Teks Ucapan Pengetua Majlis Perasmian Penutupan Kem Kepemimpinan Badan Kepimpinan Murid SMK Abdul Jalil Tahun 2023/2024
1 TEKS UCAPAN PENGETUA MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN KEM KEPEMIMPINAN BADAN KEPIMPINAN MURID Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih kepada saudara / saudari pengerusi majlis. Yang dihormati, Encik Mohd Jamil bin Abdul Hamid, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Puan Zarinah binti Ismail, Penolong Kanan Kurikulum. Puan Nurisma binti Ismail, Penolong Kanan Kokurikulum. Encik Ahmad Nazrin bin Mohd Rosli, Penolong Kanan Petang. Pihak Perunding daripada Psyche Motivation Consultancy (PMC). Barisan guru dan murid-murid, Badan Kepimpinan Murid yang dikasihi sekalian.
2 Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan rahmat-Nya, Kem Kepemimpinan Badan Kepimpinan Murid Tahun 2023/2024 telah selesai dilaksanakan dengan jayanya hasil kerjasama yang jitu daripada Badan Kepimpinan Murid SMAJA bersama dengan pihak Psyche Motivation Consultancy (PMC). Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak PMC kerana berjaya merancang dan melaksanakan aktiviti yang sangat bermanfaat buat anak-anak Badan Kepimpinan Murid, SMAJA pada hari ini. Sekalung penghargaan dan tahniah juga diucapkan kepada semua murid yang terlibat kerana telah berjaya mengikuti kem kepemimpinan ini. Sesungguhnya, anda semua adalah golongan yang terpilih dan berbakat dalam bidang kepimpinan. Saya percaya segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang hari ini akan dapat dijadikan panduan untuk menjadi pemimpin yang lebih bertanggungjawab dan berkepimpinan pada masa akan datang.
3 Murid-murid sekalian, Kalau hendak mencuci kain, Sudah dicuci lalu dijemur; Kalau hendak menjadi pemimpin, Rendahkanlah hati berlakulah jujur. Anda semua ialah generasi pewaris pemimpin akan datang. Sikap kepimpinan perlu dipupuk dalam diri masing-masing kerana setiap daripada anda akan menjadi seorang pemimpin sama ada sebagai pemimpin sesebuah organisasi mahu pun pemimpin sesebuah keluarga. Anda juga pastinya seorang pemimpin bagi diri anda sendiri. Justeru, asahlah bakat kepimpinan dalam diri anda semua bermula dari hari ini supaya anda akan menjadi seorang pemimpin yang berwibawa kelak. Mulakanlah bakat kepimpinan anda dengan membantu para guru untuk menguruskan Badan Kepimpinan Murid dengan lebih baik supaya anda semua menjadi ‘role model’ kepada murid-murid yang lain.
4 Hadirin sekalian, Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para guru yang telah berkorban masa dan tenaga untuk memastikan Kem Kepemimpinan Badan Kepimpinan Murid ini berjalan seperti yang dirancang. Biar pun pelbagai dugaan melanda, para guru tetap positif dan komited dalam memastikan anak-anak murid dapat menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman yang tidak ternilai pada hari ini. Tahniah dan terima kasih juga kepada semua yang terlibat secara tidak langsung dalam menjayakan program ini. Apabila sesuatu program itu dijalankan atas landasan kefahaman dan toleransi antara semua pihak, sudah pasti program tersebut akan membuahkan hasil yang baik. Sokongan dan kerjasama daripada semua pihak amatlah dihargai. Semoga pengalaman yang dilalui sepanjang kem ini berlangsung dapat memberikan satu pengetahuan dan kenangan yang baharu kepada kita semua. Akhir kata, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Majlis Penutupan Kem Kepemimpinan Badan Kepimpinan Murid SMK Abdul Jalil Tahun 2023/2024. Sekian, terima kasih.