SEJARAH
KEMERDEKAAN
MALAYSIA
NAMA MURID: NUR HAFIZA BINTI MHAFIZ
KELAS: 5 ARIF
SEJARAH TAHUN 5
NAMA GURU: PN. ASLINA BINTI BAHARIN
SEJARAH KEMERDEKAAN
Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium
Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu
iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada
pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.
Pengisytiharan tersebut telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman disertakan laungan
"MERDEKA" 7 kali. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu
Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam
sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya
sebuah negara yang baru dan tembakan meriam seratus satu das.
Tunku Abdul Rahman menandatangani Perjanjian Kemerdekaan di London pada
Feb 8, 1956. Di sebelahnya adalah Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara Jajahan.
Rombongan Tunku Abdul Rahman ke Padang Bandar Hilir, Melaka untuk pengumuman
kemerdekaan setelah pulang dari London.
Keadaan dalam Stadium Merdeka semasa pengisytiharan.
Sebelum Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Bapa Kemerdekaan
Malaysia mengetuai rombongan ke London untuk berunding tentang tuntutan kemerdekaan
dengan kerajaan Inggeris pada 1 Januari 1956, Tunku telah meminta nasihat daripada
Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika itu yang
juga merupakan salah seorang tokoh di bidang ilmu falak.
Tunku Abdul Rahman beranggapan bahawa beliau perlu berjumpa dengan Syeikh
Abdullah Fahim (datuk kepada YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana
Menteri Malaysia ke-5) yang pada pendapatnya mempunyai firasat dan kasysyaf agar
tarikh yang baik dapat dipilih bagi kemerdekaan Tanah Melayu (Mokhtar Petah, 1997).
Syeikh Abdullah Fahim menyebut dalam bahasa Arab: "am khir atana" (tahun baik
datang kepada kita) bagi hari Sabtu, 31 Ogos 1957. Beliau berpesan supaya jika tarikh
untuk pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tidak pada 31 Ogos 1957, maka pada
tahun- tahun berikutnya sebelum tahun 1962 adalah tidak baik bagi orang Melayu untuk
mengisytiharkan kemerdekaan. Beliau juga melarang pemuda-pemuda UMNO (United
Malays National Organization) dari memberontak dan merampas kuasa jika kerajaan British
tidak menyetujui tarikh 31 Ogos 1957 ini. Jika kemerdekaan tidak dapat disambut pada
tarikh yang dikehendaki itu, Syeikh Abdullah Fahim meminta supaya menunggu hingga
lima tahun lagi iaitu pada hari Jumaat, 31 Ogos 1962.
Bagaimanapun apa yang dikehendaki telah dimakbulkan oleh Allah s.w.t. dan pada
20 Februari 1956, telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957 dan diisytiharkan oleh Tunku
Abdul Rahman di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.
MASING-MASING hadir dengan harapan menggunung. Menjadi saksi kepada satu
peristiwa penuh bererti. Yang tidak mungkin luput dalam ingatan walau ke tiupan nafas
terakhir.
Tanggal 31 Ogos 1957. Tarikh keramat bagi seluruh rakyat Persekutuan Tanah
Melayu. Hampir 20,000 anak bangsa berkumpul menyaksikan detik-detik bersejarah
kemerdekaan negara di depan mata.
Tatkala Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan 'merdeka', bermula dengan
upacara penurunan bendera Union Jack di Padang Kelab Selangor (kini Dataran
Merdeka) diikuti pengisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka, semua yang hadir
tidak mampu menahan air mata.
Air mata yang tertumpah amat berharga bagi ‘saksi-saksi merdeka’ ini. Setelah
ratusan tahun merasai kepahitan hidup sebagai rakyat jajahan, kemerdekaan merupakan
ganjaran paling besar.
Tidak hairanlah jika rata-rata mereka sanggup membawa kaum keluarga masing-
masing berkampung selama berhari-hari di Stadium Merdeka, semata-mata tidak mahu
terlepas peluang berharga dalam sejarah negara itu.
Kemunculan tempat-tempat menarik di negara ini hakikatnya tidak sesekali dapat
menandingi kehebatan dan kepentingan Dataran Merdeka dan Stadium Merdeka kerana di
situlah lahirnya sejarah kenegaraan Malaysia.
Walaupun hampir dirobohkan suatu ketika dahulu, namun, atas usaha orang
ramai dan pencinta warisan, Stadium Merdeka masih berdiri gagah sehingga ke hari
ini.
Wartawan S2, ROSALINDA MD.SAID, SITI NURAZLINA JAMALUDIN dan AZIZI MAJID
berusaha menjejaki semula individu-individu yang menjadi saksi di Stadium Merdeka bagi
menghuraikan pengalaman indah mereka melakar detik-detik bersejarah negara.
SEJARAH KEMERDEKAAN
SEJARAH MERDEKA
TANGGAL 31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai tarikh penuh
bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan ulang
tahun kemerdekaan negara. Namun, slogan, laungan merdeka dan
cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak
menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai
kemerdekaan yang sebenarnya.
Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan
perkataan merdeka. Ia merupakan penghayatan dan pemahaman
maksud serta kepentingan mempertahankan kemerdekaan yang
dikecapi.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang
sebenar. Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada
cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda
daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat
berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di
Malaysia.
Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara. Ia
adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Rakyat Malaysia yang
cintakan negara wajar memelihara nama baik negara di mana
sahaja mereka berada. Dari sudut keselamatan, maruah dan
kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan
tetapi turut dipikul bersama oleh seluruh rakyat.
Kemerdekaan ini bukanlah takdir semata-mata tetapi adalah hasil
usaha pejuang dan pemimpin terdahulu. Sebagai rakyat yang
bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah
serta kedaulatan negara. Sematkan juga di dalam diri semangat
cintakan negara serta sentiasa menjaga dan menjulang nama baik
Malaysia walau di mana kita berada.
Antara perkara paling penting yang dapat dikutip dan dijadikan
teladan serta dihayati di akhir perjuangan kemerdekaan ini adalah
wujudnya persefahaman di antara tiga kaum terbesar iaitu Melayu,
Cina dan India. Persefahaman ini telah menjadi resepi utama
perpaduan dalam kalangan penduduk di Malaysia. Semoga
persefahaman ini berkekalan dan perpaduan terus mekar bagi
menjamin keamanan dan kesejahteraan Malaysia.
MENELUSURI JEJAK KEMERDEKAAN
Menyorot kembali sejarah kemerdekaan negara, Kongres Melayu
pertama yang diadakan pada 1 hingga 4 Mac 1946 telah
menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Kebangsaan (UMNO).
Usaha ini memantapkan perjuangan dan pembentukan negara
dengan bangsa yang berdaulat.
Walaupun Tanah Melayu diisytiharkan darurat pada 1948 akibat
pemberontakan komunis, namun ia sedikitpun tidak mematahkan
semangat para pejuang kemerdekaan tanah air tercinta.
Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke
London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Walaupun
percubaan sulung itu tidak berjaya, kemerdekaan akhirnya tercapai
setelah melalui beberapa peristiwa.
KRONOLOGI MENCAPAI KEMERDEKAAN
27 Julai 1955
Pilihan raya Persekutuan pertama diadakan. (UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA
(yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada Ogos 1946) membentuk
Parti Perikatan untuk menghadapi pilihan raya tersebut.
1O Ogos 1955
Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina
dan 2 wakil India.
18 Januari – 6 Februari 1956
Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah
Melayu di London.
8 Februari 1956
Perjanjian Merdeka telah dimeterai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh
kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
20 Februari 1956
Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar
Hilir, Melaka
21 Mac 1956
Suruhanjaya Perlembagaan Reid, sebuah suruhanjaya bebas telah dibentuk untuk mengkaji
dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
28 – 29 Disember 1956
Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis. Lalu,
Rundingan Baling diadakan pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung
Parti Komunis Malaya (PKM).
30 Ogos 1957
Detik 12.00 tengah malam, bendera Union Jack diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul
Samad dan diganti dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu tanda negara mencapai
kemerdekaan.
31 Ogos 1957
Pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Senarai Tokoh-Tokoh Pejuang Kemerdekaan
Kehadiran British ke Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1786 telah
menyemarakkan lagi usaha penentangan orang Melayu terhadap
penjajah terutama apabila British mula mencampuri urusan pentadbiran
tempatan. Penentangan bukan sahaja berlaku di Semenanjung Tanah
Melayu malah juga di Sabah dan Sarawak. Kebangkitan gerakan anti-
British memperlihatkan gelombang penentangan yang dilakukan oleh
tokoh-tokoh tempatan berikut:
1. Penghulu Dol Said di Naning,
2. Datuk Siamang Gagap di Seri Menanti
3. Yamtuan Tunku Antah di Sungai Ujong,
4. Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor
5. Sultan Abdullah di Perak,
6. Dato’ Bahaman,
7. Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang,
8. Tok Janggut di Kelantan,
9. Raja Mahadi di Selangor,
10. Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu,
11. Tok Moris, Tunku Kudin
12. Tunku Muhammad Saad di Kedah, Rentap,
13. Roslie Dhoby dan Sharif Mashor di Sarawak serta
14. Mat Salleh, Antanum, Pak Musa dan Syarip Usman
di Sabah.
Walaupun penentangan mereka berakhir dengan kegagalan namun
semangat juang mereka untuk mengembalikan hak dan kedaulatan
tanah air wajar disanjung.
Gelombang pertama seawal abad ke-20 menyaksikan pertukaran
wacana penentangan terhadap kuasa asing dengan menggunakan mata
pena.
Arus kebangkitan nasionalisme pada peringkat awal dipelopori oleh
tokoh-tokoh lepasan pengajian tinggi di Timur Tengah sekitar abad ke-
20. Antaranya,
1. Sheikh Tahir Jalaluddin,
2. Syed Sheikh Al-Hadi,
3. Sheik Muhammad Akil,
4. Sheikh Awad Saidin
5. Haji Abas Taha.
Pelbagai akhbar dan majalah seperti Al-Imam, Neracha, Warta Malaya,
Al-Ikhwan, Saudara dan lain-lain telah diterbitkan.
Kemunculan tokoh-tokoh agama ini diikuti pula oleh beberapa orang
tokoh dari kalangan guru, wartawan serta pejuang bahasa dan sastera
seperti:
1. Zainal Abidin Ahmad (Za’ba),
2. Harun Muhammad Amin,
3. Abdul Hadi bin Hassan,
4. Burhanuddin Al-Helmi dan
(Tokoh PAS yang terlibat sama menuntut Merdeka)
5. Abdul Rahim Kajai.
Dalam perkembangan seterusnya menyaksikan beberapa buah parti
politik dan persatuan yang ditubuhkan bagi melahirkan gerakan
penentangan yang lebih bersepadu.
Serangan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada bulan Disember 1941
dan pendudukan Jepun secara keseluruhannya di Tanah Melayu
bermula Februari 1942 hingga September 1945 telah meninggalkan
kesan dan pengalaman yang pahit kepada seluruh penduduk di negara
ini. Mereka menjadi lebih peka dan sedar terhadap persekitaran dan
perkembangan yang berlaku.
Jepun turut menyemaikan semangat nasionalisme di kalangan penduduk
Tanah Melayu supaya membenci British melalui cerapan ideologi ’Asia
Untuk Asia’.
Arus kebangkitan semangat nasionalisme peringkat kedua telah
diperlihatkan melalui gerakan penentangan hebat terhadap Malayan
Union yang diperkenalkan oleh British pada 1 April 1946 setelah British
mengambil alih semula pentadbiran Tanah Melayu dari tangan Jepun.
Penubuhan PEKEMBAR (UMNO) pada 11 Mei 1946 menggabungkan
suara pertubuhan-pertubuhan Melayu untuk bangkit menentang Malayan
Union. Penentangan secara bersepadu ini telah membuahkan hasil
apabila Malayan Union dibubarkan. Persekutuan Tanah Melayu telah
diisytiharkan pada 1 Februari 1948.
Perubahan pucuk pimpinan UMNO dari Dato’ Onn kepada Tunku Abdul
Rahmandilihat sebagai permulaan arus kebangkitan nasionalisme
peringkat ketiga iaitu perjuangan menuntut kemerdekaan negara.
Serentak itu, slogan 'Hidup Melayu’ diubah kepada ’Merdeka’ sesuai
dengan perubahan matlamat perjuangan UMNO.
Sebagaimana ucapan Tunku Abdul Rahman Putra di Persidangan Agong
Pemuda UMNO pada 3 April 1953, "cogan Hidup Melayu bermakna
kita sedia duduk di bawah naungan British dan berjuang untuk
menyelamatkan kedudukan bangsa kita serta merebut kelebihan
bangsa kita dengan belas rahim British. Tetapi slogan Merdeka itu
bermakna kita bebaskan diri kita daripada naungan British dan
berdiri di atas kaki kita sendiri. Bagi menyelamat dan mendapatkan
kelebihan-kelebihan untuk bangsa kita, terpulanglah kepada kita
sendiri dan tidak lagi berharapkan belas rahim British lagi”.
Ringkasan Sejarah dan aliran langkah ke arah mencapai
kemerdekaan:
1. Persidangan Malaya Merdeka Di London
2. Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
3. Pengumuman Kemerdekaan Di Padang Banda Hilir, Melaka
4. Suruhanjaya Perlembagaan REID
5. Rombongan Kemerdekaan Pulang Dari London
6. Pemilihan Yang Di-Pertuan Agong Pertama
7. Pemilihan Lagu Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu
8. Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Di
Tandatangani
9. Pengumuman Perlantikan Gabenor Pulau Pinang dan
Melaka
10. Rang Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu
Diluluskan
11. Pengumuman Jemaah Kabinet Yang Pertama Selepas
Merdeka
12. Duke Gloucester, Wakil Baginda Queen Tiba Untuk
Upacara Kemerdekaan
13. Tunku Abdul Rahman Dikurniakan Gelaran Bapa
Kemerdekaan
14. Perasmian Stadium Merdeka
15. Bendera Union Jack Diturunkan di Melaka
16. Detik Jam Tengah Malam Di Padang Kelab Selangor
17. Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu
18. Penetapan Tarikh Merdeka Pada 31 Ogos 1957
Sumber : Arkib Negara
JALUR GEMILANG
KIBARKAN JALUR GEMILANG
SEJARAH BENDERA MALAYSIA
Ia bermula pada 29 November 1949 apabila diadakan pertandingan
mencipta bendera peringkat kebangsaan.
Dalam pertandingan tersebut, ciptaan Encik Mohamad bin Hamzah (arkitek
kerajaan Johor) dipilih sebagai pemenang dan buat pertama kalinya
Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana
Sultan Selangor pada 26 Mei 1950.
Selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, Bendera
Persekutuan Tanah Melayu telah diubahsuai sejajar dengan kemasukan
Sarawak, Sabah dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Pada 31 Ogos 1997, sekali lagi sejarah bendera terukir apabila Tun Dr.
Mahathir bin Mohamad mengumumkan nama baru bagi Bendera Malaysia
iaitu Jalur Gemilang.
Penghasilan bendera yang diilhamkan oleh penciptanya, Mohamad Hamzah
dibuat dengan jiwa yang penuh semangat nasionalisme.
Maka, setiap lambang dan warnanya yang digunakan menonjolkan maksud
tertentu.
a) Bahagian berwarna biru tua bermaksud perpaduan yang merupakan
elemen paling penting bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
b) Warna kuning pula bermaksud Raja Berpelembagaan.
c) Merah membawa maksud keberanian.
d) Manakala putih melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan
bagi meningkatkan dan mempertahankan kebudayaan dan
keperibadian Malaysia.
KEPENTINGAN JALUR GEMILANG
Setiap rakyat Malaysia berhak untuk mengibarkan Jalur
Gemilang dengan syarat bendera itu dikibarkan mengikut
arahan / panduan yang ditetapkan.
Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah mengenai tempat,
masa, kedudukan, saiz dan susunan.
Etika dan tatacara memelihara bendera negara juga harus diambil
perhatian. Antaranya ialah cara mengibar, melipat, menyimpan dan
memusnahkan bendera.
Bendera yang koyak, lusuh dan berubah warna dianggap sebagai bendera
yang uzur. Bendera yang uzur tidak boleh dikibarkan kerana perbuatan itu
menunjukkan rasa tidak hormat kepada bendera.
Bendera yang uzur harus dimusnahkan dengan cara paling sopan iaitu
dengan membakarnya di tempat yang tertutup.
Tidak boleh membakar bendera sebagai tanda protes kepada sesebuah
negara.
Kedudukan Jalur Gemilang setaraf dengan Perlembagaan. Justeru,
perbuatan membakar bendera bukan saja diibaratkan membakar hangus
negara tetapi memijak lumat martabat dan maruah negara.