The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Tip dan Panduan Temu Duga Kerja: Persediaan Memulakan Kerjaya

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Faizal Muhd Faxel Wel, 2022-08-17 09:48:52

Tip Temu Duga Kerja

Tip dan Panduan Temu Duga Kerja: Persediaan Memulakan Kerjaya

Keywords: temu duga,interview,tips interview

Tahniah kerana anda mendapat panggilan temu duga kerja. Pasti anda
sangat teruja setelah menunggu dengan begitu lama untuk mendapatkan
kerja idaman anda dan pastinya anda ingin lulus temu duga yang bakal
anda hadapi nanti. Dalam e-buku ini, dikongsikan 20 tip untuk
dikendalikan sebelum, semasa dan selepas sesi temu duga. Tip temu
duga di bawah merupakan tip terkini yang anda boleh sesuaikan dengan
apa jua sesi temu duga.

TIP SEBELUM TEMU DUGA

Beberapa hari sebelum anda menghadapi temu duga, anda boleh
membuat persediaan seperti berikut:

1. Maklumat Syarikat dan Panel Penemu duga

Cuba dapatkan seberapa banyak maklumat seperti profail syarikat,
faedah kepada pekerja yang ditawarkan oleh syarikat, operasi syarikat,
corak kepimpinan syarikat serta perkara lain yang berkaitan dengan
syarikat yang bakal anda hadir ke sesi temu duga.

Kumpulkan segala maklumat dalam apa sahaja medium seperti portal
rasmi syarikat serta menerusi akaun media sosial yang berkaitan untuk
mendapat maklumat supaya anda benar-benar tahu tentang syarikat
tersebut.

2. Berlatih Menjawab Soalan

Anda boleh berlatih menjawab soalan-soalan yang selalu ditanya ketika
temu duga seperti ‘sila ceritakan tentang diri anda dan mengapa anda
memilih untuk bekerja di syarikat ini?’

Ini akan membantu anda untuk menjawab dengan lebih yakin serta
menjawab dengan tepat lagi teliti kepada panel penemu duga syarikat
sekiranya anda bekerja di syarikat tersebut. Berlatih menjawab soalan
dengan baik dan jelas adalah cara persediaan yang sangat berkesan.
Minta rakan anda untuk menjawab soalan dan berikan jawaban. Melalui
cara ini, anda akan menjadi lebih yakin untuk menjawab soalan ketika
temu duga nanti.

Tip: Anda juga boleh bertanya dan berbincang tentang gaji anda
berdasarkan lokasi, industri dan pengalaman kerja yang lalu.

3. Membaca Semula Huraian Pekerjaan

Cetak dan baca serta fahami kemahiran khusus yang diperlukan atau
kelayakan khusus yang dikehendaki oleh syarikat. Fikirkan contoh kerja
yang berkaitan dengan kerja yang pernah anda lakukan sebelum dan
sekarang ini. Jika boleh, bidang tugas dan skop kerja hendaklah
memenuhi kelayakan dan impian anda selain menepati kehendak syarikat
tersebut.

4. Gunakan Kaedah STAR Dalam Menjawab Soalan

Bersedia dengan beberapa soalan mengenai pengalaman kerja yang lalu
untuk ditanya semasa temu duga dijalankan. Gunakan kaedah STAR
untuk bercerita dengan jelas iaitu:

i. Situasi (Situation),
ii. Tugas (Task),
iii. Tindakan (Action), dan
iv. Hasil (Result).

5. Sediakan Senarai Rujukan

Kemungkinan penemu duga akan meminta anda memberikan senarai
rujukan sebelum atau selepas sesi temu duga. Dengan menyiapkan
senarai rujukan dengan lebih awal, ia membantu anda melangkah dengan
lebih cepat mencapai impian. Senarai rujukan perlulah individu yang
berkelayakan dan berpengalaman bekerja yang baik, mempunyai status
profesional yang lebih tinggi dari kelayakan anda dan lebih utama lagi,
pastikan individu tersebut mengenali anda dengan baik dan mampu
mengulas kualiti kerja dan kelayakan profesional anda selain nilai dan
sikap anda.

6. Bersedia Dengan Contoh Kerja Anda

Anda juga perlu bersedia dengan kemungkinan ditanya mengenai
pekerjaan yang telah anda lakukan sebelum ini. Ia termasuk pengalaman,

sebab anda ingin bekerja di syarikat terkini dan meninggalkan syarikat
yang lalu, Berikan contoh pekerjaan yang berkaitan serta kejayaan yang
telah anda kecapi di organisasi lama. Pastikan anda memberikan
penerangan dengan positif.

7. Sediakan Soalan Untuk Penemu duga Anda

Temu duga adalah komunikasi dua hala dan interaktif. Majikan juga
mengharapkan anda bertanyakan soalan kerana mereka ingin tahu
keseriusan anda ingin bekerja di syarikat mereka. Berikut adalah
beberapa soalan yang sesuai untuk anda tanyakan kepada penemu duga:

a) Bolehkah anda menerangkan skop kerja yang dimohon ini secara
terperinci?

b) Bagaimana anda menggambarkan ciri-ciri seseorang yang akan
berjaya dalam jawatan yang ditawarkan?

c) Sekiranya saya menjawat jawatan ini, bagaimana prestasi saya
dinilai? Berapa kerap ia dinilai? Apakah nilai prestasi utama yang
diambil kira?

d) Apakah cabaran yang anda hadapi dalam pekerjaan anda?

Beri perhatian juga kepada soalan-soalan yang tidak perlu anda ajukan
kepada penemu
duga. Dalam temu duga ada beberapa pantang larang tertentu.

TIP SEMASA TEMU DUGA

Setelah membuat persiapan sebelum temu duga, anda boleh berjaya
dalam temu duga dengan mengikuti tip-tip berikut:

8. Siapkan Pakaian Untuk Sesi Temu duga awal Sehari

Anda perlu menyiapkan pakaian untuk temu duga yang selesa dan sesuai
dengan jawatan serta ekspektasi syarikat tersebut sekurang-kurangnya
sehari sebelum sesi temu duga dijadualkan. Jika anda tidak pasti tatacara
berpakaian untuk temu duga, dapatkan cadangan daripada rakan anda.
Pastikan kod etika pakaian adalah menepati ciri-ciri profesionalisme yang
sepatutnya mengikut bidang tugas yang dimohon.

Bagi kaum lelaki, pakaian kemeja berwarna cerah dan berseluar hitam
atau gelap, lebih sesuai. Jika perlu, kenakan juga tali leher dan blazer
yang sesuai. Elakkan memakai baju t-shirt atau baju kemeja yang
bercorak-corak.

Peserta temu duga wanita, berpakaian sopan dan sesuai amat digalakkan
mengikut bidang tugas jawatan yang dimohon. Pastikan kaum hawa
memakai sedikit make-up dan lipstik agar kelihatan lebih anggun dan
tidak selekeh. Elakkan juga pakaian mencolok mata dan nipis.

Jangan memakai selipar atau kasut sukan melainkan jika syarat dalam
sesi temu duga mengkehendaki anda bersedia dengan pakaian sukan

untuk ujian kecergasan. Jika terdapat ujian kecergasan sebelum sesi
temu duga, pastikan pakaian gantian turut disediakan terlebih dahulu. Ia
membuktikan anda sentiasa bersedia dalam segala kemungkinan.

Tip: Memakai minyak wangi secukupnya dengan haruman lembut, boleh
memberikan perspektif yang positif semasa sesi temu duga berlangsung.
Jangan pakai minyak wangi terlalu banyak sehingga menyesakkan
hidung.

9. Bawa Salinan Resume, Buku Nota dan Pen

Siapkan sekurangya lima salinan resume, surat memohon jawatan serta
dokumen-dokumen yang bersesuaian seperti sijil akademik dan
kelayakan ikhtisas. Sediakan resume anda dengan kemas dan cantik
untuk diberikan kepada setiap penemu duga. Jenis-jenis dokumen yang
perlu di bawa dan tidak perlu di bawa ke tempat temu duga juga perlu
diberikan perhatian.

Jangan lupa untuk membawa pen dan buku nota kecil untuk membuat
beberapa catatan penting ketika temu duga berlangsung. Selain
mengambil nota, memegang pen juga boleh mengurangkan tense anda
semasa sesi temu duga dan mengurangkan gemuruh. Elakkan bermain
dengan menekan butang pen sekiranya anda gemuruh. Jaga hubungan
mata ketika proses temu duga dijalankan untuk menampakkan keyakinan
anda ketika temu duga dijalankan. Bahasa badan turut memainkan
peranan semasa menjalani temu duga.

Sediakan juga surat iringan (cover letter). Kadangkala majikan mencari
isi-isi tertentu di dalam surat iringan anda.

10. Sampai Awal di Tempat Temu duga

Datang awal sekurang-kurangnya setengah jam atau 10 ke 15 minit lebih
awal sebelum sesi temu duga dijalankan. Rancang perjalanan anda
dengan teliti.

Tip: Anda boleh melihat lokasi, fasiliti, penampilan korporat dan analisis
corak dan budaya kerja di syarikat tersebut sebelum sesi temu duga
dilaksanakan.

11. Tanggapan Pertama Yang Hebat

Pastikan anda memakai kasut yang bersih, rambut anda disikat kemas
dan pastikan kuku dipotong pendek. Begitu juga dengan pakaian anda.
Pakai pakaian yang bersih dan berbau wangi. Pastikan anda
menggunakan bahasa badan yang betul dan sentiasa senyum sepanjang
sesi temu duga dijalankan.

12. Menghormati Orang Lain

Hormat dan layan semua staf atau pekerja yang anda temui di syarikat
tersebut dengan baik. Kadangkala terdapat majikan atau penemu duga
yang akan mendapatkan maklum balas calon daripada pekerja mereka
untuk mengukuhkan keputusan mereka dalam memilih calon pekerja
baharu. Sekiranya anda menunjukkan pekerti yang baik, tidak mustahil
anda berada dalam radar penemu duga tersebut.

13. Amalkan Adab dan Bahasa Badan yang Baik

Tampilkan bahasa badan yang lebih yakin dan beradab ketika temu duga
dijalankan. Duduk atau berdiri dengan tekstur badan yang betul. Tarik
nafas sedalam mungkin dan hembus perlahan-lahan untuk
menghilangkan perasaan cemas dan ia membantu anda untuk lebih
berkeyakinan. Berjabat tangan sekiranya penemu duga menghulurkan
tangan dan berikan senyuman paling manis buat mereka.

Perhatikan juga bahasa badan penemu duga semasa sesi temu duga
sedang berlangsung.

Jadilah diri anda yang sebenar ketika temu duga dijalankan. Dengan cara
ini, penemu duga akan rasa lebih dekat dengan anda dan anda juga
menjadi selesa. Sentiasa positif dengan memberikan senyuman serta
penggunaan bahasa badan yang balk dapat membantu kelancaran
proses temu duga dijalankan.

14. Menjawab Soalan Dengan Jujur

Jawab setiap soalan yang diajukan dengan jujur. Fokus pada kekuatan
utama anda dan mengapa latar belakang serta kelayakan anda
menjadikan anda layak untuk menjawat jawatan tersebut. Ketahui juga
soalan-soalan yang tak perlu anda jawab semasa temu duga. lni kerana
tak semua soalan perlu anda jawab dengan panjang lebar dan cuba
menjawabnya walaupun kurang sesuai atau sekiranya soalan yang
diajukan melibatkan soal peribadi anda.

15. Kaitkan Jawaban Anda Dengan Kemahiran dan Pencapaian

Setiap kali anda menjawab soalan yang diajukan, kaitkan jawaban anda
dengan kemahiran serta pencapaian anda. Gunakan setiap peluang yang
ada supaya jawaban yang diberikan adalah menarik dan penemu duga
menjadi yakin dengan anda.

16. Pastikan Jawaban Anda Ringkas dan Fokus

Masa anda dengan setiap penemu duga adalah terhad. Jadi anda perlu
fokus dengan memberikan jawaban yang ringkas dan tidak bercakap
perkara yang tidak penting atau mengulas sesuatu topik dengan sangat
panjang. Cukup menjawab dengan tepat, ringkas serta memberikan
contoh yang memadai sahaja. Melainkan anda dikehendaki
menerangkan sesuatu konsep yang memerlukan ketelitian, anda boleh
berbuat demikian namun sentiasa pastikan ia tidak meleret-leret.

17. Jangan Bercakap Negatif Mengenai Majikan Sebelum lni

Jangan sesekali anda menceritakan masalah anda dengan majikan
sebelum ini pada penemu duga walaupuan anda disoal oleh mereka. Ini
boleh membuatkan penemu duga memberikan pandangan yang negatif
terhadap anda. Anda hanya perlu fokus pada kelebihan dan kebaikan
yang anda perolehi untuk penambahbaikan di masa akan datang semasa
bekerja dengan syarikat yang lama. Sekiranya anda bersikap negatif,
penemu duga pasti tahu anda akan memburuk-burukkan syarikat mereka
kelak semasa temu duga di tempat lain.

TIP SELEPAS TEMU DUGA

Setelah temu duga selesai, anda boleh lakukan perkara berikut:

18. Tanya Mengenai Langkah Seterusnya

Selepas temu duga tamat, anda boleh bertanya sama ada penemu duga
dan Pengurus Sumber Manusia apa yang anda harapkan seterusnya.
Mungkin anda akan menerima e-mel susulan seperti keputusan temu
duga anda, syarat tambahan seperti tugasan atau senarai rujukan atau
sesi temu duga yang lain.

19. Hantar E-mel Terima Kasih Secara Peribadi

Minta kad nama setiap penemu duga selepas sesi temu duga tamat.
Sekurangnya anda boleh menghantar e-mel kepada mereka dan ucapkan
terima kasih serta masukkan nota yang telah anda catatkan semasa sesi
temu duga dijalankan.

lni adalah contoh e-mel susulan yang anda boleh hantar kepada penemu
duga anda.

20. Cara Hantar Resume Melalui E-mel

Berikut adalah beberapa perkara penting yang harus anda ambil
perhatian dan merupakan elemen penting dalam cara hantar resume
melalui e-mel, sekiranya anda ingin melakukan permohonan pekerjaan
melalui e-mel:

Perkara penting tentang penulisan e-mel

a) Alamat e-mel profesional

Sebaiknya pastikan alamat e-mel yang digunakan tidak kelihatan terlalu
kebudak-budakan atau tidak profesional. Sebagai contoh, pemilihan e-
mel seperti [email protected] atau [email protected]. E-
mel yang sebegini akan menggambarkan sikap anda seperti tidak
profesional dan lebih malang lagi jika majikan tempat anda membuat
permohonan pekerjaan menganggap anda tidak matang.

Sebaiknya anda boleh gunakan nama sendiri untuk kelihatan lebih
profesional. Sebagai contoh, penggunaan nama sebenar anda,
[email protected] atau sekiranya anda ingin menggunakan
penambahan nombor atau sebarang simbol lain, contohnya seperti
[email protected].

b) Perkara (subject)

Perkara ini seringkali dipandang remeh. Malahan, kebanyakan pemohon
pekerjaan adakalanya langsung membiarkan ruangan subjek ini terbiar
kosong. Sedarkah anda bahawa sesebuah syarikat itu menerima ratusan
e-mel dalam sehari, bukan hanya e-mel dari anda seorang sahaja. Jika
anda sedar, maka jangan biarkan ruangan ini kosong.

Pastikan anda mengisi ruangan ini dengan tepat dan padat. Contoh
penulisan subjek yang baik adalah seperti “Permohonan jawatan untuk
….. (isikan nama jawatan yang ingin anda mohon). Percayalah, apa yang
anda lakukan ini pastinya memudahkan dan membantu pihak majikan
untuk mengenal pasti tujuan e-mel tersebut dihantar kepada mereka.
Paling penting, ia juga membantu agar e-mel yang anda hantar dan dilihat
oleh pihak yang berkenaan.

c) Resume dan dokumen

Apabila anda perlu melampirkan bersama sebarang dokumen seperti
resume atau salinan sijil, pastikan anda telah menukar segala dokumen
terbabit kepada format PDF, kecuali pihak majikan yang anda mohon ada
mengatakan sebaliknya atau sebarang format tertentu.

Namakan dokumen tersebut dengan nama yang bersesuai dan
memudahkan pencarian pihak majikan, sebagai contoh,
ahmadamranResume.pdf, ahmadamranSijilDiploma.pdf dan seterusnya.

d) Isi kandungan

Membuat permohonan melalui e-mel merupakan satu kaedah yang
memudahkan semua pihak, sama ada pihak majikan mahupun pihak
yang memohon pekerjaan. Tetapi, janganlah apabila sudah diberikan
kemudahan, anda mengambil mudah segala aspek.

Seandainya anda membuat permohonan melalui e-mel, dalam ruangan
‘body message’ anda boleh menulis ‘cover letter’ yang bersesuaian.

Contohnya:

Salam Sejahtera,
Tuan/Puan,
Perkara: Permohonan Jawatan Pembantu Pentadbiran
Merujuk perkara di atas, saya Mohd Syed Mohd Ramli, berminat
untuk mengisi kekosongan jawatan Pembantu Pentadbiran di
syarikat ABC Sdn Bhd. Saya mengetahui mengenai kekosongan
jawatan ini menerusi carian internet.

Untuk maklumat pihak tuan/puan, saya merupakan pemegang
Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Pentadbiran Sumber
Manusia dari UiTM dan Diploma Perniagaan juga dari UiTM.

Saya boleh dihubungi saya melalui telefon ditalian +60123456789
atau melalui e-mel untuk sebarang maklum balas mahupun
pertanyaan daripada pihak tuan/puan.
Bersama-sama e-mel ini saya sertakan resume dan salinan sijil
akademik saya untuk pemerhatian pihak tuan/puan.
Segala kerjasama daripada pihak tuan/puan, amatlah saya hargai.
Sekian, terima kasih.

Dalam ruangan ini, anda boleh mengisi maklumat dengan penjelasan
mengenai tujuan e-mel dihantar, pengenalan diri yang ringkas seperti di
mana anda belajar, pengalaman pekerjaan jika ada, serta cuba untuk
menaikkan pasaran diri anda dengan kelebihan yang anda miliki.

Pada ketika ini, apa yang anda tulis adalah untuk menaikkan diri anda
dalam bersaing bersama calon-calon lain yang turut memohon jawatan
yang sama ini. Tetapi apa yang penting, pastikan segala maklumat yang
diberikan adalah benar dan tepat. Jangan sampai menipu dan
menambah-nambah pada kelayakan yang tidak wujud.

e) Semak ejaan

Kesalahan ejaan atau penggunaan huruf besar dan kecil haruslah
dielakkan. Jadi bagi memastikan kesilapan seperti ini tidak berlaku, anda
dinasihatkan untuk membaca lebih dari sekali tentang apa yang anda tulis
dalam e-mel tersebut. Periksa segala ejaan, penggunaan tatabahasa,
huruf kecil atau besar dan segala dokumen yang dilampirkan adalah

dalam keadaan yang baik, menepati apa yang diperlukan dan terhindar
daripada kesilapan.

f) Kesilapan yang perlu dielakkan

Ada beberapa perkara yang anda perlu elakkan untuk memohon
pekerjaan menerusi e-mel antaranya :

i. Jangan hantar e-mel tanpa format dan perenggan yang kemas –
kandungan e-mel perlulah mengandungi perenggan dan susunan
yang jelas.

ii. Jangan hantar sesuka hati tanpa mengikut format yang diberi, jika
diberikan sebarang format.

iii. Jangan terus lampirkan resume atausebarang dokumen ke alamat
e-mel yang diberi tanpa memaklumkan kepada pihak majikan. Ada
masanya terdapat pemohon yang tidak menulis apa pun mengenai
kandungan lampiran dan lebih malang lagi jika pihak majikan tidak
menyedari mengenai lampiran yang tersedia.

iv. Jika diarahkan menghantar resume melalui e-mel, pastikan e-mel
yang dihantar tetap mengandungi ‘body message’ menyatakan
hasrat anda untuk memohon pekerjaan.

v. Elakkan membuat sebarang rayuan menerusi e-mel. Tunjukkan
kematangan anda kepada pihak majikan. Percayalah jika sudah
rezeki, pasti anda akan mendapat pekerjaan yang anda mohon.

vi. Hindari dari menghantar sebarang dokumen yang bersaiz terlalu
besar.

Akhir kata,

Diharapkan perkongsian tip di atas dapat memberikan anda gambaran
bagaimana cara yang betul untuk membuat permohonan pekerjaan atau
jawatan melalui e-mel. Selamat mencuba dan semoga berjaya.

SOALAN YANG SERING DITANYA SEMASA TEMU DUGA

1. Ceritakan serba sedikit tentang diri anda.

Soalan ini adalah soalan klasik yang biasa ditanya pada permulaan temu
duga. Ini adalah peluang anda untuk memberitahu bakal majikan siapa
diri anda secara keseluruhannya dan apa yang anda boleh menyumbang
kepada pekerjaan ini.

Sebaik-baiknya, anda perlu menceritakan selama 2-3 minit tentang diri
anda, kelayakan akademik, minat peribadi jika ia relevan dengan jawatan
yang dimohon dan pengalaman kerja sebelum ini.

Bakal majikan akan mempertimbangkan 3 perkara:

i. Kemahiran anda untuk memberi ringkasan pengalaman hidup dan
kerja anda yang berkaitan dengan jawatan yang dimohon. Elakkan
daripada membebel perkara yang tidak relevan atau cerita yang
terlalu panjang.

ii. Gaya perbualan, tahap keyakinan diri dan kemampuan anda untuk
mengatur dan menyampaikan maklumat. Gunakan bahasa yang
profesional, formal dan baku.

iii. Gambaran penuh diri anda yang sebenarnya. Menokok tambah
maklumat yang tidak ada atau tidak tepat.

2. Mengapa anda ingin bekerja dengan syarikat tersebut?

Tujuan soalan ini adalah untuk mengetahui motivasi anda untuk bekerja
dengan syarikat tersebut. Bakal majikan mempunyai pengalaman yang
banyak jadi mereka tahu jika anda tidak jujur. Pertama sekali, sebelum
hadir ke sesi temu duga, pastikan anda laksanakan kajian tentang
syarikat tersebut terlebih dahulu. Fahami budaya syarikat dan apa yang
mereka lakukan.

Kedua, elakkan daripada memberi jawaban seperti “Oh, sebab tempat ini
sangat menarik untuk bekerja! Saya suka gaji dan pakej imbuhan yang
ditawarkan,” ataupun “Rakan-rakan saya ada dalam syarikat ini jadi lebih
senang untuk meluangkan masa dengan mereka.” Jawaban macam ini
sangat jelak didengar dan tidak menunjukkan kemahiran dan pengalaman
anda yang boleh menyumbang kepada syarikat tersebut.

Ketiga, tunjukkan bagaimana anda boleh bantu mencapai matlamat
syarikat menggunakan kemahiran atau pengalaman anda. Gunakan
contoh sebenar seperti pengalaman kerja sebelum ini.

3. Kenapa anda ingin mencari pekerjaan baharu?

Soalan ini nampak mudah tetapi cuba fikir lagi sekali. Ia sangat mudah
untuk anda memberi jawaban yang tidak diingini jika anda tidak bersedia.
Kebanyakan orang cari pekerjaan baru sebab mereka tidak berpuas hati
dengan pekerjaan semasa. Walaupun benar, cara anda menyampaikan

jawaban tersebut mungkin mempunyai unsur negatif. Jadi untuk soalan
ini, bakal majikan sebenarnya ingin tahu cara anda menyampaikan
jawaban anda ketika sesi temu duga sama ada anda boleh kekal jujur dan
positif.

Jika anda dipecat dari pekerjaan terakhir, cuba jawab dengan ringkas dan
jujur. Jangan pula anda beremosi dan mengejek bekas majikan atau
syarikat. Anda tak mahu bakal majikan untuk memikirkan bahawa anda
masih tak puas hati dan tak boleh fokus kepada pekerjaan seterusnya. Ia
juga mungkin menunjukkan peribadi negatif anda yang tidak boleh
menerima hakikat dan sering menyalahkan orang lain.

Jika anda meninggalkan pekerjaan secara sukarela, nyatakan secara
ringkas dan jangan kongsi perkara negatif. Sebaliknya, anda boleh fokus
kepada cara anda boleh menyumbang kepada jawatan baru.

Contoh jawaban ringkas untuk soalan seperti ini:
i. Saya ingin membawa kerjaya saya ke arah baru (nyatakan apa arah
baru tersebut).
ii. Syarikat saya dulu tengah menyusun semula strukturnya jadi saya
telah memilih untuk mencari peluang baru.
iii. Saya ingin mengembangkan kemahiran baru tetapi tidak mampu
melaksanakannya di syarikat dulu. Jadi, saya telah mengubah
keadaan untuk mementingkan perkembangan kemahiran.

4. Apakah jawatan yang anda inginkan?

Elakkan jawaban samar-samar seperti “Saya ingin pekerjaan yang
mengujakan” atau “Saya ingin mengembangkan kemahiran dalam sektor
ini”. Jawaban tersebut menunjukkan kekurangan fokus dan motivasi
kepada matlamat kerjaya anda. Sebaliknya, ceritakan bagaimana
kemahiran dan pengalaman anda boleh menjadi aset kepada syarikat.

Contohnya, “Saya mempunyai kemahiran komunikasi dan penjualan
produk yang baik seperti yang dibuktikan dalam pekerjaan sebelum ini
sebagai pegawai pemasaran di syarikat X. Saya telah memahami industri
ini secara mendalam dan mampu menyumbang secara positif kepada
usaha penjualan syarikat Tuan/Puan.”

5. Apakah kekuatan dan kelemahan anda?

Soalan temu duga ini sebenarnya sangat rumit. Namun, ini adalah
masanya untuk anda menjawab dengan jujur. Tetapi jangan pula anda
terlebih jujur ke arah negatif dan memberitahu bakal majikan bahawa
anda seorang yang tidak mempunyai kemahiran organisasi atau sering
lambat ke meeting. Sebaliknya, jawab dengan jelas dan ringkas tentang
kualiti yang menunjukkan bahawa anda seorang bertanggungjawab dan
mengambil kira etika kerja, nilai diri, pengajaran di tempat kerja dan
kemampuan menyelesaikan masalah.

6. Apakah yang anda tahu tentang syarikat kami?

Di sini anda boleh tunjukkan pengetahuan anda setelah mengkaji selidik
syarikat tersebut. Apabila anda mengetahui lebih mendalam tentang
sesebuah syarikat, ia menunjukkan bahawa anda serius untuk bekerja
dengan syarikat tersebut. Tetapi jangan pula anda menceritakan setiap
fakta yang anda tahu sebab nampak sangat dihafal. Hanya nyatakan
produk utama dan perkembangan terkini. Anda juga boleh menunjukkan
minat dengan mengemukakan soalan kepada bakal majikan di akhir sesi
temu duga.

7. Apakah pencapaian anda yang paling hebat?

Cuba nyatakan 2-3 jenis pencapaian. Tujuan soalan ini adalah untuk
bakal majikan memahami cara anda mengendali sesebuah projek dan
berkomunikasi dengan rakan kerja. Ini adalah penting untuk mereka
mengenal pasti jika anda berpeluang untuk berjaya dalam syarikat
tersebut. Ceritakan pencapaian yang menunjukkan kekuatan dan
kemahiran anda seperti penyelesaian masalah di tempat kerja yang
menunjukkan kemahiran menyelesaikan masalah ataupun penyediaan
laporan penting dalam keadaan yang sukar menunjukkan kemampuan
menangani tekanan.

8. Di manakah anda melihat diri anda satu (atau lima) tahun dari
sekarang?

Jawaban anda patut menunjukkan keyakinan diri dan motivasi untuk
mencapai tahap kerjaya tinggi. Nyatakan jangkaan yang realistik dan
cadangkan rancangan sebenar anda dalam syarikat tersebut.

9. Apakah jenis tugasan yang anda lakukan di pekerjaan yang lalu?

Walaupun pekerjaan lalu tidak berkaitan dengan jawatan yang dimohon,
anda masih perlu menjawab dengan jujur. Anda juga boleh menerangkan
apa-apa projek yang telah dilakukan seperti projek yang dikendalikan luar
daripada skop kerja. Yang penting anda memberitahu pengalaman
relevan dengan jawatan baru.

10. Bagaimana anda akan menjalin hubungan baik dengan rakan
kerja dan penyelia baru?

Anda boleh jawab soalan ini secara positif dan bersemangat. Beritahu
bakal majikan bagaimana anda bekerja dengan baik bersama bekas
rakan kerja anda sebelum ini. Bakal majikan ingin tahu jika anda
mempunyai kemahiran komunikasi yang baik.


Click to View FlipBook Version