The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

NILAI JUANG WANITA DALAM PROSA MELAYU KLASIK DAN PENGAJARANNYA
YANG MAMPU MEMBENTUK MODAL INSAN

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Muhamad Khusairy, 2021-05-18 09:27:09

NILAI JUANG WANITA DALAM PROSA MELAYU KLASIK DAN PENGAJARANNYA YANG MAMPU MEMBENTUK MODAL INSAN

NILAI JUANG WANITA DALAM PROSA MELAYU KLASIK DAN PENGAJARANNYA
YANG MAMPU MEMBENTUK MODAL INSAN

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
35900 TANJONG MALIM, PERAK.

BSS3073
KESUSASTERAAN MELAYU DALAM
PEMBANGUNAN MODAL INSAN

TUGASAN KUMPULAN

NILAI JUANG WANITA DALAM PROSA
MELAYU KLASIK DAN PENGAJARANNYA
YANG MAMPU MEMBENTUK MODAL INSAN

NAMA PELAJAR NO. MATRIK

MOHAMAD ALIF IKHWAN BIN CHE SANUSI D20181082350

NAZATUL NAZURA BINTI HAIRUDDIN D20181082351

MUHAMAD KHUSAIRY BIN KASSIM D20181082356

NAZATUL AZWA BINTI MOHAMAD NIZAM D20181082357

KUMPULAN KULIAH B

KOD PROGRAM AT01

NAMA PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN
SEMESTER KESUSASTERAAN MELAYU
6

NAMA PENSYARAH DR. ROHAYATI BINTI JUNAIDI

1.0 Pengenalan

Karya kesusasteraan merupakan karya yang indah dan berfaedah. Karya-karya ini dibentuk
melalui jalinan dan siratan bahasa (Muhd Norizam Jamian & Shaiful Bahri Md Radzi, 2015)
Kesusasteraan Melayu juga mendidik dan mengasuh hati nurani pembaca dengan nilai-nilai
murni sehingga jiwa mereka turut menjadi halus dan lembut. Prosa Melayu klasik merupakan
satu daripada genre dalam Kesusasteraan Melayu dan bersifat kolektif. Secara umumnya, dalam
sastera Melayu tradisional, kolektif bermaksud sesebuah karya yang dihasilkan itu adalah milik
bersama iaitu sesebuah karya yang lahir bukan sahaja menjadi milik pengarang tetapi adalah
turut menjadi milik masyarakat (Norazimah Zakaria, 2014). Kamus Dewan Edisi Keempat
(2007) secara amnya mendefinisikan nilai sebagai harga atau kadar sesuatu barang. Dalam
konteks pemikiran, agama dan kemasyarakatan, istilah nilai dilihat sebagai satu sifat ketinggian.

Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011) menyatakan bahawa nilai membolehkan manusia
membezakan antara yang baik dengan yang buruk dan antara betul atau salah. Nilai ini
menjadikan manusia seorang yang bertimbang rasa dalam menentukan atau membuat sesuatu
keputusan. Oleh hal yang demikian nilai ini penting diterapkan dalam diri pelajar sejak dari
bangku sekolah supaya dapat melahirkan modal insan yang berkualiti pada masa hadapan.
Menurut Shukri (2002) menyatakan bahawa nilai merupakan konsep, dalaman ataupun luaran
yang bertujuan untuk membezakan seseorang individu, perwatakan, ciri-ciri sesuatu kumpulan,
ataupun keinginan yang mempengaruhi pemilihan sesuatu cara hidup mereka, matlamat dan
tujuan sesuatu perlakuan itu. Nilai juga dikata sebagai apa sahaja yang dirasai oleh manusia,
kehendak atau hasrat yang ditetapkan oleh pandangan akal dan disimpulkan baik dalam
kehidupan manusia. Misalnya nilai-nilai baik adalah amanah, dan jujur manakala nilai buruk
seperti berdusta, dan menipu. Manakala Amini Amir (2007) memberi takrifan nilai ialah
sesuatu yang mempunyai harga, kepentingan atau keburukan.

Nilai kebiasaannya diletakkan ukuran sama ada positif, negatif ataupun neutral. Makna
nilai juga ialah pengukuran sesuatu yang dihajati dan dihargai. Kebiasaannya merangkumi
aspek taraf, darjat, kualiti dan mutu. Nilai Islam misalnya berasaskan kepada prinsip ajaran
kebaikan Islam yang mengandungi nilai-nilai murni, positif dan akhlak. Istilah ‘modal insan’
atau Human Capital dikaitkan dengan kebolehan dan kemahiran manusia. Modal insan
melahirkan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang

tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat,
bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing.

Berdasarkan konteks penulisan ilmiah ini, nilai merujuk kepada nilai juang wanita dalam
pelbagai sektor kehidupan termasuklah pemerintahan, kekeluargaan, ekonomi dan sosial.
Penulisan ilmiah ini menganalisis nilai juang wanita yang terdapat dalam beberapa prosa Melayu
klasik seperti naskah Sulalatus Salatin (2018), naskah Hikayat Abdullah (1849) dan manuskrip
Sejarah Negeri Kelantan (1891). Pemupukan nilai juang yang terdapat dalam sesebuah prosa
Melayu klasik menjadi pandangan semesta atau world view masyarakat yang membinanya
berteraskan ada, budaya dan pemerintahan sesebuah kerajaan. Tidak dinafikan bahawa prosa
Melayu klasik banyak memfokuskan kepada peranan golongan lelaki dalam sesebuah sistem
pemerintahan termasukah institusi kekeluargaan. Namun begitu, peranan wanita dalam prosa
klasik Melayu juga turut dipaparkan mencakupi nilai juang wanita itu sendiri. Menurut Nor Azlia
(2009), menyatakan bahawa peranan wanita sangat penting dalam memperjuangkan hak diri
mereka sendiri supaya tidak ditindas oleh kaum lelaki kerana masyarakat Melayu tradisi lebih
mementingkan hak kaum lelaki sebagai seseorang yang dianggap berkuasa. Oleh itu, prosa
Melayu klasik menjadi satu daripada platform yang signifikan dalam memaparkan nilai juang
wanita bagi memanifestasikan pembangunan modal insan pada masa yang akan datang.

2.0 Objektif Kajian

Objektif kajian merupakan perkara yang penting dalam sesuatu kajian. Hal ini kerana objektif
yang tepat akan menentukan hala tuju sesebuah kajian. Kajian tanpa objektif adalah kajian yang
tidak terarah disebabkan ketiadaan matlamat serta tujuan sesuatu kajian itu dijalankan. Kajian ini
telah mengenal pasti dua objektif yang akan ditetapkan dalam melaksanakan kajian ini. Antara
objektif kajian ialah untuk;

i. Menganalisis aspek nilai juang wanita dalam prosa Melayu klasik yang terdiri daripada
naskah Sulalatus Salatin (2018), naskah Hikayat Abdullah (1849) dan manuskrip Sejarah
Negeri Kelantan (1891)

ii. Membincangkan pengajaran daripada nilai juang wanita dalam prosa Melayu klasik yang
mampu membentuk modal insan

3.0 Analisis Nilai Juang Wanita Dalam Prosa Melayu Klasik dan Pengajarannya Yang
Mampu Membentuk Modal Insan

3.1 Nilai Juang Wanita Dalam Kepimpinan

Prosa Melayu klasik banyak mengutarakan isu berkaitan kepimpinan pemerintah
dalam sesebuah negara. Terdapat watak wanita yang pernah memegang tampuk
kepimpinan sesebuah negara pada era tersebut. Perbincangan akan memfokuskan
kepada nilai juang wanita dalam memimpin negara. Menurut Nik Safiah (dalam
Rozita Ibrahim, Muhammad Rahimi Hasan & Bahiyah Abdul Hamid, 2018)
menyatakan bahawa “...[P]emimpin tidak lahir dengan bakat dan keupayaan untuk
memimpin. Pemimpin perlu dibentuk, dipupuk dan dilengkapkan dengan kemahiran-
kemahiran tertentu...”. Kepimpinan ialah satu percubaan untuk pengaruh-
mempengaruhi antara peribadi, yang diarahkan melalui proses komunikasi,
menuju pencapaian satu matlamat atau beberapa matlamat.

Merujuk kepada konteks prosa Melayu klasik, Noriah Taslim (2008) meletakkan
raja sebagai kuasa tertinggi dalam tampuk pemerintahan. Menurut beliau, raja-raja
Melayu terjelma melalui konsep mitos yang menjelmakan mereka sebagai
individu yang supra-manusia, iaitu mempunyai keupayaan luar biasa yang
dahsyat, mengagumkan dan menggerunkan. Kehadiran raja juga bukan sahaja mampu
mentransformasikan alam malah menjadikan lebih gemilang dan mewah. Secara
keseluruhannya, unsur mitos inilah yang menonjolkan peribadi raja bukan sahaja
perkasa dan berdaulat malah kebal. Namun dalam konteks penulisan ilmiah ini
memfokuskan kepada ratu wanita yang berjuang memimpin sesebuah kerajaan
Melayu suatu ketika dahulu. Menurut Wazir (dalam Rozita Ibrahim et al., 2018)
menyatakan bahawa perkembangan kepimpinan wanita Melayu di Semenanjung
Malaysia didorong oleh (1) faktor struktural dan (2) faktor pemasyarakatan dan
pendidikan.

Kepemimpinan wanita berkaitan dengan istilah feminisme. Menurut Siti Khariah
Mohd Zubir & Kamarulzaman Ibrahim (2012) menyatakan bahawa feminisme
sebagai isu dan kedudukan politik, femaleness (wanita) yang merujuk aspek fizikal

atau biologi yang diingini oleh kebudayaan. Namun begitu, feminisme ternyata
sudah wujud sejak zaman Melayu klasik. Hal ini dibuktikan dengan kewujudan
naskah Sulalatus Salatin yang memaparkan watak Wan Seri Beni yang memimpin
kerajaan Bintan dan manuskrip Sejarah Negeri Kelantan yang memperlihatkan
watak Cik Wan Kembang dalam pemerintahan kerajaan Negeri Kelantan.

Berdasarkan naskah Sulalatus Salatin, terdapat kisah berkaitan Wan Seri Beni
yang merupakan raja dan pengasas kerajaan Bintan. Naskah Sulalatus Salatin
memulakan pengkisahan kerajaan Bintan yang sudah mempunyai pemerintahan
kerajaan yang dipimpin oleh seorang wanita iaitu Wan Seri Bini yang
merupakan ‘ratu pertama’ memegang tampuk pemerintahan dalam kerajaan Melayu.
Raja Ishar Syah dan isterinya Iskandar Syah berkahwin dan mempunyai seorang yang
yang bernama Wan Seri Beni. Namun malangnya, Raja Ishar Syah dan isterinya
Iskandar Syah telah hilang dan tidak dijumpai oleh pembesar dan rakyatnya. Oleh itu,
Wan Seri Beni yang merupakan waris Raja Ishar Syah telah ditabal sebagai Raja
Bintan dalam pemerintahan kerajaan menggantikan ayahandanya. Hal ini dapat
dilihat menerusi contoh petikan dibawah.

“Sebermula maka tersebutlah perkataan Raja Bintan, pada
zaman dahulu baginda itu raja besar di bawah angin: raja itulah
yang empunya nobat yang ada sekarang ini. Kata yang empunya
cerita, raja itu bernama Raja Ishar Syah dan nama isterinya
Iskandar Syah. Ada baginda beranak seorang perempuan bernama
Wan Seri Beni. Maka baginda kedua laki isteri sudah hilang,
anakanda baginda Wan Seri Benilah kerajaan di negeri Bintan
menggantikan kerajaan ayahanda bonda baginda, …”

(Sulalatus Salatin, 2018)

Setelah ditabal sebagai Raja Bintan, Wan Seri Beni sentiasa memastikan
segala urusan kerajaan termasuklah urusan pemerintahan, ekonomi dan adat
istiadat kerajaan terus dipelihara dan dimartabatkan. Baginda juga
memperjuangkan sektor pemerintahan khususnya dalam aspek adat istiadat
kerajaan dengan memperkenal dan melaksanakan amalan nobat dalam
pemerintahan kerajaannya. Hal ini memaparkan semangat juang wanita yang

tinggi dalam watak Wan Seri Beni demi memastikan kelangsungan kerajaan
sentiasa terpelihara.

Menurut Mohd Zahirwan Halim Zainal Abidin & Norhayati Hamzah
(2018) menyatakan bahawa naskah manuskrip Sejarah Negeri Kelantan
memaparkan watak Cik Wan Kembang Binti Raja Ahmad yang merupakan
raja dan pengasas kerajaan Negeri Kelantan sebagai watak yang mempunyai
nilai juang wanita. Pada tahun 1024 Hijrah atau 1615 Masihi, Cik Wan
Kembang telah ditabalkan sebagai pemerintah Negeri Kelantan dengan
persetujuan para pembesar negeri dan rakyat jelata yang memegang amanah
Sultan Hussin. Hal ini dapat dilihat menerusi contoh petikan di bawah.

"… maka duduk empat ratus hari lamanya iaitulah pada tahun
hijrah 1024 baharulah dilantik Cik Wan Kembang menjadikan
Raja menggantikan almarhum Sultan Hussin dan sudah mendapat
pertujuan di kalangan orang-orang ramai dan tertentu daripada
orang-orang besarnya di dalam negeri tu yang boleh menanggung
akan wasiatnya almarhum baginda itu …"

(Manuskrip Sejarah Negeri Kelantan, dlm Mohd Zahirwan
Halim Zainal Abidin & Norhayati Hamzah, 2018)

Cik Wan Kembang telah bersemayam di Gunung Cinta Wangsa di Ulu Kelantan.
Baginda telah menjalankan pemerintahannya dengan adil sehingga tidak berlaku
permusuhan sama ada di dalam negeri mahupun dengan negeri luar. Baginda tidak
berkahwin dan telah menukarkan nama tempat persemayamannya daripada Gunung
Dun Besar kepada Gunung Cinta Wangsa setelah dicadangkan oleh seorang
pembesarnya. Dari segi ekonomi, penduduk Negeri Kelantan semasa pemerintahan
Cik Wan Kembang menjalankan kegiatan pertanian seperti menanam padi. Selain
pertanian, Cik Wan Kembang telah memberi galakan dalam bidang penternakan
seperti memelihara lembu dan kambing yang dijalankan di setiap tempat di Negeri
Kelantan sehingga sektor penternakan di Negeri Kelantan semasa pemerintahannya
telah masyhur ke merata tempat. Di samping itu, kegiatan perdagangan telah
berkembang dengan pesat sehingga dapat menarik pedagang luar untuk datang
berdagang ke Negeri Kelantan kerana mereka mendapat keuntungan yang besar
berniaga di Negeri Kelantan.

"… selepas Cik Wan Kembang tukarkan namanya itu dan
bertambah-tambah masyhurlah dan makmur maka sebab itulah
ramai orang-orang dagangnya dari luar negeri terutama masuk
berniaga di dalam negeri ini … Cik Wan Kembang pun
memerintahnya kepada orang-orang besar di dalam negeri
Kelantan itu menyuruh mereka pergi tiap-tiap buah kampung dan
tiap-tiap buah dusun menyuruh rakyat jelata memeliharakan
binatang-binatang tiap-tiap orang seperti kerbau, lembu, kambing
biri-biri, ayam dan itik kerana pada masa sekarang ini negeri kita
sudah masyhur dengan ternakan binatang dan pihak orang luar pun
suka juga berniaga kerana mudahnya dapat untung berkali ganda
…"

(Manuskrip Sejarah Negeri Kelantan, dlm Mohd Zahirwan
Halim Zainal Abidin & Norhayati Hamzah, 2018)

Hal ini membuktikan bahawa semasa zaman pemerintahan Cik Wan Kembang di

Negeri Kelantan, perkembangan yang pesat berlaku dari sudut ekonomi iaitu

pertanian, penternakan dan perdagangan yang telah memasyhurkan lagi nama Negeri

Kelantan. Baginda telah memerintah Negeri Kelantan dengan aman, adil dan

saksama. Pengajaran yang diperoleh daripada nilai juang wanita dalam

kepemimpinan yang terserlah dalam diri Wan Seri Beni dan Cik Wan Kembang ialah

kita hendaklah sentiasa berani dan bertanggungjawab menggalas amanah yang diberi

dalam semua konteks kehidupan. Pihak institusi pendidikan adalah sebagai agen

pelaksana visi dan misi pendidikan di Malaysia dan seharusnya memberi penekanan

dalam aspek pembangunan modal insan dan aspek-aspek yang turut membantu seperti

persekitaran, budaya sekolah dan tenaga pengajar (Aziah, Yaakob dan Yahya, 2006)

Aspek kepimpinan menggariskan beberapa tonggak utama dalam membentuk modal

insan iaitu bertenaga, berkeyakinan diri, intelek, mempunyai kemahiran lisan,

mempunyai kekuatan berfikir yang tinggi dan berupaya membuat penentuan dan

ketentuan. Pemimpin yang berkarisma juga berupaya untuk menginspirasikan para

pengikutnya bukan sahaja menjadi model teladan untuk dicontohi tetapi juga

berupaya melahirkan modal insan yang cemerlang dan unggul dalam pelbagai bidang.

3.2 Nilai Juang Wanita Dalam Mempertahankan Hak Dan Martabat

Nilai juang dalam prosa Melayu klasik memfokuskan kepada peranan lelaki dalam
sesebuah sistem pemerintahan termasuklah institusi kekeluargaan. Walau
bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa dalam prosa Melayu klasik juga turut
memaparkan nilai juang yang ditonjolkan menerusi watak golongan wanita. Pada
bahagian ini, pengkaji akan menghuraikan nilai juang wanita dalam aspek
mempertahankan hak dan martabat.

Menurut Nor Azlia (2009), menyatakan bahawa peranan wanita sangat penting
dalam memperjuangkan hak diri mereka sendiri supaya tidak ditindas oleh golongan
lelaki kerana masyarakat Melayu tradisi lebih mementingkan hak golongan lelaki
sebagai seseorang yang dianggap berkuasa. Menurut Arbaeyah Yahya (1993),
menyatakan bahawa di Malaysia sumbangan wanita terhadap negara mencakupi
bidang politik, perniagaan, perdagangan, pertanian, pendidikan, perindustrian dan
juga pentadbiran. Prosa Melayu klasik menjadi platform yang signifikan dalam
memaparkan nilai juang wanita bagi memanifestasikan pembangunan modal insan
pada masa yang akan datang.

Berdasarkan naskah Sulalatus Salatin, terdapat dua peristiwa yang memaparkan
nilai juang wanita dalam mempertahankan hak dan martabat. Peristiwa tersebut
dipaparkan menerusi watak Tun Fatimah yang merupakan isteri kepada Sultan
Mahmud Syah. Tun Fatimah merupakan seorang wanita yang berusaha mewujudkan
kesamarataan taraf antara wanita dan lelaki. Tun Fatimah sangat disayangi oleh
Sultan Mahmud Syah sehingga segala kemewahan Baginda diberikan kepada Tun
Fatimah. Tun Fatimah juga ditabalkan sebagai Raja Perempuan Melaka. Namun
begitu, Tun Fatimah sentiasa berduka cita kerana mengenangkan ahli keluarganya
yang telah dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Syah.

Oleh hal yang demikian, menerusi peristiwa ini, menggambarkan bahawa Tun
Fatimah berusaha untuk memperjuangan hak dan martabatnya sebagai seorang wanita
dan memperjuangkan hak serta kesamarataan taraf wanita yang dizalimi oleh
golongan lelaki. Walaupun watak Tun Fatimah dipaparkan sebagai watak yang tidak

melawan, namun menerusi penggunaan bahasa dalam prosa Melayu klasik ini
menonjolkan bahawa watak Tun Fatimah berusaha untuk memperjuangkan hak dan
martabat wanita. Hal ini dapat dilihat menerusi contoh petikan di bawah.

"…adapun akan Tun Fatimah, terlalu sangat percintaannya akan
ayahnya, Bendahara Seri Maharaja; selama ia duduk dengan Sultan
Mahmud Syah itu, jangankan ia tertawa, tersenyum pun ia tiada
pernah. Maka Sultan Mahmud Syah pun turut masyghul, seperti
kata bait: "Syarat mahbubista kah hujad dunista dusta dada daunina
dusta;" yakni: syarat orang yang kasih itu, bahawa barang yang
dikasihi oleh kekasihnya itu ia pun kasih hendaknya; demikian lagi
barang yang dikebencinya pun. Maka Sultan Mahmud terlalu
sangat menyesal diri baginda, oleh membunuh Bendahara Seri
Maharaja itu…"

(Sulalatus Salatin, 2018)

Menurut Muklas Asy-Sharkoni (1999), menyatakan bahawa dalam Islam, tiada
unsur penindasan terhadap hak dan martabat wanita. Setiap individu mempunyai hak
ke atas diri masing-masing bahkan setiap keputusan boleh ditentukan oleh individu
tersebut tanpa diskriminasi ke atas jantina. Pengajaran yang dapat diperoleh daripada
watak Tun Fatimah ialah seseorang wanita berhak untuk bersuara dan membuat
keputusan tanpa ada diskriminasi daripada mana-mana aspek seperti jantina. Dalam
konteks masa kini, wanita dan lelaki tidak mempunyai jurang perbezaan yang ketara
seperti di zaman Melayu silam kerana setiap wanita mula menyedari bahawa mereka
juga mempunyai hak untuk bekerja, bersuara dan membuat keputusan. Hal ini
menunjukkan bahawa nilai juang wanita yang dipaparkan dalam prosa Melayu klasik

memberikan kesan yang positif terhadap pembangunan modal insan di mana
masyarakat hendaklah lebih bersifat terbuka dan tidak menindas golongan wanita
serta mengelakkan wujudnya ruang diskriminasi dalam masyarakat sama ada lelaki
atau wanita.

Selain itu, peristiwa yang turut memaparkan nilai juang wanita dalam
mempertahankan hak dan martabat dipaparkan menerusi watak Puteri Gunung
Ledang. Puteri Gunung Ledang merupakan watak wanita yang berani
memperjuangkan hak dan martabat diri daripada dimanipulasi oleh golongan lelaki.
Puteri Gunung Ledang juga dikenali sebagai seorang puteri yang sangat cantik

sehingga Sultan Mahmud Syah yang telah kematian isteri juga berniat untuk
menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai isterinya. Walau bagaimanapun, Puteri
Gunung Ledang bijak dalam mematahkan niat Sultan Mahmud Syah dengan
menetapkan beberapa syarat atau permintaan yang tidak mungkin dapat dipenuhi oleh
Sultan Mahmud Syah. Terdapat tujuh permintaan Puteri Gunung Ledang iaitu
jambatan emas dan jambatan perak merentas Melaka dan Gunung Ledang, tujuh
dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, air mata setempayan, air pinang muda
setempayan dan darah Raja Ahmad semangkuk. Hampir kesemua permintaan Puteri
Gunung Ledang dipenuhi oleh Sultan Mahmud Syah kecuali semangkuk darah Raja
Ahmad yang merupakan anak kandung kepada Sultan Mahmud Syah. Akhirnya,
Puteri Gunung Ledang berjaya mematahkan niat Sultan Mahmud Syah untuk
melamarnya sebagai isteri. Hal ini dapat dilihat menerusi contoh petikan di bawah.

"…Jikalau raja Melaka hendakkan aku, perbuatkanlah aku
jambatan emas satu dan jambatan perak satu, dari Melaka datang
ke Gunung Ledang itu. Akan peminangnya hati nyamuk tujuh
dulang; hati kuman tujuh dulang; air mata setempayan; air pinang
muda setempayan; darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu
semangkuk. Jikalau ada demikian kabullah tuan puteri akan
kehendak raja Melaka itu…"

(Sulalatus Salatin, 2018)

Berdasarkan petikan diatas, Puteri Gunung Ledang telah berjaya memperjuangkan
hak dan martabat dirinya agar tidak dilamar oleh Sultan Mahmud Syah. Pengajaran
yang diperoleh daripada peristiwa ini ialah setiap wanita hendaklah berusaha untuk
memperjuangkan hak dan martabat diri agar tidak wujud unsur penindasan dan nilai
juang wanita dalam mempertahankan hak dan martabat menggambarkan bahawa
wanita merupakan insan yang juga memerlukan keadilan. Masyarakat Melayu tradisi
menjadikan peranan wanita hanya sebagai individu yang perlu taat kepada ibu bapa,
suami dan hanya bertindak sebagai penyambung zuriat. Namun agak berbeza dalam
konteks zaman kini, wanita diberikan hak yang sama rata dengan hak lelaki. Wanita
perlu berjuang untuk mempertahankan hak mereka supaya dapat bersuara dalam
membuat sesuatu keputusan.

Oleh hal yang demikian, nilai juang wanita yang ditonjolkan dalam prosa Melayu
klasik ini menjadi platform yang kukuh untuk menjadikan wanita pada zaman
sekarang lebih berani memperjuangkan hak dan martabat mereka setaraf dengan hak
dan martabat golongan lelaki. Menurut Asri Selamat (2009), keterangkuman dan
kesamarataan gender di Malaysia telah mula diketengahkan semenjak tahun 90-an.
Oleh hal yang demikian, wanita berhak untuk memperjuangkan hak dan martabat
mereka seperti mana lelaki. Wanita sewajarnya diberikan peluang untuk menegakkan
hak mereka. Pada zaman Melayu silam, wanita sering ditolak dan dipinggirkan dalam
proses menentukan sesuatu keputusan namun kini wanita diberikan peluang sama
seperti kaum lelaki terutama dalam sistem pemerintahan. Norhuriyatina (2006),
menyatakan semenjak tahun 90-an, tidak lagi wujud diskriminasi jantina dalam
sistem pemerintahan, sektor industri atau sektor pendidikan.

Di samping itu, nilai juang wanita dalam mempertahankan hak dan martabat juga
dipaparkan dengan jelas dalam naskah Hikayat Abdullah. Berdasarkan naskah
Hikayat Abdullah, nilai juang wanita ditonjolkan menerusi watak isteri kepada Tuan
Raffles. Beliau merupakan seorang wanita barat yang menjaga akhlak dan perilaku
serta pekertinya. Beliau beranggapan bahawa tanggungjawabnya adalah untuk
memelihara status diri sebagai isteri kepada pegawai Inggeris. Isteri Tuan Raffles
mempertahankan martabat supaya tidak mendatangkan imej yang tidak baik kepada
orang di sekeliling. Isteri Tuan Raffles mempertahankan martabat seorang wanita
yang berstatus dan mempunyai standard yang tinggi.

Berdasarkan peristiwa ini, terdapat perbezaan yang ketara dengan peristiwa dalam
naskah Sulalatus Salatin. Berdasarkan Sulalatus Salatin, nilai juang wanita adalah
bertujuan untuk mempertahankan hak dan martabat mereka daripada terus ditindas
oleh golongan lelaki manakala dalam Hikayat Abdullah pula, nilai juang wanita lebih
menjurus kepada peranan watak wanita dalam mempertahankan martabat mereka
sebagai seorang wanita yang berstatus tinggi. Walaupun kedua-dua naskah ini
memiliki perbezaan yang ketara dalam memaparkan kaedah atau cara nilai juang
kaum wanita ditonjolkan namun kedua-duanya ini mempunyai tujuan yang sama iaitu

membuka mata pembaca untuk memberikan peluang kepada wanita dalam
mempertahankan hak dan martabat mereka.

Pengajaran yang dapat ditelusuri daripada peristiwa dalam naskah Hikayat
Abdullah ialah wanita berhak mempertahankan martabat mereka agar sentiasa
dipandang mulia tanpa mengambil kira status sosial. Menurut Mohd. Affandi (2012),
penampilan watak wanita yang sterotaip bukan lagi pengukur kepada kebebasan
wanita dalam memperjuangkan hak dan martabat mereka. Oleh hal yang demikian,
kewujudan watak sterotaip dalam prosa Melayu klasik menjadi pendorong kepada
wanita dalam membentuk pembangunan modal insan yang mapan. Berdasarkan
Hikayat Abdullah, pembangunan modal insan ditonjolkan menerusi watak isteri
Raffles yang sentiasa menjaga perlakuan supaya masyarakat tidak memandang serong
terhadap suaminya yang merupakan pegawai yang berjawatan dalam sistem
pemerintahan manakala naskah Sulalatus Salatin pula, pembangunan modal insan
ditonjolkan dalam usaha untuk menjadikan wanita sebagai individu yang seharusnya
diberikan peluang yang adil dalam bersuara malahan wanita juga mempunyai hak
dalam menentukan kehidupan mereka seperti yang dipaparkan menerusi watak Puteri
Gunung Ledang.

Menurut Yassin (2014), pembangunan modal insan yang terancang akan
melahirkan tenga kerja yang berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi. Hal ini
berkait rapat dengan watak Puteri Gunung Ledang yang bijak dalam menggunakan
helah untuk menolak peminangan Sultan Mahmud Syah manakala watak isteri Tuan
Raffles juga bijak dalam menilai setiap tingkah laku dirinya supaya sentiasa sopan
dan menjaga tutur kata agar tidak timbul spekulasi yang tidak berasas terhadap
suaminya. Watak Tun Fatimah pula tidak berkaitan dengan kebijaksanaan atau
merangkumi konteks pembangunan modal insan yang tidak terbatas kepada
kebijaksaan dalam disiplin ilmu. Menurut Jarvis & Parker (2005), pembangunan
modal insan juga berkait rapar dengan pengawalan minda, spiritual, sahsiah dan etika.

Bertitik tolak daripada kenyataan tersebut, watak Tun Fatimah memberi tumpuan
kepada aspek keinsanan yang menjurus kepada kawalan terhadap emosi, minda dan
spiritual. Contoh bagi nilai juang yang ditonjolkan oleh isteri Tuan Raffles tidak

dinyatakan secara jelas kerana dalam keseluruhan prosa Melayu klasik ini hanya
digambarkan bahawa isteri Tuan Raffles sebagai wanita yang mempertahankan status
dirinya sebagai wanita yang berbudi pekerti. Jelaslah bahawa setiap peristiwa yang
terdapat dalam prosa Melayu klasik memaparkan nilai juang wanita dalam
mempertahankan hak dan martabat walaupun berbeza konsep dan konteks yang
diguna pakai. Nilai juang wanita yang dipaparkan menjadi pendorong kepada
pembaca dalam membentuk aspek modal insan yang lebih baik sehingga kewujudan
prosa Melayu klasik menjadikan wanita sebagai watak yang penting dapat membuka
minda pembaca agar lebih berani untuk mempertahankan hak dan martabat. Hal ini
bukan sahaja dapat mengelakkan pendiskriminasian gender kepada wanita tetapi juga
dapat membentuk pembangunan modal insan yang lebih baik dalam kehidupan
seseorang wanita.

3.3 Nilai Juang Wanita Dalam Mempertahankan Keturunan

Terdapat beberapa nilai juang yang boleh diperolehi daripada watak wanita dalam
naskah Sulalatus Salatin iaitu melalui watak Tun Fatimah berdasarkan tajuk ‘Sultan
Mahmud Membuang Kerajaan’. Menurut Siti Khariah dan Kamarulzaman (2012)
menyatakan bahawa Tun Fatimah merupakan anak bendahara Seri Maharaja dan
saudara Tun Temenggung. Tun Fatimah ini dikatakan membawa nilai juang dalam
mempertahankan keturunannya apabila Tun Fatimah sanggup untuk mencederakan
dirinya sendiri semata-mata untuk memastikan keturunannya mewarisi takhta dalam
sistem pemerintahan. Berikut merupakan salah satu contoh petikan yang
menggambarkan nilai juang Tun Fatimah dalam usaha untuk mempertahankan
keturunannya.

"Adapun akan Tun Fatimah, disebut orang raja perempuan besar,
tetapi apabila ia hamil dengan Sultan Mahmud Syah dibuangnya.
Maka titah Sultan Mahmud Syah kepada Tun Fatimah,
“mengapakah maka Tuan hamil dibuangkan? Tiada sukakah tuan
beranak dengan beta?”. Maka sahut Tun Fatimah. “Apatah kerja
raja beranak dengan beta lagi, kerana anak raja yang kerajaan telah
ada.” Maka titah Sultan Mahmud, “Jikalau tuan hamil sekali lagi,
jangan dibuangkan, jikalau ia lelaki ialah kita rajakan."

(Sulalatus Salatin, 2018)

Melalui petikan di atas dapat kita lihat bahawa Tun Fatimah sanggup
mencederakan dirinya sendiri dengan cara menggugurkan kandungannya secara
berulang kali supaya Sultan Mahmud Syah mengambil keturunan Tun Fatimah
sebagai sebahagian daripada waris di dalam takhta iaitu sebagai raja. Menerusi
peristiwa ini, perbuatan Tun Fatimah lebih ke arah negatif namun, Tun Fatimah
mempunyai sebabnya yang tertentu. Tun Fatimah ingin menuntut bela di atas
kematian ayahnya kerana telah dibunuh oleh suaminya sendirinya iaitu Sultan
Mahmud Syah. Oleh hal yang demikian, Tun Fatimah sanggup bertaruh nyawa
supaya anak yang dikandung tidak menjadi raja supaya dapat mewarisi takhta.

Pengajaran yang dapat diperoleh daripada peristiwa ini ialah setiap wanita
haruslah berkorban untuk memperolehi sesuatu yang lebih baik pada kemudian hari.
Sebagai contohnya, watak Tun Fatimah di dalam Sulalatus Salatin yang bertindak di
luar kawalan dengan menggugurkan kandungannya berulang kali dapat membuatkan
Sultan Mahmud insaf akan perbuatannya dan berjanji untuk berubah. Bersesuaian
dengan konsep modal insan itu sendiri yang menekankan beberapa perkara. Menurut
Fadillah & Tengku Aini (2008) menyatakan bahawa dalam perspektif Islam, ianya
dilihatkan daripada pelbagai jenis kriteria iaitu antaranya ialah kelebihan ilmu
pengetahuan, berpandangan jauh dan sifat-sifat terpuji. Hal ini boleh dikaitkan
dengan peristiwa Tun Fatimah kerana Tun Fatimah berpandangan jauh dalam
perjuangannya menuntut bela kematian ayahnya dan juga memelihara keturunannya
supaya dapat menaiki takhta kerajaan. Namun perjuangan yang dilakukan oleh Tun
Fatimah itu hanya berlaku pada zaman Kesultanan Melayu di mana ilmu pengetahuan
mengenai hukum-hakam masih terhad.

Pada zaman kini, terdapat pelbagai cara untuk kita berjuang mendapatkan hak,
antaranya dengan menggunakan sistem perundangan dan sebagainya. Selain itu,
peristiwa Tun Fatimah ini juga mampu untuk membentuk modal insan kerana
terdapat ianya memberi pengajaran bahawa sebagai seorang manusia kita haruslah
bersikap rasional dalam membuat keputusan dan juga berpandangan jauh jika tidak
mahu menghadapi kesusahan pada kemudian hari seperti Sultan Mahmud Syah. Sikap

berpandangan jauh sebelum melakukan sesuatu perkara mampu memberi kesan yang
baik dan positif pada kemudian hari.

Nilai juang wanita dalam mempertahankan keturunan seterusnya dipaparkan oleh
watak Tun Senaja. Tun Senaja merupakan anak kepada Seri Nara Diraja. Adik
beradik Tun Senaja yang lain ialah Tun Mutahir dan Tun Tahir. Tun Senaja telah
menjadi isteri kepada Sultan Alau’ddin Riayat Syah dan bonda kepada Sultan
Mahmud Syah. Watak Tun Senaja ini dikatakan mempunyai nilai juang yang tinggi
dalam mempertahankan keturunannya apabila Tun Senaja meminta Sultan Mahmud
Syah untuk melantik adiknya iaitu Tun Mutahir sebagai Bendahara. Hal ini demikian
kerana, Sultan Mahmud Syah pada ketika itu masih muda dan tidak mampu untuk
menggalas menguruskan urusan kerajaan secara keseluruhan. Melalui peristiwa ini
jelas menunjukkan bahawa Tun Senaja memiliki nilai juang dalam memastikan
keturunnya mendapat jawatan dalam kerajaan. Hal ini dapat dilihat menerusi contoh
petikan di bawah.

"Adapun bonda Sultan Mahmud , saudara Tun Mutahir itu, ada
menengok-nengok dari balik pintu. Maka kata bonda baginda itu, “
Tuan Mutahirlah kata, jadi bendahara,” kerana sangat kasih
baginda akan saudaranya itu. Maka titah Sultan Mahmud, “ Pak
Mutahirlah jadi Bendahara.” Maka sekalian orang pun sukalah. "

(Sulalatus Salatin, 2018)

Berdasarkan petikan di atas menunjukkan bahawa Tun Senaja memaparkan nilai
juang wanita dalam mempertahankan keturunan kerana Tun Mutahir lebih
mempunyai banyak pengalaman berbanding dengan Sultan Mahmud Syah
terutamanya dalam sistem pemerintahan. Pengajaran yang dapat diperoleh daripada
peristiwa Tun Mutahir dilantik menjadi Bendahara ialah nilai juang Tun Senaja dalam
menjaga nama baik keluarga. Hal ini demikian kerana, jika Sultan Mahmud Syah
yang meneruskan pemerintahan tanpa bantuan daripada Tun Mutahir,
berkemungkinan sistem pemerintahan kerajaan Melayu Melaka akan jatuh kerana
Sultan Mahmud Syah masih kecil. Justeru itu Tun Senaja bertindak menjaga nama
baik keluarganya dengan meminta Sultan Mahmud Syah melantik Tun Mutahir
menjadi Bendahara kerana Tun Mutahir berkebolehan menguruskan hal ehwal
perdagangan kerajaan Melayu Melaka.

Pengajaran ini boleh dikaitkan dengan modal insan kerana aspek-aspek modal
insan merangkumi sifat bertanggungjawab dalam sesebuah pemerintahan. Menurut
Mohamad Kamil, Rahimin, Mohammed Yusof (2013) menyatakan bahawa
pembentukan modal insan ini adalah pembentukan manusia sebagai agen terpenting,
dapat dikatakan sebagai modal utama bagi menjayakan sesuatu proses pembangunan
negara. Hal ini dapat dikaitkan dengan Tun Senaja yang menjadi watak wanita yang
penting dalam pentadbiran Melaka pada ketika itu. Walaupun Tun Senaja merupakan
seorang wanita namun semangat juangnya juga tinggi hanya demi memastikan nama
baik keluarganya tidak terjejas. Peristiwa ini mampu untuk membentuk modal insan
terutamanya bagi masyarakat zaman kini.

Sikap atau semangat juang dalam melakukan atau mempertahankan sesuatu amat
penting dalam sesebuah perkara khususnya. Pengaplikasian semangat juang dalam
kehidupan seharian, ianya dapat menguji tahap kemampuan seseorang insan
terutamanya pemimpin dari segi eleman pemikiran, eleman sikap dan kemahiran. Hal
ini demikian kerana nilai juang ini adalah berbeza mengikut zaman. Pada zaman
dahulu nilai juang lebih bersifat autokratik dan juga laissez-faire di mana segala
keputusan hanya diputuskan dengan menggunakan interkasi sehala sahaja dan
pandangan orang lain tidak diendahkan. Namun nilai juang pada zaman kini lebih
bersifat demokrasi dimana melibatkan perbincangan secara dua hala dan mengikut
pandangan majoriti. Namun begitu, peristiwa Tun Senaja ini boleh dijadikan
pengajaran dalam membentuk modal insan bagi masyarakat zaman kini.

3.4 Nilai Juang Dalam Mengukuhkan Ekonomi Keluarga

Prosa Melayu klasik sememangnya terkenal dengan sebuah karya yang padat
dengan pengajaran dan tauladan khususnya dalam bidang ekonomi. Prosa Melayu
klasik juga turut dijadikan sebagai rujukan para penyelidik sebagai bahan maklumat
utama. Justeru itu, terdapat nilai juang dalam kalangan watak wanita dalam pilihan
prosa Melayu klasik iaitu naskah Sulalatus Salatin. Nilai juang wanita ini
sememangnya mampu menggangkat darjat wanita dan mampu menjadikan wanita
dipandang mulia dalam kalangan masayarakat. Hal ini sokong oleh Nor Hayati Fatmi
Talib et al. (2020) yang menyatakan bahawa wanita yang berkerjaya bermakna

wanita yang membawa lebih dari satu peranan dalam kehidupannya, suatu bentuk
keselarasan, kerjasama, kefahaman dan ketetapan yang wajar perlu ditambahbaik
bagi menyediakan wanita dunia kerjaya yang lebih sejahtera bagi wanita. Peranan
wanita dalam melakukan kegiatan ekonomi sememangnya dipandang tinggi
martabatnya kerana kegiatan ini kebiasaannya dilakukan oleh para lelaki.

Wanita yang berperanan dalam pembangunan ekonomi sentiasa menyediakan
dirinya secara mental, fizikal, emosi dan kewangan kerana pertambahan kehendak
dan tanggungjawab akan berlaku, berkemungkinan menghadapi isu tanggapan,
keupayaan, kesesuaian bidang kerjaya, pengurusan masa, persaingan dengan lelaki
dan sebagainya (Nor Hayati Fatmi Talib et al., 2020). Oleh hal yang demikian,
terdapat nilai juang wanita dalam naskah Sulalatus Salatin yang merujuk kepada
watak dua beradik iaitu Wan Empuk dan Wan Malini. Hal ini dapat dilihat menerusi
contoh petikan di bawah.

“… adalah dalam sungai itu ada satu bukit bernama Bukit Si
Guntang di hulunya Gunung Mahamiru, di daratnya ada satu
padang bernama Padang Penjaringan. Maka ada dua orang
perempuan balu berhuma padi, terlalu luas humanya …”

(Sulalatus Salatin, 2018)

Berdasarkan petikan di atas, Bukit Si Guntang adalah kawasan padi huma yang
dimiliki oleh dua beradik iaitu Wan Empuk dan Wan Malini. Wan Empuk dan Wan
Malini menjalankan aktiviti pertanian iaitu padi huma. Jelaslah disini bahawa punca
rezeki masyarakat Melayu tradisi pada masa itu ialah melalui pertanian. Melihat
kepada konteks nilai juang wanita dalam mengukuhkan ekonomi, Wan Empuk dan
Wan Malini berjuang untuk mendapatkan rezeki bagi menyara hidup seharian.
Menurut Nor Hayati Fatmi Talib et al. (2020), peranan wanita berkerjaya
kebanyakannya lebih kepada membantu ekonomi keluarga berbeza dengan lelaki
yang berkerjaya bagi menyara keluarga yang menjadi tanggungjawab sebagai ketua
keluarga. Justeru itu, nilai juang wanita dalam sektor ekonomi sewajarnya dihargai
dan disokong oleh pelbagai pihak agar wanita dapat berprestasi dengan baik
dalam dunia kerjaya. Hal ini juga dapat dilihat pada watak Wan Empuk dan Wan
Malini apabila melihat tanaman padi humanya telah bertukar kepada emas, perak,

suasa sejurus selepas kedatangan keturunan Raja Melayu Melaka iaitu Nila Pahlawan
(Sang Si Perba-Raja Minangkabau), Kriysna Pandita (Raja Tanjung Pura) dan Nila
Utama (Seri Teri Buana-Raja Palembang). Berdasarkan peristiwa ini, Wan Empuk
dan Wan Malini mendapat sokongan dan dorongan secara tidak langsung daripada
ketiga-tiga keturunan Raja Melayu Melaka tersebut.

Seterusnya, melihat kepada peristiwa yang terjadi pada Wan Empuk dan Wan
Malini sememangnya mempunyai pengajarannya yang tersendiri. Pengajaran yang
dapat diperoleh daripada peristiwa ini ialah kita hendaklah sentiasa berusaha untuk
mencari rezeki agar dapat menyara hidup seharian. Hal ini demikian kerana, melalui
sifat ikhlas dan sentiasa berusaha pasti akan membuahkan hasil di mana menerusi
peristiwa tanaman padi huma Wan Empuk dan Wan Malini bertukar menjadi emas,
perak dan suasa. Justeru itu, pengajaran yang dapat dipelajari untuk membentuk
modal insan ialah wanita berkerjaya hendaklah mengupayakan diri dalam bidang
kerjaya ekonomi dan terus menimba ilmu dan kemahiran agar mampu untuk
mengukuhkan ekonomi khususnya keluarga.

4.0 Kesimpulan

Nilai juang wanita jelas dapat dilihat melalui watak-watak yang dipaparkan menerusi prosa
Melayu klasik seperti naskah Sulalatus Salatin (2018), naskah Hikayat Abdullah (1849) dan
manuskrip Sejarah Negeri Kelantan (1891). Dapatan penulisan ilmiah ini menunjukkan bahawa
nilai juang wanita dapat dianalisis berdasarkan beberapa aspek iaitu kepimpinan, kekeluargaan,
ekonomi dan sosial. Walau bagaimanapun, nilai juang wanita dalam prosa Melayu klasik adalah
terhad kerana masyarakat Melayu tradisi umumnya meletakkan hak dan martabat lelaki lebih
tinggi berbanding wanita. Oleh hal yang demikian, nilai juang wanita hanya dapat dipaparkan
dalam konteks kehidupan yang lebih terhad. Namun begitu, nilai juang dalam diri wanita tidak
luntur dan terus diperjuangkan dalam karya prosa Melayu klasik.

Nilai juang wanita dalam prosa Melayu klasik telah memaparkan pengajaran yang
mampu membentuk modal insan yang lebih sempurna. Modal insan melahirkan individu yang
berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti,
bersopan santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil,
progresif, cekal dan berdaya saing. Hal ini selaras dengan pernyataan Yang Amat Berhormat,
Dato’ Seri Abdullah Badawi dalam ucapannya semasa pembentangan Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMK-9) pada 31 Mac 2006 menyatakan bahawa pembangunan modal insan mesti
diiringi dengan minda kelas pertama selari dengan pembangunan infrastruktur bertaraf dunia.
Nilai juang wanita yang dibincangkan dalam penulisan ilmiah ini merangkumi ciri-ciri modal
insan yang berilmu, berkeyakinan, bersemangat patriotik, adil, dan mempunyai hati cekal.
Justeru itu, nilai juang wanita dalam prosa Melayu klasik boleh menjadi satu daripada platform
atau medium bagi membangunkan modal insan yang lebih progresif dan berpandangan jauh
dalam kalangan masyarakat negara kita.

Rujukan

Arbaeyah Yahya. (1993). Pencapaian Wanita Dalam Bidang Sains dan Teknologi Hari Wanita
Kebangsaan. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Abdullah Abdul Kadir Munsyi (2007). Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.

A. Samad Ahmad. (2018). Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
Dan Pustaka.

Asri Selamat. (2009). Kesamarataan Gender Dalam Bidang Industri Di Malaysia : Adakah
Wanita Telah Bersedia. Johor : Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Amini Amir Abdullah. (2007). Nilai, Kerja Kuat, Kenegaraan Dan Patriotisme. Nilai: Universiti
Sains Islam Malaysia

Aziah, Yaakob dan Yahya. (2006). Kepimpinan dan Pembangunan Pelajar Sekolah di Malaysia.
Selangor : PTS Profefessional Publishing Sdn Bhd.

Elizatul Nastaysah Kamaruddin. (2016). Representasi Watak Wanita dalam Karya Sastera
Melayu Moden Berdasarkan Kerangka Taklif. Selangor : Universiti Putra Malaysia.

Fadillah Mansor & Tengku Aini. (2008). Pembangunan Modal Insan dari Perspektif
Pengurusan Islam. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Jaafar Muhamad. (1996). Kelakuan organisasi. Kuala Lumpur: Leed Publication

Jarvis, P. & Parker, S. (2005). Human Learning : An Holistic Approach. London : Taylor &
Francis.

Kamus Dewan. (2007). Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohamad Kamil, Rahmin Affandi & Muhammed Yusof. (2013). Pembangunan Modal Insan Di
Malaysia : Analisis terhadap Pendekatan Islam selepas Negara Merdeka. Universiti
Malaya.

Mohd. Affandi Hassan. (2012). Seksualiti dalam Novel Melayu. Bangi : Universiti Kebangsaan
Malaysia.

Mohd Rashid Md Idris. (2011). Nilai Melayu dalam pantun/ Mohd. Rashid Md. Idris. Penerbit
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mohd Zahirwan Halim Zainal Abidin, & Norhayati Haji Hamzah. (2018). Perkembangan

Pemerintahan Islam di Kelantan: Analisis Terhadap Manuskrip Sejarah Negeri

Kelantan. Jurnal Al-Tamaddun, 13(2), 133-147. Diperoleh daripada

https://doi.org/10.22452/JAT.vol13no2.12

Muhd Norizam Jamian, & Shaiful Bahri Md Radzi. (2015). Kesusasteraan Melayu Tradisional

Sebagai Wadah Komunikasi Massa: Suatu Analisis. Malaysian Journal of

Communication, 31(2), 183-194. Diperoleh

daripada https://ejournal.ukm.my/mjc/article/view/14925/7577

Mukhlas Asy-Sharkoni. (1999). Apa Kata Islam Tentang KedudukAN Wanita, Harta dan Takhta.
Kuala Lumpur : Al-Hidayah Publishers.

Nik A. Rashid Ismail. (1993). Kepemimpinan : Ulasan Teori dan Kajiannya di Malaysia. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norazimah Zakaria. (2014). Peranan Pengarang Tradisi dalam Melahirkan Masyarakat
Pemikir. Procedia - Social and Behavioral Sciences, 132, 259-269. Diperoleh daripada
https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2014.04.247

Nor Azlia Mat Jaafar. (2009). Haruman Kencana dan Hujan Sudah Teduh Karya Zaharah
Nawawi : Penerapan Teori Feminisme. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.

Nor Hayati Fatmi Talib et al. (2020). Peranan Wanita Dalam Memperkasa Kelestarian Ekonomi,

Kajian Perbandingan Malaysia-Indonesia. Tinta Artikulasi Membina Ummah, 6(1), 47-

60. Diperoleh daripada http://www.journaltamu.com/wp-

content/uploads/2020/07/TAMU-Vol-61-June-2020-47-60-2.pdf

Norhuriyatina Abd Rashid. (2006). Kemahiran Sosial Asas. Kuala Lumpur : Utusan Publications
and Distributors Sdn. Bhd.

Noriah Taslim. (2008). Sulalat-us-Salatin dan strategi ketahanan politik Melayu abad ke-17
dalam Sulalatus-Salatin (Sejarah Melayu): Cerakinan Sejarah, Budaya dan Bahasa.
Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Rozita Ibrahim, Muhammad Rahimi Hasan, & Bahiyah Abdul Hamid. (2018). Takrif
Kepimpinan, Ciri-Ciri Pemimpin dan Motivasi untuk Memimpin menurut Sudut Pandang
Pemimpin Wanita Akar Umbi. Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara, 19, 28-
42. Diperoleh daripada https://doi.org/10.17576/malim-2018-1901-03

Shukri Ahmad. (2002). Konsep Tamadun dan Ciri-Ciri ke arah pembangunan. Pahang: PTS
Publication & Distributor Sdn. Bhd.

Siti Khariah Mohd Zubir & Kamarulzaman Ibrahim. (2012). Watak dan Peranan Wanita dalam
Sulalatus Salatin. Jurnal Peradaban Melayu, 7, 157-180. Diperoleh daripada https://
ejournal.upsi.edu.my/index.php/JPM/article/view/3200

Yassin, M. (2013). Keseimbangan Modal Insan Perlu Relevan. Kuala Lumpur : Percetakan
Nasional Berhad.


Click to View FlipBook Version