IDEA ASLI : CIKGU ROSLEE
1
Tarikh Baca : Hari:
Ibu bapa Rosman tahu yang anak mereka masih belum
membaca lancar. Mereka selalu berhubung dengan Guru
Pemulihan Khas Rosman untuk mendapatkan bimbingan.
Rosman bertuah kerana ibu bapanya ambil berat tentang
pembelajarannya. Guru Pemulihan Khasnya juga seorang
yang bertanggungjawab.
Ibu bapa Rosman rajin bertanya cara mengajar yang
betul daripada Guru Pemulihan Khas Rosman. Semakin hari
Rosman semakin lancar membaca. Sikap Rosman yang rajin
dan mendengar nasihat ibu bapanya boleh dicontohi oleh
semua orang.
Kerjasama antara Guru Pemulihan Khas dan ibu bapa
Rosman juga merupakan faktor kejayaan Rosman semakin
lancar membaca. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
2
Tarikh Baca : Hari:
Ini emak Salimi. Nama emak Salimi ialah Mak Siti. Sejak
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, semua murid
belajar dari rumah. Mak Siti merupakan seorang emak yang
amat bagus.
Setiap awal pagi Mak Siti akan memastikan Salimi bangun
awal dan bersiap untuk belajar secara dalam talian dengan
gurunya. Mak Siti faham dengan situasi Salimi yang masih
belum membaca secara lancar.
Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dalam talian,
Mak Siti ada disisi Salimi bagi memastikan semua maklumat
pengajaran Guru Pemulihan Khas anaknya boleh disampaikan
kepada Salimi dengan betul.
Mak Siti mengajar Salimi mengikut kaedah yang telah
dipelajarinya daripada Guru Pemulihan Khas. Mak Siti amat
seronok dan gembira apabila melihat Salimi telah mula dapat
membaca. Sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit.
3
Tarikh Baca : Hari:
Fatimah semakin rajin membaca buku. Ayah Fatimah, Pak
Abu tidak pernah jemu membimbing Fatimah membaca
selama lima belas minit setiap malam. Pak Abu membimbing
Fatimah mengulangi membaca bahan yang disediakan oleh
Guru Pemulihan Khas sehingga lancar.
Buku bacaan yang diberikan oleh Guru Pemulihan Khas
menjadi sumber utama Pak Abu membimbing Fatimah. Pak
Abu rasa senang hati kerana bimbingan yang diberikan oleh
Guru Pemulihan Khas kepadanya dapat dilaksanakan kepada
Fatimah.
Kegigihan Pak Abu menemani dan membimbing Fatimah
belajar membaca setiap malam mendatangkan kesan positif.
Kini Fatimah mula lancar membaca dan menulis. Pak Abu juga
mula melihat Fatimah semakin yakin untuk belajar setelah mula
lancar membaca. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
4
Tarikh Baca : Hari:
Di sekolah, Rafizi belajar di kelas Pemulihan Khas bagi
mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik. Guru
Pemulihan Khas Rafizi sentiasa memberikan motivasi dan
semangat untuk terus belajar membaca, menulis dan mengira.
Rafizi tidak pernah rasa malu walaupun sering dipanggil
sebagai murid Pemulihan Khas. Malah Rafizi rasa amat bertuah
kerana dapat memberikan perhatian sepenuhnya untuk belajar
mengenal huruf, suku kata, perkataan, frasa dan ayat serta
mengira.
Ketika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah, Rafizi
tidak ketinggalan untuk terus belajar membaca, menulis dan
mengira. Ibu bapa dan kakak Rafizi sentiasa silih berganti
mengajarnya di rumah menggunakan bahan pembelajaran
yang disediakan oleh Guru Pemulihan Khas.
Sejak telah dapat mengenal huruf dan menguasai
kemahiran asas membaca, Rafizi semakin rajin membaca
sendiri. Rafizi amat seronok dengan bahan dan aktiviti yang
disediakan oleh Guru Pemulihan Khasnya.
5
Tarikh Baca : Hari:
Setiap petang selepas belajar dengan bimbingan ibunya,
Raju mengayuh basikal sekeliling kampung. Inilah aktiviti
riadah Raju untuk kesihatan. Raju kelihatan amat seronok.
Semasa berbasikal Raju mematuhi prosedur operasi
standard semasa Covid 19 ini. Raju memakai pelitup muka, jaga
penjarakan dan berbasikal secara bersendirian. Raju seorang
anak yang diajar oleh ibu bapanya agar mematuhi peraturan.
Beriadah dengan mengayuh basikal semakin menjadi
amalan popular rakyat Malaysia kini. Raju tetap mematuhi
peraturan jalan raya dengan mengayuh basikal secara
berhemah dan menjaga keselamatan diri dan orang lain.
Sikap dan amalan Raju yang baik ini patut dipuji dan
dijadikan contoh bagi merealisasikan masyarakat Malaysia
yang sihat dan ceria.
6
Tarikh Baca : Hari:
Setiap pagi sebelum menghadiri kelas Pengajaran dan
Pembelajaran Dari Rumah (PDPR), Swee Lai membantu ibunya
menjemur kain. Beginilah sikap anak yang baik yang ada pada
diri Swee Lai.
Ibu Swee Lai tidak pernah memaksa Swee Lai
membantunya. Sikap Swee Lai ini wajar dicontohi oleh anak-
anak lain. Swee Lai gembira membantu ibunya.
Selepas membantu ibunya, Swee Lai bersarapan pagi
dengan ibu, ayah dan abangnya. Selepas bersarapan, Swee
Lai ke ruang tamu rumahnya untuk belajar. Swee Lai seorang
anak yang rajin belajar.
Walaupun Swee Lai belajar di kelas Pemulihan Khas,
semangatnya untuk terus belajar membaca dan mengira tidak
pernah pudar. Ibunya sering memuji tulisannya juga semakin
cantik. Swee Lai sering mendapat tunjuk ajar daripada Guru
Pemulihan Khas melalui panggilan video.
7
Tarikh Baca : Hari:
Malang tidak berbau. Kadang kala akibat perbuatan yang
tidak bertanggungjawab orang lain menyebabkan kesan
negatif kepada orang lain yang tidak berkaitan.
Begitulah yang berlaku kepada Razali. Ketika Razali dan
Salman berjalan-jalan di taman perumahannya, tanpa disedari
Razali telah terpijak kulit pisang yang dibuang merata-rata oleh
orang lain.
Akibatnya Razali terjatuh dan kedua-dua lututnya luka dan
pipi sebelah kanannya turut luka. Salman dengan pantas
memberikan pertolongan dan membantu Razali duduk. Melihat
kepada kesakitan yang dialami oleh Razali, Salman meminta
bantuan jirannya untuk membawa Razali ke hospital.
Jangan buang sisa makanan seperti kulit pisang di merata
tempat. Bahaya menanti kepada sesiapa yang terpijaknya.
Apa yang berlaku kepada Razali boleh dielakkan sekiranya
semua rakyat Malaysia mengamalkan sikap
bertanggungjawab dan menjaga kebersihan persekitaran.
8
Tarikh Baca : Hari:
Pak Ali tidak sangka pagi ini merupakan hari yang tidak
akan dilupakan dalam hidupnya. Pagi yang asalnya sungguh
indah dan segar bertukar menjadi hari yang menakutkan. Rutin
Pak Ali setiap pagi ialah berjalan sebagai riadah di sekitar
taman perumahannya.
Ketika sedang berjalan di satu persimpangan tiba-tiba Pak
Ali terdengar salakan anjing yang amat kuat. Pak Ali menoleh
ke belakang. Didapati seekor anjing dengan wajah garang
sedang berlari laju menuju ke arahnya.
Tanpa berfikir panjang, Pak Ali terus memecut laju. Anjing
itu terus laju mengejar Pak Ali. Walaupun telah berusia Pak Abu
masih mampu berlari pantas. Belum sempat anjing tersebut
menerkam Pak Ali, seorang jiran telah bertindak menghalang
anjing tersebut dengan sebatang penyapu. Anjing tersebut
mengelak dan terus melarikan diri hilang daripada pandangan.
9
Tarikh Baca : Hari:
Pagi ini Kamal pergi awal ke sekolah. Belum ramai murid
lain ada di sekolah. Setelah meletakkan begnya di dalam kelas,
Kamal terus keluar ke tapak perhimpunan sekolah.
Semasa berjalan Kamal ternampak sehelai kertas di tapak
perhimpunan tersebut. Kamal mengutip kertas tersebut dan
membuangnya ke dalam tong sampah.
Perbuatan baik Kamal itu telah diperhatikan oleh seorang
Pengawas Sekolah. Pengawas tersebut menghampiri Kamal
dan memujinya.
Sikap Kamal tersebut patut dicontohi oleh semua murid
sekolah. Menjaga kebersihan sekolah merupakan satu amalan
yang dituntut. Sekolah bersih akan mewujudkan persekitaran
yang selesa untuk belajar.
10