S H A S Y A A L I Cinta Masing -Masing
Hari pertama di Sekolah Sri Perdana memang buat jantung aku berdebar kencang. Ini adalah permulaan baru bagi aku. Pakaian seragam putih dan kelabu yang kemas, aku melangkah masuk ke halaman sekolah yang luas. Mataku tertumpu kepada seorang lelaki yang berdiri sendirian di bawah pokok beringin besar. Dia kelihatan asyik membaca buku, terpisah dari kesibukan pelajar lain yang sibuk berbual dan berlari-lari. Ada sesuatu yang menarik tentang ketenangannya. Di kantin, aku mencari tempat duduk yang tenang. Tiba-tiba, seorang gadis ceria dengan rambut pendek menghampiriku. "Hai! Aku Dinda. Awak pelajar baru, ya?" "Ya, aku Aira," kami berjabat tangan sambil tersenyum. Kami segera menjadi rapat. Dinda bercerita tentang lelaki di bawah pokok tadi pagi. "Namanya Rayyan. Dia pelajar paling pandai di sekolah ini, tapi dia jarang bergaul dengan orang lain. Dia lebih suka membaca buku daripada berbual dengan orang, sebab itu kalau siapa boleh berborak dengan Rayyan orang itu pasti istimewa."
Hari berikutnya, aku pulang lewat dari sekolah dan terserempak Rayyan duduk sendirian di bangku taman sekolah. Aku memberanikan diri untuk mendekatinya. "Hai, kamu suka buku apa?" tanyaku perlahan. Rayyan mengangkat kepala dari bukunya dan tersenyum tipis. "Walaikumsalam... buku puisi. Kamu?" "Aku suka novel dan cerpen," merah pipiku merasakan ada unsur perlian dalam jawapannya. Aku mula menyedari bahawa aku jatuh cinta padanya, tapi aku takut untuk menyatakan perasaanku. Bagaimana jika perasaanku merosakkan persahabatan kami yang sememangnya dingin... Pada majlis tari menari sekolah, aku mengenakan gaun biru langit. Rayyan, dengan sut hitam, kelihatan sangat kacak. Majlis tari menari itu sangat meriah, penuh dengan cahaya dan muzik, tetapi Rayyan keluar dari dunia itu untuk masuk ke dunianya yang tenang.
"Rayyan, tunggu aku..." Jantungku berdebar. "Kenapa kau ikut aku Aira?" "Aira nak bagitahu sesuatu," dengan nada suara bergetar. "Kamu... kamu suka..." Rayyan tersenyum lebar. "Aku suka kamu juga, Aira." "Aira belum cakap habis lagi... Aira nak bagitahu kamu suka pakai seluar sebelah panjang sebelah pendek ke?" pecah ketawa kami dengan kejadian itu. Selepas malam itu kami semakin rapat. Tamat persekolahan, Rayyan diterima masuk ke universiti terkemuka. Aku memilih untuk tetap di bandar ini untuk mengejar impianku menjadi penulis. Kami berjanji akan setia meskipun menjalani "PJJ" percintaan jarak jauh. "Kita akan pegang janji, kan?" tanyaku dengan suara serak.
Rayyan menatap tajam mataku diemani Dinda di lapang terbang. "Ya, Aira. Ini bukan pengakhiran, ini hanya permulaan. Kita akan bertemu lagi selepas mencapai impian masing-masing." Lima tahun kemudian, aku menjadi penulis terkenal. Majlis pelancaran novel pertamaku yang berjudul "Cinta Pertama, Tapi Bukan yang Terakhir", aku terlihat seseorang dengan senyuman yang sama seperti saat pertama kami bertemu. Rayyan muncul di tengah orang ramai. "Hai, Aira. Tahniah," katanya dengan lembut. Aku tersenyum dan menuju ke arahnya. Namun, di sebalik kegembiraan, ada kenyataan yang harus kami terima. Kehidupan telah membawa kami ke jalan yang berbeza. Aku akhirnya bertemu dengan seseorang dalam bidang perniagaan yang memahami impianku dan menyokong karierku sebagai penulis. Rayyan, bertemu dengan cinta hatinya iaitu Dinda. Rakan sekolah yang kenalkan aku pada Rayyan.
"Rayyan, terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup aku. Kamu akan sentiasa menjadi sejarah yang mengajar aku," kataku dengan mata berkaca. Rayyan tersenyum pahit. "Aku faham, Aira. Aku akan sentiasa menyokongmu, walau apa pun yang terjadi." Detik itu kami berpisah, masing-masing dengan impian dan takdir sendiri. Walaupun cinta pertama kami tidak berakhir seperti yang diimpikan, kenangan indah itu tetap abadi di dalam hati kami. Cinta pertama bukanlah yang terakhir, tetapi ia telah mengajar kami erti cinta monyet sebenar.
S H A S Y A A L I Cinta Masing -Masing