuk saya lihat bergerak-gerak. Mata Datuk tidak
berubah merenung muka ketua pukau. Datuk menikam tumit kaki kanan ke dalam bumi. Separuh dari tumit itu saya
lihat tenggelam.
"Kenapa bersekutu dengan syaitan untuk mencari kemewahan?", Datuk terus menyergah ketua pukau.
Dan ketua pukau sudah tidak sanggup menerima penghinaan itu. Dia lalu mengangkat golok perak untuk menetak
batang leher Datuk. Datuk kerutkan muka. Tumitnya kian kejap ditekan ke bumi. Saya lihat seakan-akan ada kepulan
asap mengelilingi buku lali kaki Datuk.
Ketua pukau angkat senjata, tiba-tiba tangan dan kakinya tidak boleh bergerak bagaikan terkunci. Dia berusaha mahu
bergerak. Usahanya gagal. Mulutnya separuh terbuka. Datuk melangkah ke depan. Dengan cepat Datuk menyentuh
mata golok perak.
Dengan tiba-tiba golok perak itu patah dua. Bahagian atas yang patah jatuh betul-betul di hujung sepatu ketua pukau.
Datuk menghentakkan kakinya ke atas tanah sekuat hati. Golok perak yang tinggal separuh di tangan ketua pukau
terlepas.
"Kuncinya sudah aku buka. Apa yang aku mahu sekarang, ingat bersekutu dengan syaitan tidak akan boleh ke mana-
mana. Belajarlah hidup dengan berusaha mencari rezeki yang halal", Datuk memberitahu ketua pukau.
Dengan mendadak saja ketiga-tiga ahli kumpulan pukau itu sujud di kaki Datuk. Cepat-cepat Datuk menolak ketiga-
tiga badan anggota pukau itu. Datuk berubah tempat berdiri.
"Jangan sujud di kaki aku. Aku adalah manusia seperti kau juga, berasal dari tanah. Dalam Islam tidak ada manusia
yang tinggi dan rendah, semuanya sama saja. Kamu semua harus sujud pada Allah yang Maha Besar meminta
ampun dan bertaubat", kata Datuk.
"Tapi kami mahu minta maaflah pada orang yang kami curi harta-bendanya. Jangan hukum kami."
"Aku tidak boleh menghukum kamu. Allah yang Maha Besar berhak atas dirimu. Pada Allah terletak hukuman yang
adil"
"Kami bertaubat"
"Bertaubatlah pada Allah dan aku minta kau serahkan tengkorak itu pada aku", Datuk mengemukakan permintaan
secara jujur.
Belum pun sempat ketua pukau melakukan apa yang di perintahkan Datuk, Din Kerani pun datang. Datuk terus
memberitahunya, bahawa kaki pukau yang di cari ada di hadapan. Din Kerani mahu bertindak untuk membawa kaki
pukau ke balai polis. Permintaan itu tidak dapat ditunaikan oleh Datuk.
"Maafkan orang yang bersekutu dengan syaitan lebih mulia dari menghukumkannya. Dengan kesempatan yang kita
berikan, boleh membuat mereka insaf dan kembali ke ajaran Islam yang sebenarnya", itulah alasan yang diberikan
oleh Datuk pada Din Kerani.
Datuk membebaskan mereka, dan mereka berjanji akan memberikan pada Datuk tengkorak kecut yang digunakan
ketika mencuri.
Sejak terjadi peristiwa itu, kejadian mencuri dengan memukau tidak lagi berlaku. Saya dan Datuk terus duduk di
Kampung Tanjung Tualang selama tiga minggu lagi. Dalam rancangan Datuk, sesudah dia mendapatkan tengkorak
kecut dari ketua pukau, barulah dia pulang ke kampung.
Ternyata, ketua pukau tidak menunaikan janjinya. Mereka berpindah tempat melakukan kegiatan memukau di
kawasan Kampar pula. Datuk merasa kesal kerana membebaskan mereka tempo hari. Sedarlah Datuk, sekali syaitan
menguasai hati manusia memang sukar untuk membuangnya.
Datuk menjadi manusia yang paling berdukacita dengan kejadian itu. Lebih-lebih lagi berita itu didengarnya pada
setiap hari bila dia berjemaah ke surau. Datuk pun mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan dia akan
cuba menghancurkan kumpulan pukau itu dengan caranya yang tersendiri.
Dua hari di kampung, Datuk terus mengajak saya pergi ke Kampung Bahagia di Teluk Intan. Kami tinggal di rumah
seorang ustaz yang mengajar di sekolah Sultan Abdul Aziz. Dengan secara jujur Datuk memberitahu ustaz tersebut
yang secara kebetulan mempunyai pertalian keluarga yang agak jauh dengan nenek, tujuannya datang untuk ke situ
untuk memberkas kumpulan pukau.
84
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Ustaz tersebut memperkenalkan Datuk dengan seorang mata gelap. Mat Jali namanya, orang Lambor Kanan. Mat
Jali memang sudah lama mengikuti kegiatan kumpulan pukau tersebut. Mat Jali memang mengharapkan dengan
adanya kerjasama dari Datuk, kegiatan kumpulan itu akan segera dapat ditumpaskan. Memang Datuk berazam, bila
kumpulan itu dapat di berkas, Datuk tidak akan memberikan ampun dan maaf pada mereka. Datuk mahu mereka
dihukum mengikut undang-undang yang telah di tetapkan.
Suatu petang Mat Jali datang menemui Datuk. Mereka bercakap panjang di halaman rumah hingga waktu Maghrib.
Lepas waktu maghrib, lagi sekali Mat Jali datang menemui Datuk. Saya tidak mahu ambil tahu dengan apa yang
mereka bicarakan. Perkara yang nyata ialah, sambil Datuk bercakap, Mat Jali mencatatkan sesuatu di kertas kecil.
Sebelum Mat Jali meninggalkan rumah, Datuk terus berpesan padanya:
"Saya yakin, mereka akan di situ malam ini. Saya yakin dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, firasat saya ini
betul, dan awak akan berjaya"
"Semoga Allah akan memberkati kerja saya ini"
"Sama-samalah kita berdoa", sahut Datuk dari muka pintu.
Datuk masuk ke rumah. Dia terus membaca surah Yasin, duduk di ruang tengah bersama saya dan ustaz. Menurut
Datuk, kumpulan pukau itu akan kecundang. Dua sebab kenapa kumpulan pukau itu kecundang. Pertama, ketuanya
mungkir janji dan kedua gurunya sendiri tidak merestui kerja tersebut.
"Kerja dia orang licin", kata ustaz.
"Saya tahu. Guru mereka kawan saya dan sudah pun mati, sekarang rohnya tak aman."
"Macam mana Wak tahu hal itu?"
"Kerja jahat, janganlah ditanya. Pada Wak, cuma Wak mahu buat dengan tak mahu buat saja. Setiap kerja yang kita
lakukan kita harus memikirkan apakah kerja tu di berkati oleh Allah atau tidak"
"Saya faham"
Cuma setakat itu saya dengar kata-kata Datuk dan ustaz. Lepas itu masing-masing masuk bilik. Lebih kurang pukul
dua pagi, rumah ustaz di ketuk orang bertalu-talu. Datuk buka pintu. Muka Mat Jali tersembul.
"Apa halnya?", soal Datuk.
"Semuanya dapat kami tangkap."
''Di mana?''
"Macam awak katakan itu, mereka nak pukau rumah penghulu Tapah yang duduk di Bidor."
"Sekarang dia orang di mana?", tanya Datuk lagi. Dia tersenyum puas.
"Di Balai Polis Langkap"
"Kenapa di Langkap, tidak di bawa ke Kampar?", celah ustaz yang berbadan besar, ada janggut sejemput di dagu,
memakai kaca mata putih.
"Tak tahu, pegawai suruh bawa ke Langkap, esok baru di bawa ke Kampar"
"Begitu", suara Datuk lemah.
Malam itu juga, saya dan Datuk naik kereta Moris Minor Mat Jali menuju ke Balai Polis Langkap. Atas daya usaha Mat
Jali, Datuk dan saya dapat menemui ketua pukau bersama kawannya di dalam lokap.
"Kenapa kamu tak insaf?", soal Datuk pada ketua pukau. Pertanyaan Datuk itu tidak mendapat jawapan. Ketiga-tiga
kaki pukau itu diam membisu. Dari Mat Jali Datuk mendapat tahu nama sebenar ketua pukau itu ialah Kusman tetapi
lebih dikenali dengan panggilan Hitam. Sudah ada anak dan isteri. Anaknya yang besar belajar tingkatan dua di
Kampar yang pada masa itu dibela oleh abangnya. Datuk terus meminta tengkorak kering dari ketua pukau.
Datuk memberitahu tengkorak kering itu harus di pulangkan kepada tuannya secara ghaib, di samping itu Datuk juga
memberitahu, bawa guru mereka Tandang Ali memintanya mengambil tengkoraknya itu dari mereka.
85
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Dia sudah mati", meletus jawapan dari ketua pukau.
"Aku tahu, tapi rohnya tidak aman. Bila harta peninggalannya kau pulangkan pada yang berhak, baru dia aman. Aku
tahu, dia kawan aku".
Ketua pukau terdiam. Datuk terus memujuknya. Hingga terbit fajar pagi Datuk tidak memperolehi apa-apa darinya.
Datuk tahu tengkorak itu ada padanya. Siapa pun tidak akan menjumpainya kalau mencari di badannya, kecuali
menggunakan beberapa petua yang tertentu. Tengkorak itu boleh di sembunyikan dicelah kulit bahagian paha di
mana orang tidak akan nampak.
Pada pukul 10 pagi Datuk melihat ketua pukau itu dimasukkan ke dalam perut jeep untuk di bawa ke Balai Polis
Kampar. Sebelum bertolak Datuk mengingatkan polis yang mengawalinya supaya berhati-hati dengan ketua pukau.
Meskipun tangan digari, dia boleh melepaskan diri. Ketua pukau itu juga mempunyai beberapa kebolehan dalam ilmu
kebatinan. Bagi menjamin ketua pukau itu tidak boleh melepaskan diri, Datuk menawarkan diri untuk mengikuti jeep
itu pergi ke Kampar.
Permintaan Datuk itu tidak dapat ditunaikan oleh ketua Balai Polis Lang-kap. Datuk merasa bertuah kerana Mat Jali
bersedia membawa Datuk ke Kampar dengan menaiki keretanya kerana Mat Jali mengekor dari belakang.
Datuk nampak resah sahaja. Dia menyatakan pada Mat Jali ada sesuatu yang akan berlaku dalam perjalanan. Tetapi
Mat Jali meyakinkan Datuk, bahawa semuanya berjalan dengan baik,
malah dia yakin ketua pukau itu tidak akan berjaya melepaskan diri.
Datuk diam. Dia memejamkan kedua belah matanya. Dahinya berkerut. Mukanya mula didatangi oleh peluh-peluh
halus. Saya tahu, bila Datuk melakukan hal sebegitu, dia merenung atau menilik sesuatu yang jauh darinya.
"Dia berjaya membuka garinya", tiba-tiba Datuk bersuara agak keras.
Ketika itu kereta jeep yang membawa ketua pukau sedang melintas jambatan di Sungai Air Kuning, dekat Kampar
(jambatan itu dirobohkan dalam tahun 1976, sebagai gantinya
satu jambatan baru telah dibina, seperti yang ada sekarang ini).
"Dia akan terjun ke dalam sungai", kata Datuk lagi.
Sebaik saja Datuk selesai bercakap, saya dan Mat Jali melihat ketua pukau terjun ke atas jalan raya, kemudian terjun
ke dalam sungai. Polis yang berada di sisinya terpaku. Mat Jali membunyikan hon menyuruh kereta jeep berhenti.
Jeep itu pun berhenti dan Mat Jali menghentikan keretanya ke tepi. Datuk keluar dari perut kereta.
"Dia agak handal orangnya", ujar Datuk sambil merenung ke dalam sungai yang berbuih. Polis angkat rifle dan
menjunamkan muncung ke arah perut sungai.
"Kita tidak akan dapat menangkapnya. Dia ada ilmu tahan air", kata Datuk.
Cakap Datuk itu memang benar. Tiga puluh minit menunggu, ketua pukau tidak juga muncul. Air tempat dia terjun
tetap berbuih.
Datuk memberitahu Mat Jali dia boleh memberkas ketua pukau itu, tetapi memakan masa sedikit. Datuk meminta Mat
Jali menyuruh pemuda jeep membawa kawan ketua pukau ke Kampar. Jeep pun bergerak. Datuk berdiri di tebing
sungai. Dia mengambil air sungai dengan daun keladi. Air itu di lambung ke atas.
Sebelum air itu jatuh ke tanah, Datuk menyambutnya dengan mulutnya, kemudian air itu disemburkan ke dalam perut
sungai. Saya lihat air sungai bagaikan menggelegak dan berbuih-buih, kemudian tempat ketua pukau terjun itu
berpusing-pusing menjadi semacam lubuk.
Dengan mendadak sahaja air sungai itu menjulang badan ketua pukau lalu mencampakkannya ke tepi tebing. Ketua
pukau tersadai di situ. Dari bawah dagunya keluar satu benda putih.
Benda itu berbuih dan akhirnya menjadi satu tengkorak. Datuk pun mengambil tengkorak tersebut.
Datuk merawat ketua pukau hingga pulih. Dia berdiri sambil merenung Mat Jali di sisinya, dan bagaikan kilat dia
merampas pistol Mat Jali, lalu melepaskan tembakan ke arah Datuk.
86
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Datuk cepat-cepat menguncikan sendi badannya. Pistol di tangan ketua pukau terjatuh di kaki, dan secara mendadak
saja pistol itu meletup dan pelurunya mengenai perut kedua pukau. Sebelum ketua pukau rebah ke bumi, Datuk
memeluk tubuhnya dan dengan sekilap mata sahaja Datuk muntah darah.
Seluruh badan Datuk menjadi biru.
Siri 22 - Penunggu Rumah Tok Kaya Sendi Diraja
Datuk rebah ke bumi. Batang tubuh ketua pukau terlepas dari pelukannya. Mat Jali menghampiri ketua pukau yang
sudah kaku itu. Dari lubang hidung dan telinga keluar darah yang merah kental. Saya menghampiri Datuk. Tubuhnya
masih berwarna biru. Muntah darahnya sudah berhenti. Datuk membuka tangannya perlahan-lahan. Tengkorak yang
dipegangnya menjadi hitam, macam arang dan akhirnya bertukar menjadi serbuk halus macam amang bijih yang
dibuang.
"Campakkan ke air", kata Datuk.
Saya mengambil serbuk hitam itu. Bila berada di atas tapak tangan saya, seluruh badan terasa panas. Cepat-cepat
saya humbankan ke dalam air sungai. Datuk cuba bangun. Dia tidak berdaya. Setiap kali dia bangun, dia akan rebah.
Bagaikan sendi tulang di kepala lurutnya sudah hancur. Saya jadi kelam-kabut. Mat Jali masih lagi memeriksa tubuh
badan ketua pukau. Cara kebetulan sebuah jeep tentera lalu di situ. Mat Jali menahan jeep tersebut. Setelah
berunding, pemandu jeep itu bersetuju membawa mayat ketua pukau ke Balai Polis Kampar.
"Biar saya uruskan Datuk saya di sini, kalau boleh encik sampai ke sana, cuba ikhtiarkan sebuah ambulans untuk
Datuk saya".
"Saya cuba," itu janji yang diberikan oleh Mat Jali pada saya. Mereka pun berlepas ke Kampar. Saya merawat Datuk
mengikut arahan-arahan yang dikeluarkannya. Walaupun ada orang yang lalu lalang di jalan raya, mereka tidak
menghiraukan kami. Pada sangkaan mereka saya dan Datuk pencari rotan yang sedang melepaskan penat di situ.
"Carikan aku daun serunai laut, pucuk daun semuka dan campurkan dengan air sikit. Ramas daun-daun itu hingga
hancur dan sapukan pada kepala lutut aku”, perintah Datuk yang terpaksa saya lakukan. Hasilnya amat mengejutkan,
bila disapu ke kepala lutut dengan iringan jampi tertentu dari Datuk, saya lihat dia boleh bangun.
Walaupun begitu, warna biru di tubuhnya tidak juga mahu hilang. Malah wajah Datuk kelihatan lebam macam di pukul
sesuatu. Saya bagaikan mahu menangis bila Datuk tidak berdaya melangkah. Dia bagaikan terlupa macam mana
mahu berjalan. Datuk sandarkan badannya pada sebatang pokok dekat situ.
"Badan aku terasa bisa-bisa, kepala terasa kosong”, Datuk mengadu pada saya sambil meraba batang pokok di
belakangnya.
"Apa yang mesti saya buat tok?”
"Tak ada satu pun yang dapat kau buat. Kalau janji aku sudah sampai untuk menemui Allah”
"Tapi kita harus berikhtiar”
"Aku tahu, tetapi kau bukan orangnya untuk membantu aku dalam hal ini”
"Kalau bukan saya, siapakah orangnya tok?"
Datuk terdiam. Badannya jatuh perlahan ke atas bumi. Dia jatuhkan kedua belah kakinya. Saya pun urut kaki Datuk.
"Dalam dunia ini tidak ada sesiapa pun yang boleh mengaku handal dalam apa juga bidang. Kalau dia merasa dirinya
handal, itu hanya perasaan. Sedangkan ada orang yang lebih handal darinya dan kehandalan diri orang itu pula
tertakluk di bawah kekuasaan Allah"
Sesungguh saya tidak tahu, apakah cakap itu ditujukan pada saya oleh Datuk.
Saya perhatikan dalam saat-saat begitu, Datuk bercakap ikut suka hati saja. Inilah yang membimbangkan hati dan
perasaan saya. Sedang saya di amuk keresahan, Mat Jali dan ambulans pun tiba. Datuk diusung ke dalam perut
kereta ambulans untuk dibawa ke rumah sakit Kampar.
Datuk pun diberi rawatan segera. Bagi menghilangkan warna biru dan lebam, Datuk terpaksa diberi suntikan ubat.
Datuk tidak mahu menerimanya Menurut Datuk suntikan itu akan memberikan kesan yang kurang baik dalam
87
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
tubuhnya. Mat Jali dan saya terpaksa memujuknya. Datuk tidak berganjak dari keputusannya. Saya memujuknya
dengan sedaya upaya yang boleh.
"Tok, suntikan itu untuk memberi kerehatan pada Datuk”, kata saya.
"Maksudnya?"
”Bila Datuk dicucuk, Datuk akan tidur. Tok dapat tenaga”, tambah saya sambil merenung muka Mat Jali supaya dia
mengakui kebenaran cakap saya itu.
Setelah termenung lebih dari sepuluh minit, Datuk pun setuju untuk melakukan suntikan. Saya terkejut bila seorang
juru rawat yang bertugas memberitahu saya, sudah tiga batang jarum patah ketika doktor melakukan suntikan di bahu
Datuk. Dan doktor tidak mahu meneruskan kerjanya.
"Apa yang mesti saya buat?", tanya saya pada juru rawat tersebut, sambil merenung ke muka Mat Jali yang duduk di
sebelah saya.
"Bagaimana? Boleh kami masuk ke dalam?", Mat Jali mengajukan pertanyaan. Jururawat yang berketurunan
Pakistan tersenyum.
"Boleh. Tuan doktor memang mencari warisnya"
"Sebab?"
"Doktor nak tanya sikit", beritahu jururawat. Saya dan Mat Jali masuk ke dalam bilik. Doktor Melayu yang berkulit
hitam itu mempersilakan saya dan Mat Jali duduk.
"Saya orang Melayu, sudah belajar ke luar negeri, tetapi saya tidak membuang kepercayaan dan keyakinan saya
pada ilmu batin", ujar doktor itu sambil menggigit bibir. Dia lalu memperkenalkan namanya pada kami. Namanya
Abdul Mutalib, anak jati Batu Pahat, Johor. Baru sebulan bertugas di Kampar, sebelum itu dia bertugas di Hospital
Besar Alor Setar, Kedah.
"Saya kurang faham dengan cakap tuan" , suara Mat Jali tenang.
"Kalau orang Melayu tidak percaya pada kuasa ghaib dan kebatinan, ertinya dia bukanlah orang Melayu tulen.
Kekuasaan ghaib, dukun dan pawang adalah sebahagian dari teras bangsa kita. Kerana itu saya panggil awak”
"Orang tua ini ada memakai ilmu tahan besi. Suruh dia buka", doktor itu merenung muka saya. Fahamlah saya.
Doktor itu memerlukan bantuan dari saya. Saya pun rapat kepada Datuk. Saya membisikkan ke telinganya:
"Bukalah Datuk, untuk faedah diri Datuk."
"Buka apa?", sergah Datuk pada saya.
"Tahan besi."
”Tahan besi?", ulang Datuk.
"Ya tok."
Datuk terdiam. Dia merenung muka saya. Sinar matanya cukup lembut seolah-olah dari sinar matanya terucap
perkataan ini:
"Demi kasih sayangku padamu Tamar, aku lakukan apa saja”
Saya resah. Datuk memejamkan matanya. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Kemudian dia suruh saya
memotong kuku di ibu jari sebelah kiri.
Kuku yang sudah di potong itu mesti dilipat tiga dan diletakkan di celah ketiak kanannya. Apa yang di perlakukan oleh
saya diperhatikan oleh doktor itu dengan penuh minat. Bila semuanya sudah selesai, lagi sekali Datuk merenung saya
dengan senyum.
"Sudah", pendek saja dia berkata. Doktor pun tersenyum. Dia mengambil jarum lalu melakukan suntikan. Semuanya
berjalan dengan sempurna. Tidak lama Datuk berada di hospital, cuma dua hari sahaja. Masuk hari yang ketiga, dia
minta keluar. Datuk membuat keputusan untuk tinggal di rumah Mohd Zain, di Batu Berangkai, Kampar. Mohd Zain,
seorang pemborong kelas F dengan Jabatan
88
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Kerja Raya daerah Batang Padang. Dia mengenali Datuk kira-kira dua tahun yang lalu, ketika membawa isterinya
yang diserang sakit lumpuh berubat dengan Datuk.
Dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, sakit lumpuh yang dideritai oleh isterinya sejak bertahun-tahun itu di
sembuhkan oleh Datuk. Sejak itu, dia menjadikan Datuk sebagai ayah angkatnya. Di Batu Berangkai, Datuk
mengubati sakitnya dengan caranya yang tersendiri. Setiap pagi dia akan mandi air dari gunung, dan memakan
beberapa jenis pucuk kayu pada sebelah petangnya. Seminggu kemudian Datuk beransur pulih dan sihat.
Semasa tinggal di Batu Barangkai, Mohd Zain memperkenalkan Datuk dengan jutawan Melayu yang juga menjadi
orang yang bergelar yang di lantik oleh Sultan Perak pada masa itu. Jutawan Melayu itu mempunyai beberapa buah
lombong di Menglembu, Pusing, Batu Gajah dan Papan. Dia juga mempunyai beberapa buah rumah batu di daerah
Kinta dan Batang Padang. Dia lebih suka berhubung dengan Mohd Zain untuk membaiki sebarang kerosakan di
rumahnya.
Salah sebuah rumah batunya terletak di kawasan Sungai Raya. Rumah itu diwarisi dari arwah ayahnya. Besar
tersergam ia terletak tidak jauh dari jalan besar. Dia tinggal di situ bersama isteri dan dua anak perempuannya,
sementara rumahnya yang lain didiami oleh anak buah jutawan itu sendiri. Salah seorang anak perempuannya
menuntut di Universiti Malaya, ketika itu bertempat di Singapura, dalam jurusan kedoktoran. Selain daripada
mempunyai harta yang banyak, jutawan itu juga mempunyai dua orang isteri.
Isteri mudanya pula ada pertalian keluarga dengan Mohd Zain. Perkenalan yang terjalin di rumah Mohd Zain itu,
secara tidak langsung memberikan satu tugas baru pada Datuk. Jutawan itu meminta Datuk memberikan pendinding
di kawasan rumahnya, supaya tidak dimasuki oleh pencuri. Kerana tugas itu tidak berat, Datuk bersedia
menolongnya.
"Berapa upahnya? Seratus atau tiga ratus", jutawan itu menyoal Datuk. Saya lihat Datuk tersenyum dan
menyandarkan badan pada dinding rumah Mohd Zain. Muka Mohd Zain saya lihat berubah sedikit.
"Kita bukan hidup dengan kerja ini, harta kita pun ada untuk makan pakai anak cucu. Kalau sekadar untuk menolong
ke jalan baik tak jadi hal", jawab Datuk pada pertanyaan jutawan itu, yang merupakan satu sindiran yang tajam.
Jutawan itu tunduk.
"Maafkan saya, kalau cakap tadi menyakitkan hati. Saya sekadar mahu bersedekah saja", nada suara jutawan itu
mula menurun.
"Sedekah saja wang itu ke rumah anak yatim", tingkah Datuk. Jutawan itu anggukkan kepala.
"Bila bapak mahu menolong Tok Kaya Sendi Raja?", Mohd Zain memotong percakapan. Datuk urut pangkal dagunya.
Dia merenung muka jutawan itu dua tiga kali. Jutawan kelihatan resah.
"Saya terpaksa pergi ke sana setidak-tidaknya tiga senja saya mesti ke sana"
"Kalau begitu duduk saja di rumah saya”
"Begini saja. Minggu depan saya minta anak angkat saya ni hantar saya ke rumah Tok Kaya”
"Terpulang ikut mana yang baik. Baik pada awak, baiklah pada saya”, kata Tok Kaya (jutawan) sambil tersenyum.
Lalu dia minta diri untuk pulang dari Datuk. Mohd Zain menghantar jutawan itu hingga ke keretanya di tepi jalan besar.
Pagi itu Datuk memberitahu Mohd Zain, anak angkatnya, yang dia mahu pergi mendaki gunung yang terletak di
bahagian tepi kawasan Pekan Kampar.
"Buat apa ke sana pak?" tanya isteri Mohd Zain sambil menghidangkan kopi dan roti.
"Nak cari buluh tumpat."
"Buat apa?", sahut Mohd Zain.
”Untuk menolong Tok Kaya", jawab Datuk.
Itu memuaskan hati Mohd Zain dan isteri, serta saya. Dengan menaiki kereta Moris Minor kepunyaan Mohd Zain,
beliau menurunkan saya dan Datuk dekat sekolah Inggeris di Kampar. Dari situ saya dan Datuk masuk ke dalam
hutan. Lebih kurang pukul empat petang, kami kembali ke rumah Mohd Zain di Batu Berangkai. Sebaik saja sampai di
rumah, Datuk pun memotong buluh tumpat itu sepanjang satu kaki.
89
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Buluh yang sudah dipotong itu berjumlah empat semuanya, diletakkan di bawah rumah. Tidak ada kejadian ganjil
yang kami temui semasa di hutan, jadi tidak ada cerita yang menarik untuk diceritakan pada Mohd Zain yang cukup
kagum dan hormat dengan Datuk.
Selepas sembahyang Isyak Mohd Zain masih bercakap dengan Datuk di anjung rumah. Mohd Zain meminta ilmu
pengasih dari Datuk dengan tujuan supaya setiap orang yang ditemuinya akan jadi kasih padanya dan mempelawa
dia untuk membuat rumah atau membuat kontrak dengannya. Saya dengar Datuk memarahi Mohd Zain kerana
permintaannya itu tidak masuk akal. Menurut Datuk, kalau kerjanya baik dan ikhlas, tidak menipu sesama manusia,
dengan sendirinya dia akan disayangi orang.
"Berusaha dan bekerja keraslah, kau akan mencapai kejayaan. Buat kerja dengan baik”, itulah yang dapat di tangkap
oleh telinga saya. Lepas itu saya bidak dengar apa yang mereka perkatakan. Saya terlena.
Saya tahu Datuk akan melakukan sembahyang hajat. Ada tanda-tanda yang menunjukkan Datuk akan melakukan
kerja itu. Supaya tugasnya tidak terganggu, saya lebih suka tidur bersendirian di ruang tengah rumah Mohd Zain.
Biarlah Datuk tidur sendirian di dalam bilik khas. Dugaan saya itu memang tepat. Apabila subuh, Datuk menyatakan
sembahyang hajatnya tidak terganggu oleh dengkur saya.
"Kau sudah mula mengenali perangai aku", katanya menyindir ketika saya mengambil air sembahyang bersamanya.
"Belajar dari pengalaman”, balas saya.
"Petang esok kita pergi ke Sungai Raya”, Datuk memberitahu saya lagi.
Saya pun mengangguk tanda setuju. Macam selalu, sebelum matahari bangun di kaki langit Datuk akan mengajak
saya mandi embun. Saya sudah pun pandai memilih jenis daun yang baik di ambil airnya untuk membasuh muka dan
badan. Datuk juga memberitahu saya beberapa potong ayat suci yang harus saya baca ketika menyentuhkan air
embun ke tubuh.
Mandi embun menyegarkan badan dan menegangkan kulit. Dengan nya muka kelihatan bersih dan tidak dimamah
usia. Menyapu atau menggosokkan air embun ke badan juga harus pandai. Mesti ikut urutan. Dengan itu perjalanan
darah akan menjadi lancar, terhindar dari sakit jantung atau darah tinggi.
Selepas menunaikan sembahyang asar pada petang Selasa, saya dan Datuk dihantar oleh Mohd Zain ke kawasan
Sungai Raya. Jarak kawasan itu dari bandar Ipoh lebih kurang 10 kilometer ke selatan. Kami di sambut oleh Pak Ayub
Naim penjaga rumah. Tok Kaya telah pergi ke lapangan terbang bersama anak dan isterinya untuk menyambut
anaknya yang bercuti. Mohd Zain bercakap sesuatu dengan Pak Ayub Naim.
"Saya balik dulu pak", Mohd Zain memberitahu Datuk. Dia menghidupkan jentera kereta dan keluar dari kawasan
rumah Tok Kaya Sendi Raja. Rumah batu besar itu berbentuk lama, berunsur kesenian dari timur tengah dipadukan
dengan seni bina tempatan menjadikan rumah batu dua tingkat itu kelihatan cantik dalam bentuk yang tersendiri,
bersama cat kuning air yang lembut. Berceritalah Pak Ayub Naim orang Keramat Pulai tentang rumah batu dua
tingkat itu pada kami. Menurutnya, rumah batu itu sudah lebih dari seratus tahun usianya.
Sudah tujuh keturunan dipusakai turun temurun. Tok Kaya Sendi Diraja ialah pemilik yang tujuh atau keturunan yang
ketujuh. Dan selama itu pula, belum pernah terlintas di hati para pewarisnya untuk merubah bentuk dasar rumah
tersebut. Mereka hanya menambah beberapa bahagian yang tertentu saja. Bila bulan penuh muncul di langit dan
cahayanya melimpah di atas bumbung rumah, keutuhan dan keunggulannya semakin nampak. Bumbung rumah itu
bagaikan memancar cahaya yang boleh menegakkan bulu roma sesiapa saja.
Kebanyakan penduduk yang tinggal berdekatan enggan lalu di bahagian belakang rumah tersebut meskipun di situ
ada jalan dekat menuju ke kawasan rumah mereka. ltulah cerita Pak Ayub Naim yang sudah berusia hampir enam
puluh tahun itu. Sama dengan umur Tok Kaya Sendi Raja. Saya dan Datuk di tempatkan di sebuah bilik di bahagian
atas ruang tengah. Bahagian atas itu cukup luas dengan empat tiang besar yang bulat, berukir dengan awan larat
bunga raya dan pucuk rebung.
Bila saya berdiri di situ saya terasa ada sesuatu yang ganjil. Saya terasa diri saya seolah-olah berada jauh dari dunia
nyata. Seakan-akan terlambung ke satu alam lain yang sukar saya nyatakan. Saya
laporkan perkara itu pada Datuk. Dia hanya tersenyum dan tidak memberikan sebarang pendapat berhubung dengan
perkara itu. Ketika bunga senja tiba, saya dan Datuk meninggalkan bilik. Kami mengelilingi rumah besar itu tujuh kali.
Setiap kali sampai kebahagiaan bucu rumah, Datuk berhenti dan membaca sesuatu.
"Kita pusing lagi sekali untuk jadikan lapan”, beritahu Datuk pada saya. Saya angguk kepala dan ikut perintahnya.
"Berhenti di sini”, mendengar perintah itu langkah saya mati. Datuk menandakan tempat itu dengan kayu.
90
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Kau langkah ke timur, kemudian ke barat lima kali ke belakang. Lepas itu ke utara dan ke selatan macam tadi juga”
Arahan yang datang dari Datuk saya patuh. Bila semua saya lakukan, Datuk pun korek tanah dengan golok lalu
menanam buluh tumpat ke dalam tanah.
"Cukuplah tu, agak-agak satu jengkal ke bumi,. Tidak dikorek anjing, ah mana ada anjing, kawasan ni berpagar",
Datuk bercakap seorang diri. Saya tersenyum. Bila dia menuju ke halaman rumah, Tok Kaya Sendi Diraja dan dua
orang anaknya baru saja keluar dari perut kereta Chevrolet besar.
"Macam mana, sudah selesai?", Itu yang di tanyakan oleh Tok Sendi Diraja pada Datuk.
"Belum selesai. Lagi tiga penjuru belum di taruh", balas Datuk. Tok Kaya Sendi Diraja terus memberitahu Datuk,
makan minum Datuk dan saya akan di hantar sendiri oleh tukang masak ke bilik. Satu layanan yang sungguh
istimewa dari seorang jutawan pada orang biasa.
Kerana waktu maghrib sudah tiba, Datuk dan saya terus naik ke tingkat atas sesudah mengambil air sembahyang.
Lepas sembahyang Datuk meneruskan zikirnya. Saya keluar dari bilik mundar-mandir ruang tengah. Saya terkejut
dan hampir menjerit, dari sudut ruang tengah yang agak suram itu keluar seorang gadis dengan pakaian diraja. Di
kepalanya terletak mahkota yang memancar, di tangannya terletak sebilah sundang. Kain labuh yang menutup
badannya berwarna kuning. Saya terus lari masuk bilik.
"Kenapa, macam kena kejar syaitan."
"Ada puteri raja di sini tok”
"Kau gila? Lain kali jangan merayau. Kalau kau bantah cakap aku, cekik kau sampai mampus”, Datuk memberi
amaran dengan nada suara yang marah. Saya diam dan terus membaca surah Yasin. Datuk sudah pun selesai
berzikir. Saya sudah pun menghabiskan bacaan surah Yasin. Kami baring di atas katil kuno. Tiba-tiba daun pintu
diketuk orang. Datuk buka pintu dan saya berdiri di belakangnya.
Seorang lelaki muncul, tinggi dan besar orangnya, dada berbulu memakai tanjak dan ada bintang kebesaran di
tengah tanjak, serta padang panjang di pinggang. Lelaki itu hanya muncul beberapa detik saja di hadapan kami.
Datuk segera turun ke bilik Pak Ayub Naim di bawah. Barang kali Pak Ayub Naim boleh memberikan keterangan
lanjut berhubung dengan perkara aneh yang ditemui. Dia sudah menjadi penjaga rumah semenjak ayah Tok Kaya
Sendi Diraja masih hidup.
"Usah takut, anak dara itu memang salah seorang penghuni rumah ini, dia hanya mengucapkan selamat datang”,
katanya dengan berketawa pada Datuk.
"Orang lelaki itu siapa?", soal saya.
"Dia juga macam anak dara tu. Dia memberi salam perkenalan saja pada tuan berdua. Dia tidak akan mengganggu”,
jawabnya.
Ternyata Datuk tidak puas hati dengan jawapan itu. Tetapi dia tidak mahu mengemukakan sebarang pertanyaan
lanjut. Kami naik ke bilik atas. Hidangan sudah tersedia. Lepas makan kami sembahyang Isyak. Lepas itu saya tidur.
Empat penjuru rumah Tok Kaya Sendi Diraja sudah di tanam dengan buluh tumpat. Dengan pertolongan Allah, rumah
itu tidak akan dimasuki pencuri. Atas permintaan Tok Kaya Sendi Diraja, Datuk dan saya dijemput duduk dua malam
lagi di rumah itu. Tok Kaya Sendi Diraja mahu Datuk memulihkan semangat rumah. Menurut Tok Kaya Sendi Diraja,
dia selalu bimbang dan berhadapan dengan perkara-perkara aneh bila dia membuat kira-kira pemapaan di bilik
khasnya. Kadang-kadang dia terasa ada makhluk lain di rumahnya. Pernah satu ketika dia tertidur di meja tulis,
apabila dia sedar dari tidurnya, dia telah berada di atas katil disampang isterinya. Pakaiannya ditukar dengan baju
tidur tanpa di sedarinya.
"Tetapi belum ada keluarga saya yang dicederakan", adu Tok Kaya Sendi Diraja pada Datuk di ruang tamu bawah.
"Saya merahsiakan perkara ini dari kaum keluarga", tambahnya sambil menyatakan keyakinan bahawa Datuk dapat
mengatasi masalah yang dihadapinya itu berdasarkan dari cerita Mohd Zain kepadanya.
"Saya cuma boleh menolong saya”, kata Datuk merendah diri. Tok Kaya Sendi Diraja tersenyum. Sementara itu di
luar, senja kian menjauh. Kedua-dua anak Tok Kaya Sendi Diraja mula meninggalkan halaman rumah. Norbaya yang
bongsu pergi ke bahagian dapur, manakala Norlin yang bercuti dari universiti melintas di depan kami. Dia segera
menaiki tangga yang menghubungkan antara ruang bawah dengan ruang atas.
91
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Tok Kaya Sendi Diraja lalu menceritakan tentang anaknya Norlin, yang akan tamat pengajian doktornya akhir tahun
ini. Belum pun cerita itu tamat, kami bertiga terkejut. Isteri Tok Kaya Sendi Diraja menerpa ke arah kami. Satu jeritan
nyaring dan keras menguasai rumah dua tingkat itu yang datang dari bahagian atas.
"Itu jeritan Norlin", kata isteri Tok Kaya Sendi Diraja.
Kami pun segera memijak anak tetangga yang berbentuk melingkar itu. Sampai di atas, Tok Kaya Sendi Diraja segera
membuka pintu bilik yang selalu Norlin gunakan ketika menghabiskan cuti dari universiti. Norlin terduduk di pinggir
tempat tidur dengan nafas yang sesak, mukanya pucat benar.
"Ada apa Norlin?", tanya Tok Kaya Sendi Diraja.
Norlin tidak menjawab. Peluh halus tumbuh di dahi. Di luar hari kian gelap. Terdengar suara gagak sesat menjerit di
dahan pokok kekabu.
"Ada apa nak?", soal isterinya pula.
Ketika itu Pak Ayub Naim pun tiba. Angin kian keras masuk ke dalam ruang rumah. Langsir bergerak-gerak dengan
hebatnya.
"Ada apa Norlin? Cakaplah”, pujuk Tok Kaya Sendi Diraja. Norlin bangun dan terus memeluk ibunya. Dia menangis di
atas dada ibunya semahu-mahunya. Isteri Tok Kaya Sendi Diraja mengusap rambut anak perempuannya dengan
penuh kasih sayang.
"Kau nampak manusia di sini", Pak Ayub Nairn bertanya dengan nada suara yang cukup lembut pada Norlin yang
hanya mengangkat bahu saja. Peristiwa yang terjadi itu memaksa saya duduk sendirian duduk di bilik. Datuk pergi
menemui Tok Kaya Sendi Diraja di biliknya. Datuk bertanya tentang salasilah keturunan Tok Kaya Sendi Diraja dari A
hingga Z.
Kira-kira pukul sepuluh malam, Datuk masuk ke bilik tidur. Dia termenung panjang di atas katil kuno. Saya tidak
berani bertanya apa yang di perkatakannya dengan Tok Kaya Sendi Diraja. Saya biarkan Datuk mengelamun
sendirian. Angin malam berhempas pulas di luar. Dahan-dahan kayu bergoyang keras. Langit hitam, bulan pun tidak
timbul di langit. Saya resah tidak menentu, bagaikan ada makhluk asing berdiri di hujung kaki. Datuk masih bertafakur
di atas katil kuno.
Tiba-tiba saya terdengar sesuatu yang keras berlaku di luar rumah seperti bunyi dahan kayu dipatah orang. Saya rasa
badan saya dilangkah oleh sesuatu. Bulu roma tengok saya tegak berdiri. Angin kian keras bertiup. Jendela rumah
terbuka dengan sendiri. Saya lihat ada lembaga samar-samar masuk ke dalam ikut jendela yang terdedah. Angin
berhenti bertiup. Diganti dengan titik hujan. Saya tidak tahu kenapa badan saya berpeluh.
Kepala saya bagaikan di jamah orang. Ada benda sejuk menyentuh pipi saya, sejuknya bukan kepalang macam
hidung orang mati. Saya menepis, tidak ada yang kena sasaran. Saya hanya menepis angin. Tiba-tiba pintu bilik
diketuk orang. Datuk melompat dari atas katil dan membuka pintu.
"Anak saya Norlin”, ujar Tok Kaya Sendi Diraja dengan wajah cemas.
"Kenapa?", soal Datuk.
"Berjalan dan menari sendirian"
"Allah", keluh Datuk.
Kami pun berlari menuju ke bilik Norlin. Memang benar, Norlin sedang menari macam tarian klasik orang India. Datuk
menyuruh Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya merebahkan Norlin ke atas katil. Norlin mengikut tanpa sebarang
perlawanan. Bila Norlin di baringkan, jam kuno di tengah rumah berbunyi dua belas kali.
Hujan kian menjadi -jadi di luar. Saya rasa bilik itu terlalu panas. Saya juga terasa ada makhluk asing beratus-ratus
orang mengisi dalam ruang bilik. Makhluk itu tidak dapat dilihat tetapi bukti yang menunjukkan makhluk asing berada
di situ memang ada. Buku-buku bacaan Norlin ada yang terbuka dan tertutup dengan sendiri. Pensel dan pen yang
terbuka juga tertutup dengan sendiri. Hal itu tidak di sedari oleh Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya. Mereka asyik
melihat Norlin.
Muka Norlin pucat, keningnya berkerut dan peluh-peluh halus membintit di kening. Seolah-olah Norlin berhadapan
dengan sesuatu yang amat menakutkan. Matanya tegak merenung ke atas. Sesekali dia tersenyum.
"Norlin, Norlin emak ada di sini", kata isteri Tok Kaya Sendi Diraja sambil menggoncang badan Norlin yang matanya
terbeliak.
92
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Usir dia, halau dia. Jangan beri dia masuk!" jeritnya sekuat hati.
"Siapa dia nak? Cakap dengan saya", rayu Datuk. Norlin merenung ke pintu, berpaling ke kiri dan ke kanan. Tidak
ada sesiapapun di situ.
Siri 23 - Roh Bayi Cari Ibu
Datuk menggigit bibir. Sepasang matanya berpaut pada wajah Norlin yang kelihatan cemas itu. Dari wajah Norlin,
mata Datuk beralih ke wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya.
"Mahu halau siapa? Tidak ada seorang pun yang masuk ke sini?", ulang Datuk dengan nada suara yang cukup
lembut.
"Ada. Dia selalu ganggu saya, kalau diusir diaaaa...", dan Norlin terus menghentak-hentakkan kaki ke lantai sambil
meronta-ronta. Ibunya terus memeluk dengan erat dan kemas. Datuk terdiam, tidak tahu apa yang harus di buatnya.
Suara bising di bilik atas membangunkan Pak Ayub Naim dan isterinya yang tidur di bilik bawah. Mereka naik ke bilik
Norlin. Waktu Pak Ayub dan isterinya sampai, Norbaya sedang menyapu peluh yang tumbuh di dahi Norlin. Isteri Pak
Ayub Naim terus bertanya:
"Apa yang dah jadi Norlin?"
"Saya takut makcik", suara Norlin terketar-ketar. Kemudian Norbaya memberitahu isteri Pak Ayub Naim bahawa
kakaknya seperti melihat sesuatu di luar bilik mahu mengacaunya. Norbaya terus membaca ayat-ayat suci, tiba-tiba
dia mendapati Norlin jatuh pengsan.
"Badannya terus jadi panas makcik", ujar Norbaya. Isteri Pak Ayub Naim resah dan berkata pada suaminya:
"Apa yang harus kita buat?" Pak Ayub Naim terdiam. Dia berjalan berpusing-pusing di hadapan Tok Kaya Sendi
Diraja lalu berhenti di hadapan Datuk.
"Norlin diganggu oleh sesuatu. Setahu aku, penjaga rumah tua ni tidak akan membuat kacau, apa lagi terhadap
keluarga Tok Kaya", tutur Pak Ayub Naim. Mukanya merenung muka Datuk dan Tok Kaya Sendi Diraja. Pak Ayub
terus menyambung:
"Kalau pun dia menampakkan dirinya, itu sebagai tanda salam perkenalan.
Isteri Pak Ayub Naim secara tiba-tiba berdiri. Matanya mula merah merenung ke wajah Norlin.
"Sama ada salam perkenalan atau tidak, dia tetap syaitan. Saya tahu setiap kali Norlin cuti dia jadi korban", nada
suara isteri Pak Ayub Naim cukup keras. Semua yang ada dalam bilik itu berpandangan sesama sendiri.
"Kita harus mengatasi masalah ini. Saya tak mahu anak saya jadi korban”, kata isteri Tok Kaya Sendi Diraja.
"Siapa orangnya boleh menolong kita?", sahut Pak Ayub Naim. Pertanyaan Pak Ayub Naim tidak mendapat jawapan.
Datuk terus bercakap sesuatu dengan Tok Kaya Sendi Diraja. Kemudian Tok Kaya Sendi Diraja pula membisikkan
sesuatu ke telinga Pak Ayub Naim.
"Baik", tiba-tiba suara Pak Ayub Naim meninggi lalu keluar dari bilik.
Sepuluh minit kemudian Pak Ayub Naim masuk ke bilik dengan membawa air dalam mangkuk putih.
"Berikan padanya", ujar Tok Kaya Sendi Diraja. Pak Ayub Naim meletakkan mangkuk putih berisi air di hadapan
Datuk. Datuk memasukkan separuh jari hantunya ke dalam mangkuk putih.
"Ambil air ini dan sapukan ke mukanya", beritahu Datuk pada isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Perintah Datuk segera
dilakukan. Bila jari jemari isteri Tok Kaya Sendi Diraja menyapu air ke muka Norlin, saya lihat Norlin lemah dan terus
terlena.
Norlin pun diletakkan ke atas katil dengan ditemani oleh ibunya. Tok Kaya Sendi Diraja, Datuk dan Pak Ayub Naim
keluar dari situ dan terus menuju ke bilik saya dan Datuk menginap. Mereka berbincang panjang. Datuk dengan rasa
rendah hati ingin membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh keluarga Tok Kaya Sendi Diraja.
"Saya sekadar mencuba. Sama ada jadi atau tidak terletak pada kuasa Allah. Kalau Allah memberkati, kita akan
berjaya”, ujar Datuk.
"Saya faham”, sahut Tok Kaya Sendi Diraja.
93
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Mencuba apa salahnya”, celah Pak Ayub Naim pula. Akhirnya mereka pun berpisah.
Esoknya Norlin terus jatuh sakit. Tubuhnya sekejap panas, sekejap sejuk. Datuk tidak melakukan sesuatu pada
sebelah paginya bagi mengubati sakit Norlin. Menurut Datuk Norlin demam kerana lemah semangat. Pada sebelah
petangnya, baru Datuk memulakan tugasnya. Itu pun sesudah membuat beberapa persiapan rapi di biliknya. Datuk
meminta izin pada Tok Kaya Sendi Diraja untuk masuk ke bilik Norlin.
"Silakan, emaknya ada di dalam”, Kata Tok Kaya Sendi Diraja. Datuk merenung muka Tok Kaya Sendi Diraja.
”Jangan tegur apa yang saya lakukan”, dengan tenang Datuk mengingatkan kepada saya dan Tok Kaya
Sendi Diraja. Dengan tenang Datuk melangkah. Berdiri betul-betul di tengah pintu bilik. Dia memusingkan badannya
dari kiri ke kanan.
Dia mengeluarkan kain hitam dari pinggang lalu melemparkan ke ruang tengah rumah. Lepas itu, Datuk pun
mempersilakan Tok Kaya Sendi Diraja dan saya menghampiri Norlin. Tiba-tiba wajah Norlin berubah menjadi takut
dan cemas. Dia merasakan Datuk mahu mengganggunya. Namun begitu dengan wajah yang tenang dan penuh
keyakinan, Datuk memegang urat nadi di tangan kanan Norlin. Mulut Datuk terus terkumat-kamit. Matanya sekejap
terpejam, sekejap terbuka. Datuk memperhatikan wajah Norlin dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Saya lihat Datuk menarik nafas panjang. Datuk mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Saya terdengar
bunyi jam tua di tengah ruang berbunyi lima kali. Angin petang terasa masuk dengan deras ke dalam bilik. Ada bunyi
suara burung gagak liar di pucuk kekabu.
Meski pun di luar cuaca cukup panas dan cerah, tetapi diruang itu tetap kelihatan muram, malah ada beberapa
bahagian rumah itu bagaikan tidak kena sinar matahari. Sedang saya dan Tok Kaya Sendi Diraja serta isterinya
melihat Datuk menjalankan tugasnya dengan tekun. Terdengar bunyi bingkai gambar terhempas di lantai. Kaca dari
bingkai gambar itu bagaikan bergerak sendiri menuju ke arah tiang seri rumah. Bila Tok Kaya Sendi Diraja mahu
merapatinya, Datuk segera menahan.
"Jangan”
"Kenapa?"
"Barangkali dia mahu menguji kita"
"Apa yang patut kita lakukan?"
"Tidak ada apa yang perlu kita lakukan”, Datuk memberi penjelasan pada Tok Kaya Sendi di Diraja. Dan Tok Kaya
Sendi Diraja pun anggukkan kepalanya dua tiga kali. Waktu isteri Tok Kaya Sendi Diraja membetulkan duduknya
kerana lenguh lama duduk bertempuh, pintu bilik berbunyi dengan kuatnya macam dihempas oleh tangan manusia.
Gegarannya menjatuhkan botol-botol kecil yang terletak di atas meja hias Norlin. Bulu roma saya mula tegak. Datuk
masih lagi tenang. Mata Norlin tidak seliar tadi. Kedua dua biji matanya merenung lelangit rumah. Norlin tidak tahu
apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia seolah-olah berada di dunia lain.
Datuk memberi isyarat kepada Tok Kaya Sendi Diraja supaya mendekatinya.
"Bagaimana?", soal Tok Kaya Sendi Diraja pada Datuk.
Datuk pun mendekatkan mulutnya ke telinga Tok Kaya Sendi Diraja lalu berbisik:
"Memang ada yang mengacaunya."
"Siapa? Penunggu rumah ini, dia tu rajakah, puterikah atau apa?"
Nampak benar tidak sabarnya Tok Kaya Sendi Diraja bila berhadapan dengan masalah yang rumit itu. Datuk mula
resah. Memang pantang benar bagi dirinya bila dia menjalankan tugas, di ganggu dengan beberapa soalan atau
pertanyaan. Perbuatan begitu boleh mengganggu tumpuan fikiran pada kerja yang dilakukan.
"Saya tak dapat mengatakan siapa orangnya. Ada baiknya Tok Kaya tengok sendiri."
"Tengok sendiri? Apa saya seorang saja kah?"
"Tidak. Bersama dengan orang yang ada di sini." Mendengar jawapan dari Datuk itu, Tok Kaya Sendi Diraja
merenung muka isterinya. Mereka nampak cemas dan gusar sekali. Norlin masih terkapar di atas katil. Matanya tidak
lagi tertumpu pada lelangit rumah. Datuk memberi isyarat supaya saya menghampirinya.
94
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Ada apa tok?"
"Kau duduk dekat aku”, suaranya cukup tegas. Saya angguk kepala dengan lemah. Ekor Datuk merenung wajah Tok
Kaya Sendi Diraja.
"Usah bimbang. Tok Kaya dan yang lain-lain harus mandi dengan air bunga tujuh jenis”, beritahu Datuk pada Tok
Kaya Sendi Diraja dengan wajah yang selamba. Datuk lalu minta mangkuk putih berisi air bersama dengan bunga
kemboja, bunga raya dan bunga tanjung.
Tidak sampai sepuluh minit, semua barang yang di kehendaki oleh Datuk tersedia di hadapannya. Tiga kuntum buang
yang berlainan jenis itu Datuk taburkan ke atas air dalam mangkuk putih. Jam tua di tengah ruang rumah berbunyi
lagi sebanyak enam kali. Cuaca di luar tidak secerah tadi. Keadaan dalam rumah bertambah suram.
Kami terdengar bunyi deru angin menguasai perut rumah. Bunyinya cukup kuat. Datuk menyuruh kami menghadapi
keadaan itu dengan tenang. Dan Datuk pun memperkemaskan silanya. Datuk memejamkan matanya sambil menarik
nafas dengan tenang. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Nafasnya kian kencang. Wajah Datuk berkerut.
Kemudian Datuk meraba telinga kirinya tiga kali berturut-turut. Wajahnya kelihatan beransur tenang dan tarikan
nafasnya bertambah aman. Datuk pun membuka matanya dengan perlahan-lahan dan merenung ke kiri dan ke
kanan. Wajah saya dan wajah Tok Kaya Sendi Diraja direnung dengan tajam oleh Datuk.
"'Begini Tok Kaya. Penunggu ini sedia menemui kita”, kata Datuk.
"Bila?", soal saya tidak sabar.
"Malam ini, kira-kira pukul sembilan”, jawapan Datuk itu ternyata menimbulkan kebimbangan di hati Tok Kaya Sendi
Diraja, lalu dia mengemukakan pertanyaan.
"Di mana?"
"Di ruang rumah ini", jawab Datuk dengan nada suara yang agak keras. Bagaikan ada sesuatu kuasa ghaib, Norlin
yang terlentang di atas katil bangun dengan tiba-tiba. Dia nampak sihat dan melangkah dengan tenang di hadapan
Datuk.
"Penunggu rumah sudah membebaskannya. Bawalah dia ke bilik mandi”, Datuk memberitahu isteri Tok Kaya Sendi
Diraja. Arahan Datuk itu segera dipatuhi. Kemudian, Datuk mengajak saya turun dari bilik Norlin.
"Saya dan cucu mahu memetik bunga tujuh jenis, jadi Tok Kaya tak payahlah ikut”, beritahu Datuk pada Tok Kaya
Sendi Diraja.
"Silakan."
"Tapi jangan lupa. Lepas sembahyang Isyak datang jumpa saya ambil air bunga."
"Mesti”, Datuk dan Tok Kaya Sendi Diraja pun ketawa.
Dengan pertolongan Pak Ayub Naim, saya dan Datuk terus pergi ke Kampung Keramat Pulai. Pak Ayub Naim terus
membawa kami ke satu kawasan di kaki gunung. Menurut Pak Ayub Naim semua jenis bunga yang tumbuh di
kawasan itu boleh dipetik.
"Tak payah minta kebenaran dari tuannya?", tanya Datuk penuh keraguan.
Pak Ayub Naim tersenyum.
"Tanah ini, tanah Tok Kaya sendiri, ambillah."
"Senang hati saya. Kita nak buat ubat mesti dapat izin, kalau dah Tok Kaya punya senanglah kita berunding”, Datuk
mengakhiri cakapnya dengan ketawa kecil. Kawasan di kaki gunung itu memang lapang. Di gunung paling hujung ada
tempat orang memecah batu.
Banyak anak muda Keramat Pulai yang bekerja dengan syarikat pemecah batu di situ. Arah ke selatan terdapat
kawasan kolam lombong tinggal dengan air yang membiru. Terdapat beberapa orang kampung dari Keramat Pulai
memancing di kolam lombong tinggal itu.
Satu perkara yang menarik, semua jenis bunga terdapat di kawasan tanah lapang tersebut. Sesekali bila angin
datang saya dapat menghidu baru yang cukup wangi. Datuk pun sudah dapat mengumpulkan tujuh jenis bunga.
95
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Semuanya Datuk masukkan ke dalam bekas khas. Ketika itu, kaki langit sudah bertukar warna. Puncak gunung yang
tadi kelihatan hijau dengan tumbuh-tumbuhan bertukar menjadi hitam sekata.
"Siapa yang tanam pokok-pokok bunga di sini?", soal Datuk pada Pak Ayub Naim. Lelaki tua yang sudah beruban itu
kerutkan dahi luasnya sebentar.
"Arwah ayah Tok Kaya, masa hayatnya dia selalu jalan di sini setiap malam Jumaat, waktu bulan penuh."
"Buat apa dia ke sini?"
"Itu saya kurang periksa pula."
Mendengar jawapan itu, Datuk tidak lagi mengajukan sebarang pertanyaan. Tetapi cakap Pak Ayub Naim itu
menimbulkan beberapa persoalan dalam diri saya.
Apakah arwah ayah Tok Kaya Sendi Diraja mempunyai hubungan sulit dengan makhluk asing? Apakah pokok-pokok
bunga yang di tanam di kawasan kaki gunung itu mempunyai tujuan yang tertentu? Cukup sukar untuk saya memberi
jawapan pada pertanyaan yang timbul dalam diri saya itu.
Kami pun meninggalkan kawasan kaki gunung itu. Waktu saya dan Datuk serta Pak Ayub Naim melintasi jambatan
yang merintangi sebuah anak sungai, suara azan terdengar dari surau kecil yang terletak di tepi sungai.
Datuk pun memutuskan untuk menunaikan fardu Maghrib di surau Keramat Pulai. Selepas menunaikan fardu
Maghrib, kami meneruskan perjalanan ke rumah Tok Kaya Sendi Diraja.
Kali ini saya tidak mahu naik basikal yang di kayuh oleh Datuk. Saya memutuskan mahu naik basikal yang di bawa
oleh Pak Ayub Naim.
"Kenapa?"
"Saya mahu bercakap dengan Pak Ayub Naim"
"Hum, terpulanglah. Boleh ke bawa cucu kami Ayub?"
"Boleh, apa salahnya”
Saya pun terus melompat ke atas lanting basikal. Entah macam mana, Pak Ayub Naim terus bercerita tentang
keistimewaan arwah ayah Tok Kaya Sendi Diraja. Menurut Pak Ayub Naim, ayah Tok Kaya Sendi Diraja pernah
mendapat harta karun di kaki gunung iaitu tempayan tembaga yang sumbing mulutnya.
Tempayan itu tidak di bawa pulang. Ditempatkan di satu kawasan dan dimandikan dengan air bunga-bungaan
selepas sembahyang Jumaat. Sejak bertemu tempayan tentang itu, perniagaannya bertambah maju. Lombong bijih
terus dibuka hingga ke Jeram Mengkuang dekat Bidor. Bila ayah Tok Kaya Sendi Raya meninggal dunia, tempayan
tembaga itu terus ghaib entah ke mana.
Lebih kurang pukul sembilan malam, sesudah dimandikan dengan air bunga tujuh jenis, Tok Kaya Sendi Diraja dan
isterinya kelihatan tenang dan penuh semangat untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Begitu juga dengan
Norbaya, Norlin dan Pak Ayub Naim suami isteri. Semuanya duduk di atas tikar mengkuang panjang dua belas. Norlin
mengadu pada Datuk yang dirinya terasa pening.
Datuk pun menyuruh dia baring dekat ibunya. Sesuai dengan permintaan Datuk, hanya tiga batang lilin sahaja yang di
pasang menjadikan suasana agak samar-samar. Datuk pun duduk lurus-lurus.
Mulut Datuk terkumat-kamit. Suasana cukup sunyi, macam berada di tanah perkuburan di waktu petang. Hanya bunyi
tekanan nafas sahaja yang kedengaran. Entah dari mana, tiba-tiba terdengar sayup-sayup suara lolongan anjing.
Cukup menghairankan, sekitar kawasan itu tidak ada orang yang memelihara anjing. Udara mendadak sahaja
menjadi sejuk. Apa terdengar suara orang mengeluh dari bilik sebelah. Norlin tiba-tiba bangun lalu memandang wajah
ibunya.
"Bersedialah, sebentar lagi dia akan datang”, ujar Datuk perlahan-lahan tetapi cukup tegas. Apa yang dikatakan oleh
Datuk itu memang benar. Di hadapan, secara perlahan-lahan muncul semacam gumpalan kabus, bergulung-gulung
dan kemudian menipis pula secara perlahan-lahan.
Bila gumpalan kabus itu hilang, muka isteri Tok Kaya Sendi Diraja berubah menjadi pucat begitu juga dengan Norlin.
Ada lembaga berbentuk bayi terapung-apung tanpa seurat benang pun. Matanya yang bercahaya itu memandang
wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isteri. Dari situ beralih pula ke muka Norlin.
96
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
"Siapa namamu anak yang baik?”, tanya Datuk.
"Saya belum ada nama”, jawab bayi itu. Tidak terkeluar dari mulut bayi tersebut, tetapi datangnya dari satu arah yang
lain dan bergema pula. Datuk terus merenung ke arah bayi itu.
"Apakah kau yang punya rumah ini?”, tanya Datuk.
Badan Datuk saya lihat mula menggigil bagaikan di goncang oleh sesuatu.
"Kau tinggal menetap di sini?", soal Datuk lagi.
"Tidak”, terdengar suara gema yang agak jauh.
"Kenapa kau ganggu Norlin?"
"Saya cuma nak jumpa emak saya, isteri Tok Kaya Sendi Diraja"
Isteri Tok Kaya Sendi Diraja mula menggelabah, kemudian terpekik tertahan-tahan. Datuk memberi isyarat pada
semua yang ada di situ supaya bertentang. Tetapi perubahan wajah jelas kelihatan pada Tok Kaya Sendi Diraja dan
isterinya.
"Apa fasal kau mahu menemui ibumu?"
"Saya minta di pertanggungjawaban"
"Maksudmu aku faham"
"Kenapa saya dibunuh?"
"Jadi ibumu telah membunuhmu?"
"Ya. Waktu saya tujuh bulan dalam kandungan dengan pertolongan doktor, saya di keluarkan dari rahim secara
paksa"
Sebaik sahaja suara itu hilang, diganti pula dengan suara tangisan. Suara itu terdengar sayup-sayup dan amat
memilukan. Datuk meletakkan kedua belah tangannya atas tempurung lutut. Salah satu dari pada api lilin di
hadapannya di padamkan.
"Kau mahu membalas dendam datang ke sini?"
"Bukan itu maksud saya"
"Jadi apa tujuan mu yang sebenar?"
"Saya memerlukan nama, dan pengakuan dari ibu yang sebenar dan kaum keluarga"
"Baiklah, selain dari aku dan cucuku, ada ayah, emak dan kakak atau adik kau. Mereka sudah mengakui kau sebagai
keluarga mereka”,ujar Datuk sambil merenung muka Tok Kaya Sendi Diraja. Tok Kaya Sendi Diraja dan isteri serta-
merta anggukkan kepala. Datuk menggigit bibir lalu bertanya:
"Siapakah orang yang selalu muncul di sini, seperti yang pernah ditemui oleh cucuku dan orang lain itu?"
Bayi itu kelihatan berpusing-pusing, lalu berdiri dekat tiang seri. Dia seakan-akan ketawa menghadapi ke arah kami.
Terdengar bunyi angin yang cukup kuat. Semua yang ada di ruang rumah berterbangan. Walaupun begitu api lilin
yang tidak jadi padam.
"Mereka adalah waris dari keturunan Datuk nenekku, merekalah yang memberi jalan kemewahan pada keturunan
ayah dan ibuku. Dan merekalah yang mendesak aku supaya menemui ibuku yang sebenar." Terdengar gema suara
dari arah kiri Datuk.
"Baiklah, mereka sudah tahu sekarang. Mereka akui kau adalah keturunan mereka. Pulanglah jangan ganggu
kakakmu Norlin”, Datuk terus bersuara.
"Aku mahu bersalam dengan mereka”,minta bayi itu.
"Silakan”
97
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Keluarga Tok Kaya Sendi Diraja menghulurkan tangan, ternyata mereka tidak bersalaman dengan bayi itu. Mereka
hanya macam terasa angin yang tenang mengenai jari-jemari mereka. Seperti waktu mula muncul, bayi itu terus
berubah menjadi gumpalan yang kabur, kemudian menipis, dan akhirnya terus
menghilang.
Setelah beberapa detik berlalu, Datuk kembali bertafakur dan membaca sesuatu. Dengan nada suara yang parau dan
mengandungi maksud tertentu, Datuk bersuara:
“Bangunlah wahai hati nurani yang tidak di kuasai oleh nafsu. Bangun dan temuilah kami"
Suasana bertambah sepi. Tidak ada seorang pun yang sedar tentang isteri Tok Kaya Sendi Diraja yang jatuh
pengsan. Datuk meletakkan tangannya ke atas dahi isteri Tok Kaya Sendi Diraja.
”Saya tak tahu masa bila dia pengsan”, kata Tok Kaya Sendi Diraja.
"Jangan khuatir, kita mencari jalan yang baik”, balas Datuk lalu menepuk tikar mengkuang panjang dua belas.
Isteri Tok Kaya Sendi Diraja bangun. Duduk bersila, wajahnya pucat. Sepasang matanya merenung mata Datuk.
"Siapakah yang datang tadi? Hati nurani cik puan yang tidak di kuasai oleh nafsu?", tanya Datuk pada isteri Tok Kaya
Sendi Diraja. Dia mengangguk. Wajahnya resah tidak menentu.
"Kau menggugurkan anakmu waktu berusia tujuh bulan?"
Isteri Tok Kaya Sendi Diraja angguk kepala.
"Kenapa kau berlaku sekejam itu?"
"Sebelum saya kahwin dengan Tok Kaya Sendi Diraja, saya jadi tukang masaknya. Kemudian terjadi perkara yang
tidak baik, saya terus diam di bahagian atas rumah ini. Apabila genap tujuh bulan, saya dengan persetujuan Tok Kaya
Sendi Diraja menggugurkan bayi ini dengan seorang doktor swasta di Kuala Kangsar"
Satu pengakuan yang jujur dari isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Dan Tok Kaya mengakui apa yang dikatakan oleh
isterinya itu memang benar. Datuk pun merenung wajah Tok Kaya Sendi Diraja.
"Awak berdua sudah melakukan dosa”, ujar Datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja. Isteri dan suami berpandangan sama
sendiri. Sekarang semua peristiwa buruk itu sudah tidak menjadi rahsia lagi buat keluarga diri Tok Kaya Sendi Diraja.
Tok Kaya Sendi Diraja menundukkan mukanya dan dia baru sedar, bahawa kekayaan yang ada tidak dapat menutup
perbuatan terkutuknya.
"Lupakan semuanya itu. Yang berdosa tetap berdosa. Hanya Allah yang Maha Besar lagi Penyayang sahaja yang
boleh menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan kamu berdua”, tambah Datuk.
Tok Kaya terus menarik tangan Datuk pergi ke ruang bawah. Saya mengikutinya dari belakang. Saya tidak tahu apa
yang mereka bicarakan. Selepas bercakap Datuk pun mengajak saya ke biliknya. Sebaik sahaja pintu bilik di buka,
wajah lelaki yang garang berbadan besar tercegat di dalam bilik. Datuk berhenti di hadapannya. Datuk pun
memejamkan mata.
"Aku hanya datang untuk membetulkan mana yang silap”, kata Datuk pada lembaga itu yang bergerak ke kanan
sambil tersenyum dan terus hilang.
Siri 24 - Puaka Tiang Seri
Lebih kurang pukul dua belas malam, Tok Kaya Sendi Diraja datang menemui Datuk. Dia pun menceritakan apa yang
berlaku sebentar tadi memang tidak di duganya. Kalaulah dia tahu kejadian itu akan membuka rahsia dirinya,
memang dia tidak akan mengundang Datuk ke rumahnya. Tetapi, Datuk terus menasihati Tok Kaya Sendi Diraja
supaya menerima kenyataan ini dengan rela hati.
"lnilah kuasa Allah, dia melakukan sesuatu atau menunjukkan sesuatu di dunia untuk kita supaya kita sedar. Allah
boleh melakukan pembalasan terhadap kerja yang tidak direlakanNya di muka dunia tanpa menunggu kita menemui
ajal”
Apa yang di perkatakan oleh Datuk itu di akui oleh Tok Kaya Sendi Diraja. Dan malam itu juga, Tok Kaya Sendi Diraja
menyatakan hasratnya untuk pergi menunaikan fardu haji ke Tanah Suci Mekah. Bila melihat keadaan sudah tenang,
98
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Datuk pun memberitahu Tok Kaya Sendi Diraja tentang hasratnya untuk pulang ke kampung. Mendengar kata-kata
itu, Tok Kaya Sendi Diraja nampak resah.
"Kenapa cepat sangat nak balik? Tunggulah sehari dua lagi”, tahan Tok Kaya Sendi Diraja.
Datuk tersenyum sambil melihat langit petang yang berwarna kemerah-merahan dari anjung rumah.
”Kita ada anak isteri, ada binatang yang perlu di tengok Tok Kaya”
”Apa yang dirisaukan, ada yang menjaganya”
"Betul. Tapi isteri kita pun dah uzur jadi tak boleh tunggu sehari dua”
Tok Kaya Sendi Diraja bangun dari kerusi. Berjalan ke depan, dekat tingkap. Kedua belah tapak tangannya menekan
jenang tingkap.
"Saya masih mengharap pertolongan awak. Barang kali inilah pertolongan akhir saya minta", kata Tok Kaya Sendi
Diraja sambil memusingkan badannya memandang wajah Datuk.
Tok Kaya Sendi Diraja datang dekat Datuk lalu duduk atas kerusi.
"Apa lagi yang mahu saya tolong?”
”Masalah itu dah selesai, tetapi ada masalah lain"
"Maksud Tok Kaya?”
"Orang berbadan besar yang selalu ganggu saya"
Datuk terdiam. Matanya tajam merenung keluar pada pokok-pokok pisang di dada jalan raya Ipoh-Kuala Lumpur yang
tidak putus dengan kenderaan.
Ada sesuatu yang Datuk fikir. Saya memang mengharapkan supaya Datuk menolak permintaan Tok Kaya Sendi
Diraja itu. Sudah bosan saya tinggal di rumah itu. Jiwa dan fikiran saya tidak pernah tenang dan aman.
"Baiklah, apa yang Tok Kaya mahu dari saya?"
"Menghalau penunggu rumah ini"
"Satu kerja yang sulit. Kalau dia datang kemudian senanglah kita. Tetapi, kalau sudah jadi penunggu turun temurun
memang payah”
"Sebabnya?"
"Ini merupakan satu dari warisan keturunan Tok Kaya"
Jawapan dari Datuk itu mendatangkan rasa yang amat kecewa pada diri Tok Kaya Sendi Diraja. Renungan matanya
begitu redup tertumpu ke arah muka Datuk. Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dada Tok Kaya Sendi
Diraja.
Dalam sejarah saya mengikuti kegiatan Datuk, belum pernah dia menolak setiap pertolongan yang di minta darinya.
Permintaan Tok Kaya Sendi Diraja tidak dapat ditunaikannya, tanya saya dalam hati.
"Kalau Tok Kaya berhajat juga, boleh saya cuba", Datuk memberi harapan.
Segaris senyum senang berlari di bibir Tok Kaya Sendi Diraja. Datuk meminta Tok Kaya Sendi Diraja mencari tempat
bara. Datuk juga mahu bara yang diisikan ke tempat itu mestilah bara dari kayu keruing yang melintang uratnya.
Dengan susah payah Tok Kaya Sendi Diraja mencari kayu keruing melintang urat.
Nasibnya cukup baik, dengan pertolongan Pak Ayub Naim kayu itu diperolehnya. Kayu itu dibakar dan diambil
baranya. Semua diserahkan pada Datuk. Datuk pun melihat ke langit lagi sekali.
Dia melihat awan putih yang bergerak lembut ke arah matahari. Bila sebahagian daripada awan itu menutup bahagian
pinggir matahari, Datuk pun melompat dan bersuara:
"Bawa perasap itu ke tengah ruang”
99
Bercakap Dengan Jin – Siri 1
Saya sambar tempat bara api dan berlari membawanya ke tengah ruang rumah, dan meletakkannya di situ. Saya
berpatah balik ke tempat Datuk. Saya lihat Datuk sedang bercakap dengan Tok Kaya Sendi Diraja.
"Di mana kau letakkan benda tu?", tanya Datuk.
"Di tengah rumah"
Datuk lagakan gigi atas dengan gigi bawah. Tangan kanannya menyentuh dinding rumah. Mata Datuk kelihatan rapat
dan tangan kirinya diletakkan atas bahu Tok Kaya Sendi Diraja. Secara mendadak saya lihat Tok Kaya Sendi Diraja
jatuh, macam ditendang sesuatu. Datuk buka mata dan memandang tepat ke arah saya. Dia pun membangunkan Tok
Kaya Sendi Diraja sambil berkata:
"Salah satu tiang di dalam rumah ini ada penunggunya"
Muka Tok Kaya Sendi Diraja kelihatan pucat. Badannya menggeletar. Bibirnya kelihatan kebiru-biruan.
"Datuk nenek Tok Kaya dulu memeliharanya dengan tujuan penjaga rumah”, jelas Datuk.
"Saya tak tahu"
"Sekarang Tok Kaya dah tahu”, ujar Datuk dengan ketawa memanjang. Tok Kaya Sendi Diraja pun tersengih. Datuk
pun menyuruh saya meletakkan tempat perasap dekat tiang seri. Perintah itu saya patuhi. Bila saya mahu melangkah
merapati Tok Kaya Sendi Diraja dan Datuk, saya dapati mereka sudah pun berada dekat saya.
"Duduk”, kata Datuk.
Saya pun duduk, begitu juga Tok Kaya Sendi Diraja. Saya duduk sebelah kanan dan Tok Kaya Sendi Diraja duduk
sebelah kiri Datuk. Semua menghadap ke arah tempat perasap. Datuk menaburkan kemenyan dalam bara api. Asap
kemenyan menguasai ruang rumah. Datuk bertafakur sejenak. Matanya rapat dan kedua lengan terletak di atas
kepala lutut. Suasana dalam rumah itu terasa aneh sekali. Terlalu sepi, saya rasa seolah-olah berada di satu tempat
yang cukup tenang dan terdengar bunyi air sungai mengalir. Dari tiang seri rumah terhidu bahu yang cukup harum.
Saya mengerling dengan ekor mata ke arah tiang seri itu. Saya lihat tiang seri itu mengeluarkan asap nipis, kemudian
terus hilang. Datuk pun menoleh ke arah Tok Kaya Sendi Diraja dan terus berkata:
"Ada tanda kejayaannya”
Tok Kaya Sendi Diraja terus tersenyum. Datuk pun menyatakan padanya bahawa dia telah dapat berbicara dengan
menunggu itu secara perasaan dengan tenang sekali. Penunggu rumah itu akan keluar menemui Datuk pada tengah
malam nanti. Sebelum bertemu, penunggu yang berwajah garang dan berbadan besar itu minta diadakan satu
upacara kecil dengan menepung tawar tiang seri. Satu permintaan yang cukup mudah dilaksanakan.
Menjelang waktu Maghrib, tiang seri itu pun ditepung tawar Datuk. Tok Kaya Sendi Diraja dan anak isteri turut
menyaksikan upacara kecil itu.
"Begitu saja, biar saya uruskan. Tok Kaya jangan campur tangan dalam soal ini”, ujar Datuk dengan tenang.
"Maksud awak?"
"Begini. Saya akan berjumpa dengannya secara terbuka. Biar saya tanya asal-usulnya dan petua bagai mana mahu
menghalaunya”
"Saya mahu tengok"
"Percayalah pada saya. Kalau baik berita yang saya dapat, berita baiklah yang akan saya beritahu, dan begitulah
sebaiknya"
Tok Kaya Sendi Diraja setuju. Dia yakin Datuk mahu menolongnya dalam masalah ini. Tok Kaya Sendi Diraja yakin
Datuk tidak memiliki hati yang bercabang.
"Kalau dah begitu kata awak, saya menurut saja”, jawapan itu amat menyenangkan hati Datuk.
Tepat jam dua belas malam, Datuk pun meletakkan bantal dua bertindih di bucu katil. Cadar katil yang berwarna
kuning di bentangkan atas lantai. Cukup teliti Datuk menyusun kedudukan barang-barang di atas katil. Sekali padang
bagaikan singgahsana raja-raja zaman silam, seperti yang selalu kita tonton dalam filem purbawara keluaran
tempatan dalam tahun enam puluhan. Datuk mengenakan baju dan seluar hitam, berkain samping merah, memakai
tanjak dan sebilah keris tersisip di pinggang. Datuk juga menyuruh saya berpakaian kemas. Saya di suruh oleh Datuk
duduk di kaki katil. Saya diberi perintah supaya jangan panggungkan kepala walau apa pun yang berlaku dalam bilik.
100