Pendekatan Pembelajaran
Pendekatan adalah cara bagaimana sesuatu isi pelajaran disampaikan iaitu
berpusatkan guru, berpusatkan murid dan berpusatkan bahan. Pemilihan
pendekatan yang sesuai dapat merangsang suasana pengajaran dan
pembelajaran di dalam atau luar bilik darjah.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran perlu berpusatkan murid bagi
membolehkan mereka berinteraksi dan menguasai kemahiran belajar melalui
pengalaman sendiri. Pendekatan berpusatkan murid dengan penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi secara berkesan dapat menjadikan
pembelajaran Matematik menyeronokkan, bermakna, berguna dan mencabar
minda.
Antara pendekatan pembelajaran yang sesuai adalah seperti berikut:
a. Pembelajaran Koperatif
b. Pembelajaran Kontekstual
c. Pembelajaran Masteri
d. Pembelajaran Akses Kendiri
e. Pembelajaran Kadar Kendiri
f. Pembelajaran Penilaian Kendiri
g. Pembelajaran Terarah Kendiri
h. Pembelajaran Konstruktivisme
i. Pembelajaran Kajian Masa Depan
Kaedah Pengajaran
Proses pengajaran dan pembelajaran Matematik menggalakkan penggunaan
pelbagai kaedah mengajar. Guru boleh memilih kaedah pengajaran yang
sesuai dengan tahap penguasaan murid. Keberkesanan kaedah pengajaran
bergantung pada pengolahan teknik dan penggunaan sumber pendidikan yang
39
berkesan. Kaedah pengajaran yang boleh digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran adalah seperti berikut:
a. Kaedah Syarahan
Kaedah pengajaran melalui syarahan membolehkan maklumat
disampaikan dengan cepat, mudah dan sesuai mengikut tajuk dan bahan
yang digunakan.
b. Kaedah Latih Tubi
Latih tubi adalah latihan berulang yang diberi oleh guru kepada murid
untuk murid menguasai sesuatu tajuk atau kemahiran seperti penguasaan
aritmetik mental melalui pengiraan operasi asas matematik menggunakan
abakus. Tujuan melakukan latih tubi adalah memudahkan murid untuk
mengingat, menguasai fakta dan melengkapkan sesuatu maklumat
apabila perlu dan dapat menjawabnya dengan cepat dan tepat seperti
mencongak sifir.
c. Kaedah Bersoal jawab
Tujuan bersoal jawab adalah untuk melatih murid menjawab dan
mengemukakan soalan dalam bentuk lisan atau bertulis. Soalan
penyelesaian masalah boleh dikemukakan kepada murid untuk
diselesaikan secara congak dan lisan. Selain itu, soalan yang
dikemukakan perlu melibatkan soalan aras rendah dan aras tinggi
berdasarkan tahap penguasaan murid. Soalan tertutup dan terbuka juga
boleh dikemukakan kepada murid. Murid digalakkan memberi jawapan
dengan mengemukakan idea dan pendapat secara individu atau
kumpulan. Guru perlu menggunakan suara yang jelas didengar, kontak
mata dan isyarat badan yang sesuai, memberi peluang dan memberikan
masa yang mencukupi kepada semua murid untuk menjawab. Guru juga
perlu membimbing murid sekiranya jawapan yang diberikan salah atau
tidak tepat.
40
d. Kaedah Perbincangan
Perbincangan dalam kumpulan besar atau kecil merupakan aktiviti
pengajaran yang berkesan. Melalui kaedah ini, murid dilatih menguasai
kemahiran menaakul, digalakkan berfikir secara kritis dan kreatif serta
mengeluarkan pendapat yang bernas. Mereka juga dapat meningkatkan
kemahiran bertutur dan mendengar, bersikap toleransi dan menghargai
pandangan orang lain semasa perbincangan. Di samping itu,
pembelajaran koperatif, nilai murni dan kerjasama dapat dipupuk dalam
kalangan murid.
e. Kaedah Demonstrasi
Kaedah demonstrasi memerlukan guru menguasai pelbagai kemahiran,
idea dan pengetahuan supaya bahan bantu mengajar atau peralatan
yang didemonstrasikan dapat difahami oleh murid. Semasa menjalankan
kaedah ini guru perlu memastikan model atau alatan yang digunakan
mencukupi, sesuai dan menarik minat murid serta memastikan langkah
keselamatan dipatuhi.
f. Kaedah Inkuiri Berasaskan Masalah
Pendekatan pengajaran melalui inkuiri berasaskan masalah adalah
untuk membolehkan murid mencari jalan penyelesaian sesuatu masalah
dengan melakukan sendiri selepas diberikan panduan oleh guru. Salah
satu model penyelesaian masalah matematik yang praktikal digunakan di
dalam bilik darjah ialah kaedah Polya. Melalui kaedah ini, guru membimbing
murid menyelesaikan masalah matematik melalui empat langkah atau
peringkat iaitu:
41
i. Memahami masalah
ii. Merangka pelan penyelesaian
iii. Melaksana pelan penyelesaian
iv. Menyemak penyelesaian
Guru perlu merangka strategi penyelesaian masalah dan membimbing
murid memahami masalah dengan menentukan kata kunci berdasarkan
maklumat yang diberi. Teknik yang dicadangkan bagi merangka strategi
penyelesaian masalah adalah seperti berikut:
i. Menyelesaikan masalah yang lebih mudah dahulu
ii. Cubajaya
iii. Melukis gambar rajah
iv. Mengenal pola dan jujukan
v. Membina jadual, carta dan senarai sistematik
vi. Membuat simulasi
vii. Membuat analogi
viii. Bekerja ke belakang
Kaedah ini membolehkan murid menilai dengan lebih realistik dan positif
melalui penggunaan data bagi menyelesaikan sesuatu masalah dan
memotivasikan murid melalui tugasan yang mereka kendalikan sendiri.
g. Kaedah Didik Hibur
Didik hibur adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang
menyeronokkan murid kerana bersifat santai melalui aktiviti permainan,
nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi yang dibuat secara terancang.
Murid lebih seronok dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
yang ceria, bermakna dan berguna ke arah pencapaian objektif yang
ditetapkan. Ciri-ciri didik hibur yang baik adalah seperti berikut:
42
i. Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung
unsur jenaka, kecindan, estetik, permainan muzik, lakonan
dan sebagainya.
ii. Melatih murid lebih berkeyakinan dan berani melakukan
aktiviti bersama-sama rakan sebaya.
iii. Murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang
positif, gembira dan meningkatkan motivasi diri murid untuk
sesi pembelajaran Matematik seterusnya.
iv. Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan
atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan,
kerjasama dan toleransi.
v. Murid bebas bersuara, memberikan pendapat dan idea
secara logik dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu
persembahan yang menarik.
vi. Murid bebas untuk melakukan aktiviti seperti bergerak,
berlakon dan menyanyi yang menggunakan komunikasi
melalui bahasa tubuh dalam keadaan terkawal.
3.4 PENERAPAN ELEMEN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengajaran dan pembelajaran Matematik adalah untuk pembinaan
pemahaman konsep, pemerolehan kemahiran dan penerapan nilai positif
dalam kalangan murid. Penerapan elemen lain perlu dilaksanakan dalam
pengajaran dan pembelajaran iaitu elemen merentas kurikulum, kemahiran
dalam Matematik, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi serta penerapan sikap dan
nilai.
Elemen Merentas Kurikulum
Terdapat tiga elemen merentas kurikulum dalam Kurikulum Standard Sekolah
Rendah iaitu kreativiti dan inovasi, keusahawanan serta teknologi maklumat
dan komunikasi.
43
Elemen kreativiti dan inovasi hendaklah diterapkan dengan berkesan
dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu kreatif dan inovatif dalam
memainkan peranannya sebagai pencetus idea dan melahirkan murid yang
berilmu pengetahuan, menguasai dan mengamalkan sikap dan nilai yang baik
serta dapat mengembangkan daya kreativiti dan inovasi murid.
Pengajaran dan pembelajaran secara kreatif dan inovatif boleh diterapkan
dengan cara berikut:
a. Membina model matematik melalui corak dan hubungan.
b. Mengaplikasikan kemahiran matematik untuk penganggaran, pengukuran
dan penggambaran data dalam situasi harian.
c. Membuat penggabung jalinan kemahiran matematik, dengan disiplin ilmu
yang lain.
d. Mengaplikasikan ilmu matematik untuk mencari penyelesaian masalah
yang rutin dan tidak rutin.
e. Membuat konjektur (ekstrapolasi, unjuran, sebab dan akibat).
Elemen keusahawanan dalam Matematik merupakan satu usaha yang
dilakukan bagi membentuk ciri dan amalan keusahawanan sehingga menjadi
budaya dalam kalangan murid. Ciri dan amalan keusahawanan ini boleh
dibentuk dengan cara:
a. Mengamalkan sikap keusahawanan.
b. Mengaplikasi pemikiran keusahawanan.
c. Mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pengurusan perniagaan.
d. Meformulasikan sama ada konsep, proses atau produk keusahawanan.
e. Mengamalkan nilai, moral dan etika baik dalam keusahawanan.
Elemen teknologi maklumat dan komunikasi merupakan salah satu elemen
penting dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Ledakan
kemajuan pelbagai teknologi dalam kehidupan masa kini dan akan datang
menjadikan elemen ini penting. Pendedahan penggunaan teknologi maklumat
44
dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik boleh
diaplikasikan kepada:
a. Belajar mengenai teknologi maklumat dan komunikasi iaitu murid diajar
tentang pengetahuan dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi
dalam mengendalikan perkakasan dan perisian.
b. Belajar melalui teknologi maklumat dan komunikasi iaitu penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi untuk mengakses maklumat dan
ilmu pengetahuan menggunakan media seperti CD ROM, DVD ROM,
internet dan lain-lain lagi.
c. Belajar dengan teknologi maklumat dan komunikasi iaitu guru dan
murid menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai alat
mengajar dan belajar.
d. Pengajaran dan pembelajaran teknologi maklumat dan komunikasi iaitu
murid didedahkan dengan pelbagai maklumat komunikasi yang terkini
dan penggunaan secara afektif akan menghasilkan pengajaran dan
pembelajaran yang berkualiti.
Kemahiran Dalam Matematik
a. Penyelesaian Masalah perlu diberi penekanan sewajarnya supaya murid
dapat menyelesaikan pelbagai masalah berasaskan aktiviti manusia
secara berkesan. Melalui aktiviti ini, murid dapat menggunakan matematik
apabila berdepan dengan pelbagai situasi harian yang lebih mencabar.
b. Komunikasi dalam Matematik adalah satu cara perkongsian idea
dan kefahaman matematik. Melalui perbincangan dan persoalan, idea
matematik boleh diimbas kembali, dibincang dan diubahsuai. Komunikasi
yang berkesan membolehkan murid menyelesaikan masalah,
menghuraikan konsep dan kemahiran matematik kepada rakan sebaya
serta guru. Kemahiran berkomunikasi dalam matematik mencakupi
kemahiran membaca dan memahami masalah, mentafsir gambar rajah
45
dan graf serta menggunakan istilah matematik yang betul dan tepat
semasa pembentangan dan kerja bertulis. Komunikasi lisan adalah
proses interaktif yang melibatkan aktiviti seperti mendengar, bercakap,
membaca dan memerhati. Interaksi dua hala berlaku antara guru dengan
murid, murid dengan murid dan murid dengan objek. Komunikasi bertulis
pula merupakan proses perkongsian idea dan maklumat matematik
dengan orang lain melalui penulisan.
c. Hubung Kait Matematik membolehkan murid dapat melihat matematik
sebagai satu idea yang menyeluruh berbanding kumpulan idea yang
terpisah. Apabila idea matematik dihubungkaitkan dengan pengalaman
dan kehidupan harian di dalam dan di luar sekolah, murid akan lebih
menyedari kegunaan, kepentingan, kekuatan dan keindahan matematik.
Selain itu, murid juga berpeluang menggunakan matematik secara
kontekstual dalam bidang ilmu yang lain dalam kehidupan harian yang
sebenarnya.
d. Aplikasi Teknologi dapat membantu murid memahami konsep
matematik secara mendalam dan bermakna serta membolehkan mereka
meneroka konsep matematik. Penggunaan kalkulator, komputer, koswer,
laman web dan pakej aplikasi pembelajaran dapat membantu guru
memberi rangsangan yang praktikal, bermakna, berguna dan mencabar
minda murid semasa pengajaran dan pembelajaran. Murid dapat dilatih
untuk mengakses maklumat secara individu melalui pembelajaran akses
kendiri dan kadar kendiri.
e. Penaakulan atau pemikiran logik adalah asas bagi pemahaman dan
penyelesaian masalah matematik. Murid digalakkan meramal dan
meneka dalam proses mencari penyelesaian. Murid perlu dilatih untuk
mengkaji ramalan atau tekaan mereka dengan menggunakan bahan
konkrit, kalkulator, komputer, persembahan matematik dan lain-lain.
Penaakulan logik perlu diterapkan dalam pengajaran Matematik supaya
murid dapat mengenal, membina dan menilai ramalan serta perbahasan
dalam pembelajaran.
46
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
Kemahiran berfikir telah diberi penekanan dalam kurikulum sejak tahun
1994 dengan memperkenalkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.
Kemahiran berfikir ini menekankan kepada pemikiran dari aras rendah
sehingga aras tinggi. Bermula pada tahun 2011, Kurikulum Standard Sekolah
Rendah telah memberi penekanan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi ialah keupayaan untuk mengaplikasikan
pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi
bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya
mencipta sesuatu. Lima aras Kemahiran Berfikir Aras Tinggi adalah seperti
berikut:
a. Mengaplikasi - Menggunakan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam
situasi berlainan untuk melaksanakan sesuatu perkara.
b. Menganalisis - Mencerakinkan maklumat kepada bahagian kecil untuk
memahami dengan lebih mendalam serta hubung kait dengan bahagian
berkenaan.
c. Menilai - Membuat pertimbangan dan keputusan menggunakan
pengetahuan, pengalaman, kemahiran, nilai serta membuat justifikasi.
d. Mencipta - Menghasilkan idea, produk atau kaedah yang kreatif dan
inovatif.
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi boleh diaplikasikan di dalam bilik darjah melalui
aktiviti berbentuk menaakul, pembelajaran inkuiri, penyelesaian masalah dan
projek. Guru dan murid perlu menggunakan alat berfikir seperti peta pemikiran
(i-Think), peta minda dan Thinking Hats dalam pengajaran dan pembelajaran
sama ada di dalam atau luar bilik darjah untuk menggalakkan murid berfikir.
Alat berfikir perlu dikuasai oleh guru dan murid. Alat berfikir dapat menyokong
pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan dan membantu murid
untuk mencernakan idea yang ada pada mereka dalam situasi pemahaman
serta pencambahan idea.
47
Penerapan Sikap dan Nilai
Penerapan sikap dan nilai dalam kurikulum Matematik bertujuan melahirkan
insan yang berketrampilan dan memiliki akhlak yang mulia. Selain itu,
penghayatan sikap dan nilai dapat membentuk generasi muda yang berhemah
tinggi dan berkeperibadian luhur. Pemahaman dan kesedaran tentang sikap
dan nilai dalam mata pelajaran Matematik harus dipupuk secara langsung atau
tidak langsung selaras dengan nilai-nilai sejagat. Sikap dan nilai terbentuk
melalui pengalaman pembelajaran yang disediakan oleh guru. Pembentukan
ini seharusnya melibatkan unsur kepercayaan, minat, penghargaan, keyakinan,
kecekapan dan ketabahan. Penerapan sikap dan nilai dalam pembelajaran
Matematik adalah seperti berikut:
a. Tanggapan positif terhadap mata pelajaran Matematik.
b. Minat dan keseronokan mempelajari mata pelajaran Matematik.
c. Penghargaan Terhadap keindahan dan keupayaan matematik.
d. Keyakinan mengguna dan mengaplikasikan matematik.
e. Cekal dan tabah dalam menyelesaikan masalah berkaitan matematik.
Murid perlu dilengkapkan dengan kemahiran, pengetahuan dan nilai untuk
berjaya dalam kehidupan serta kerjaya dalam abad ke-21 seperti berikut:
a. Kemahiran berfikir
Kemahiran berfikir menyediakan murid untuk menghadapi kehidupan
yang lebih mencabar dalam persekitaran kerja masa kini. Kemahiran ini
antaranya adalah:
i. Kreatif
ii. Kritis
iii. Menaakul
iv. Inovatif
v. Penyelesaian masalah
vi. Membuat keputusan
48
b. Kemahiran Hidup dan Kerjaya
Murid membangunkan kemahiran hidup dan kerjaya bagi menghadapi
kehidupan yang kompleks dan persekitaran kerjaya dalam dunia yang
semakin mencabar. Murid perlu menguasai kemahiran berikut:
i. Kemahiran komunikasi
ii. Teknologi maklumat dan komunikasi
iii. Bekerjasama
iv. Keusahawanan
v. Kepimpinan
vi. Belajar sepanjang hayat
vii. Keluwesan
viii. Kemampuan menyesuaikan diri
ix. Berinisiatif dan terarah kendiri
c. Nilai
Penghayatan nilai murni membolehkan murid menjadi seorang individu
berperwatakan mulia yang mampu membuat keputusan dan tindakan
untuk melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat dan
negara. Nilai tersebut adalah seperti berikut:
i. Kerohanian
ii. Berperikemanusiaan
iii. Patriotik
iv. Berintegriti
v. Bertanggungjawab
vi. Bersatu padu
Pemupukan sikap dan nilai murni perlu dipertimbangkan apabila
merancang pengajaran dan pembelajaran. Penerapan nilai murni boleh
dilakukan bersesuaian dengan konteks isi pelajaran yang terancang.
Unsur sejarah, patriotisme, alam sekitar dan sains diterapkan mengikut
kesesuaian tajuk untuk membolehkan murid menghayati matematik dan
meningkatkan lagi minat murid terhadap sesuatu tajuk.
49
BAB 4
PENTAKSIRAN
4.1 PENDAHULUAN
Pentaksiran dalam pendidikan ialah integrasi proses mengumpul maklumat
tentang pembelajaran murid, memberi nilai kepada maklumat, menginterpretasi
maklumat, membuat inferens dan membuat keputusan tentang perkara yang
perlu dilakukan terhadap murid untuk memperbaiki pembelajarannya. Proses
pengajaran, pembelajaran serta pentaksiran berlaku secara timbal balik dan
bersepadu. Hal ini bermakna seseorang guru membuat pentaksiran untuk
mengetahui tahap penguasaan murid ketika mengajar. Di samping itu, guru
akan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang holistik sifatnya
semasa proses tersebut berjalan. Proses pengumpulan maklumat
pembelajaran murid dilakukan dengan pelbagai cara sama ada secara formal
atau tidak formal dengan menggunakan instrumen pentaksiran seperti ujian,
soal selidik, amali, kerja kursus dan pemerhatian. Maklumat yang dikumpulkan
akan dinilai dan diinterpretasikan supaya keputusan dapat dibuat tentang
kebolehan seseorang murid dalam pembelajarannya.
4.2 PEPERIKSAAN AWAM
Peperiksaan awam yang ditadbirkan oleh Lembaga Peperiksaan ialah
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Pelajaran
Malaysia (Ulangan) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Peperiksaan Awam ialah
peperiksaan yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan sepenuhnya,
bermula daripada pendaftaran calon peperiksaan, penyediaan item dan
pembinaan instrumen pentaksiran, pengendalian peperiksaan di pusat
peperiksaan yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan, pemeriksaan skrip
jawapan calon dan penskoran, pengeluaran keputusan serta pensijilan.
50
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah diperkenalkan mulai tahun 1987 dan
merupakan peperiksaan awam peringkat kebangsaan yang diduduki oleh murid
Tahun 6 sekolah rendah. Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dilaksanakan
dengan tujuan untuk mengukur tahap penguasaan calon dalam kemahiran
3M iaitu, membaca, menulis dan mengira. Di samping itu, murid-murid diberi
peluang untuk membangunkan potensi diri masing-masing agar menjadi insan
yang seimbang seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah bukan merujuk
kepada lulus atau gagal tetapi merujuk kepada tahap pencapaian murid pada
akhir persekolahan rendah.
Sijil Pelajaran Malaysia ialah sistem peperiksaan yang bertujuan untuk
pensijilan. Selaras dengan usaha untuk memastikan peperiksaan yang
dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mendapat pengiktirafan
antarabangsa, kerjasama Lembaga Peperiksaan dengan Cambridge
International Examinations, United Kingdom telah memberi peluang kepada
calon yang menduduki Bahasa Inggeris 1119 Sijil Pelajaran Malaysia untuk
mendapat sijil Cambridge International Examinations O-Level bagi mata
pelajaran berkenaan. Lembaga Peperiksaan juga bekerjasama dengan
Education Development International, United Kingdom untuk memberi peluang
kepada calon yang menduduki Prinsip Perakaunan Sijil Pelajaran Malaysia
mendapat sijil LCCI Level 2 Book Keeping and Account.
Bagi peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia, sijil yang dikeluarkan oleh
Kementerian Pemdidikan Malaysia dengan kerjasama Al-Azhar Al-Syarif,
Republik Arab Mesir mendapat pengiktirafan setaraf dengan Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM) daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Kurikulum Sijil Tinggi Agama Malaysia diambil daripada Maahad Bu’uth Al-
Islamiyyah Al-Azhar, Mesir dan bahasa pengantar yang digunakan sepenuhnya
ialah bahasa Arab.
51
4.3 PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH
Di samping peperiksaan awam, Lembaga Peperiksaan juga telah
memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi sekolah rendah
mulai tahun 2011 dan menengah rendah mulai tahun 2012. Berdasarkan
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berkaitan
pembelajaran murid, pengajaran dan pembelajaran perlu menyepadukan
kurikulum dan pentaksiran berdasarkan tanda aras antarabangsa bagi
melahirkan murid yang berkemahiran serta mampu bersaing di peringkat
global. Sistem penilaian yang berorientasikan peperiksaan (examination
orientation) perlu mengalami penambahbaikan bagi memastikan hala tuju
pendidikan yang berteraskan assessment of learning, assessment for learning,
dan assessment as learning serta bertunjangkan kemenjadian murid secara
holistik dapat direalisasikan.
Pentaksiran Berasaskan Sekolah merupakan kaedah pentaksiran yang
mencorakkan hala tuju sistem pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai
aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan
sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan terarah kepada proses
pembentukan personaliti murid secara menyeluruh, berterusan, fleksibel,
autentik dan pelbagai situasi. Pentaksiran Berasaskan Sekolah dibangunkan
untuk memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan menilai
potensi individu secara menyeluruh dari awal hingga tamat persekolahan dan
tidak tertumpu kepada perkembangan intelek sahaja. Pentaksiran Berasaskan
Sekolah bersifat holistik iaitu bukan sahaja mentaksir kebolehan kognitif
individu tetapi menjurus kepada pembinaan sahsiah, motivasi diri dan sosial
individu yang dipupuk bersama dengan aspek kecemerlangan diri dan
akademik individu. Pentaksiran Berasaskan Sekolah berupaya menyumbang
kepada pembentukan modal insan yang berfikiran kreatif dan kritis,
berkemahiran menyelesaikan masalah, berdaya mencipta peluang baharu,
mempunyai ketahanan dan kebolehan berhadapan dengan persekitaran dunia
global yang sering berubah-ubah.
52
Mekanisme penjaminan kualiti pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
yang merangkumi komponen pementoran, pemantauan, penyelarasan dan
pengesanan diwujudkan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kementerian
bagi memastikan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah seperti yang
dihasratkan. Pementoran merupakan bimbingan dan panduan yang diberikan
kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran di sekolah. Pemantauan
dijalankan untuk memastikan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Penyelarasan dilaksanakan untuk
memastikan keseragaman tugasan dan penskoran bagi menjamin
kebolehpercayaan dalam perekodan dan pelaporan prestasi murid.
Pengesanan pula dilaksanakan untuk melihat keberkesanan dan ketepatan
instrumen yang digunakan dalam pentaksiran.
Komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah terdiri daripada bidang akademik
dan bukan akademik. Bidang akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah
dan Pentaksiran Pusat, manakala bidang bukan akademik terdiri daripada
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran
Psikometrik. Kedua-dua bidang ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada
guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan
sekolah.
4.3.1 Pentaksiran Sekolah
Pentaksiran Sekolah ialah suatu pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir,
diperiksa dan dilaporkan oleh guru di sekolah. Kaedah ini melibatkan murid, ibu
bapa serta organisasi luar dan dilaksanakan dalam bentuk pentaksiran formatif
yang dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran atau
pentaksiran sumatif pada akhir tahun. Pentaksiran Sekolah berperanan untuk
mengukuhkan pembelajaran murid, meningkatkan pengajaran guru dan
memberikan maklumat yang sah tentang perkara yang telah dilaksanakan atau
dicapai dalam satu-satu proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran
53
Sekolah amat penting untuk menentukan keberkesanan guru dan sekolah
dalam usaha menghasilkan insan yang harmoni dan seimbang. Pentaksiran
Sekolah merupakan aktiviti yang berterusan yang memerlukan komitmen
yang tinggi serta hala tuju yang jelas daripada guru dan sekolah. Pentaksiran
Sekolah juga memberi empowerment kepada guru dan sekolah untuk
menjalankan pentaksiran dan melaporkan hasil pentaksiran sepenuhnya.
Pentaksiran Sekolah berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran
(assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment
of learning).
Dalam usaha penambahbaikan kepada Pentaksiran Sekolah sedia ada,
Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan untuk melihat kemajuan dan
pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang
murid. Pentaksiran Rujukan Standard merupakan proses bagi mendapatkan
maklumat tentang kemampuan murid sama ada tahu, faham dan boleh buat
atau telah menguasai perkara yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard
prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang
dihasratkan dalam dokumen kurikulum. Pendekatan Pentaksiran Rujukan
Standard dibangunkan di sekolah untuk melihat perkembangan pembelajaran
murid dalam pengetahuan, pemahaman dan kemahiran yang diukur dan
berperanan mengukuhkan pembelajaran murid, meningkatkan pengajaran guru
serta memberikan maklumat yang sah tentang aspek yang telah dicapai dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran Rujukan Standard juga tidak
membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi
melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan kemajuan
dan pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran merujuk pernyataan
standard. Murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam
masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi
diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak sekolah mampu mendapatkan
maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang
merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid bagi membolehkan
pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf
54
dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan
mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan
bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.
Pentaksiran Sekolah dijalankan secara:
a. Pentaksiran formatif
Pentaksiran formatif dilaksanakan seiring dengan proses pengajaran dan
pembelajaran sebagai sebahagian prosesnya dan juga untuk mentaksir
perkembangan pembelajaran murid sepanjang tahun untuk mendapatkan
maklum balas tentang kemajuan pengajaran dan pembelajaran sesuatu
topik atau aspek.
b. Pentaksiran Sumatif
Pentaksiran sumatif dijalankan pada akhir unit pembelajaran,
penggal, bulan atau tahun untuk mentaksir pencapaian murid tentang
pembelajaran (assessment of learning).
Instrumen Pentaksiran Sekolah
Pelbagai instrumen pentaksiran yang sesuai dengan konstruk yang ditaksir
dalam sesuatu mata pelajaran digunakan. Antara instrumen pentaksiran yang
digunakan ialah:
a. Pemerhatian
Instrumen yang memerlukan murid melakukan tugasan dengan cara
melihat atau mengawasi sesuatu perkara secara berterusan, berkala atau
berjadual tentang apa yang dihasratkan.
b. Pensil dan kertas / Ujian Bertulis
Instrumen yang menggunakan item objektif atau subjektif.
c. Persembahan
Instrumen yang bersifat lebih fleksibel melibatkan tugasan menyeluruh
55
yang merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam pelbagai
situasi dan konteks. Persembahan meliputi komponen praktikal sesuatu
mata pelajaran dengan menentukan bagaimana murid menggabungkan
teori dan amali.
d. Projek
Projek ialah satu bentuk tugasan yang dilaksanakan dalam aktiviti
pembelajaran yang dijalankan dalam satu tempoh masa yang ditentukan
melibatkan aktiviti pengumpulan maklumat dan penyediaan laporan.
Instrumen ini boleh dijalankan secara individu atau secara kumpulan.
Pelaksanaan instrumen ini membolehkan murid mengintegrasikan
pengetahuan serta kemahiran interpersonal dalam melaksanakan
tugasan.
e. Produk
Tugasan yang memerlukan murid melaksanakan atau membuat atau
menghasilkan satu produk berdasarkan tugasan yang diberikan.
.
f. Amali
Tugasan yang memerlukan murid mempraktikkan atau melakukan apa
yang telah dipelajari dalam bentuk teori.
g. Tugasan bertulis atau Karya Penulisan
Instrumen yang memerlukan murid menghasilkan laporan, dokumen
atau karya berkreativiti dalam bentuk penulisan mengikut spesifikasi atau
format yang ditetapkan berpandukan kepada tugasan yang diberi
h. Lembaran kerja
i. Soal jawab
j. Kuiz
k. Latihan/Tugasan rumah
56
4.3.2 Pentaksiran Pusat
Pentaksiran Pusat merupakan satu daripada komponen akademik dalam
Pentaksiran Berasaskan Sekolah iaitu murid ditaksir bagi melihat penguasaan
dan keupayaan intelek mereka di akhir satu program pembelajaran. Lembaga
Peperiksaan menyediakan instrumen pentaksiran dan panduan penskoran
manakala pentadbiran, pemeriksaan skrip jawapan, perekodan skor/ markah
dan pelaporan dikendalikan oleh pihak sekolah. Pentaksiran Pusat merupakan
pelengkap kepada Pentaksiran Sekolah dan pencapaian murid dalam sesuatu
mata pelajaran ditaksir secara sumatif.
Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)
Pentaksiran Tingkatan 3 ialah pentaksiran pusat yang dikendalikan kepada
murid pada akhir peringkat menengah rendah, iaitu di Tingkatan 3. Tugasan
dalam instrumen pentaksiran Pentaksiran Tingkatan 3 dibangunkan dalam
skop sukatan pelajaran tingkatan satu hingga tingkatan tiga berdasarkan
matlamat, objektif dan kandungan mata pelajaran tersebut. Elemen yang
mengukur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) turut diserapkan dalam
tugasan Pentaksiran Tingkatan 3. Instrumen pentaksiran bagi mata pelajaran
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan menggunakan instrumen
pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Mata pelajaran Sains, Matematik,
Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina,
Bahasa Tamil, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Punjabi
menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran
Sejarah dan Geografi pula ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti
tugasan bertulis (assignment), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian
kes (case study).
57
4.3.3 Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan Dan Kokurikulum (PAJSK)
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum adalah untuk menilai
aktiviti fizikal dan kesihatan serta mengukur penyertaan, penglibatan dan
pencapaian murid dalam pelbagai aktiviti sukan, kokurikulum dan
ekstrakurikulum. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum
memerlukan murid melibatkan diri dalam aktiviti bukan akademik sama ada di
dalam atau di luar bilik darjah mengikut keupayaan murid. Pentaksiran Aktiviti
Jasmani, Sukan dan Kokurikulum merangkumi tiga komponen; Standard
Kecergasan Fizikal Kebangsaan dan Body Mass Index, Kokurikulum dan
Ekstrakurikulum.
Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan merupakan aktiviti fizikal yang
dilakukan oleh murid sekolah untuk mengukur kecergasan berdasarkan
kepada Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan yang ditetapkan. Skor
mengikut tahap umur ini ditetapkan dengan menggunakan indeks skor
standard yang telah diperakui di peringkat kebangsaan. Standard Kecergasan
Fizikal Kebangsaan terdiri daripada empat aktiviti iaitu “Naik turun bangku”,
“Tekan tubi”, “Ringkuk Tubi Separa” dan “Jangkauan Melunjur”. Body Mass
Index tertumpu kepada mengukur berat badan dan ketinggian seseorang murid
menggunakan piawaian ukuran Body Mass Index.
Pentaksiran Sukan dan Kokurikulum adalah untuk mengukur aktiviti sukan dan
kokurikulum yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Aktiviti
sukan merangkumi aktiviti permainan dan pertandingan di peringkat sekolah,
zon, daerah atau bahagian, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Aktiviti
kokurikulum merangkumi aktiviti murid dalam Sukan dan Permainan, Kelab
dan Persatuan, Badan Beruniform dan koakademik di peringkat sekolah, zon,
daerah atau bahagian, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Pentaksiran Aktiviti Ekstrakurikulum merupakan satu usaha untuk
mendapatkan maklumat, membuat penilaian dan memberi skor untuk aktiviti
bermanfaat yang dijalankan sama ada di sekolah atau di luar waktu
58
persekolahan dan mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga dan
pengesahan pihak sekolah. Aktiviti ekstrakurikulum merupakan aktiviti yang
boleh membentuk keperibadian yang terpuji, membina sahsiah yang baik,
mendorong melakukan kerja amal untuk kepentingan masyarakat setempat
dan umum.
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum ditadbir, direkod dan
dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam
Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan, Body Mass Index, aktiviti sukan dan
kokurikulum, serta aktiviti ekstrakurikulum.
4.3.4 Pentaksiran Psikometrik (PPsi)
Melalui Pentaksiran Psikometrik, maklumat tentang kebolehan, kemahiran
berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap
dan personaliti murid dapat membantu guru dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Instrumen yang digunakan dalam Pentaksiran Psikometrik ialah
Ujian Aptitud Khusus dan Ujian Personaliti.
Ujian Aptitud Khusus bertujuan mendapatkan maklumat khusus tentang
struktur kecerdasan serta minat atau kecenderungan murid. Maklumat yang
diperoleh membantu murid mengenal potensi diri serta membantu guru
mengenal pasti strategi, kaedah dan teknik pengajaran supaya dapat
mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan.
Ujian Personaliti pula ialah instrumen yang digunakan untuk mengumpul
maklumat tentang sahsiah untuk setiap murid melalui maklumat inventori tret
personaliti dan inventori minat kerjaya.
4.4 PENTAKSIRAN SEKOLAH BAGI MATEMATIK
Pengajaran dan pembelajaran berkesan akan memberi impak tinggi terhadap
tahap penguasaan murid. Pengukuran terhadap penguasaan murid semasa
59
pengajaran dan pembelajaran mempunyai hubungkait dengan kaedah
dan strategi pengajaran guru di samping pelaksanaan pentaksiran. Aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang diikuti oleh perancangan pentaksiran
membolehkan guru mendapat maklumat tentang tahap penguasaan murid
berkaitan pembelajaran dari semasa ke semasa.
Pentaksiran Sekolah dirancang dalam setiap proses pengajaran dan
pembelajaran dengan melibatkan perkara-perkara berikut:
a. Penyediaan Dokumen:
i. Penyediaan dokumen berkaitan kurikulum seperti sukatan pelajaran
dan huraian sukatan pelajaran Matematik.
ii. Penyediaan dokumen berkaitan pentaksiran iaitu dokumen panduan
perkembangan pembelajaran murid dan dokumen standard
kurikulum dan pentaksiran.
b. Perancangan Pentaksiran
i. Objektif pembelajaran dalam penulisan rancangan pelajaran harian
menerapkan secara bersekali/ bersepadu (embedded) dalam
perancangan pelaksanaan pentaksiran.
ii. Instrumen pentaksiran yang dirancang perlu menepati hasrat
kurikulum dan mencakupi bidang yang perlu murid kuasai.
iii. Instrumen yang diguna mampu mengukur keupayaan sebenar
murid.
iv. Aktiviti pembelajaran mengandungi unsur pentaksiran yang boleh
mengukur penguasaan dan pencapaian murid.
c. Pentaksiran Formatif (Semasa Pengajaran dan Pembelajaran)
i. Melaksanakan set induksi yang boleh merangsang pembelajaran
murid dan mencungkil pengetahuan sedia ada murid.
ii. Kaedah pentaksiran yang digunakan oleh guru seperti kaedah
pemerhatian, lisan dan penulisan mampu memperoleh maklumat
yang tepat berkaitan penguasaan murid dalam pembelajaran.
60
iii. Mempelbagaikan strategi bagi melaksanakan bimbingan kepada
murid yang belum menguasai sepenuhnya tahap penguasaan yang
tertinggi.
iv. Melaksanakan pentaksiran secara berterusan bagi memastikan
murid mencapai tahap penguasaan yang dihasratkan.
v. Mencatatkan refleksi di akhir pengajaran dan pembelajaran
sebagai rujukan terhadap keberhasilan pelaksanaan pengajaran
dan pembelajaran serta tanda aras penguasaan murid di samping
membuat perancangan pemulihan kepada murid yang belum
menguasai.
d. Pentaksiran Sumatif
Pentaksiran sumatif dikaitkan dengan pentaksiran pada akhir unit
pembelajaran, bulan, penggal atau tahun. Penggubal soalan terdiri
daripada guru mata pelajaran Matematik. Setiap penggubalan soalan
perlu disediakan Jadual Spesifikasi Ujian untuk memastikan ciri-ciri
kesahan, kebolehpercayaan, kebolehtadbiran dan kemudahtaksiran
dipatuhi.
e. Perekodan dan Pelaporan
i. Perkembangan penguasaan pembelajaran murid perlu direkodkan
oleh guru semasa pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.
Tahap penguasaan murid dicatatkan dari semasa ke semasa
sepanjang tempoh pembelajaran berlangsung.
ii. Kaedah perekodan bagi tujuan pelaporan penguasaan dan
pencapaian murid dilakukan oleh guru mata pelajaran boleh
mengguna pakai modul perekodan yang disediakan oleh pihak
Lembaga Peperiksaan, Bahagian Pembangunan Kurikulum atau
yang dihasilkan sendiri oleh guru.
iii. Perekodan tahap penguasaan murid dengan pernyataan Tahap
Penguasaan atau Band disediakan bagi maksud pelaksanaan
pentaksiran formatif, manakala perekodan pencapaian murid
61
yang dinyatakan dalam peratus, gred dan markah bagi maksud
pelaksanaan pentaksiran sumatif.
iv. Guru boleh merekodkan secara terus ke dalam aplikasi excel
offline yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan atau Bahagian
Pembangunan Kurikulum, namun guru digalakkan menyediakan
senarai semak atau data transit bagi tujuan semakan dan rujukan.
4.5 KERJA PROJEK MATEMATIK TAMBAHAN
Kerja Projek Matematik Tambahan wajib dilaksanakan oleh semua murid.
Kerja Projek Matematik Tambahan bertujuan memberi peluang kepada murid
mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik darjah
kepada situasi sebenar di luar bilik darjah. Penerokaan masalah matematik
melalui pelaksanaan Kerja Projek Matematik Tambahan dapat menggerakkan
minda murid, menjadikan pembelajaran Matematik lebih bermakna dan
mencabar, mengupayakan murid untuk mengaplikasikan konsep dan
kemahiran matematik serta memperkembangkan kemahiran berkomunikasi
mereka.
Nilai intrinsik matematik seperti berpemikiran sistematik, tepat, menyeluruh,
tekun dan yakin yang disemaikan melalui proses pengajaran dan
pembelajaran, menyumbang kepada pembentukan peribadi dan pemupukan
sikap positif terhadap matematik. Di samping itu nilai murni turut diperkenalkan
mengikut konteks sepanjang pengajaran dan pembelajaran Matematik
Tambahan.
Pentaksiran dalam bentuk ujian dan peperiksaan membolehkan tahap
kefahaman dan pencapaian murid diukur. Pentaksiran dalam Matematik
Tambahan mengambil kira beberapa aspek penting seperti pemahaman
konsep, penguasaan kemahiran dan soalan bukan rutin yang memerlukan
pengaplikasian pelbagai strategi penyelesaian masalah. Pentaksiran yang
berkesan dan menggunakan pelbagai sumber memberikan maklumat yang
berguna tentang tahap perkembangan dan pencapaian murid.
62
Pentaksiran secara berterusan yang diterapkan dalam pengajaran dan
pembelajaran seharian membolehkan guru mengenal pasti kelemahan dan
kekuatan murid serta keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
dilaksanakan. Maklumat yang diperoleh melalui respons murid terhadap soalan
yang diajukan, hasil kerja kumpulan dan hasil kerja rumah membantu guru
dalam memperbaiki proses pengajaran, serta membolehkan mereka
menyediakan rancangan pengajaran yang lebih berkesan.
4.6 GARIS PANDUAN AM MENGENAI PELAKSANAAN KERJA PROJEK
MATEMATIK TAMBAHAN
Setiap murid yang mengambil Matematik Tambahan diperlukan untuk
menjalankan kerja projek semasa mereka di Tingkatan 5. Murid dikehendaki
memilih dan melaksanakan satu daripada dua tugasan yang diberikan,
berdasarkan minat mereka. Setelah melaksanakan Kerja Projek Matematik
Tambahan, adalah diharapkan agar murid mendapat pengalaman yang
berharga dan dapat:
a. Mengaplikasikan dan mengadaptasikan pelbagai strategi
penyelesaian masalah untuk menyelesaikan masalah rutin dan
bukan rutin.
b. Melalui pengalaman pembelajaran:
i. Mencabar, menarik dan bermakna dan seterusnya
meningkatkan kemahiran berfikir mereka.
ii. Pengetahuan dan kemahiran digunakan dengan cara
yang bermakna dalam menyelesaikan masalah kehidupan
sebenar.
iii. Mengekspresikan pemikiran matematik, penaakulan dan
komunikasi amat digalakkan dan dituntut.
iv. Merangsang dan meningkatkan pembelajaran yang
berkesan.
c. Memperoleh kemahiran berkomunikasi dalam matematik yang
berkesan secara lisan dan bertulis serta menggunakan bahasa
matematik untuk mengekspresikan idea matematik dengan betul
dan tepat.
63
d. Meningkatkan minat dan keyakinan serta mengukuhkan
pengetahuan dan kemahiran matematik melalui pengaplikasian
pelbagai strategi penyelesaian masalah.
e. Membentuk pengetahuan dan kemahiran yang berguna untuk
kerjaya dan masa depan.
f. Menyedari bahawa matematik adalah satu bidang ilmu yang
penting dalam menyelesaikan masalah kehidupan sebenar dan
seterusnya menerapkan sikap positif terhadap matematik.
g. Melatih diri mereka bukan sahaja untuk belajar secara berdikari
tetapi juga untuk berkolaborasi, bekerjasama dan berkongsi
pengetahuan dalam persekitaran yang bermanfaat dan sihat.
h. Menggunakan teknologi khususnya teknologi maklumat dan
komunikasi secara bersesuaian dan berkesan.
i. Melatih diri untuk menghargai nilai-nilai intrinsik matematik dan
menjadi lebih kreatif dan inovatif.
j. Menyedari kepentingan dan keindahan matematik.
Kerja projek boleh dilaksanakan dalam kumpulan atau individu, tetapi setiap
murid perlu mengemukakan laporan bertulis secara individu yang ditandakan
dan digredkan oleh guru berdasarkan rubrik yang dibekalkan bersama-sama
tugasan. Wajaran yang tinggi diperuntukkan kepada pengaplikasian proses
matematik seperti penaakulan, membuat perkaitan, berkomunikasi secara
matematik, perwakilan dan menggunakan teknologi. Murid perlu menyedari
bahawa proses matematik yang dilaksanakan semasa menyelesaikan tugasan
Kerja Projek Matematik Tambahan, adalah sama penting dengan mencari
jawapan yang betul. Oleh itu, adalah penting bagi guru untuk berubah daripada
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara tradisional kepada
pendekatan pengajaran dan pembelajaran abad ke 21 dan mereka perlu
meluangkan masa untuk perkara-perkara berikut:
a. Memantau murid supaya mereka bukan sahaja bekerja keras ke arah
menyiapkan tugasan tersebut tetapi juga bekerjasama dengan murid lain
secara kolaborasi dan berkesan.
64
b. Menggalakkan sumbang saran idea dalam menyelesaikan tugasan.
c. Menjawab soalan, memberi cadangan dan memberi panduan kepada
murid sekiranya diperlukan tetapi bukan sehingga memberi jawapan
secara langsung.
d. Mentaksir dan menilai proses dan kemajuan murid sepanjang
masa.
e. Memberi panduan dan menggalakkan murid menjalankan
penyelidikan, termasuk cara bagaimana untuk menggunakan
sumber secara berkesan.
f. Memastikan murid sentiasa fokus dan berminat kepada tugasan
yang perlu diselesaikan.
g. Memberi masa yang secukupnya (3 minggu) kepada murid untuk
menyelesaikan tugasan.
h) Murid perlu melaksanakan tugasan kerja projek (termasuk penulisan
laporan bertulis secara individu) dalam tempoh tiga minggu
dari hari pertama tugasan diberikan kepada mereka. Kegagalan
untuk mengemukakan laporan bertulis akan menyebabkan murid
tidak akan menerima apa-apa perakuan dan sijil.
65
BAB 5
PENYELIAAN
5.1 PENDAHULUAN
Penyeliaan merupakan perkhidmatan bantuan (helping service) yang diberikan
untuk membaiki serta meningkatkan mutu perkhidmatan. Menurut Morsher
dan Purple (1972) dalam buku Supervision: The Reluctant Profession,
menghuraikan ”....penyeliaan satu usaha untuk mengajar guru cara untuk
mengajar dan kepimpinan profesional dalam pembentukan pendidikan
masyarakat umum dan lebih khusus lagi dalam penggubalan kurikulum,
pengajaran dan bentuk pendidikan”.
Pentadbir Sekolah perlu melaksanakan penyeliaan mengikut Surat Pekeliling
Ikhtisas Bil. 3/1987: Penyeliaan Pengajaran - Pembelajaran di dalam Kelas
oleh Pengetua/ Guru Besar Sekolah terhadap guru-guru di sekolah masing-
masing. Pelaksanaan kurikulum dijalankan melalui proses dan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran oleh guru dan keberkesanan pelaksanaan
kurikulum di sekolah memerlukan penyeliaan yang rapi dan sistematik daripada
pihak pengetua dan guru besar. Penyeliaan pelaksanaan kurikulum meliputi
aspek pengurusan mata pelajaran, pengajaran dan pembelajaran serta
program kurikulum, menjadi perkara utama dalam senarai tugas dan
tanggungjawab pentadbir sekolah.
5.2. TUJUAN PENYELIAAN
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.3/1987: Penyeliaan Pengajaran-Pembelajaran
di dalam Kelas oleh Pengetua/ Guru Besar Sekolah menggariskan
empat tujuan utama penyeliaan pengajaran dan pembelajaran dengan jelas.
Keempat-empat tujuan ini digambarkan seperti Rajah 1.
66
Rajah 1 : Tujuan Penyeliaan
a. Mempertingkatkan daya profesionalisme pengetua/ guru besar dan guru
dalam melaksanakan kurikulum sekolah melalui proses pengajaran dan
pembelajaran sejajar dengan falsafah, matlamat, dan objektif sistem
pendidikan negara.
b. Berkongsi pengetahuan dan pengalaman bagi meluaskan sumber
maklumat kepada pengetua/ guru besar untuk memperbaik proses
pengajaran dan pembelajaran di sekolahnya. Sumber maklumat ini juga
boleh digunakan oleh pengetua/ guru besar sebagai asas untuk menilai
seseorang guru bagi tujuan tertentu.
c. Memupuk, memelihara, dan memperkukuh hubungan profesionalisme
dan interaksi yang positif antara pengetua/ guru besar dengan guru, guru
dengan guru, dan antara guru dengan murid.
d. Membantu guru menjalankan tugas harian dengan lebih berkesan dan
membentuk sikap guru ke arah yang lebih positif.
5.3 BIDANG PENYELIAAN
Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah ditumpukan kepada dua
bidang iaitu bidang organisasi serta bidang pengajaran dan pembelajaran.
a. Bidang Organisasi
Ciri-ciri organisasi yang perlu diberi perhatian adalah:
67
i. Iklim kelas
i. Organisasi kelas
ii. Kawalan murid
iii. Komunikasi
iv. Motivasi
v. Sikap murid
vi. Kebersihan dan keceriaan
vii. Penyeliaan gerak kerja
viii. Penilaian prestasi
ix. Profil murid
x. Pengurusan panitia mata pelajaran
b. Bidang Pengajaran dan Pembelajaran
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah:
i. Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT)
ii. Rancangan Pelajaran Harian (RPH)
• Objektif pengajaran dan pembelajaran
• Aktiviti pengajaran dan pembelajaran
• Refleksi pengajaran dan pembelajaran
iii. Persediaan sumber pendidikan
iv. Penyampaian isi pelajaran
v. Teknik penyoalan
vi. Interaksi guru dan murid
vii. Penggunaan masa
Penyeliaan setiap mata pelajaran hendaklah menitikberatkan aspek pengurusan
yang teratur dan sistematik melibatkan aspek perancangan, pelaksanaan,
pemantauan, penilaian dan penambahbaikan.
68
5.4 PRINSIP PENYELIAAN
Prinsip pelaksanaan penyeliaan yang ditetapkan adalah seperti berikut:
a. Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah dijalankan oleh
pengetua atau guru besar ke atas semua guru.
b. Rekod Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah dicatat
dengan ringkas dan tepat.
c. Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran hendaklah dirancang dengan
seimbang dari segi masa, mata pelajaran, tingkatan/ tahun dan guru.
d. Tugas penyeliaan ini boleh dijalankan dengan bantuan penolong kanan
dan penolong kanan petang. Walau bagaimanapun, tanggungjawab
sepenuhnya terletak pada tangan pengetua/ guru besar; penyeliaan
pengajaran dan pembelajaran hendaklah dijalankan secara sistematik
dan berlandaskan hubungan profesionalisme dengan guru. Pengetua/
Guru Besar membincangkan hasil penyeliaan dan memberi bimbingan
untuk meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran.
e. Pengetua/ Guru Besar boleh merujuk Standard Kualiti Pendidikan Malaysia
(SKPM) berkaitan pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam kalangan guru.
5.5 PERINGKAT PENYELIAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Peringkat Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran merangkumi tiga peringkat
seperti Rajah 2.
Rajah 2 : Peringkat Penyeliaan
69
Prapenyeliaan
Pada peringkat prapenyeliaan, pengetua/ guru besar perlu:
a. Mewujudkan perhubungan yang lebih mesra antara guru dengan
pengetua/ guru besar.
b. Membincangkan secara mendalam mengenai objektif yang hendak
dicapai serta kaedah pengajaran dan pembelajaran yang akan
dilaksanakan.
c. Memaklumkan guru tentang aspek-aspek tertentu yang perlu diberi
perhatian khusus.
d. Membuat penetapan hari dan waktu untuk menjalankan penyeliaan.
Penyeliaan
Pada peringkat penyeliaan, perkara berikut perlu dilakukan :
a. Penyeliaan pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan pada
tarikh dan waktu yang telah dipersetujui atau pada bila-bila masa. Guru
perlu dimaklumkan sekiranya pihak pengetua/ guru besar tidak dapat
melaksanakan penyeliaan. Guru penolong kanan boleh mengambil alih
tugas penyeliaan tersebut dengan arahan pengetua/ guru besar.
b. Pengetua/ guru besar hendaklah memberi fokus kepada pencapaian
objektif pengajaran dan pembelajaran serta kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang telah dibincangkan ketika prapenyeliaan.
c. Ulasan yang lengkap berkaitan kekuatan dan kelemahan mengenai setiap
aspek yang diselia hendaklah dicatatkan oleh pengetua/ guru besar
sebagai persediaan pascapenyeliaan.
70
Pascapenyeliaan
Pada peringkat pascapenyeliaan, perkara berikut perlu dilakukan :
a. Sesi perbincangan selepas penyeliaan perlu diadakan selepas proses
penyeliaan. Sesi tersebut merupakan perbincangan dua hala meliputi
kekuatan dan kelemahan pengajaran dan pembelajaran.
b. Status pengajaran dan pembelajaran perlu dimaklumkan kepada guru
yang diselia oleh pengetua/ guru besar.
c. Maklum balas guru adalah perlu bertujuan untuk tindakan
penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran guru berkenaan.
5.6 TINDAKAN PENAMBAHBAIKAN
Tindakan penambahbaikan selepas penyeliaan adalah penting bagi
memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya.
Perkara berikut boleh dilakukan :
a. Pengetua/ guru besar perlu memastikan guru yang diselia melaksanakan
tindakan penambahbaikan terhadap semua aspek bagi meningkatkan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran selepas penyeliaan.
b. Proses pementoran berterusan terhadap guru yang diselia sewajarnya
dijadikan budaya sekolah bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan dapat dikekalkan.
c. Pengajaran mikro sesama rakan sejawat dan komuniti pembelajaran
profesional boleh dijadikan salah satu medium tindakan penambahbaikan
selepas penyeliaan.
71
RUJUKAN
1. Biggs, J.B and Telfer, R., The Process of Learning, Prentice Hall, Sydney, 1987
2. Brady, L., Model and Methods of Technology, Prentice Hall, Sydney, 1985
3. Butler, K.A., Learning and Teaching Style, The Learner Dimension, Merrill
Publishing, Columbus, 1998
4. Doyle, W., Classroom Organization and Management, Mac Millan, New York,
1986
5. Emmer, E.T, Evertson, C.M. and Clements, B.S, Classroom Management for
Secondary Teachers, Simon & Schuster, Inc. New Jersey, 1994
6. English, T. and English, J., Creative Management in School, Ashgate Publishing
United, Hants, England, 1997
7. Gardner, H., Intelligence Reframed : Multiple Intelligences for the 21st Century,
Basic Books, New York, 2000
8. Marrison, K. And Ridley, K. Curriculum Planning and the Primary School, Paul
Chapman, London 1988
9. Marsh, C., Handbook For Beginning Teacher, Longman, Melbourne, Australia,
1996.
10. Mohd Dom, Alimuddin, Kepimpinan Instructional : Peranan Pengetua dan Guru
Besar Dalam Meningkatkan Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran di Bilik
Darjah, JNS, Putrajaya, Malaysia, 2006
11. Mok Soon Sang, Pengurusan Pengajaran-Pembelajaran, Multimedia-ES
Resources Sdn. Bhd., Puchong, Malaysia, 2006
12. JNJK, KPM, Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2010, JNJK,Putrajaya,
Malaysia, 2012
13. JNJK, KPM, Standard Kualiti Pengurusan Dan Pengajaran Matematik Sekolah
Menengah, JNJK, Putrajaya, Malaysia, 2007
14. JNJK, KPM, Standard Kualiti Pengurusan Dan Pengajaran Matematik Sekolah
Rendah, JNJK, Putrajaya, Malaysia, 2007
15. JNSP, KPM, Buku Panduan Penyeliaan Matematik Sekolah Menengah, JNSP,
Kuala Lumpur, Malaysia, 1989
72
16. JNSP, KPM, Buku Panduan Penyeliaan Matematik Sekolah Rendah, JNSP,
Kuala Lumpur, Malaysia, 1989
17. JNSP, KPM, Buku Panduan Pengurusan Profesional Sekolah Rendah, JNSP,
Kuala Lumpur, Malaysia, 1991
18. JNSP, KPM, Buku Panduan Pengurusan Profesional Sekolah Menengah, JNSP,
Kuala Lumpur, Malaysia, 1991
19. JPN Kedah, Panduan Pengurusan Panitia Sekolah, One ED Enterprise, Alor
Setar, Malaysia, 2014
20. LP, KPM, Panduan Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah, Lembaga
Peperiksaan, Putrajaya, Malaysia, 2014
21. LP, KPM, Pentaksiran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, Lembaga Peperiksaan,
Putrajaya, Malaysia, 2013
22. PPK, KPM, Kepemimpinan dan Pengurusan Kurikulum Di Sekolah, Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kuala Lumpur, Malaysia, 2001
23. Shamsudin Mohammad dan Kamarul Azmi Jasni, Penyeliaan Guru Dalam
Pengajaran dan Pembelajaran, UTM Press, 2012
SURAT PEKELILING IKHTISAS
Bil. Rujukan Tajuk
1. SPI BIL. 4/1986 Panitia Mata Pelajaran
2. SPI BIL. 3/1987 Penyeliaan Pengajaran-Pembelajaran Di Dalam
Kelas Oleh Pengetua/ Guru Besar Sekolah
3. SPI BIL. 6/1991 Sukatan Pelajaran dan Peruntukan Masa Untuk
Mata-Mata Pelajaran Program Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Bagi
Sekolah Menengah Rendah dan Sekolah
Menengah Atas
4. SPI BIL. 3/1999 Penyediaan Rekod Pengajaran Dan Pembelajaran
5. SPI BIL. 12/1999 Penggunaan Buku Teks dan Buku Latihan dan
Aktiviti Yang Diperakukan Oleh Kementerian
Pendidikan
73
6. SPI BIL. 2/2000 Pelaksanaan Sukatan Pelajaran Yang Disemak
Semula bagi Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM)
7. SPI BIL. 5/2003 Dasar Penggunaan Media dan Teknologi Dalam
Pengajaran dan Pembelajaran
8. SPI BIL. 12/2004 Garis Panduan Umum Pemberian Kerja Rumah
Kepada Murid Sekolah
SURAT SIARAN DAN SURAT MAKLUMAN
Bil. Rujukan Tajuk
1. KPPM/5; 22 JUN 1998 Tanggungjawab Mengajar Bagi Pengetua
dan Guru Besar Di Sekolah
2. Surat Pekeliling Kewangan Garis Panduan Pengurusan Kewangan
Bil. 8/2012: Peruntukan Bantuan Persekolahan Ke
Sekolah Berdasarkan Perkapita dan
Enrolmen Murid dan Pindaan Surat
Pekeliling Kewangan Bil. 8/2012 bertarikh
17 Jun 2013
LAIN-LAIN RUJUKAN
Bil. Rujukan Tajuk
1. Arahan Perkhidmatan Bab 3 Surat Menyurat
2. Arahan Perkhidmatan Bab 4 Fail-Memfail
74
75
Kementerian Pendidikan Malaysia
Jemaah Nazir Dan Jaminan Kualiti
Aras 3-6, Blok E15, Kompleks Kerajaan Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Putrajaya.
Tel: 03 8884 4161 / 8884 4201 / 8884 4111
Faksimili: 03 8884 6867 / 8888 6869