The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by suzianiesaminoon, 2022-09-09 09:14:23

Cerita Mitos Sungai Sepi

Cerita Mitos Sungai Sepi

Sungai Sepi

Sungai Sepi merupakan sebatang sungai yang terletak di hujung Kampung Serijaya.
Sungai ini dikatakan mempunyai sumpahan dari seorang dukun yang telah dihalau
oleh penduduk Kampung Serijaya. Dukun tersebut dihalau kerana telah dituduh
menculik kanak-kanak yang berada di Kampung Serijaya tersebut. Selepas kejadian
itu, dukun tersebut telah menyumpah Sungai itu. Penduduk kampung Serijaya
menjadikan sungai itu sebagai tempat mereka untuk mendapatkan sumber protein
dan juga sumber air. Oleh disebabkan sungai itu telah disumpah, ramai penduduk
kampung Serijaya terpaksa berpindah ke kampung lain bagi mendapatkan sumber
makanan untuk kelangsungan hidup. Hanya segelintir penduduk sahaja yang masih
bertahan untuk kekal di kampung Serijaya dengan berbekalkan binatang buruan dan
juga air perigi.

Sungai Sepi ini diberi nama kerana setelah ianya disumpah tiada siapa pun
yang berani mendekati dan mendatangi sungai tersebut. Penduduk kampung Serijaya
mengatakan bahawa sesiapa yang makan atau minum hasil dari sungai itu dia akan
mendapat sumpahan tersebut. Tetapi tiada siapa yang tahu apa bentuk sumpahan
yang bakal menimpa seseorang itu. Dukun tersebut hanya mengatakan yang dia telah
menyumpah sungai tersebut dan sesiapa yang minum dari airnya atau makan
hasilnya akan mendapat karma. Sejak dari itu, sungai itu tidak digunakan lagi.

Terdapat seorang lelaki yang bernama Juna. Juna merupakan anak kepada
salah satu pasangan yang masih kekal di Kampung Serijaya. Juna merupakan
seorang ramaja yang nakal dan tidak pernah mempercayai legenda sungai tersebut.
Juna sering pergi ke sungai tersebut dan melihat kawasan di sekitarnya. Juna berasa
bahawa sumpahan sungai itu tidak benar dalam masa yang sama Juna merasakan
bahawa sekiranya dia ingin mengetahui kebenaran sungai itu dia perlu mencubanya.
Akan tetapi, ibu bapa Juna sering kali melarang Juna untuk berbuat sedemikian.

Keluarga Juna sering keluar memburu pada hujung minggu untuk
mendapatkan bekalan makanan yang cukup untuk minggu seterusnya. Setiap kali
memburu, mereka akan melalui Sungai Sepi itu untuk menuju ke hutan. Keadaan di
Sungai Sepi itu sangatlah suram dan mengerikan. Walaupun keadaan sekitar sungai
itu kelihatan suram dan mengerikan tetapi air sungai itu sangatlah jernih dan bersih
sehinggakan ikan-ikan yang berenang boleh dilihat dengan jelas. Ibu bapa Juna sering

kali menasihati Juna untuk tidak sesekali mendekati sungai itu. Juna yang merupakan
anak tunggal kepada sepasang suami isteri itu. Oleh itu Juna amatlah disayangi dan
dijaga rapi oleh kedua ibu bapanya.

Pada suatu hari, keluarga Juna pergi memburu di hutan yang terletak di hujung
Kampung Serijaya. Dalam perjalan ke hutan itu, keluarga Juna telah menjumpai
sebuah pokok rambutan. Buah rambutan di pokok itu ranum semuanya. Keluarga
Juna pun berhenti berehat seketika. Pokok rambutan itu terletak di hadapan sungai
sepi tersebut. Sedang enak menikmati buah rambutan tersebut, tiba-tiba Juna tercekik
biji rambutan itu. Ibu bapanya panik lalu memberikan air yang dibawa dari rumah.
Malang sekali air itu tertumpah dek kerana kepanikan ibu bapanya. Juna pun terus
berlari menuju ke sungai tersebut dan meminum air dari sungai Sepi itu. Selepas Juna
berasa lega setelah meminum air sungai itu, ibu bapanya terus menangis dan menjerit
kerana Juna telah meminum air dari sungai sumpahan itu.

Ibu bapa Juna memeluk erat anaknya kerana mereka menyangkakan Juna
akan mati. Setelah beberapa minit selepas itu, Juna merasakan nafasnya mula sesak.
Dia mula menangis dan memeluk erat kedua ibu bapanya. Dia menangis teresak-esak
kerana dia merasakan dirinya akan meninggalkan kedua ibu bapanya kelak. Tiba-tiba
seorang perempuan tua datang mendekati mereka lalu perempuan itu mengusap
belakang Juna dengan perlahan. Nafas Juna kembali kepada sedia kala. Ibu bapanya
pun berterima kasih kepada perempuan tua tersebut tanpa melihat muka perempuan
tersebut.

Kemudian ibu Juna pun mengangkatkan kepalanya untuk melihat siapakah
gerangan perempuan yang telah menyelamatkan anaknya tadi. Tanpa disangka
perempuan itu merupakan dukun yang telah dihalau dari Kampung Serijaya beberapa
tahun yang lalu. Dukun tersebut tersenyum memandang ibu Juna. Ibu bapa Juna mula
panik dan takut. Dukun tersebut pun berkata “jangan kamu berdua takut denganku,
mari kuceritakan segalanya.”

Dukun tersebut memulakan ceritanya. Dukun itu difitnah oleh ketua kampung
Serijaya ketika dahulu yang dikatakan dukun ini suka menculik kanak-kanak. Akan
tetapi, dukun itu bukanlah menculik kanak-kanak, dukun itu hanya mengubat penyakit
kulit yang dihadapi oleh kanak-kanak tersebut tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Oleh itu, dukun itu tidak pernah sekali pun menyumpah sungai itu. Dia hanya

mengatakan yang dia menyumpah malah sebarang sumpahan tidak pernah
dikenakan terhadap sungai itu.

Ibu bapa Juna terkesima sementara apabila mendengar cerita daripada dukun
tersebut. Kepercayaan orang kampung Serijaya selama ini adalah kepercayaan yang
mengarut sahaja. Air sungai itu bersih dan tidak mempunyai sebarang sumpahan dan
kotoran. Hidupan di sungai itu juga selamat dan boleh dimakan. Suasana yang sepi
dan suram di sekitar sungai itu adalah disebabkan tiada penduduk yang berani
mendatangi sungai tersebut.

Keluarga Juna pun mula menyebarkan cerita tersebut kepada penduduk
kampung Serijaya. Sesetengah dari mereka tidak mempercayai cerita yang
disampaikan oleh keluarga Juna malahan ada yang memfitnah mereka sebagai
keluarga penipu kerana menyebarkan cerita tanpa bukti sebenar. Ketua kampung
Serijaya juga tidak mempercayai cerita yang disebarkan oleh keluarga Juna itu.

Pada suatu hari, bapa Juna sudah penat mendengar fitnah-fitnah yang
disebarkan oleh penduduk kampung tentang keluarganya. Maka bapa Juna mengajak
semua penduduk kampung untuk pergi ke Sungai Sepi dan membuktikkan kepada
penduduk kampung bahwa sungai itu tiada sumpahan. Bapa Juna akan meminum air
dari sungai itu di hadapan semua penduduk kampung supaya penduduk kampung
mempercayai kebenaran tentang sungai itu.

Setelah semua penduduk kampung berkumpul di hadapan Sungai Sepi, bapa
Juna pun mengambil air dari sungai itu dan meminum air itu tanpa rasa takut. Semua
penduduk kampung terkesima apabila melihat tindakan bapa Juna itu. Setelah
beberapa saat berlalu, tiada sebarang perubahan yang berlaku terhadap bapa Juna.
Disebabkan perbuatan tersebut, semua penduduk kampung mula percaya tentang
cerita yang disebarkan oleh keluarga Juna itu adalah benar. Setelah mengetahui
cerita yang sebenar, beberapa penduduk kampung yang lain mula meminum air di
sungai itu.

Selepas kejadian itu, dukun yang dihalau oleh penduduk kampung Serijaya itu
dijemput masuk semula ke Kampung Serijaya dan meminta maaf kepada dukun
tersebut atas fitnah yang disebarkan suatu ketika dahulu. Ketua kampung Serijaya
juga memohon maaf kepada dukun tersebut atas perbuatannya yang lalu. Ketua

kampung juga meminta maaf kepada keluarga Juna kerana tidak mempercayai cerita
mereka.

Oleh itu, cerita mitos yang selama ini menghantui penduduk kampung Serijaya
adalah tidak benar. Penduduk kampung Serijaya boleh memulakan hidup mereka
seperti sedia kala sekaligus boleh mendapatkan sumber air dan protein dari sungai itu
untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.


Click to View FlipBook Version