MENINGKATKAN PENGUASAAN KEMAHIRAN MENGINGAT FAKTA
DENGAN MENGGUNAKAN KAEDAH PETA I-THINK DALAM KALANGAN
PELAJAR TINGKATAN 6 UPM
OLEH :
NORAISHAH BINTI WASPAN
SMK BANDAR KOTA TINGGI
P/S 78 JALAN BUNGA RAYA, KOTA KECHIL, 81907 KOTA TINGGI JOHOR
ABSTRAK
Kajian tindakan ini dilaksanakan ke atas pelajar Tingkatan 6 Atas Sastera di sebuah sekolah di
Kota Tinggi Johor. Kajian ini menggunakan kaedah i-THINK dalam pengajaran dan pembelajaran
Pengajian Perniagaan untuk melihat kesannya ke atas pencapaian akademik pelajar. Persoalan
kajian adalah sama ada kaedah grafik dalam i-THINK dapat meningkatkan keputusan
peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pelajar dalam PENGAJIAN
PERNIAGAAN. Terdapat 16 orang pelajar dalam kajian ini. Mereka diberikan pendedahan
mengenai i-THINK dengan kaedah penerangan dan demonstrasi cara menggunakannya oleh
pengkaji. Selepas pendedahan i-THINK, mereka digalakkan menggunakannya dalam tugasan
dan pembelajaran. Selepas penggunaan i-THINK didapati keputusan Peperiksaan Penggal 2
STPM semua pelajar menampakkan peningkatan dalam peratus lulus dan gred. Maklum balas
pelajar daripada temu bual dan penulisan refleksi menunjukkan pelajar lemah berpandangan
positif akan penggunaan i-THINK dalam pembelajaran mereka sementara pelajar yang lebih
tinggi pencapaian akademik kurang minat menggunakannya serta merasakan tiada impak ke atas
pembelajaran mereka. Kajian lanjut harus diteruskan untuk memastikan keberkesanan i-THINK
dalam pengajaran dan pembelajaran. Namun, kajian ini melahirkan cadangan penggunaan i-
THINK bermula dari peringkat persekolahan peringkat rendah supaya penerimaan cara
pembelajaran ini lebih diterima pakai.
Kata Kunci: Kajian Tindakan, peta i-THINK, Pengajian Perniagaan, pengajaran dan
pembelajaran
1.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN/ ISU LALU
Kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang sesuai dengan kehendak pelanggannya
akan membawa kejayaan dalam P&P. Tiada satu kaedah P&P yang unggul atau betul kerana
pelanggan adalah organik dan keperluan pelajar sentiasa berubah. Jika sesuatu kaedah didapati
kurang berkesan, maka kaedah lain harus dicari dan dicuba, supaya apa yang
diimplementasikan oleh pengajar akan dialami dan diterima oleh pelajar sepenuhnya. Menurut
Baer (1981), tidak ada pelajar yang tidak dapat diajar dan dibimbing, yang penting ialah mencari
kaedah yang sesuai dengan pelajar. Mengikut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013-2025, Kementerian Pendidikan Malaysia (2013) sedang melancarkan
penggunaan program i-THINK ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Pelancaran penggunaan
peta pemikiran i-THINK dalam P&P diharapkan dapat meningkatkan prestasi pencapaian
pelajar. Ini menepati hasrat kerajaan melahirkan pelajar yang berinovatif, kreatif, dan yang
memiliki kemahiran berfikir aras tinggi (Ng and Chapman, 2013; Business Circle, 2014).
2.0 ISU KEPERIHATINAN/ FOKUS KAJIAN
Mengikut sukatan pelajaran Pengajian Perniagaan dalam sistem modular Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia (STPM), kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) ditekankan ke atas pelajar Tingkatan 6.
KBAT bersama dengan kemahiran menghafal yang disyorkan apabila menjawab soalan
peperiksaan berbentuk definisi dalam Pengajian Perniagaan (CikguAzly, 2013), merupakan
teknik-teknik yang efektif untuk mencapai gred yang tinggi. Mengikut sistem modular STPM,
pentaksiran perlu dikendali dalam tiga penggal, iaitu peperiksaan Penggal 1 STPM, Penggal 2
STPM, dan Penggal 3 STPM. Sebelum setiap peperiksaan, perlu diadakan Peperiksaan Percubaan
Penggal STPM. Selain daripada itu, terdapat Kerja Kursus dijalankan pada Penggal 3 dan markah
daripada setiap penggal, termasuk kerja kursus akan diberi pemberatan yang sama berat (25%
untuk keputusan setiap Penggal dan juga 25% untuk kerja kursus) untuk diambil kira markah
keseluruhan STPM seseorang pelajar di akhir ketiga-tiga penggal. Pencapaian keputusan gred
yang rendah oleh pelajar Tingkatan 6 Hamzah Fansuri di sekolah pengkaji dalam peperiksaan
Penggal 1 STPM merupakan faktor utama yang mendorong pengkaji mencari kaedah baharu
untuk meningkatkan kaedah P&P Pengajian Perniagaan. Walaupun pelbagai kaedah P&P seperti
bentuk syarahan, pembentangan oleh pelajar, dan latih tubi digunakan oleh guru yang
mengajar pelajar-pelajar ini semasa Penggal 1, namun pelajar masih belum menguasai mata
pelajaran PENGAJIAN PERNIAGAAN. Pertanyaan akan kesesuaian kaedah P&P terlintas
dalam pemikiran pengkaji.
3.0 OBJEKTIF KAJIAN
Terdapat dua objektif kajian, iaitu:
1. Menentukan persepsi pelajar terhadap penggunan kaedah peta i-THINK dalam P&P
Pengajian Perniagaan.
2. Mengukur pencapaian pelajar dalam peperiksaan Penggal 2 dan 3 STPM setelah
menggunakan i-THINK.
4.0 KUMPULAN SASARAN
Seramai 17 orang pelajar Tingkatan 6 UPM terlibat dalam kajian ini. Terdapat 2 orang pelajar
lelaki dan 14 orang pelajar perempuan. Pengkaji merupakan guru PENGAJIAN PERNIAGAAN
untuk kelas ini. Dari segi akademik, didapati pelajar dalam kelas ini agak lemah. Keputusan
peperiksaan Percubaan Penggal 1 STPM menunjukkan seramai tujuh pelajar mendapat gred F,
empat pelajar mendapat gred D dan D+, dan tiga pelajar yang mendapat gred C dan C-. Daripada
17 pelajar, hanya seorang sahaja yang lulus (gred C). Dalam keputusan Peperiksaan Penggal 1
STPM pula, didapati lapan pelajar mendapat gred F, empat pelajar mendapat gred D dan D+, dan
dua pelajar yang mendapat gred C- Tiada pelajar lulus subjek PENGAJIAN PERNIAGAAN
dalam peperiksaan Penggal 1 STPM. Keputusan akademik pelajar kurang baik dan ini telah
mendorong pengkaji untuk mencari kaedah yang baharu untuk membantu meningkatkan
keputusan akademik pelajar.
5.0 PELAKSANAAN KAJIAN
Tinjauan Awal
Di setiap penggal, peperiksaan percubaan STPM akan dijalankan pada pertengahan penggal dan
peperiksaan STPM di akhir penggal. Satu tinjauan awal dengan menggunakan instrument
penulisan refleksi telah dikendalikan ke atas 17 orang pelajar sebelum kajian ini dilaksanakan.
Dalam pengendalian instrument penulisan refleksi pelajar diminta menulis refleksi berkaitan P&P
PENGAJIAN PERNIAGAAN dengan jujur dan ikhlas tanpa waspada. Mereka diberitahu
maklum balas diperlukan untuk menambah baik cara pengajaran guru. Penambahbaikan cara
guru mengajar akan dapat menolong pelajar untuk lebih menguasai subjek PENGAJIAN
PERNIAGAAN. Pelajar tidak perlu menulis nama mereka supaya tidak perlu was-was dalam
meluahkan perasaan mereka. Pelajar diberitahu bahawa segala komen dan cadangan akan
diterima oleh pengkaji dengan hati yang terbuka dan akan dirahsiakan oleh pengkaji. Kajian
oleh Dunn dan Honigsfeld (2013) menyokong pentingnya mengetahui kaedah pembelajaran
pelajar supaya P&P yang sesuai dan seiras dengan kehendak pelajar diguna pakai.
Data penulisan refleksi pelajar kemudiandikod dan analisis untuk mencari tema- tema yang
menjelma. Tema-tema yang dikenal pasti ialah pelajar tidak berminat dengan mata pelajaran
PENGAJIAN PERNIAGAAN, tidak berupaya menghafal fakta, dan tidak dapat menjawab
soalan ujian dan peperiksaan. Pelajar juga menyatakan keinginan mereka akan P&P yang lebih
menyeronokkan dan penggunaan grafik yang menarik. Mereka mengaku bahawa mereka
kurang membaca teks dan nota yang diberi tetapi mereka suka membuat latihan yang diberi oleh
guru. Data keputusan Percubaan Penggal 1 STPM dan Peperiksaan Penggal 1 STPM PENGAJIAN
PERNIAGAAN pula menunjukkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) PENGAJIAN
PERNIAGAAN adalah 0.71 dan 0.57 masing-masing. Data ini menunjukkan pencapaian pelajar
adalah rendah.
Dapatan tinjauan awal ini membawa implikasi P&P sepanjang Penggal 1 adalah kurang
efektif. Dapatan ini menjadi pemangkin kepada pengkaji untuk memikirkan kaedah lain yang
boleh memantapkan lagi P&P PENGAJIAN PERNIAGAAN.
Tinjauan Literatur
Jensen (2000) mendapati 80% daripada informasi yang diterima oleh otak adalah dalam bentuk
visual. dan penggunaan bentuk linguistik dan bukan linguistik menyenangkan kita berfikir dan
mengingati sesuatu. P&P berbentuk grafik yang melibatkan penggunaan visual dapat membantu
pelajar meningkatkan pencapaian mereka. Clarke III, Flaherty dan Yankey (2006) mendapati
40% daripada jumlah pelajar Pendidikan Pemasaran berupa pelajar visual. Mereka lebih
suka belajar melalui gambar, rajah, peta alir, filem dan demonstrasi. Prestasi pelajar dalam
tajuk pemasaran dan dalam kursus secara keseluruhan bertambah dengan adanya gabungan kaedah
visual dan P&P tradisional. Buzan (2011) juga menyokong penggunaan grafik dalam P&P.
Menurut beliau, kaedah grafik menggunakan perkataan, nombor, logik, rima, warna, dan ruang
dalam satu masa membolehkan seseorang mengembangkan pemikiran dan menggunakan otak
sesorang dengan optimum.
Hyerle (2009) telah mencipta peta pemikiran yang berupa grafik dalam menjana pembelajaran
sepanjang hayat. Teknik ini mudah dan ringkas tetapi membawa kesan yang amat efektif dalam
pembelajaran. Ia menggunakan proses pemikiran yang sama untuk semua peringkat umur
pelajar yang menggunakannya. Hyerle menamakan kaedah Peta Pemikiran (Thinking Maps) ini
peta i-THINK. Peta i-THINK membolehkan pelajar memahami kemahiran kognitif yang abstrak
melalui bentuk visual yang konkrit. Ia terdiri dari 8 jenis peta (peta buih, peta buih berganda, peta
pokok, peta aliran, peta dakap, peta sebab dan akibat, peta bulatan, dan peta titi) yang perlu
diperkenalkan kepada pelajar, supaya mereka sendiri mampu mengaplikasikannya dalam konteks
yang berbeza. Berdasarkan kajian kecerdasan, peta i-THINK menggabungkan proses
pembelajaran secara kognitif dan persembahan maklumat secara visual dalam bentuk grafik.
Memandangkan salah satu dapatan tinjauan awal pelajar PENGAJIAN PERNIAGAAN ialah
mereka inginkan P&P yang menarik dan berbentuk grafik, maka pengkaji telah melaksanakan
intervensi dalam P&P dengan menggunakan peta i-THINK.
Sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan keinginan untuk mencapai salah satu ciri
utama dalam ekshibit 8 dalam PPPM iaitu KBAT (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013),
pengkaji bercadang untuk menggunakan kaedah i-THINK dalam kajian ini. Kaedah i-THINK
telahpun diperkenalkan kepada 1000 buah sekolah di Malaysia setelah menjalankan kajian rintis
ke atas 10 buah sekolah. Kaedah ini merupakan anjuran KPM dengan bantuan Agensi Inovasi
Malaysia. Dengan itu, fokus kajian ini ialah penggunaan kaedah i-THINK dalam P&P dalam
meningkatkan keputusan peperiksaan PENGAJIAN PERNIAGAAN di kalangan pelajar
tingkatan 6 Atas Sastera di sekolah pengkaji.
Apakah Tindakan Saya?
Perancangan
Waktu interaksi PENGAJIAN PERNIAGAAN adalah selama 360 minit seminggu, iaitu 9 waktu
(40 minit satu waktu) yang dibahagikan kepada 5 kali dalam seminggu. Sebelum intervensi kajian
ini bermula, pengkaji telah menyediakan nota dan latihan bercetak untuk setiap sub-topik.
Terdapat ruang kosong di dalam nota bercetak untuk diisi oleh pelajar dengan jawapan/kata kunci
penting. Pelajar juga mempunyai buku teks sendiri yang mereka perlu rujuk. Perkara sedemikian
juga telah dijalankan oleh guru PENGAJIAN PERNIAGAAN di Penggal 1. Yang berbeza ialah
pengkaji juga merancangkan setiap langkah pengajaran dengan melibatkan penggunaan peta i-
THINK pada setiap P&P PENGAJIAN PERNIAGAAN. Kajian tindakan ini dimulakan oleh
pengkaji pada Penggal 2 sehinggalah pertengahan Penggal 3.
Sukatan pelajaran Penggal 2 terdiri daripada tajuk-tajuk seperti Pengurusan (dengan sub-topik
Pengurusan, Perancangan dalam Pengurusan, Perorganisasian dalam Pengurusan, Kepimpinan
dalam Pengurusan, Pengawalan dalam Pengurusan), Pengeluaran, Pemasaran, Kewangan dan
Sumber Manusia. Untuk Penggal 3, tajuk-tajuk adalah Keusahawanan, Perniagaan Antarabangsa,
Rancangan Perniagaan, Etika Perniagaan dan Tanggungjawab Sosial. Pada Penggal 3, Kerja
Kursus juga dijalankan serentak dengan P&P, dengan tanggungan kerja kursus amat berat dekat
akhir Penggal 3 kerana pelajar harus membuat rumusan dan pembentangan hasil kerja kursus
mereka. Maka, kajian ini berhenti setakat pertengahan Penggal 3 supaya tidak membebankan P&P
pelajar. P&P tajuk Etika Perniagaan dan Tanggungjawab Sosial tidak melalui kajian ini.
Tindakan
Intervensi 1
Intervensi kajian bermula dengan pengkaji memotivasi pelajar mencuba kaedah baharu dalam
P&P. Pengkaji mengesyorkan kepada semua pelajar mengguna kaedah i-THINK untuk membuat
nota dan mengingat fakta-fakta dalam bentuk visual. Pengkaji perkenalkan kesemua lapan
peta i-THINK kepada pelajar dengan menggunakan cara penerangan dan demonstrasi selama
satu jam. Pelajar diminta menyalin contoh-contoh penggunaan peta i-THINK ke dalam nota
masing-masing. Selepas penerangan dan demonstrasi, contoh rajah 8 peta i-THINK di tampal di
belakang kelas supaya pelajar boleh membuat rujukan pada bila-bila masa sahaja. Pada hari
kedua, pengkaji mula mengendali P&P dengan bersyarah tajuk Pengurusan. Semasa syarahan,
pelajar mengisi fakta-fakta penting dalam nota bercetak. Dua puluh minit sebelum waktu kelas
selesai, pengkaji mengumpulkan pelajar dalam pasangan. Pelajar diminta untuk mengingati
fakta penting yang telah dipelajari dan kemudian memilih peta i-THINK yang sesuai untuk
mencatat fakta-fakta penting dalam bentuk grafik pada kertas bersaiz A4 yang diberi. Pelajar
dibenarkan berbincang sesama sendiri. Kemudian pengkaji menyuruh pelajar melakarkan peta
pilihan mereka ke papan putih untuk dikongsi bersama semua pelajar lain. Perbincangan
kesesuaian pemilihan peta i-THINK dijalankan. Pelajar mempelajari kesilapan dalam pemilihan
dan penggunaan peta. Selepas rumusan dan penambahbaikan dibuat, pelajar menyalin peta ke
dalam buku nota mereka. Pelajar diminta mengingati fakta-fakta penting yang mereka telah
lakar dalam bentuk peta i-THINK apabila mereka ada masa lapang. Kaedah ini dijalankan
selama 1 minggu.
Intervensi 2
Intervensi ini dijalankan pada minggu kedua. Kaedah intervensi adalah sama dengan intervensi 1.
Cuma tajuk P&P bagi intervensi 2 ialah Perancangan dalam Pengurusan. Pengkaji memulakan
P&P dengan menanya kembali fakta-fakta penting yang dipelajari oleh pelajar secara rawak. P&P
berbentuk syarahan dan di akhir P&P pelajar bekerja berduaan memilih peta yang sesuai untuk
mencatat fakta penting. Perbincangan dilaksanakan untuk menilai ketepatan penggunaan peta oleh
pelajar.
Intervensi 3
Minggu ketiga P&P diteruskan dengan tajuk Pengorganisasian dalam Pengurusan dan
dikendalikan seperti intervensi 1 & 2, cuma pelajar digalak oleh pengkaji menggunakan peta i-
THINK untuk membuat nota dan ringkasan sendiri semasa P&P tanpa memerlukan panduan guru
atau kerja dalam kumpulan. Pengkaji memerhati, bimbing dan menggalakkan pelajar untuk
menggunakan peta ini pada setiap interaksi.
Intervensi 4
Dalam intervensi ini pengkaji memastikan pelaksanaan pembentangan kerja kumpulan oleh pelajar
tentang tajuk Kepimpinan dalam Pengurusan. Setiap hari selepas kelas pelajar diminta balik ke
rumah untuk lakar fakta penting dengan peta i-THINK tentang apa yang telah dipelajari dalam
PENGAJIAN PERNIAGAAN. Mereka diminta mengingati fakta-fakta penting yang mereka telah
lakarkan itu. Guru akan menanya pelajar fakta-fakta penting yang dipelajari pada hari
keesokannya, lima minit sebelum memulakan P&P. Penyoalan dituju kepada pelajar secara
rawak atau kepada pelajar yang pengkaji rasa perlu lebih perhatian kerana kurang rajin menghafal.
Pengkaji masih menyemak peta i-THINK pelajar setiap hari.
Intervensi 5
Kajian ini diteruskan dengan memperlihatkan pelbagai kaedah semasa P&P digunakan oleh
pengkaji untuk tajuk Pengawalan dalam Pengurusan, Pengeluaran, Pemasaran, Kewangan,
dan Sumber Manusia. Selepas kelas setiap pelajar dikehendaki mencatat fakta penting dalam
bentuk peta i-THINK dan pengkaji hanya menyemak peta i-THINK mereka selepas setiap minggu
untuk memastikan penggunaan peta i-THINK masih betul. Pelajar masih dikehendaki menghafal
fakta penting. Nota bercetak dan latihan masih dibuat oleh pelajar.
Intervensi 6
Kajian diteruskan sehingga pertengahan Penggal 3 untuk tajuk Keusahawanan, Rancangan
Perniagaan, dan Perniagaan Antarabangsa. P&P diteruskan dengan penggunaan i-THINK, nota
bercetak dan latihan diberikan seperti intervensi sebelum ini.
Bagaimana Data Dikumpul?
Data telah dikumpul semasa dan selepas intervensi. Semasa intervensi pengkaji telah
melaksanakan pemerhatian dan membuat catatan refleksi. Selepas intervensi, data dikumpul
melalui refleksi pelajar, temu bual dan keputusan akademik pelajar selepas peperiksaan pada
setiap penggal.
Semasa intervensi, pengkaji telah membuat pemerhatian pada setiap P&P yang dilaksanakan.
Pemerhatian tidak berstruktur dan berstruktur digunakan oleh pengkaji untuk mengetahui segala
masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam menggunakan peta i-THINK dalam P&P. Pemerhatian
tidak berstruktur digunakan sepanjang waktu P&P, sementara pemerhatian berstruktur diguna
apabila pelajar melakar dan membentang peta yang mereka telah lakar. Pengkaji juga mencatat
refleksi pengkaji ke dalam buku log pada setiap hari selepas P&P. Pemerhatian dan catatan refleksi
dibuat oleh pengkaji sepanjang intervensi, iaitu selama lima bulan.
Selepas intervensi, data tentang pencapaian akademik pelajar dikumpul daripada peperiksaan
percubaan dan peperiksaan STPM di akhir penggal 2 dan penggal 3. Kertas peperiksaan Percubaan
Penggal STPM terdiri daripada 10 soalan subjektif dan 2 soalan esei. Pembinaan soalan
peperiksaan percubaan adalah mengikut struktur seperti peperiksaan STPM sebenar. Cara
pembinaan dan taburan soalan dirancang dalam jadual spesifikasi item (JSI) oleh penggubal
soalan. Penggubal soalan dibuat oleh rakan sejawat pengkaji. JSI dan soalan peperiksaan
percubaan disemak oleh guru-guru dalam unit Pengajian Perniagaan. Kemudian disahkan oleh
Penolong Kanan Tingkatan 6. Data keputusan peperiksaan percubaan dianalisis untuk melihat
kesan penggunaan i-THINK dalam pencapaian akademik pelajar.
Temu bual dikendalikan sebelum akhir Penggal 3. Pengkaji telah memilih 6 pelajar daripada 17
pelajar untuk mendapatkan data tentang penggunaan i-THINK dalam P&P. Pemilihan sampel
berstrata berdasarkan gred PENGAJIAN PERNIAGAAN Penggal 1 STPM dijalankan, di mana
sampel terdiri daripada dua pelajar yang mendapat gred F, dua yang mendapat gred C- dan dua
yang mendapat gred D+ dan D, masing-masing telah dipilih secara rawak. Mereka ditemu bual
secara bersendirian di waktu rehat pelajar. Hasil daripada temu bual direkod, transkrib, kod
dan akhirnya dicatat tema-tema.
Penulisan secara refleksi dijalankan ke atas pelajar untuk mendapatkan pendapat mereka
mengenai penggunaan peta i-THINK pada akhir Penggal 3 juga. Enam soalan telah diajukan
kepada lapan orang pelajar yang dipilih secara rawak berstrata (2 orang pelajar dari strata gred B,
C, D dan F mengikut strata keputusan peperiksaan percubaan Penggal 3 STPM). Seperti di waktu
tinjauan awal, pelajar diminta menulis maklum balas mereka tanpa was-was. Soalan soalan
merangkumi pendapat mereka tentang keputusan Peperiksaan Penggal 2 dan Peperiksaan
Percubaan Penggal 3, teknik pembelajaran mereka, teknik lain daripada yang diguna dalam
Penggal 1, sama ada menampakkan manfaat penggunaan i-THINK dalam nota PENGAJIAN
PERNIAGAAN, sama ada menggunakan i-THINK dalam subjek-subjek lain, dan akhir sekali
hasrat mereka akan PENGAJIAN PERNIAGAAN.
Apakah Keputusan Kajian Saya?
Dapatan Pemerhatian
Pada mula intervensi dijalankan, pelajar kurang berminat menggunakan kaedah peta i-THINK.
Semua pelajar mengeluh dan menyatakan cara sebegini lebih sesuai untuk pelajar di tahap lebih
rendah dan bukan di tahap Tingkatan 6. Pelajar lemah mahupun pelajar yang lebih baik dalam
akademik kurang berminat menggunakannya. Dapat diperhatikan bahawa pelajar amat lemah
dalam memilih peta yang sesuai untuk melakarkan fakta penting. Pelajar kerap memilih peta yang
salah dan pengkaji perlu menerangkan kembali secara ringkas penggunaan setiap peta tersebut.
Pengkaji juga mengingat dan menggalakkan pelajar bahawa i-THINK boleh digunakan semasa
P&P mata pelajaran lain.
Pada dua minggu yang pertama, kebolehan pelajar dalam pemilihan peta i-THINK yang sesuai
untuk dimasukkan fakta-fakta penting masih kurang stabil. Adakala tepat tetapi kebanyakan masa
mereka salah memilih peta. Selepas pengkaji mengulang cara penggunaan dan memberi
panduan semasa menyemak kerja pelajar, barulah menampakkan kemajuan dalam pemilihan
peta yang sesuai. Dalam minggu ketiga penggunaan peta i-THINK, pelajar yang lebih baik
dalam akademik masih mengeluh bahawa mereka ada cara tersendiri yang mereka gunakan
selama persekolahan mereka dan kurang minat menggunakan peta i-THINK. Pengkaji
menyeru mereka teruskan cara baharu ini dengan harapan ada kemungkinan cara baharu
menghasilkan keputusan yang lebih baik. Walaupun pemilihan peta telah bertambah baik, hampir
kesemua pelajar menghadapi masalah melakar peta dengan kemas. Pengkaji memotivasikan
pelajar dengan menyatakan rupa peta yang tidak kemas kurang penting, asalkan peta yang betul
dipilih. Didapati masih ada dua orang pelajar masih lemah dalam memilih peta yang betul. Pada
minggu keempat penggunaan peta i-THINK, pengkaji melihat pelajar boleh interprestasikan fakta
yang mereka pelajari dan melakar peta i-THINK tanpa panduan guru. Namun, pelajar sendiri
kurang berminat menggunakannya jika tiada arahan pengkaji.
Intervensi diteruskan sehingga selesai Penggal 2 dan ke pertengahan Penggal 3. Pada akhir
Penggal 2 dan penggal 3, didapati pelajar mahir dengan penggunaan peta i-THINK kerana tidak
ada kesalahan dalam penggunaannya. Pelajar juga dengan sendiri ingin lebih menggunakannya.
Peta buih, peta bulatan, peta pokok, peta aliran, peta dakap dan peta sebab dan akibat lebih kerap
digunakan oleh pelajar. Hanya dalam satu keadaan di Penggal 3, iaitu semasa pembelajaran
Perniagaan Antarabangsa, di mana mata wang dan negara ada menggunakan peta titi. Ada dua
pelajar memberitahu pengkaji bahawa peta i-THINK senang digunakan apabila perlu buat
hafalan. Ini ialah suatu pendapat positif daripada pelajar. Namun, masih ada empat pelajar yang
kurang minat menggunakan peta i-THINK semasa membuat nota mereka sendiri.
Dapatan penulisan refleksi pelajar
Penulisan refleksi yang dijalankan ke atas pelajar di akhir Penggal 3 adalah untuk pengkaji
memahami dengan lebih mendalam isi hati pelajar akan kegunaan i-THINK. Tiga pelajar merasa
tidak berpuas hati dengan keputusan peperiksaan mereka kerana masih gagal. Pelajar lain
gembira kerana keputusan PENGAJIAN PERNIAGAAN Penggal 2 STPM mereka telah
bertambah baik berbanding dengan keputusan Penggal 1 STPM. Empat pelajar menyatakan
teknik yang mereka gunakan adalah menghafal, lima pelajar pula lebih gemar membuat nota
pendek, sementara dua pelajar menyatakan latihan yang diberikan oleh guru amat membantu.
Didapati tiada pelajar menyatakan i-THINK sebagai satu teknik baharu yang digunakan oleh
mereka. Namun, dua pelajar menyatakan mereka membuat nota pendek dan mengulangkaji.
Empat daripada pelajar masih menyatakan hafalan adalah antara teknik yang paling efektif
untuk mereka membaiki keputusan peperiksaan mereka. Seramai empat pelajar menyatakan
i-THINK menyenangkan cara membaca dan menghafal fakta penting. Lagi empat pelajar
menyatakan mereka tidak suka menggunakan i-THINK, dan dua daripada mereka berpendapat
teknik ini tidak memberi sebarang kesan kepada mereka dan mereka lebih suka membaca nota
dalam bentuk ayat. Seramai empat daripada 14 pelajar menyatakan mereka tidak menggunakan i-
THINK untuk mata pelajaran lain kerana tiada masa. Hanya seorang pelajar menyatakan ada
menggunakan i-THINK dalam subjek lain. Empat daripada pelajar berpuas hati dengan nota
yang ringkas dan latihan yang banyak yang diberi oleh guru. Tiga daripada pelajar perlukan
motivasi dan dorongan daripada guru supaya terus belajar dan berusaha. Seorang pelajar
menyatakan berpuas hati dengan segala yang diberi dan dilakukan oleh guru.
Dapatan temu bual
Tema yang didapati hasil daripada temu bual ke atas 6 pelajar adalah: fakta yang perlu ditulis
adalah pendek, senang untuk hafal kerana fakta penting dalam bentuk poin, ada yang kurang
minat menggunakan peta, ada yang menyatakan peta pemikiran kurang fleksibel dan susah
lakar dengan kemas. Berikut adalah beberapa hasil daripada temu bual:
P3/1: Saya suka menggunakannya kerana tidak perlu tulis fakta dengan panjang lebar.
P6/2: Saya suka peta i-THINK kerana sekali tengok sudah nampak fakta penting.
P4/3: Saya kurang minat gunakannya tetapi saya dapati senang nak hafal.
P4/1: Saya kurang minat menggunakan peta i-THINK. Saya lebih suka guna peta minda.
P9/2: Senang, nampak fakta penting, senang untuk hafalan.
P2/3: Saya ada cara tersendiri untuk buat nota saya. Saya suka gunakan ’bullet’.
P12/3: Saya dah ada cara saya sendiri untuk buat nota. Susah nak lakar peta dengan kemas.
P12/4: Saya lebih suka guna cara sendiri untuk buat nota.
P2/5: Adakala macam hanya guna peta bulatan sahaja. Bosannya. Takde pilihan peta lain yang
sesuai.
Refleksi pengkaji
Walaupun peta i-THINK hanya ada lapan jenis, namun kebanyakan masanya hanya peta bulatan,
peta pokok, peta alir dan peta sebab dan akibat digunakan. Empat peta yang lain, iaitu peta buih,
peta berganda, peta titi dan peta dakap kurang digunakan kerana tidak relevan. Berbanding
dengan peta minda oleh Buzan (2011), pengkaji berpendapat peta minda lebih senang
digunakan. Jikalau pelajar di peringkat Tingkatan 6 yang berumur 19 tahun ada masalah mengguna
peta i-THINK, pelajar yang lebih muda akan mengalami lebih banyak masalah memilih dan
mengguna peta yang sesuai. Hanya dengan panduan dan bimbingan pengkaji, pelajar menjadi
lebih mahir mengguna kaedah P&P ini setelah 2 minggu. Di akhir minggu ke tiga hanya 2
pelajar masih kurang mahir mengguna kaedah ini.
Di akhir minggu ke empat, semua pelajar sudah mahir menggunakannya. Bimbingan guru tidak
diperlukan lagi. Masalah lain yang pengkaji dapati ialah pelajar sudah ada sistem membuat nota
sendiri semasa belajar dan selepas setiap pembelajaran. Pengkaji berpendapat peta i-THINK
akan lebih diminati jikalau pelajar mula menggunakannya dari umur muda lagi. Ini tidaklah ganjil
kerana pelajar-pelajar ini berumur 19 tahun dan sudah 12 tahun di bangku sekolah. Mereka telah
melalui banyak teknik P&P dan telah biasa dengan sesetengah teknik. Adalah sukar untuk
ubah sesuatu kelakuan. Ini adalah sehaluan dengan pendapat Marzano & Pickering (2006) yang
menyatakan pelajar harus dididik dari kecil untuk mempunyai kelakuan minda yang sihat dan
produktif.
Selain itu, walaupun semua pelajar menggunakan kaedah peta i-THINK, namun pelajar
yang lebih pandai kurang berminat. Pelajar lemah suka menggunakan i-THINK kerana tidak
perlu menulis fakta yang panjang-panjang. Ada kemungkinan juga pelajar kurang berminat
mengguna kaedah peta i-THINK kerana tidak digunakan dalam subjek yang lain. Keputusan
pengkaji untuk menjalankan kajian untuk jangka waktu panjang menampakkan hasil. Tempoh
yang panjang menampakkan pelajar menjadi lebih mahir akan penggunaan peta i-THINK dan ada
dua pelajar yang suka menggunakannya.
Apakah Yang Telah Saya Pelajari ?
Daripada kajian ini, saya tahu adalah susah untuk pelajar menggunakan peta i-THINK
walaupun pendedahan dalam bentuk syarahan dan demonstrasi telah digunakan. Pelajar dapat
faham hanya apabila mereka mengaplikasikan penggunaan peta i-THINK banyak kali. Latih
tubi amat diperlukan untuk mereka berjaya dan bimbingan guru diperlukan untuk memandu
mereka supaya menjadi yakin. Apabila pelajar yakin dengan penggunaan kaedah i-THINK,
mereka dengan sendirinya boleh menggunakannya tanpa bimbingan. Namun mengguna dan
menghayati penggunaan adalah tidak sama. Walaupun pelajar tahu menggunakan kaedah ini,
mereka tidak ingin menggunakannya kerana pada pendapat mereka adalah membebankan dan
membuang masa dan cara lama mereka adalah lebih baik. Mengubah tabiat seseorang adalah
susah jikalau ia telah biasa dengan suatu kaedah. Perpatah Melayu yang menyatakan meluntur
aur biar dari rebung adalah amat tepat. Adalah lebih senang mengajar sesuatu yang baharu
kepada yang muda daripada yang tua. Program i-THINK akan dilancarkan oleh kerajaan ke
seluruh negara bermula dari peringkat sekolah rendah. Sejauh mana pelajar sekolah rendah
dapat memahami dan mempraktikkan kaedah ini dengan sendiri perlu dikaji dengan lebih teliti.
Kajian yang dijalankan ini telah membuktikan adalah susah untuk betul-betul memahami dan
menggunakan kaedah peta i-THINK dengan tepat. Pelajar sekolah rendah tentu akan tanggap
peta i-THINK abstrak. Daripada penulisan refleksi dan temu bual yang dijalankan ke atas
pelajar pada Penggal 3, didapati kebanyakan pelajar masih kurang berminat menggunakan peta i-
THINK, malahan mereka dapati teknik menghafal lebih membawa kejayaan. Namun ada pelajar
yang menyatakan penghafalan mereka ialah dengan menggunakan peta-peta i-THINK yang
mereka telah buat. Keputusan peperiksaan Penggal 2 dan percubaan Penggal 3 adalah amat
baik berbanding Penggal 1. Terdapat lonjakan peratus lulus dan kenaikan GPMP. Pelajar, guru,
dan pihak sekolah juga turut gembira dengan keputusan yang begitu baik.
Namun, kesimpulan yang ketara tidak dapat dibuat sama ada i-THINK lah yang
membolehkan pelajar mendapat keputusan yang baik. Ada kemungkinan teknik-teknik yang lain
juga telah banyak menyumbang kepada keputusan ini. Daripada temu bual yang dijalankan
di pertengahan Penggal 3, dapat dilihat dengan lebih jelas bahawa ada pelajar yang sukakan i-
THINK dan mendapati ia memanfaatkan pembelajaran mereka, dan ada juga yang
menyatakan mereka tidak minat menggunakannya. Keputusan keseluruhan menunjukkan i-
THINK ada memberi sedikit kesan ke atas pembelajaran dan keputusan peperiksaan pelajar.
Namun, keputusan ini bukanlah sesuatu yang muktamad (conclusive). Oleh kerana terdapat
peningkatan keputusan peperiksaan pelajar lemah yang menggunakan i-THINK, teknik ini
disyorkan untuk semua warga guru sekolah yang ingin mencuba teknik lain visual yang dapat
menimbulkan minta pelajar untuk belajar dengan cara yang ringkas.
6.0 CADANGAN UNTUK KAJIAN SETERUSNYA
Daripada dapatan kajian boleh disimpulkan bahawa i-THINK memang boleh diguna pakai dalam
P&P PENGAJIAN PERNIAGAAN. Maklum balas pelajar yang positif dan keputusan
peperiksaan menunjukkan persepsi pelajar dan pencapaian pelajar meningkat selepas intervensi
kaedah i-THINK. Kaedah i-THINK dapat membantu pelajar meringkaskan apa yang dipelajari ke
dalam bentuk gambar. Namun, penggunaan teknik ini tidak boleh dipaksa ke atas semua pelajar
kerana setiap pelajar ada teknik belajarnya yang tersendiri. Asalkan teknik ini didedahkan
kepada pelajar, adalah merupakan pilihan mereka untuk menggunakannya atau tidak.
Memandangkan keputusan kajian menunjukkan keputusan pelajar bertambah baik, penggunaan
kaedah i-THINK banyak disyorkan diguna oleh guru-guru di seluruh pelusuk negara seperti mana
Kementerian Pelajaran Malaysia rancangkan. Walaupun cadangan diberi untuk melaksanakan
penggunaan i-THINK untuk pelajar mulai peringkat sekolah rendah, namun harus berwaspada
cara penggunaan oleh murid muda kerana panduan guru amat diperlukan.
7.0 SENARAI RUJUKAN
Baer, D. M. (1981). A hung jury and a Scottish verdict: “Not proven” Analysis and
Intervention in Developmental Disabilities, 1(1), 91-97.
Business circle. (2014). Educate to Innovate: Malaysia must continue to build a high
performing education system for success beyond 2020. Retrieved 19th March, 2015
Buzan, T. (2011). Mind Mapping. Retrieved 21 March, 2015, from
http://www.tonybuzan.com/about/mind-mapping/
CikguAzly (2013). Kunci Pengajian Perniagaan Penggal 2. Bengkel teknik menjawab soalan.
Terengganu.
Clarke, I., Flaherty, T. & Yankey, M. (2006). Teaching the Visual Learner: The Use of Visual
Summaries in Marketing Education. Journal of Marketing Education. 28(3), pp. 218-
226.
Dunn, R. & Honigsfeld, A. (2013). Learning Styles: What We Know and What We Need. The
Educational Forum. 77(2).
Hyerle, D. (2009). Visual tools for transforming information into knowledge. Corwin Press;
Second Edition.
Jensen, E. (2000). Brain-based Learning. A Reality Check. Educational Leadership. 57(7).
Kementerian Pendidikan Malaysia (2013). Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-
2025 (Pendidikan prasekolah hingga lepas menengah). Putrajaya: Kementerian
Pendidikan Malaysia
Marzano, R. J., & Pickering, D. J. (2005). Building academic vocabulary teacher's manual.
Alexandria, VA: Association for Supervision and Curriculum Development.
Ng, C. L. dan Chapman, K. Charting the future with maps. StarEducate, TheStar. Retrieved
17 March, 2013.