KURSUS:
PPPM 3133 PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN WANITA ISLAM
TAJUK :
PERANAN WANITA MEMBENTUK KELUARGA MITHALI MENURUT ISLAM
DISEDIAKAN UNTUK:
DR. A’DAWIYAH BINTI ISMAIL
DISEDIAKAN OLEH :
(A152638) Nur Farahana Binti Zainal Abidin
(A153729) Aisyah bt Muhamad Subri
(A156054) NurSafira Roza bt Ahmad Zaini
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
BANGI, SELANGOR DARUL EHSAN
2
DAFTAR ISI
PERKARA HALAMAN
1.0 Pengenalan 3
1.1 Pernyataan masalah
1.2 Persoalan
1.3 Objektif
1.4 Kaedah mengumpul data
2.0 Peranan Wanita Dalam Membentuk Keluarga Mithali Menurut 5-12
Islam
2.1 Menjalankan tanggungjawab sebagai seorang hamba 13
2.2 Wajib berbuat baik kepada kedua ibu bapanya 14
2.3 Menjaga maruah diri dan keluarga
2.4 Memenuhi keperluan zahir dan batin
2.5 Memberikan pendidikan kepada anak
3.0 Rumusan
4.0 Rujukan
3
1.0 PENGENALAN
Institusi keluarga adalah unit sosial yang kecil dalam sesebuah masyarakat. Sekiranya
keluarga itu baik, maka masyarakat turut menjadi baik. Kesejahteraan dalam
masyarakat mempunyai hubungan rapat dengan pembinaan individu dalam institusi
keluarga yang berkualiti menurut Islam. Kefahaman mengenai keluarga berkualiti
menurut Islam amat penting kepada umat Islam untuk mencapai matlamat
perkahwinan yang sebenar dan mendepani cabaran kehidupan semasa dengan penuh
keimanan dan kebijaksanaan. (‘Adawiyah Ismail. 2011)
Wanita didefinisikan sebagai seorang isteri, kaum ibu ataupun anak perempuan
tidak kira mereka bersifat lemah lembut ataupun tidak kira sama ada cantik parasnya
atau tidak (Siti Nur Husna, Mohd Izhar, Muhammad Adnan, 2017). Wanita pada
zaman dahulu adalah dianggap memalukan kerana kedudukannya yang sangat rendah
dan hina. Apabila lahirnya anak perempuan, anak itu akan dibunuh dan ditanam
hidup-hidup akibat terlalu malu kerana memiliki anak perempuan. Hal ini adalah
kerana sebelum datangnya Islam, wanita tidak memiliki kedudukan yang layak dalam
masyarakat.
1.1 PERNYATAAN MASALAH
“Narcissistic Personality Disorder” merupakan suatu penyakit dalam
teknologi baru yang semakin merebak dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
Mereka yang mengalami penyakit ini merasakan bahawa mereka adalah manusia yang
paling hebat sama ada dalam segi perlakuan dan khayalan. Semakin banyak seseorang
itu menggunakan media sosial untuk mempamerkan dirinya yang paling bagus dan
sempurna, semakin tinggi potensi dirinya untuk menjadi seorang narcissistic. (Asfan,
2014)
Seperti yang kita sedia maklum, dunia populariti semakin mendapat perhatian
dan tempat dalam masyarakat. Hal ini adalah disebabkan oleh lambakan rancangan
hiburan yang tidak bermanfaat seperti Motif Viral, Melodi, Anugerah Meletup Era,
dan bermacam-macam-macam lagi rancangan yang menjadi sajian bagi masyarakat
pada hari ini. Disebabkan itu, masyarakat pada hari ini tidak segan silu untuk
menonjolkan diri mereka di khalayak ramai dengan melakukan pelbagai perkara-
perkara pelik yang akhirnya menjadi perhatian media dan umum khususnya.
4
Anak-anak muda juga tidak terkecuali daripada terbabit sama dengan keadaan
ini. Kita dapat liat bahawa, kebanyakan anak muda lebih cenderung untuk
menonjolkan diri mereka dengan melakukan aksi pelik dan aneh serta mengharapkan
tumpuan dan perhatian daripada masyarakat. Akhirnya apabila perkara itu ditularkan,
mereka akan dijemput tampil ke rancangan yang kononnya ingin mendapatkan
penjelasan sebenar daripada individu itu sendiri. Malangnya, jemputan itu akhirnya
dijadikan platform untuk individu tersebut dan anak muda yang lain untuk mengejar
populariti dengan cara yang cepat. Mereka akan memperoleh follower yang ramai dan
dikenali oleh seluruh rakyat Malaysia.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan adanya sokongan daripada pihak ibu bapa
itu sendiri kepada anak-anak mereka. Kebanyakan ibu bapa pada hari ini sangat
menggalakkan anak-anak mereka untuk menjadi terkenal walau dengan apa cara
sekalipun. Ibu bapa beranggapan bahawa cara ini mampu untuk membina keyakinan,
keberanian dalam diri anak mereka untuk tampil di khalayak ramai seterusnya
keluarga mereka itu boleh dijadikan contoh kepada masyarakat. Sebagai contoh, ibu
bapa menggalakkan anak-anak mereka menceburi dunia hiburan sehingga terkenal
dan menjadi contoh ikutan ramai berbanding galakkan yang diberikan untuk
menyertai program-program yang berbentuk kerohanian.
1.2 PERSOALAN
Apakah peranan seorang wanita menurut Islam untuk membentuk keluarga mithali
dalam dunia yang semakin membimbangkan pada hari ini?
1.3 OBJEKTIF
Mengenal pasti peranan seorang wanita menurut Islam untuk membentuk keluarga
mithali dalam dunia yang semakin membimbangkan pada hari ini.
1.4 KAEDAH MENGUMPUL DATA
Reka bentuk kajian ini adalah kajian kualitatif berbentuk analisis dokumen.
Pengumpulan data kajian dilakukan menerusi kajian kepustakaan bersumberkan
jurnal, artikel dan buku-buku ilmiah yang berkaitan dengan peranan wanita dan
keluarga mithali menurut Islam.
5
2.0 PERANAN WANITA DALAM MEMBENTUK KELUARGA MITHALI
MENURUT ISLAM
2.1 Menjalankan tanggungjawab sebagai seorang hamba
Menjadi seorang ibu tidak bermakna wanita tidak mempunyai komitmen lain kerana
wanita juga mempunyai tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah. Seorang ibu
yang beriman akan sentiasa menjaga solatnya, berpuasa, memperbanyakkan
pergantungan kepada Allah dalam semua perkara dan bersyukur atas rezeki yang
diperoleh. Seorang ibu yang solehah menjadi contoh teladan kepada anak-anak
kerana anak mudah mengikut perilaku ibu yang dijadikan sebagai idola mereka.
Firman Allah SWT :
Maksudnya : dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk
mereka menyembah dan beribadat kepada Ku.
(Surah Az-Zariyat 51:56)
Sekalipun wanita itu mempunyai pelbagai peranan dan tanggungjawab, beliau
tidak boleh melupakan tanggungjawab yang hakiki sebagai hamba Allah. Wanita
merupakan makhluk ciptaan Allah yang istimewa kerana mereka mampu melakukan
banyak perkara dan kuat dalam mendepani segala cabaran dan ujian. Oleh sebab itulah
wanita dipilih oleh Allah sebagai ibu yang melahirkan anak kerana kekuatan dan
semangat yang dimilikinya. Wanita sebagai hamba harus melakukan segala suruhan
dan meninggalkan segala larangan-Nya.
2.2 Wajib berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.
Anak-anak tidak kira lelaki mahupun perempuan, wajib mentaati dan berbuat baik
kepada ibu bapa kerana tanpa mereka, tiadalah kita di dunia ini. Ibu bapa merupakan
anugerah yang paling besar kepada seorang anak kerana redha Allah itu terletak pada
redha kedua ibu bapa. Kita harus sedar dan mengerti dan menghargai mereka selagi
mereka masih hidup di atas muka bumi ini. Sekiranya mereka sudah tiada, kita
6
haruslah mengirimkan doa kepada mereka pada setiap masa kerana doa anak soleh
merupakan bantuan mereka di alam sana. Firman Allah SWT :
Maksudnya : Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya,
ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi
kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan
tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, (dengan
yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu
bapa mu, dan (ingatlah), kepada Aku jualah tempat kembali (untuk
menerima balasan)
(Surah al-Luqman 31:14)
Firman Allah SWT :
Maksudnya : Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas
kasihan dan kasih sayang mu dan doakanlah (untuk mereka, dengan
berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua
sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara
dan mendidik ku semasa kecil.
(Surah al-Isra’ 17:24)
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa seorang anak wajib menyayangi dan
peka akan keadaan ibu bapa mereka. Selain itu, seorang anak juga perlu menjaga
kebajikan mereka, memerhatikan sebarang perubahan fizikal serta emosi mereka,
merawat serta memberi layanan terbaik buat mereka serta meningkatkan amal bagi
membantu mereka di akhirat kelak. Peranan wanita sebagai seorang anak, ialah
mampu untuk membuka pintu jannah buat bapanya. Oleh yang demikian janganlah
pula membuka pintu neraka bagi para bapa. (Siti Nur Husna, Mohd Izhar, Muhammad
Adnan, 2017)
7
2.3 Menjaga maruah diri, suami dan keluarga
Maksudnya: Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada
Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan
apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama,
dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya dan perempuan-
perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka
(nusyuz).
(Surah An-Nisa 4:34)
Sebagai wanita solehah, isteri mestilah menjaga amanah dan kepercayaan yang
telah diberikan oleh suami dengan bersungguh –sungguh dan tidak menyalahgunakan
kepercayaan itu kepada perkara yang mungkar. Contohnya isteri wajib memelihara
dirinya sebagai isteri kepada seseorang, tidak berfoya – foya, menjaga rahsia suami,
menjaga dan menguruskan harta benda, rumahtangga, suami dan anak –anak serta
setiap perkara yang ingin dilakukan mestilah mendapat keizinan suaminya
(Kamarudin Salleh, Md.Nor Abdullah, Mohd Izhar. 2009).
Selain itu juga, wanita mestilah menjaga maruah suami dengan tidak berkongsi
masalah peribadi di media sosial dan memuat naik gambar-gambar yang tidak
menutup aurat kerana suami yang akan menanggung dosa isterinya. Isteri seharusnya
bijak menangani masalah yang berlaku antara dirinya dan pasangan dengan
berbincang terlebih dahulu secara aman dan sekiranya perkara itu tidak selesai,
pasangan suami isteri itu boleh meminta nasihat daripada perunding keluarga Islam di
jabatan agama Islam. Ia adalah lebih baik berbanding dengan meluahkan perasaan dan
masalah mereka kepada media sosial, ibu bapa dan masyarakat kerana itu akan
mengundang lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan.
8
2.4 Memenuhi keperluan zahir dan batin
Sumbangan isteri dari segi buah fikiran amat diperlukan oleh suami kerana isteri
mampu mempengaruhi dan mendorong suaminya ke arah kebaikan dan kejahatan.
Contohnya, kisah Ummu Salamah yang membantu Rasulullah SAW semasa
menghadapi masalah semasa di Hudaibiyah. Pada ketika itu, para sahabat keberatan
mengikut arahan Rasulullah SAW untuk bercukur. Lalu Ummu Salamah
mencadangkan agar Rasulullah SAW untuk bercukur dahulu, selepas itu pasti akan
diikuti oleh para sahabat (Nor Hanani.2010). Dalam sesebuah rumahtangga, bukan
aspek zahir sahaja yang perlu dijalankan tetapi sebagai isteri, sudah menjadi satu tugas
buat isteri untuk membantu suaminya dari segi kerohanian seperti berdakwah,
menjaga solat, wirid, membaca al- Quran supaya keluarga yang dibentuk sentiasa
dalam landasan yang benar dan menjauhi perkara mungkar.
Selain itu, isteri mesti melayan suami dengan baik dan sentiasa berpenampilan
menarik di dalam dan di luar rumah kerana apabila seorang isteri yang berhias untuk
suaminya akan diberikan ganjaran pahala dan membahagiakan hati suami bahkan
isteri dapat menarik mata suami supaya kecenderungan hati suami tidak kepada
wanita yang berada di luar. Menurut Najlaa dan Tengku Intan (2016), tugas isteri
adalah membantu mengurangkan beban cabaran yang dihadapi suami di luar dengan
memberikan layanan yang baik kepada suami seperti berhias, bersolek dan menjaga
penampilan.
Nor Hanani (2010), menyatakan aspek kerohanian amat penting dalam setiap
keluarga kerana kerohanian isteri akan mempengaruhi suami untuk mendapat
kejayaan dunia dan akhirat kerana isteri yang berusaha menjaga amal soleh dan
sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT dapat ganjaran di dunia dan akhirat
seperti nikmat bahagia dan ketenangan dalam rumahtangga tetapi jika isteri itu jahat
maka kejahatannya akan menghijabkan peningkatan darjat suaminya di sisi Allah
SWT seperti sentiasa resah, cepat marah, terasa beban dan sebagainya. Daripada sudut
dakwah pula, isteri sangat berperanan menjadi tulang belakang buat suami kerana
dalam firman Allah SWT:
9
Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya
menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh
berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka
mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah
dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah;
sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah at-Taubah 9:71)
Ayat di atas bermaksud, suami isteri perlu saling membantu dalam urusan
agama dan bertanggungjawab dalam menyampaikan dakwah untuk mencapai satu
darjat yang lebih tinggi di sisi Allah SWT dengan adanya sifat saling mendidik dan
tazkiyatun nafs dan seiring mencari jalan untuk sentiasa dekat di jalan Allah SWT
(Brusawi, 2001). Muhammad ‘Izzah Darwazah (1961) pula berpendapat orang-orang
mukmin baik lelaki mahupun wanita yang benar-benar ikhlas adalah menjadi
penjamin yang saling bantu membantu dalam setiap kebaikan dan kebenaran serta
menyuruh kepada perkara makruf dan mencegah perkara-perkara mungkar.
Contohnya yang jelas, pada zaman Nabi Muhammad SAW, isteri – isteri Baginda dan
isteri para sahabat keluar bersama askar untuk berjuang di medan perang. Para isteri –
isteri ini membantu tentera dengan memberikan minuman, menyediakan makanan,
merawat cedera dan meniup semangat ke dalam jiwa askar.
2.5 Memberikan pendidikan kepada anak
Peranan ibu yang utama iaitu untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak.
Pendidikan ini bukan sekadar pendidikan formal di sekolah malah yang lebih penting
adalah didikan secara tidak langsung di rumah. Jika dilihat masalah keruntuhan
akhlak dan krisis social yang melanda remaja kini, generasi muda yang lemah dan
tidak sanggup memikul tanggungjawab semuanya adalah berpunca daripada didikan
daripada ibu.
10
Menurut Ummu Ibrahim (1996), diceritakan mengenai kisah seorang pencuri
yang ditangkap petugas keamanan, apabila berada di pengadilan, dia berkata kepada
hakim “saya berharap sebelum tuan menjatuhkan sebarang hukuman kepada saya,
mohon tuan terlebih dahulu memotong lidah ibu saya sendiri”. Mendengarkan itu,
hakim menjadi kehairanan dan bertanyakan mengapa pencuri tersebut berkata
sedemikian. Lelaki pencuri itu lalu menceritakan” ketika aku masih kecil, aku pernah
menaiki atap rumah kami, lalu mencuri sebiji telur milik jiran, ketika itu, ibu ku
melihat perbuatan aku lalu berkata dengan girang ‘syukurlah anakku telah besar dan
telah berjaya mendapatkan telur untuk ku. Malah ibu tidak pernah bertanyakan dari
mana aku mendapatkan telur ini.”
Berdasarkan kisah ini, dapat dilihat bahawa tanggungjawab si ibu terhadap
pendidikan anak adalah lebih daripada bapa kerana si ibu lebih rapat dan banyak
meluangkan masa untuk anak-anaknya. Kecuaian si ibu dalam mendidik anak-anak
ini akan merosakkan masa depan anak-anak itu sendiri sebenarnya. Hadis Rasulullah
saw :
“Kamu sekalian adalah pemimpin, dan kamu sekalian bertanggungjawab atas
orang yang dipimpinnya. Seorang Amir (raja) adalah pemimpin, seorang suami pun
pemimpin atas keluarganya, dan isteri juga pemimpin bagi rumah suaminya dan
anak-anaknya. Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta
dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya”
(Hadis Riwayat Bukhari 893, 5188, 5200)
Hadis ini menunjukkan bahawa sebagai ketua untuk anak-anak, ibu haruslah
memberikan didikan agama dengan mendidik anak-anak mengenal Allah dan
Rasulnya dengan mendedahkan daripada kecil tentang agama iaitu banyak
menceritakan sirah terdahulu, melatih anak menunaikan solat, berpuasa, menceritakan
tentang kekuasaan Allah, siapa yang menciptakan manusia, tujuan hidup di dunia ini
dan mana matlamat akhir yang akan dituju dan banyak lagi yang boleh disampaikan
dengan kaedah yang berbagai mengikut kreativiti si ibu.
11
2.6 Mendoakan keluarga dan anak
Doa seorang ibu adalah dimakbulkan Allah kerana syurga terletak di bawah telapak
kaki ibu. Berdasarkan ayat ini, mengisahkan mengenai isteri Imran a.s. yang Allah uji
dengan lambat hamil sehinggakan satu ketika beliau sedar bahawa Allah sahajalah
tempat satu-satunya yang berkuasa memenuhi keinginannya untuk mempunyai
seorang anak. Beliau bersujud siang malam dengan penuh khusyuk dan kerendahan
hati malah bernazar dan berjanji kepada Allah untuk menyerahkan dan
mengamanahkan anaknya menjadi pelayan, penjaga dan memelihara Baitullah iaitu
rumah Allah. Beliau sendiri sesekali tidak akan mengambil manfaat daripada anaknya
untuk kepentingan dirinya sendiri ataupun kepentingan keluarganya. (Mardiana Mat
Ishak & Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri, 2014)
Hasilnya, doa tersebut diperkenankan Allah lalu hamillah isteri Imran tersebut.
Namun setelah melahirkannya, ternyata ianya adalah perempuan bukannya lelaki
yang lebih layak menjadi pelayan dan pengurus Baitul Maqdis walhal beliau telah
bernazar kepada Allah sebelum ini. Lalu berdoalah lagi si ibu yang solehah ini
sebagaimana firman Allah swt:
Maksudnya: Maka tatkala isteri 'Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata: "Ya
Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan;
dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-
laki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah
menamai Dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta
anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada
syaitan yang terkutuk."
(Surah Ali ‘Imran ayat 36)
Puteri yang dilahirkan itu adalah Maryam wanita suci pilihan Ilahi yang
terpilih menjadi ibu kepada Nabi Isa a.s. Rupa-rupanya doa ibu kepada Maryam
inilah yang menjadikan beliau wanita yang terpilih untuk melahirkan seorang nabi.
12
Subhanallah. Justeru itu jelaslah di sini kuasa doa seorang ibu itu adalah makbul dan
hebat yang perlu diambil perhatian oleh ibu-ibu kini jua dalam mendidik anak-anak
mereka.
13
3.0 RUMUSAN
Wanita dijadikan oleh Allah SWT dengan keistimewaan dan kekuatan tersendiri di
sebalik kelembutan dan sifat kasih sayang mereka yang lebih berbanding lelaki.
Kelebihan ini di guna pakai oleh wanita sebaik mungkin dengan memainkan peranan
mereka dalam membantu suami bagi membentuk keluarga mithali menurut Islam.
Wanita di dalam sesebuah keluarga mempunyai pelbagai peranan seperti peranan
sebagai seorang anak kepada ibu ayahnya, apabila sudah berkahwin, wanita
berperanan menjadi seorang isteri iaitu pendamping suaminya serta setelah wanita
dikurniakan cahaya mata, maka bermulalah peranan mereka sebagai seorang ibu yang
amat kasih akan anaknya. Lalu diberikan didikan sebaik mungkin kepada anak
tersebut dengan akhlak mulia, dilengkapi dengan ilmu dunia dan ilmu agama dengan
berdasarkan ajaran Islam agar dapat membentuk sebuah keluarga mithali yang bahagia
bukan sekadar bahagia di dunia, namun bahagia jua di akhirat kelak.
Dari sudut pandang Islam, keluarga adalah institusi terpenting dan
bertanggungjawab melahirkan, mendidik, mengasuh dan membesarkan ahli keluarga
yang pada suatu masa nanti akan menjadi generasi pelapis yang hebat di dalam
sesebuah negara Islam. Contoh teragung bagi sebuah keluarga mithali ini adalah pada
keluarga Para Nabi terutamanya Nabi Muhammad saw itu sendiri sebagai Nabi akhir
zaman.
14
5.0 RUJUKAN
Al-Quran
Adawiyah Ismail. 2011. Konsep keluarga berkualiti menurut Islam. Al-Hikmah,3. pp.
121-144. ISSN 1985--6822
Asfan Ash. 2014. Apakah Itu Narcisstic Personality Disorder?
http://www.arcx13.com/2014/05/apakah-itu-narcissistic-personality-
disorder.html [14 May 2018]
Kamarudin Salleh, Md.Nor Abdullah & Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim. 2009.
Konsep Keluarga Sakinah Dalam Islam. Bangi : Universiti Kebangsaan
Malaysia
Mardiana Mat Ishak & Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri. 2014. Dasyatnya Doa
Isteri. Selangor : PTS Publications & Distributors sdn bhd
Najlaa Binti Ismail dan Tengku Intan Zarina Tengku Puji. 2016. Layanan Isteri
Terhadap Suami Dalam Aspek Berhias Sebagai Pendidikan Dalam Rumah
Tangga Dan Kesan Pengabaiannya. Journal of Global Business and Social
Entrepreneurship (GBSE). Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi.
Nor Hanani. 2010. Peranan Wanita Dalam Dakwah Mengikut Perspektif Al-Quran
Surah Ali-Imran. Kuala Lumpur : Universiti Malaya
Nor Hanani. 2010 . Peranan Wanita Dalam Dakwah Mengikut Perspektif Islam. Dlm :
Muhammad ‘Izzah Darwazah (1961), al-Tafsīr al-Hadīth Tartīb al-Suwar
Hasbu al-Nuzūl, j. 9.Beirut: Dār al-Gharb al-Islāmi.
Nor Hanani. 2010 . Peranan Wanita Dalam Dakwah Mengikut Perspektif Islam. Dlm :
Brusawi, Ismāīl Haqqi al- (2001), Tafsīr Rūh al-Bayān, j. 3. Beirut: Dār Ihya
alTurāth al-Arabiy.
Ummu Ibrahim Ilham Muhammad Ibrahim. 1996. Bagaimana Menjadi Istri Shalihah
Dan Ibu Yang Sukses? Jakarta : Darul Falah
Siti Nur Husna Abd Rahman, Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Muhammad Adnan
Pitchan.2017. Peranan Wanita Dalam Institusi Kekeluargaan: Perbincangan
Dari Perspektif Islam. Vol. 12, No. 3 (2017), 019 ISSN: 1823-884x