MISTERI
Rumah Coklat
Eina Athirah
Di negeri Labuhan, terdapat sebuah
perkampungan yang dipanggil Kampung
Sarang. Penduduk yang mendiami Kampung
Sarang ini terdiri daripada kalangan petani dan
nelayan. Encik Ahmad merupakan salah
seorang penduduk di Kampung Sarang. Beliau
mempunyai seorang isteri yang cantik dan
seorang anak lelaki bernama Aiman.
Aiman merupakan seorang budak yang
cergas. Aiman sering teruja untuk belajar
perkara baru dan selalu bertanya soalan kepada
ibu bapanya. Pada suatu hari, Aiman bertanya
kepada ibunya mengenai rumah coklat yang
terdapat di hujung kampung mereka itu.
1
"Ibu, ibu tahu cerita mengenai rumah coklat yang
terdapat di hujung kampung kita itu?" tanya Aiman.
"Kamu tidak perlu tahu tentang rumah coklat itu. Ibu
juga tidak membenarkan kamu untuk cuba-cuba
mahu pergi ke sana. Sudah, ibu mahu ke dapur untuk
memasak makanan tengahari kita," jawab ibu Aiman
tegas langsung berlalu ke dapur.
2
Perasaan ingin tahu Aiman makin kuat. Dia bertekad mahu
pergi ke rumah coklat itu bersama rakan-rakannya.
Keesokan petangnya, Aiman berjanji untuk bermain bola
bersama rakan-rakannya. Mereka sering bermain bola di
lapangan berdekatan rumah mereka. Semasa berehat, Aiman
bertanya kepada mereka, adakah mereka mengetahui cerita
mengenai rumah coklat di hujung kampung mereka itu.
3
"Kalian tahu tentang rumah coklat yang terdapat di hujung
kampung kita itu?" tanya Aiman kepada rakan-rakannya.
"Nenek aku beritahu yang rumah coklat itu dibina dengan
menggunakan coklat dan dihuni oleh nenek kebayan yang
menakutkan. Nenek kebayan itu akan menangkap sesiapa
yang datang ke rumah coklat itu untuk dijadikan
makanannya," cerita Bakti, kawan Aiman dengan panjang
lebar.
Aiman menjadi semakin teruja apabila mendengar
cerita itu. Dia mahu pergi ke sana dan melihat sendiri
bagaimana keadaan rumah coklat itu. Aiman ingin
mengajak rakan-rakannya, Bakti, Manaf dan Abdul
untuk pergi ke rumah coklat itu. Bakti dan Manaf segera
bersetuju.
4
"Abdul, kau mahu mengikut kami ke sana?" tanya Aiman. Aiman
memujuk Abdul untuk mengikut mereka ke sana tetapi Abdul
berkeras tidak mahu mengikut mereka.
"Tak mengapalah, kalian pergilah bertiga. Aku tidak mahu ikut,"
jawab Abdul.
Aiman tahu tiada guna memujuk Abdul kerana Abdul
sememangnya seorang yang tidak suka mengambil risiko tetapi
Aiman masih memberi masa kepada Abdul untuk memikirkan
ajakan dia untuk mengikuti mereka ke sana.
5
Malam itu, Aiman mula untuk merancang
perjalanan mereka ke rumah coklat. Aiman perlu
memberitahu rakan-rakannya esok supaya
membawa bekalan yang secukupnya.
Keesokannya, Aiman berkumpul di lapangan
tempat mereka bermain bola bersama rakan-
rakannya. Aiman memberitahu rancangan yang
telah dibuat.
5
4
"Aku bercadang kita hanya perlu membawa bekalan air, pisau dan
kit pertolongan cemas. Siapa antara kalian yang mempunyai kit
pertolongan cemas ini?" tanya Aiman.
"Aku ada. Biar aku yang bawa," jawab Manaf pantas.
Abdul pula menyampuk dan memberitahu yang bahawa dia
mahu mengikut mereka ke rumah coklat kerana dia juga mahu
tahu bagaimana rupa rumah coklat itu. Setelah Abdul membuat
keputusan mahu mengikut mereka, Aiman memberitahu yang
mereka akan berkumpul di rumahnya pada keesokan harinya
selepas matahari naik.
7
Keesokannya, semua berkumpul di rumah Aiman dan mereka
mula bergerak ke rumah coklat itu. Mereka sangat teruja kerana
dapat menyaksikan sendiri rumah coklat itu dan segala persoalan
yang bermain di minda mereka akan terjawab nanti.
Semasa mereka berjalan, tiba-tiba mereka terserempak dengan
ular yang sedang melintas di hadapan mereka. Aiman mengambil
sebatang kayu, bersedia jika mereka dipatuk oleh ular tersebut,
namun ular tersebut menghampiri mereka sambil bercakap. Mereka
sangat terkejut. Ular tersebut bertanya sebab mereka melalui
kawasan ini kerana dia sudah lama tidak menjumpai manusia.
8
"Kenapa kalian berada di kawasan ini? Aku sudah lama tidak
menjumpai manusia. Adakah kamu mahu pergi ke rumah coklat di
hujung hutan ini?" tanya ular kepada mereka.
Bakti mengiyakan. Ular tersebut merupakan penjaga kawasan
hutan ini. Ular memarahi mereka kerana masih mahu pergi ke
rumah coklat itu walaupun telah mendengar banyak cerita yang
mana manusia yang pergi ke rumah coklat itu tidak dapat pulang
ke rumah semula.
Aiman memberitahu yang mereka tidak mempunyai niat yang
buruk ke sana. Mereka cuma mahu melihat sendiri bagaimana
rupa rumah coklat itu dan kemudian akan terus pulang.
9
"Sekiranya kalian masih mahu pergi ke sana, kalian perlu mencari
tongkat sakti yang berada di sekitar rumah coklat itu," pesan ular.
Ular memberitahu yang bahawa tongkat itu akan membantu
mereka nanti dan berpesan lagi supaya membaca mantera yang
terikat bersama tongkat sakti itu jika bertembung dengan nenek
kebayan yang tinggal di rumah coklat itu. Mantera itu dapat
membantu mereka sekiranya ditangkap oleh nenek kebayan.
10
Mereka mengucapkan terima
kasih kepada ular dan meneruskan
perjalanan. Akhirnya mereka tiba di
rumah coklat itu. Rumah coklat itu
sangat besar dan disaluti dengan
coklat. Walaupun cuaca panas,
coklat itu tidak cair. Mereka sangat
terpegun.
Sedang mereka kagum melihat
rumah coklat itu, mereka teringat
akan pesanan ular lalu segera
mencari tongkat sakti di sekitar
rumah coklat dengan berhati-hati.
Tidak lama kemudian, mereka
terdengar suara seorang perempuan
sedang bercakap sesuatu. Mereka
tahu yang suara itu adalah suara
milik nenek kebayan.
11
Mereka tidak mahu nenek kebayan itu perasan akan kehadiran
mereka. Abdul yang kebetulan berada di belakang rumah coklat
menjumpai tongkat sakti itu. Dia yakin itu adalah tongkat sakti
yang dicari kerana pada tongkat sakti itu terdapat segulung
mantera yang terikat sekali pada batang tongkat itu.
Dia segera memberitahu rakan-rakannya dengan rasa teruja
sehingga dia terlupa yang nenek kebayan boleh mendengar
suaranya itu. "Aku sudah menjumpai tongkat kayu sakti ini!"
teriak Abdul.
Aiman sudah mulai risau sekiranya nenek kebayan perasan
akan kehadiran mereka. Mereka cepat-cepat mahu meninggalkan
rumah coklat itu namun nenek kebayan sedar lebih awal yang ada
sekumpulan budak yang datang ke rumahnya dan dia segera
keluar.
12
Aiman mengajak rakan-rakannya untuk
segera beredar dari situ namun, kaki mereka
tidak boleh bergerak. Tanah di sekitar mereka
berubah menjadi coklat yang cair menyebabkan
kaki mereka terbenam dan tidak boleh bergerak.
Mereka cemas.
Aiman ternampak tongkat sakti yang Abdul
temui dan segera menyuruh Abdul menyerahkan
kepadanya. Aiman menghalakan tongkat sakti itu
ke arah nenek kebayan namun tiada apa yang
berlaku. Nenek kebayan itu ketawa.
Nenek kebayan terkumat-kamit membaca
sesuatu dan tiba-tiba coklat yang membenamkan
kaki mereka bertukar menjadi keras dan melilit
badan mereka ke pokok yang berhampiran.
Mereka takut kerana mereka ternampak kawah
besar yang sedang dipanaskan di tepi rumah.
13
"Aku perlu lakukan sesuatu," bisik Aiman kecil. Aiman
segera berfikir tentang cara mahu melepaskan diri mereka.
Mereka tidak boleh mengambil pisau yang berada di dalam
beg mereka kerana beg mereka sudah terlilit dengan coklat
yang mengeras.
Aiman ternampak segulung kertas di atas tanah. Aiman
cuba menguisnya dengan kaki dan segera mengambil
dengan hujung tangannya. Dia mendapati bahawa itu adalah
mantera yang terikat dengan tongkat sakti itu tadi. Aiman
mendapat idea. Tongkat sakti itu masih berada di tangannya.
Dia mahu mencuba untuk membaca mantera itu.
14
Nenek kebayan yang sudah siap memanaskan kawah itu
menghampiri mereka sambil tersenyum jahat. Dia berasa gembira
kerana mendapat habuan yang besar setelah sekian lama tidak
menjumpai manusia yang datang ke rumah coklat itu. Aiman pula
memberanikan diri membaca mantera lalu menghalakan tongkat
sakti ke arah nenek kebayan.
Nenek kebayan terkejut dan menjerit kesakitan seperti kulitnya
disiat-siat. Coklat keras yang melilit mereka juga mencair dan
mereka berjaya melepaskan diri. Nenek kebayan itu seperti
dibakar sehingga hilang dari pandangan. Rumah coklat yang
mereka kagumi tadi juga telah bertukar menjadi rumah usang dan
buruk. Mereka akhirnya dapat menarik nafas lega dan segera
pulang ke rumah.
15
Selepas daripada peristiwa itu, barulah Aiman mendapat tahu
yang bahawa nenek kebayan itu telah menggunakan rumah coklat
untuk menarik perhatian manusia datang ke sana dan dia akan
menangkap mereka untuk dijadikan makanannya.
-TAMAT-
Pengajaran daripada kisah Misteri Rumah Coklat
Pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah rumah coklat ini
adalah, kita janganlah membantah kata-kata ibu bapa kita.
Sekiranya ibu bapa kita berkata jangan, maka akurlah. Jangan jadi
seperti Aiman yang masih berkeras mahu pergi ke rumah coklat
meskipun sudah ditegah oleh ibunya kerana ibunya tahu yang
bahawa akan ada bahaya yang menimpa anaknya nanti dan risau
takut terjadi perkara yang buruk ke atas anaknya.
16