The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Teks_Perutusan_Ketua_Pengarah_AADK_Sempena_Hari_Antidadah_Kebangsaan

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by alina ahmad, 2021-02-14 22:31:15

Teks_Perutusan_Ketua_Pengarah_AADK_Sempena_Hari_Antidadah_Kebangsaan

Teks_Perutusan_Ketua_Pengarah_AADK_Sempena_Hari_Antidadah_Kebangsaan

PERUTUSAN

TUAN SUTEKNO AHMAD BELON

KETUA PENGARAH
AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

SEMPENA
PERINGATAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN 2021

“LEBIH BAIK CEGAH”

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN
SALAM SEJAHTERA.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat
Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia dan
inayahNya kita bertuah dapat hidup dalam sebuah negara yang
harmoni dan bersatu padu.

2. Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah memberikan
kesan kepada kehidupan harian kita. Namun begitu, melalui usaha-
usaha berterusan kerajaan untuk mengekang penularan wabak ini,

1

negara kita mampu membendungnya daripada menjadi semakin
parah.

3. Selain pandemik Covid-19, negara kita sentiasa diancam dengan
pelbagai permasalahan sosial, antaranya penyalahgunaan dadah.
Pelbagai inisiatif telah dilakukan sejak dadah diisytiharkan sebagai
Musuh Nombor Satu Negara pada 19 Februari 1983.

4. Polisi dan komitmen negara terhadap usaha menangani
permasalahan dadah telah dinyatakan secara jelas melalui
peruntukan akta-akta berkaitan dadah dan Dasar Dadah Negara.
Tanggungjawab dan peranan setiap pihak juga telah diperincikan
dalam Dasar Dadah Negara.

5. Dengan adanya usaha kolaboratif ini yang digerakkan secara
bersepadu, Insyaallah, penularan penyalahgunaan dadah dalam
komuniti juga mampu dibendung daripada semakin parah.

6. Pengamalan norma baharu dalam membendung penularan wabak
Covid-19 tidak akan menemui kejayaan sekiranya tidak
dilaksanakan dengan baik oleh setiap lapisan masyarakat. Begitu
juga halnya dengan permasalahan dadah. Kita perlu memutuskan
rantaian aktiviti-aktiviti penyalahgunaan dadah.

7. Masyarakat perlu bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam
memastikan bahawa persekitaran tempat tinggal, institusi

2

pendidikan, pusat latihan kemahiran dan tempat kerja bebas
daripada sebarang masalah berkaitan dadah.

8. Institusi pendidikan dan pusat latihan kemahiran sepatutnya
menjadi medium terbaik bagi pembentukan sahsiah dan
pembangunan jati diri kerana sebahagian besar perkembangan
individu berada di alam pendidikan secara formal.

9. Murid dan pelajar seharusnya memanfaatkan tempoh masa ini
untuk turut membangunkan kemahiran kendiri seperti kemahiran
asertif, kemahiran komunikasi dan kemahiran bersosial. Murid dan
pelajar perlu sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat melalui
penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum bagi mengelakkan
terjebak dengan aktiviti pelencongan sosial dan penyalahgunaan
dadah.

10. Persekitaran di tempat kerja pula haruslah sentiasa berada dalam
keadaan yang kondusif. Program-program berkaitan kesedaran
untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja
seperti program pendidikan pencegahan dadah perlu dilaksanakan
secara berterusan.

11. Kerjasama ini akhirnya akan memberikan pulangan keuntungan
kepada negara dan masyarakat. Negara dapat menjimatkan kos
untuk menangani permasalahan dadah dan seterusnya
mewujudkan persekitaran yang sihat serta selamat.

3

12. Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, penggunaan
aplikasi dan teknologi baharu perlu sentiasa diteroka dan digunakan
untuk memantapkan usaha menangani permasalahan dadah.
Mesej-mesej kesedaran antidadah perlu dipergiatkan lagi menerusi
media-media baharu bagi memperingati masyarakat tentang
ancaman bahaya dadah.

13. Namun begitu, terdapat juga pihak yang tidak bertanggungjawab
telah menyalahgunakan perkembangan teknologi. Semenjak akhir-
akhir ini, dadah dan peralatan-peralatan untuk menggunakan dadah
turut dijual di platform media sosial dan aplikasi membeli belah.
Oleh yang demikian, pelbagai pihak terutamanya ibu bapa perlu
sentiasa memantau aktiviti atas talian anak-anak mereka agar tidak
terjerat dan terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

14. Golongan remaja dan belia adalah modal insan yang akan
mengemudi negara pada masa hadapan. Mereka perlu
dilengkapkan dengan jati diri yang kukuh agar dapat menghindari
permasalahan sosial termasuk penyalahgunaan dadah. Faktor-
faktor pelindung seperti pendidikan pencegahan dadah perlu
dipertingkatkan manakala faktor-faktor risiko pula perlu
dikurangkan.

15. Sehubungan itu, fokus peringatan Hari Antidadah Kebangsaan ke-
38 Tahun 2021 ini dengan slogan “Lebih Baik Cegah” ialah
remaja dan belia di seluruh Malaysia. Tema ini dipilih bagi
mendorong semua pihak mengambil tanggungjawab dan tindakan

4

awal dalam menangani permasalahan dadah, seiring dengan
pepatah Melayu ‘Mencegah Lebih Baik Daripada Mengubati’.

16. Umum mengetahui bahawa permasalahan dadah adalah
manifestasi permasalahan sosial yang lain seperti kerapuhan
institusi rumah tangga, tahap pendidikan yang rendah, jenayah
jalanan serta kemiskinan. Berikutan itu, dalam menangani
permasalahan dadah, usaha sebuah pihak sahaja tidak mencukupi.
Usaha kolaboratif secara bersepadu daripada pelbagai pihak perlu
dilaksanakan bagi mengatasi permasalahan-permasalahan ini di
peringkat awal.

17. Agensi Antidadah Kebangsaan juga akan meneruskan sasaran
Dadah Terkawal 2025. Untuk itu, semua ahli masyarakat termasuk
jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan dan ahli komuniti akan
digerakkan dalam mengawal penularan penagihan dadah
menjelang tahun 2025. Usaha ini akan dilaksanakan berdasarkan
model-model yang telah dikenal pasti semasa pelaksanaan Projek
Inisiatif Bersepadu Menangani Permasalahan Dadah, Substan dan
Pelencongan Sosial pada tahun 2020.

18. Walaupun tema pada tahun ini menumpukan kepada aktiviti-aktiviti
pencegahan, rawatan dan pemulihan terhadap mereka yang telah
menyalahgunakan dadah akan tetap diteruskan. Agensi Antidadah
Kebangsaan menyeru kepada semua yang telah terlibat dengan
penyalahgunaan dadah untuk mendapatkan rawatan dan menjalani
pemulihan secara sukarela sama ada di fasiliti yang disediakan oleh

5

Kerajaan ataupun swasta. Sementara itu, operasi penangkapan dan
penahanan pula akan juga diteruskan supaya kumpulan ini dapat
dirawat dan dipulihkan sewajarnya.

19. Di kesempatan ini, saya mewakili Agensi Antidadah Kebangsaan
merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua
pihak yang telah bersama-sama menangani permasalahan dadah.
Semoga usaha kita akan terus mendapat sokongan masyarakat
dan beroleh keberkatan Allah Subhanahu Wataala.

“Lebih Baik Cegah”
Dadah Terkawal 2025

Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Disediakan oleh:
UNIT MEDIA DAN KOMUNIKASI KORPORAT
AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
19 FEBRUARI 2021

6


Click to View FlipBook Version