The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Teks Ucapan Sempena Hari Guru Daerah Marang Tahun 2021

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by faisal711007, 2021-11-21 00:28:41

Teks Ucapan Sempena Hari Guru Daerah Marang Tahun 2021

Teks Ucapan Sempena Hari Guru Daerah Marang Tahun 2021

UCAP ALU-ALUAN
PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH MARANG

SAMBUTAN HARI GURU
PERINGKAT DAERAH MARANG 2021

Tarikh: (17 November 2021)
Masa: 9.00 Pagi

Tempat: Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, mari kita panjatkan rasa penuh kesyukuran dan Tawadduk ke Hadrat Allah Azzawajalla
kerana dengan Limpah Izin dan InayahNya, kita diberi nikmat kekuatan, kesihatan dan peluang untuk
berkumpul pada hari ini Sempena Perayaan Hari Guru Tahun 2021 Peringkat Daerah Marang.

Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian

1. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapakan Selamat hari Guru Tahun 2021 kepada semua

insan yang bergelar guru. Jasa bakti dan sumbangan cikgu sangat besar dan bernilai serta terpahat
indah dan bersemadi di tempat yang sangat istimewa dalam hati sanubari kita semua. Terima kasih
Cikgu.

2. Seperti yang kita semua sedia maklum bahawa tema hari guru pada tahun ini “ Berguru Demi Ilmu,

Bina Generasi Baharu” menyentuh peranan guru dalam memperkasakan keilmuan dan
profesionalisme bagi membina generasi baharu negara agar dapat memenuhi matlamat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.

3. Agama kita Islam amat menitikberatkan ilmu pengetahuan dan meletakkan darjat yang tinggi kepada

orang yang menyebarkan ilmu. Ini telah dirakamkan oleh Allah Azzawajalla melalui FirmanNya Dalam
Surah A-Mujadalah Ayat 11 yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman dan di
antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat”.

4. Jelaslah kepada kita bahawa orang yang berilmu mempunyai darjat yang lebih tinggi dan mulia lebih-

lebih lagi orang yang menyebarkan ilmu yang bermenafaat seperti pendidik sama ada pendidik di
peringkat rendah, menengah mahu pun di institusi pengajian tinggi.

5. Guru merupakan insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan pada sepanjang masa selalu beristiqamah

dengan izin “seeking and searching for knowledge”, selalu mempertajamkan ilmu dan kemahiran
terkini berdasarkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan menterjemahkannya dalam bilik darjah
demi meningkatkan kualiti modal insan dan seterusnya membangunkan tamadun bangsa di negara
tercinta ini.

6. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua insan bergelar guru khasnya di daerah

Marang atas segala sumbangan sama ada secara langsung atau pun tidak langsung kerana telah
memartabatkan lanskap pendidikan di daerah ini.

7. Tuan-puan semua merupakan insan hebat yang telah memakmurkan bumi Alllah SWT dan berjaya

mencetuskan kemenjadian murid dan meningkatkan kualiti sekolah di daerah ini sehasrat dengan
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) dan selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian

8. Setinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kepimpinan kerajaan, khasnya

YB Senator Datuk Haji Razali Idris, Ahli Dewan Negara Parlimen Marang yang selalu memberi
keprihatinan, sokongan moral, nasihat dan kewangan dalam merealisasikan segala program yang
kami rancangkan demi kelangsungan dan kecemerlangan pendidikan daerah Marang. Segala jasa
dan sumbangan YB Datuk sangat kami hargai dan sanjung tinggi. Hanya Allah SWT sahaja yang
mampu membalasnya.

9. Sekalung terima kasih kepada pihak KPM yang menjadi peneraju utama Pendidikan negara. Setinggi

terima kasih diucapakan kepada Tuan Pengarah, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Barisan
Kepimpinan JPNT Jabatan Pendidikan Negeri yang sentiasa memberi nasihat, pedoman, panduan
dan sokongan profesional dalam memandu kami di PPD Marang untuk menerajui pendidikan di
daerah ini sehasrat dengan fokus dan hala tuju JPNT berteraskan keinsanan, integriti dan amanah ke
arah melahirkan murid yang mampu mendepani pendidikan global.

10. Sekalung terima kasih dan penghargaan kepada Tn. Haji Tun Faizal bin Tun Abdul Razak,

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang merupakan Mantan Pegawai Daerah
Marang atas sumbangan, sokongan dan kecaknaan yang tidak ternilai dalam memakmurkan lanskap
pendidikan di Daerah Marang.

11. Sekalung terima kasih kepada tuan Pegawai Daerah Marang dan kepimpinan daerah yang selalu

memberi keprihatian kepada segala urusan dan program pendidikan di daerah ini.

12. Sekalung terima kasih juga diucapkan kepada Kepimpinan PIBKS Daerah Marang yang diterajui

oleh En. Mohd. Rofaat bin Khamid, Focal Person PIBKS Kebangsaan kerana sentiasa menjadi rakan

kolaboratif yang sangat akrab dengan keberadaan yang sangat tinggi dalam semua program kami
dan selalu membantu kami ke arah memasyarakatkan pendidikan di daerah ini.

13. Seterusnya ucapan terima kasih kepada semua rakan-rakan strategik, badan-badan korporat

dan NGOs, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional, pemimpin-
pemimpin masyarakat dan orang-orang perseorangan yang selalu membantu kami menerajui segala
program pendidikan di daerah ini ke arah pembangunan dan kecemerlangan.

14. Tahniah dan Syabas kepada Urusetia Pelaksana Sambutan Hari Guru Daerah Marang yang

telah bertungkus lumus dalam merealisasikan Majlis Sambutan kita pada pagi yang berbahagia
menjadi kenyataan

Tuan-tuan dan Puan-puan Yang dihormati Sekalian

15. Kemuncak usaha gigih guru-guru dan sistem sokongan bermakna kepimpinan pendidikan di

peringkat sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah serta pelibatan pro-aktif PIBKS dan rakan strategik
telah menatijahkan kecemerlangan dan kegemilangan guru, murid, sekolah dan PIBKS daerah kita
apabila meraih kejayaan dan kegemilangan serta mendapat penghargaan dan pengiktirafan di
peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa dalam pelbagai bidang seperti pencapaian
akademik, kokurikulum, sahsiah, sains, teknologi, digital, kajian, penyelidikan dan inovasi serta
pencapaian PIBKS Daerah Marang.

16. Cabaran Pandemik COVID-19 bukanlah halangan malah ianya menjadi cabaran dan peluang

bagi warga pendidikan daerah Marang khasnya guru dan murid kita menempa kejayaan dalam aktiviti,
forum, inovasi, pertandingan secara dalam talian dan penghasilan bahan digital. Pencapaian,
pengiktirafan dan inovasi berkenaan sesuatu yang yang sangat hebat dan luarbiasa walau pun daerah
kita merupakan satu-satu daerah di negeri Terengganu yang belum lagi memiliki sekolah berasrama
penuh seperti SM Sains , MRSM dan seumpamanya.

17. Keberhasilan berkenaan memberi sumbangan yang besar ke arah pencapaian Pejabat

Pendidikan Daerah Marang dengan meraih Pencapaian Lima Bintang yakni Pencapaian Melebihi
Keseluruhan Standard dua tahun berturut-turut (Penarafan 2019 dan Penarafan 2020) dalam
Penarafan Kecemerlangan Pejabat Pendidikan Daerah (PKPPD) oleh Pihak Bahagian Pengurusan
Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

18. Tahniah dan terima kasih untuk seluruh warga Pendidikan Daerah Marang. Sekarang kami

sedang mengorak langkah bersedia untuk PKPPD 2021 dan 2022 yang akan di verifikasi pada tahun
2023 berasakan istiqamah budaya kerja berkualiti tinggi di peringkat PPD dan sekolah di daerah
Marang khusunya.

19. Syukur Alhamdulillah. Pencapaian terbaru yang kita raih bersama adalah apabila Pejabat

Pendidikan Daerah Marang dinobatkan Sebagai Pengurusan Pejabat Pendidkan Cemerlang sempena
Sambutan Hari Guru Kali ke 50 Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 yang telah disambut pada
28 Oktober baru-baru ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan Sekalian

20. Pencapaian Peperiksaan Awam Daerah Marang adalah berada pada tahap prestasi yang sangat

memberangsangkan. Pencapaian Layak SPM kita untuk tahun 2020 adalah 92.73% dan Gred Purata
Daerah adalah 4.69 Mata mencipta Sejarah dan rekod pencapaian terbaik daerah Marang dan
PNGK STPM pula adalah 3. Ini menunjukkan kualiti dan prestasi akademik murid-murid kita semakin
meningkat dan dan seterusnya mencerminkan keberhasilan kemenjadian murid.

21. Kejayaan dan pencapaian guru dan pelajar juga sangat membanggakan.

-----------------------------------------------------------------------------------------
i. Johan Anugerah Pengurusan SPBT Kategori SR Peringkat Kebangsaan Tahun 2020/2021
ii. Anugerah EMAS Pengurusan RMT Peringkat Negeri Terengganu.
iii. Johan Inovasi PdPc Sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan( Kategori Guru Berkumpulan).

22. Bagi Kategori Murid:

i. Nur Arisya Qaisara bt Mohd Mustaffa dari SK ---------------------------------------- meraih Naib Johan Pidato
Antarabangsa Anjuran University Islam Antarabangsa

ii. Johan Pidato Gerakan Belia 4B Peringkat Kebangsaan.
iii. Tempat ke-3 Pidato Karnival BM SR Negeri Terengganu
iv. Ainul Sumayyah bt Anuar dari SK -------------------------------------------- menjadi Johan Bercerita Karnival

Ini Negara ku Peringkat Kebangsaan
v. Nor Hanan Ahwazi bt Mohd Haris dari SK -------------------------------------- Naib Johan Syair Karnival Ini

Negara ku peringkat Kebangsaan.
vi. Alia Darwisya bt. Mat Nasir dar SMK/SK ------------------------------------------------ dinobatkan penyertaan

peringkat tertinggi Perkhemahan Antarabangsa Pandu Puteri.
vii. Alhamdulillah Syukur Nur Arisya Qaisara bt Mohd Mustaffa dari SK -------------------------------------------

mencipta kejayaan berganda buat daerah Marang apabila memenangi Anugerah Tokoh Nilam Negeri
Trg Tahun------------------- Kategori BM SR dan mengungguli Risensi Buku Terbaik.

23. Pencapaian dan pengiktirafan SK Gong Nangka Sepanjang Tahun 2021 dari segi kurikulum,

kokurikulum, program pendidikan khas dan guru juga sangat membanggakan (Seperti Lampiran)…….
Tahniah dan Syabas kepada semua kea rah memartabatkan Pendidikan daerah Marang.

24. Tahniah kepada Tokoh Guru yang kita nobatkan Sempena Sambutan hari Guru Peringkat

Daerah Marang Tahun 2021 dan tahniah kepada semua penerima anugerah. Penghargaan ini
sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan khidmat dan sumbangan tuan-tuan dan puan-puan
serta menjadi motivasi dan pembakar semangat kepada seluruh warga pendidik Daerah Marang untuk
terus menempa kegemilangan pada masa-masa yang akan datang.

25. Kejayaan dan keterbilangan yang dicapai adalah berkat kerja kuat dan usaha gigih serta doa

seluruh warga guru, murid dan kepimpinan pendidikan serta pelibatan, sokongan dan kerjasama
semua pemegang taruh dan rakan-rakan strategik di daerah kita. Tahniah dan terima kasih semua.

26. Mari kita kongsikan kejayaan ini bersama-sama dan mari kita jadikan kejayaan ini sebagai

motivasi dan pembakar semangat bagi menggapai kejayaan yang lebih terbilang pada masa-masa
yang akan datang demi meningkatkan kualiti kemenjadian murid kita dan pencapaian kualiti sekolah
di daerah kita.

27. Lantaran itu, usaha-usaha hebat hendaklah digembelingkan secara berterusan agar tercetusnya

pembelajaran bermakna lagi menyeronokkan dalam bilik darjah supaya akhirnya akan terhasil murid
Marang yang kritis, kreatif dan inovatif, memiliki jatidiri dan nilai terpuji, berketerampilan tinggi , tahu,
faham, boleh, buat dan beradab mithali bagi membolehkan mereka berasing secara kompetitif dan
sihat di pasaran global.

Tuan-tuan dan Puan-puan Yang Budiman Lagi Dihargai

28. Cabaran Pandemik COVID-19 menuntut kita semua selaku pemimpin dan pegamal pendidikan,

para ibu bapa, komuniti dan pihak swasta sentiasa berfikir dan bertindak secara lebih kreatif dan
inovatif berdasarkan normal baharu ke arah meningkatkan kualiti sekolah dan kualiti kemenjadian
murid.

29. Sesungguhnya pengalaman ini merupakan sesuatu yang sangat mencabar dan berharga buat

kita semua. Tidak berapa lagi kita akan bergerak ke Fasa Endemik dimana kita akan hidup dalam
Normal Baharu dan menyesuaikan diri dengan COVID-19.

30. Melalui War Cry MARANG MEGANG dan Slogan MARANG TERBILANG kami dengan penuh

Sedar dan Istiqamah menawarkan Fokus dan Hala Tuju Pendidikan Daerah inidengan Menyediakan
Sistem Sokongan Profesioanal dengan izin “Professional Support Systems” berdasarkan enam
prinsip teras dan 23 budaya kerja ke arah menggemilangkan lagi prestasi dan pencapaian pendidikan
di daerah ini supaya sentiasa melebihi pencapaian standard.

31. Akhir kalam saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi terima kasih YB Datuk, Tuan Pengarah,

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Para Tetamu Kehormat dan seterusnya kepada semua
pihak yang terlibat secara langsung atau secara tidak langsung dalam menjayakan sambutan kita
pada tahun ini. Terimalah dua rangkap pantun dari saya:

Cari gaharu di Bukit Lumu
Masa berlari tidak terasa
Jasa guru menyebar ilmu
untuk Generasi pewaris bangsa
Bayu menderu lembut irama
Mengusik rasa dara termenung
Hari guru sambut bersama
Tanda hargai jasa menggunung

“Terima Kasih Cikgu”
Sekian Wabillahi Taufik Wal Hidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Salam Sejahtera

UCAPAN PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI
TERENGGANU

SEMPENA
SAMBUTAN HARI GURU
PERINGKAT DAERAH MARANG 2021
Tarikh: (17 November 2021)
Masa: 9.00 Pagi
Tempat: Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu

Assalamualaikum & Salam Sejahtera, Yang Berbahagia Tan Sri, Datuk Seri, Dato', Puan Sri, Datin Seri,
Datin, Tuan-tuan, Puan-puan dan para tetamu yang saya hormati sekalian. (Sapaan terkini disediakan
oleh Urus setia)

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah
kurnia-Nya kita semua diberikan kesempatan menjalin silaturahim dan menyulam ukhuwah di Dewan
Gamelan Hotel Primula yang serba indah ini bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat
Daerah Marang bagi tahun 2021. Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada Pejabat Pendidikan
Daerah Marang, selalu pengelola kerana berjaya menganjurkan majlis yang bermakna kepada guru-
guru yang diraikan pada hari ini. Sesungguhnya tanpa perancangan yang teliti dan usaha yang gigih,
sudah pasti majlis ini tidak dapat dilangsungkan dengan meriah dan jayanya.

2. Pada kesempatan ini, saya juga dengan rendah hati ingin menzahirkan ucapan SELAMAT HARI GURU
buat semua pendidik anak bangsa yang ada di hadapan saya ini. Saya kira ucapan tersebut masih belum
terlewat lagi kerana jasa guru wajar dihargai pada setiap masa. Kita sedar bahawa tanpa guru, siapalah
kita pada hari ini. Oleh hal yang demikian, tuan-tuan dan puan-puan merupakan insan bertuah kerana
berada dalam lapangan yang cukup mulia dan sentiasa signifikan sepanjang zaman. Oleh sebab itu,
Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun amat wajar dirayakan sebagai tanda penghargaan
terhadap jasa guru. Martabat warga guru sememangnya begitu mulia sehingga Saidina Ali berkata,
barangsiapa yang mengajarkan satu ayat atau kalimat yang tadinya tidak tahu menjadi tahu, maka aku
rela untuk dijadikannya sebagai abid (hamba sahaya).

Para hadirin yang dihormati sekalian,

3. Tugas sebagai pendidik ibarat berada di sebuah ladang. Guru menanam benih-benih keinsanan,
menyiram kasih sayang, membajainya dengan luhur budi agar terus subur dan membesar dengan
sempurna. Pohon yang membesar dengan sempurna itu pula akan menghasilkan buah bakti yang akan
terus memberi manfaat kepada orang lain. Alangkah besar pengorbanan dan tugas seorang guru. Jika
dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti ganjaran yang besar akan menanti di alam yang
kekal abadi.

4. Sebagaimana yang kita sedia maklum, tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini Berguru Demi Ilmu,
Bina Generasi Baharu. Tema ini cukup signifikan dalam kerangka membina bangsa dan negara yang
bertamadun tinggi setanding dengan negara maju di dunia.

5. Dalam perjuangan mendidik anak bangsa, guru sentiasa berada di barisan paling hadapan. Segala
tindakan guru haruslah bersandarkan matlamat dan hala tuju perjuangan yang telah ditentukan oleh
pihak peneraju, iaitu kerajaan yang ada pada hari ini. Sudah tentu ketidakselarian antara tindakan dan
hala tuju di baris hadapan akan mengakibatkan kepincangan dalam keseluruhan organisasi.

6. Oleh sebab itu, guru harus menjadi kumpulan pelaksana yang sentiasa jujur dan taat setia kepada
ketuanya iaitu kerajaan yang menerajui negara. Jika hal ini dapat disuburkan dalam diri setiap guru,
maka kemenjadian murid akan dapat direalisasikan.

7. Dalam mendepani dunia tanpa sempadan ini, corak dan gaya pengajaran guru di dalam bilik darjah
seharusnya berubah seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang kita kecapi
pada hari ini. Guru-guru sewajarnya memanfaatkan segala wahana yang ada seperti capaian Internet
dan teknologi komputer dalam tugas menyampaikan ilmu.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

8. Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu turut berbangga kerana guru-guru di Marang dan Terengganu
ini telah mencapai satu tahap yang membanggakan dan berjaya membuktikan guru Malaysia juga cukup
berketerampilan, dinamik dan bertaraf dunia. Oleh hal yang demikian, guru-guru semua diseru untuk
meneladani iltizam dan dedikasi guru-guru tersebut dalam membina anak bangsa gemilang.

9. Semoga kita akan dapat melahirkan para pelajar yang holistik, berdaya saing dan memiliki minda kelas
pertama sejajar dengan visi negara untuk mencapai status negara maju.

10. Bagi menyokong perkhidmatan perguruan ini agar terus efisien dan profesional, kerajaan telah
melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan mereka kekal
dalam sistem pendidikan negara di sepanjang tempoh perkhidmatan. Antara langkah yang telah
diusahakan termasuklah memantapkan latihan perguruan, menambah baik sistem pemilihan calon guru,
melonjakkan kecemerlangan institusi latihan perguruan, dan menambah baik laluan kerjaya serta
kebajikan guru.

11. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan SELAMAT HARI GURU dan TERIMA KASIH CIKGU
kepada semua warga pendidik di daerah Marang ini. Harapan saya, jadilah pendidik yang dapat
memartabatkan profesion keguruan ke tahap yang cukup tinggi dan mulia.

12. Kemenjadian murid pada hari ini sudah pasti bertunjangkan bimbingan guru yang mendidik dengan
penuh keikhlasan dan kesabaran. Semoga para guru sekalian akan terus dilimpahi rahmat dan diberikan
keupayaan oleh Allah SWT untuk terus istiqamah menabur benih-benih ilmu dan membugar keluhuran
akhlak insan di ladang pendidikan yang subur ini.

13. Dengarkanlah dua rangkap pantun ini :

Dingin air penuh sekendi,
Dibawa putera berwajah cerlang;
Andai guru ikhlas berbudi,
Aspirasi negara pasti gemilang.

Subur gaharu pinggiran anjung,
Tempat merbah membuat sarang;
Budimu guru mekar setanjung,
Sepanjang zaman dikenang orang.

14. Sekian, Wabillahi taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

UCAPAN PERASMI

SEMPENA
SAMBUTAN HARI GURU
PERINGKAT DAERAH MARANG 2021

Tarikh: (17 November 2021)
Masa: 9.00 Pagi

Tempat: Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu

Assalamualaikum & Salam Sejahtera, Yang Berbahagia Dato’, Datin, Tuan-tuan, Puan-puan dan
para tetamu yang saya hormati sekalian. (Sapaan terkini disediakan oleh Urus setia)

Pendahuluan

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan
limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul pada hari ini sempena Sambutan Hari Guru Peringkat
Daerah Marang Tahun 2021 sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga atas
sumbangan dan jasa warga pendidik ke arah membangunkan modal insan negara.

Saya mengucapkan terima kasih semua warga Pejabat Pendidikan Daerah Marang, Kumpulan
Penggerak Ibu Bapa Komuniti Daerah, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan para
guru, tuan-tuan dan puan-puan yang dapat meluangkan masa untuk turut serta dalam majlis ini.

2. Saya selaku __________________ dan bagi pihak Kerajaan Malaysia ingin merakamkan ucapan
setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan serta SELAMAT HARI GURU kepada semua warga
Pejabat Pendidikan Daerah Marang, khasnya guru-guru di seluruh pelosok daerah atas segala
pengorbanan dan sumbangan besar mencurahkan ilmu dan memberi tunjuk ajar sehingga kini,
sehingga saya juga berada dalam barisan kepimpinan negara. “Terima Kasih Cikgu” atas segala
usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab mulia ini.
Dengan amanah besar ini, guru-guru menduduki satu darjat yang paling dimuliakan dalam
masyarakat.

3. Syabas dan tahniah saya ucapkan atas usaha gigih Jawatankuasa Pengelola majlis khususnya
Pejabat Pendidikan Daerah Marang yang bekerjasama dengan ______________________ dan
agensi-agensi yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakan majlis
kita pada hari ini.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

4. Sejak 1972, tanggal 16 Mei disambut saban tahun untuk kita semua memberi penghormatan dan
pengiktirafan kepada seluruh warga pendidik bagi tujuan mengenang jasa bakti dan
pengorbanan para guru dalam mencurahkan ilmu dan kesungguhan memberi tunjuk ajar dalam
mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara. Majlis pada
hari ini menggambarkan keprihatinan dan komitmen pihak kerajaan menghargai jasa dan
pengorbanan guru sejak dahulu lagi. Hal ini membuktikan bahawa guru sentiasa berada di tempat
yang istimewa di hati kita semua atas sumbangan bakti yang tidak ternilai.

5. Guru memikul satu tanggungjawab yang besar dalam memupuk perpaduan serta mengekalkan
kemerdekaan dan kedaulatan negara melalui sistem pendidikan. Guru perlu membimbing
generasi muda untuk menjadi pewaris kepemimpinan negara tanpa mengira latar belakang
mahupun perbezaan kaum dan agama. Guru jugalah yang menggilap potensi murid untuk
memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin,
mengamalkan nilai-nilai murni serta bersedia dalam menghadapi cabaran masa kini.

6. Selain itu, sambutan setiap tahun bertujuan untuk meraikan kejayaan dan sumbangan guru
dalam membentuk serta melahirkan murid yang cemerlang dan berdaya saing selaras dengan
aspirasi pendidikan. Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai
imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha
untuk memartabatkan profesion keguruan.

Dalam konteks ini, pelbagai anugerah dan penghargaan dalam perkhidmatan telah dirangka oleh
pihak Kementerian untuk mempertingkatkan profesionalisme keguruan. Hal ini termasuklah
mempromosi kejayaan guru di dalam dan di luar negara.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

7. Hala tuju pendidikan KPM pada era baharu ini adalah untuk memastikan kemenjadian murid
berteraskan 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan manusiawi. Matlamat utama kita untuk
melahirkan murid yang dinamik, fleksibel dan berdaya tahan dalam menghadapi apa-apa jua
situasi serta berjaya mendepani cabaran kehidupan pada era Revolusi Industri 4.0.

Oleh itu, guru dan ibu bapa serta penjaga seharusnya aktif memainkan peranan penting dan perlu
sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pihak sekolah bagi mengoptimumkan potensi murid
menguasai kemahiran abad ke-21. Sejajar dengan itu, kerjasama kukuh PIBKS Negeri
Terengganu, agensi kerajaan, sektor swasta dan pihak NGO dilihat amat penting untuk
membantu pihak sekolah dalam memastikan kemenjadian murid.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,
8. Kerajaan amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh semua

warga pendidik terhadap pelbagai usaha dan inisiatif dalam memartabatkan pendidikan negara
demi pembangunan modal insan negara.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memajukan pendidikan di Malaysia melalui
pembudayaan amalan pendidikan yang berteraskan kegembiraan, kasih sayang dan saling
menghormati dalam membangunkan sahsiah ke arah kemenjadian murid.

Program Ziarah Cakna misalnya cukup bermakna kerana berjaya memperluaskan konsep
sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa melalui
amalan ziarah guru ke rumah murid untuk bertanya khabar ibu bapa mahupun penjaga.

9. Program Sifar Murid Cicir pula dilaksanakan melalui intervensi berfokus dan permuafakatan
dengan pelibatan pelbagai agensi, organisasi, individu setempat bersama-sama pejabat
pendidikan daerah.

Melalui program ini, pihak kementerian daripada peringkat sekolah hingga ke jabatan
pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah mengamalkan kaedah ziarah ke rumah
murid-murid tercicir dalam persekolahan sehingga berjaya membantu mereka kembali ke
sekolah. Pelbagai bantuan juga turut diberikan dengan kerjasama komuniti setempat.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,
10. Sesungguhnya guru amat dipandang mulia dan berperanan penting dalam membina dan

membentuk kualiti anak didik dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi memenuhi
aspirasi pendidikan.

Gurulah yang menjadi tunjang utama dalam merealisasikan kesejahteraan diri insan yang
dipimpinnya. Gelaran obor hemah kepada guru menggambarkan tentang kemuliaan,
keikhlasan, pengorbanan, tanggungjawab, cabaran, peranan dan komitmen dalam profesion
keguruan.

Penutup

11. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-
tinggi penghargaan kepada para tetamu atas kesudian hadir ke Majlis Sambutan Hari Guru
Peringkat Daerah Marang Tahun 2021: Terima Kasih Cikgu, Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi
Baharu.

Terima kasih dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa pengelola atas komitmen dan
kesungguhan bagi memastikan majlis hari ini berjalan lancar. Tidak ketinggalan ucapan
penghargaan dan terima kasih kepada Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan sektor
swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan para guru, tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

12. Terima kasih Cikgu! Jasamu dikenang, namamu dijulang.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis
Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Marang sempena sambutan Hari Guru Kali ke-50 Tahun
2021.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima
kasih.


Click to View FlipBook Version