The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Nur Shazwanie, 2024-03-12 08:53:16

KISAH 3 SAHABAT (CERPEN)

KISAH 3 SAHABAT (CERPEN)

NUR SHAZWANIE


Aku, Li Min dan Devi merupakan sahabat baik sejak dari sekolah rendah lagi. Setelah tamat sesi persekolahan Tahun 6, kami bertiga membuat permohonan untuk belajar di sekolah yang sama bagi peringkat menengah. Kami mempunyai keazamaan yang tinggi untuk belajar dan berjaya bersama-sama. Walaupun kami berbeza dari segi agama, adat dan budaya, ianya tidak menjadi penghalang buat kami untuk terus bersahabat dan mencapai matlamat yang sama dalam pelajaran iaitu untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.


Tepat jam 5 pagi, aku terjaga dari tidurku, bunyi cengkerik memecah kesunyian malam hariku. Mataku tidak terlelap untuk meneruskan tidurku lalu lantas aku bangun dan pergi membasuh muka. Aku teringat bahawa hari ini merupakan hari pertama persekolahan Tingkatan 1. Memandangkan tahun ini aku sudah memasuki alam persekolahan sekolah menengah, aku perlu belajar bersungguh-sungguh demi mencapai kecemerlangan. Keinginanku untuk menyambung pelajaran ke universiti semakin membara apabila melihat ahli keluargaku yang ramai masuk universiti untuk membanggakan dan mengubah nasib keluargaku.


Tanpa kusedar, azan subuh pun berkumandang. Lantas aku menyiapkan diriku untuk ke sekolah. Aku, Li Min dan Devi pergi ke sekolah bersama-sama pada setiap pagi dengan menaiki basikal. Sepanjang perjalanan kami, suasana yang redup dan pepohon yang melambai-lambai menemani kami untuk sampai ke sekolah. Kami bertiga menjadi orang yang pertama tiba di sekolah. Setibanya di sekolah, kami memasuki kelas 1 Anggerik. “Devi, boleh kamu jawab soalan di hadapan?” . Soal Cikgu Mimi kepada Devi.


Devi hanya berdiam diri dan melontarkan pandangan ke arah luar jendela kelas. Devi merupakan seorang pelajar berbangsa India yang lemah dalam pelajaran. Dia selalu disisihkan oleh rakan-rakan disebabkan kulitnya yang gelap dan badannya berbau busuk. “Dah la berbau busuk, lembab pula tu, ” kata Aina kepada Devi. Aina merupakan salah seorang daripada rakan sekelas aku. Devi hanya mampu menundukkan kepalanya dan berasa seperti bagai kaca terhempas ke batu. Aku melihat air muka Devi melukis kepedihan yang maha dalam.


“Kring…Kring… ” . Loceng pun berbunyi menandakan waktu persekolahan sudah tamat. Setelah tamat sesi persekolahan pada hari itu, aku mengajak Li Min dan Devi bermain layang-layang pada waktu petang untuk memujuk Devi dan menghilangkan rasa kesedihan yang dialaminya kerana makan hati dengan kata-kata Aina itu tadi. Aku juga ingin menunjukkan kepada mereka Buku Latihan Bahasa Melayu yang baru aku beli semalam bersama ibuku. Buku itu merupakan hadiah pemberian ibu kepada aku sempena hari lahir aku yang ke-13.


Pada petang itu, aku, Mei Lin dan Devi pun bermain layang-layang dengan riang sekali ditemani angin yang bertiup kencang. Aku melihat riak wajah keriangan yang terpapar pada muka Devi menandakan bahawa dia sudah lupa akan perkara yang telah berlaku di sekolah tadi. Semasa aku asyik bermain, Li Min datang kepadaku. “Wanie, mana buku yang hendak kamu tunjukkan kepada kami?” . Li Min bertanya kepadaku. “Ada di dalam beg aku, kau pergi la ambil” . Ujar aku kepada Li Min


Selepas itu, Li Min pun pergi mengambil buku tersebut. Sementara itu, aku meneruskan untuk bermain layang-layang. Tiba-tiba aku mendengar dari jauh suara Li Min memanggilku. “Wanie, buku itu tiada. Aku sudah mencarinya di dalam beg kamu, ” kata Li Min kepadaku. Aku pun terus bergegas menghampiri Li Min yang berada berdekatan dengan beg aku. “Aku rasa aku ada bawa buku itu tadi” . Aku berasa hairan melihat beg aku yang tidak berisi apa-apa. “Aku nampak tadi Devi yang buka beg kau, aku rasa dia yang ambil buku itu” , kata Li Min kepadaku. Aku pun pergi menuju ke arah Devi yang sedang khusyuk bermain layang-layang sejak dari tadi lagi.


“Devi, kau ada ambil ke buku latihan aku?” . Tanya aku kepada Devi. “Mana ada aku ambil, dari tadi lagi aku sedang bermain” . Jawab Devi sambil menggelengkan kepalanya. Aku pulang dengan perasaan yang sangat sedih dan kecewa kerana buku kesayangan yang dihadiahi ibu kepadaku sudah hilang.


Pada keesokan harinya, Li Min datang ke rumahku untuk mengajak aku pergi ke sekolah bersama-sama. Semasa menaiki basikal, Li Min menceritakan kepadaku tentang Devi yang selalu mencuri barang rakan-rakannya di sekolah. Tanpa berfikir panjang, aku pun mempercayai apa yang diperkatakan oleh Li Min kerana aku mengetahui bahawa Devi berasal daripada keluarga yang susah dan tidak mampu untuk membeli barang persekolahan seperti buku dan peralatan tulis. Hari demi hari, hubungan persahabatan aku dengan Devi menjadi renggang apabila mendengar pelbagai cerita buruk yang diceritakan oleh Li Min kepadaku. Sejak daripada itu, aku hanya berkawan dengan Li Min sementara Devi pula dipalau olehku.


Tanpa ku sedar, peperiksaan akan bermula tidak lama lagi. Aku berusaha untuk membuat latihan walaupun buku latihan yang dibeli oleh ibu sudah hilang. Aku bertekad untuk menjawab soalan peperiksaan dengan sebaik mungkin untuk mencapai matlamat yang diingini. Hatiku begitu gembira dan seronok selepas berjaya menjawab kesemua kertas peperiksaan.


Hari keputusan peperiksaan sudah pun tiba. Semua orang kelihatan mundar-mandir bertanya keputusan masing-masing. Aku ternampak Li Min dan bertanyakan kepadanya tentang keputusan yang diperolehi. Air muka Li Min menunjukkan wajah kekecewaan dan kesedihan kerana tidak mendapat keputusan yang cemerlang. “Aku rasa ini adalah balasan kepada aku kerana menuduh Devi mengambil buku kau dan bercerita buruk tentang Devi, ” kata Li Min kepadaku dengan nada yang hiba sambil menangis. “Sebenarnya aku yang mengambil buku kau dan Devi tidak pernah mencuri barang sesiapa pun melainkan aku yang mencurinya, ” kata Li Min kepadaku.


Aku menangis dan hilang segala kata-kata selepas mendengar pengakuan daripada Li Min tentang perkara yang berlaku sebelum ini. Aku menyedari bahawa Li Min sebenarnya merupakan musuh dalam selimut dan sanggup menuduh orang lain melakukan keburukan. Li Min juga telah menghancurkan persahabatan antara kami bertiga disebabkan kerana tidak menyukai Devi berbangsa India yang berasal daripada keluarga miskin dan tidak pandai menguruskan diri. Walaupun begitu, aku telah memaafkan Li Min dengan syarat dia perlu meminta maaf kepada Devi atas perbuatan keji yang dilakukannya. Aku juga meminta maaf kepada Devi kerana menjauhkan diri daripadanya. Devi memperolehi keputusan yang cemerlang berkat usahanya yang tidak pernah putus asa walaupun sering diejek oleh rakan-rakan.


Setelah itu, kami kembali bersahabat semula tanpa adanya rasa benci dan iri hati sesama sendiri walaupun berasal daripada agama, bangsa dan adat yang berbeza kerana kita perlu memahami budaya berbilang kaum untuk mengelak daripada berlakunya perselisihan faham antara kaum. Daripada peristiwa tersebut, aku faham bahawa pentingnya kehidupan perpaduan ini. Betullah apa yang disarankan oleh kerajaan pada hari ini di mana semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha memupuk semangat perpaduan di negara lebih-lebih lagi negara kita Malaysia yang dikenali sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk atau berbilang kaum. Bak kata peribahasa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. ”


Melayu, Cina dan India Walau kita berbeza rupa, agama dan bangsa Namun tidak menjadi penghalang Untuk kita bersatu padu Mengekalkan keharmonian negara tercinta Iaitu Malaysia. Perpaduan itu, Adalah sejenis ikatan persaudaraan Jika bersatu kita teguh Jika bercerai kita pasti roboh Kita mestilah berganding bahu Untuk membentuk negara yang makmur.


TAMAT


Click to View FlipBook Version