Disediakan oleh :
SK CONVENT MUAR
“Lihatlah bangsa-bangsa yang ada di dunia ini, setiap bangsa yang kuat itu ialah
kerana umatnya berkehendak kerja, berkehendak mendirikan sesuatu benda dengan
sehabis-habis tenaga”
Negara Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat dan bebas daripada cengkaman
penjajah. Kedaulatan dan kemerdekaan yang kita nikmati sehingga ke hari ini merupakan
hasil perjuangan dan pengorbanan tokoh-tokoh perjuangan negara seperti Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak, Dato’ Bahaman, Dato’ Onn bin Jaafar dan ramai
lagi.
Johor merupakan antara negeri yang telah banyak melahirkan tokoh-tokoh
pemimpin di peringkat kebangsaan seperti Dato’ Onn bin Jaafar, Tun Dr Ismail bin Abdul
Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Sulaiman Ninam Shah dan ramai lagi. Tokoh-tokoh yang
dinyatakan di atas telah banyak memberikan sumbangan dalam segenap bidang termasuk
pendidikan, social, politik, dan keagamaan untuk rakyat negeri Johor khususnya dan
masyarakat Malaysia amnya. Justeru itu, sebagai tanda penghormatan, saya telah memilih
seorang tokoh pemimpin yang telah banyak berjuang semasa zaman pra kemerdekaan dahulu
iaitu Dato’ Sir Onn bin Jaafar.
Dato' Onn diingati kerana budinya yang besar kepada orang Melayu dan peribadi
luhurnya yang berasal daripada keturunan keluarga menteri di Johor. Sebagai seorang
naionalis, dengan wataknya yang tenang tetapi tegas Onn Jaafar telah membangkitkan
kesedaran ke arah kemerdekaan serta memberi harapan baru kepada orang Melayu. Banyak
babak menarik dalam sejarah hidupnya. Dato' Onn dikenali juga kerana pandangan jauhnya
yang mahu menyatukan seluruh rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan keturunan dalam
satu ideologi politik
BIODATA
Dato’ Onn dilahirkan di Johor Bahru pada tahun 1895 hasil
perkahwinan Dato’ Ja’afar bin Haji Muhammad dan isterinya, Puan
Rugayah Hanim Abdullah. Dato’ Onn Bin Jaafar merupakan anak
keempat bagi pasangan ini. Nama Onn berasal daripada cantuman
tiga huruf Arab yang penting iaitu ‘ain ( ) ع, wau ( ) ﻮdan nun ( ) ﻦ.
Bapa beliau Dato’ Jaafar bin Hj Muhammad pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar
Johor selama 48 tahun sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim dan merupakan
Menteri Besar yang paling lama berkhidmat di Malaysia sehingga kini. Dato’ Onn bin Jaafar
mempunyai darah campuran di mana bapanya berketurunan Melayu Bugis yang berasal dari
Daik, Indonesia manakala ibunya pula daripada keturunan Turki. Dato’ Onn bin Jaafar
mempunyai ahli keluarga yang cukup besar di mana beliau mempunyai 15 orang adik beradik.
Selain mempunyai keluarga yang besar, Dato’ Onn bin Jaafar juga lahir daripada keluarga elit
dalam masyarakat Melayu. Tambahan pula, hubungan keluarga Dato’ Onn bin Jaafar dengan
kerabat Diraja Sultan Johor amat rapat memandangkan bapanya adalah Menteri Besar pada
waktu itu.
PERKAHWINAN
Pada 3 Mei 1926, Dato’ Onn bin Jaafar mendirikan rumah
tangga dengan seorang gadis yang bernama Halimah binti
Hussin. Terdahulu, beliau telah pun berkahwin dengan
Rafiah, tetapi telah kembali ke rahmatullah ketika melahirkan
anak ketiga, Saleha yang baru berusia 10 hari. Anak Dato’
Onn bin Jaafar dengan isteri pertamanya itu ialah Hawa,
Rokiah dan Salehah. Perkahwinan Dato’ Onn bin Jaafar
dengan isteri kedua iaitu Datin Halimah telah dikurniakan
enam orang cahaya mata iaitu Hussien, Jaafar, Nel, Nurziah, Gharieb dan Tahir. Mereka hidup
bersama dengan aman bahagia selama 41 tahun.
Datin Halimah banyak membantu Dato’ Onn bin Jaafar
dalam semua hal. Segala masalah yang dihadapi oleh Dato’ Onn
bin Jaafar terlebih dahulu dirujuk kepada isterinya unutk
mendapatkan jalan penyelesaian. Bahkan Datin Halimah
sanggup berkorban apa-apa sahaja demi kebahagiaan bersama.
Bahkan sepanjang perkahwinan, Dato’ Onn bin Jaafar seorang
suami dan bapa yang bertanggungjawab. Beliau sentiasa
membimbing isteri dan anak-anak untuk menjadi insan yang
berguna. Sikapnya yang lemah lembut,tidak pernah marah dan
kasih sayangnya yang menebal menyebabkan keluarganya hidup
dalam sejahtera.
PENDIDIKAN
Ketika berusia tujuh tahun, Dato’ Onn Jaafar dan putera Sultan Ibrahim menyambung pelajaran
ke peringkat rendah di England. Mereka mendapat pendidikan di sekolah Aldenburgh Lodge,
Sufflok selama enam tahun. Sepanjang pendidikan Dato’ Onn Jaafar di sana, beliau merupakan
pelajar yang cekap, pintar kerana beliau sering mendapat anugerah pelajar paling pintar.
Sehingga mengalahkan pelajar-pelajar yang berbangsa Inggeris. Bahkan beliau merupakan
seorang paling baik dalam mata pelajaran Inggeris di sekolahnya. Kepintarannya menyebabkan
pihak sekolah dan kerajaan meragui kebolehannya. Ini disebabkan kerajaan British pada masa
itu tidak mengalakkan pelajar-pelajar dari tanah jajahannya melanjutkan pelajaran ke peringkat
yang lebih tinggi kerana khuatir pelajar tersebut akan menjadi pemimpin bangsanya dan
menyukarkan pihak British untuk terus menjajah. Oleh kerana itu, Dato’ Onn telah disarankan
pulang ke Tanah Melayu dan menyebabkan beliau kecewa. Namun begitu, beliau tidak patah
.semangat untuk terus belajar.
Dato’ Onn bin Jaafar telah meneruskan pelajarannya di Malay College Kuala Kangsar
(MCKK) di Perak iaitu sebuah sekolah yang amat terkenal pada waktu itu. Beliau merupakan
seorang pelajar yang bijak dan cepat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sekolahnya. Di
kolej tersebut, beliau semakin fasih berbahasa Melayu dan lebih memahami adat budaya
ketimuran dan agama Islam. Situasi ini menyebabkan Dato’ Onn amat disenangi dan disegani
oleh guru-guru dan rakan-rakan beliau.
KERJAYA
Sebaik sahaja Dato’ Onn bin Jaafar menamatkan pengajian di Kolej Melayu Kuala Kangsar,
beliau mula memasuki memasuki dunia pekerjaan. Antara kerjaya awal yang diceburi ialah
menjadi Kerani Pelatih di Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri di Johor Bahru pada 1 September
1911 ketika usianya baru mencecah 16 tahun. Kemudian beliau dinaikkan pangkat sebagi
kerani di Pejabat Penasihat Am British di Johor bahru dua bulan selepas itu. Pada bulan Mei
1912, Dato’ Onn Jaafar sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Pemangku Kerani Besar di sebuah
Pejabat Perubatan. Jawatan ini menempatkan beliau di Pejabat Setiusaha Kerajaan dengan
bayaran gaji sebanyak RM 15 sebulan. Memandangkan prestasi Dato’ Onn yang
membanggakan, beliau telah ditukarkan ke Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri sebelum
ditempatkan di Pejabat Imigrisen dan beberapa bulan kemudian, Dato’ Onn bin Jaafar
ditempatkan pula di Pejabat Perbendaharaan.
Setelah dua tahun berkhidmat di Pejabat Perbendaharaan, minat Dato’ Onn Jaafar lebih
cenderung ke arah ketenteraan. Oleh itu pada tahun 1917, beliau menceburkan diri dalam
bidang ketenteraan sebagai kadet dalam pasukan askar Timbalan Setia Johor di Bukit Timbalan,
Johor Bahru. Oleh sebab kecemerlangan dalam bidang ketenteraan, beliau telah dilantik
sebagai Leftenan. Sepanjang berkhidmat dalam pasukan tentera, Dato’ Onn bbin Jaafar banyak
didedahkan kepada kesusahan yang dialami oleh masyarakat ketika itu. Ini menyedarkan beliau
betapa pentingnya usaha untuk membebaskan masyarakat daripada belenggu penjajah. Oleh
sebab tidak puas hati dengan pentadbiran yang dikenakan oleh penjajah ke atas masyarakat
Melayu, beliau telah meletakkan jawatan pada 31 Januari 1920.
SUMBANGAN
BIDANG KEWARTAWANAN
Kebolehan menguasai Bahasa Inggeris dan fasih membolehkan Dato’ Onn Jaafar menceburi
bidang penulisan. Beliau mampu menulis sama ada dalam Bahasa Melayu ataupun Bahasa
Inggeris. Oleh itu, Dato’ Onn Jaafar berpeluang untuk menulis berita-berita tentang politik
dalam akhbar Malaya Tribunel di Ipoh. Minat yang mendalam dalam dunia penulisan
menyebabkan Dato’ Onn Jaafar berpindah ke Singapura pada tahun 1932.
Beliau bertugas sebagai wartawan di akhbar Warta Malaya milik Syed Hussain Ali Al
Sagof selama 3 tahun sebagai Pengarang Mingguan Lembaga. Penulisan Dato’ Onn Jaafar yang
mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi lebih tertumpu kepada protes atas ketidakadilan
penjajah. Oleh itu, beliau sering menyumbangkan artikel kepada Richard Sydney iaitu pemilik
akhbar Sunday Mirror di Singapura.
Selain menjadi wartawan, Dato’ Onn Jaafar juga menterjemahkan pelbagai artikel
daripada Bahasa Inggaris kepada Bahasa Melayu. Antara hasil terjemahan beliau ialah Seribu
Satu Malam yang diterbitkan oleh Penerbitan Universiti Malaya pada tahun 1978. Dato’ Onn
Jaafar juga gemar membaca terutama yang berkaitan dengan politik untuk mengetahui
perkembangan dunia politik sama ada di dalam atau di luar negara. Oleh itu tidak hairanlah
beliau menjadi seorang ahli politik yang berwibawa kemudiannya.
SUMBANGAN
AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGERI JOHOR
Kualiti kepimpinan tinggi yang dimiliki oleh Dato’ Onn bin Jaafar membolehkan beliau
dilantik menjadi salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor oleh Sultan Ibrahim pada
tahun 1936. Namun begitu Dato’ Onn Jaafar mengenakan syarat supaya perlantikan itu
harus memberi peluang kepada beliau bersuara dengan bebas. Pada 1 Jun 1938, beliau
dilantik pula menjadi Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Johor iaitu Tengku Ismail.
Ketika menjadi Ahli Mesyuarat Negeri Johor pada tahun 1940, Dato’ Onn Jaafar
membuat tuntutan supaya latihan dan kemahiran kepimpinan diberi kepada anak-anak
Melayu dalam pentadbiran kerajaan. Namun begitu, kerajaan British enggan melayan
tuntutan Dato’Onn Jaafar itu. Dato’Onn Jaafar juga mempunyai kemahiran dalam berpidato.
Perlantikanya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor digunakan sebaik-baiknya untuk
mengkritik kerajaan Inggeris yang suka mengambil kesempatan atas kelemahan masyarakat
Melayu. Pengalaman bekerja di pelbagai pejabat menyebabkan beliau mengetahui selok-
belok kerajaan Inggeris dalam mentadbirkan Tanah Melayu.
Semangat nasionlisme Dato’Onn Jaafar berkembang apabila beliau sering membuat
teguran setiap kali Majlis Mesyuarat Negeri Johor bersidang. Pada masa itu Dato’ Onn
Jaafar bukan sahaja mengkritik pentadbiran British tetapi pendidikan. Beliau menyarankan
kerajaan British supaya memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar Melayu yang
cemerlang. Ini adalah untuk memastikan Tanah Melayu mempunyai pemimpin pelapis
sebaik sahaja Inggeris keluar dari Tanah Melayu. Justeru itu, beliau dibenci segelintir
pegawai Inggeris terutama di Johor.
SUMBANGAN
BIDANG EKONOMI
Semasa menjadi Presiden UMNO, Dato’ Onn Jaafar sentiasa berusaha untuk
memajukan nasib masyarakat Melayu yang jauh ketinggalan berbanding kaum lain. Dato Onn
Jaafar selaku presiden UMNO telah menggubal Rancangan Lima Tahun yang lebih
menekankan hal-hal yang berkaitan ekonomi dalam kalangan masyarakat Melayu selaras
dengan objektif penubuhan UMNO iaitu untuk menambahkan pendapatan dan modal,
menggalakkan penyertaan dalam dunia perniagaan, menubuhkan sekolah-sekolah teknik dan
melatih golongan remaja tentang kerja-kerja tangan.
Bagi memastikan nasib bangsanya terbela, beliau telah menubuhkan satu badan atau
lembaga yang dikenali sebagai Lembaga Perusahaan dan Kemajuan Kampung (RIDA) kini
dikenali sebagai MARA. Dengan tertubuhnya RIDA pada pertengahan tahun 1950 di Kuala
Lumpur, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi. Dan berpindah ke Kuala Lumpur. RIDA
ditubuhkan sebagai sebuah badan yang menggalakkan masyarakat Melayu menceburi bidang
ekonomi. Galakan ini adalah susulan yang dibuat oleh beliau atas bantuan pihak Inggeris.
RIDA memberi bantuan kepada masyarakat kampung supaya menghasilkan produk dan dijual
secara sistematik. Pada peringkat awal, RIDA akan membantu memasarkan produk dan
kemudian barulah diambil alih oleh masyarakat kampung. Selain itu RIDA juga memastikan
masyarakat Melayu mendapat didikan yang sempurna dengan menggalakkan anak-anak
Melayu memasuki sekolah-sekolah yang sedia ada untuk mendapat ilmu. Segala usaha yang
dilakukan oleh Dato’ Onn bin Jaafar secara terancang dan bijak terhadap orang Melayu telah
menyebabkan manfaatnya pada orang Melayu dapat dirasai sehingga masa kini.
SUMBANGAN
MENTERI BESAR JOHOR
Kemampuan Dato’ Onn sebagai seorang pemimpin mendapat perhatian daripada Sultan
Johor, Sultan Ibrahim yang pada ketika itu memegang takhta istana Johor. Baginda Sultan telah
berbesar hati melantik Dato’ Onn sebagai pemangku Menteri Besar Johor pada 1 Oktober 1946.
Dato’ Onn kemudian dilantik menggantikan Ungku Abdul Aziz yang bersara kerana uzur. Selama
empat tahun bermula dari 1946-1949 Dato’ Onn telah diberi kepercayaan penuh oleh Sultan
Ibrahim untuk menerajui pemerintahan Negeri Johor.
“Dengan segala kuasa, hak, keistimewaan dan kemudahan yang dibenarkan bagi jawatan
itu” Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim pada ketika itu memberi kebebasan kepada Dato’ Onn untuk
bertikam lidah dengan baginda tanpa halangan adat istiadat. Sultan Johor yang membahasakan
diri ‘aku’ kepada Dato’ Onn sudah cukup untuk mencerminkan hubungan rapat antara mereka
berdua dan ini merupakan satu aset yang berharga untuk kemajuan negeri Johor dan politik orang
Melayu amnya.
Sebagai Menteri Besar Johor, mentadbir negeri bukanlah sesuatu yang mudah. Dato’ Onn
dikritik kerana pengalaman pentadbirannya yang dikatakan masih mentah. Bekerja atau
memegang tanggungjawab sebagai Menteri Besar bukanlah sekadar untuk memenuhi periuk nasi
sahaja, tetapi banyak perkara yang dilakukan oleh Dato’ Onn semata-mata untuk melihat orang
Melayu khususnya berjaya dalam kehidupan.
NILAI KEPIMPINAN
PATRIOTISME
“Bersatulah sebagaimana belum pernah kita
bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana
belum pernah kita berusaha”
Petikan di atas merupakan kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Dato’ Onn bin Jaafar yang
menunjukkan semangat patriotism dalam diri beliau. Semangat beliau terbina daripada hasil
didikan ayah dan ibu beliau yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak istana. Semangat
seperti inilah yang perlu ada dalam jiwa segenap anak-anak muda di negara ini.
Semangat patriotisme merupakan antara aspek penting dan juga prasyarat bagi
menjamin kedaulatan negara. Ini terbukti dengan adanya semangat patriotisme mampu
mengukuhkan jati diri bangsa Malaysia serta melahirkan warga Malaysia yang teguh dengan
pendirian dan tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif.
Semangat patriotisme perlu ada dalam diri setiap pemimpin. Berdasarkan kisah-kisah
perjuangan Dato’ Onn bin Jaafar, dapatlah dirungkai bahawa Dato’ Onn bin Jaafar memiliki
semangat patriotism yang sangat tinggi dan tidak mudah goyah dengan ujian serta cabaran
daripada pihak luar. Begitu jugalah, kita sebagai anak Malaysia yang bakal mengemudi negara
yang tercinta ini agar sentiasa memastikan kedaulatan dan kemerdekaan tanah air tidak akan
mudah diganggu oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya anak-anak muda
pada masa kini menghayati dan menjiwai kisah perjuangan Dato’ Onn bin Jaafar, maka saya
yakin generasi muda pada hari ini akan lebih menghargai apa yang telah dilakukan oleh nenek
moyang kita dan bersyukur dengan apa yang dimiliki setakat hari ini.
NILAI KEPIMPINAN
BERWAWASAN
Ketokohan Dato’ Onn bin Jaafar sebagai pemimpin yang berwawasan dapat dilihat daripada
kesungguhan beliau menubuhkan Lembaga Kemajuan dan Perusahaan Kampung (RIDA) atau
kini dikenali sebagai MARA. Beliau ingin melihat bangsa Melayu turut menyumbang dalam
pembangunan ekonomi negara melalui platform tersebut.
Sehingga hari ini, peranan MARA masih lagi utuh dan relevan dalam usaha untuk
membantu dan menggalakkan masyarakat Melayu khususnya masyakakat luar bandar yang
ingin menceburi bidang ekonomi dan perniaagaan. Produk-produk orang kampung seperti
Rempah Mak Siti, Adabi dan pelbagai lagi produk orang kampung berada di pasaran sekarang.
Selain itu, peranan MARA turut diperluaskan dalam bidang pendidikan dengan
penubuhan institusi-institusi pendidikan yang memberi peluang kepada anak-anak orang
kampong yang kurang berkemampuan untuk mendapat akses pendidikan yang berkualiti
melalui sekolah berasrama penuh seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan pendidikan
tinggi seperti Kolej Kemahiran Tinggi Mara.
Kesimpulannya, Dato’ Onn bin Jaafar sememangnya seorang tokoh yang
berpandangan jauh dan berwawasan. Usaha dan sumbangan beliau masih lagi boleh dirasai dan
dilihat oleh generasi muda sehingga ke hari ini. Pemimpin generasi muda hari ini perlu
menjadikan Dato’ Onn bin Jaafar sebagai contoh teladan dan sentiasa berusaha untuk
menyumbangkan sesuatu kepada masyakarat sehingga ke akhir hayat.
NILAI KEPIMPINAN
NASIONALISME
Dato’ Onn merupakan seorang nasionalis yang begitu dikagumi. Menurut Malcolm
Mscdonald, sifat nasionalis dan tokoh politik yang tersemat dalam diri beliau tidak dapat
ditandingi oleh sesiapa di Malaya. Dato’ Onn yang begitu menginginkan kemerdekaan mahu
melihat taraf hidup, pelajaran dan ekonomi orang Melayu dimajukan sehingga sama taraf
dengan kaum-kaum lain di Tanah Melayu. Beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk
mencapai matlamat menyatupadukan keseluruhan orang Melayu. Bagi Dato’ Onn dengan
semangat perpaduan inilah masyarakat Melayu boleh menggesa British memberikan bantuan
dan pertolongan ke arah memajukan dan meningkatkan taraf hidup, pelajaran dan ekonomi
orang Melayu. Jika usaha ke arah matlamat tersebut dilaksanakan oleh British tentulah tidak
timbul sebarang bantahan dan bangkangan daripada kaum Melayu kerana itu sememangnya
telah menjadi tanggungjawab British untuk menolong Bumiputera. Ini penting dalam mencapai
kemajuan bagi setiap lapangan sebelum dimerdekakan atau dibebaskan oleh penjajah.
Antara bukti yang dapat memperlihatkan semangat nasionalisme beliau yang meluap-
luap ialah penglibatan beliau sebagai:
i) Pemimpin Johor
ii) Ketua Penentangan Malayan Union
iii) Menteri Besar Johor
iv) Pemimpin UMNO
v) Pemimpin yang Berusaha Menjadikan UMNO Sebagai Parti Kebangsaan
vi) Pengasas dan Pengerusi RIDA
vii) Pemimpin Independence of Malaya Party (IMP)
viii) Pemimpin Parti Negara
ix) Pengkritik Suruhanjaya Reid
x) Ahli Pembangkang
PERGINYA SEORANG PEJUANG
Dato ‘ Onn Jaafar meninggal dunia pada hari Jumaat 19 Januari 1962 ketika beliau berusia 67
tahun. Beliau menghembuskan nafas terakhir dalam pangkuan isteri yang dikasihinya, Datin
Halimah dan ditemani oleh sanak saudara dan kaum keluarganya dari jauh dan dekat. Beliau
dilahirkan di Kota negeri Johor, dan di sanalah juga beliau berpindah ke alam yang kekal dalam
suasana yang tenang. Beliau menghidap penyakit lemah jantung buat beberapa ketika sebelum
meninggal.
Berita kematian putera Tanah Melayu dan Jaguh Politik Kebangsaan yang ulung itu
diterima dengan rasa sedih oleh rakyat jelata di seluruh negara. Antara berjuta-juta penduduk
Malaya yang terharu dengan kehilangan anggota Parlimen yang berkaliber besar dan negarawan
yang paling bijak itu ialah Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putera Al Haj. Pada saat
keharuannya itu, beliau, dengan serta merta, mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan akan
memberikan penghormatan terakhir kepada Dato’ Onn Jaafar dengan mengadakan istiadat
pengkebumian negara kerana mengenangkan jasanya yang tidak ternilai kepada nusa dan
bangsa.
Jenazah Dato’ Onn Jaafar, setelah disembahyangkan di Masjid Abu Bakar, di bawa ke
Istana Besar dan di sanalah selama 2 jam rakyat daripada semua bangsa dan agama dari seluruh
negara datang menziarahinya sebelum beliau dibawa ke perkuburan Raja Mahmudiah.
Tembakan meriam hormat 17 kali dilepaskan sebaik sahaja jenazah itu dibawa keluar dari Istana
Besar di atas sebuah kereta meriam yang ditarik oleh anggota Angkatan Laut diRaja Malaya
dengan diiringi oleh hampir 300 orang anggota dan pegawai perwakilan daripada Angkatan
Bersenjata Tanah Melayu dan Timbalan Setia Negeri Johor.
LAMPIRAN
LAMPIRAN
LAMPIRAN
Perjuangan Dato’ Onn tidak harus dilupakan. Pelbagai usaha yang dilakukan bagi
mengingati perjuangannya adalah bukti bahawa sumbangan Dato’ Onn dalam membina bangsa,
khususnya orang Melayu memang tiada tolok banding. Kini sudah 59 tahun Dato’ Onn
meninggalkan kita. Kehadiran Dato’ Onn dalam arena politik dan pembangunan negara adalah
satu anugerah yang tidak ternilai. Nama Dato’ Onn terus tersemat dalam lipatan sejarah tanah air.
Bak kata pepatah Melayu, ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan
nama’.
“Hadapilah apa-apa yang datang itu dengan hati yang kukuh dan perasaan yang sabar serta
penuh kepercayaan”
Dato’ Onn bin Jaafar adalah seorang negarawan yang amat disegani oleh lawan dan
disayangi oleh kawan. Generasi pemimpin muda pada hari ini perlu mengangkat dan menjiwai
nilai-nilai kepimpinan yang ada pada Dato’ Onn bin Jaafar seperti nilai patriotisme, nasionalisme
dan berwawasan. Ciri-ciri kepimpinan Dato’ Onn menggambarkan bahawa beliau merupakan
pemimpin yang sangat berpengaruh dan berkesan. Membentuk kepimpinan yang berpengaruh
haruslah melalui proses pendidikan yang baik dan berkualiti sepertimana Dato’ Onn yang telah
memulakan pendidikan awal beliau di luar negara.
Selain itu, Dato’ Onn juga adalah seorang yang bebas iaitu seorang pemimpin yang
mempunyai jati diri yang sebenar. Ianya bukan boleh diraih atas usaha sendiri tetapi dengan
proses pendidikan. Ini dapat dibuktikan melalui usaha-usaha beliau yang menentang Malayan
Union semasa zaman pra kemerdekaan dahulu.
Oleh itu, didikan yang baik merupakan acuan utama untuk membentuk ciri-ciri seorang
pemimpin yang berkualiti dan berkesan. Pemimpin yang berkualiti adalah pemimpin yang
disenangi teman dan dihormati lawan.
1. Anwar Abdullah, Sheikh 1971. “Biografi Dato’ Onn Hidup Melayu”,
Bangi : Penerbit UKM
2. Hng Hung Yong 2004. “5 Men & Ideas, Building National Identity”,
Kuala Lumpur : Pelanduk Publication
3. Ramlah Adam 2009. “Dato’ Onn bin Jaafar Pengasas Kemerdekaan”,
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
4. Masnur Hamzah 2010. “Quranic Leadership Seni Memimpin Gaya Al-
Quran”, Batu Caves : PTS Islamika Sdn Bhd.