The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

TEKS UCAPAN MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN KEPIMPINAN MURID SESI 2023/2024

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Nor Azmina Ishak, 2023-04-09 12:45:00

TEKS UCAPAN MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN KEPIMPINAN MURID SESI 2023/2024

TEKS UCAPAN MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN KEPIMPINAN MURID SESI 2023/2024

T E K S U C A P A N PENGETUA SMK SERI GOMBAK MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN KEPIMPINAN MURID SESI 2023/2024 sempena


Terima kasih saudari pengacara majlis. Assalamualaikum w.b.t. dan selamat sejahtera, Yang berbahagia, Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Gombak, Inspektor Nur Azrul Amirul Bin Mustafa. Yang berusaha , Penolong Kanan Pentadbiran , Pn Anita Bt Tajuddin, Penolong Kanan Kokurikulum, Pn Nirmaladevi a/p Kandasamy, Yang dihormati, guru-guru kanan mata pelajaran, kaunselor, guru-guru, barisan pemimpin muda sekolah dan murid-murid yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah dengan lafaz syukur kepada Yang Maha Esa, dapat kita bersama pada pagi yang indah ini untuk menyempurnakan majlis Watikah Pelantikan Kepimpinan Murid SMK Seri Gombak sesi 2023/2024.


Hadirin sekalian, Selaras dengan amanat Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau, bahawa membangun Malaysia Madani, iaitu negara – dan peradaban – yang kita citakan, dan akan bangunkan haruslah m.a.d.a.n.i. - mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, punyai keyakinan dan bersifat ihsan. Neil Postman mengutarakan tesis yang menekankan peripentingnya berwaspada atas “the false gods of modern education” dari peringkat sekolah lagi , justeru, rasional utama untuk pendidikan ialah pembangunan sahsiah. Hasrat ini dapat direalisasikan apabila pemimpin muda yang dilantik pada hari ini dipupuk dengan nilai integriti dalam segenap aspek ,bersahsiah mulia dan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan kewajipan yang diamanahkan kerana generasi hari ini bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang.


Warga Semerbak yang dikasihi, Syabas dan tahniah kepada barisan kepimpinan murid yang akan menerima watikah pelantikan sebentar lagi. Sesungguhnya majlis seumpama ini diadakan adalah untuk mengiktiraf peranan pemimpin pelajar dalam menyumbang kepada kejayaan sekolah. Semoga dengan penyerahan tugas ini nanti akan menjadikan anda semua sebagai pemimpin pelajar yang berdedikasi dan amanah dalam menjalankan tugas. Bagai aur dengan tebing, kerjasama yang erat antara semua pihak terutamanya guru-guru, para pengawas dan murid-murid sekalian akan dapat membentuk biah atau suasana persekitaran sekolah yang positif. Oleh hal yang demikian, para murid hendaklah sentiasa mematuhi peraturan sekolah serta memberi sokongan padu kepada pengawas yang dilantik agar kita sama-sama mengangkat Semerbak ke arah kegemilangan dalam setiap bidang baik sahsiah, akademik mahupun kokurikulum seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera. Sekian, terima kasih.


T E K S U C A P A N P E R A S M I MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN KEPIMPINAN MURID SESI 2023/2024 sempena INSPEKTOR NUR AZRUL AMIRUL BIN MUSTAFA PEGAWAI PENYIASAT JENAYAH IPD GOMBAK


Terima kasih saudari pengacara majlis. Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera, Yang berusaha, Pengetua SMK Seri Gombak , Puan Azrin Azrina Bt Nasir. Yang berusaha , Penolong Kanan Pentadbiran, Pn Anita Bt Tajuddin, Penolong Kanan Kokurikulum, Pn Nirmaladevi a/p Kandasamy, Yang dihormati, guru-guru kanan mata pelajaran,kaunselor, guru-guru, barisan pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, pengawas skim pinjaman buku teks, pengawas siar raya, pengawas sukan, pengawas kokurikulum, pengawas koperasi, pembimbing rakan sebaya, badan dakwah dan rohani, pengawas kelas serta murid-murid yang dikasihi sekalian. Hadirin sekalian yang dirahmati Allah, Terlebih dahulu marilah sama-sama kita panjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wa taala kerana dengan izin dan inayah-Nya dapat kita bersama pada hari ini sempena majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Kepimpinan Murid bagi tahun 2023/2024. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengetua dan pihak pentadbir sekolah yang telah sudi menjemput saya untuk merasmikan majlis ini.


Murid-murid Semerbak yang dikasihi sekalian, Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan kepimpinan murid sekolah atas pelantikan mereka pada hari ini. Saya yakin pengawas-pengawas yang dilantik pada hari ini telah melalui satuproses pemilihan yang rapi agar mereka yang terpilih memiliki ciri-ciri kepimpinan untuk membimbing rakan-rakan mereka di sekolah serta dapat membantu guru-guru melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka memberi pendidikan yang berkualiti. Hanya dengan pendidikan yang berkualiti sahaja dapat melahirkan warganegara yang efisien dan menjadi modal insan negara yang produktif. Sesungguhnya pengawas-pengawas yang dilantik pada hari ini seharusnya berasa bertuah dengan pelantikan ini. Saya pasti pengalaman menjadi pemimpin sekolah tentunya dapat melatih daya kepimpinan diri apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang menempuh kehidupan.Sehubungan itu, pada hari yang bersejarah ini sewajarnyalah mereka diiktiraf dan diraikan.


Apakah peranan pengawas? Pengawas ialah pemimpin kecil yang dipilih untuk menjalankan tugas dan bertanggungjawab membantu guru dan pentadbir sekolah agar dapat mewujudkan satu persekitaran sekolah yang kemas dan teratur. Persekitaran yang dimaksudkan adalah menentukan suasana yang damai, situasi yang terkawal dan menumpukan kepada fungsi utama sebuah sekolah - melahirkan murid-murid yang berpotensi menjadi pemimpin negara masa hadapan dan tunggak pembangunan negara dalam apa-apa jua bidang yang mereka minati. Saya berharap pengawas-pengawas yang dilantik pada hari ini dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab. Saya ingin menganjurkan sifat-sifat asma’ul husna iaitu 99 sifat Allah perlu sebati dalam hati sanubari tiap-tiap pengawas agar mereka sentiasa mendapat petunjuk dan perlindungan daripada yang maha esa dan sentiasa tenang melaksanakan tugas. Saya juga ingin memberi ingatan agar mereka memelihara solat dan sentiasa berdoa kepada Allah serta meminta kepada-Nya agar urusan harian mereka mendapat pahala yang amat besar dan diberkati kehidupan mereka. Pada masa yang sama, saya berharap dalam kesibukan menunaikan tanggngjawab yang diamanahkan , mereka tidak mengabaikan pelajaran akademik mereka sendiri.


Apakah harapan guru-guru dan murid-murid terhadap seorang pengawas? Pengawas sepatutnya menjadi contoh dan teladan yang baik kepada semua murid yang lain. Keperibadian seorang pengawas harus memiliki sifat-sifat terpuji seorang khalifah kecil – bersifat mulia, ketrampilan yang kemas dan bijak mengurus masa untuk diri sendiri dan tanggungjawab di sekolah. Seterusnya, pengawas hendaklah sentiasa bersifat insaf dan bermuhasabah diri semasa melaksanakan tugas sebagai seorang pengawas. Jadilah seorang pengawas yang disegani. Bagi murid-murid lain pula, saya ingin berpesan agar sentiasa mesti memberi kerjasama kepada semua pengawas yang dilantik. Saya ingin menasihati murid-murid agar mematuhi dan menghayati peraturan sekolah supaya guru-guru dan pentadbir sekolah dapat menumpukan kepada usaha dalam membangunkan fasilitas sekolah serta pembangunan akademik bagi menentukan kecemerlangan dan kegemilangan sekolah dapat dipertingkatkan. Murid-murid perlu menghormati pengawas. Jauhi sikap-sikap negatif seperti perbuatan merosakkan fasilitas sekolah, perbuatan membuli dan bergaduh serta tidak menghormati guru-guru dan kawan-kawan sekolah.


Saya juga ingin menasihatkan semua murid SMK Seri Gombak agar mengutamakan pelajaran di sekolah. Tegasnya,hanya dengan memiliki pengetahuan dan kelulusan yang tinggi sahaja dapat menjamin kehidupan kita pada masa hadapan. Sesungguhnya ‘pengetahuan itu kuasa’ (knowledge is power). Pengetahuan membolehkan kita mendekati Allah subhanahu wa taala, pengetahuan dapat mengubah taraf hidup sesebuah keluarga, pengetahuan dapat memenuhi apa-apa yang kita cita-citakan, pengetahuan dapat membezakan yang baik dengan yang buruk. Untuk memperolehi pengetahuan, murid-murid harus belajar bersungguh-sungguh, berdisiplin ketika belajar kerana disiplin asas kejayaan, sentiasa berusaha tanpa mengenal putus asa dan yang penting sekali memohon kepada Allah agar diterangkan hati supaya mudah menerima dan menggunakan pengetahuan untuk membuat kebaikan di bumi Allah ini.


Murid-murid yang dikasihi sekalian, Pada kesempatan ini, saya berdoa agar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak sentiasa mendapat limpahan rahmat Allah dan diberi perlindungan agar sentiasa berupaya melahirkan insan yang menjadi kebanggaan negara dan dijauhi dari segala bencana atau musibah. Saya berharap guru-guru dan pentadbir sekolah akan melipatgandakan usaha dalam membentuk dan memberi pelajaran kepada semua murid di sekolah ini. Saya juga berdoa agar murid-murid sekolah ini sentiasa beroleh kejayaan dalam pelajaran dan peperiksaan yang bakal dihadapi. Akhir kata, marilah kita bersama-sama berdoa agar SMK Seri Gombak akan sentiasa cemerlang, gemilang dan terbilang dalam aspek sahsiah, akademik dan kokurikulum serta menjadi sekolah contoh di negeri Selangor Darul Ehsan. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, Saya merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Kepimpinan Murid SMK Seri Gombak Sesi 2023/2024. Sekian, terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Click to View FlipBook Version