The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by humaira nur, 2020-05-02 22:14:07

PROCEEDING TARSIA

PROCEEDING TARSIA

TARSIA : Satu pendekatan interaktif dan didik hibur dalam pembelajaran Bahasa Arab
berasaskan teknologi.

Siti Nurreha bt Hashim
Nik Mohd Rahimi bin Nik Yusoff
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

[email protected]

Abstrak

Perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi telah membawa arus perubahan dalam semua
aspek kehidupan termasuk pendidikan. Corak pengajaran guru pada abad ke-21 kini ke arah
pendekatan yang lebih interaktif dan berkesan. Pembelajaran Bahasa Arab juga perlu seiring
dengan perkembangan teknologi terkini. Guru Bahasa Arab perlu mencari inisiatif baru melalui
teknologi bagi mewujudkan suasana pengajaran yang lebih menyeronokkan, interaktif dan
berpusatkan murid serta sebagai alternatif untuk menarik minat murid belajar Bahasa Arab.
Penguasaan media pembelajaran bersaskan teknologi adalah satu transformasi yang perlu
dilakukan oleh guru Bahasa Arab. Perisian Tarsia sebagai wadah media pembelajaran
menggunakan teknologi yang digunakan untuk membuat puzzle dan sebagai elemen didik hibur.
Perisian ini memudahkan guru dalam penyediaan puzzle dan penjanaan minda murid dalam
penerapan kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah. Selain itu, pembelajaran Bahasa Arab
akan menjadi lebih interaktif dan menarik melalui media pembelajaran ini. Perisian Tarsia
mewujudkan gaya pembelajaran secara koperatif melalui proses menggabungjalin idea di antara
murid ketika membuat aktiviti serta menggalakkan kemahiran bertutur dan membaca Bahasa Arab.
Dengan perisian Tarsia, memudahkan guru untuk memilih jenis puzzle yang sistematik dan
tersusun sebagai salah satu aktiviti pengukuhan dan medium mengulangkaji dalam pembelajaran.
Kertas konsep ini membincangkan tentang perisian Tarsia sebagai media pembelajaran yang
interaktif dan penggunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab serta sebagai satu
pendekatan didik hibur.

Kata kunci : Persisian Tarsia, interaktif, didik hibur, media pembelajaran, Bahasa Arab, puzzle.

Abstract

The development of knowledge and technology has brought a stream of changes in all aspects of
life including education. The teaching pattern of teachers in the 21st century is now towards a more
interactive and effective approach. Arabic language learning also needs to be in line with the latest
technological developments. Arabic teachers need to seek new initiatives through technology to
create a more fun, interactive and student-centered teaching environment as well as an alternative
to attracting Arabic language learners. Specialized of technology-based learning media is a
transformation needed by Arabic language teachers. Tarsia software as a medium of learning
media uses the technology used to create puzzles and as a comforting element of learning. This
software facilitates teachers in the preparation of puzzle and student mind generation in the
application of thinking skills and problem solving. In addition, learning Arabic language will be
more interactive and interesting through this learning medium. The Tarsia software creates
cooperative learning styles through the process of combining ideas among pupils while making
activities as well as promoting speaking skills and reading Arabic. With Tarsia software, it is easier
for teachers to choose a kind of systematic puzzle that is structured as one of the strengthening and
learning activities in learning. This concept paper discusses Tarsia's software as an interactive
media of learning and its use in Arabic language teaching and learning as well as an edutainment
approach.

Keywords: Tarsia Software, interactive, edutainment, learning media, Arabic language, puzzle.

Pengenalan

Kementerian Pendidikan Malaysia (2015) dalam Shanmugam, K dan Balakrishnan, B (2018)
menjadikan kemahiran maklumat, media dan teknologi sebagai salah satu kemahiran yang
diperlukan dalam pembelajaran abad ke-21. Namun, cabaran utama pembelajaran abad ke-21 ialah
keupayaan guru-guru mengaplikasi dan mengadaptasi pelbagai sumber teknologi serta maklumat
bagi melaksanakan PdP yang efektif dan berkualiti serta relevan dengan perkembangan terkini
(KPM,2015). Seperti yang diketahui, pembelajaran abad ke-21 tidak hanya fokus kepada
berpusatkan murid namun kemahiran menguasai teknologi pada masa kini menjadi agenda utama
para guru bagi mendukung hasrat kerajaan menjadikan proses PdP lebih interaktif dan berkesan.
Penggunaan media teknologi di kalangan pendidik dan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran
amat penting untuk keperluan pendidikan semasa negara (Mohd Noorhadi dan Zurinah, 2018).
Guru- guru yang dapat menguasai penggunaan teknologi dalam PdP akan menjadi satu anjakan
paradigma untuk terus memberi impak yang positif terhadap sistem pendidikan negara.

Lanjutan daripada itu, penguasaan dalam teknologi dalam kalangan guru Bahasa Arab
perlu kepada komitmen yang berterusan agar dapat memvariasi kaedah atau pendekatan yang
berkesan dalam PdP. Kesannya dapat membantu mengatasi rasa bosan murid terhadap
pembelajaran. Mel Silberman (2004) menyatakan para guru perlu menyedari hakikat bahawa
setiap murid mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza-beza. Seharusnya, penggunaan media
pembelajaran dalam PdP sama ada visual, grafik, komputer atau sebagainya perlu diperluaskan
seperti puzzle Tarsia dapat membantu penjanaan minda murid dalam penerapan kemahiran berfikir
dan menyelesaikan masalah.

Inovasi yang terhasil asbab kecanggihan teknologi pada masa kini terhasilnya pelbagai alat,
perisian, aplikasi dan gajet hampir setiap hari. Kajian Yasak et al. (2010), mendapati penggunaan
perisian (teknologi) pendidikan Sains menimbulkan rasa seronok dalam kalangan murid dan dapat
membantu proses pembelajaran murid. Disamping itu, perisian Sains dapat menghidupkan suasana
PdP yang ceria, memudahkan pelajar memahami isi pelajaran dan menggalakkan murid berfikir
secara kreatif dan kritis. Selain itu, penggunaan teknologi dapat memberi kesan dan manfaat
kepada motivasi guru dan murid. Jelaslah, teknologi kini mempunyai manfaat motivasi yang
berupaya untuk menarik golongan pendidik dan pelajar agar turut aktif dalam PdP (Mohd
Noorhadi dan Zurinah, 2017).

Perisian Tarsia dibangunkan khas untuk guru Matematik membuat aktiviti berbentuk
puzzle, domino, dan lain-lain yang akan digunakan dalam kegiatan pengajaran dan pembelajaran
(Ani Afifah, 2017). Namun begitu, Tarsia juga telah digunakan dengan secara meluas dalam mata
pelajaran-mata pelajaran lain seperti Bahasa Melayu, Sains, Sejarah, Bahasa Inggeris, Pendidikan
Islam dan juga Bahasa Arab.

TARSIA sebagai media pembelajaran

Media pembelajaran secara umum adalah alat bantu dalam melaksanakan kegiatan pembelajaran.
Segala sesuatu yang dapat digunakan untuk merangsang pemikiran, perasaan, perhatian, dan
kemampuan atau keterampilan murid sehingga mendorong proses pembelajaran (Ajang Rusmana,
2017). Pengertian ini meliputi sumber, lingkungan manusia dan kaedah yang dimanfaatkan untuk
tujuan pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, penggunaan media pembelajaran dalam PdP dapat
meningkatkan minat dan motivasi murid dalam bilik darjah.

Makmal Hermitech ditubuhkan di Zhytomyr, Ukraine pada tahun 2003 untuk
membangunkan alat perisian matematik dan digunapakai oleh guru-guru sekolah rendah hingga
peringkat universiti terutamanya di United Kingdom (D. W Stoten 2017). Perisian utama
Hermitech Laboratory adalah Formulator MathML Suite, yang menyediakan cara mudah untuk
mengimport dan mengeksport matematik dalam format MathML serta kandungan profesional dan
alat pengarang pembentangan MathML. Manakala Perisian Tarsia pula adalah alat untuk guru
mereka aktiviti bagi kegunaan di dalam bilik darjah. Perisian ini adalah untuk membantu guru
Matematik menyediakan jigsaw puzzle dengan cara yang lebih sistematik dengan pemilihan
templat-templat yang telah disediakan. Michalewicz and Michalewicz (2008) meyakinkan bahawa
puzzle adalah alat yang hebat yang dapat menarik perhatian pelajar dan membantu mereka
mengembangkan sikap yang lebih baik. Maka tidak keterlaluan jika dikatakan pembelajaran
berasaskan puzzle membentuk pelajar dalam penyelesaian masalah dan juga kemahiran berfikir
secara kritikal. Malah menurut D.W Stoten (2017), Tarsia juga boleh digunakan sebagai penyatuan
pemahaman pelajar terhadap kandungan subjek. Seperti sedia maklum, pemahaman kandungan
subjek amat penting untuk murid menguasai sesuatu topik pembelajaran. Ini tidak terkecuali dalam
pembelajaran Bahasa Arab, Tarsia dilihat mampu memberi kesan yang efektif kepada murid dalam
memahami dan menguasai kandungan topik serta wadah pembaharuan dalam pedagogi guru
dengan menjadikannya sebagai media pembelajaran dalam PdP.

Perisian Tarsia diakui memudahkan para guru dalam membuat puzzle, mencetak dan
menyimpan berbagai bentuk aktiviti (Ani Afifah, 2017). Puzzle Tarsia yang siap dibentuk dalam
perisian ini dicetak, dilaminate dan dipotong mengikut keperluan penggunaannya dan boleh
digunakan sehingga jangka masa yang panjang. Oleh itu, Tarsia memberi peluang baru kepada
guru untuk memanfaatkan media pembelajaran ini dengan lebih sistematik mengikut keperluan
murid dan gaya pengajaran guru sendiri.

Tarsia juga boleh digunakan untuk mewujudkan persekitaran yang kompetitif di dalam
bilik darjah yang menggalakkan keseronokan dan meningkatkan pembelajaran (D. W. Stoten,
2017). Pembelajaran Bahasa Arab secara koperatif akan mewujudkan suasana pembelajaran yang
aktif dan tidak membosankan. Guru pula akan bertindak sebagai fasilitator dan menjadi tempat
rujukan murid-murid. Persaingan yang sihat dalam pembelajaran akan memberi kesan terhadap
sikap murid untuk bersemangat menyiapkan puzzle dalam kumpulan masing-masing.

Hasil kajian terkini telah menunjukkan bahawa pelaksanaan pembelajaran secara aktif iaitu
perbincangan, learning by doing, permainan dan puzzle menunjukkan natijah yang lebih efektif
dalam meransang fungsi kognitif pelajar (Mohan B.S. et al. 2018). Menurut beliau juga, latihan
pembelajaran aktif memberi manfaat yang besar dalam pembangunan pemikiran kritikal,
kemahiran komunikasi, pemahaman konsep yang lebih baik dan meningkatkan tahap motivasi
belajar. Pada tahun kebelakangan ini, penggunaan teknologi moden dalam pendidikan semakin
meluas dengan penyediaan media pembelajaran yang inovasi dan kreatif yang akan melengkapi
proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Hakikatnya, guru yang mempunyai ekstra
pengetahuan digital dan literasi media akan mempunyai satu set kompleks sikap dan tabiat fikiran
yang mempengaruhi motivasi mereka untuk menggunakan media digital untuk pembelajaran
(Hobbs, R & Tuzel, S 2015).

Justeru, manfaat yang diperoleh daripada perisian Tarsia ini memudahkan para guru
dengan kemudahan templat yang telah tersedia secara sistematik dan menjadi media pembelajaran
yang efektif dan variasi dengan hanya memasukkan soalan dan jawapan berbentuk ayat dan
gambar. Ini akan menarik minat murid dan tidak membosankan mereka dalam pembelajaran
Bahasa Arab.

Menu Perisian TARSIA

Paparan pada Rajah 1 menunjukkan menu utama dalam perisian Tarsia. Dalam paparan ini telah
tersedia pilihan 7 templat untuk membuat puzzle sama ada memilih Standard Jigsaw, Extended
Jigsaw, Domino, ‘Follow Me’ Cards, Rectangular Card, Matching Rectangular dan Student
Discussion. Dalam setiap templat tersebut ada pelbagai jenis dan bentuk templat yang boleh dipilih
mengikut bilangan kepingan puzzle. Sebagai contoh, dalam Standard Jigsaw ada 7 jenis templat
puzzle terdiri daripada 12 kepingan hingga ke 24 kepingan puzzle yang akan dihasilkan
sepertimana boleh dilihat pada Rajah 2. Justeru dengan pilihan templat yang telah tersedia
memudahkan guru-guru untuk membuat pilihan di paparan menu dengan hanya klik icon pada
paparan menu tersebut.

Rajah 1

Rajah 2

Dalam templat Standard Jigsaw di Rajah 3, pada bahagian bar navigasi bawah (Bottom
navigation bar), berfungsi untuk menukar bar dan melihat pandangan aktiviti yang telah dibina.
Perubahan bar mengikut jenis aktiviti yang dipilih. Terdapat 5 bar iaitu Input, Table, Output,
Solution dan Back Side. Manakala di bahagian kanan terdapat bar navigasi sebelah kanan (Right
hand navigation bar) yang membolehkan untuk melihat dan mengedit bahagian document area
yang dikehendaki. Nombor yang mewakili paparan terkini akan kelihatan berwarna terang.
Terdapat dua anak panah : anak panah tunggal untuk pergerakan bar dari satu paparan ke hadapan
atau belakang, anak panah berganda pula bagi 10 pergerakan ke hadapan dan ke belakang.
Mempunyai hanya tiga templat yang mengandungi 24, 12 dan 8 kepingan puzzle.

Rajah 3
Konklusinya, Tarsia memudahkan guru menghasilkan puzzle dengan rangkaian templat yang
pelbagai reka bentuk unik dan menarik. Bagi memastikan Tarsia ini kelihatan lebih menarik, guru-
guru hendaklah mencetak di atas kertas yang berwarna dan jika mahu digunapakai dalam tempoh
yang lebih lama, adalah digalakkan para guru untuk laminate puzzle tersebut.

Rajah 4

Elemen Didik Hibur dalam TARSIA

Didik hibur adalah gabungan perkataan yang menunjukkan campuran pendidikan dan hiburan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat 2010, mentakrifkan didik sebagai proses mendidik,
manakala hibur bermaksud menyeronokkan, menggembirakan dan menarik minat dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Maka didik hibur ialah mendidik sambil berhibur. Menurut Nalan
Aksakal (2015) didik hibur ditakrifkan sebagai kaedah yang ditambah dengan matlamat dan
pengukuran pendidikan dan menyediakan pelajar tentang nilai kehidupan, menggunakan sumber
dan kaedah dan meluangkan masa dengan cara mencipta dan mempunyai pengalaman baru dalam
pembelajaran. Oleh itu, penerapan didik hibur dalam PdP merupakan elemen penting yang harus
diambil peduli oleh para guru demi menyahut hasrat transformasi pendidikan negara ke arah
pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan.

Pada masa kini, konsep didik hibur telah dijadikan sebagai satu kaedah pembelajaran
kontemporari (Siti Ermi Syahira et al. 2018). Pendekatan didik hibur telah digunapakai secara
meluas selepas perubahan kurikulum lama, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) ke
kurikulum baharu, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kementeria Pendidikan
Malaysia (KPM 2011) dalam Siti Wahidah et al. 2017, telah mencadangkan penerapan teknik didik
hibur dalam kelas agar menjadikan PdP lebih interaktif dan fleksibel. Ini adalah salah satu usaha
untuk merealisasikan hasrat transformasi dalam pendidikan bagi mewujudkan suasan keseronokan
dalam bilik darjah.

Sehubungan dengan itu, bahasa Arab turut sama merealisasikan dan mengaplikasikan
teknik didik hibur dalam PdP di sekolah. Pelaksanaan elemen didik hibur dalam pembelajaran
Bahasa Arab lebih terarah kepada nyanyian (nasyid), bicara berirama (kalam jamaie), syair,
bercerita, lakonan, perbualan dan kad ucapan (Siti Wahidah et al. 2017). Di awal pelaksanaan
didik hibur di sekolah rendah, guru-guru Bahasa Arab terutamanya didedahkan dengan elemen
yang dinyatakan di atas. Elemen didik hibur nyanyian lebih digunakan oleh para guru secara
meluas di sekolah. Menurut Mohd Riduan dan Zanaton (2017) muzik yang digunakan semasa
pembelajaran dan pengajaran memberi ransangan ke atas daya ingatan murid. Ini juga turut
dinyatakan lebih awal oleh Campbell (1990) dalam kajiannya yang bertajuk Multiple Intelligences
In The Classroom, kaedah muzik dan nyanyian dalam pembelajaran meningkatkan pencapaian
kerana murid dapat mengingati fakta melalui lirik yang dihasilkan. Jelaslah bahawa pendekatan

nyanyian ini tidak memerlukan bahan maujud tetapi hanya perlu kreatif untuk membuat lirik
dengan memberi penekanan kepada perkataan berfokus dalam sesuatu tajuk.

Sejajar dengan arus globalisasi masa kini dan perkembangan teknologi tanpa sempadan,
muncul pelbagai alat atau perisian teknologi bagi membantu memudahkan proses pengajaran dan
pembelajaran khususnya dalam mata pelajaran Matematik dan umumnya mata pelajaran lain juga
boleh memanfaatkan perisian Tarsia dalam bilik darjah. Hasrat kementerian menjadikan
menjadikan suasana pembelajaran lebih interaktif dan berkesan adalah dengan memasukkan
elemen didik hibur. Secara khususnya apabila membincangkan mendidik sambil berhibur ini lebih
tertumpu kepada aspek nyanyian, lakonan, bercerita, bersajak, bersyair dan sebagainya. Namun,
mendidik sambil berhibur ini perlu dilihat dari sudut landskap yang lebih luas dan global.

Penggunaan Tarsia dalam pembelajaran Bahasa Arab sebagai wahana didik hibur
mewujudkan suasana pembelajaran aktif disamping meningkat penguasaan bertutur dan membaca
dalam kalangan murid. Menurut Shamsuddin dan Abdul Rasid (2011), pelaksanaan didik hibur
dalam bilik darjah dapat meningkatkan penguasaan 3M pelajar iaitu mendengar dan bertutur,
membaca dan menulis. Tambahan pula, dengan penggunaan Tarsia ini pembelajaran secara
koperatif diwujudkan bagi membolehkan aktiviti secara perbincangan dan keperluan murid untuk
melibatkan diri secara aktif dan perlunya gabung jalin idea bersama ahli kumpulan. Selaras dengan
itu, penggunaan puzzle Tarsia dapat dijadikan sebagai media pembelajaran yang interaktif,
fleksibel dan berkesan serta memenuhi kehendak dan keperluan pembelajaran murid secara aktif
dan menyeronokkan. Sekiranya dilihat dari aspek psikologi murid, suasana pembelajaran yang
menyeronokkan mampu meningkatkan pemerolehan pengetahuan dan kemahiran dalam bilik
darjah (Abdul Rasid dan Hasmah, 2013).

Jika sebelum ini murid didedahkan dengan pendekatan pendidikan secara konvesional dan
pasif, namun kini guru-guru Bahasa Arab perlu sentiasa mencari peluang dan meluaskan ilmu
pengetahuan dalam teknologi seiring dengan transformasi corak pengajaran dan pembelajaran
terkini. Selain itu, puzzle Tarsia juga memenuhi ciri pembelajaran abad 21 yang merangsang murid
khas dan murid biasa untuk berkomunikasi, berkolaboratif, kreatif dan berfikiran kritis.

Kesimpulan

Tuntasnya, penggunaan Tarsia dalam PdP Bahasa Arab adalah satu media pembelajaran menarik
dan tidak membosankan. Murid tidak hanya mendengar dan melihat apa yang guru terangkan dan
tunjukkan bahkan mereka melibatkan diri secra aktif dalam pembelajaran melalui permaianan
puzzle. Penggunaan Tarsia dapat menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan didik hibur
serta mengelakkan murid menjadi pasif dan bosan sepanjang proses pembelajaran. Manakala guru
bertindak sebagai fasilitator membimbing murid menyelesaikan puzzle mengikut kumpulan
masing-masing. Diharapkan penggunaan puzzle Tarsia ini dapat meningkatkan minat dan motivasi
murid untuk mempelajari bahasa asing iaitu Bahasa Arab dan menjadikannya sebagai wadah
media pembelajaran yang berkesan, fleksibel dan interaktif. Natijahnya, elemen teknologi dalam
didik hibur Tarsia ini akan menjadi satu anjakan paradigma para guru untuk lebih keratif dan
inovatif dalam PdP bahasa Arab seterusnya mengangkat martabat Bahasa Arab setanding bahasa
komunikasi yang lain.

Rujukan

Abdul Rasid Jamian & Hasmah Ismail. 2013. Pelaksanaan Pembelajaran Menyeronokkan dalam
Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 3(2) :
49-63.

Ajang Rusmana. 2017. Media Pembelajaran dalam Pembelajaran IPA SD. Materi Kuliah
Pembelajaran IPA Kelas Tinggi.

Ani Afifah. 2017. Pembelajaran Matematika dengan Memanfaatkan Formulator Tarsia. Jurnal
Didaktik Matematika, 4(2), 152-159.

Campbell, B. 1990. The research results of a multiple intelligences classroom. On the beam, 11(1),
7.

Díaz-Lefebvre. R. 2004. Multiple intelligences, learning for understanding, and creative
assessment: Some pieces to the puzzle of learning. Teachers College Record, 106(1), 49-
57.

D.W. Stoten. 2017. Tarsia: An Interactive and Engaging Activity That Promotes Consolidation of
Knowledge. Management Teaching Review, 2(3), 225-234.

Hobbs, R., & Tuzel, S. 2017. Teacher motivations for digital and media literacy: An examination
of Turkish educators. British Journal of Educational Technology, 48(1), 7-22.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2010. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Michalewicz, Z., & Michalewicz, M. 2008. Puzzle-based learning. Hybrid Publishers.
Mohan, B. S., Nambiar, V., Gowda, S., & Arvindakshan, R. 2018. Crossword puzzle: a tool for

enhancing medical students' learning in microbiology and immunology. International
Journal of Research in Medical Sciences, 6(3), 756-759.
Mohd Noorhadi Mohd Yusof & Zurinah Tahir. 2018. Kepentingan Penggunaan Media Sosial
Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan IPTA (Importance of Information Technology-
Driven Social Media in Public Institutes of Higher Education). e-Bangi, 12(3).
Mohd Riduan Ahmad dan Zanaton Hj. Iksan. 2017. Penggunaan Kaedah Didik Hibur Melalui
Nyanyian bagi Tajuk Sistem Suria.
Nalan Aksakal. 2015. Theoretical view to the approach of the edutainment. Procedia-Social and
Behavioral Sciences, 186, 1232-1239.

Shanmugam, K., & Balakrishnan, B. 2018. Kerangka Panduan Efektif Pengajaran dan
Pemudahcaraan (PdPc) Sains Menggunakan Information Communication Technology
(ICT) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK TAML). Sains Humanika, 10(1).

Siti Ermi Syahira bt Abdul Jamil. 2018. Children’s Art edutainment: The Origami Paper Sculpture
as a Creativity Enhancement Device. Idealogy, 3(1), 80-88.

Siti Wahidah M. Mubin, Helmirizal Che Long, Maimun Aqsha Lubis Abdin Lubis, Suriani Abdul
Rahim. 2017. Didik Hibur dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab di Sekolah
Rendah.

Yasak, Z., Yamhari, S., & Esa, A. 2010. Penggunaan teknologi dalam mengajar sains di sekolah
rendah.

http://cikgulizpendidikankhas.blogspot.com/2017/01/puzzle-tarsia-dan-pendidikan-khas.html

http://www.mmlsoft.com/

https://www.mrbartonmaths.com/resources/Jigsaws/Tarsia/User%20Manual.pdf

https://www.zonareferensi.com/pengertian-media-pembelajaran/


Click to View FlipBook Version