Mari kenali bendera malaysia
Maksud Rekabentuk Bendera Malaysia
Bendera Malaysia dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih
(melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan
jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri
dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau
Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah
yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak
bulan tanda Agama Islam - agama rasmi bagi Persekutuan (Malaysia seperti yang telah tertakluk
dibawah Perlembagaan Negara Malaysia).
Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning
pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
Bagaimana Bendera Malaysia mendapat nama Jalur Gemilang
Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40, Perdana Menteri,
Tun Mahathir bin Mohamad telah mengistiyarkan nama bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang
di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sebelum itu, pada tahun 1995, Datuk Hashim Mat Dris mencadangkan bendera Malaysia diberikan
nama rasmi seperti bendera kebangsaan Indonesia digelar Sang Saka Merah Putih, United
Kingdom – Union Jack, Amerika Syarikat – Star Spangled Banner dan bendera Perancis digelar
Tricolor.
Beliau memberi cadangan bendera Malaysia dinamakan sebagai "Si Tuah". Sempena nama Hang
Tuah, pahlawan Melayu yang berani, gagah perkasa dan setia kepada raja.
Cadangan beliau itu kemudiannya telah diusulkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr.
Mahathir Mohamad.
Pada 11 Julai 1995 Tun Dr. Mahathir telah bersetuju supaya diadakan satu peraduan bagi memilih
nama yang sesuai untuk bendera Malaysia. Oleh itu, satu Jawatankuasa Induk Peraduan Mencipta
Nama Bendera Malaysia ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua
Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan dianggotai oleh wakil daripada
beberapa kementerian dan agensi yang berkenaan.
Dalam mesyuarat pada 1 April 1996, jawatankuasa induk peraduan mencipta nama bendera
Malaysia telah bersetuju bahawa pemilihan cadangan nama bendera Malaysia tidak perlu dibuat
melalui peraduan tetapi memadai dipilih daripada senarai nama yang dikemukakan oleh ahli-ahli
jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian dan agensi yang berkaitan. Tun Dr.
Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan tersebut. Nama Jawatankuasa itu kemudiannya
ditukar menjadi, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia.
Jawatankuasa itu telah menimbang 75 cadangan nama berserta huraiannya. Setelah penelitian
dibuat, tiga cadangan nama dipilih iaitu ‘Setia Perkasa’, ‘Seri Setia Perkasa’ dan ‘Seri Setia
Negara’. Cadangan nama-nama tersebut dipilih kerana ia didapati sesuai sebagai lambang
sejarah dan perjuangan negara serta mampu memupuk semangat jitu di kalangan rakyat untuk
terus maju membina sebuah negara yang aman makmur.
Pada 11 September 1996, usul dikemukakan kepada jemaah menteri mengenai tiga nama
cadangan yang dipilih. Namun, kesemua nama-nama tersebut gagal memikat hati ahli-ahli
mesyuarat Kabinet yang berpandangan bahawa ia tidak benar-benar melambangkan sifat dan
semangat yang diwakili oleh bendera Malaysia itu sendiri.
Jemaah menteri kemudiannya meminta supaya cadangan-cadangan baru dikemukakan.
Berikutan keputusan itu, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia bersidang semula
untuk mencari cadangan nama-nama baru untuk bendera Malaysia.
Dalam mesyuarat pada 2 Jun 1997 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Halim Ali, Ketua
Setiausaha Negara pada waktu itu sebanyak 28 cadangan nama dipertimbangkan. Setelah
membuat penelitian, mesyuarat bersetuju memilih tiga nama mengikut keutamaan seperti berikut:
‘Jalur Gemilang’, ‘Jalur Nusa Gemilang’ dan ‘Jalur Sinar Gemilang’.
Apabila ketiga-tiga cadangan nama tersebut dibentangkan pada 9 Julai 1997, jemaah menteri
telah bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama ‘Jalur Gemilang’.
Nama Jalur Gemilang di ilhamkan oleh Tuan Haji Md. Rebuan @Md. Redzuan Bin Tumin Pegawai
Dari Jabatan Muzium Antikuiti.
Maksud Nama Jalur Gemilang
JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu,
lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang
sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam
menuju kegemilangan bangsa dan negara.
GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian
Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu
melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa
bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan
kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk
dan pedoman yang terang lagi jelas.
Rukun Negara
Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970
oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang
menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.
BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:
Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
Memelihara cara hidup demokratik
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati
secara adil dan saksama
Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-
bagai corak
Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami
untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN
4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN
Mari kita fahami maksud setiap prinsip
rukun negara.
Kepercayaan Kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui
kepercayaan beragama yang betul akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa
dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah
agama Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan
aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan. Jawatankuasa penggubal
Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam
kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga
sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota
masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip
pertama dalam Rukun Negara.
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang
di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap
negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda,
Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan
kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan
sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di
peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah
negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan
Agong.
Keluhuran Perlembagaan
Keluhuran perlembagaan menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan
mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara iaitu sumber perundangan
yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak
dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki
menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah
pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan
kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu
kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu
atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-
ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan dengan
sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.
Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi
undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-
undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan
dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan
stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan
berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu
masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin
kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang
kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat
boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara
sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.
Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya
adalah untuk membentuk warganegara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan
kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan
santun dan bersusila adalah amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain
dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut
diamalkan bagi membentuk individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang
akan mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci tingkah laku yang
angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga
mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan
kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa
terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.