MESEJ YBHG. PROF. DR. YAMIN YASIN, REKTOR UITM CAWANGAN NEGERI SEMBILAN SEMPENA
HARI RAYA AIDILFITRI 2022
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Sempena Aidilfitri yang bakal menjelma, saya Profesor Dr. Yamin Yasin, Rektor UiTM Cawangan Negeri
Sembilan, dan mewakili Barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri serta Pengurusan Universiti Teknologi
MARA Cawangan Negeri Sembilan (UiTMCNS) ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada
semua staf dan para pelajar UiTMCNS.
Saya percaya hari raya kali ini amat istimewa kepada kita semua kerana kita dapat bersua muka dan
meneruskan tradisi raya kita seperti sedia kala sesuai dengan fasa endemik yang sedang kita tempuhi
bersama. Mari bersama panjatkan kesyukuran kepada Allah swt atas segala hikmah yang kita perolehi
sepanjang tempoh pandemik sehingga peralihan ke endemik ini. Sesungguhnya setiap kesukaran akan
disertakan dengan hikmah dan kebaikan. Terbukti, sepanjang pandemik, kita bukan sahaja menginsafi
banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita malahan kita belajar bersyukur dengan limpahan rezeki
yang diperolehi sepanjang bekerja bersama UiTMCNS. Terima kasih kepada semua staf yang
memberikan komitmen kepada organisasi. Juga terima kasih saya kepada staf yang berkorban tenaga
untuk menjalankan tugas pada pagi hari raya. Semoga pengorbanan dan jasa anda akan mendapat
rahmat dari Yang Esa.
Kepada yang pulang ke kampung, pandu cermat dan patuhi lah undang-undang jalan raya. Gunakan
masa ini untuk saling bermaafan dan meluangkan masa dengan keluarga, pasangan dan anak-anak.
Gembirakanlah mereka dan pastikan hari raya tahun ini merupakan hari yang menggembirakan semua
orang.
Kepada pelajar, teruskan usaha murni anda berjihad di medan ilmu dan sentiasa menjaga diri
sepanjang berhari raya. Semoga para pelajar terus ceria dan dalam perlindungan serta rahmat Allah
swt. Jadilah anak yang taat kepada ibu bapa dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Sekian,
PROFESOR DR. YAMIN YASIN
REKTOR
UITM CAWANGAN NEGERI SEMBILAN
Cahaya Ramadhan berlalu pergi,
Menyambut tibanya Aidilfitri,
Ampun maaf segala peri,
Semoga ikatan kekal di hati,
Selamat hari Raya Maaf Zahir dan
Batin
Lemang tersedap di Kuala Pilah ,
Tak lupa kuih raya di dalam tin ,
Ampun dipinta silap dan salah ,
Selamat hari raya maaf zahir batin
Bandar Seremban bandar gemilang,
Dihias lampu terang benderang,
Staf dikasih, pelajar disayang,
Kerja muafakat pasti cemerlang
Memandu jauh ke pekan Rembau,
Rehat sebentar melepas lelah,
Ilmu dan pengalaman perlu diimbau,
Sebagai panduan prestasi hadapan
Pergi membeli Rendang Maman,
Di kiri kanan, penuh telaga,
Tenang berada di kampung halaman,
Semoga gembira bersama keluarga