Syair Pohon Buluh
Mohd. Yusof Md. Nor & Dr. Abd. Rahman Kaeh
Antologi Kuingin Berterima Kasih (Tingkatan 1)
Menara tinggi banyak bertingkat
Di sana tiada bilik bersekat
Tiada bertangga naik melekat
Mata-mata menjaga segenap pangkat
Yang ada sedia panji-panji bendera
Hingga sampai ke kemuncak menara
Banyak ada ia bersaudara
Yang ada pula bersama gara
Selalu dipandang dilihat adanya
Tinggi rendah dijerat pangkatnya
Besar kecil ikat binanya
Terlalu kuat pula asasnya
Ikatnya licin di luar di dalam
Gelapnya di dalam seperti malam
Air tak tiris seperti kolam
Ikat tingkatnya tak nampak alam
Rangkap 1
Pohon buluh digambarkan sebagai sebuah menara tinggi yang bertingkat-tingkat tetapi tidak
mempunyai bilik dan tangga. Setiap pangkat (merujuk kepada ruas buluh) dikawal oleh mata-mata
(merujuk kepada miang buluh). Secara realiti, rumpunan buluh menggambarkan masyarakat.
Masyarakat dinasihatkan supaya hidup secara bermuafakat, saling menghormati antara satu sama lain.
Rangkap 2
Daun-daun buluh yang kebanyakannya sama saiz diibaratkan sebagai kibaran bendera dari pangkal
hingga ke puncak pokok. Menggambarkan kehidupan masyarakat berbilang kaum dalam satu tampuk
pimpinan yang hidup aman, sentosa dan sejahtera.
Rangkap 3
Resmi pokok buluh, hidup berbatang-batang dalam satu rumpun tanpa mengira kekuatan atau saiz.
(Menggambarkan kesatuan yang kuat/utuh). Masyarakat perlu hidup bersatu padu tanpa mengira kaum,
pangkat, kedudukan atau status. Barulah boleh hidup dengan harmoni.
Rangkap 4
Menjelaskan lebih lanjut keadaan di bahagian dalam dan di luar buluh yang licin. Bahagian dalam
batangnya gelap (umpama malam), boleh menakung air tanpa tumpah. Ini menggambarkan keadaan
masyarakat yang bersatu padu dan hidup secara muafakat. Hubungan yang kukuh sesama anggota
masyarakat menjadikan masyarakat tersebut satu unit yang kuat.
Tema
Kemegahan pohon buluh yang hidup dan bertumbuh dengan subur menggambarkan kepentingan hidup
bersatu padu dalam masyarakat.
Persoalan
Ciri fizikal pohon buluh, pokok yang tinggi dengan ruas-ruasnya yang banyak. Kepentingan hidup
bermasyarakat di bawah satu tampuk pimpinan yang adil dan saksama.
Kekuatan rumpun buluh lambang kesatuan antara pepohonnya. Sikap cinta akan negara dan
bersemangat patriotik dalam kalangan masyarakat penting untuk membina masyarakat yang bersatu
padu.
Keindahan lambaian dedaun buluh umpama bendera-bendera yang berkibar megah. Kepentingan sikap
saling menghormati dalam masyarakat yang berbilang kaum akan melahirkan masyarakat yang hidup
harmoni.
Keadaan di dalam dan luar batang buluh yang licin dan mampu menampung air. Perpaduan amat
penting dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum.
Bentuk
Mempunyai empat rangkap.
Setiap rangkap mempunyai empat baris.
Setiap baris terdiri daripada sembilan hingga tiga belas suku kata.
Mempunyai empat hingga enam perkataan dalam sebaris.
Rima akhirnya aaaa.
Gaya Bahasa
Asonansi
Pengulangan vokal a
Contoh:
Mata-mata menjaga segenap pangkat
Yang ada sedia panji-panji bendera
Pengulangan vokal i
Contoh:
Ikatnya licin di luar di dalam
Aliterasi
Pengulangan konsonan g
Contoh:
Menara tinggi banyak bertingkat
Pengulangan konsonan t
Contoh:
Tiada bertangga naik melekat
Tinggi rendah dijerat pangkatnya
Kata ganda - panji-panji, mata-mata
Imej alam - kolam, alam
Inversi - banyak ada ia bersaudara
Simile - gelapnya di dalam seperti malam, air tak tiris seperti kolam
Sinkope - tak
Repetisi
Yang ada sedia panji-panji bendera
Hingga sampai ke kemuncak menara
Banyak ada ia bersaudara
Yang ada pula bersama gara
Nilai
Perpaduan – Masyarakat yang berbilang kaum hanya boleh hidup aman dan harmoni seandainya
mengamalkan nilai perpaduan. Apabila rakyat hidup bersatu padu, negara yang aman sejahtera akan
terbina dengan kukuhnya.
Saling memerlukan - Pohon-pohon buluh yang hidup dalam satu rumpun saling bergantungan antara
satu sama lain, membentuk rumpunan yang kuat. Dalam hidup bermasyarakat, kita perlu saling
menolong antara satu sama lain.
Bermuafakat - Masyarakat wajar hidup bermuafakat dan bersatu padu tanpa mengira kaum, agama,
pangkat dan kedudukan.
Semangat patriotik/Cinta akan negara - Masyarakat yang bersemangat patriotik akan sentiasa hidup
harmoni dan bersatu padu.
Pengajaran
Kita haruslah bersatu padu dalam kumpulan (termasuk komuniti/masyarakat) tanpa mengira pangkat,
agama, darjat dan keturunan.
Kita haruslah bekerjasama dalam kumpulan kerana kita hidup saling memerlukan dalam membentuk
satu unit kumpulan yang kuat.
Kita hendaklah mempunyai semangat cinta akan negara agar dapat hidup dengan aman dan harmoni.
Kita hendaklah mengamalkan nilai perpaduan dan hidup bermuafakat.