SAMBUTAN MAULIDUR RASUL S.A.W BAGI TAHUN 1442H/2020M
30 OKTOBER 2020 (JUMAAT)
BERSAMAAN 13 RABIULAWAL 1442 HIJRI
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar
Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat Baginda sekalian.
Terima kasih kepada Panitia Pendidikan Islam dan semua guru serta murid-murid yang terlibat kerana
telah berjaya mengadakan program Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah. Sambutan tahun ini
disambut dengan dengan norma baru dan diharap segala aktiviti yang dirancang dapat mematuhi SOP
yang telah ditetapkan oleh KKM dan MKN agar seluruh warga sekolah selamat dari jangkitan wabak
covid 19. Walaupun begitu aktiviti yang dirancang tetap menarik dan bersesuaian dengan situasi semasa
semoga mencapai objektif program.
Saban tahun, kita memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai bukti kasih dan
sanjungan terhadap risalah perjuangan serta pengorbanan Baginda SAW terhadap umatnya. Tema
sambutan pada tahun ini adalah “Ummah Rabbani Negara Harmoni”. Tema ini dipilih untuk
menggambarkan peri pentingnya sifat Rabbani dan kepatuhan hamba kepada Pencipta yang akhirnya
akan membawa kepada keharmonian ummah dan negara.
Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik teladan yang memiliki sifat-sifat Rabbani dan akhlak terpuji,
yang tiada tolok bandingnya dan menjadi rujukan dalam kehidupan manusia. Ini sebagaimana firman
Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh
ikutan yang baik.” (Surah Al-Ahzab: 21).
Bersempena sambutan Maulidur Rasul ini, saya berharap dan ingin mengajak semua guru dan warga
sekolah sekelian untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW,
menghayati sirah serta berusaha sedaya upaya untuk mencontohi Sunnah insan yang sangat mulia dan
kita kasihi ini.
Diharap segala aktiviti yang dirancang dapat sambutan dari murid-murid untuk mengambil bahagian
seterusnya mendapat manfaat yang baik.
Akhir kata marilah kita mengukuhkan iltizam untuk lebih mengasihi dan mendekatkan diri kepada ajaran
Rasulullah SAW yang tidak pernah melupakan kita sebagai umatnya. Sekian wabillahi taufiq walhidayah
walhamdullahirabil aalamin.
MUSTAZA BIN SHAPIAI
GURU BESAR
SK SI RUSA, PORT DICKSON
TAZKIRAH HATI
Assalamu’alaikum
Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 56:
Al-Ahzab 33:56. Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi Segala penghormatan dan
kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang Yang beriman berselawatlah kamu
kepadanya serta Ucapkanlah salam sejahtera Dengan penghormatan Yang sepenuhnya.
Sahabat yang dimuliakan,
Tarikh hari ini ialah 12 Rabiul Awal 1442 H. Pada hari ini, 1400 tahun yang lalu, junjungan besar kita Nabi
Muhammad s.a.w telah dilahirkan di dunia ini. Maha suci Allah, Nabi kita dilahirkan di Mekah, beberapa
bulan selepas ayahnya Abdullah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Ibu baginda Aminah
meninggal ketika beliau masih kecil. Saya percaya semua kita mengaku kita adalah umat Nabi
Muhammad.
s.a.w. tetapi kalau ditanya sejauh mana kita mengenali baginda, mungkin ramai juga yang terdiam dan
memikir-mikir apa yang dia tahu tentang Nabi junjungan kita ini.
Bersempena dengan hari yang mulia ini, marilah, dalam tazkirah yang sekejap ini, kita sama-sama cuba
mengenang dan mengingati seorang manusia agung, yang penuh kebijaksanaan, yang memiliki
keperibadian unggul, yang sangat pemaaf, yang sangat penyantun, yang sentiasa bersedia membantu
manusia, yang hidupnya yang amat sederhana namun kemuliaan hatinya meruntun hati manusia
kepadanya. Tidak dapatlah kita sebutkan semua kelebihannya di sini. Walaupun begitu, saya akan cuba
menyebutkan beberapa petikan ayat al-Quran berkenaan nabi junjungan kita Muhammad s.a.w.
antaranya:
Al-Anbiya’ 21:107. Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk
menjadi rahmat bagi sekalian alam. sahabat sekalian,
Rasulullah s.a.w diutuskan untuk menyampaikan risalah Islam. Kedatangan Islam yang dibawa oleh
Rasulullah telah menjadi penyuluh, panduan hidup kepada seluruh umat manusia. Sekiranya manusia
mengikuti semua panduan ini dan berpegang teguh kepada syariat, dia akan beroleh ‘al-falah’ atau
kejayaan di dunia dan di akhirat. Islam yang dibawa oleh baginda s.a.w adalah rahmat bagi sekalian
alam.
Agama Islam bukan untuk kawasan-kawasan tertentu, bukan untuk golongan atau bangsa-bangsa
tertentu, bukan untuk warna kulit tertentu tapi untuk seluruh alam. Rahmat dan keadilannya meliputi
seluruh kehidupan.
Dalam surah Saba’ ayat 28 Allah berfirman:
Saba 34:28. Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia
seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang Yang beriman), dan pemberi
amaran (kepada orang-orang Yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat
itu).
Sahabat sekalian,
bukankah telah sampai kepada kita seruan ini? Bukankah utusan Allah yang mulia ini telah
menyampaikan kepada kita berita-berita gembira buat orang beriman dan amaran2 kepada orang yang
ingkar? Adakah kita telah menerima dan melaksanakannya? Ataupun kita tidak peduli sebagaimana yang
disebutkan dalam akhir ayat tadi bahawa – kebanyakan manusia tidak mengetahui hakikat itu. Disana
ada dua jalan, jalan kebaikan dan jalan keburukan. Yang mana satu yang telah kita pilih?
Rasulullah s.a.w. juga menjadi contoh ikutan terbaik dan tiada tolok bandingnya. Tidak perlulah kita
umat Islam mencari-cari idola atau role model yang lain dalam hidup ini, apalah ertinya idola yang lain
itu jika hendak dibandingkan dengan keperibadian agung yang mana mencontohinya dijanjikan pahala.
Al-Qalam 68:4. Dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia.
Pengiktirafan daripada Allah, tuhan sekalian alam, pencipta kita terhadap keperibadian dan akhlak
baginda s.a.w tidakkah cukup untuk kita meletakkan baginda di tempat teratas sebagai ikutan kita?
Oleh yang demikian, sahabat sekalian, sama-samalah kita memurnikan kembali kecintaan terhadap
Rasulullah s.a.w. Jadikanlah baginda contoh ikutan dalam kehidupan kita sehari-hari. Pelajarilah sirah
iaitu perjalanan hidup baginda, supaya kita lebih mengenalinya dan lebih mencintai baginda hari demi
hari. Baginda s.a.w sangat mengasihi umatnya sehingga disebut-sebut sebelum wafatnya. Tidak malukah
kita untuk mengakui diri ini sebagai umat Muhammad, sedang hidup kita ini sentiasa meminggirkan
sunnahnya, asing dengan akhlak yang ditunjukkannya, lupa pada pesan-pesanannya.
Semoga tazkirah ini mendatangkan manfaat kepada kita bersama.
Wabillahi taufiq wal hidayah
PUISI WAHAI RASULULLAH..........
WAHAI RASULULLAH............
TIKA INI JIKA ENGKAU HADIR BERTAMU,
MUNGKIN MENGALIR DERAS AIRMATA MU,
DEK KESAYUAN MENGENANG UMMAHMU,
TERLALU JAUH DARI ALLAH DAN RISALAHMU….
WAHAI RASULULLAH...
NAFSU KINI MENJADI TUHAN,
HARTA DAN PANGKAT MENJADI SEMBAHAN,
MELALAIKAN SEGALA ARAHAN DAN JANJI KETUHANAN,
IBADAT DI RASA BERAT TIDAK TERTAHAN,
AL-QURAN BUKAN LAGI PANDUAN KEHIDUPAN ...
WAHAI RASULULLAH..
BERSAMAMU KAMI MERINDUI KEHIDUPAN,
NAMUN ADAKAH DIRI INI PUNYAI KELAYAKAN,
DI BANDING SAHABAT, TABIIN DAN SOLEHIN YANG BERIMAN,
DI MANAKAH TEMPAT KAMI DI SISI INSAN KESAYANGAN TUHAN,
DI POHON SYAFAATMU DUHAI KEKASIH PILIHAN.
PENGHARGAAN
KAMI JAWATANKUASA MAJLIS SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1442H/2020 MENGUCAPKAN SETINGGI
-TINGGI TERIMA KASIH KEPADA:
EN. MUSTAZA B. SHAPIAI (GURU BESAR SKSR)
BARISAN GURU PENOLONG KANAN DAN SEMUA GURU
YANG TERLIBAT SECARA LANGSUNG ATAU TIDAK LANGSUNG.
SEMOGA SEGALA JASA BAIK DAN SUMBANGAN IDEA, KEWANGAN DARI TUAN DAN PUAN AKAN
MENDAPAT GANJARAN DI SISI ALLAH SWT.