Kesusasteraan Melayu
Konsep Kesusasteraan Melayu
Kesusasteraan Melayu merupakan hasil karya dan ciptaan seni yang terdapat
dalam kalangan masyarakat Melayu. Kesusasteraan Melayu juga merupakan satu
bentuk ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Oleh hal yang demikian, sastera
dikategorikan sebagai seni bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana sastera disebut
sebagai ungkapan spontan daripada perasaan yang mendalam bahkan sastera juga
merupakan ekspresi fikiran yang dilontarkan melalui medium bahasa. Susastera
memberi erti seni sastera atau seni bahasa, dan secara umumnya dimaksudkan
persuratan. Tambahan ke di awal dan an di akhir kata susastera menyimpulkan maksud
yang terdekat, iaitu kesenian persuratan yang bersifat halus dan indah
Kesusasteraan ialah manifestasi daripada gerak jiwa manusia yang wujud dalam
pernyataan bahasa. Pada hakikatnya kesusasteraan atau seni sastera itu ialah bingkisan
kata yang dipersembahkan oleh sasterawan sebagai hadiah kepada masyarakat. Hashim
Awang (1987) mengatakan kesusasteraan itu adalah "Ciptaan seni yang disampaikan
melalui bahasa. Ia mungkin dituturkan iaitu disebut sastera lisan dan yang ditulis disebut
sastera tulisan. Di samping itu, sastera pula memiliki keindahan dalam aspek-aspek isi
atau daya pengucapannya.
Sejarah Kesusasteraan Melayu di Malaysia
Pada umunya, telah diketahui bahawa tradisi sastera Melayu bermula dengan
kewujudan suku bangsa Melayu. Selepas tahun 1600M kesedaran untuk membukukan
hasil-hasil sastera lama muncul dalam diri masyarakat pada ketika itu. Satera zaman
awal adalah berunsur hiburan, legenda, sejarah dan mitos. Pada Ketika itu, cerita-cerita
disampaikan secara lisan dan berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melau yang
sejahtera dan dikelilingi alam semula jadi yang menghijau. Cerita tersebut disampaikan
dengan gaya yang menghiburkan terutamanya kepada golongan kanak-kanak. Bukan
itu sahaja, mesej dan ajaran juga turut diselitkan dalam cerita tersebut untuk menjadi
panduan dalam kehidupan. Sastera tulisan bermula sewaktu wujudnya sistem tulisan.
Pengabdian kegagahan kerajaan Melayu serta jurai keturunan raja-raja menjadi konsep
kepada sastera. Terdapat unsur percampuran Hindu dan Islam dalam Sastera Melayu.
Hasil kesedaran dan keyakinan kepada ajaran Islam, hasil sastera saduran Hindu
dengan latar Islam terhasil. Berlaku perubahan dalam sastera yang berunsur Hindu.
Sebagai contoh, perubahan dari segi tajuk karya, nama-nama watak yang terlibat dan
penggunaan kata-kata daripada al-Qur’an. Abdullah Munsyi dikatakan mengubah sastera
klasik kepada sastera moden. Karya beliau lebih bersifat realiti berbanding karya-karya
terdahulu yang menceritakan kisah-kisah ghaib. Pembaharuan tersebut telah
menimbulkan pandangan yang negative, beliau dikatakan sebagai tali barut Barat oleh
para pengkritik hasil karya sasteranya. Pada abad ke-19, banyak hasil sastera dicipta
dengan menggunakan batu cetak. Kebanyakan hasil sastera merupakan sastera saduran
dan terjemahan daripada hasil-hasil sastera luar.
Di penghujung abad tersebut, terhasillah karya-karya terkenal seperti Syair
Siti Zubaidah, Syair Dandan Setia dan Syair Surat al-Kiamat. Seni Untuk Masyarakat
yang menjadi konsep Sastera wujud semasa Tanah Melayu menuntut kemerdekaan.
Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) berperanan penting dalam melahirkan sastera yang
bermutu dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan nilai kemerdekaan kepada
semua bangsa. Selepas merdeka, sastera lebih bertujuan untuk menyatupadukan
masyarakat, meningkatkan hasil karya dan sasterawan yang semakin sedar tentang
kedaulatan negara Malaysia.
Pada tahun 1980-an, muncul penulis baru seperti Shamsiah Mohd. Nor, Zaharah
Ibrahim, Siti Aishah Murad, Nina Kirana, Webah Salleh, Ghazali Ngah Azia, Marsli N.O.,
Hassanuddin Mast Isa, dan Abu Hassan Morad. Kebanyakan mereka menulis novel
popular, novel remaja, sajak, dan cerpen. Walau bagaimanapun, Keris Mas telah
menghasilkan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur yang seiring dengan keadaan
semasa.
Pada tahun 1993, diadakan Hadiah Novel Melayu Baru Perangsang – GAPENA.
Novel Restu karya Ismail Kassan yang memenangi hadiah kedua telah dijadikan buku
teks untuk mata pelajaran Kesusasteraan Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Di
samping itu, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank diadakan pada tahun 1997. Dua
buah novel remaja yang muncul ialah Juliakarya Abu Hassan Morad dan Ekspedisi karya
Mohd. Ghazali Tocheh. Novel berjudul Terminal Tiga dihasilkan oleh Othman Putehpada
Ketika itu. Namun demikian, Shahnon Ahmad telah menggemparkan dunia sastera tanah
air pada tahun 1999 dengan menulis novel kontroversi yang berjudul Shit.
Cerpen-cerpen dekad 80-an hingga kini berkembang pesat kerana majalah,
akhbar, sayembara dan kumpulan cerpen memberi sumbangan yang bermakna. Bukan
itu sahaja, sajak-sajak tahun 80-an hingga kini juga termuat di dalam majalah dan akhbar
selain daripada kumpulan sajak. Antara mereka yang tidak tergolong dalam kumpulan
penyair veteran ialah Zaen Kasturi, Azran Abdul Rahman, Marzuki Ali, Moechtar Awang,
Zaiton Ajamain, Mahanie Sulong, Sabariah Bahari, Naapie Mat, Wadi Leta S.A, Ami
Masra, Mohamed Awang, Saiee Driss, Siti Zaleha M. Hashim, Saibil Madun, Jasni
Matlani, Mustafa Jusoh, Wan Ahmad Tajuddin Wan Abdullah, Borhan Md. Zain, Chai
Loon Guan, dan Nazim Mohd. Subari.
Oleh hal yang demikian, perkembangan kesusasteraan di Malaysia menyebabkan
wujudnya pelbagai genre sastera. Misalnya, sastera Berunsur Islam, Sastera
Pascamoden, Bersifat multiculture (pertembungan budaya) dan Tidak bermoral
(transgander + freetingker).
Genre Kesusasteraan Melayu
I. Prosa
Prosa ialah karya sastera dalam bentuk bahasa yang terurai tidak terikat oleh rima,
jumlah baris dan sebagainya. Adapun unsure-unsur instrik dalam prosa. Prosa
terbahagi kepada dua jenis iaitu prosa tradisional dan prosa moden.
Salah satu prosa moden adalah cerpen. Cerpen merupakan hasil singkatan
daripada perkataan cerita pendek. Cerpen adalah bentuk prosa baru yang
menceritakan sebahagian kecil dari kehidupan pelakunya yang terpenting dan
paling menarik. Di dalam cerpen boleh ada konflik atau pertikaian, akan telapi hat
itu tidak menyebabkan perubahan nasib pelakunya.
Prosa moden yang seterusnya ialah novel. Istilah novel berasal daripada
perkataan novella atau novellete ( Bahasa Itali ) yang bermaksud cerita dalam
bentuk prosa panjang dan mempunyai isi yang tertentu. Ia merupakan karya kreatif
cereka naratif dalam bentuk prosa moden yang popular sehingga ke hari ini. Novel
merupakan karya kreatif yang dihasilkan pengarang berdasarkan pengalaman
atau imaginasi yang mengandungi fakta sebenar. Novel ditulis secara kreatif oleh
penulis dengan menggunakan sama ada watak manusia atau pun bukan manusia
dan melibatkan latar alam nyata atau pun bukan dunia nyata.
Drama juga merupakan prosa moden dalam sastera Melayu. Drama merupakan
karya kreatif yang unik kerana mengandungi dua aspek iaitu aspek sastera dan
aspek teater. Merujuk kepada aspek sastera ia mengandungi cerita dan unsur-
unsur karya kreatif seperti pemikiran, plot, watak, bahasa, dan latar. Manakala
aspek teater pula drama dilihat sebagai hasil pementasan. Dengan kata lain, skrip
drama yang telah ditulis akan dipersembahkan di atas pentas. Drama boleh
dikaji menerusi teks dan proses karangannya, proses produksi dan arahannya,
persembahan dan khalayaknya, estetika dan pelbagai aspek kehalusan seninya.
Beralih ke prosa tradisional yang pertama iaitu hikayat. Hikayat (biografi) adalah
satu prosa yang terdiri daripada pengalaman-pengalaman hidup pengarang
sendiri atau boleh juga mengenai orang lain sejak kecil hingga dewasa dan
meninggal dunia.
Selain itu, legenda. Legenda adalah prosa rakyat yang dilihat oleh mereka yang
memiliki cerita sebagai sesuatu yang benar-benar terjadi. Legenda sering
dipandang sebagai cerita kolektif.
Seterusnya, mitos. Mitos merupakan cerita zaman dahulu yang dianggap benar,
terutamanya yang mengandungi unsur-unsur konsep atau kepercayaan tentang
sejarah awal kewujudan sesuatu suku bangsa dan kejadian-kejadian alam.
Selanjutnya, prosa tradisional epik. Siti Hajar Abdul Aziz (2011) menyatakan
bahawa sastera epik yang juga disebut sebagai sastera pahlawan. Genre sastera
ini bersifat sejagat, iaitu terdapat dalam kebanyakan karya sastera di dunia.
Sastera Rom, Yunani, Jerman dan Inggeris mengemukakan konsep
kepahlawanan yang sama dalam hasil karya epiknya, misalnya watak Archilles,
Hercules dan Theseus. Sastera epic mementingkan nilai kepahlawanan dan
keperwiraan yang unggul.
Prosa tradisional yang terakhir adalah cerita berbingkai. Disebut sebagai “cerita
dalam cerita” iaitu ceritanta terjadi daripada satu cerita pokok dan di dalamnya
terdapat berbagai-bagai cerita yang lain, dikenali sebagai “cerita sisipan”, cerita
berakhir dengan kembali kepada pokok.
II. Puisi
Puisi merupakan ragam sastra yang terikat oleh unsur-unsurnya, seperti irama,
mantra, rima, baris, dan bait. Puisi juga dapat dikatakan sebagai ungkapan emosi,
imajinasi, idea, pemikiran, irama, nada, susunan kata, kata-kata kiasan, kesan
pancaindra, dan perasaan. Puisi terbahagi kepada dua iaitu puisi tradisional dan
puisi moden.
Puisi menjadi sumber kreativiti manusia kerana baris-baris puisi dihasilkan dalam
pelbagai bentuk untuk melahirkan pemikiran sesorang pemuisi. Puisi moden
berbentuk bebas dan tidak mempunyai ciri-ciri yang khusus seperti bebas dari segi
jumlah suku kata, baris dan pembentukan rima.
Sajak merupakan puisi moden dalam sastera Melayu. Sajak ialah puisi baru
yang bebas daripada peraturan-peraturan dalam pembentukanrangkap, baris,
kata dan rima. Sajak bersifat demikian supaya dapat mengucapkan fikiran
penyajak dengan cara yang lebih indah, bebas dan berkesan.
Puisi tradisional merujuk kepada hasil kesusasteraan yang ditulis dalam gaya
tertentu dan tanpa menurut aturan tatabahasa yang sepatutnya. Secara
umumnya, puisi sebenarnya tidak terdiri daripada ayat yang lengkap, melainkan
terdiri daripada frasa yang disusun dalam bentuk baris. zimnya, puisi tradisonal
merupakan bahasa yang berirama dan apabila dibacakan pembaca akan
merasakan rentaknya. Puisi merupakan karya bercorak bukan naratif. Karya
bukan naratif merupakan hasil sastera yang tidak mengandungi plot. Bahan
sastera ini mengandungi lebih banyak ekspresi pengarang jika dibandingkan
dengan kesusasteraan naratif. Kesusasteraan bukan naratif lahir dalam bentuk
puisi.
Puisi tradisional yang pertama adalah pantun. Pantun merupakan bentuk puisi
tradisional yang terdiri daripada empat baris serangkap, empat perkataan sebaris,
mempunyai rima a,b,a,b dengan beberapa variasi dan pengecualian. Tiap-tiap
rangkap terbahagi kepada dua iaitu rangkap pembayang dan rangkap maksud.
Setiap rangkap tidak dapat berdiri sendiri dan biasanya rangkap-rangkap tersebut
memerlukan beberapa rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan idea.
Puisi tradisional yang seterusnya ialah syair. Syair merupakan
sejenis puisi berlagu. Syair disampaikan dalam bentuk rangkap dan menjadi
kegemaran masyarakat Melayu lama. Setiap rangkap dalam syair mengandungi
sebanyak 4 baris dan kesemuanya membawa makna isi dan maksud yang ingin
disaampaikan. Keempat-empat baris tersebut berirama sama.
Bukan itu sahaja, gurindam juga merupakan puisi tradisional dalam sastera
Melayu. Gurindam merupakan sejenis puisi yang tidak terikat atau tiada tentu
bentuknya (sama ada terikat atau tidak). Bentuk yang terikat biasanya terdiri
daripada dua baris serangkap, hampir sama dengan syair dua baris atau nazam.
Bentuk yang tidak terikat tergolong sebagai puisi bebas,sama ada berangkap atau
tidak; jika berangkap tidak tentu jumlah baris serangkap, jumlah perkataan sebaris;
dan mempunyai rima atau tidak.
Akhir sekali, seloka juga merupakan puisi tradisional dalam sastera Melayu.
Secara amnya, seloka merupakan bentuk puisi Melayu Tradisional, sama ada
berangkap atau tidak. Jika berangkap, seloka tersebut tidak tetap dari segi jumlah
rangkap, jumlah kata dalam sebaris dan rima akhirnya. Seloka mengandungi
pepatah mahupun perumpamaan serta berunsur senda gurau, sindiran atau
ejekan. Seloka selalunya ditulis dalam empat baris yang menyerupai pantun atau
syair. Terdapat juga seloka yang ditulis lebih daripada empat baris. Seloka
memerlukan beberapa baris untuk melengkapkan keseluruhan idea. Dari segi
bentuk, seloka hampir sama seperti gurindam dan talibun.
Tokoh Sastera
I. Abdullah Munsyi
Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Syeikh Abdul Kadir. Abdullah amat
meminati bidang penulisan. Sehubungan dengan itu, beliau telah menghasilkan
karya asli, terjemahan, dan puisi. Karya asli beliau ialah Kisah Pelayaran
Abdullah (1838), Dawa’il Kulub (1838) dan Hikayat Abdullah (1840). Beliau telah
menterjemah Hikayat Panca Tenderan (1838). Karya puisi beliau ialah Syair
Singapura Terbakar (1830) dan Syair Kampung Gelam Terbakar (1847).
Sementara penerbitan naskhah lama yang diusahakannya ialah Sejarah
Melayu (1830) dan Kitab Adat Segala Raja-raja dalam Segala Negeri (1837).
Karya Abdullah Munsyi menampakkan ciri moden dan pengekalan ciri
sastera klasik. Isi karyanya realistik. Abdullah juga memperkenalkan genre
karya yang baru iaitu autobiografi dan memoir. Oleh sebab itu, para sarjana
seperti Ismail Hussein, Kassim Ahmad, dan Yahya Ismail melabelkan Abdullah
Munsyi sebagai ‘Bapa Kesusasteraan Melayu Moden’. Namun demikian, masih
terdapat ciri sastera klasik di dalam karya Abdullah Munsyi. Beliau masih
meneruskan penggunaan syair di dalam karyanya. Di samping itu, beliau
menyisipkan puisi di dalam karya berbentuk prosa.
II. Raja Ali Haji
Raja Ali Haji dilahirkan di Pulau Penyengat, Riau. Berketurunan pembesar
Bugis. Beliau terkenal sebagai ahli bahasa. Beliau menulis buku tatabahasa
Melayu yang berjudul Bustan al-Katibin (Taman Pujangga) pada tahun 1857. Di
samping itu, beliau menulis sebuah kamus yang diberi judul Kitab Pengetahuan
Bahasa. Karya beliau yang terkenal ialah Tuhfat al-Nafis. Karya historiografi ini
telah memasukkan tarikh mengikut kalendar Hijrah. Selainnya ialah Syair Abdul
Muluk, Syair Suluh Pegawai, Syair Siti Sianah, Syair Gemala Mastika, dan
Gurindam Dua Belas. Sebagai penulis yang prolifik, beliau bukan sahaja
menyumbang kepada bidang kesusasteraan malahan juga sejarah dan bahasa.
III. Ishak Haji Muhammad
Nama sebenar beliau ialah Awang Ahmad bin Haji Muhammad. Lahir di
Kampung Bukit Seguntang, Temerloh, Pahang pada 14 November 1910. Beliau
pernah menjadi Pegawai Pentadbir Melayu, guru, ahli politik, wartawan, dan
pengarang. Semasa pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, Ishak menjadi
pengarang Berita Malai dan turut menyumbang untuk Semangat Asia dan Fajar
Asia. Beliau menulis cerpen dan novel yang bertemakan semangat kebangsaan,
kritikan sosial dan ekonomi. Bagi mengenang jasa beliau, kerajaan Malaysia
menganugerahkan gelaran Pejuang Sastera kepadanya pada tahun 1973. Ishak
meninggal dunia pada tahun 1994.
Di dalam bidang penulisan, Ishak menggunakan nama-nama pena yang
lain seperti Pak Sako, Pak Pandir Moden, Isako San, Anuar, Hantu Raya dan
Lamri. Cerpen beliau dimuatkan dalam kumpulan Segar. Novel yang beliau
hasilkan ialah Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila, Budak Beca, Jalan ke
Kota Bharu, Pengantin Baru, Cemburu Celik, Menari yang Lari, Pertemuan di
Sungai, Selayang Pandang, Anak Dukun Deraman, dan Tijah Tukang Cukur. Di
samping itu, beliau menulis rencana di dalam Warta Malaya dan Suluh Malaya.
Beliau juga mengelolakan ruangan pojok dalam Warta Malaya, Utusan
Melayu, dan Utusan Zaman.
IV. Usman Awang
Usman bin Awang lebih dikenali dengan nama penanya Tongkat Warrant.
Beliau dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili,
Kota Tinggi, Johor. Beliau pernah menjadi petani, buruh paksa, polis, pembaca
pruf, pemberita dan pengarang. Sebagai pengarang yang produktif, Usman
menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Beliau dinobatkan sebagai
penerima anugerah Pejuang Sastera (1976), penerima SEA Write Award (1982),
penerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya (1983); dan
penerima anugerah Sastera Negara (1983). Sumbangan-sumbangan beliau
meliputi genre sajak, cerpen, drama, novel dan esei.
Sajak beliau yang dikumpulkan dalam bentuk buku
ialah Gelombang (1961), Duri dan Api (1966), Suara Tujuh (1969) dan Teluk
Gong (1967) di samping beberapa kumpulan bersama penyair lain. Walaupun
ketokohan Usman lebih menyerlah dalam bidang puisi, beliau juga aktif
menghasilkan cerpen dan drama. Cerpen beliau dimuatkan dalam kumpulan-
kumpulan cerpen bersama penulis lain seperti Mekar dan Segar (1967), Dua
Zaman (1965), Degup Jantung (1963), Pertentangan (1968) dan Cerita-cerita
Pendek DBP (1958).
Sumbangan Usman di dalam bidang drama ialah Dari Bintang ke
Bintang (1965), Serunai Malam (1966), Tamu di Bukit Kenny (1968), Di Bawah
Matahari (1969), Tirai Zaman (1969), Kaki Langit (1971), dan Muzika Uda dan
Dara (1967). Di samping genre sajak, cerpen, dan drama, Usman juga
menghasilkan novel dan esei. Hanya sebuah novel yang berjaya beliau hasilkan,
iaitu Tulang-tulang Berserakan (1966). Esei beliau termuat dalam buku-
buku Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden, Panduan Menulis Cerpen, dan
Titian Zaman.
V. Abdullah Hussein
Dilahirkan di Sungai Limau, Yan, Kedah pada tahun 1920. Mendapat
pendidikan di sekolah Melayu dan Inggeris. Beliau pernah menjadi pengarang di
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur; Karyawan Tamu di Universiti Sains
Malaysia, Pulau Pinang; dan pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka,
Brunei. Abdullah menghasilkan novel, cerpen, karya terjemahan, esei, drama, dan
biografi. Antara novel-novelnya ialah Terjebak, Rantau Selamat, Intan,
Interlok, dan yang terbaru Imam.
Selain itu, beliau juga menghasilkan cerpen. Dua kumpulan cerpennya
yang telah dibukukan ialah Kota ke Kota dan Sebuah Pekan Bernama Semporna.
Abdullah ialah pengarang yang kaya dengan pengalaman. Beliau telah dinobatkan
sebagai Sasterawan Negara ke-8 dan telah dianugerahkan bintang kebesaran
bergelar Dato’ oleh kerajaan negeri Kedah.