The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by KT6KK Digital Library, 2021-04-28 09:10:30

Tidak mungkin wujud bangsa Malaysia tanpa bahasa Melayu

Tidak mungkin wujud bangsa Malaysia
tanpa bahasa Melayu

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri - Jun 27, 2018 @ 7:36am

ISU memartabatkan bahasa Melayu kembali bergoncang susulan tindakan
seorang menteri yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa
Mandarin.
Perbuatan itu mengundang kecaman ramai pencinta bahasa meskipun
kenyataan rasmi dalam bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris turut juga
dikeluarkan.
Ramai mempersoalkan apa rasionalnya kenyataan rasmi dalam bahasa
Mandarin masih perlu dikeluarkan juga.
Untuk menjadi adil, jawapan terhadap isu ini sudah dijawab oleh Menteri
Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataannya yang mempertahankan
mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa, yang menurut beliau, menekankan
kepelbagaian bahasa di negara kita.

Bagi penulis, perkembangan itu amat memeranjatkan kita semua dan
'menghina' perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sejak dari dahulu.

Keputusan itu bercanggah dengan aspirasi rakyat Malaysia yang sepatutnya
memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa
kebangsaan.

Apatah lagi meletakkan bahasa Melayu setaraf dengan bahasa lain, yang bagi
penulis ini adalah satu tindakan penghinaan.

Guan Eng seolah-olah lupa dengan pendirian beliau sebelum ini yang
menyatakan sebagai I am not Chinese, I am Malaysian yang dinyatakan semasa
di awal pelantikan beliau sebagai menteri.

Tindakan yang tidak boleh diterima

Untuk pengetahuan pembaca, di negara yang mempunyai pelbagai bangsa
seperti Amerika Syarikat sekalipun, kenyataan rasmi pegawai tinggi kerajaan
akan dikeluarkan dalam bahasa rasmi negara itu sahaja.

Bagi penulis, pegawai tinggi kerajaan yang bertindak atas kapasiti kerajaan dan
menjalankan tugas kerajaan, dengan sedar dan sengaja memilih untuk tidak
mematuhi dan menghormati amalan dan Dasar Bahasa Kebangsaan, ia sudah
pastilah satu tindakan yang tidak boleh diterima

Ketahuilah 'Bahasa Jiwa Bangsa' yang bermaksud bahawa bahasa sebagai milik
mutlak sesuatu bangsa yang menjadi identiti kebangsaan. Penggunaan dan
penguasaan bahasa itu menunjukkan akan jati diri sesuatu bangsa.

Bahasa juga melambangkan bagaimana sesuatu bangsa itu menggunakan
bahasa sebagai alat komunikasi, perpaduan untuk saling memahami antara satu
sama lain. Kekuatan bahasa itu juga menunjukkan secara tidak langsung betapa
kuatnya sesuatu bangsa itu.

Raja-raja Melayu sejak Mesyuarat Durbar pada 1903, telah membangkitkan soal
pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Semasa menurunkan tanda tangan persetujuan pembentukan Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-raja Melayu telah
menetapkan tujuh wasiat, salah satu daripadanya menyentuh bahasa.

"Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu."

Titah wasiat Raja-raja Melayu serta tuntutan rakyat diberikan jaminan oleh
pimpinan politik negara sebelum ini.

Ikrar pertahan kedaulatan bahasa Melayu

Ketika berucap dalam perhimpunan rakyat melafazkan Ikrar Bahasa
Kebangsaan, pada 22 Julai 1961, Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku
Abdul Rahman Putra telah memberikan komitmen berikut:

"... Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan suka mengambil peluang ini membuat
pengakuan bahawa selagi kami, memegang kuasa pemerintahan Kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu, maka kami tidak akan undur setapak pun untuk
mempertahankan bahasa kebangsaan yang tunggal bagi negeri ini dan untuk
melaksanakan pemakaiannya dengan sepenuh-penuhnya, manakala sampai
tempoh yang telah ditentukan oleh Perlembagaan."

Perdana Menteri kedua kita, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein semasa
berucap pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan di Klang pada 1966, juga
memberi jaminan bahawa bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi yang
tunggal di negara ini.

Bagi penulis, apa yang dilakukan oleh Kementerian Kewangan seolah-olah
mencabar Perlembagaan Persekutuan di bawah artikel 161 dan artikel 152 yang
mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus bahasa
rasmi dalam urusan kerajaan.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan 1957 di bawah Perkara 152 telah
menjamin kedaulatan dan autoritatif bahasa kebangsaan, kewujudan Akta
Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) bertujuan memastikan bahasa
kebangsaan diaplikasi dan diimplementasi secara holistik dalam struktur
kehidupan rakyat dan pemerintahan negara.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk menguasai
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, lebih-lebih lagi penjawat awam
yang juga barisan hadapan kerajaan untuk berkomunikasi dengan masyarakat.

Bahasa bukan hiasan

Dalam keindahan infrastruktur dan kemudahan dunia pertama, biar negara ini
dihuni oleh masyarakat kelas satu yang tahu menghormati bahasa kebangsaan
sebagai bahasa jambatan penyatuan pelbagai kumpulan dalam stratifikasi

masyarakat di samping kekal sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi serta
bahasa ilmu.

Bahasa yang dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan negara, tidak wajar
dijadikan sekadar hiasan.

Tidak ada maknanya juga jika hanya termaktub satu perenggan dalam
Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya bahasa Melayu itu wajib disuntik
dengan nilai, diberi nyawa dan diberi tempat yang selayaknya.

Ingatlah, maruah sesuatu bangsa itu terletak pada bahasanya. Seseorang yang
menamakan dirinya warga Malaysia mesti secara ikhlas dan jujur menyanjung
tinggi penghormatannya sebagai seorang rakyat Malaysia kerana di sinilah bumi
dipijak.

Oleh itu setiap daripada kita mesti menguasai bahasa kebangsaan kerana
bahasa itu membawa bersama sifat kepunyaan dalam diri setiap warganya.

Pada masa sama, ia juga memastikan maruah bangsa yang terdapat dalam
Perlembagaan sentiasa terpelihara.

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

Jangan hanya kerana segelintir permintaan, maka kita korbankan bahasa. Tanpa
bahasa Melayu, mana mungkin wujud bangsa Malaysia. Tanpa bangsa Malaysia,
siapalah kita?

Penulis adalah Pengarah Institut Pemikiran Dr Mahathir Universiti Utara
Malaysia


Click to View FlipBook Version