The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Madam Siti Hawa Binti Tukirin, 2020-11-09 03:14:32

KRISIS MORAL REMAJA

Unit 2 sem 3

KRISIS MORAL REMAJA

UNIT 2: KRISIS MORAL REMAJA

2.1 DISIPLIN

PENGENALAN

Sering kali kita membaca atau mendengar masalah disiplin pelajar melalui media
cetak dan media elektronik. Situasi ini amat membimbangkan kerana jika dahulu
pelajar terlibat dengan masalah disiplin seperti ponteng, merokok, melawan guru
dan melepak tetapi kini mereka telah berani menjadi samseng jalanan, membuli
rakan sehingga melibatkan kematian dan sebagainya. Malahan ada juga pelajar
wanita berani melakukan kesalahan disiplin seperti buli, gangsterisme, perlakuan
sumbang dan sebagainya. Apakah punca berlakunya masalah ini? Apakah
pendekatan yang boleh diambil untuk menanganinya?

HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, pelajar dapat:
1. Memberi definisi disiplin.
2. Menjelaskan faktor berlakunya masalah disiplin.
3. Menerangkan cara mengatasi masalah disiplin.
4. Menghuraikan isu bentuk hukuman.

9

KRISIS MORAL REMAJA

2.1 MASALAH DISIPLIN

2.1.1 DEFINISI DISIPLIN

Menurut Kamus Dewan, disiplin mempunyai beberapa pengertian iaitu:
i Latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri
dan patuh pada tatatertib.
ii Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya
berkelakuan baik.
iii Kepatuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan.
iv Hukuman atau denda kerana melanggar sesuatu peraturan yang
ditetapkan

Apabila membicarakan tentang masalah disiplin, perbincangan lebih
menumpukan kepada pelajar-pelajar sekolah. Masalah disiplin yang biasa
diperkatakan meliputi ponteng sekolah, bergaduh, mencuri wang, melepak,
menghisap rokok, membuli, berkelakuan samseng seperti memeras ugut,
memukul orang, mengeluarkan perkataan lucah, menghidu gam dan terlibat
dengan lumba motor haram. Lazimnya kesalahan disiplin di sekolah yang
dilaporkan adalah seperti melanggar peraturan sekolah, datang lewat, ponteng
kelas, tidak membuat kerja rumah, dan biadap terhadap guru.

2.1.2 FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA MASALAH DISIPLIN
Berikut adalah faktor-faktor berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar:

i. Masalah Keluarga
Kebanyakan ibu bapa tidak cuba untuk memahami dan mendalami kesukaran
yang dihadapi oleh anak-anak di sekolah. Mereka juga kurang memberikan
perhatian terhadap anak-anak dari segi bimbingan akademik. Hal ini
menyebabkan pelajar ke sekolah hanya untuk memenuhi kehendak autoriti.

10

KRISIS MORAL REMAJA

Akibatnya, mereka tiada inisiatif untuk mencapai kejayaan, apatah lagi bersaing
dalam pelajaran.

Kesibukan ibu bapa mencari rezeki menyebabkan mereka kekurangan masa
yang berkualiti dengan anak-anak. Perasaan tidak puas hati, marah, geram,
sedih dan lain-lain mula berbaur kerana tidak siapa yang mengambil peduli. Justeru,
pelajar meluahkan perasaan melalui tindakan yang dianggap bertentangan dengan
norma masyarakat.

Kajian mendapati kebanyakan daripada pelajar yang terjebak dengan masalah
disiplin ini terdiri daripada keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Ramai ibu bapa yang menumpukan lebih perhatian kepada pekerjaan.
Contohnya ada yang sanggup berkerja kilang sehingga lebih masa dan ada juga
yang berhijrah ke Singapura untuk mencari pendapatan yang lumayan. Ini
menyebabkan kewajipan di rumah tidak terjaga dan terabai. Selain itu, ada juga
pelajar yang kurang berdisiplin akibat daripada perceraian atau kematian ibu
bapa.

ii. Iklim Sekolah
Penampilan sikap negatif yang dipamerkan oleh pelajar hasil daripada keluarga
yang bermasalah ini akan menyebabkan beberapa respon negatif tanpa disedari
oleh masyarakat sekolah. Pelajar-pelajar lain yang lebih pandai akan menjauhi
diri daripada mereka. Pelajar-pelajar ini juga akan kerap dikritik dan kurang
dipedulikan oleh guru-guru.

Selain itu, pelajar-pelajar ini juga akan ditempatkan di dalam kelompok pelajar-
pelajar yang sama taraf akademiknya dan secara relatifnya juga bermasalah
serta mempunyai sikap anti sosial. Penolakan masyarakat sekolah akan
menyebabkan skop pergaulan mereka terbatas kepada pelajar-pelajar yang
lemah dalam matapelajaran dan bermasalah sama seperti mereka. Sesetengah
daripada mereka membentuk kumpulan (deviant cliques).

11

KRISIS MORAL REMAJA

iii. Sikap Guru
Menurut kajian yang dilakukan oleh Profesor Madya Dr. Aminah Ayob dari
Universiti Sains Malaysia selama lapan bulan di dua buah sekolah di Johor
menyatakan bahawa kadang kala sikap guru boleh menjadikan pelajar hilang
disiplin. Hasil kajian mendapati guru yang melabel pelajar sebagai “jahat” akan
mengakibatkan pelajar tersebut menerima diri mereka sememangnya jahat.
Sehingga ke satu tahap, label “jahat” itu secara tidak langsung memusnahkan
harapan pelajar dan memesongkan pendirian sehingga ada yang melabel diri
sendiri sebagai “tidak berguna dan tidak akan berjaya”. Keadaan ini akan
mematikan semangat pelajar bermasalah disiplin untuk mengubah sikap.

iv. Pengaruh Rakan Sebaya
Kehidupan seharian para remaja yang biasanya dihabiskan bersama kawan-
kawan menyebabkan tindakan yang diambil lebih dipengaruhi oleh keputusan
daripada rakan sebaya. Contohnya memeras ugut kerana mahukan wang
belanja, membuli pelajar-pelajar junior, ponteng sekolah dan melepak. Tanpa
mereka sedari tindakan mereka itu akhirnya memakan diri sendiri.

v. Pengaruh Media Massa
Kemasukan filem-filem berunsur ganas juga turut mempengaruhi tindakan
remaja dalam menjalani kehidupan mereka. Secara sedar atau tidak, remaja
yang melanggar peraturan disiplin sedikit sebanyak terpengaruh dengan
tindakan-tindakan yang dipaparkan di media massa.

12

KRISIS MORAL REMAJA

2.1.3 CARA MENGATASI MASALAH DISIPLIN

Antara contoh mengatasi masalah disiplin ialah:

i. Peranan Kerajaan

Di peringkat agensi kerajaan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah
meminta kerjasama daripada Jabatan Perdana Menteri supaya Jabatan Peguam
Negara mengkaji akta dan undang-undang serta meneliti keperluan
penguatkuasaan undang-undang ini terhadap pelajar sekolah. Selain itu, KPM
juga turut meminta bantuan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri khususnya
polis untuk meningkatkan usaha sama bagi membanteras gejala disiplin pelajar
di luar sekolah, membantu menangani gejala ponteng sekolah, memastikan
keselamatan pelajar dan guru yang diancam oleh kegiatan kumpulan samseng,
gangster dan kongsi gelap serta memperluaskan program dan aktiviti
pencegahan jenayah seperti Program Rakan Cop ke seluruh negara melalui
Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah.

ii. Peranan Sekolah
Antara peranan pihak sekolah ialah menyemaikan budaya penyayang di
samping menyediakan aktiviti yang menyeronokkan seperti projek mentor-
mentee, buku biodata rakan sekelas dan juga buku catatan harian (diari). Bagi
mendekati pelajar-pelajar yang melanggar disiplin pula, guru mestilah mendekati
mereka secara ikhlas dengan menerapkan nilai-nilai yang baik agar mereka
dapat berinteraksi kembali dengan pelajar-pelajar lain. Guru juga perlu lebih
tangkas mengesan perubahan sikap pelajar, mengenalpasti masalah, prihatin
dan membantu menyelesaikan masalah pelajar mereka.

13

KRISIS MORAL REMAJA

iii. Peranan Masyarakat
Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum sebenarnya turut
berperanan dalam menyelesaikan masalah disiplin dalam kalangan remaja.
Contohnya, masyarakat haruslah menyahut seruan kerajaan berkenaaan
kempen ‘semakin hari semakin sayang’ bagi memastikan para remaja
mempunyai tahap disiplin yang tinggi serta tidak terlibat dalam salah laku disiplin
atau jenayah. Selain itu, masyarakat juga hendaklah memberi kerjasama kepada
pihak polis sekiranya berlaku sebarang kejadian jenayah yang melibatkan remaja
dengan melaporkan hal berkenaan kepada pihak polis.

iv. Peranan Ibu Bapa
Ibu bapa sangat berperanan dalam menangani masalah disiplin pelajar. Mereka
seharusnya melibatkan diri secara aktif dalam Persatuan Ibu bapa dan Guru
(PIBG). Ibu bapa juga berperanan dalam meningkatkan lagi ilmu keibubapaan
supaya dapat memahami kerenah anak-anak remaja yang semakin membesar.

2.1.4 ISU HUKUMAN
Dalam persoalan disiplin ini yang menjadi isunya ialah berkaitan keberkesanan
hukuman yang dilaksanakan. Ada yang menyuarakan bahawa pelajar yang
bermasalah tersebut perlu dibantu dengan mengadakan suatu stimulus yang
dapat meningkatkan rasa minat untuk belajar dan bukannya disisihkan melalui
hukuman seperti merotan dan gantung sekolah yang biasanya menghasilkan
respon yang dikehendaki dengan cepat tetapi ia bersifat sementara dan kerap
tidak berjaya menyelesaikan masalah sebenar pelajar. Pendekatan sistem
hukuman sedia ada, mesti diubah dan dianjakkan kepada memfokuskan usaha-
usaha murni bagi mengisi kekosongan jiwa pelajar-pelajar malang ini.

14

KRISIS MORAL REMAJA

Bincangkan kesesuaian hukuman bagi setiap kesalahan disiplin di bawah.
Adakah anda bersetuju bahawa hukuman tersebut dapat mengubah disiplin
pelajar atau sebaliknya.

BIL KESALAHAN DISIPLIN BENTUK HUKUMAN KESAN/ NILAI
Positif / Negatif
1 Ponteng kelas potong elaun

2 Merokok Amaran bertulis dan Positif / Negatif

seterusnya digantung

daripada latihan

3 Mencuri Amaran bertulis dan

seterusnya digantung Positif / Negatif

atau dibuang daripada

latihan

4 Meniru dalam Gagal dan didenda

peperiksaan RM100.00 bagi setiap Positif / Negatif

subjek

5 Bergaduh Digantung Positif / Negatif

KESIMPULAN

Semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu bagi menangani masalah
disiplin dalam kalangan remaja supaya tidak menjadi barah dalam masyarakat.
Ini adalah kerana remaja merupakan aset yang sangat bernilai untuk

15

KRISIS MORAL REMAJA

membangunkan dan menerajui negara pada masa akan datang. Remaja juga
akan memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara di samping
meneruskan tradisi dan budaya bangsa.

LATIHAN PENGUKUHAN

1. Berikan pengertian disiplin.
2. Jelaskan faktor-faktor berlakunya masalah disiplin.
3. Terangkan cara-cara mengatasi masalah disiplin.
4. Huraikan isu hukuman sebatan kepada para pelajar.

RUJUKAN

1. Abdullah Sani Yahaya (2006). Mengurus Disiplin Pelajar. Kuala Lumpur: PTS
Professional Publishing Sdn. Bhd.

2. Ahmad Khamis (1999). Etika (Pendidikan Moral). Kuala Lumpur: Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.

3. Azhar Hj.Mad Aros (2004). Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Shah
Alam: Fajar Bakti.

4. Eow Boon Hin (2004). Pendidikan Moral (Edisi Kedua). Petaling Jaya: Pearson
Malaysia Sdn Bhd.

5. Hamidon Pawanteh (2005). Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia. Shah Alam:
Cerdik Publications.

6. Mardiana Nordin & Hasnah Hussin (2004). Pengajian Malaysia (Edisi Kedua).
Shah Alam: Fajar Bakti.

7. Muthualagan Thangavelu et.al. (2009). Pendidikan Moral. Petaling Jaya:
Prentice Hall.

8. Vishalache Balakrishnan (2009). Pendidikan Moral Untuk Universiti Dan
Kolej. Shah Alam: Arah Pendidikan Sdn. Bhd.

16

KRISIS MORAL REMAJA

2.2 MASALAH DADAH

PENGENALAN

Dadah merupakan musuh utama negara kita. Pihak kerajaan telah
mengeluarkan peruntukan yang besar untuk menangani masalah ini. Peruntukan
undang-undang negara kita juga menetapkan hukuman yang berat bagi pesalah
yang mengedar dadah seperti hukuman gantung sampai mati. Walau
bagaimanapun masalah dadah masih belum berjaya diatasi sepenuhnya. Jumlah
penagih dadah semakin hari semakin bertambah. Persoalannya mengapakah
keadaan ini terjadi? Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab?

HASIL PEMBELAJARAN

Di akhir pengajaran dan pembelajaran, pelajar dapat:
1. Memberi definisi dadah.
2. Menjelaskan faktor yang membawa kepada terjebak dengan najis dadah.
3. Menerangkan cara mengatasi masalah terjebak dengan najis dadah.
4. Menghuraikan isu penyalahgunaan dadah.

17

KRISIS MORAL REMAJA

2.2.1 DEFINISI

Dadah ialah apa-apa juga bahan kimia, samada asli atau tiruan, apabila
dimasukkan kedalam tubuh badan secara disuntik, dihidu, dihisap atau dimakan
boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal
atau mental.

2.2.2 FAKTOR-FAKTOR PENAGIHAN DADAH

Terdapat beberapa faktor penagihan dadah:
i. Institusi Kekeluargaan Yang Goyah
Hubungan kekeluargaan yang longgar kerana ibu bapa mementingkan kerjaya
hingga mengabaikan kebajikan anak-anak merupakan di antara faktor anak-anak
terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Anak-anak yang kurang kasih sayang
dan perhatian akan memberontak sekiranya kemahuan mereka tidak dipenuhi.
Kegagalan ibu bapa menunjukkan contoh teladan yang baik akan mengganggu
emosi anak-anak. Contohnya ibu bapa yang sering bergaduh di hadapan anak
akan mencari ketenangan di luar rumah. Anak-anak yang dalam keadaan
tertekan akan melakukan apa sahaja yang mereka suka di luar rumah sehingga
terpengaruh dengan penyalahgunaan dadah.

ii. Pengaruh Rakan Sebaya
Rakan sebaya merupakan antara orang yang rapat dengan rmaja. Rakan sebaya
menjadi tempat mereka meluahkan perasaan dan masalah setelah diabaikan
oleh keluarga. Apabila remaja tersalah memilih rakan yang bersikap negatif serta
mempunyai masalah disiplin akan menyebabkan mereka terpengaruh dengan
kelakuan buruk rakan mereka. Mereka tertarik dengan cara mengatasi masalah
yang dilakukan oleh rakan sebaya seperti vandalisme dan penyalahgunaan
dadah. Perlakuan negatif ini disokong oleh rakan-rakan menyebabkan mereka
merasa kuat dan berani melakukannya.

18

KRISIS MORAL REMAJA

iii. Pengaruh Media Massa

Media massa hari ini banyak menayangkan rancangan yang mempunyai unsur
keganasan. Kebanyakan remaja suka menonton televisyen dan terpengaruh
dengan watak antagonis yang dipaparkan serta memberikan idea kepada
mereka untuk melakukan gejala sosial. Rancangan yang diimport dari Barat yang
sering memaparkan gaya hidup yang bebas dan mewah menyebabkan remaja
mula meniru cara hidup sedemikian. Banyak rancangan dari Barat memaparkan
remaja harus berani melawan nasihat ibu bapa kerana memperjuangkan hak
kebebasan mereka. Situasi ini juga menyebabkan remaja berani untuk
mengambil dadah sebagai membuktikan bahawa mereka mempunyai hak untuk
melakukan apa yang mereka ingini.

iv. Sikap Remaja Itu Sendiri

Perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru merupakan naluri manusia yang
normal. Pada awalnya mereka hanya ingin mencuba untuk memuaskan nafsu
ingin tahu. Kesannya mereka tidak dapat menghentikan perbuatan tersebut dan
akan mengulanginya. Sikap remaja juga sukakan keseronokan dan mudah
terikut-ikut dengan sikap rakan. Hal ini menyebabkan remaja terikut-ikut dengan
perbuatan merokok, pergaulan bebas, merempit, pengambilan dadah dan
sebagainya tanpa memikirkan akibat daripada perbuatan mereka.

v. Pegangan Agama Yang Rapuh

Pegangan agama yang lemah menyebabkan seseorang itu tiada benteng yang
kukuh untuk menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik.
Mereka tidak merasa takut untuk melakukan perbuatan yang tidak baik. Mereka
tidak dapat bertindak secara rasional sebaliknya lebih suka mengikut emosi
dalam mengatasi sesuatu masalah. Jalan pintas yang digunakan oleh mereka

19

KRISIS MORAL REMAJA

apabila berhadapan dengan tekanan atau masalah ialah dengan pengambilan
dadah.

2.2.3 CARA MENGATASI MASALAH PENAGIHAN DADAH

Semua pihak haruslah memainkan peranan dalam menangani masalah
penagihan dadah.Pihak-pihak yang terlibat ialah:

i. Institusi Kekeluargaan

Ibu bapa harus mengubah paradigma tentang perhubungan dalam
kekeluargaan. Contohnya tidak terlalu mengongkong atau terlalu memanjakan
akan-anak serta memberi kebebasan sepenuhnya tanpa batasan. Ibu bapa perlu
meluangkan masa dengan anak-anak serta mendengar masalah mereka seperti
seorang sahabat. Ibu bapa juga perlu mengenali siapakah rakan anak-anak
mereka. Selain itu ibu bapa juga haruslah menerapkan pendidikan agama dan
nilai -nilai murni dalam keluarga sejak anak-anak masih kecil lagi. Pendidikan
dan perhatian yang baik dapat menjadi benteng kepada anak-anak daripada
terjebak dengan masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah

ii. Masyarakat

Masyarakat perlulah memberi sokongan padu terhadap semua program yang
dianjurkan oleh kerajaan dan tidak memandang ringan masalah penyalahgunaan
dadah. Masyarakat juga boleh terlibat dangan badan bukan kerajaan untuk
membantu dan membimbing para remaja yang tersalah langkah. Masyarakat
tidak boleh mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri kerana beranggapan
mereka bukan ahli keluarga sendiri. Masyarakat perlu menerima kembali mereka
yang telah insaf dengan hati yang terbuka tanpa sikap prejudis dengan
menghina dan memulaukan mereka.

20

KRISIS MORAL REMAJA

iii. Institusi Pendidikan

Pihak sekolah perlu mengenal pasti pelajar-pelajar yang mempunyai masalah
disiplin serta memantau kelakuan mereka. Pihak sekolah seharusnya
memberikan sokongan moral kepada pelajar-pelajar ini seperti program khidmat
kaunseling dan kem motivasi. Pihak sekolah juga perlu sentiasa memaklumkan
kes salah laku para pelajar kepada ibu bapa mereka untuk membuat
perbincangan antara pihak sekolah dan ibu bapa bagi menyelesaikan masalah
moral anak-anak mereka. Pihak sekolah juga perlu menggalakkan para pelajar
yang bermasalah ini melibatkan diri dengan aktiviti ko kurikulum bagi memenuhi
masa mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

iv. Media Massa

Media massa sebagai wahana menyampaikan informasi terkini perlu lebih
berhati-hati untuk menayang dan menerbitkan program mereka. Pihak mereka
perlu mengutamakan bahan yang bermutu dengan nilai-nilai masyarakat timur
dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata. Rancangan-rancangan yang
berbentuk hiburan perlu dihadkan agar masyarakat tidak didedahkan dengan
budaya keseronokan tanpa berpaksi kepada kehendak moral dan agama.

v. Kerajaan.

Pihak kerajaan boleh menganjurkan pelbagai kempen dan program untuk
pembangunan masyarakat, keluarga dan remaja. Contohnya Hari Tanpa
Tembakau, Kempen Antidadah, Program Rakan Muda dan sebagainya dapat
mengurangkan masalah moral dikalangan remaja. Melalui kempen atau program
sebegini, para remaja boleh mendapat informasi yang jelas tentang sesuatu
masalah seperti buli, AIDS dan dadah. Program sebegini juga dapat
mendedahkan kepada cara hidup yang sihat dan berkualiti. Pihak kerajaan juga

21

KRISIS MORAL REMAJA

perlu menggandakan penguatkuasaan bagi menyekat kemasukan dadah dari
luar negara dan memperketat pemeriksaan kastam.

2.2.4 ISU PENYALAHGUNAAN DADAH

Penyalahgunaan dadah dan mengambil dadah atau lebih umumnya segala
bahan yang disalahgunakan yang termasuk di bawah kategori dadah seperti
heroin, morfin, ganja dan candu serta sebagainya baik melalui suntikan atau
menghisap atau menelan boleh merosakkan kewarasan akal.

Selain daripada itu, kebelakangan ini telah lahir pula suatu gejala lain, iaitu
penyalahgunaan gam, iaitu perbuatan menyedut atau menghidu gam sebagai
bahan pengganti dadah dengan tujuan untuk mengkhayalkan serta membawa
kepada rosaknya kewarasan akal.

Peningkatan gejala HIV/AIDS yang rapat kaitannya dengan penyalahgunaan
dadah juga semakin serius dewasa ini sehingga pihak yang berkuasa
menganggapnya sudah sampai ke tahap darurat.

Apakah pandangan anda terhadap perbuatan pengambilan dadah bagi
sesetengah golongan seperti ahli sukan, pekerja-pekerja buruh, nelayan dan
sebagainya untuk menambahkan kekuatan mereka supaya mereka lebih kuat
untuk bekerja. Bincangkan.

KESIMPULAN

Penagihan dan pergantungan terhadap dadah ialah satu masalah serius yang
kini melanda segenap lapisan manusia di dunia. Ketagihan dadah adalah
penyakit sosial yang boleh mengancam keselamatan, kesejahteraan negara dan
merosakkan maruah diri serta meruntuhkan institusi masyarakat. Ancaman yang

22

KRISIS MORAL REMAJA

dibawa oleh dadah kepada masyarakat dan negara menyebabkan kerajaan
Malaysia mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara, selaras
dengan matlamat menghapuskan ancaman dadah dan mengenakan hukuman
mati mandatori ke atas pengedar dadah sekiranya jumlah dadah yang ditangkap
melebihi had yang ditetapkan.

LATIHAN PENGUKUHAN

1. Berikan definisi dadah.
2. Jelaskan faktor yang membawa kepada terjebaknya dengan najis dadah.
3. Terangkan cara mengatasi masalah terjebak dengan najis dadah.
4. Huraikan isu penyalahgunaan dadah.

RUJUKAN

1. Abdul Rahman Md. Aroff (1999). Pendidikan Moral: Teori Etika Dan
Amalan Moral. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

2. Ahmad Khamis (1999). Etika (Pendidikan Moral). Kuala Lumpur:
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

3. Eow Boon Hin (2004). Pendidikan Moral (Edisi Kedua). Petaling Jaya:
Pearson Malaysia Sdn Bhd.

4. Hamidon Pawanteh (2005). Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia. Shah
Alam: Cerdik Publications.

5. Hussain Habil & Mustafa Ali Mohd (1999). Penyalahgunaan Dadah:
Hidup Tak Bererti Maut Menanti. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

6. Mardiana Nordin & Hasnah Hussin (2004). Pengajian Malaysia (Edisi
Kedua). Shah Alam: Fajar Bakti.

7. Muthualagan Thangavelu et.al. (2009). Pendidikan Moral. Petaling Jaya:
Prentice Hall.

8. Vishalache Balakrishnan (2009). Pendidikan Moral Untuk Universiti
Dan Kolej. Shah Alam: Arah Pendidikan Sdn. Bhd.

23

KRISIS MORAL REMAJA

2.3 MASALAH ARAK

PENGENALAN

Amalan meminum minuman keras yang jelas membawa implikasi negatif
terhadap individu, institusi keluarga dan masyarakat mulai menular dalam
kalangan remaja masa kini. Ia dapat dilihat sewaktu mereka mengadakan parti
dan berpesta di tempat-tempat hiburan di kota-kota besar. Masalah ini jika tidak
dapat ditangani dengan baik akan memberikan kesan yang buruk kepada
masyarakat secara keseluruhannya.

HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, pelajar dapat:
1. Memberi definisi alkohol.
2. Menjelaskan faktor berlakunya ketagihan arak.
3. Menghuraikan kesan buruk daripada pengambilan arak.
4. Menerangkan cara mengatasi masalah ketagihan arak.
5. Menghuraikan isu keganasan akibat pengambilan arak.

24

KRISIS MORAL REMAJA

2.3.1 DEFINISI ALKOHOL
Menurut Kamus Dewan, alkohol ialah sejenis cecair yang mudah terbakar dan
juga memabukkan (terdapat dalam minuman keras).

Minuman keras atau arak ialah minuman beralkohol (biasanya etanol) yang
menyebabkan seseorang menjadi mabuk, tidak sedarkan diri, terlena dan
sebagainya. Contoh minuman keras ialah wain, bir, wiski dan lain-lain. Biasanya
minuman keras akan mengakibatkan atau menimbulkan hal yang negatif bagi
peminumnya.

Sesetengah agama, seperti Islam dan sesetengah mazhab Kristian dan Buddha,
melarang pengambilan arak. Di kebanyakan negara, penjualannya dikawal oleh
kerajaan kerana ia dianggap berbahaya kepada kanak-kanak.

2.3.2 FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA KETAGIHAN ARAK
Faktor-faktor berlakunya ketagihan arak ialah:

i. Tekanan Emosi
Beban tanggungjawab yang bertambah, masalah keluarga dan sebagainya boleh
menyumbang kepada seseorang individu mengambil arak dan ada yang sampai
ke peringkat ketagihan. Arak dijadikan alasan sebagai jalan penyelesaian untuk
melupakan masalah yang dihadapi.

ii. Adat Kebiasaan
Gaya hidup seharian yang sering mengunjungi kelab malam atau parti sosial
yang menghidangkan minuman beralkohol juga boleh menyebabkan seseorang
ketagihan arak. Mereka beranggapan tanpa arak maka kehidupan jadi tidak
bermakna.

25

KRISIS MORAL REMAJA

2.3.3 KESAN BURUK DARIPADA PENGAMBILAN ARAK

Kesan ketagihan akibat meminum arak bukannya bergantung kepada jenis arak
tetapi jumlah yang diminum pada suatu masa. Pada dasarnya terdapat dua
kesan yang ketara kepada penagih arak iaitu kesan jangka pendek dan jangka
panjang.

a. Kesan Jangka Pendek

i. Hangover

Kesan jangka pendek pengambilan alkohol sebanyak satu botol besar
menjadikan seseorang itu kurang daya koordinasi seperti tidak boleh
berjalan dengan betul. Dalam masa yang singkat ini juga boleh
menyebabkan hangover. Hangover lazimnya disebabkan oleh keracunan
alkohol, bahan lain dalam alkohol dan tindakbalas ketagih alkohol. Tanda-
tanda hangover alkohol termasuklah sakit kepala, loya, muntah, cirit birit,
gangguan pergerakan usus dan menggeletar selama 8 – 12 jam
kemudian.

ii. Masalah tingkah laku.
Arak boleh menyebabkan seseorang itu hilang kewarasan sehingga
melakukan sesuatu di luar batas kawalannya seperti memandu laju dan
amalan-amalan lain yang merbahaya.

iii. Tekanan emosi
Pengambilan arak boleh merubah ragam atau mood seperti marah,
ganas, murung dan mungkin ke peringkat ingin membunuh diri dengan
pengambilan arak yang berlebihan.

26

KRISIS MORAL REMAJA

b. Kesan Jangka Panjang

i. Menyebabkan pelbagai penyakit.
Kesan jangka panjang akan dirasai selepas meminum arak selama
beberapa bulan atau tahun. Kesan utama adalah seperti sakit jantung, hati
atau penyakit dalam perut. Apabila situasi ini berlaku mereka akan kurang
selera makan, kekurangan vitamin, jangkitan penyakit, mati pucuk atau
kekurangan haid. Risiko kematian adalah lebih tinggi kepada individu
yang kuat minum arak, terutamanya berpunca daripada sakit jantung atau
hati, radang paru-paru, kanser, keracunan alkohol yang teruk,
kemalangan, pembunuhan dan pembunuhan diri.

ii. Hilang daya ingatan
Pengambilan arak yang tinggi boleh mengganggu daya ingatan
seseorang. Individu yang meminumnya akan hilang kewarasan dan tidak
dapat berkelakuan seperti manusia normal. Dalam keadaan yang mabuk,
mereka berisiko tinggi melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan
menyalahi undang-undang seperti merogol, memukul dan sebagainya.

2.3.4 CARA MENGATASI KETAGIHAN ARAK

Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah ketagihan arak. Antaranya:

i. Mengubah Gaya Hidup
Jika anda seorang peminum arak, lebih baik berhenti sahaja sebelum terlambat.
Lebih cepat anda berhenti maka lebih besar peluang anda terselamat dari kesan
fizikal dan psikologikal yang serius. Jauhi tempat-tempat yang menyajikan arak
seperti kelab malam. Jika rakan mempelawa anda minum arak untuk meraikan
majlis tertentu, terangkan kepada mereka yang anda telah berhenti. Anda boleh
mencari rakan baru sekiranya mereka tidak bersetuju dengan tindakan anda.

27

KRISIS MORAL REMAJA

ii. Menguatkan Pegangan Agama
Semua agama melarang pengambilan dan penyalahgunaan arak. Pegangan
agama yang kuat akan menghindarkan seseorang daripada mengambil arak.

iii. Peranan Keluarga
Keluarga hendaklah sentiasa memastikan ahlinya tidak mengambil arak atau pun
pergi ke kelab-kelab malam dan tempat-tempat yang menyediakan minuman
tersebut. Keluarga juga hendaklah menyokong tindakan anak-anak yang ingin
berhenti daripada mengambil minuman beralkohol.

2.3.5 ISU KEGANASAN

Ketagihan arak merupakan satu penyakit yang boleh memudaratkan kesihatan
fizikal, tingkahlaku dan emosi peminumnya. Individu yang ketagih alkohol ini
akan berkelakuan ganas sekiranya kehendak mereka tidak dipenuhi. Contohnya,
seorang bapa yang pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan dileteri oleh
isterinya, akan bertindak memukul dan mencederakan isteri serta anak-anaknya.

Adakah semua penagih arak akan bertindak ganas terhadap keluarga?
Bincangkan.

KESIMPULAN

Sebagaimana masalah ketagihan dadah, ketagihan arak juga banyak
mendatangkan kesan buruk kepada individu, keluarga dan masyarakat.
Pendekatan agama, moral dan undang-undang perlu ditekankan dalam usaha
membasmi ketagihan arak. Langkah-langkah pencegahan juga perlu
dilaksanakan dengan memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya
kepada ibu bapa dan mereka yang berisiko besar terlibat dalam masalah ini.

28

KRISIS MORAL REMAJA

LATIHAN PENGUKUHAN

1. Berikan definisi alkohol.
2. Jelaskan faktor-faktor berlakunya ketagihan arak.
3. Huraikan kesan pengambilan arak.
4. Terangkan cara-cara mengatasi masalah ketagihan arak.
5. Huraikan isu keganasan akibat pengambilan arak.

RUJUKAN

1. Ahmad Khamis (1999). Etika (Pendidikan Moral). Kuala Lumpur:
Kumpulan

Budiman Sdn. Bhd.
2. Azhar Hj.Mad Aros (2004). Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS).

Shah Alam: Fajar Bakti.
3. Eow Boon Hin (2004). Pendidikan Moral (Edisi Kedua). Petaling Jaya:

Pearson Malaysia Sdn Bhd.
4. Hamidon Pawanteh (2005). Pengajian Am: Kenegaraan Malaysia. Shah

Alam: Cerdik Publications.
5. Mardiana Nordin & Hasnah Hussin (2004). Pengajian Malaysia (Edisi

Kedua). Shah Alam: Fajar Bakti.
6. Muthualagan Thangavelu et.al. (2009). Pendidikan Moral. Petaling Jaya:

Prentice Hall.
7. Vishalache Balakrishnan (2009). Pendidikan Moral Untuk Universiti

Dan Kolej. Shah Alam: Arah Pendidikan Sdn. Bhd.

29


Click to View FlipBook Version