The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by lotfianuar, 2020-11-07 10:03:33

PELAJARI TIPS KESIHATAN MENTAL DI RUMAH

health Education Series

ISI KANDUNGAN

1. Mengapakah saya mengalami masalah susah tidur pada waktu malam?
2. Adakah saya mengalami kemurungan?
3. Mengapakah saya boleh mendengar bisikan suara ghaib?
4. Mengapakah saya boleh berkeinginan bunuh diri?
5. Bagaimanakah seseorang boleh mencederakan diri sendiri?
6. Bagaimana saya boleh menangani tingkah laku agresif?
7. Adakah was-was sejenis penyakit mental?
8. Mengapakah saya terlalu pemalu di hadapan orang?
9. Mengapakah saya nervous ketika perlu membuat pembentangan atau

persembahan?
10. Adakah pesakit nyanyuk membela hantu?

2

INSOMNIA

Mengapakah Saya Mengalami Masalah Susah Tidur
Pada Waktu Malam?

Tidur adalah anugerah yang tidak ternilai dari tuhan yang mencipta siang dan
malam. Ianya dikawal secara semulajadi oleh bahagian otak yang di namakan
suprachiasmatic nuclei (SCN) melalui proses yang dinamakan kitaran tidur-
jaga (circadian rhythm). Ia berfungsi melalui rangsangan cahaya matahari
yang masuk melalui anak mata.
Kitaran ini menyebabkan kadar siap siaga mental kita berfungsi secara
optimum sepanjang tempoh 24 jam. Sebagai contoh kebiasaannya kita
merasa begitu segar pada pukul 9-11am dan 9-11pm dan susah untuk tidur
pada waktu tersebut. Tetapi pada pukul 3-5am dan 3-5pm pula kita dapati
mata kita berasa amat mengantuk seperti hendak terlelap. Ini adalah sebab
kenapa kadar kemalangan berlaku lebih kerap pada waktu lewat malam atau
awal pagi.

INSOMNIA

Individu yang mengalami gangguan tidur (insomnia) biasanya tidak boleh
tidur dengan lena walaupun telah diberi waktu yang cukup untuk melelapkan
mata. Ada juga yang langsung tidak boleh tidur sehingga menyebabkan
keletihan melampau, sakit kepala, rasa mudah marah sehingga menjejaskan
kemampuan kognitif untuk menjalankan tugas harian keesokan harinya.
Gangguan tidur ini kerap berlaku di kalangan 30 hingga 50% populasi
manusia dan sebab yang paling utama adalah stress. Punca stress ini boleh
disebabkan oleh pelbagai faktor seperti bebanan kerja yang berat, putus
cinta, masalah kewangan, keluarga atau menghadapi peperiksaan. Kerisauan
berlebihan pula boleh menyebabkan individu tetap mengantuk walaupun
kelihatan tidur lena pada malam sebelumnya.
Gangguan tidur berlaku dalam tiga peringkat:
1. Masalah untuk memulakan tidur
2. Masalah kerapkali terjaga di waktu malam
3. Masalah waktu tidur yang terlalu pendek dimana mereka bangun terlalu
awal dari biasa dan tidak dapat menyambung tidur semula.
Masalah gangguan tidur yang disebabkan oleh stress ini akan hilang
sekiranya punca-punca stress itu boleh diselesaikan. Walau bagaimanapun
sekiranya stress itu tidak dapat di tangani dengan baik ia akan menyebabkan
kemurungan seperti gangguan peringkat ke tiga.
RAWATAN
Rawatan utama bagi gejala insomnia yang disebabkan stress adalah amalan
disiplin tidur yang sihat. Stress perlu ditangani dengan baik seperti
penggunaan kaedah latihan pernafasan, teknik merehatkan otot secara
progresif dan kaedah merehatkan minda. Pendekatan agama dan spiritual
juga membantu. Insomnia kronik pula boleh dirawat dengan ubat-ubatan
dari kumpulan sedatif atau hypnotik seperti benzodiazepine dan zolpidem.
Rawatan hormon melatonin juga boleh digunakan. Doktor akan menilai
kewujudan penyakit lain seperti kemurungan atau kerisauan melampau yang
mungkin memerlukan rawatan pakar.

INSOMNIA

TIPS DISIPLIN TIDUR SIHAT
1. Disiplinkan jadual tidur dan elakkan tidur di siang hari. Tidur dan bangun
pada waktu yang tetap pada setiap hari akan membantu mengawalatur
kitaran tidur-jaga. Masuk tidur apabila mengatuk dan jangan tidur
berlebihan.
2. Jangan ambil sebarang bahan perangsang seperti teh, kopi, alkohol atau
menghisap rokok sebelum masuk tidur. Jangan masuk tidur dalam keadaan
lapar.
3. Jadikan bilik tidur anda sebagai tempat untuk tidur sahaja. Hiaslah bilik
tidur anda dengan cantik dan pastikan cadar sentiasa kemas. Labur wang
untuk membeli comforter yang selesa dan unit penghawa dingin. Wujudkan
suasana yang menggoda dengan meletakkan, bunga, gambar hiasan, foto
atau lilin aromaterapi yang boleh membuatkan anda tenang dan rilek.
4. Jangan gunakan bilik tidur untuk makan, menonton televisyen atau
membuat kerja pejabat supaya otak anda didisiplinkan bahawa bilik tidur
hanya boleh digunakan untuk tidur sahaja. Padamkan lampu dan hindarkan
segala kebisingan. Sekiranya anda minat membaca pastikan bahan bacaan
anda sesuatu yang ringan, santai dan tidak menyeramkan.
5. Bersenam secara berkala untuk membina minda yang sihat tetapi jangan
bersenam pada waktu malam. Ia akan menyebabkan denyutan jantung dan
peredaran darah meningkat dan mengambil masa untuk normal sebelum
membolehkan seseorang tidur.
6. Cuba buat sesuatu yang selesa sebagai penawar stress. Anda boleh
bermain dengan anak dirumah, menonton televisyen atau berjumpa kawan
sebentar selepas waktu kerja untuk berbual, meluahkan perasaan atau
mendapatkan khidmat nasihat berguna.

KEMURUNGAN

Adakah Saya Mengalami Kemurungan?

Dua daripada sepuluh orang pernah mengalami penyakit kemurungan pada
satu-satu masa dalam hidup mereka. Bezanya adalah adakah mereka
sembuh dengan sendirinya (spontaneous recovery) atau dengan rawatan.
Bagi yang kurang bernasib baik, penyakit ini akan menghilangkan senyuman
dari wajah dan marampas kualiti hidup secara perlahan-lahan. Tidak kurang
juga ada yang benar-benar kecewa sehingga sanggup membunuh atau
mencederakan diri sendiri.
Kemurungan menjejaskan fungsi minda dah tubuh badan. Kemurungan
boleh membuat jiwa seseorang rasa kosong dan tidak bermakna. Mereka
tidak mampu menikmati kegembiraan dalam membuat sesuatu perkara
walaupun dahulunya mereka begitu girang melakukannya.
Selera makan berubah. Begitu juga dengan corak tidur. Pesakit mudah
meradang dan sentiasa kelihatan resah gelisah. Mereka kerap berfikir
tentang perkara-perkara negatif. Bagi pekerja profesional, mereka keletihan
di siang hari dan tidak dapat memberikan tumpuan kepada tugasan.
Jika anda mengalami tanda-tanda di atas, jangan tunggu lama untuk
mendapatkan rawatan. Jangan juga menunggu penyakit anda sembuh
dengan sendirinya. Ianya mungkin mengambil masa bertahun-tahun atau
tidak akan sembuh sama sekali dan anda pastinya tidak mahu tercicir dari
mengejar matlamat hidup.

KEMURUNGAN

BAGAIMANA MENDAPATKAN BANTUAN?
Memulakan langkah pertama dalam mendapatkan rawatan tidak semudah
mengaku yang diri anda mempunyai tanda-tanda kemurungan. Ini kerana
pesakit biasanya cenderung untuk mengasingkan diri. Tambahan pula
mereka selalu rasa rendah diri dan tidak ingat bilakah kali terakhir mereka
rasa gembira.
Walau bagaimanapun ianya berbaloi kerana rawatan boleh membantu
pesakit berfikir dengan lebih jelas dan mereka juga boleh bekerja seperti
sediakala dalam kadar segera.
Doktor akan menilai tanda-tanda kemurungan dan sejauh mana penyakit
tersebut menjejaskan kehidupan. Diagnosis diberi dan satu pelan perawatan
terperinci akan diterangkan.
Dalam sesi konsultasi, pelbagai pilihan rawatan dibincangkan. Biasanya
doktor akan mencadangkan jenis rawatan yang terbaik. Buat masa ini,
rawatan terbaik adalah kombinasi ubat-ubatan dan terapi psikologi.
Kesan boleh dilihat seawal dua ke enam minggu. Tenaga badan dan corak
tidur biasanya akan pulih terlebih dahulu sebelum perasaan murung dan
ingatan membunuh diri hilang sepenuhnya. Ianya memang cepat jika
dibandingkan dengan berkurung di dalam rumah bertahun-tahun sementara
menunggu ianya pulih secara semulajadi, jika benar ia boleh berlaku.
Terapi psikologi dan kaunseling pula diberi setelah rawatan ubat-ubatan
mula memberi kesan. Pesakit hanya perlu dimasukkan ke wad jika keadaan
mereka didapati merbahaya kepada diri sendiri atau orang lain. Contohnya
jika pesakit mendengar suara ghaib, mempunyai delusi atau berkeinginan
kuat membunuh diri.
Ada juga pesakit yang berisiko mendatangkan kecederaan kepada orang lain
seperti kepada bayi baru lahir atau anak kecil di rumah. Pesakit seperti ini
biasanya perlu masukkan ke wad juga.

KEMURUNGAN

TIPS MENCEGAH KEMURUNGAN
1. Disamping bantuan profesional, ada beberapa kaedah yang boleh

lakukan untuk membantu menceriakan kehidupan.
2. Menjaga kesihatan contohnya, dapat memaksimumkan peluang untuk

hidup lebih gembira. Ini termasuk pengamalan gaya hidup sihat seperti
menjaga jadual tidur dan pengambilan diet yang seimbang.
3. Amalkan senaman berkala. Walaupun pesakit biasanya selalu rasa letih
dan tidak bermaya, senaman boleh merangsang rembesan hormon
endorphin yang membolehkan mereka rasa lebih selesa dan ceria.
4. Buat aktiviti kreatif yang boleh menceriakan perasaan seperti melukis,
menulis atau menanam pokok bunga. Ia boleh melegakan fikiran dan
menimbulkan perasaan puas hat.
5. Cuba hubungi rakan, saudara-mara atau orang yang boleh membantu
menceriakan keadaan. Anda boleh membuat panggilan talifon atau keluar
berborak di kedai kopi. Sekurang-kurangnya ia membolehkan anda
berhubung dengan individu yang lebih selamat berbanding berkurung
sepanjang hari di dalam rumah.
Kesimpulannya, jika anda fikir anda menderita penyakit kemurungan, sila
berjumpa doktor. Ramai pesakit telah pun sembuh sepenuhnya dengan
rawatan. Mereka ini bukan sahaja menjadi lebih peka kepada kehendak diri
sendiri tetapi juga menjadi lebih kuat dalam menghadapi cabaran
mendatang.

HALUSINASI

Mengapakah Saya Boleh Mendengar Bisikan Suara Ghaib?

Ada orang berpendapat mendengar suara ghaib adalah sesuatu yang
menyeramkan kerana ianya berkaitan dengan kuasa mistik. Jawapannya
adalah ianya memang boleh berlaku dalam pelbagai penyakit bilamana
keseimbangan bahan kinia yang dipanggil neurotransmitter di dalam otak
terjejas.
Sebagai contoh, seorang yang mengambil dadah, dia juga boleh mendengar
suara ghaib sehingga kita boleh lihat dia boleh bercakap semula dengan
suara tersebut. Jangan terkejut jika ditanya ‘”hari ini encik ada mendengar
gangguan suara ghaib tak” dan jawapan yang diberi adalah “ya”
Sebenarnya, mendengar suara ghaib adalah sejenis symptom penyakit
mental “auditory hallucination”. Ia adalah sejenis halusinasi pendengaran
dimana seseorang pesakit boleh mendengar suara ghaib dalam bentuk
bisikan atau percakapan padahal pada waktu tersebut memang tidak ada
orang yang bercakap dengannya.

HALUSINASI

Bisikan suara ini sebenarnya disebabkan oleh ketidakseimbangan sejenis
neurotransmitter di dalam otak yang dipanggil dopamine. Ia bukanlah
disebabkan oleh bisikan makhluk halus atau jembalang. Penyakit ini boleh
berlaku kepada seseiapa sahaja.
Kalau zaman dahulu ada yang menganggap mereka yang mendengar suara
ghaib ini sebagai mempunyai kelebihan tertentu tetapi bagi perubatan moden
ini sebenarnya sejenis penyakit mental.
Mendengar suara ghaib bukanlah pengalaman yang menyenangkan.
Seseorang yang mendengar suara ghaib pada kali pertama biasanya keliru.
Mereka akan tercari-cari punca suara tersebut. Ini kerana mereka boleh
mendengar suara tersebut dengan begitu jelas seperti benar-benar ada
orang sedang bercakap di telinga.
Pesakit pada mulanya cuba berlagak seperti biasa tetapi lama kelamaan
mereka mula rasa tidak selesa kerana bukan semua isi kandungan bisikan
tersebut menyenangkan.
JENIS SUARA GHAIB
Jenis suara ghaib bergantung kepada isi kandungan dan penyakit mental
yang dihidapi.
Bagi pesakit kemurungan, mereka biasanya selalu mendengar suara ghaib
yang merendah-rendahkan diri dan menyebabkan mereka sedih. Contohnya
“kau memang anak tak berguna!” atau “kau tak cantik sebab itu teman lelaki
tinggalkan kau!”.
Pesakit schizophrenia pula biasanya mendengar suara ghaib yang lebih
menyakitkan hati seperti mendengar suara ghaib sekumpulan manusia yang
mengkritik apa sahaja perbuatan yang pesakit lakukan. Contohnya semasa
mandi, akan ada suara ghaib yang mengejek pesakit sedang mandi dan
kemudiannya ketawa beramai-ramai.
Ada juga pesakit yang apabila bercakap di dalam hati tetapi boleh
mendengarnya dengan kuat di telinga seolah-olah menggunakan pembesar
suara.
Pesakit “bipolar manic” pula akan mendengar suara ghaib yang mengatakan
bahawa mereka ini hebat atau istimewa. Contohnya suara tuhan yang
mengatakan bahawa mereka berketurunan pahlawan, boleh mengubati
pelbagai penyakit dan seumpamanya.

HALUSINASI

Bayangkan jika anda melalui pengalaman yang sama, anda juga pasti akan
tertekan atau hidup dalam ketakutan.
Akhirnya, pesakit semakin kerap kelihatan termenung. Mereka semakin jauh
dari dunia realiti. Ada juga yang mula berinteraksi dengan suara ghaib
tersebut. Kadang-kadang mereka memarahi kembali suara tersebut secara
sorok-sorok di belakang. Sekarang, mereka dilihat seperti selalu bercakap
seorang diri terutamanya di dalam bilik tetapi apabila ditanya mereka akan
menafikan.
RAWATAN
Pesakit yang mendengar suara ghaib perlu dirawat supaya tidak menjadi
bertambah teruk. Jika gangguan berterusan pesakit akan menunjukkan
tingkahlaku merapu atau pelik. Mereka bercakap, ketawa, menyanyi, senyum
atau marah seorang diri walaupun di khalayak ramai.
Ketika ini barulah orang sekeliling menyedari yang pesakit perlu dibawa
untuk rawatan. Kemasukan ke wad perlu sekiranya pesakit mendengar suara
ghaib yang mengarah mereka membuat sesuatu. Ini seperti suara yang
menyuruh pesakit membunuh diri sendiri atau membunuh orang lain.
Rawatan diberi bergantung kepada jenis penyakit. Ubat-ubatan antipsikotik
seperti haloperidol, risperidone dan asenapine boleh digunakan untuk
menghilangkan gangguan suara ghaib. Ubat antidepressant pula diberi
kepada pesakit yang mengalami kemurungan. Terapi elektrokonvulsif dan
terapi tingkahlaku kognitif juga boleh membantu.
Penyakit mental sama seperti penyakit perubatan yang lain. Ianya boleh
diubati. Yang penting bawalah pesakit ke hospital untuk mendapatkan
rawatan yang betul.

BUNUH DIRI

Bagaimana Saya Boleh Berkeinginan Bunuh Diri?

Keinginan membunuh diri adalah suatu kecemasan. Ia timbul apabila
seseorang berputus asa dan beranggapan kehidupan tidak lagi berguna. Bagi
mereka kematian adalah satu-satunya jalan penyelesaian.
Ada pelbagai sebab seseorang mempunyai keinginan membunuh diri. Sebab
yang paling utama adalah masalah perhubungan seperti putus cinta atau
pertelingkahan keluarga. Hampir separuh dari mereka mengalami masalah
kemurungan. Ada yang disebabkan oleh penyakit mental lain seperti
ketagihan dadah, judi, bipolar dan schizophrenia.
Risiko bunuh diri lebih tinggi dikalangan mangsa yang berumur bawah 35
tahun. Kajian menunjukkan kaum wanita tiga kali lebih berpotensi untuk
cuba membunuh diri tetapi kaum lelaki biasanya lebih ramai yang berjaya
melakukannya. Kes bunuh diri di kalangan warga emas pula biasanya
disebabkan oleh ketidak upayaan akibat kesakitan berpanjangan, kesunyian
dan kemurungan.
TANDA AWAL
Kebanyakan mangsa tidak membuat keputusan membunuh diri dalam masa
satu hari. Jika ianya berlaku kepada rakan, anda pasti akan melihat beberapa
tanda amaran awal. Jangan ambil mudah kerana anda mungkin dapat
menyelamatkannya.

BUNUH DIRI

Tanda paling mudah dilihat adalah perubahan tingkah laku akibat murung.
Mangsa pastinya selalu kelihatan tidak gembira dan adakala menyendiri atau
menjauhkan diri dari orang ramai. Mangsa mungkin pernah menyuarakan
perasaan membenci dirinya sendiri.
Mangsa juga mungkin meninggalkan wasiat secara tidak langsung seperti
memberi barang kesayangan berharga miliknya kepada orang lain atau
mengatur semula urusan berkaitan kewangan peribadi. Ini biasa berlaku
kerana mangsa tidak mahu keluarganya terbeban dengan kos pengkebumian
atau bil tertunggak selepas kematiannya. Kerana itu bagi kebanyakan
kejadian bunuh diri yang berjaya dilakukan, nota bunuh diri akan ditemui
bersama.
TIPS MENGELAKKAN PERLAKUAN BUNUH DIRI?
Jika anda berhadapan dengan situasi di atas, janganlah teragak-agak untuk
bertanya adakah rakan anda benar-benar serius memikirkan rancangannya
untuk membunuh diri. Tanya dan berikan perhatian terhadap jawapannya.
Jika jawapannya “ya”, dapatkan bantuan dengan segera. Lihat di sekeliling
sekiranya terdapat cara mudah untuk mangsa membunuh diri. Alihkan
pandangan tersebut. Ianya mungkin senjata tajam, racun atau tempat tinggi
yang membolehkan mangsa terjun. Jangan tinggalkan mangsa keseorangan
dan cuba pujuk untuk dibawa ke hospital. Jika gagal cuba dapatkan
perhatian orang disekeliling untuk tolong menghubungi polis.
Periksa sekiranya mangsa berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
Jika anda merasakan mangsa telah pun mengambil sesuatu yang berbahaya,
tanya apakah jenis racun tersebut serta kuantitinya. Maklumat ini mungkin
membantu rawatan mangsa di hospital.
Banyakkan bercakap agar mangsa dapat meluahkan perasaan. Beritahu
mangsa yang kehadiran anda di situ adalah untuk menolong. Yakinkan
mangsa yang masalah itu akan dapat diatasi. Jangan sekali-kali berjanji yang
anda akan menyembunyikan perbuatan tersebut dari keluarganya.
Berhati-hati semasa berbicara. Ada beberapa perkara yang tidak seharusnya
dicakap kerana mangsa mungkin akan menukar makna ayat dan
meneruskan percubaan bunuh diri. Anda juga pastinya tidak mahu
menyaksikan adegan tersebut di depan mata. Ini kerana pada waktu itu,
mangsa tidak lagi mampu berfikir seperti orang lain yang waras.

BUNUH DIRI

Sebagai contoh, jangan beritahu ada ramai lagi orang yang bernasib lebih
malang di dunia ini. Ingatlah yang mangsa bukannya bodoh. Mangsa hanya
berada dalam keadaan kemurungan yang teruk. Mangsa pastinya tahu ada
ramai manusia yang kebuluran di Afrika dan askar yang terkorban semasa
berperang. Ini hanya akan membuatkannya berfikir betapa tidak adilnya
dunia dan mangsa akan menjadi lebih murung.
Begitu juga dengan berkata "bunuh diri berdosa besar dan mangsa gerenti
akan masuk neraka". Perlu diingat sekiranya mangsa seorang yang jahil,
adakah dia akan percayakan kata-kata anda? Tetapi sekiranya mangsa
seorang yang beragama, pasti penderitaannya begitu hebat sekali sehingga
sanggup mempertimbangkan pilihan membunuh diri.
Percayalah dalam keadaan waras tidak ada seorang pun yang mahu
membunuh diri. Kemurungan akan menghilangkan kewarasan seseorang.
Orang seperti ini sukar dijangka dan mampu melakukan apa yang tidak ingin
dibuat oleh manusia biasa. Berdoalah agar kita tidak termasuk di dalam
golongan ini.

CEDERAKAN DIRI SENDIRI

Bagaimana Seseorang Boleh Mencederakan
Diri Sendiri?

Saya dikunjungi seorang anak gadis cantik ketika sesi rawatan pakar di
klinik. Raut wajahnya agak lembut tetapi kelihatan agak pemalu. Matanya
memandang ke arah dinding. Nampak seperti tiada apa yang tidak kena.
Remaja ini hanya membisu.
Surat rujukan yang dibawa mengatakan bahawa remaja ini mengalami
gangguan emosi yang teruk. Saya cuba bertanya beberapa soalan tetapi
tetap gagal. Sehinggalah saya terpandang lengan remaja tersebut yang
dipenuhi kesan kelaran akibat torehan pisau cukur. Kebanyakan kesan
kelaran itu didapati masih merah tetapi ada juga yang telah meninggalkan
parut tebal.
Ini adalah contoh kes “deliberate self harm” yang biasanya berlaku kepada
golongan remaja. Ia boleh bermula seawal usia 12 tahun. Ramai individu
terkenal mengaku pernah melakukan perbuatan sebegini pada zaman
remaja mereka. Bagi anak gadis ini pula, pasti ada kisahnya tersendiri.

CEDERAKAN DIRI SENDIRI

Mengelar lengan adalah salah satu kaedah yang paling popular. Contoh lain
seperti membakar jari, menghantuk kepala, menumbuk dinding atau apa-
apa sahaja cara yang dapat menimbulkan kesakitan. Dalam keadaan
melampau ada yang sanggup mematahkan kaki atau tangan sendiri.
Kebanyakan mereka memberi alasan menghilangkan tekanan atau mengubat
kekecewaan. Mereka seolah-olah lega melihat darah sendiri mengalir keluar.
Padahal, mereka sebenarnya cuba mengalih tumpuan daripada memikirkan
keperitan emosi kepada merasai kesakitan fizikal yang sengaja dibuat.
Agak mendukacitakan apabila diselidik, penyebab kepada tekanan adalah
kerana kurangnya bimbingan ibu bapa dalam menyelesaikan masalah
kehidupan seharian seperti percintaan atau pertelingkahan keluarga. Lebih
malang apabila ada di antara mereka yang usianya masih terlalu mentah
untuk memikirkannya.
Ada yang bertujuan hanya untuk menarik perhatian seseorang. Apabila
gagal, mereka cenderung untuk mencuba sesuatu yang lebih merbahaya.
Mereka ini sebenarnya tidak pun berhasrat membunuh diri. Tetapi bagi
mereka yang tidak cukup bernasib baik, ada juga yang berakhir dengan
kematian.
TIPS MENGENALI INDIVIDU SEBEGINI DAN BAGAIMANA UNTUK
MEMBANTU?
Kenali tanda-tanda tertentu supaya individu terlibat dapat dikenal pasti. Ini
kerana individu sebegini suka berahsia. Mereka sangat takut sekiranya
kelemahan diri diketahui umum. Berikut adalah tanda-tanda yang boleh
diperhatikan:
1. Mereka mempunyai kesan kecederaan seperti parut kelaran, lebam atau

cakaran di tempat yang kelihatannya seperti tidak masuk akal.
2. Memberi alasan yang tidak munasabah terhadap punca kecederaan

seperti terlibat dalam kemalangan jalan raya atau cakaran kucing.
3. Mereka menutup kesan kecederaan tersebut dengan pakaian atau make-

up berlebihan.
4. Emosi mereka mudah berubah dengan ketara. Selalu kelihatan murung

atau resah tetapi apabila diperhatikan mereka akan cepat-cepat berubah
kepada gembira dan berlagak seperti normal.

CEDERAKAN DIRI SENDIRI

5. Mereka selalu menyendiri dan mengelak dari menyertai aktiviti keluarga
atau masyarakat.

6. Mereka mempunyai prestasi pelajaran atau kerja yang rendah. Tidak
bersemangat dan sentiasa rasa rendah diri.

7. Mereka menunjukkan tanda-tanda awal ketagihan alkohol, dadah, rokok
atau ubat psikotropik.

8. Mereka selalu menunjukkan tingkah laku yang membahayakan diri sendiri
seperti melintas jalan tanpa melihat kenderaan atau memandu secara
cuai.

Jangan terkejut sekiranya menjumpai tanda-tanda di atas pada orang
tersayang. Sememangnya hanya orang terdekat sahaja yang akan
mengesannya terlebih dahulu. Jangan memarahi mereka. Ingatlah yang
mereka baru sahaja mendedahkan rahsia hitam di dalam hidupnya.
Dapatkan kepercayaan mereka untuk mengetahui punca masalah. Sebagai
orang terdekat anda mungkin boleh menolong menyelesaikannya.
Sekiranya gagal, bawalah berjumpa doktor. Mereka mungkin mengalami
penyakit mental seperti personaliti borderline, bipolar, kemurungan atau
schizophrenia. Ada kemungkinan juga mereka mengalami trauma akibat
penganiayaan seksual atau emosi pada zaman kanak-kanak.
Kawalan ibu bapa sangatlah penting untuk mencegah kes-kes sebegini. Ini
termasuk akses anak-anak kepada internet. Tahukah anda tentang
kewujudan laman web yang mengajar pengguna kaedah-kaedah
mencederakan diri sendiri? Lengkap dengan panduan bagaimana
memastikan kaedah tersebut pasti akan menyebabkan kematian.
Bantulah anak-anak ini kerana mereka sebenarnya masih terlalu mentah
untuk membuat pilihan di antara hidup dan mati.

TINGKAHLAKU AGRESIF

Bagaimana Menangani Tingkah laku Agresif?

Tingkah laku agressif kerapkali dikaitkan dengan perasaan marah. Marah
adalah sebahagian dari tindak balas normal perasaan manusia tetapi apabila
tidak terkawal boleh mengakibatkan kemudaratan.
Walaupun perlakuan agresif selalu dikaitkan dengan individu yang
mengalami penyakit mental tetapi ianya juga boleh berlaku di kalangan
manusia normal.
Dari sudut perubatan psikiatri agresif adalah sebarang perlakuan yang boleh
menyebabkan kemudaratan serius kepada tubuh badan atau perasaan
seseorang mangsa. Perlakuan ini boleh berlaku dalam bentuk tindakan ganas
atau butiran perkataan yang berunsur ugutan jenayah.

TINGKAHLAKU AGRESIF

PUNCA
Mereka yang menunjukkan tingkah laku agresif ini biasanya mengalami
kecacatan bahagian otak yang dipanggil prefrontal cortex. Selain dari itu
ketidak-seimbangan bahan kimia di dalam otak yang dipanggil
neurotransmitter serta kecelaruan rembesan hormon juga boleh
menyebabkan tingkah laku agresif.
Bagi manusia normal tingkah laku agresif boleh berlaku apabila
kemahuannya tidak dipenuhi atau apabila keselamatan diri terancam. Faktor
persekitaran juga boleh memainkan peranan. Sebagai contoh seorang
pemandu kereta yang tidak menggunakan penyaman udara di dalam cuaca
panas didapati lebih mudah untuk membunyikan “horn” sesuka hati dan
menunjukkan tingkah laku agresif apabila dicabar.
Penjenayah dan seseorang yang mempunyai masalah personaliti seperti
antisosial atau borderline, tingkah laku agresif bagi mereka adalah satu
keseronokan yang menyebabkan mereka cenderung untuk mengulangi
perbuatan tersebut. Perlakuan tersebut akan lebih kejam dan ganas
sekiranya mereka menagih dadah atau mengambil alkohol.
Penagih dadah yang berada di bawah pengaruh dadah pula boleh menjadi
agresif apabila mereka mempunyai delusion atau kepercayaan yang
mengatakan kononnya individu tertentu cuba untuk membuat aniaya atau
membunuh mereka. Penagih merasakan bahawa perkara tersebut seperti
benar-benar terjadi lalu mereka akan bertindak agresif terlebih dahulu
terhadap individu tersebut. Mereka juga selalunya berhalusinasi mendengar
suara ghaib yang menyuruh mereka berkelakuan agresif atau membunuh
seseorang.
Pesakit yang mengalami kemurungan pula biasanya mempunyai pandangan
negatif terhadap diri sendiri. Ini menyebabkan perasaan kecewa dan marah
melampau yang membawa kepada tingkah laku agresif seperti mengamuk
dan keinginan membunuh. Mereka juga sangat sensitif kepada teguran dan
kritikan.
Penderita pesakit post traumatic stress disorder (PTSD) di kalangan anggota
tentera yang pernah menyaksikan trauma di medan pertempuran pula boleh
menunjukkan tingkah laku agresif selepas mereka bersara sekiranya tidak
dirawat.

TINGKAHLAKU AGRESIF

TIPS BERHADAPAN DENGAN INDIVIDU AGRESIF
1. Jauhkan diri dari individu tersebut. Talifon polis dan maklumkan
tempat kejadian, bentuk perlakuan agresif dan senjata yang digunakan.
2. Fahami peringkat pembentukan tingkah laku agresif. Setiap yang
bermula akan berakhir. Begitu juga dengan perasaan marah dan perlakuan
agresif. Ia akan sampai ke kemuncak dan reda sedikit demi sedikit.
3. Apabila anda tidak mampu melarikan diri, apa yang anda perlu
lakukan adalah menjaga keselamatan anda sementara menunggu bantuan.
4. Jangan panik, sentiasa berwaspada, perhatikan sebarang senjata
bahaya yang penyerang pegang seperti pisau, kayu dan sebagainya.
5. Kekalkan jarak selamat antara anda dan individu tersebut. Jika
penyerang tidak bersenjata pastikan jarak anda tidak membolehkan dia
menyentuh anda.
6. Cuba bawa ke tempat terbuka yang boleh menarik perhatian orang
ramai memberi pertolongan.
7. Cuba bawa berbual dengan bertanya apa yang boleh anda tolong
untuk meredakan kemarahannya.
8. Gunakan ayat yang pendek, mudah dan jelas dalam nada yang
tenang.
9. Jangan cuba melawan, kritik atau komen berkenaan sesuatu isu yang
dibangkitkan.
10. Cuba tunjukkan yang anda bersimpati dengan masalah yang di
hadapi.
11. Jangan buat tindakan yang boleh membuatkannya terkejut seperti
menjerit dan jangan sekali-kali menyerang balas.
12. Cuba tawar menawar samada anda boleh pergi ke tempat selamat
atau menyuruhnya bertenang.
13. Yakinlah bantuan akan tiba. Pihak polis mempunyai cara tersendiri
untuk mententeramkan keadaan demi keselamatan anda, mangsa dan
individu tersebut.

MASALAH WAS-WAS

Adakah Was-was Sejenis Penyakit Mental?

Saya bertemu seorang wanita awal 30-an yang mengadu mengalami
masalah was-was sehingga segala urusan kehidupan seharian termasuk
ibadah terganggu. Was-was beliau bermula secara kebetulan semasa awal
remaja apabila beliau terlupa mengunci pintu rumah dan dimarahi ibunya.
Semenjak itu, wanita ini kerap tertanya-tanya samada beliau sudah
mengunci pintu rumah setelah keluar. Sehinggalah dewasa, keadaan wanita
ini semakin teruk dimana beliau terpaksa pulang ke rumah beberapa kali
selepas sampai ke pejabat semata-mata untuk memeriksa kunci pintu.
Tombol pintu rumahnya juga terpaksa ditukar beberapa kali kerana rosak
akibat selalu disentak dengan kuat semasa diperiksa.
Begitu juga apabila membasuh tangan atau mandi, beliau akan mengambil
masa sehingga dua ke tiga jam. Walaupun telah dibasuh dengan bersih, rasa
was-was itu masih wujud sehinggakan beliau terpaksa mandi semula
beberapa kali. Akibatnya beliau selalu terlewat ke tempat kerja.

MASALAH WAS-WAS

Ibadah solat juga terganggu. Beliau mengambil masa yang lama untuk
berwuduk dan selalu was-was bilangan rakaat. Beliau juga mengulangi solat
yang sama berkali-kali.
Di tempat kerja, majikan selalu merungut kerja yang diberi terlalu lambat
disiapkan. Ini berlaku kerana beliau membuat tugasan tersebut berulang-
ulang kali juga. Setiap kali tugasan siap akan ada perasaan was-was yang
menyebabkan beliau terpaksa memadam keseluruhan hasil kerja dan
memulakannya semula.
Hari ke hari beliau menjadi semakin tertekan. Sekarang beliau memutuskan
untuk tidak lagi bersolat atau mandi kerana beliau tidak tahan lagi
memikirkan perasaan was-was tersebut. Beliau mudah meradang dan
akhirnya dibuang kerja kerana terlalu kerap ponteng.
Penyakit was-was dalam istilah perubatan psikologi dikenali sebagai
obsessive compulsive disorder (OCD). Ianya sejenis penyakit gangguan jiwa.
Penderita penyakit ini biasanya mengalami gangguan pemikiran berulang-
ulang dalam bentuk was-was. Pemikiran ini akhirnya membawa kepada
perbuatan berulang-ulang juga seperti membasuh tangan, mandi,
memeriksa kunci pintu dan lain-lain.
Pesakit OCD terlalu cerewet dengan isu kebersihan. Ada pesakit yang
enggan mengambil wang kertas yang jatuh ke lantai dan ada yang
membasuh talifon bimbit berulang kali sehingga rosak semata-mata untuk
membuang kekotoran.
Selain was-was, pesakit juga boleh dihantui perasaan bersalah atau
gangguan imaginasi. Sebagai contoh ada pesakit yang dihantui perasaan
bersalah akibat dari membayangkan diri melakukan perbuatan jijik yang
tidak masuk akal seperti membuang air atau membuat hubungan seks di
dalam rumah ibadat walhal perkara itu tidak pun dilakukannya.
Dianggarkan satu dari lima puluh orang di Amerika Syarikat menghidap
penyakit OCD. Jumlah ini dijangka lebih ramai kerana angka ini tidak
termasuk mereka yang tidak mendapatkan rawatan secara formal.
Orang sekeliling juga boleh menjadi mangsa. Jika di pejabat, kakitangan
bawahan akan menjadi objek obsessi. Kerja yang diarah perlu dibuat
berulang-ulang kali walaupun telah sempurna dilakukan. Susun atur pejabat
tidak boleh berubah walaupun satu inchi dan sebarang kesilapan kecil pasti
mengundang amarah yang sangat besar.

MASALAH WAS-WAS

Kakitangan juga akan dikenakan undang-undang pelik yang diluar skop
kerja. Lebih malang sekiranya mereka juga disuruh membasuh tangan
berulang-ulang kali selepas mengambil pen yang terjatuh di lantai. Nah,
sekarang bayangkan pula bagaimana sengsaranya pasangan di rumah yang
terpaksa hidup dengan orang sebegini selama berpuluh-puluh tahun?
RAWATAN
Pesakit OCD tahu perbuatan yang mereka lakukan itu bodoh dan tidak
masuk akal. Mereka marah jika ada orang berkata mereka tidak mampu
mengawal perbuatan sendiri. Walhal mereka sebenarnya yang tidak mempu
melawan pemikiran was-was tersebut.
Kaedah rawatan paling baik adalah pendekatan secara menyeluruh. OCD
sama seperti penyakit murung, ia disebabkan oleh kekurangan
neurotransmitter yang dipanggil serotonin. Oleh itu pesakit OCD juga mudah
mendapat kemurungan. Penggunaan ubat antidepressant seperti SSRI
(contohnya fluoxetine) dalam dos tinggi sangat membantu dan kesannya
boleh dilihat selepas enam minggu.
Pesakit juga boleh diberi psikoterapi untuk mengurangkan sensitiviti
terhadap pemikiran obsessi yang keterlaluan. Untuk memperbetulkan
ibadah, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat keagamaan
daripada sumber yang betul.

MASALAH PEMALU

Mengapakah Saya Terlalu Pemalu di Hadapan Orang?

Dahulu, Amirah memang dikenali sebagai seorang yang pendiam tetapi
bukanlah pemalu. Dia memperoleh keputusan yang baik dalam Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM) dan berjaya memasuki salah sebuah Institut
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kuala Lumpur dalam bidang komunikasi
massa.
Semasa di IPTA inilah Amirah merasakan berlaku perubahan besar ke atas
dirinya. Mungkin dahulu tidak begitu ketara. Amir dapati sikap pemalunya
semakin menjadi-jadi.
Amirah menggelabah apabila berada di dalam situasi yang menyebabkan
dirinya menjadi perhatian orang ramai. Mukanya serta-merta merah padam.
Dia berpeluh kuat sehingga bajunya kelihatan jelas basah. Pernafasannya
menjadi laju, sementara jantungnya pula berdegup dengan kencang. Apabila
bercakap aliran suaranya menjadi tersekat-sekat dan bunyinya pula
kedengaran seperti terketar-ketar.

MASALAH PEMALU

Kerana itu Amirah tidak hadir pada setiap hari pertama sesi kuliah pengajian
baru untuk mengelak daripada terpaksa memperkenalkan diri di hadapan
pensyarah dan kawan-kawan.
Pada mulanya beliau menganggap perkara ini normal tetapi lama kelamaan
Amirah terpaksa ponteng kelas untuk mengelak daripada membuat
pembentangan. Kawan-kawan pula mengelak membuat kerja berkumpulan
dengannyanya kerana tidak mahu mendapat markah rendah.
Amirah tertekan kerana sebelum ini dia merupakan seorang pelajar yang
pintar. Perkara ini tidak pernah menjadi masalah semasa di sekolah
menengah dahulu kerana di sana dia tidak perlu membuat pembentangan
dan semua ilmu dipelajari melalui kaedah “spoon feed”.
Ini contoh biasa seseorang yang mengalami masalah malu keterlaluan yang
mana ia sebenarnya ialah sejenis penyakit yang dipanggil social anxiety
disorder. Ramai orang mengalami masalah sebegini sebenarnya tetapi
mereka tidak tahu yang ianya sejenis penyakit. Contoh lain yang biasa
berlaku adalah seseorang yang mengelak dari menjadi perhatian ramai di
atas pentas dan sekiranya ia berlaku kepada seorang penyanyi
sememangnya akan mengganggu persembahan.
AKIBAT
Social anxiety disorder bukanlah penyakit malu biasa kerana ianya boleh
menyebabkan kecelaruan fungsi psikososial.
Penghidap penyakit ini tidak berupaya menikmati kehidupan berpasangan
atau bermasyarakat dengan baik. Mereka sentiasa mengelak aktiviti sosial
atau kemasyarakatan.
Bayangkan seorang ayah yang tidak mahu menghadiri majlis kovokesyen
anak perempuannya atau menemani isteri ke program hari keluarga kerana
mengelak dari bertemu orang yang tidak dikenali. Mereka memberi pelbagai
alasan tidak munasabah dan selalu bergaduh semata-mata untuk tidak turut
serta dalam aktiviti ini.
Kawan-kawan pula salah faham dan mengatakan mereka seorang yang
sombong, bongkak atau malu tidak bertempat. Di tempat kerja pula,
pengidap penyakit ini biasanya akan sentiasa terpinggir dan selalu terlepas
peluang kenaikan pangkat. Tiada ajakan keluar makan dari kawan-kawan,
apatah lagi pelawaan bermain golf bersama boss.

MASALAH PEMALU

Dari aspek mutu kerja, mereka mengelak membuat pembentangan atau
memberi penerangan umum kepada pelanggan. Sekiranya dipaksa, tanpa
berfikir panjang mereka akan bertindak ponteng kerja. Mereka kerap
bertukar-tukar tempat kerja dalam usaha mencari pekerjaan baru yang lebih
sesuai.
Mereka dilihat tidak mempunyai daya kepimpinan yang baik dan akhirnya
mereka terpaksa melakukan kerja yang tidak setanding dengan kelayakan.
RAWATAN
Jika tidak dirawat akan menyebabkan keadaan yang dipanggil agoraphobia.
Keadaan dimana seseorang mengelak terus daripada berada di tempat yang
mempunyai ramai orang seperti menghadiri majlis kenduri kahwin atau
keluar membeli barang keperluan rumah di pasar raya. Mereka ini bagaikan
terpenjara di dalam rumah sendiri.
Jika anda atau sesiapa yang anda kenal mempunyai masalah ini, sila ambil
perhatian bahawa ianya sejenis penyakit dan boleh dirawat. Jangan tunggu
sehingga penyakit ini menghancurkan peluang kerjaya atau hubungan
interpersonal anda dengan seseorang.
Jika gejala yang dialami adalah ringan, beberapa sesi kaunseling atau
psikoterapi sudah mencukupi. Jika teruk sehingga menyebabkan
kemurungan misalnya, pengambilan ubat-ubatan diperlukan.
Mengambil ubat-ubatan tidak bermakna seseorang itu gila atau tidak waras.
Ia menunjukkan sebaliknya kerana ini membuktikan bahawa seseorang itu
mampu membuat pertimbangan wajar dalam memilih apa yang baik untuk
diri sendiri dan orang tersayang.

MASALAH NERVOUS

Mengapakah Saya Nervous Ketika Perlu
Membuat Pembentangan atau Persembahan?

MJ ialah seorang penyanyi K-Pop popular antara bangsa. Disebalik
kelincahannya beraksi di pentas, tidak ada seorang pun tahu betapa
gentarnya beliau setiap kali sebelum pengadakan persembahan.
Sebulan sebelum konsert diadakan MJ sudah mula sukar untuk melelapkan
mata. Beliau risau tidak mampu memberi aksi terbaik sebagaimana yang
diharapkan oleh peminatnya.
Semakin dekat tarikh persembahan, keadaannya semakin teruk. MJ berpeluh
dengan banyak sebelum latihan pentas sehingga terpaksa menggunakan
make-up yang tebal. Beliau juga selalu rasa loya, berdebar-debar dan
bernafas dengan laju. MJ kerap mendapat diarrhea pada waktu pagi dan
mengadu mengalami masalah kecut perut.

MASALAH NERVOUS

Rakan artisnya mencadangkan MJ mencuba pil penenang yang terdapat di
pasaran gelap. Ia membantu untuk sementara waktu tetapi keadaannya
tetap sama pada keesokan harinya. MJ mula mencuba dadah. Kesan khayal
dadah menyebabkan MJ menjadi lebih berani. Malangnya MJ menjadi agak
keterlaluan ketika di atas pentas. MJ hilang malu dan selalu menanggalkan
baju ketika menyanyi.
Dunia glamornya dipenuhi kontroversi. Nasib baiklah MJ mempunyai seorang
pengurus yang cekap menyembunyikan kelemahannya. Selepas berpuluh
tahun, MJ menjadi seperti seorang penagih dadah. Hidupnya kini bergantung
dengan dadah dan berpuluh-puluh biji pil penenang setiap sehari.
Pada satu hari MJ dilaporkan telah meninggal dunia, sehari sebelum
mengadakan persembahan konsert besar. MJ mengalami serangan jantung
akibat dari pengambilan dadah yang berlebihan.
Ini ialah contoh kes performance anxiety, tindak balas fizikal yang berlaku
apabila seseorang merasa tertekan untuk memberi aksi terbaik dalam
sesuatu persembahan.
Sungguh pun ada orang yang langsung tidak pernah mengalami keadaan
seperti ini, tetapi bagi seorang artis mereka terpaksa mengalaminya berkali-
kali sepanjang kareer.
Performance anxiety atau stage fright juga boleh terjadi dalam situasi lain.
Contohnya kepada seorang atlet sukan yang akan memasuki sesuatu
kejohanan, seorang pekerja yang akan menghadiri temuduga atau kepada
penceramah yang akan menyampaikan syarahan umum.
Tidak dapat dinafikan, ramai orang mengalami masalah performance anxiety
ini. Ketakutan untuk menyampaikan syarahan umum misalnya, menduduki
ranking teratas berbanding ketakutan kepada ular, ketinggian atau kegelapan
bagi kebanyakan manusia.
PUNCA UTAMA MASALAH SEKSUAL LELAKI
Performance anxiety juga dikenal-pasti sebagai punca utama masalah
seksual lelaki. Mereka ini mengalami kerisauan melampau dengan
kemampuan seksual masing-masing.
Kerisauan berkenaan saiz alat kelamin dan kemampuan bertahan misalnya
kerap bermain di fikiran. Ini akan menggalakkan penggunaan ubat
perangsang seksual yang tidak perlu.

MASALAH NERVOUS

Performance anxiety menghalang seseorang daripada menonjolkan bakat
sebenar. Walau pun kelihatan ringan tetapi dalam keadaan teruk ia boleh
membantutkan perkembangan kerjaya seseorang.
Bayangkan apa akan berlaku apabila seorang artis terpaksa mengambil
dadah terlebih dahulu sebelum beraksi dalam sesuatu konsert atau seorang
pekerja yang sanggup tidak naik pangkat kerana mengelak daripada
menghadiri temuduga?
TIPS PENCEGAHAN DAN RAWATAN
Langkah pertama dalam menangani masalah ini adalah persediaan. Bagi
seorang penyanyi mungkin mereka boleh bermula dengan proses pemilihan
lagu yang dirasakan dapat menyenangkan hati peminat. Menyanyi dalam
keadaan riuh rendah teriakan peminat pasti tidak sama keadaannya dengan
menyanyi di lounge atau pub. Kemudian berlatihlah berkali-kali untuk
memantapkan lagi prestasi nyanyian.
Begitu juga dengan penceramah, ahli sukan atau mereka yang akan
menghadiri temuduga. Berlatih akan meningkatkan keyakinan. Bagi kaum
lelaki yang risau tentang kemampuan seksual mereka pula, sentiasalah
berfikiran positif. Dapatkan nasihat yang betul dari orang yang lebih
berpengalaman dan jangan cuba sebarang ubat perangsang sebelum
mendapatkan nasihat doktor.
Cuba bercakap dengan diri sendiri kata-kata yang boleh menaikkan
semangat. Ianya dipanggil self-talk dan sesuai dilakukan ketika latihan atau
sebelum mengadakan sesuatu persembahan. Kata-kata seperti “aku boleh
buat” boleh merangsang fikiran untuk menjadi lebih yakin kepada
kemampuan diri sendiri.
Pengambilan pil penenang dan dadah perangsang untuk menghilangkan
tanda-tanda kerisauan yang disebabkan oleh performance anxiety dipanggil
self-medicate. Kesan palsu yang dirasai pastinya akan mengundang padah
satu hari nanti. Sebelum terlambat, tiada salahnya anda berjumpa doktor
pakar untuk mendapatkan rawatan yang betul.

MASALAH NYANYUK

Adakah Pesakit Nyanyuk Membela Hantu?

Menjaga orang tua uzur bukanlah senang. Mereka terdedah kepada
berbagai jenis penyakit dan boleh menunjukkan pelbagai ragam.
Begitulah luahan hati Puan Normala apabila meluahkan perasaan mengenai
keadaannya yang terpaksa mengambil giliran setiap tiga bulan untuk
menjaga ibunya yang uzur. Pada waktu itu, hidupnya sekeluarga akan
menjadi kelam-kabut, tambahan pula kesukaran untuk mendapatkan
pembantu rumah yang sudi membantu.
Masalah kesihatan ibunya bermula beberapa tahun lepas. Puan Normala
pelik apabila ibunya memberi jawapan yang merepek ketika diajukan
sebarang soalan. Pada mulanya beliau menyangka ibu mengalami masalah
pendengaran sehinggalah pada satu hari ibunya hilang di pusat membeli
belah. Ibunya ditemui sedang merayau-rayau tanpa tujuan dan tidak ingat
lokasi dia berada. Ibunya lalu dibawa berjumpa doktor.
Doktor membuat beberapa pemeriksaan dan ujian. Keputusan mengesahkan
ibunya mengalami tanda-tanda penyakit alzheimer atau nyanyuk. Ini
menjawab teka-teki perubahan ganjil yang ditunjukkan melalui tingkahlaku
ibunya selama ini.

MASALAH NYANYUK

Nyanyuk adalah sejenis penyakit otak yang disebabkan oleh penuaan. Ia
boleh berlaku kepada sesiapa sahaja seawal usia 65 tahun. Simptom
utamanya adalah sifat pelupa yang melampau. Simptom lain adalah
perubahan yang ketara terhadap emosi dan tingkahlaku.
Puan Normala teringat pengalamannya menjaga ibu. Memang ibu ada
mengalami masalah pelupa. Ibu kerap memberitahu belum mengambil
sarapan pagi walhal baru sahaja selesai makan. Ibu juga pernah masak
makanan yang terlalu masin sehingga tidak boleh dimakan kerana terlupa
telah memasukkan garam berkali-kali.
BUANG AIR DI RUANG TAMU
Pada waktu pagi Puan Normala mendapati ibunya tidur dan buang air di
ruang tamu kerana gagal mencari kedudukan bilik air. Ibu kerap bertanyakan
soalan yang sama walaupun telah diberi jawapan berulang kali. Ibu juga
kerap kesana-kemari mencari barang-barang miliknya yang dikatakan hilang
tetapi sebenarnya dia terlupa tempat simpanan. Tidak hairanlah adiknya
menyediakan bilik khas seperti kurungan di rumah setiap kali sampai
gilirannya menjaga ibu.
Sekarang ibu selalu kelihatan murung. Ingatan masa lampaunya juga
terjejas. Kini nama anak dan rakan lama juga tidak mampu diingat. Apabila
ditanya ibunya meradang. Ibu termenung ketika diberi baju untuk dipakai
kerana lupa cara untuk mengenakan butang baju tersebut. Ibu juga bersolat
pada waktu yang salah kerana tidak dapat lagi membezakan antara siang
dan malam.
BELA HANTU
Saya menerangkan kepada Puan Normala, pesakit nyanyuk juga boleh
mengalami halusinasi seperti mendengar suara ghaib. Ini ditunjukkan
melalui tingkah laku ibunya yang kerap bercakap seorang diri. Pesakit juga
boleh mendapat delusi seperti mengatakan ada orang menghantar ilmu
hitam atau ada hantu mengacau. Keadaan ini dipanggil psikotik.
Puan Normala mengambil nafas lega. Beliau kini mempunyai fakta untuk
dijelaskan kepada anak-anaknya yang keadaan nenek mereka bukanlah
disebabkan membela hantu. Perkara sama akan dijelaskan kepada suaminya
agar tidak lagi menghabiskan wang berubat dari satu tempat ke satu tempat
untuk membuang hantu tersebut.

MASALAH NYANYUK

Kajian menunjukkan penyakit nyanyuk boleh memberi tekanan hebat kepada
penjaga atau “caregiver”. Penjagaan memerlukan kesabaran, komitment dan
kos yang tinggi. Inilah sebab utama mengapa anak-anak memilih untuk
menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan atau pusat perlindungan
orang tua.
Jika dikesan pada peringkat awal, penyakit ini boleh dicegah dari menjadi
bertambah teruk. Malangnya ia tetap tidak akan dapat mengembalikan
ingatan pesakit seperti sediakala. Walau-bagaimanapun, ubat-ubatan seperti
Aricept, Exelon dan Ebixa contohnya boleh membantu pesakit menjalani
kehidupan seharian dengan lebih baik.
TIPS PENJAGAAN PESAKIT NYANYUK
1. Elakkan pesakit berpindah-randah daripada satu rumah ke rumah lain. Ini

bertujuan supaya mereka mudah mengingat dan tidak keliru dengan
susun atur perabut dan kedudukan bilik di rumah anak-anak.
2. Pastikan bilik tidur mempunyai tingkap supaya mereka boleh dirangsang
mengenal-pasti perubahan waktu siang dan malam.
3. Gunakan Jam besar di dalam bilik pesakit supaya mereka peka kepada
perubahan waktu.
4. Sorok kunci kereta atau motorsikal untuk mengelakkan mereka
menggunakan kenderaan.
5. Ajar mereka menghafal nombor talifon anda atau bekalkan mereka
dengan nota yang tertulis alamat tempat tinggal anda.
6. Memakaikan mereka talifon, jam atau kasut yang mempunyai alat
pengesan GPS untuk membolehkan kita mengesan jejak mereka
sekiranya hilang.
Banyakkan bersabar, ini mungkin perkara terbaik yang anda boleh lakukan
untuk mereka.

Hak Cipta Lotfi Anuar 2020
Terbitan Pertama 2020
Email: [email protected]
Hakcipta terpelihara: Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana
bahagian artikel, ilustrasi dan isi kandungan buku ini dalam apa jua bentuk
dan dengan apa jua cara sekalipun samada secara elektronik, fotokopi,
mekanik, rakaman ataupun cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada
penulis.
Apa yang terkandung di dalam ebook ini adalah untuk tujuan pendidikan
kesihatan semata-mata. Tiada jaminan bahawa segala maklumat adalah tepat
dan lengkap kerana ilmu perubatan sentiasa berkembang dari masa ke
semasa. Penulis dan penerbit tidak bertanggung –jawab atas apa-apa risiko,
kehilangan, liabiliti samada secara peribadi atau tidak, yang berlaku akibat
penggunaan dan aplikasi kandungan ebook ini samada secara langsung atau
tidak. Pembaca dinasihatkan mendapat nasihat lanjut dari pengamal
berubatan atau doktor bertauliah.
Penggunaan gambar dan imej hanyalah untuk tujuan ilustrasi sahaja,
sekiranya melibatkan tuntutan hakcipta bolehlah email penulis seperti alamat
email di atas untuk tujuan pemadaman.
Penulis mengalu-alukan sebarang maklumbalas dari pembaca untuk tujuan
penambahbaikan atau pembetulan fakta.

Berkenaan Penulis
Dr Lotfi Anuar merupakan seorang pakar perubatan dalam bidang psikiatri.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (UM),
Sarjana Perubatan Psikiatri (UKM) dan Fellowship Perubatan Penagihan (UM).
Beliau banyak menumpukan kajian dalam bidang penagihan dadah dan
pengurusan stress. Beliau merupakan seorang kolumnis di ruangan “Doktor
Menulis” di akhbar Mingguan Malaysia selama 2 tahun satu ketika dulu.


Click to View FlipBook Version