The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Artikel Penyelidikan NQA

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by inurulquratulain, 2022-11-22 20:19:43

Artikel

Artikel Penyelidikan NQA

TAHAP PENGUASAAN KEMAHIRAN MEMBACA MURID BUKAN PENUTUR
NATIF TAHUN 3 DI SEBUAH SJK (C): KAJIAN KES

LEVEL OF MASTERY READING SKILL IN MALAY LANGUAGE AMONG YEAR 3
NON-NATIVE SPEAKERS AT A SJK (C): CASE STUDY

Nurul Quratul Ain binti Sabli
PISMP Bahasa Melayu SJK (C) Ambilan Jun 2019

Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya
[email protected]

Yahya bin Yassin
Jabatan Pengajian Melayu
Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya

ABSTRAK
Kemahiran membaca merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh murid-murid di
sekolah seluruh Malaysia. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan
kemahiran membaca serta mengetahui faktor yang mempengaruhi tahap penguasaan
kemahiran membaca murid bukan penutur natif Tahun 3 di sebuah SJK (C) daerah Papar,
Sabah. 9 orang peserta kajian terdiri daripada kaum Dusun, Kadazan, Cina dan Sino-Native.
Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif menerusi kaedah kajian kes; satu kes satu
tempat. Data dikutip menggunakan beberapa instrumen kajian seperti analisis dokumen,
pemerhatian dan temu bual. Menerusi dapatan kajian, murid bukan penutur natif Tahun 3
masih belum menguasai kemahiran membaca Bahasa Melayu sepenuhnya terutamanya dari
aspek sebutan, kelancaran dan pemahaman membaca. 44.4% peserta kajian mencapai Tahap
Penguasaan 2 manakala 22.2% mencapai Tahap Penguasaan 4. 33.3% selebihnya mencapai
Tahap Penguasaan 5. Faktor yang mempengaruhi tahap penguasaan kemahiran membaca
Bahasa Melayu murid bukan penutur natif ialah persekitaran sekolah iaitu cara pengajaran
guru, bahasa komunikasi seharian serta taraf sosioekonomi keluarga. Implikasi kajian
menunjukkan persekitaran sekeliling murid mempengaruhi sebahagian besar penguasaan
murid dalam pendidikan. Maka, guru serta ibu bapa haruslah bekerjasama untuk memastikan
murid bukan penutur natif dapat menguasai kemahiran membaca Bahasa Melayu agar dapat
memahami serta menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dengan lebih cekap
dan efisien.
Kata Kunci: Kemahiran membaca; tahap penguasaan; Bahasa Melayu; murid bukan penutur
natif; faktor yang mempengaruhi

ABSTRACT
Reading skill is the basic skill in Malay Language that must be mastered by all school children
in Malaysia. The purpose of this study is to identify the level of mastery reading skill and to find
out the influencing factors of the mastery reading skill of Year 3 non-native speaker students in
a SJK (C), Papar, Sabah. 9 respondents consist of Dusun, Kadazan, Chinese and Sino-Native
speakers. This study applies a qualitative approach through a case study method; single case-
single site. Data were collected by using several study instruments such as document analysis,
observation, and interviews. Research findings showed that there were problems of Year 3
non-native speakers in mastering the reading skill which are wrong pronunciation of certain
words; less fluent and not mastering the reading comprehension. 44.4% of respondents
achieved Band 2 while 22.2% of the respondents achieved Band 4 and 33.3% achieved Band
5. Factors that influence the stage of mastery reading skill of Year 3 non-native speakers are
the school environment, language of the daily speech and the socioeconomic background of
the family. The implication of the study show that the surrounding highly affecting the stage of
mastery reading skill in Malay Language. Therefore, teachers and parents must cooperate to
ensure that non-native speakers’ students can master the reading skills in Malay Language so
they can understand and apply Malay Language as their second language efficiently.
Key Words: Reading skill; level of mastery; Malay Language; non-native speaker students;
influencing factors

1

PENGENALAN
Kemahiran membaca merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh murid-
murid di seluruh Malaysia. Seseorang murid dikatakan telah menguasai kemahiran
membaca jika dapat membunyikan perkataan, menggunakan intonasi serta jeda yang
betul dan lancar membaca. Membaca bertujuan untuk memahami teks dan memberi
makna kepada pembaca (Yahya Othman, 2005) serta meningkatkan aspek
pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan bacaan dalam diri seseorang murid
(Abdul Rasid Jamian, 2011). Namun, masalah penguasaan kemahiran membaca
dalam Bahasa Melayu semakin berleluasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)
kerana murid-murid bukan penutur natif masih lagi dipengaruhi oleh bahasa ibunda.
Asyikin Asmin (2022) menyatakan bahawa negeri Sabah merupakan negeri tertinggi
murid gagal kuasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Hal ini kerana mereka
dipengaruhi oleh faktor persekitaran yang menyebabkan pembelajaran bahasa
Melayu sebagai bahasa kedua adalah terhad. Perkara ini turut disokong oleh Indam
(2015) yang menyatakan bahawa persekitaran murid iaitu ibu bapa, guru dan pihak
sekolah merupakan faktor yang mempengaruhi penguasaan Bahasa Melayu
terutamanya kemahiran membaca murid bukan penutur natif.

PERNYATAAN MASALAH
Hasil pemerhatian dan penelitian sepanjang Praktikum Fasa I yang lalu, didapati
beberapa orang murid bukan penutur natif masih belum menguasai kemahiran
membaca dalam Bahasa Melayu. Mereka masih dipengaruhi oleh bahasa ibunda yang
dapat dilihat dari segi sebutan, bacaan dan pemahaman dalam Bahasa Melayu.
Persekitaran bahasa seseorang kanak-kanak masih didominasi oleh bahasa ibunda
mereka (Zamri Mahmood et al., 2016). Maka, Teori Perkembangan Havighurst yang
menyatakan persekitaran mempengaruhi perkembangan kanak-kanak telah
diimplementasikan dalam kajian untuk melihat sejauh mana persekitaran
mempengaruhi tahap penguasaan kemahiran membaca murid bukan penutur natif.
Murid bukan penutur natif masih belum menguasai kemahiran membaca dalam
bahasa Melayu sepenuhnya kerana belum lancar membaca, kurang faham istilah
serta beberapa perkataan asas dalam Bahasa Melayu. Perkara ini turut disokong oleh
Mohamad Hafiz Mohamad Tarmizi (2016) yang menyatakan bahawa tahap
penguasaan dalam kemahiran membaca murid bukan penutur natif masih pada tahap
yang rendah meskipun mereka mampu mengenali serta membunyikan sesebuah
perkataan dalam ayat atau teks yang dibaca. Standard Kandungan dan Standard
Pembelajaran yang dirujuk dalam melaksanakan kajian adalah berdasarkan Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran iaitu seperti dalam Jadual 1.

2

Jadual 1

Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran

Standard Kandungan Standard Pembelajaran

2.1 Asas membaca dan 2.1.2 Membaca dengan sebutan yang betul dan

memahami memahami; iii) teks

OBJEKTIF KAJIAN
Berdasarkan kajian ini, objektif utama penyelidikan adalah untuk mengetahui tahap
penguasaan kemahiran membaca dalam Bahasa Melayu murid bukan penutur natif di
sebuah SJKC di daerah Papar, Sabah. Objektif khusus kajian ini adalah seperti
berikut:

i. Mengenal pasti tahap penguasaan kemahiran membaca Bahasa Melayu murid
bukan penutur natif Tahun 3 di sebuah SJK (C) di daerah Papar, Sabah.

ii. Mengetahui faktor yang mempengaruhi tahap penguasaan kemahiran
membaca Bahasa Melayu murid bukan penutur natif Tahun 3 di sebuah SJK
(C) di daerah Papar, Sabah.

PERSOALAN KAJIAN
Persoalan kajian adalah seperti berikut:

i. Apakah tahap penguasaan kemahiran membaca Bahasa Melayu murid bukan
penutur natif Tahun 3 di sebuah SJK (C) di daerah Papar, Sabah?

ii. Apakah faktor yang mempengaruhi tahap penguasaan kemahiran membaca
Bahasa Melayu murid bukan penutur natif Tahun 3 di sebuah SJK (C) di daerah
Papar, Sabah?

METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini merupakan sebuah kajian kualitatif berasaskan kajian kes. Creswell (2007)
dengan menyatakan kajian kes digunakan untuk mengumpul data kualitatif agar lebih
memahami fenomena yang dikaji. Jenis kajian kes yang dilaksanakan ialah kajian kes,
satu kes satu tempat. Dalam konteks kajian ini, penyelidik merungkai faktor yang
mempengaruhi tahap penguasaan kemahiran membaca dalam Bahasa Melayu murid
bukan penutur natif Tahun 3 di sebuah sekolah yang dikaji. Tiga instrumen kajian yang
digunakan iaitu analisis dokumen, pemerhatian dan temu bual separa berstruktur.
Dokumen-dokumen yang dianalisis adalah data maklumat murid serta Pentaksiran

3

Bilik Darjah (PBD). Instrumen kedua ialah pemerhatian yang dilaksanakan ke atas
peserta kajian yang dipilih. Pengkaji melakukan pemerhatian semasa peserta kajian
membaca teks ringkas yang disediakan seterusnya menilai tahap penguasaan
kemahiran membaca. Instrumen ketiga ialah temu bual separa berstruktur. Pengkaji
menemu bual peserta kajian bagi mendapatkan maklumat yang diingini. Ketiga-tiga
instrumen akan dianalisis secara deskriptif bagi menjawab persoalan kajian yang
dikemukakan.

DAPATAN KAJIAN
Murid Bukan Penutur Natif Tahun 3
Rajah 1
Murid Bukan Penutur Natif Tahun 3

Murid Bukan Penutur Natif Tahun 3

Sino-Native
11%

Cina Kadazan
22% 45%

Dusun
22%

Kadazan Dusun Cina Sino-Native

75% murid Tahun 3 adalah bukan penutur natif iaitu sebanyak 9 orang murid. Rajah 1
memuatkan bilangan murid bukan penutur natif Tahun 3 mengikut kaum masing-
masing. 45% peserta kajian adalah kaum Kadazan manakala Dusun melambangkan
22% peserta kajian. Seterusnya, kaum Cina merupakan 22% peserta kajian dan Sino-
Native pula mewakili 11% peserta kajian.

Tahap Penguasaan Kemahiran Membaca Murid Bukan Penutur Natif
Tahap penguasaan kemahiran membaca peserta kajian dinilai berdasarkan Standard
Prestasi yang termaktub dalam DSKP Bahasa Melayu Tahun 3 SJK (C). Jadual 2
memuatkan spesifikasi yang menjadi kayu ukur tahap penguasaan kemahiran
membaca Bahasa Melayu peserta kajian.

4

Jadual 2
Standard Prestasi

TP PENYATAAN

Membaca dengan sebutan yang betul dan lancar serta memahami teks
1 dengan menerangkan idea, mengenal pasti dan menjelaskan

kandungan teks dengan tepat pada tahap yang sangat terhad.

Membaca dengan sebutan yang betul dan lancar serta memahami teks
2 dengan menerangkan idea, mengenal pasti dan menjelaskan

kandungan teks dengan tepat pada tahap terhad.

Membaca dengan sebutan yang betul dan lancar serta memahami teks
3 dengan menerangkan idea, mengenal pasti dan menjelaskan

kandungan teks dengan tepat pada tahap memuaskan.

Membaca dengan sebutan yang betul dan lancar serta memahami teks
4 dengan menerangkan idea, mengenal pasti dan menjelaskan

kandungan teks dengan tepat pada tahap kukuh.

Membaca dengan sebutan yang betul dan lancar serta memahami teks
5 dengan menerangkan idea, mengenal pasti dan menjelaskan

kandungan teks dengan tepat pada tahap terperinci.

Membaca dengan sebutan yang betul dan lancar serta memahami teks
6 dengan menerangkan idea, mengenal pasti dan menjelaskan

kandungan teks dengan tepat pada tahap sangat terperinci,
konsisten dan menjadi model teladan.

Jadual 3

Tahap Penguasaan Kemahiran Membaca Bahasa Melayu Peserta Kajian

Kod Peserta Kaum Jantina Tahap Penguasaan Catatan

PK1 Dusun Lelaki 5 Terperinci

PK2 Kadazan Lelaki 4 Kukuh

PK3 Dusun Lelaki 5 Terperinci

PK4 Kadazan Lelaki 4 Kukuh

PK5 Cina Perempuan 2 Terhad

PK6 Sino-Native Perempuan 2 Terhad

PK7 Kadazan Perempuan 2 Terhad

PK8 Kadazan Perempuan 5 Terperinci

5

PK9 Cina Perempuan 2 Terhad

Jadual 4

Analisis Kesalahan Sebutan Peserta Kajian

Kod Peserta Salah Betul

PK2 [be.ri.adah] [be.ria.dah]

PK4 [ro.roŋ] [lo.roŋ]

PK5 [ba.ra.dah] [be.ria.dah]
[tem.pan] [tem.pat]
[ber.ham.pir.an] [ber.ham.pi.ran]
[?e.lu.gar. ɲa] [?e.lu.ar.ga.ɲa]
[ma.na.main] [me.ne.ma.ni]
[tai.cin] [tai.ci]
[me.ra.ka] [me.rə.?a]

PK6 [bi.ra] [bi.ar]

[ber.sam.bar] [ber.sa.bar]

[me.na.?i] [me.nai.?i]

[ter.lam.pat] [ter.lam.bat]

[bi.baŋ] [bim.baŋ]

PK7 [la.bat] [lam.bat]

[ke.le.ta] [ke.rə.ta]

[lo.loŋ] [lo.roŋ]

PK9 [rin.da] [rim.ba]

[be.ri.adah] [be.ria.dah]

[peŋ.un.ju?] [pe.ŋun.juŋ]

[ta.ci] [tai.ci]

[ban.da] [ba.dan]

Berdasarkan data yang dimuatkan dalam Jadual 3, PK5, PK6, PK7 dan PK9 masih
belum menguasai kemahiran membaca Bahasa Melayu sepenuhnya. PK5, PK6, PK7
dan PK9 mencapai Tahap Penguasaan 2 iaitu tahap terhad. Banyak kesalahan
sebutan dilakukan, masih membaca secara membatang dan tidak memahami teks
yang dibaca merupakan aspek yang diperhatikan semasa pengkaji membuat
pemerhatian. Kesalahan sebutan yang dilakukan oleh PK5, PK6, PK7 dan PK9

6

dimuatkan dalam Jadual 4. Data temu bual juga membuktikan mereka tidak
memahami teks yang dibaca.

§ Tahap Penguasaan 2
PK5: Saya tak tahu (berbisik) (TB/PK5/BB/S2/120922)
PK6: (menggeleng kepala) (TB/PK6/BB/S2/120922)
PK7: Tidak tahu.. (TB/PK7/BB/S2/120922)
PK9: (menggeleng kepala) (TB/PK9/BB/S2/120922)

Untuk PK2 dan PK4 pula, mereka mencapai Tahap Penguasaan 4 iaitu tahap
kukuh. Kesalahan sebutan adalah paling minima, lancar membaca dan dapat
menyatakan kefahaman tentang teks yang dibaca.

§ Tahap Penguasaan 4
PK2: Ali dan keluarganya ke Taman Rimba untuk beriadah. (TB/PK2/BB/S2/120922)
PK4: Abu dengan ayahnya terlambat (TB/PK4/BB/S2/120922)

PK1, PK3 dan PK8 pula mencapai Tahap Penguasaan 5 iaitu tahap terperinci.
Hal ini kerana pengkaji mendapati peserta kajian dapat membaca dengan sangat
lancar, tiada kesalahan sebutan serta dapat menyatakan implikasi tentang teks yang
dibaca.

§ Tahap Penguasaan 5
PK1: Abu pergi ke sekolah.. ayahnya lambat.. bersabar agar selamat sampai.
(TB/PK1/BB/S2/120922)
PK3: Beriadah.. keluarga Ali.. supaya badan mereka sihat (TB/PK3/BB/S2/120922)
PK8: Beriadah.. Ali dan keluarganya supaya badan sihat dan cergas
(TB/PK8/BB/S2/120922)

Faktor yang Mempengaruhi Tahap Penguasaan Kemahiran Membaca
Terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti oleh pengkaji semasa melaksanakan
kajian. Antara faktor yang mempengaruhi tahap penguasaan kemahiran membaca
ialah persekitaran di sekolah, bahasa pertuturan serta taraf sosioekonomi keluarga.

I. Persekitaran di Sekolah
Persekitaran di sekolah iaitu cara pengajaran guru banyak mempengaruhi tahap
penguasaan kemahiran membaca murid bukan penutur natif. Data temu bual

7

membuktikan PK1, PK2 dan PK8 meminati Bahasa Melayu kerana suka cara guru
mengajar. PK4 juga bersetuju dengan menyatakan ‘cikgu seronok’ semasa ditemu
bual.

PK1: Minat.. cara guru mengajar. (TB/PK1/BC/S1/120922)
PK2: Minat cara guru mengajar.. kerana saya minat Bahasa Melayu, senang mahu
membaca, tidak susah mendengar. (TB/PK2/BC/S1/120922)
PK4: Ya, sebab best... cikgu seronok. (TB/PK4/BC/S1/120922)
PK8: Minat cara guru mengajar. Senang untuk buat dan seronok.
(TB/PK8/BC/S1/120922)

Faktor ini turut disokong oleh senarai semak pemerhatian. Pengkaji mendapati
PK1 dan PK4 sangat aktif semasa sesi PdP Bahasa Melayu berlangsung. PK1 dan
PK4 didapati memaparkan tingkah laku positif iaitu bersoal jawab dengan guru serta
memberi pendapat tentang pembelajaran pada hari tersebut. Perkara ini turut
disokong dengan bukti bergambar (G1/SSP/PDK/PK1/120922).

Gambar 1
Tingkah Laku Positif PK1

G1/SSP/PDK/PK1/120922

Bagi PK5, PK6 dan PK9, mereka tidak meminati cara guru mengajar kerana
tidak memahami Bahasa Melayu. Norlela Ahmad et al. (2021) yang menyatakan
kebanyakan murid bukan penutur natif merasakan Bahasa Melayu sebagai sebuah
mata pelajaran yang sukar untuk dipelajari. Data temu bual juga membuktikan PK5,
PK6 dan PK9 tidak meminati Bahasa Melayu.

PK5: Tidak minat. Sebab tidak tahu Bahasa Melayu. (TB/PK5/BC/S1/120922)
PK6: (geleng kepala) saya tidak faham Bahasa Melayu.
(TB/PK6/BC/S1/120922)

8

PK9: Tidak minat. Senang sikit mahu baca tetapi saya tidak faham, kalau translate ke
Bahasa Inggeris baru saya faham. (TB/PK9/BC/S1/120922)

II. Bahasa Komunikasi Harian
Faktor persekitaran yang turut memberi pengaruh terhadap penguasaan kemahiran
membaca Bahasa Melayu ialah bahasa komunikasi seharian. Bahasa yang dituturkan
oleh masyarakat sekeliling terutamanya keluarga peserta kajian mempengaruhi
penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Dalam temu bual, PK1, PK2,
PK3, PK4 dan PK8 masing-masing menyatakan Bahasa Melayu merupakan bahasa
yang dituturkan sejak kecil lagi. Mereka tidak menuturkan bahasa ibunda dan tidak
memahami bahasa ibunda tersendiri.

PK1: Bahasa Melayu. Saya belum tahu Bahasa Dusun. (TB/PK1/BC/S3/120922)
PK2: Bahasa Melayu..kalau Bahasa Kadazan saya tahu nombor sahaja.
(TB/PK2/BC/S3/120922
PK3: Bahasa Melayu. Tiada guna Bahasa Dusun di rumah.
(TB/PK3/BC/S3/120922)
PK4: Bahasa Melayu (TB/PK4/BC/S3/120922)
PK8: Bahasa Melayu. Tidak bercakap dalam Bahasa Kadazan kerana kurang faham.
(TB/PK8/BC/S3/120922)

Namun, terdapat juga peserta kajian yang menggunakan bahasa ibunda
sebagai bahasa komunikasi seharian. Proses untuk mempelajari Bahasa Melayu
bukanlah suatu proses yang mudah terutamanya bagi murid yang jarang bertutur
dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian (Angela & Zamri, 2019;
Nora’azian & Fadzilah, 2018). PK5 dan PK6 menggunakan Bahasa Cina sebagai
bahasa pertuturan seharian manakala PK7 dan PK9 menggunakan bahasa campuran
untuk komunikasi seharian. Hasilnya, PK5, PK6, PK7 dan PK9 lebih menguasai
bahasa ibunda dan bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu sebagai bahasa
kedua.

PK5: Bahasa Cina.. di sekolah dan di rumah. (TB/PK5/BC/S3/120922) Inggeris.
PK6: Bahasa Cina (TB/PK6/BC/S3/120922)
PK7: Bahasa Melayu dan Bahasa Cina (TB/PK7/BC/S3/120922)
PK9: Campuran bahasa iaitu Bahasa Cina dan Bahasa
(TB/PK9/BC/S3/120922)

9

Bukti turut disokong dengan Gambar 2 (G3/SSP/BK/PK5/120922) yang diambil
semasa pengkaji menjalankan pemerhatian ke atas sesi PdP Bahasa Melayu Tahun
3. PK5 dan PK9 dilihat berkomunikasi dan berbincang menggunakan bahasa ibunda
semasa kelas berlangsung.

Gambar 2
PK5 Berbincang dalam Bahasa Ibunda

G3/SSP/BK/PK5/120922

III. Taraf Sosioekonomi Keluarga
Adenan Ayob (2011) mendapati kecekapan menguasai Bahasa Melayu berkait rapat
dengan status sosioekonomi keluarga kerana taraf sosioekonomi dan perhubungan
keluarga turut mempengaruhi penguasaan bahasa kanak-kanak. Data temu bual
membuktikan taraf sosioekonomi keluarga mempengaruhi tahap penguasaan
kemahiran membaca peserta kajian.

PK1 dan PK8 berasal dari latar belakang keluarga yang memiliki status
ekonomi keluarga yang tinggi. Perkara ini dibuktikan dalam analisis dokumen iaitu data
maklumat murid berkaitan status pekerjaan ibu bapa atau penjaga. Data temu bual
juga mengukuhkan lagi latar belakang keluarga PK1 dan PK8.

PK1: Ibu kerani di Anti-Drugs (Anti-Dadah) dan abah sekuriti di Petronas.
(TB/PK1/BC/S4/120922)
PK8: Ibu suri rumah, ayah bekerja di Majlis Daerah. (TB/PK8/BC/S4/120922)

Status sosioekonomi yang tinggi menyebabkan ibu bapa PK1 dan PK8 dapat
menyediakan bahan bacaan dalam Bahasa Melayu di rumah untuk anak-anak
mereka. Perkara ini disokong oleh bukti temu bual bersama PK1 dan PK8.

PK1: Ada buku cerita Bahasa Melayu. Ada baca di rumah. (TB/PK1/BC/S5/120922)
PK8: Ada.. sikit sahaja, selalu baca. (TB/PK8/BC/S5/120922)

10

PK6 dan PK9 pula berasal dari keluarga yang memiliki status sosioekonomi
rendah yang dibuktikan berdasarkan sesi temu bual.

PK6: Ibu tiada kerja, bapa kerja baiki aircond dan bawa lori. (TB/PK6/BC/S4/120922)
PK9: Nenek saya tidak bekerja, ibu sebagai mekanik di Kota Kinabalu.
(TB/PK9/BC/S4/120922)

Maka, status sosioekonomi yang rendah ini menyebabkan ibu bapa atau penjaga
mereka tidak mampu menyediakan bahan bacaan dalam Bahasa Melayu untuk
mempelajari Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Pendedahan bahasa Melayu
yang terhad telah menyebabkan murid mengalami masalah dalam proses
pembelajaran bahasa kedua (Lee dan Faridah, 2022).

PK6: Tiada. (TB/PK6/BC/S5/120922)
PK9: No.. no.. ada dua itu kamus lah. (TB/PK9/BC/S5/120922)

PERBINCANGAN
Tahap Penguasaan Kemahiran Membaca Murid Bukan Penutur Natif
Berdasarkan dapatan kajian, 33.3% murid bukan penutur natif masih belum
menguasai kemahiran membaca dalam Bahasa Melayu. Hal ini kerana masih terdapat
kesalahan dalam sebutan, tidak lancar membaca dan tidak memahami teks yang
dibaca. Kesalahan sebutan yang banyak dikenal pasti adalah bagi konsonan ‘m’, ‘n’
dan ‘t’. Contoh kesalahan sebutan ialah [tem.pan] dan sebutan yang betul ialah
[tem.pat] serta [bi.baŋ] dan sebutan yang betul ialah [bim.baŋ]. Chew (2016) menerusi
kajiannya menyatakan murid bukan Melayu memiliki kesukaran dalam menyebut
fonem ‘m’, ‘n’, ‘l’, ‘d’ serta ‘t’ dengan bunyi yang lancar. Perkara ini berlaku kerana
mereka dipengaruhi oleh bahasa ibunda yang digunakan dalam komunikasi seharian.
Secara keseluruhannya, murid bukan penutur natif Tahun 3 masih belum menguasai
kemahiran membaca dalam Bahasa Melayu sepenuhnya. Masih lagi terdapat masalah
dari segi sebutan, kelancaran serta pemahaman membaca berdasarkan dapatan
kajian pengkaji. Masalah penguasaan kemahiran membaca yang dihadapi oleh murid
bukan penutur natif termasuklah mengenal huruf, membatangkan suku kata serta
kesukaran dalam menyebut sesebuah perkataan (Nor Qadariah dan Wan Muna,
2020).

11

Faktor yang Mempengaruhi Tahap Penguasaan Kemahiran Membaca Murid
Bukan Penutur Natif
Menerusi kajian, beberapa faktor dikenal pasti telah mempengaruhi tahap
penguasaan kemahiran membaca murid bukan penutur natif. Antaranya ialah
persekitaran di sekolah iaitu cara guru mengajar, bahasa komunikasi seharian serta
taraf sosioekonomi keluarga. Zakaria et al., (2012) menyatakan persekitaran sekolah
serta guru memainkan peranan penting dalam memperkembangkan potensi individu
secara menyeluruh. Cara guru mengajar memberi impak kepada minat murid untuk
lebih menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Jika mereka meminati cara
guru mengajar, maka mereka akan lebih fokus, memberi respons serta bersoal jawab
semasa guru mengajar. Jika tidak meminati cara guru mengajar, maka murid akan
lebih sukar mempelajari Bahasa Melayu kerana mereka tidak memahami Bahasa
Melayu sepenuhnya. Pendapat ini turut disokong oleh Norlela Ahmad et al. (2021)
yang menyatakan kebanyakan murid bukan penutur natif merasakan Bahasa Melayu
sebagai sebuah mata pelajaran yang sukar untuk dipelajari. Seterusnya ialah bahasa
komunikasi seharian yang digunakan oleh murid bukan penutur natif. Segelintir murid
bukan penutur natif tidak menggunakan bahasa ibunda dalam pertuturan seharian.
Bahasa Melayu digunakan untuk bertutur sejak dari kecil memudahkan mereka
menguasai kemahiran membaca dalam Bahasa Melayu. Namun, terdapat juga murid
penutur natif yang menggunakan bahasa ibunda sepenuhnya dalam komunikasi
seharian. Dalam konteks ini, persekitaran bahasa seseorang kanak-kanak masih
didominasi oleh bahasa ibunda mereka (Zamri Mahmood et al., 2016). Maka, mereka
lebih menguasai bahasa ibunda berbanding Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.
Faktor ketiga ialah taraf sosioekonomi keluarga. Hasnalee Tubah dan Zulkifli Hamid
(2011) menyatakan faktor sosioekonomi memberi pengaruh kepada perkembangan
pendidikan murid. Murid penutur natif yang berasal dari keluarga yang memiliki taraf
sosioekonomi yang tinggi akan lebih mudah menguasai kemahiran membaca dalam
Bahasa Melayu kerana mereka disediakan bahan bacaan tambahan untuk
mempelajari Bahasa Melayu. Sebaliknya, murid bukan penutur natif yang berasal dari
keluarga yang memiliki taraf sosioekonomi yang rendah pula tidak disediakan bahan
bacaan tambahan dalam Bahasa Melayu. Ganesan (2013) yang menyatakan faktor
sosioekonomi keluarga yang rendah menyebabkan sebahagian ibu bapa tidak dapat
menyediakan kemudahan pembelajaran untuk anak-anak mereka.

12

CADANGAN
Beberapa cadangan turut dikemukakan untuk membantu meningkatkan tahap
penguasaan kemahiran membaca murid bukan penutur natif dalam Bahasa Melayu.
Cadangan pertama ialah murid bukan penutur natif mempraktikkan komunikasi dalam
Bahasa Melayu secara tidak formal di sekolah. Mereka digalakkan untuk
berkomunikasi dengan guru, rakan-rakan serta pekerja di sekolah dalam Bahasa
Melayu untuk memupuk kebiasaan bertutur dalam Bahasa Melayu. Selain itu, guru
melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang seronok dan menarik
minat murid. Teknik didik hibur merupakan antara cara paling efisien dalam menarik
minat murid untuk belajar. Teknik didik hibur ini akan menjadikan pembelajaran lebih
interaktif serta berpusatkan murid (Abdul Rasid Jamian dan Hasmah Ismail, 2013). Ciri
didik hibur yang berasaskan unsur humor akan menjadikan PdP lebih menyeronokkan
dan menarik. Seterusnya, guru mengadakan ujian membaca untuk murid bukan
penutur natif bagi memastikan mereka memahami bahan-bahan yang dibaca. Guru
mengajukan beberapa soalan berkaitan teks yang dibaca untuk melihat sejauh mana
murid bukan penutur natif menguasai serta memahami teks. Akhir sekali, ibu bapa dan
pihak sekolah bekerjasama dalam meningkatkan penguasaan kemahiran membaca
murid bukan penutur natif dalam Bahasa Melayu. Sekolah perlulah memperkasakan
semula Program NILAM dengan membenarkan murid-murid meminjam buku di
perpustakaan seterusnya dibawa balik ke rumah sebagai bahan bacaan tambahan. Di
rumah, ibu bapa memantau perkembangan kemahiran membaca anak-anak mereka
dengan merekod hasil bacaan dari segi sinopsis, watak, pengajaran serta nilai ke
dalam buku NILAM. Perkara ini membantu murid bukan penutur natif menghayati serta
memahami bahan bacaan yang dibaca. Program NILAM ini selaras dengan dasar
kerajaan untuk memupuk dan membina tabiat membaca yang berterusan dalam
kalangan masyarakat (Wan Zah Wan Ali et al., 2005).

IMPLIKASI
Kajian ini turut memberikan implikasi kepada pihak sekolah, guru, ibu bapa serta
murid. Pihak sekolah perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan bahan
bacaan terbaik buat semua murid terutamanya murid bukan penutur natif. Bahan
bacaan mestilah terkini dan sesuai untuk semua peringkat umur murid. Perpustakaan
juga haruslah dalam keadaan teratur, kemas dan kondusif sebagai tempat membaca
utama murid di sekolah. Selain itu, guru juga perlu merekod tahap penguasaan
kemahiran membaca dalam Bahasa Melayu dalam dokumen Pentaksiran Bilik Darjah
(PBD) agar dapat melihat perkembangan murid dalam kemahiran membaca. Jika
murid belum mencapai tahap penguasaan yang memuaskan, guru perlu membantu

13

mereka dengan menyediakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang sesuai seperti kad
bergambar, bahan bacaan suku kata berwarna serta buku cerita kanak-kanak yang
menarik. Penggunaan BBM berupaya menarik tumpuan dan meningkatkan kecekapan
belajar (Jasmi et al., 2011; Illias et al., 2013). Seterusnya, ibu bapa juga perlu peka
terhadap penguasaan kemahiran membaca anak-anak. Ibu bapa yang prihatin akan
menyediakan buku cerita serta bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak di rumah.
Ibu bapa perlu menetapkan waktu untuk anak-anak membaca dan dipantau bagi
melihat penguasaan kemahiran membaca anak-anak mereka. Kajian ini turut memberi
implikasi terhadap murid. Murid perlu tahu tahap penguasaan mereka dalam
kemahiran membaca Bahasa Melayu. Murid mesti sentiasa bermotivasi untuk maju ke
hadapan terutamanya dalam menguasai kemahiran berbahasa Melayu dengan
sokongan ibu bapa, guru serta rakan-rakan. Hal ini kerana penguasaan Bahasa
Melayu amat penting untuk dipraktikkan dalam komunikasi seharian terutamanya
dengan masyarakat sekeliling.

KESIMPULAN
Tahap penguasaan kemahiran membaca dalam Bahasa Melayu murid bukan penutur
natif dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Jika persekitaran memberi rangsangan
yang positif, murid bukan penutur natif akan dapat menguasai kemahiran membaca
dengan baik. Sebaliknya, faktor persekitaran yang lebih cenderung kepada bahasa
ibunda akan memberi impak dari segi penguasaan kemahiran membaca dalam
Bahasa Melayu. Menerusi dapatan kajian, faktor yang mempengaruhi tahap
penguasaan kemahiran membaca dalam Bahasa Melayu bagi murid bukan penutur
natif ialah persekitaran sekolah iaitu cara pengajaran guru, bahasa komunikasi dalam
seharian serta taraf sosioekonomi keluarga. Oleh itu, persekitaran murid bukan
penutur natif perlu membantu mereka dalam menguasai kemahiran membaca dalam
Bahasa Melayu. Pada masa yang sama, guru perlu mempelbagaikan strategi
pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat murid bukan penutur natif dalam
mempelajari Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.

14

RUJUKAN
Abdul Rasid Jamian. (2011). Permasalahan Kemahiran Membaca dan Menulis

Bahasa Melayu Murid-Murid Sekolah Rendah di Luar Bandar. Jurnal Pendidikan
Bahasa Melayu, 1-2.

Abdul Rasid Jamian dan Hasmah Ismail. (2013). Pelaksanaan Pembelajaran
Menyeronokkan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal
Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM, 3(2), 49-63.

Adenan Ayob. (2011). Kesan Penggunaan Perisian Pemprosesan Kata Terhadap
.........Pencapaian Murid dalam Penulisan Karangan. Jurnal Bahasa, Pendidikan dan
.........Sastera Melayu, 2(1),1 -20.

Angela, P., & Zamri Mahmod. (2019). Penggunaan cerita kartun untuk meningkatkan
.........pencapaian kemahiran menulis jenis cerita murid Kenyah. Proceeding
.........Internasional .Conference on Education, Language and Psychology (ICELP
.........2019): 167-178. Kelantan: Global Academic Excellence (M) Sdn Bhd.

Asyikin Asmin. (11 April 2022). Sabah antara negeri tertinggi murid gagal.kuasai 3M.
.........Sinar Harian. sinarharian.com.my

Chew, F. P. (2016). Masalah Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid
.........Cina Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM, 6(2), 10-22.

Creswell, J. W. (2007). Educational Research: Planning, Conducting and Evaluating
.........Quantitative and Qualitative Research 2nd Edition. Person Education.

Ganesan. (2013). Pengaruh keluarga terhadap pencapaian akademik murid India di
.........Sekolah Menengah Rendah. [PhD tesis, University of Malaya].

Hasnalee Tubah dan Zulkifli Hamid. (2011). Pengaruh demografi terhadap kemahiran
.........membaca dan memahami dalam kalangan murid-murid LINUS. Jurnal Melayu,
.........6, 29-47.

Ilias, Ismail dan Jasmi. (2013). Faktor dorongan dan halangan penggunaan bahan
.........bantu mengajar oleh guru Pendidikan Islam di sekolah bestari. Kertas Kerja 3rd
.........International Conference on Islamic Education, EPF Institute, Kajang, Selangor.

Indam, M. (2015). Peranan Sekolah Mempengaruhi Kemahiran Membaca Murid-Murid
.........Iban Tahap 1 di Sekolah Pedalaman Daerah Kapit, Sarawak. Universiti
.........Pendidikan Sultan Idris.

Jasmi, Ilias, Tamuri dan Mohd Hamzah. (2011). Amalan penggunaan bahan bantu
.........mengajar dalam kalangan guru cemerlang Pendidikan Islam sekolah menengah
.........di Malaysia. Journal of Islamic and Arabic Education, 3(1), 59-74.

Lee, N. T., & Faridah Mydin Kutty. (2022). Meningkatkan Kemahiran Membaca dan
.........Motivasi Murid Bukan Penutur Natif dalam Bahasa Melayu Melalui Kaedah
.........Ekspres-I. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 7(5).

Mohamad Hafiz Mohamad Tarmizi. (2016). Tahap Kefahaman Membaca antara Murid
.........Pasca.LINUS dan Murid Arus Perdana. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

15

Nora’azian Nahar & Fadzilah Abd Rahman. (2018). The level of Malay language
........proficiency of non-native students and its relationship with a second language
........learning motivation. International Journal of Education and Training, 4(1), 1-8.
Norlela Ahmad, Shamsudin Othman, Azhar Md Sabil, Marzni Mohamed Mokhtar,
........Mohd Azuan Mohd Nawawi & Zullaili Hason. (2021). Pengaruh didik hibur dalam
........meningkatkan kesediaan belajar kemahiran membaca bahasa Melayu murid
........belum menguasai pencapaian minimum. Asian Journal of Civilizational Studies
........(AJOCS), 3(1), 45-57.
Nor Qadariah dan Wan Muna. (2020). Keberkesanan VAKT dalam meningkatkan
........penguasaan membaca perkataan digraf dan konsonan bergabung bahasa
........Melayu murid Melanau di kelas pemulihan khas. Jurnal Dunia Pendidikan, 2(2),
........24-31.
Wan Zah Wan Ali, Fatimah Hashim, Ismail Sheikh Ahmad, Tamby Subahan Mohd.
........Meerah, Sali Zaliha Mustapha, Fattawi Mokhtar dan Mohd Sohaimi Hashim.
........(2005). Kesan Program NILAM Terhadap Tabiat Membaca Menurut Pandangan
........Murid dan Guru. Jurnal Pendidikan, 39-55.
Yahya Othman. (2005). Trend dalam pengajaran Bahasa Melayu. PTS Publications &
........Distributors Sdn Bhd.
Zamri Mahmood, Kamiliah Ayu dan Wan Muna Ruzanna. (2016) Penggunaan Strategi
........Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Cina berdasarkan Sikap
........dan Kemahiran Bahasa. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 6(1), 38-51.

16


Click to View FlipBook Version