LAPORAN AKHIR Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan sebahagian daripada Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Kementerian Pendidikan Malaysia yang direka khusus untuk memberi gambaran secara langsung tentang profesion perguruan kepada guru-guru pelatih. Dengan melibatkan diri dalam PBS, guru pelatih mampu untuk memperoleh pandangan yang berharga tentang perihal kehidupan sekolah melalui kaca mata seorang pendidik. Program ini juga memberi pelbagai peluang kepada guru pelatih untuk meneroka pelbagai aspek pengurusan sekolah, termasuk peranan dan tanggungjawab guru di dalam dan di luar bilik darjah. Selain itu, PBS membolehkan guru pelatih mendalami kajian dokumentasi sekolah, melibatkan diri dalam amalan reflektif dan mewujudkan interaksi bermakna dengan rakan pendidik dan komuniti sekolah dengan lebih luas. Dengan mengambil bahagian secara aktif dalam PBS, guru pelatih berpotensi membangunkan pemahaman secara menyeluruh tentang elemen penting seperti sistem pengurusan sekolah, tingkah laku murid, teknik pengurusan bilik darjah yang berkesan di samping peranan guru dalam pelbagai aspek. Sehubungan dengan itu, saya telah memilih Sekolah Kebangsaan Batu Berendam 2 yang telah memberikan saya gelaran alumni SKBB 2 2010 - 2015. Pemilihan sekolah ini telah dibuat bagi memudahkan saya dalam melaksanakan tugasan Pentaksiran Berterusan yang telah diamanahkan. Hal ini dikatakan demikian kerana tugasan yang berkait dengan hal-hal ehwal pengurusan dan pentadbiran sekolah yang memerlukan saya untuk berhubung di samping memerhati suasana sekolah yang sememangnya tidak asing bagi diri sendiri. Hal ini sedikit sebanyak membantu saya dalam menyesuaikan diri dengan suasana sekolah bersama guruguru lama yang pernah mengajari saya dahulu ketika masih bergelar seorang murid pada mereka. Dalam pada itu, para guru juga telah banyak membantu dalam memperoleh maklumat-maklumat yang diperlukan dalam menyiapkan tugasan. Tambahan juga, para guru juga amat menyenangi saya sejurus selepas mengetahui status saya di sekolah tersebut sekali gus telah mempengaruhi tahap keyakinan diri sendiri sepanjang berada di sekolah tersebut.
Sepanjang saya berada di sekolah tersebut, pelbagai program atau aktiviti dianjurkan secara aktif bermula pada minggu kedua PBS. Hal ini kerana minggu kedua PBS merupakan minggu Sains peringkat sekolah yang memperlihatkan pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Misalnya, pada hari kedua minggu Sainsi telah memperlihatkan kedatangan pihak Taman Rama-Rama Melaka. Kedatangan pihak mereka adalah untuk mmbuat pameran mengenai ekologi rama-rama dan haiwam reptilia-reptilia lain seperti reptilia dari keluarga cicak sehinggakan ular. Dalam pada itu, mereka turut mempromosikan tempat mereka kepada murid-murid serta guru-guru untuk mengahdarikan diri bersama keluarga dengan pemberian baucar khas kepada semua. Tambahan juga, pihak mereka turut mengadakan ceramah khas di dewan sekolah mengikut darjah..Dalam pada itu juga, kejohanan merentas desa tahunan sekolah turut diadakan pada hari tersebut. Hal ini selepas pengumuman oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah membenarkan aktiviti luar di bawah cahaya matahari secara berperingkat-peringkat. Rentetan itu, saya telah ditugaskan bersama seorang guru untuk menjaga ‘checkpoint’ bersama. Pelbagai kerenah dan rentak para murid sepanjang kejohanan tersebut berlangsung. Malahan terdapat beberapa orang murid yang tidak mampu meneruskan larian disebabkan faktor kesihatan. Pendek kata, saya telah memperoleh satu ilmu dan pengalaman baharu sepanjang saya bergelar guru ‘praktikal’ di sana. Satu persatu perihal yang dapat saya perhatikan sepanjang saya menempuh tempoh PBS yanng singkat. Selain itu, program PBS mampu untuk memantapkan kemahiran intrapersonal diri sendiri melalui interaksi yang diadakan bersama kakitangan sekolah. Tambahan lagi, saya dan rakan-rakan guru pelatih yang lain juga berupaya untuk mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari di bilik darjah melalui dapatan dan sumber maklumat yang diperolehi semasa menjalani PBS. Tambahan pula, perancangan adalah amat penting dalam melaksanakan setiap kerja dengan sempurna serta sistematik. Lantas itu, setiap proses pengumpulan maklumat data diperlihatkan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Konklusinya, PBS merupakan satu program yang memberikan pendedahan awal di samping pengalaman baharu yang mendedahkan dunia perguruan dan pendidikan negara. Pelbagai maklumat yang telah saya perolehi sepanjang saya menjalani PBS di sekolah tersebut di samping mempelajari banyak perkara baharu iaitu berkait dengan suasana dan realiti sebenar keadaan seorang guru semasa mengajar. Secara tidak langsung, PBS ini membantu saya untuk menjadi seorang guru yang baik dan berdedikasi. Tambahan lagi, saya dapat meningkatkan keyakinan diri saya selepas menjalani PBS kerana pengalaman tersebut mengajar saya untuk lebih berketerampilan dan berkeupayaan bergaul mesra dengan masyarakat sekeliling iaitu komuniti sekolah itu sendiri. Tambahan lagi, melalui pengalaman ini juga telah menjadi pemangkin kepada saya untuk menimba ilmu dan berusaha menjadi seorang pendidik. Secara tidak langsung, pengalaman PBS selama dua(2) minggu telah mengajar saya untuk menyedari keperluan orang lain terutamanya murid-murid dalam membangun dan meningkatkan potensi diri mereka sendiri.