BERUS AJAIB Oleh : Nur Alisa binti Yusri
Suatu ketika dahulu, terdapat sebuah perkampungan kecil bernama Tumpak Sewu. Di sini, tinggalnya seorang pelukis berbakat yang bernama Binar. Bakat yang ada pada Binar membuatkan orang ramai sering menyangka bahawa lukisanlukisannya bernyawa. Dia banyak melukis potret orang-orang kaya di pekan. Hasil jualan potret digunakan untuk menampung kos hidupnya. Kebanyakan masanya digunakan untuk berjalan mengelilingi pekan dan mencari tempat yang sesuai untuk melukis. Dia banyak melukis pemandangan, buah-buahan, dan manusia. Walau bagaimanapun, disebabkan pekan yang didudukinya kecil, dia hanya boleh melukis pemandangannya terhad di sana. Lama-kelamaan, permintaan semakin berkurang.
Di suatu petang, Binar bersandar di bawah sebatang pokok yang selalu menjadi tempat kebiasaannya untuk melihat matahari terbenam. Meskipun dia sering melukis pokok tersebut, dia tidak pernah jemu. Dia selalu berbicara dengan pokok itu seolah-olah pokok tersebut hidup. “Menarilah wahai pokok, goyangkanlah daunmu”. Lalu pohon pokok tersebut bergoyang dan menggugur -kan beberapa helai daunnya. “Ha..ha..ha..kadang kala saya rasa kamu boleh mendengar hajat saya,” ucap Binar kepada pokok itu. Namun, tanpa dia sedar ada sesuatu yang mendengarnya. Dia gemar melihat lukisan Binar. Namanya Esla. Esla merupakan bunian yang tinggal di pokok itu. Dia sangat pemalu dan suka persekitaran kehijau-hijauan yang membuatkannya berasa selesa dan selamat.
“Wahai pokok, saya berharap kamu boleh mendengar luahan saya dan membantu saya. Saya tiada pekerjaan di pekan sekarang. Saya terfikir untuk mencari pekerjaan di tempat lain tetapi saya berasa berat hati untuk meninggalkan pekan ini. Namun, saya berasa bahawa saya perlu juga melakukannya kerana satu-satu perkara yang saya tahu hanyalah melukis. Jika tiada orang membeli karya saya di sini, terpaksalah saya berhijrah ke pekan yang lain.” adu Binar pada pohon itu.
Esla yang terdengar akan luahan hati Binar mula berasa kasihan. Setelah Binar berjalan pergi meninggalkan pokok itu, Esla mula memikirkan sesuatu. “Saya tidak ingin dia pergi. Saya suka akan lukisan-lukisannya. Dia juga seorang pemuda yang baik dan ikhlas. Apa yang perlu dibuat untuk melariskan karyanya?” Esla berfikir. Seketika kemudian, satu idea muncul di fikirannya. “Saya tidak boleh memaksa orang membeli karyanya, tetapi saya boleh menunaikan hajat yang lain.” Setelah berfikir agak panjang, Esla bergegas ke lubang pokok yang tempat tinggalnya dan mula bekerja. Dia bekerja sepanjang malam. Akhirnya, terhasillah sebatang berus ajaib. “Ini pasti dapat membantu Binar,” ucap Esla.
Petang itu, Binar pergi ke bawah pohon seperti biasa. Dia terpesona melihat sebatang berus yang bersinar di sebalik rumput. “Wah, berkilaunya berus ini. Ini adalah berus yang paling cantik yang pernah saya lihat. Siapakah pemiliknya?” Binar tertanya-tanya di dalam hati. “Saya tidak patut mengambilnya. Pemilik asal mungkin akan datang mencari kembali berus ini,” ucap Binar dengan nada agak sedih. Kemudian, Binar pun pergi meninggalkan pokok itu. Dia tidak sampai hati sebenarnya meninggalkan berus itu di sana tetapi dia tidak mahu mengambil barang milik orang lain.
Keesokan hari, Binar sampai ke pokok tersebut lebih awal dari biasa. Dia berharap berus itu masih berada di sana. Sesampainya di sana, Binar teruja apabila melihat berus tersebut masih ada di tempat yang sama. “Mungkin berus ini tiada tuannya. Lagipula, saya pernah mendengar kisah tentang hutan ini. Mungkin hutan ini memang ada sesuatu yang ajaib. Binar mengambil berus itu dan menelitinya. Lalu dia mula melukis sehelai daun di buku lukisannya. “Berus ini sangat istimewa. Lukisan saya tidak pernah secantik ini.” Tiba-tiba, sesuatu yang ajaib terjadi. “Eh, apa yang sedang berlaku?” Binar terkejut melihat lukisan daunnya mula bernyawa dan daun sebenar muncul di atas kertas lukisannya. Binar menguji semula lukisannya dengan melukis sebiji epal. Beberapa saat setelah dia selesai melukis, buah epal yang sebenar muncul. “Wah, ternyata berus ini memang berus ajaib. Saya boleh melukis apa sahaja yang saya hajati.” Binar melompat keriangan kerana gembira yang tak terhingga. Esla yang memerhatikan kejadian tersebut berasa gembira kerana dapat membantu pemuda yang berbakat tersebut.
Setibanya di rumah, Binar memasang kertas lukisannya dan tidak sabar untuk melukis apa yang dia inginkan. Dia mula melukis makanan kegemarannya. Dia seharusnya melukis mangga namun lukisannya membentuk sebuah bulatan. Dia mencubanya sekali lagi tetapi hasilnya tetap sama. Lukisannya tidak berubah menjadi buah mangga sebenar. Kemudian, dia menenangkan dirinya dan cuba melukis lagi dengan kesabaran dan berhati-hati menggunakan kemahirannya. Akhirnya dia berjaya apabila sebiji mangga sebenar menjelma. “Rupa-rupanyanya, pensil ini akan menunaikan hajat saya jika saya melukis dengan berhati-hati dan teliti.” bisik Binar sendiri.
Semenjak adanya berus itu, dia melukis segala yang diidamkannya termasuklah makanan, tanaman, pakaian dan perhiasan untuk rumahnya. Kehidupannya berubah sekelip mata. Binar berasa amat gembira dengan kehidupannya yang serba lengkap. Namun, lama- kelamaan dia mula berasa bosan. “Sekarang saya memiliki semuanya. Apa lagi yang boleh dibuat dengan berus ini? Mungkin saya boleh menolong penduduk di pekan ini. Saya boleh melukis apa yang mereka mahu,” ucap Binar. Keesokan harinya, Binar pergi berjumpa dengan rakan-rakannya kawasan pekan dan menceritakan segalanya. Pada mulanya tiada siapa yang percaya akan kata-kata Binar. “Kamu janganlah merepek. Kamu hanya buang masa kami sahaja,” ucap seorang rakannya yang disertai dengan gelakan rakanrakan yang lain.
“Ini bukan rekaan. Saya akan buktikan kepada kalian semua.” Binar mengetahui bahawa salah seorang daripada rakannya di situ memerlukan sebuah traktor untuk mengerjakan sawah. Tetapi kerana kemiskinannya, dia tidak mampu membelinya. Binar mengeluarkan buku lukisannya dan mula melukis sebuah traktor. Dalam sekelip mata, muncul sebuah traktor di hadapan mereka. Semua memuji kehebatan Binar. Semenjak hari itu, Binar banyak membantu penduduk pekan yang berada di dalam kesusahan. Dia berkongsi dengan mereka tanpa berasa was-was. Penduduk di Tumpak Sewu mula bekerja dengan tekun dan bersemangat. Tiada di antara mereka yang meminta lebih daripada apa yang mereka perlukan.
Selang beberapa hari, seorang pelawat datang mengunjungi pekan tersebut. Dia berasa pelik apabila melihat suasana di pekan Tumpak Sewu. Meskipun pekannya kecil, semua penduduk hidup dalam keadaan selesa. Lalu dia bertanya kepada penduduk di sana dan mereka terus menceritakannya. “Berus ajaib. Betulkah ini? Saya harus berjumpa dengan pelukis ini.” Namun, dalam diam, dia menyimpan niat yang tidak baik terhadap Binar.
Apabila tiba saat yang sesuai, dia terus menculik Binar. “Dengar cakap saya. Lukis barang-barang kemas sebanyak yang mungkin dan berikannya kepada saya.” Dalam keadaan cemas, Binar melukis ketakutan. Disebabkan perasaannya yang tidak menentu, lukisannya berubah menjadi batu-batu kecil. Pelawat tersebut berasa marah kemudian merampas berus lukisan tersebut dan mula melukis dengan tangannya sendiri. Apabila dia melukis rantai emas, seekor ular menjelma. Sedang pelukis itu berusaha menyelamatkan diri daripada ular tersebut, Binar menenangkan dirinya dan melukis sebuah sangkar yang besar. Tidak lama kemudian, sebuah sangkar menjelma dan muncul tepat dari atas pelawat itu. Binar terus mengunci pintu sangkar tersebut. Binar bergegas ke balai polis dan membuat aduan tentang kejadian yang menimpanya.
Penjahat itu akhirnya ditangkap. Pekan Tumpak Sewu kembali aman dan harmoni. Semua penduduk berbangga dengan usaha Binar dalam membantu penduduk pekan dan berjaya menangkap penjahat tersebut. Binar telah mengambil pengajaran dari kejadian tersebut. Dia sedar betapa bahayanya sekiranya berus tersebut jatuh ke tangan seseorang yang mempunyai niat jahat. Akhirnya, dia memutuskan untuk mengembalikan berus tersebut ke tempat asal dan menanamnya supaya tiada siapa yang menjumpainya. - Tamat -
TEMA Cerpen ini adalah bertemakan tentang fantasi dan imaginasi yang membawa pembaca ke dalam dunia khayalan yang berunsurkan makhluk mitos dan kekuatan magik Ini boleh dilihat daripada karakter Elsa sebagai bunian yang membantu seorang pemuda dengan memberikannya berus ajaib yang boleh menukarkan lukisan menjadi realiti.
NILAI MURNI dalam Cerpen ‘Berus Ajaib’ Baik hati Kejujuran Keprihatinan Kesabaran Bijaksana kesyukuran Kesedaran
PENGAJARAN 1) Kita mestilah mengamalkan nilai baik hati. Contohnya Esla, bunian yang baik hati menolong Binar dengan memberikannya sebatang berus ajaib agar Binar dapat meneruskan kerjayanya sebagai pelukis di perkampungan Tumpak Sewu. 2) Kita haruslah menerapkan nilai kejujuran. Contohnya, Binar meletakkan kembali berus ajaib sewaktu melihatnya pertama kali di bawah pohon yang menjadi tempat kegemarannya kerana khuatir berus tersebut milik orang lain. 3) Kita sewajarnya bersikap prihatin kepada orang sekeliling. Contohnya, Binar membantu penduduk Tumpak Sewu mencukupkan keperluan mereka dengan menggunakan bakat melukis yang ada pada dirinya. Dia tidak menggunakan berus itu untuk kepentingan peribadinya sahaja.
PENGAJARAN 4) Kita haruslah menerapkan sifat sabar dalam diri. Contohnya, Binar tidak berputus asa apabila tidak dapat melukis sebiji mangga. Justeru dia berusaha melukis kembali dengan hatihati dan teliti. 5) Kita mestilah sentiasa bersyukur. Contohnya, penduduk Tumpak Sewu mensyukuri apa yang diberikan kepada mereka. Mereka tidak meminta secara berlebihan dan mengambil kesempatan atas kebolehan Binar. Kebanyakan pertolongan juga berbentuk keperluan yang memudahkan kerja-kerja harian. 6) Kita haruslah berfikir secara bijaksana. Contohnya, BInar menunjukkan kebijaksanaanya dengan menggunakan bakatnya untuk melawan penjahat. Dia melukis sebuah perangkap untuk mengurung penjahat tersebut sebelum melaporkannya kepada polis. 7) Kita sewajarnya mempunyai nilai kesedaran. Contohnya, Binar menyedari potensi untuk berus ajaib tersebut disalah gunakan apabila jatuh ke tangan yang salah. Oleh itu, dia mengembalikan berus ajaib tersebut ke tempat asalnya.