PENGURUSAN MASA
YANG BERKESAN.
CIKGU MUSLI BIN ANDALAN
GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING
MAKTAB SABAH, KOTA KINABALU.
PENGURUSAN MASA YANG BERKESAN.
Pengurusan masa bermaksud pelajar mengawal penggunaan masa yang ada
sama ada 60 minit dalam satu jam, 24 jam dalam satu hari, 7 hari dalam seminggu
atau 12 bulan dalam setahun dengan cekap dan berkesan untuk mencapai matlamat
yang telah ditetapkan.
Untuk memastikan pelajar dapat menguruskan masa secara cekap dan berkesan
pelajar perlu mengkelaskan masa dan kerja kepada beberapa jenis iaitu;
1. Masa ketika pelajar paling segar, bertenaga dan dapat menumpukan sepenuh
perhatian kepada proses pembelajaran.
2. Masa sewaktu pelajar paling keletihan atau terdedah kepada faktor-faktor
gangguan dimana pelajar sukar untuk mendapatkan konsentrasi, dan
3. Masa di antara dua waktu yang dinyatakan di atas.
Setelah mengkelas masa-masa ini, pelajar perlu mengatur strategi untuk melakukan
berbagai jenis aktivti di dalam masa-masa yang dinyatakan di atas. Sebagai contoh
masa ketika pelajar paling segar, bertenaga dan dapat menumpukan sepenuh
perhatian kepada proses pembelajaran hendaklah digunakan untuk membuat tugasan
atau kerja rumah, mengulangkaji pelajaran dan membuat latihan menjawab soalan-
soalan peperiksaan yang lalu.
Untuk jenis masa (2) pula, pelajar perlu mengisinya dengan kerja-kerja sampingan
lain yang boleh membantu pelajar dalam mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Masa ini bolehlah digunakan untuk mencari buku-buku rujukan di perpustakaan,
fotokopi makalah atau rencana untuk dijadikan bahan ulangkaji.
Manakala masa (3) pula bolehlah digunakan untuk melakukan aktiviti-aktiviti bio-
fisikal, beribadat, makan, minum dan berehat.
Terdapat pernyataan berbunyi ' menunda sesuatu perbuatan baik, kerana
menunggu waktu yakni kesempatan yang lebih baik menandakan tanda
kebodohan telah mempengaruhi jiwa'. Antara lain juga menyebut 'kekayaan yang
hilang boleh dikejar kembali dengan usaha dan kerja yang bersungguh-
sungguh. Kesihatan yang hilang boleh dikembalikan dengan ubat-ubatan tetapi
waktu yang hilang, sekali hilang akan terus hilang'.
'Ada yang kata masa itu wang
Ada yang kata masa itu emas
Ada juga yang kata, masa itu hampas tebu
Tapi untuk orang yang berjaya, masa itu kehidupan duniawi dan ukhrawi'.
Pelajar perlu sedar, dalam kehidupan sehariannya terdapat tiga jenis masa yang
utama iaitu:
1. Masa berkaitan dengan aktivti-aktiviti akademik yang wajib dihadiri. Ini
termasuklah masa belajar disekolah iaitu 7.00 pagi hingga 2.00 petang atau
masa untuk menghadiri kuliah, tutorial atau kerja-kerja amali.
2. Masa bukan berkaitan dengan aktiviti-aktiviti akademik tetapi perlu dilakukan.
Ini termasuklah makan, minum, mandi, beribadat seperti sembahyang,
membaca Al-Quran dan berzikir, tidur, membuang air, bersenam dan keperluan
bio-fizikal yang lain. Sebagai manusia kita perlu lakukan semua aktiviti-aktiviti
ini. Tidak dapat tidak pelajar perlu memperuntukkan masa untuk melakukan
semua aktiviti.
3. Baki masa selain dari masa (1) dan (2) di atas.
Untuk menjadi pelajar cemerlang kita perlu merancang dan menggunakan masa (3)
secara cekap dan berkesan. Contoh-contoh masa (3) ialah:
a. Hari Sabtu dan Ahad tidak ada kelas atau pergi ke sekolah.
b. Masa 4.00 petang hingga 6.00 petang setiap hari.
c. Selepas makan malam dari pukul 8.00 malam hingga 11.00 malam setiap hari.
Pelajar perlu bijak merancang dan menggunakan masa-masa ini untuk mengulangkaji
pelajaran atau melakukan aktivti-aktiviti pembelajaran yang dapat membantu pelajar
menjadi pelajar cemerlang. Elakkan daripada membuat kerja-kerja yang sia-sia
seperti menonton rancangan televisyen yang tidak berfaedah, berbual kosong atau
melepak di pusat-pusat membeli belah atau di perhentian bas. Tidak salah pelajar
menonoton televisyen tapi biarlah program yang ditonton dapat merangsang minda
pelajar sepeti menonton rancangan forum semasa, Berita Perdana ataupun Minda.
Pelajar cemerlang akan menggunakan masa (3) untuk memenuhi matlamat yang telah
ditetapkan. Sebagai contoh jika matlamat kita adalah untuk menjadi pelajar cemerlang
dalam peperiksaan PT3, SPM, STPM pada tahun hadapan bermakna dari sekarang
kita hendaklah menggunakan masa (3) yang ada secara berkesan bagi mencapai
matlamat tersebut.
Pelajar cemerlang perlu sedar setiap aktiviti yang dilakukan seharian boleh
dibahagikan kepada:
1. Lingkaran perhatian, dan
2. Lingkaran pengaruh.
Aktiviti-aktiviti yang termasuk di dalam lingkaran perhatian pelajar biasanya
melibatkan penggunaan tenaga, masa, usaha dan sumber-sumber yang ada pada
pelajar. Aktiviti-aktiviti ini biasanya tidak dapat membantu pelajar memenuhi matlamat
yang ditetapkan. Aktiviti-aktiviti ini biasanya memerlukan penggunaan masa yang
banyak dan kalau tidak berhati-hati, pelajar akan terjebak dalam perangkap masa.
Sebagai contoh, katakan sekarang ialah pertandingan badminton Piala Thomas dan
pelajar amat berminat dengan permainan badminton. Jadi setiap malam, pelajar
menghabiskan masa untuk menonton pertandingan badminton yang disiarkan
menerusi televisyen. Sebenarnya pelajar tidak sedar bahawa walau bagaimana kuat
sokongan sekalipun pelajar tidak akan dapat mempengaruhi keputusan pertandingan
yang disiarkan itu.
Jadi untuk menjadi pelajar cemerlang yang bijak menguruskan masa maka pelajar
perlu mengurangkan aktiviti-aktiviti termasuk dalam lingkaran perhatian. Ini
termasuklah aktiviti-aktiviti yang tidak langsung dapat memenuhi matlamat kita untuk
menjadi pelajar cemerlang, antaranya:
1. Menghabiskan masa dengan menonton wayang di pawagam-pawagam.
2. menghabiskan masa bermain permainan komputer sama ada di rumah atau di
pusat-pusat video.
3. Membaca majalah-majalah hiburan dan kartun yang tidak menambahkan daya
kreativiti pelajar.
4. Menyertai aktiviti-aktiviti yang tak bermoral dan merugikan
5. Mengamalkan corak hidup yang tidak mementingkan masa seperti budaya lepak.
Bagaimanapun sekiranya pelajar adalah seorang pemain badminton yang mewakili
sekolah maka masa yang dihabiskan untuk menonton pertandingan adalah
berfaedah. Ini adalah kerana aktiviti ini dilakukan berada di dalam lingkaran pengaruh
pelajar. Masa dan usaha yang pelajar tumpukan untuk menonton pertandingan
badminton itu sudah pasti akan dapat membantu pelajar untuk menjadi pemain
badminton yang lebih baik. Jadi aktiviti-aktiviti yang ternasuk di dalam lingkaran
pengaruh inilah yang perlu pelajar lakukan untuk mendekatkan lagi kepada matlamat
yang telah ditentukan.
Antara aktiviti-aktiviti yang termasuk di dalam lingkaran pengaruh pelajar ialah;
1. Menyertai bengkel motivasi, bengkel pembangunan sumber manusia dan bengkel
pembelajaran.
2. Menyertai program rakan muda yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan
untuk meningkatkan ketahanan mental dan jasmani.
3. Menyertai persatuan dan kelab yang ada di sekolah seperti kelab komputer, kelab
usahawan, persatuan pengakap dan lain-lain lagi.
4. Mengadakan kumpulan studi untuk membincangkan pelbagai masalah berkaitan
pembelajaran. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah membincangkan pelajaran
yang kurang difahami, menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lalu dan membuat
kerja rumah atau tugasan yang diberikan oleh guru.
Setelah pelajar perlu sedar bahawa masa adalah lebih mahal daripada emas dan tidak
ternilai maka adalah wajib bagi pelajar untuk menggunakan masa yang ada secara
bijaksana. Tidak mencukupi sekadar merancang penggunaan masa tetapi pelajar
mestilah memastikan masa yang ada disikan dengan pelbagai aktiviti yang
berfaedah. Ini adalah kerana ' Sesuatu perancangan yang dilaksanakan dengan
sempurna adalah jauh lebih baik daripada perancangan yang sempurna tetapi tidak
dilaksanakan'.
KEWAJIPAN PELAJAR TERHADAP MASA.
Memastikan Masa Diisikan Dengan Aktiviti-Aktiviti Yang Berfaedah.
Kewajipan pertama ke atas setiap pelajar ialah memastikan masa yang ada bukan
sahaja diisikan dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran tetapi juga aktiviti-aktiviti yang
menjamin kesejahteraan rohani dan jasmani. Aktiviti-aktiviti pembelajaran sudah pasti
mendekatkan lagi pelajar ke arah pelajar cemerlang. Manakala aktiviti-aktiviti yang
melibatkan rohani dan jasmani pula akan melahirkan pelajar yang mempunyai tubuh
badan yang sihat dan memupuk serta mengukuhkan benteng rohaniah pelajar.
Selain daripada aktiviti-aktiviti pembelajaran,persediaan diri dari aspek-aspek fizikal,
mental, emosi adalah amat penting dalam menentukan kejayaan pelajar. Dengan
mempunyai kesihatan fizikal, mental dan emosi yang baik pelajar akan dapat
menumpukan sepenuh perhatian kepada aktiviti pembelajaran. Sebagai pelajar, kita
sangat dituntut agar menjaga masa yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala kepada kita.
Khalifah Umar Abdul Aziz, pernah berkata 'Sesungguhnya malam dan siang
sedang melakukan terhadap kamu, maka hendaklah kamu bertindak terhadap
keduanya'. 'Masa adalah ibarat pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, ia
akan memotong kamu'.
Di samping itu kita juga digalakkan agar penggunaan masa kita untuk aktiviti
pembelajaran hari ini adalah lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih
baik daripada hari ini. Ini adalah kerana kejayaan hari esok adalah bermula hari
ini.
Pepatah Arab ada menyatakan yang bermaksud 'Barangsiapa keadaan
kehidupannya hari ini , seperti semalam, ia adalah tertipu, dan barangsiapa
keadaannya hari ini lebih buruk dari semalam, ia adalah terlaknat'.
Jadi pelajar cemerlang perlu mengawasi kehidupan seharian supaya digunakan
dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran dan untuk mendapat ilmu yang bermanfaat
supaya umur kita dan peluang yang ada digunakan sepenuhnya untuk menjadi pelajar
yang cemerlang dari segi akademik dan juga akhlaknya.
Pelajar yang membuang masa tanpa melakukan aktiviti-aktiviti pembelajaran atau
tanpa menambahkan ilmu pengetahuan, keimanan dan amal soleh adalah termasuk
kufur nikmat. Ibnu Mas'ud Radhiallah' Anhu pernah berkata 'perkara yang paling aku
menyesal sekali dalam sehari ialah apabila terbenamnya matahari, umurku
berkurang, akan tetapi amalanku tidak bertambah'.
MENGOPTIMUMKAN MASA LAPANG YANG ADA.
Setiap orang akan mempunyai masa lapang. Ada yang menggunakan masa lapang
untuk bermain golf, untuk ke kelas aerobik, untuk bersukan, untuk menonton televisyen,
berbual kosong, lepak di pasar-pasar raya dan bermacam-macam aktiviti lagi. Tetapi kita tidak
sedar bahawa masa lapang sebenarnya merupakan nikmat Allah tanpa kita sedari. Sebagaimana
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud 'Dua nikmat daripada Allah SWT ada yang
kebanyakan manusia tertipu padanya ialah sihat dan masa lapang'.
Untuk menjadi pelajar cemerlang, pelajar perlu menggunakan masa lapang ini dengan aktiviti-
aktiviti yang boleh membantu matlamat yang telah ditetapkan. Adalah silap jika pelajar
menganggap masa lapang adalah masa untuk bersukaria dan boleh melakukan apa sahaja
kerana ia tidak bersangkutan dengan pembelajaran. Sebenarnya masa lapang inilah yang perlu
digunakan secara bijaksana. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud 'Ambillah peluang lima
perkara sebelum kamu dihilangkan (didatangi) oleh lima perkara. Peluang masa mudamu
sebelum daripada tuamu, peluang masa sihatmu sebelum daripada sakitnya; peluang masa
kayamu sebelum fakirmu, peluang masa lapangmu sebelum daripada kesibukanmu dan
peluang masa hidupmu sebelum daripada matimu'.
Jadi pengajaran daripada Sabda Rasulullah SAW diatas adalah jelas iaitu pelajar perlu merebut
masa lapang yang ada untuk studi kerana masa lapang tidak akan kekal kerana akan tiba nanti
masa sibuk. Berdasarkan pengalaman, ramai pelajar yang cenderung untuk releks pada
permulaan awal tahun persekolahan atau ketika berada di Tingkatan Empat, tetapi mula
mengalami tekanan masa kesibukan apabila berada di Tingkatan Lima. Fenomena ini berlaku
kerana pelajar tidak bijak menguruskan masa lapang yang ada.
Cuba kita renungkan kata-kata Ibnu 'Ata" Kitab al_Hikam iaitu 'kerugian yang sebenar ialah
apabila kamu meluangkan masa lapang kamu tanpa melakukan sebarang pekerjaan'.
Begitu juga peringatan Abu 'Atahiyah' dalam syairnya yang berbunyi 'sesungguhnya usia
muda, masa lapang dan kemewahan, adalah merupakan kerosakkan (kecelakaan) bagi
seseorang, di dalam apa juga bentuk kerosakkan.
Berdasarkan pengalaman, ramai pelajar tidak berupaya untuk menjadi pelajar cemerlang
kerana mereka mempunyai tabiat pembelajaran yang tidak sistematik terutama berkaitan
dengan pengurusan masa, diantaranya;
1. Pelajar tidak mempunyai jadual waktu yang baik.
2. Pelajar suka menghabiskn masa dengan sia-sia.
3. Pelajar suka menangguhkan masa untuk studi.
4. Pelajar suka mengamalkan budaya belajar pada saat-saat akhir menjelang waktu
peperiksaan.
5. Pelajar tidak pandai menggunakan masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang penting dan
segera berbanding aktivit-aktiviti yang tidak penting dan tidak segera.
Satu daripada amalan lazim dilakukan oleh pelajar ialah belajar ikut suka atau bila ada
keinginan. Amalan ini adalah amat merbahaya kerana ia menggalakkan pelajar agar tidak
merancang penggunaan masa sebaliknya bergantung kepada keinginan pelajar. Jika hari ini
pelajar tersebut mempunyai keinginan untuk belajar, maka dia akan belajar berjam-jam
lamanya. Sebaliknya jika keinginannya tidak ada, dua atau tiga haripun tidak boleh belajar.
Kenapa itu boleh berlaku?
Sebenarnya amalan ini berlaku kerana pelajar itu sendiri tidak mendisiplinkan dirinya agar
menggunakan masa secara terancang. Seperti yang dijelaskan, pada awalnya, pelajar perlu
mengenali jenis-jenis masa kerja yang perlu dilakukan. Atur dan susunkanlah masa dan kerja
tersebut mengikut keutamaan.
Cuba renung kembali apakah kejayaan yang telah pelajar capai akibat daripada amalan ini?
Adakah pelajar mempunyai keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan yang lalu? Tepuk
dada tanya selera, sebab keputusannya berada di tangan pelajar bak kata pepatah Melayu
'Pisau ada di tangan pelajar, mentimun juga ada di tangan pelajar'.
Maka pandai-pandailah kita mengguakan masa yang dianugerahkan Tuhan kalau kita ingin
menjadi pelajar cemerlang.
PERANCANGAN MASA HARIAN, MINGGUAN, BULANAN DAN SEMESTER.
PERANCANGAN HARIAN.
Untuk memastikan misi dan visi yang telah ditetapkan dapat dicapai dengan
sepenuhnya, pelajar perlu merancang aktiviti-aktiviti harian yang akan dilakukan.
Dengan adanya perancangan aktiviti harian ini pelajar akan mengisi masa yang ada
dengan sepenuhnya dan aktiviti pembelajaran akan menjadi lebih terancang.
Perancangan harianini juga akan memupuk tabiat menghargai masa dalam diri
pelajar. Pelajar perlu melakukan perancngan harian ini setiap hari. Contoh
perancangan harian adalah seperti berikut:
Masa: Aktiviti Yang Hendak dilakukan.
Pagi : Sekolah
Petang : Menyiapkan Kerja Rumah
Malam : Mengulangkaji pelajaran.
PERANCANGAN MINGGUAN.
Ini merupakan perancangan terperinci aktiviti yang akan pelajar lakukan setiap hari
selama seminggu. Ia merupakan aktiviti tetap yang perlu pelajar patuhi demi untuk
mengelakkan pelajar daripada membuang masa secara sia-sia. Contoh Perancangan
mingguan;
Masa: Ahad Aktiviti Yang Hendak Dilakukan. Ahad
Pagi : Isnin Selasa Rabu Khamis Jumaat Sabtu
Petang:
Malam :
PERANCANGAN BULANAN.
Perancangan bulanan adalah ringkasan matlamat yang hendak dicapai dalam setiap
hari di dalam bulan tersebut. Bentuknya adalah menyerupai kalendar yang ada,
bermula dari tarikh awal bulan hingga tarikh akhir penghujung bulan, Contoh
perancngana bulanan;
Ahad Isnin Selasa Rabu Khamis Jumaat Sabtu
1234567
8 9 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31
Setelah kesemua perancangan ini dilaksanakan,pelajar perlu menilai kesemua aktiviti
yang telah dilakukan, kenalpasti;
1. Berapa banyakkah aktiviti yang dirancang telah berjaya dilaksanakan.
2. Sekiranya terdapat gangguan atau halangan untuk melaksanakan aktiviti tersebut,
bagaimanakah cara untuk mengatasinya.
3. Apakah langkah-langkah yang boleh diambil supaya semua perancangan yang
dibuat berjaya dilaksanakan sepenuhnya.
4. Apakah pengubahsuain yang boleh dilakukan agar perancangan tersebut menjadi
lebih berkesan dan menyeronokkan untuk pelajar mengikutinya.
PERANCANGAN MASA UNTUK SATU SEMESTER.
Untuk pelajar-pelajar universiti, perancangan masa untuk satu semester amat
bermanfaat untuk dibuat. Bagi mengelakkan daripada pelajar mengalami tekanan
masa apabia menjelangnya waktu peperiksaan, waktu ujian dan waktu menghantar
tugasan atau kerja kursus pelajar perlulah membuat perancangan ini. Contoh
perancangan satu semester seperti berikut;
Minggu Kegiatan dan Perkara Utama Tugasan 1-6 Catatan.
Lazimnya setiap permulaan semester pelajar akan dibekalkan kalendar perancangan
semester oleh unit perancangan dan pembelajaran. Pelajar perlu menandakan di
dalam kalendar ini aktiviti-aktiviti penting yang akan berlaku serta tarikhnya sekali.
Pelajar yang tidak membuat perancangan masa satu semester ini pasti akan
mengalami tekanan masa sibuk. Ini adalah kerana pelajar akan tertipu dengan
perangkap masa menyebabkan mereka;
1. Lebih sukan untuk releks pada minggu 1 hingga 4 dan cuti perayaan.
2. Pelajar mula merasa tertekan pada minggu ke 6 dan 7, lebih-lebih lagi minggu ke
13 hinggalah minggu peperiksaan.
3. Pelajar hanya boleh mengulangkaji untuk menghadapi peperiksaan seminggu
sebelum peperiksaan. Ini adalah kerana masa yang lain terpaksa dihabiskan untuk
membuat tugasan.
Sebaliknya pelajar yang membuat perancangan satu semester akan lebih bersedia
menghadapi peperiksaan dengan hati yang tenang kerana;
1. Pelajar dapat membahagikan masa secara bijaksana untuk mengagih-agihkan
kesemua kerja disepanjang semester.
2. Pelajar dapat merancang masa yang ada untuk melakukan kesemua aktiviti-aktiviti
mengikut senarai keutamaan.
LOG MASA.
Log masa ialah kaedah yang digunakan untuk menganalisa penggunaan masa oleh
seseorang pelajar. Caranya sama seperti perancangan harian. Tujuannya adalah
untuk mengenalpasti tabiat pengguaan masa dan mencari aktivit-aktiviti pembaziran
masa yang sering dilakukan tanpa pelajar sedari.
TERIMA KASIH.
musli69.blogspot.com
http://gg.gg/cgmusli
SEMOGA BERMANFAAT.