The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

pb esei gpmk maklumat palsu

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by zahrahumairah05, 2023-03-18 09:32:20

maklumat palsu

pb esei gpmk maklumat palsu

Penghargaan Syukur ke hadrat Ilahi dengan izin kurnianya saya diberi peluang masa dan kesihatan yang baik untuk menyiapkan tugasan penulisan esei ini dengan jayanya. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Mohammad Nizam Bin Hamid selaku pensyarah bagi kursus Pengantar Bahasa Melayu Komunikasi (GPMK1012) yang telah memberikan banyak tunjuk ajar dan bimbingan supaya saya dapat menyiapkan tugasan kerja kursus ini. Selain itu, saya juga ingin berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa dan rakan seperjuangan saya yang telah banyak memberikan sokongan dan dorongan sepanjang saya menyiapkan tugasan ini. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama yang baik untuk saya dapat menyiapkan tugasan ini dengan jayanya. Saya amat menghargai atas semua kerjasama dan sokongan yang telah diberikan. Yang benar, ………………………………… (ZAHRATUN HUMAIRAH BINTI MUHAMAD HASWIRA) i


Isi kandungan 1.0 Pengenalan 1 2.0 Implikasi penyebaran maklumat palsu di media massa 2.1 Penyebaran maklumat palsu boleh menggugat keselamatan negara 2 2.2 Penyebaran maklumat palsu boleh mempengaruhi cara seseorang berfikir, bertindak dan menyelesaikan konflik 3 2.3 Penyebaran maklumat palsu dapat memesongkan akidah umat Islam 4 2.4 Penyebaran maklumat palsu memberikan kekeliruan kepada masyarakat 5 3.0 Rumusan 6 4.0 Rujukan 7-8 ii


1.0 Pengenalan Pada era globalisasi ini, penggunaan media massa khususnya media sosial sudah menjadi teknologi yang tidak asing dalam masyarakat kita tidak kira apa jua peringkat umur dan kaum (Shahidah Hamzah et al., 2020). Menurut hasil kajian daripada Laporan Digital 2019, negara kita menduduki tangga ke-5 teratas di dunia dan merupakan negara yang paling aktif menggunakan media sosial dalam Asia Tenggara (Ili Hadri Khalil, 2018). Oleh hal yang demikian, kini terdapat banyak penyalahgunaan daripada segilintir masyarakat kita dalam penggunaan media sosial serta tidak beretika dalam menyebarkan berita dan maklumat palsu sehingga mendatangkan impak yang negatif kepada semua pihak tidak kira dari segi individu, keluarga, masyarakat atau negara.] khususnya (Shahidah Hamzah et al., 2020). Persoalannya, apakah implikasi penyebaran maklumat palsu di media massa? 1


2.0 Implikasi penyebaran maklumat palsu di media massa. 2.1 Penyebaran maklumat palsu boleh menggugat keselamatan negara. Menurut Tan Sri Lee Lam Thye selaku Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF), beliau mengatakan bahawa individu yang bertindak sebagai penyebar maklumat palsu ini dapat membuatkan masyarakat berada dalam suasana panik sehingga boleh menggugat keamanan negara (Bernama, 2020). Hal ini dikatakan demikian kerana, penyebaran maklumat yang kononnya akan mendatangkan banyak masalah yang telah mengaburi mata rakyat dengan mempercayainya tetapi pada hakikatnya maklumat yang disebarkan ialah palsu semata-mata. Contoh yang dapat dilihat ialah sejak negara kita menghadapi pandemik COVID-19, terdapat terlalu banyak penyebaran maklumat palsu berkaitan jangkitan COVID-19 yang tidak sahih dilakukan sehingga menjejaskan ketenteraman negara. Terlalu banyak mesej berantai yang telah menyatakan bahawa virus penyakit ini tersebar dengan sangat luas sedangkan ia masih terkawal dalam negara (TheInspirasi, 2021). Bagi menguatkan lagi hujah ini, seorang peguam yang bernama Adnan Seman pernah mengatakan bahawa contoh isu penyebaran maklumat palsu yang menggugat keselamatan negara pernah berlaku di Iraq di mana penyebaran maklumat yang mengatakan bahawa negara tersebut ada menyimpan senjata api sehingga tercetusnya peperangan antara Iraq dan Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003 (Nur Lela Zulkipli, 2018). Berdasarkan contoh yang dilihat, masyarakat perlulah mengambil iktibar yang sewajarnya supaya tidak menyebarkan maklumat palsu sesuka hati lebihlebihan lagi kini banyak pihak yang memanipulasikan berita berkaitan isu politik. Hal ini secara tidak langsung telah merumitkan lagi keadaan negara kita sehingga memecah belahkan perpaduan di negara kita. Oleh itu, rakyat Malaysia perlulah sentiasa cakna tentang penyebaran maklumat atau berita yang dilakukan berkaitan keamanan negara khususnya. 2


2.2 Penyebaran maklumat palsu boleh mempengaruhi cara seseorang berfikir, bertindak dan menyelesaikan konflik. Kini sudah kelihatan lebih jelas bahawa etika warganet dalam media sosial semakin melampau apabila terjadinya penyebaran maklumat palsu yang tidak sahih. Kegiatan ini bukan sahaja memberikan kesan kepada mangsa yang dikaitkan dalam maklumat palsu, malah individu yang menyebarkan itu turut mendapat impak yang negatif dalam dirinya. Hal ini dikatakan demikian kerana, penggunaan media massa ini telah mempengaruhi masyarakat ke dalam satu pola budaya baharu dan mengawal cara pemikiran serta perilaku masyarakat. Sebagai contoh, masyarakat mula menyebarkan maklumat palsu yang negatif terhadap seseorang yang tidak bersalah sehingga menyebabkan mangsa tidak bersalah itu difitnah oleh masyarakat (Ahmad Fahmi Mahamood et al., 2021). Antara isu yang pernah menjadi fenomena warganet di media sosial pada Januari 2022 yang lepas ialah seorang wanita memuat naik video seorang pemandu lori yang telah melanggar beberapa kenderaan dan diberi tuduhan oleh si perakam bahawa pemandu itu memandu ketika mabuk sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya. Dakwaan tuduhan tersebut dipercayai oleh warganet pada awalnya kerana wanita yang merakam sedang memarahi pemandu tersebut dan mendakwa pemandu itu mabuk kerana walaupun pemandu itu kelihatan masih lemag dan separa sedar ketika dimarahi. Walau bagaimanapun, tuduhan tersebut akhirnya mendapat penjelasan yang benar apabila seorang individu yang dipercayai merupakan seorang rakan sekerja pemandu lori tersebut menjelaskan bahawa pemandu tersebut bukanlah mabuk seperti yang difikirkan tetapi dia sedang mengalami serangan jantung ketika memandu menyebabkan pemandu tersebut kehilangan nyawa pada hari kejadian (Shira, 2022). Berdasarkan isu tersebut, sudah terang lagi bersuluh bahawa penyebaran maklumat palsu ini mudah mempengaruhi seseorang individu untuk salah bertindak secara melulu tanpa sebarang bukti yang sahih. 3


2.3 Penyebaran maklumat palsu dapat memesongkan akidah umat Islam. Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku bekas Menteri Dalam Negeri dalam Astro Awani (2014), beliau menyatakan bahawa segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dalam media sosial telah menyebabkan penyebaran maklumat palsu berkaitan agama Islam seperti salinan Al-Quran dan hadith yang telah dicemari memberi kesan gangguan sosial serta menarik umat Islam untuk percaya akan penyamaran akidah yang jelas bercanggah dengan pegangan Islam sebenar. Contoh ajaran sesat yang pernah bertapak di Malaysia ialah Ayah Pin, Millah Abraham, ajaran Matahari dan Hassan anak Rimau (Merak Jalanan, 2022). Kini, terdapat satu ajaran yang bergiat aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui aplikasi YouTube iaitu Hadi Minallah yang berasal dari negara jiran iaitu Indonesia. Disebabkan pengaruh dakyah yang terlalu kuat, ajaran tersebut mula bertapak di negara Malaysia apabila Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor iaitu Mohd Fared Mohd Khalid mengatakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah mengesan bahawa terdapat cubaan pertubuhan ajaran sesat yang menyebarkan fahaman menyeleweng di Kota Tinggi (Mohamed Farid Noh, 2022). Selain penyebaran fahaman ajaran sesat, hadis palsu kini juga kian aktif disebarkan. Seperti yang disepakati oleh segenap ulama, hadis merupakan sumber kedua selepas Al-Quran dalam syariat Islam (Abur Hamdi Usman & Mohd Norzi Nasir, 2022). Semua hadis yang terkandung dalam media massa diperoleh daripada pelbagai sumber yang berbeza menyebabkan risiko untuk mengubah dan mewujudkan sebuah hadis sesuka hati ialah sangat tinggi (Abur Hamdi Usman & Mohd Norzi Nasir, 2022). Oleh itu, umat Islam perlulah sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam menerima perkongsian atau pengajaran yang berkait dengan agama Islam agar akidah pegangan tidak mudah terpesong. 4


2.4 Penyebaran maklumat palsu memberikan kekeliruan kepada masyarakat. Setiap individu mempunyai keperibadian yang berlainan. Ada sesetengah pihak mudah menerima berita yang disebarkan, ada sesetengah pihak sukar menerima dan ada juga yang akan selidik terlebih dahulu. Oleh hal yang demikian, sekiranya berlaku ketidaktepatan dalam sesuatu maklumat yang disebarkan, perkara ini secara tidak langsung telah membingungkan masyarakat dan akan menyebabkan suasana kucar-kacir dalam kalangan masyarakat. Antara contoh yang dapat dilihat pada awal fasa penemuan virus COVID-19 di Malaysia, terlalu banyak berita palsu yang dikemukakan oleh masyarakat yang menyatakan bahawa virus tersebut sudah liar menular di negara Malaysia sedangkan keadaan jangkitan virus itu masih lagi terkawal. Hal ini secara tidak langsung telah membimbangkan masyarakat yang lain dan membuat masyarakat hilang arah tuju kerana pada waktu itu masih tiada siapa tahu cara menangani virus tersebut (TheInspirasi, 2021). Oleh itu, jelaslah bahawa penyebaran maklumat palsu ini mampu mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sehingga menggugat suasana yang harmoni. 5


3.0 Rumusan Siang bagai hari, terang bagai bulan bahawa terdapat banyak impak negatif yang boleh didapati melalui penyebaran maklumat atau berita palsu ini. Penyebaran maklumat palsu ini akan menjadi tidak terkawal sekiranya masalah ini tidak dibendung atau tiada langkah yang diambil oleh pelbagai pihak. Oleh hal yang demikian, setiap individu perlulah memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk membendung penyebaran maklumat palsu ini. Antara langkah yang boleh diambil ialah pihak berkuasa atau khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlulah menguatkuasakan undangundang bagi penggunaan media sosial secara lebih berhemat. Selain itu, pihak ibu bapa perlulah memberikan didikan yang baik kepada anak-anak cara menggunakan media sosial dan menasihati anak-anak agar sentiasa berwaspada ketika menerima sebarang maklumat. Akhir sekali, setiap individu perlulah mencari inisiatif untuk memastikan dahulu maklumat yang diterima di media sosial ialah sahih atau tidak seperti melayari sebuah ruangan pusat sehenti bagi rakyat Malaysia untuk memastikan kesahihan berita yang diterima iaitu sebenarnya.my bagi tujuan penularan berita palsu di negara Malaysia dapat ditangani (Portal Rasmi SEBENARNYA.MY). Kesimpulannya, diharapkan semua pihak dapat menitik beratkan dan cakna akan penyebaran maklumat palsu yang dapat memberikan banyak impak negatif di negara Malaysia ini. 6


4.0 Rujukan Abur Hamdi Usman, & Mohd Norzi Nasir (2022). Penyebaran hadis palsu dalam penerbitan di Malaysia dan kesannya kepada masyarakat. Hadis, 12(23), 34-50. https://hadis.kuis.edu.my/index.php/inhad/article/view/182 Ahmad Fahmi Mahamood, Abdul Rahman Abdul Manaf, Abdul Jalil Ramli, & Tengku Kastriafuddin Shah Tengku Yaakob. (2021, Oktober). Fenomena berita palsu dalam media sosial sepanjang musim perintah kawalan pergerakan di Malaysia (The phenomenon of false news in social media during the season of movement control in Malaysia). International Journal of Humanities and Social Science, 5(6), 50-80. https://www.researchgate.net/publication/355201121_FENOMENA_BERITA_PAL SU_DALAM_MEDIA_SOSIAL_SEPANJANG_MUSIM_PERINTAH_KAWALAN_P ERGERAKAN_DI_MALAYSIA_The_Phenomenon_of_False_News_in_Social_Me dia_During_The_Season_of_Movement_Control_In_Malaysia Bernama (2014, 19 Ogos). Media sosial galak penyebaran maklumat palsu tentang Islam – Zahid. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/media-sosialgalak-penyebaran-maklumat-palsu-tentang-islam-zahid-42160 Bernama (2020, 28 Februari). “Penyebaran berita palsu boleh gugat keselamatan negara” Lee Lam Thye. Astro Awani. https://www.astroawani.com/beritamalaysia/penyebaran-berita-palsu-boleh-gugat-keselamatan-negara-lee-lam-thye232050 Ili Hadri Khalil (2018, 30 Januari). Malaysia negara ke-9 paling aktif media sosial, ke-5 paling ramai guna e-dagang. Astro Awani. https://www.astroawani.com/gayahidup/malaysia-negara-ke9-paling-aktif-media-sosial-ke5-paling-ramai-gunaedagang-laporan-166998 Merak Jalanan (2022, 14 Oktober). Usah terjebak ajaran sesat di media sosial. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/215653/suara-sinar/pojok/usahterjebak-ajaran-sesat-di-media-sosial Mohamed Farid Noh (2022, 14 Ogos). Ajaran sesat Hadi Minallah dikesan cuba disebarkan di Kota Tinggi. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/988310/ajaran-sesat-hadiminallah-dikesan-cuba-disebarkan-di-kota-tinggi Nur Lela Zulkipli (2018, 28 Mac). Negara boleh hancur kerana berita palsu : Peguam. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/03/404841/negara-bolehhancur-kerana-berita-palsu-peguam 7


Shahidah Hamzah, Fauziah Ani, Norizan Rameli, Noranifitri Md Nor, Harliana Halim, Rizki Rahman, Adi Syahid Mohd Ali, Nizam Attan, & Khairol Anuar Kamri (2020). Impak Penyebaran Berita Palsu melalui Media Sosial terhadap Masyarakat: Kajian Kes Mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Advances in Humanities and Contemporary Studies, 1(1), 55–63. https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/ahcs/article/view/501 Shira (2022, 4 Januari). “Awak mabuk ke?” – Tengah tahan sakit, driver lori dituduh mabuk, netizen gesa wanita ini mohon maaf kepada keluarga arwah. OhBulan!. https://ohbulan.com/awak-mabuk-ke-tengah-tahan-sakit-driver-lori-dituduh-mabuknetizen-gesa-wanita-ini-mohon-maaf-kepada-keluarga-arwah TheInspirasi. (2021, 25 Jun). Kesan penyebaran berita palsu. theinspirasi.my. https://theinspirasi.my/kesan-penyebaran-berita-palsu/ 8


Click to View FlipBook Version