1 DERAP PEMIMPIN BERINTEGRITI NORAZHARI BIN AHMAD SK Kampung Chamek PENGENALAN Golongan pendidik merupakan antara golongan terpenting dalam usaha untuk memartabatkan integriti di dalam negara. Ini kerana golongan pendidik mempunyai peranan yang besar dalam membentuk generasi masa depan melalui pendidikan formal dan tidak formal yang dilaksanakan di sekolah. Bagi menanam nilai-nilai murni dan integriti dikalangan murid-murid, golongan pendidik sendiri perlu mempunyai nilai-nilai murni tersebut serta mampu mempamerkan tahap integriti yang tinggi dalam melaksanakan proses pendidikan terhadap anak murid mereka. Perlakuan yang berintegriti dan kecemerlangan yang dihasilkan akan menjadi teladan yang baik serta dapat mempengaruhi anak murid ke arah menjadi insan yang berintegriti dan berguna kepada Negara di masa hadapan. Dewasa ini, sering dilihat isu integriti ini tidak dipandang serius oleh penjawat awam khususnya guru. Bak kata pepatah “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Namun, kerana sikap segelintir pendidik inilah yang mencemarkan martabat profesion perguruan. Pelbagai isu dapat saya lihat seperti ketepatan masa, pengurusan kewangan dan bekerja sambil lewa sepert tiada kesungguhan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Bertitik tolak dari sinilah saya mendapat ilham untuk menulis sebuah karya yang diberi tajuk “Derap Pemimpin Berintegriti”. Menurut Kamus Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, definisi derap ialah bunyi seperti bunyi orang sedang berjalan serentak. Dalam penulisan ini, saya ingin mengenengahkan isu pemimpin berkualiti yang mampu melahirkan guru yang berintegriti seterusnya menjana murid yang berprestasi tinggi. Integriti boleh ditakrifkan sebagai membuat sesuatu dengan betul walaupun tidak ada sesiapa yang nampak. Ihsan dalam ajaran Islam berkait rapat dengan integriti. Ihsan adalah, “Bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu,’’ – Maksud Hadis. Dalam artikel ini juga saya ingin mengupas perjalanan saya sebagai seorang pemimpin yang akan menempuh pelbagai rintangan, cabaran dan halangan bagi merealisasikan visi saya ini. Perjalanan saya untuk membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa ini sudah pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk direalisasikan. Bagi menggerakkan seseorang yang sudah berada dalam zon selesa, saya perlu bijak mengatur strategi agar tidak menimbulkan kegelisahan dan kerisauan melampau di kalangan guru ibaratnya seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak. Harapan saya dengan penulisan ini saya dapat melihat matlamat dan jalan bentuk kepimpinan yang saya akan laksanakan dengan lebih jelas. Melalui penulisan ini juga saya merancang untuk menjadikannya sebagi garis panduan di masa hadapan. Besar harapan saya agar apa yang dirancang ini akan dapat direalisasikan dengan jayanya dan matlamat ‘Derap Pemimpin Berintegriti’ ini menjadi suatu kenyataan. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan pemimpin yang telah memberikan inspirasi kepada saya sepanjang tempoh menjadi guru, pensyarah IAB
2 yang memnyelaras program ini, pensyarah pembimbing Encik Azim bin Othman, rakan seperjuangan dan tidak ketinggalan isteri saya yang telah banyak membantu dalam menyiapka penulisan ini. PENGALAMAN LEPAS Saya mula mengajar pada 17 Jun 2002 sebagai guru lepasan diploma Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah Darul Aman di Sekolah Kebangsaan Bagan Pasir (SKBP), Selekoh, Perak. Saya mengajar sepenuh masa di darjah 3 dan darjah 4 dalam mata pelajaran Matematik selama 5 tahun di sekolah tersebut. Sepanjang masa itu, saya memegang pelbagai jawatan antaranya Guru Kelas Darjah 3, Ketua Panitia Matematik, Ketua Guru Disiplin, Ketua Guru Penasihat Pasukan Pengakap Kanak-kanak, Guru Ketua Rumah Sukan (Merah), Guru/Jurulatih Pasukan Ragbi Sentuh, Guru Penasihat Persatuan Matematik, Guru Pembantu SPBT (Skim Pinjaman Buku Teks) dan Pengerusi Kelab Bilik Guru. Sebagai seorang guru baru, suasana sebenar alam pekerjaan ini amat berbeza dengan teori yang saya pelajari semasa di Maktab Perguruan. Di sini, praktikal ilmu itu perlulah disesuaikan dengan suasana dan persekitaran serta budaya masyarakat setempat. Sepanjang berada di SKBP, saya juga terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti, antaranya sebagai jurulatih Pusat Kokurikulum Negeri Perak, pemain bola tampar Persatuan Sukan dan Kebudayaan Pegawai Pendidikan (PSKPP) daerah Bagan Datoh, penolong jurulatih pasukan ragbi sentuh daerah Bagan Datoh dan Penolong Pemimpin Pasukan Pengakap Kanak-kanak Daerah Bagan Datoh. Darah muda saya menyebabkan semangat berkobar-kobar yang kadangkala mengundang rasa tidak puas hati apabila sesuatu output yang diharapkan tidak mencapai tahap yang saya tetapkan. Namun pengalaman merupakan guru yang paling berguna di mana saya banyak belajar dari kesilapan. Di SKBP, saya banyak belajar dari pengalaman yang mendidik saya menjadi seorang guru dan pemimpin yang bertindak lebih rasional bukan emosional. Berbekalkan semangat inilah saya terus mengorak langkah menjadi versi yang lebih baik dan bermatlamat. Pada tanggal 1 Januari 2007, profesion perguruan saya disambung di daerah kelahiran saya iaitu Kluang, Johor. Saya telah melaporkan diri sebagai guru akademik di Sekolah Kebangsaan Ladang Bukit Benut (SKLBB),Kluang, Johor. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, saya dipertanggungjawabkan untuk memegang beberapa jawatan dalam bidang Hal Ehwal Murid (HEM) yang sememangnya dekat dengan jiwa saya yang suka bekerja melibatkan pengurusan murid. Antara jawatan yang digalas ialah Ketua Unit Disiplin, Penyelaras SPBT, Guru Pengawas Sekolah dan Guru Kelas. Ini merupakan satu platform untuk saya membentuk sahsiah murid dan melahirkan pemimpin muda yang berkualiti dan berintegriti di kalangan murid-murid. Selepas 2 tahun berkhidmat di SKLBB, saya telah mendapat arahan pertukaran setara di sebuah sekolah Gred A yang mempunyai bilangan murid dan guru yang ramai iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar T6 (SKBT6), Kluang, Johor. Di sinilah cabaran saya sebagai seorang pemimpin bermula. Kepimpinan saya dalam bidang HEM seperti dapat dihidu oleh pentadbir sekolah ini apabila sekali lagi saya diamanahkan untuk memegang jawatan dalam unit HEM iaitu Ketua Unit Disiplin dan Penyelaras SPBT. Pada masa yang sama, saya juga menggalas jawatan sebagai Ketua Panitia Matematik. Cabaran disini ialah bagaimana saya hendak bekerja menguruskan dan menyelaraskan unit-unit ini dengan bantuan rakan-rakan guru yang kebanyakannya lebih senior daripada saya. Sememangnya ini satu cabaran yang sangat menduga sifat kepimpinan yang ada dalam diri saya. Mungkin inilah peluang yang perlu saya ambil agar ianya dapat dijadikan pengalaman apabila saya telah menjadi pemimpin sekolah pada suatu hari nanti. Setelah amanah yang digalas dijalankan, ternyata orang di bawah saya selesa
3 dengan gaya pengurusan yang saya cuba terapkan dan mereka boleh menyelesaikan kerja-kerja yang telah dirancang bersama secara terancang dan sistematik. Berbekalkan 16 tahun pengalaman berkhidmat dalam profesion perguruan, juga atas dorongan pentadbir sekolah dan rakan-rakan sejawat, saya memberanikan diri menyahut cabaran dengan memohon kenaikan pangkat sebagai Guru Penolong Kanan. Namun begitu, tidak semudah disangka untuk saya menjawat jawatan yang di mohon. Akhirnya, selepas menghadiri sesi temuduga buat kali ketiga, saya telah menerima arahan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kluang dan diamanahkan untuk menjawat jawatan Guru Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan Kampong Chamek (SKKC), Kluang, Johor. Walaupun bidang ini kurang dekat dengan jiwa sepanjang tempoh saya menjadi guru biasa iaitu di bidang HEM, saya mengambil cabaran ini sebagai satu titik permulaan sebagai seorang pemimpin pertengahan. Hal ini perlu diambil berat kerana untuk menjadi pemimpin utama di sekolah, perlulah mempunyai ilmu dari segenap bidang dan paling mustahak adalah mengenal hati budi orang yang hendak dipimpin. Alhamdulillah, dalam tempoh setahun, saya berjaya menstruktur semula bidang kokurikulum di SKKC menjadi lebih sistematik. Bermula dengan pengurusan sistem fail, pengurusan organisasi dan agihan guru mengikut kepakaran mengikut kecenderungan masingmasing. Namun demikian, masih banyak yang perlu ditambah baik mengikut kesesuaian masa dan keperluan terkini dalam sistem pendidikan. Tambahan pula, dengan situasi semasa negara yang sedang dilanda pandemik Covid-19 ini, segala urusan perancangan dan pelaksanaan program serta aktiviti perlulah diteliti sebaiknya agar mematuhi ‘Standard Operation Procedure’ (S.O.P) yang telah diberikan kerajaan dalam garis panduan pembkaan sekolah sepanjang tempoh pandemik. Di sinilah kebijaksanaan saya sebagai seorang pemimpin untuk bekerja bersama guru-guru bagi memastikan kemenjadian murid terus berlangsung dan pada masa yang sama, keselamatan dan kesejahteraan menjadi keutamaan. Dalam artikel ini, saya akan mengupas satu persatu perjalanan ke arah menghasilkan guru yang berintegriti. PEMIMPIN PENDIDIKAN YANG DIIDAMKAN Perjalanan saya sebagai seorang pemimpin berintegriti bukanlah semata-mata menuju satu matlamat tanpa adanya sebarang panduan dan idola. Melalui pembacaan dan kisah-kisah kepimpinan pemimpin terdahulu, terdapat beberapa kisah tokoh pemimpin yang boleh dijadikan ikutan dan rujukan kepimpinan yang saya idamkan. Ada sebuah kisah teladan mencatatkan bahawa Khalifah Umar bin Abd Aziz memadamkan lampu kerajaan untuk berbincang dengan anaknya berkaitan hal keluarga pada suatu malam di pejabatnya. Satu lagi kisah teladan, seorang gadis penjual susu kambing tidak setuju dengan cadangan ibunya yang minta beliau tambah air ke dalam susu yang tertumpah kerana pendapatan mereka akan berkurang kerana susu itu tidak sama banyaknya dengan harihari sebelumnya. Dua kisah benar tersebut wajar menjadi teladan kepada para guru agar tidak menyalahgunakan apa-apa kemudahan yang terdapat di sekolah untuk kepentingan peribadi. Demikian juga kita hendaklah mengelakkan sama sekali perkara ini daripada berlaku, iaitu murid jujur tetapi guru pula bersikap sebaliknya. Rasulullah SAW menambat hati umatnya bukan semata-mata dengan kata-kata, tetapi lebih dari itu, iaitu dengan menunjukkan teladan yang baik. Kata pepatah Melayu, jika guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari, yang bermaksud jika guru buat perkara yang tidak baik, murid akan buat lebih teruk daripada guru mereka. Murid memerhatikan kita setiap hari, dari hujung rambut hingga hujung kaki. Mereka memerhatikan penampilan kita, tingkah laku kita,
4 percakapan kita, pergaulan kita dan serba-serbinya. Sebab itu, jika seorang guru selalu berbohong dan dapat dikesan oleh muridnya, jangan kesal jika murid itu juga akan berbohong dan mungkin bohong mereka lebih teruk daripada gurunya. Seorang pemimpin seharusnya boleh menjadi idola kepada setiap orang bawahnya. Justeru itu, seorang pemimpin perlu mempunyai karisma iaitu kualiti atau sifat-sifat yang dapat mempengaruhi dan menjadi perangsang kepada mereka untuk menjadi sepertinya atau lebih baik lagi. Jadi, untuk menjadi seorang idola perlulah ada kualiti yang boleh dicontohi dan diteladani. Bukan sekadar setiap bulan pergi ke bank untuk mengambil gaji. Seorang guru itu perlulah bekerja dari hati, barulah ilmu yang disampaikan terus ke hati. Begitu juga apabila menjadi seorang pemimpin, segala perbuatan dan gerak geri sentiasa diperhati oleh anak buahnya untuk dicontohi dan dijadikan panduan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Niat kita menjadi guru mesti betul. Jika seseorang itu menjadi guru semata-mata untuk mendapat gaji, maka gaji sahajalah yang beliau dapat. Besar kemungkinan pengajaran guru itu tidak berkesan. Namun jika kita menjadi guru untuk ‘Membina Negara Bangsa’, in shaa Allah kita boleh dapat apa yang kita niatkan itu. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW antara lain menyatakan, seorang pemuda yang mengikut Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah semata-mata untuk berkahwin dengan seorang wanita yang turut berpindah, pemuda itu hanya dapat apa yang diniatkannya, iaitu berkahwin dengan wanita tersebut, beliau tidak dapat pahala berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Kisah ini memberi pengajaran bahawa jika seorang guru mempunyai niat untuk mendidik muridnya hingga menampakkan kesan penghayatan mereka terhadap ilmu yang diajarkannya, in shaa Allah beliau akan dapat apa yang diniatkannya itu. Bukan mudah hendak menjadi seorang pemimpin yang hebat. Setakat jadi pemimpin yang baik mungkin lebih mudah. Seseorang menjadi pemimpin yang hebat bukan sebab keupayaan meloloskan diri bermain politik hingga berjaya naik dari satu tangga ke satu tangga menjadi pemimpin. Bukan juga disebabkan faktor ‘siapa anda kenal’. Bukan kerana anda pandai bercakap dan pandai menyemarakkan semangat orang lain. Itu semua memang memainkan peranan sedikit sebanyak. Tetapi ada faktor lain yang lebih mendalam yang perlu diterapkan dan menjadi amalan dalam diri sekiranya ingin menjadi pemimpin yang disegani dan dihormati. Menurut Universiti Conerstone, kita perlu ada lima kriteria dalam diri jika kita berhasrat membina sifat kepimpinan yang hebat dalam diri. Kriteria yang pertama yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin ialah dengan memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu. Sebelum kita hendak menyuruh orang lain mengikut kita, pemimpin yang hebat wajib memikirkan penambahbaikan diri sendiri terlebih dahulu. Ini kerana sebagai pemimpin, kita sentiasa berada di barisan hadapan baik dari segi budaya kerja, integriti dan sebagainya. Saya berpegang pada satu prinsip iaitu “Mengetahui perkara yang betul, tidak memadai dan bermakna jika tidak melakukan perkara yang betul”. Kalau kita asyik menyuruh orang lain supaya meningkatkan diri sedangkan kita sendiri tidak mengambil masa untuk mengusahakan penambahbaikan diri, jangan harap orang lain akan ikut secara sukarela. Kalau ikut pun, hanya kerana terpaksa. Oleh itu, ungkapan “Dengar apa aku cakap, bukan tengok apa aku buat” memang tidak bersesuaian buat seorang pemimpin yang hebat. Kalau kita hendak orang bawah datang awal, kita sendiri perlu datang awal. Kalau hendak orang bawah berlaku baik terhadap pelanggan, jangan pula kita mengata-ngata buruk di belakang pelanggan. Kalau kita hendak maklum balas yang pantas, kita sendiri perlu memberikan respon dengan pantas. Kriteria pemimpin hebat seterusnya ialah sentiasa mengalu-alukan maklum balas. Kita sememangnya bukan pemimpin yang hebat seandainya kita tidak suka mendengar kritikan. Kita perlu bersedia menerima maklum balas, sama ada maklum balas tersebut positif ataupun negatif.
5 Realitinya, semua orang pasti ada kelemahan dan kekuatan masing-masing. Kita mesti menerima hakikat itu dengan hati terbuka. Jika kita sentiasa dikelilingi oleh mereka yang kuat kipas sahaja, itu petanda bahawa tidak lama lagi kecelakaanlah yang bakal melanda. Jadi, berhati-hati dengan sikap kita apabila menerima maklum balas supaya kita sentiasa dikelilingi oleh mereka yang jujur dan berterus terang. Bina kepercayaan dengan sikap yang tidak asyik mempertahankan diri apabila dikritik, baharulah orang selesa untuk memberi maklum balas, baik yang positif mahupun negatif. Kita ada kuasa sebagai pemimpin bukan untuk digunakan bagi memaksa orang mengikut arahan yangf diberi secara membuta tuli. Kuasa itu patut digunakan untuk mendorong semua orang mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Semua orang dalam organisasi perlu memainkan peranan masing-masing dan bersikap telus tanpa ada perasaan takut atau tergugat. Ciri pemimpin beginilah yang menjadi idaman saya sebagai seorang bakal pemimpin di masa hadapan supaya kita tidak menjadi seorang pemimpin yang merasakan dirinya sentiasa betul tanpa mengambil tahu pandangan orang bawahan ataupun juga pelanggan samada ibu bapa atau anak murid di sekolah. Seorang pemimpin yang hebat juga perlulah sentiasa belajar hingga ke liang lahad. Kalau kita inginkan peningkatan, kita perlu bersedia untuk membuat perubahan. Menerima perkara baharu, mencuba amalan baharu, melepaskan kepercayaan dan amalan lama walaupun ia selesa tetapi tidak membawa kita ke mana-mana. Apabila kita sudah menjadi bos, kesilapan paling besar yang kita boleh lakukan adalah berhenti belajar. Anggapan “Saya sudah tahu semua” adalah titik tolak kepada bermulanya era kejatuhan kepimpinan kita. Oleh itu, kalau hendak menjadi pemimpin yang hebat, kerja mencari ilmu perlu diamalkan sehingga ke liang lahad. Selagi hidup, kita perlu belajar perkara-perkara baharu, baik kemahiran, teknologi, pemikiran, konsep dan sebagainya yang ada hubung kait dengan apa yang kita buat. Beli dan baca buku baharu, layari internet untuk mencari maklumat terkini bidang pendidikan dan lain-lain ilmu yang dirasakan perlu untuk diaplikasikan dalam kepimpinan yang diidamkan. Kriteria pemimpin hebat idaman saya yang seterusnya ialah pemimpin yang sanggup menggalas tanggungjawab penuh atas semua yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Sifat ini adalah tanda pemimpin yang hebat. Dia perlulah menggalas tanggungjawab bagi semua yang berlaku. Kerana sebagai pemimpin, semuanya akan balik kepada dirinya, baik dasar pelaksanaan yang salah, polisi yang tidak betul mahupun pemilihan orang yang tidak sesuai. Tiada orang lain yang patut disalahkan melainkan diri pemimpin itu sendiri. Seorang pemimpin itu tidak seharusnya menuding jari menyalahkan anak buahnya atas kegagalan sesuatu yang dilaksanakan. Sebaliknya, harus membuat refleksi kelemahan diri dan seterusnya menggalas tanggungjawab penuh atas apa yang berlaku. Akhirnya, seorang pemimpin yang hebat haruslah individu yang mampu memimpin orang lain untuk melangkah maju. Perkara paling mudah dilakukan adalah menjatuhkan orang lain. Ini tindakan yang mudah kerana kegagalan adalah perkara lumrah dalam hidup setiap orang. Apabila kegagalan berlaku, orang lain akan terus menggunakan kesempatan itu untuk menjatuhkan orang yang disasarkan. Tetapi inilah yang akan membezakan antara kita dengan orang lain, sama ada kita pemimpin yang hebat atau yang cepat mengambil kesempatan. Sebagai pemimpin, kita boleh mengkritik orang bawah tetapi bukan dengan niat menjatuhkan martabatnya. Sebaliknya, kita patut menggunakan kecerdikan akal yang ada untuk mengkritik berdasarkan kesesuaian, yang mampu melonjakkan semula orang itu untuk mara ke hadapan. Ada kalanya kita perlu berlaku tegas ketika memimpin dan berkomunikasi. Itu bukan bermaksud untuk menjahanamkan orang lain. Ia terpaksa dilakukan bagi menunjukkan tahap kepentingan sesuatu keadaan. Ketegasan pula tidak dilakukan sehingga orang bawah merasa kita tidak lagi menyokong dan mempercayai mereka. Ketegasan kita patut menghantar mesej
6 bahawa kita mahukan yang terbaik untuk mereka. Dengan cara ini, orang bawahan akan merasa mereka bekerja bersama kita, bukan bekerja untuk kita. Barulah sesebuah organisasi itu dapat digerakkan mengikut hala tuju ke arah satu transformasi yang memberi impak kepada keseluruhan organisasi dan dapat menghasilkan keberhasilan mengikut sasaran yang ditetapkan atau melebihi sasaran. Kesimpulannya, seorang pemimpin yang saya idamkan ialah seorang yang berkarisma, berintegriti, ikhlas dan juga berani. Besar harapan saya pada suatu hari nanti, saya akan menjadi seorang pemimpin yang mempunyai kualiti sebegini. Dengan cara ini, barulah saya dapat memimpin orang bawahan dengan cara “lead by example” atau “kepimpinan melalui teladan”. Bukan seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan yang membawa maksud orang yang menyuruh orang lain berbuat baik, tetapi diri sendiri yang tidak betul. Kepimpinan bukanlah perkara yang mudah, bukan setakat keupayaan memberi arahan buat itu dan ini. Ia sebenarnya adalah penonjolan ciri-ciri dalaman keperibadian kita yang terhasil daripada disiplin dan amalan mulia yang diterapkan sepanjang kehidupan kita. JALAN KE ARAH PEMIMPIN MASA DEPAN Sepanjang dua tahun saya menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SK Kampong Chamek, pelbagai isu dan cabaran telah saya hadapi dan tangani. Untuk menangani segala permasalahan yang dihadapi, saya telah sedaya upaya memaparkan contoh yang baik untuk diteladani. Sebagai contoh, setiap guru penyelaras program perlu menyediakan kertas untuk program yang akan dijalankan. Sebagai seorang pemimpin saya tidak membiarkan mereka terkapai-kapai mencari idea dalam merancang perjalanan program tersebut. Sebaliknya, sehabis baik saya telah cuba membimbing mereka dengan cara berbincang, memberi pandangan dan memberi panduan tentang bagaimana program itu hendak dijalankan. Saya juga turun padang pada setiap persiapan dan ketika program dijalankan. Contohnya, pada program hari sukan dan hari perkhemahan saya akan bersama-sama guru membuat persiapan padang, pembelian hadiah, menyediakan tapak perkhemahan dan mencari dana untuk program yang dijalankan. Dengan cara ini, saya mendapati orang bawah lebih bersemangat, gembira dan rasa dihargai. Hal ini dapat dilihat dan dinilai berdasarkan hasil kerja dan reaksi mereka ketika menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan. Sebagai menghargai usaha keras mereka, saya sebagai pemimpin yang dipertanggungjawabkan selalu memberikan penghargaan secara lisan dan memberikan token berbentuk makanan, minuman dan sijil penghargaan. Ada ketikanya, saya berhadapan dengan masalah dan isu yang baru di luar pengalaman dan pengetahuan saya. Tindakan yang saya ambil untuk mengatasi perkara sebegini ialah kebiasaannya saya merujuk kepada rakan sejawat dari institusi lain, merujuk pemimpin terdahulu yang boleh saya teladani dan membuat carian melalui pembacaan dan penyelidikan. Saya melakukan hal ini untuk mengelakkan memberi penyelesaian yang salah atau memberi keputusan yang tidak konsisten dan berubah-ubah. Hal ini membuatkan orang bawah menjadi keliru dan bingung seterusnya menghilangkan keseronokan serta motivasi mereka untuk bekerja. In shaa Allah, saya akan terus belajar dan sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan diri supaya terus melangkah sebagai pemimpin yang berintegriti. Saya sentiasa berusaha memberi yang terbaik dalam pentadbiran saya, persoalannya adakah itu juga terbaik di mata orang bawah saya?. Justeru itu, saya sentiasa mengalu-alukan maklum balas dari mereka dengan secara formal di dalam mesyuarat atau tidak formal melalui perbualan secara santai seperti ketika makan di kantin. Melalui maklum balas yang diterima, saya
7 cuba membuat refleksi kendiri untuk membuat penambahbaikan dalam kualiti kepimpinan saya di masa hadapan. Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika kita yakin telah melaksanakan sesuatu dengan cara yang betul, tidak perlulah kita takut menerima segala kritikan yang diberi. Sebaliknya, hal itu harus menjadi platform terbaik bagi saya menyelami dan memahami kelompangan dalam organisasi supaya dapat diperbaiki. Perjalanan saya sebagai pemimpin ini masih panjang dan pelbagai rintangan yang perlu dihadapi. Untuk memastikan saya terus bermotivasi untuk menjalankan tanggungjawab, langkah yang saya perlu ambil ialah dengan sentiasa bersedia menggalas penuh tanggungjawab atas semua tugas yang dipertanggungjawabkan. Saya akan menggalas tanggungjawab bagi semua yang berlaku. Kerana sebagai pemimpin, semuanya akan balik kepada diri saya sendiri. Tidak kira saya suka atau tidak, setiap kesalahan pelaksanaan dasar, polisi yang salah atau kegagalan memilih individu yang tidak sesuai dalam sesuatu tugas adalah berpunca dari kegagalan kepimpinan saya. Adalah tidak wajar jika saya menyalahkan orang lain, sebaiknya saya harus berani mengakui kesilapan diri dan memperbaikinya dengan cara mencari penyelesaian terbaik. Oleh yang demikian, saya haruslah sentiasa berusaha menjadi pemimpin yang sentiasa berusaha memimpin dan membimbing orang lain untuk meningkatkan potensi diri. Saya akan meningkatkan kepimpinan saya dengan cara memperbaiki diri bukan dengan cara mencari kelemahan orang lain. Pada masa yang sama, saya akan terus belajar dan terus belajar tanpa henti untuk memastikan saya sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa dan akan datang. Bak kata pepatah “Ilmu itu pelita hidup”, begitu juga dalam kepimpinan tanpa ilmu kita ibarat seorang nakhoda kapal yang tidak tahu ke arah mana yang hendak dituju. “Nak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Di era modenisasi ini, segala maklumat boleh diperoleh di hujung jari. Jadi, tiada alasan untuk kita malas menuntut ilmu dalam menjadi pemimpin versi terbaik. SAYA SEORANG PEMIMPIN PENDIDIKAN Dalam proses pembentukan kepemimpinan saya di masa hadapan, terdapat beberapa elemen yang telah dan akan saya terapkan dalam struktur pentadbiran saya kelak. Kepemimpinan haruslah dimulakan dengan profesionalisme yang tinggi.Kepemimpinan Profesional meliputi gaya pengurusan, hubungannya dengan wawasan, nilai dan matlamat serta pendekatannya dalam proses melaksanakan perubahan, ketekalan matlamat dan penglibatan staf dalam membuat keputusan serta mempunyai kewibawaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam usaha memastikan wawasan sekolah menjadi kenyataan saya mengamalkan konsep 'strict but at the same time friendly.’ Selain itu, konsep jangan cari salah atau kelemahan guru tetapi cari kekuatan guru tersebut akan menyebabkan guru bekerja dalam keadaan yang menyeronokkan dan tidak tertekan. Sebagai pemimpin sekolah, kita perlu ikhlas dengan orang bawah dan mereka akan tahu sama ada pemimpin itu ikhlas atau tidak. Pemimpin sekolah juga menjadi ‘role model’ untuk semua perkara-perkara baik seperti datang awal ke sekolah dan orang yang paling akhir meninggalkan sekolah. Seorang pemimpin sekolah itu mesti memiliki pengetahuan, keterampilan, ketegasan, keyakinan, kecergasan dan cemerlang dalam semua aspek agar dapat dicontohi oleh guru dan juga murid. Elemen seterusnya yang ingin saya terapkan dalam kepemimpinan saya ialah mempunyai wawasan dan matlamat bersama yang jelas. Wawasan dan matlamat sekolah hendaklah selalu dijelaskan kepada warga sekolah agar mereka tahu apakah wawasan sekolah dan matlamat sekolah. Di persekitaran bilik darjah dipamerkan dengan jelas visi, misi dan matlamat sekolah yang hendak dicapai. Wawasan merupakan gambaran mental masa depan
8 yang hendak dicapai dan mampu menjana tenaga di kalangan guru dan murid ke arah mencapai matlamat sekolah. Oleh itu, seorang pemimpin sekolah perlulah dinamik, kreatif, inovatif, mampu membuat perubahan secara berterusan, ada hala tuju dan berupaya mengatasi pelbagai masalah di dalam dan di luar sekolah. Perkara ini perlu diambil berat oleh seorang pemimpin supaya orang bawahnya dapat melihat dengan jelas matlamat dan hala tuju yang hendak dicapai oleh organisasi. Secara tidak langsung ia dapat menaikkan semangat dan membantu mereka bekerja dengan lebih sistematik dan berfokus. Seterusnya saya akan memastikan kemenjadian murid sentiasa menjadi fokus utama. Bagi merealisasikan output ini, Pendidikan Berkualiti haruslah dilestarikan dengan cemerlang. Bagi menzahirkan Pendidikan Berkualiti ini, pemimpin sekolah itu terlebih dahulu perlu ada ciriciri pemimpin berkesan, mempunyai wawasan dan matlamat bersama, wujudnya persekitaran yang menggalakkan pembelajaran, penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran, pengajaran bermatlamat, ada penghargaan yang tinggi, amalan pengukuhan positif dan pemantauan kemajuan sekolah. Jika semua ciri ini dapat dilaksanakan oleh seorang pemimpin sekolah, maka akan lahirlah Pendidikan Berkualiti dan kemenjadian murid yang melebihi sasaran dalam pelbagai bidang bukan hanya di bidang akademik semata-mata. Walau bagaimanapun, Pendidikan Berkualiti tidak akan dapat melahirkan kemenjadian murid sekiranya ciri-ciri itu tidak dilaksanakan dengan penuh amanah dan keikhlasan. Mereka perlu ada roh, menjiwai dan menggalas tugas yang amat berat, bersemangat dan mencintai kerjaya mereka sebagai pemimpin. Pendidikan Berkualiti ini seterusnya akan membentuk Sekolah Cemerlang. Saya sebagai Seorang Pemimpin Sekolah Cemerlang dan Berintegriti bukan sahaja akan melahirkan Pendidikan Berkualiti dan Kemenjadian Murid malah lebih daripada itu. Elemen penting seterusnya yang hendak saya terapkan dalam kepimpinan saya ialah memastikan wujudnya persekitaran kondusif di sekolah. Kondusif membawa maksud suasana yang tenteram dan selesa di sekolah. Ini adalah sangat penting kepada para guru dan murid dalam memastikan pembelajaran dan pengajaran berlaku dengan berkesan. Hal ini kerana murid menghabiskan hampir separuh daripada masa mereka di sekolah. Oleh itu guru pula perlu lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan pembelajaran dan pengajaran supaya murid dapat belajar dan menguasai pengetahuan dengan lebih baik. Dalam bilik darjah, terdapat pelbagai faktor yang saling mempengaruhi dalam menentukan kejayaan pembelajaran yang berlaku. Antaranya adalah guru, murid dan persekitaran pembelajaran yang juga merupakan antara penentu dalam kejayaan proses pembelajaran di bilik darjah. Menurut Bucholz dan Sheffler (2009) guru berupaya mencorakkan persekitaran bilik darjah supaya selesa dan seterusnya meningkatkan kemampuan pelajar untuk belajar. Persekitaran bilik darjah yang kondusif akan terhasil bila ada kerjasama dan interaksi berkesan antara guru dan murid juga hubungan persekitaran dan murid. Justeru, pelajar akan berasa seronok untuk belajar kerana mereka dapat melakukan pelbagai aktiviti pembelajaran yang aktif dan memberangsangkan di bilik darjah. Secara tidak langsung penglibatan aktif murid dalam pengajaran dan pembelajaran seperti yang terkandung dalam Standard 4 mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMG2) dapat dicapai. Oleh itu, guru memainkan peranan penting dalam menyediakan persekitaran yang kondusif kepada murid. Saya juga perlu menjadi pemimpin yang akan menerapkan penumpuan dalam pengajaran dan pembelajaran yang terbaik. Untuk mencapai tujuan ini, tindakan utamanya ialah melahirkan guru yang berkualiti. Hasrat untuk melahirkan guru yang berkualiti mestilah dilakukan dengan cara yang bersungguh-sungguh seperti menghantar guru menyertai seminar, forum,
9 pembentangan kertas kerja dan lain-lain program baik di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Dengan adanya guru-guru yang berkualiti, ia merupakan aset yang penting kepada sesebuah negara dan menjadi aspirasi ke arah melahirkan murid yang cemerlang, menepati hasrat Transformasi Sekolah menjelang 2025 (TS25). Guru berkualiti adalah mereka yang dapat dan mampu menguasai serta mereaisasikan segala kemahiran, pengetahuan dan kepakaran yang ada pada diri mereka sebagai alat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Salah satu strategi untuk melahirkan guru yang berkualiti ialah dengan meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru juga perlu diperkenalkan dengan teknik-teknik pengajaran dan terkini yang berkesan serta menarik minat murid. Dengan ini, pelajar berasa seronok, bertambah minat, faham, menghayati bahan yang diajar, meningkatkan kemahiran can aspek kognitif serta manipulasi mereka serta dapat melakukan aktiviti yang berkaitan dengan proses pengajaran yang telah dijalani. Penggunaan peralatan, pengurusan bilik darjah dan persekitaran yang baik akan dapat meningkatkan produktiviti pembelajaran dan menjanjikan keselesaan. Sekiranya wujud ketidakselesaan, ianya mampu mempengaruhi motivasi murid untuk belajar. Bartlett (2003) menyatakan bahawa keberkesanan pembelajaran akan meningkat sekiranya keadaan persekitaran pembelajaran adalah selesa. Akhirnya, amalan pengukuhan positif menjadi kewajipan yang dilaksanakan dalam kepemimpinan saya. Saya akan berjumpa dengan orang bawah sebelum dan selepas setiap program atau tanggungjawab telah selesai dijalankan. Dalam pertemuan ini, saya mengetahui apakah masalah orang bawah kerana mereka boleh menyuarakan pendapat mereka. Mereka diberi motivasi untuk terus yakin dan menambahbaik dalam menyelesaikan trugasan yang seterusnya, Selain itu, selepas pascanilai, saya akan berjumpa dengan mereka bagi membentangkan hasil pascanilai dan memberi penghargaan atas usaha mereka. Selain itu, dalam mesyuarat saya sering bercakap tentang ciri-ciri guru cemerlang. RUMUSAN Sebagai rumusan, sama ada kita sedar atau tidak, pemimpin sangat besar pengaruhnya kepada orang bawah. Justeru, sebagai seorang pemimpin tidak kira Penolong Kanan atau Guru Besar sebagai peneraju kepemimpinan sekolah, kita perlu menjiwai integriti dalam seluruh kehidupan kita, supaya kita menjadi ikutan dan suri teladan terbaik kepoada orang bawah kita. Apabila integriti telah menjadi budaya seluruh warga sesebuah sekolah, in shaa Allah visi dan misi akan mendapat haluan yang terbantang luas untuk dicapai. Apabila visi dan matlamat jelas, kita akan berfokus untuk menghasilkan yang terbaik dan tentunya untuk mendapat keredaan Allah SWT. Jika kita menerima tugas sebagai amanah dan tanggungjawab, kita akan berasa bersalah jika tidak melaksanakannya. Jika kita telah melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya, kita akan mendapat kepuasan yang sangat bermakna. Oleh sebab itu, jika seorang pemimpin hendak mengajar mengenai integriti, etika, jujur, ikhlas dan sifat-sifat mahmudah yang lain, dia sendiri mesti memastikan dirinya terlebih dahulu memiliki sifat-sifat tersebut. Sindrom ‘ketam hendak mengajar anaknya berjalan lurus’ bukanlah amalan seorang pemimpin yang berintegriti.
10 RUJUKAN Mohamad Saleeh Bin Rahamad. (2005). Salam Buat Mahathir. Jabatan Pelajaran Johor (JPNJ) Nik A. Rashid Ismail. (1993). Kepemimpinan : ulasan teori dan kajiannya di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin. Jejak Guru Berintegriti : Integriti Memperkasa/Lim Swee Tin. Institut Integriti Malaysia (IIM) https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pemutar https://www.utusanborneo.com.my/2019/08/26/5-kriteria-penting-membina-pemimpin-yanghebat https://www.bharian.com.my/kolumnis/2017/02/244293/kisah-al-quran-papar-panduan-integrititerbaik