The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by aina09-348, 2022-05-17 12:31:01

PENULISAN AKEDEMIK

PENULISAN AKEDEMIK

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu
59990 Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan
(PISMP Ambilan Jun 2020)

BUDAYA DAN PEMBELAJARAN
(EDUP3073)

Disediakan oleh:

Nama: NUR AINA NABILA BINTI MAT RAHIM
010812030774
No. Kad Pengenalan: 2020192340184
Angka Giliran: F10
Kumpulan/ Unit
PUAN NOR RUL AZLIFAH BINTI ZULKAFALI
Nama Pensyarah:
PENULISAN AKADEMIK
Tajuk Tugasan : 12 MEI 2022

Tarikh Penyerahan:
Tarikh Menerima Maklum

Balas Daripada
Pensyarah

1.0 PENGENALAN

Mesra budaya merupakan perlakuan atau amalan yang mendatangkan keselesaan
dan kegembiraan, (Noriati A. Rashid et.al, 2014). Jika murid hanya memberi tumpuan
pada proses penyampaian isi pengajaran guru semata-mata, ianya tidak membantu
dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan. Pengurusan bilik darjah
mesra budaya pula merupakan cara bagaimana guru dan murid bekerja, bagaimana
mereka saling bekerjasama dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran berlaku
(Bosch, 2006). Ianya merupakan satu penglibatan antara murid dan guru untuk
membangkitkan suasana pembelajaran yang terbaik dalam bilik darjah bagi
meningkatkan kualiti dan potensi diri murid sekali gus dapat memupuk sikap
tanggungjawab dalam diri mereka terhadap pelbagai aspek. Hal ini disokong oleh
Syed Ismail dan Ahmad Subki (2012) yang mana mereka berpendapat, persekitaran
pembelajaran yang mesra budaya akan mengembangkan nilai sivik yang menjadi nadi
bagi kehidupan masyarakat yang harmoni dan aman di peringkat nasional dan global.

2.0 LANGKAH-LANGKAH PENGURUSAN BILIK DARJAH MESRA BUDAYA

2.1 PENGURUSAN PERSEKITARAN FIZIKAL

Pengurusan persekitaran fizikal yang baik dapat menggalakkan
perkembangan murid dalam pembelajaran. Ini kerana, bilik darjah yang
kondusif, ceria dan selesa sangat membantu murid memberikan tumpuan
sepenuhnya terhadap sesi pembelajaran. Antara perkara yang perlu
dititikberatkan ialah, ruangan bilik darjah. Guru perlu memastikan keluasan
ruang belajar dan susun atur kelengkapan bersesuaian dengan kapasiti murid.
Ini kerana, bilangan murid yang melebihi kapasiti secara langsung akan
mengganggu kelancaran sesi pembelajaran dalam bilik darjah. Ruangan
belajar yang terlalu sempit atau terlalu luas juga boleh mengakibatkan murid
hilang fokus terhadap pembelajaran. Kemudian, aspek keceriaan bilik darjah
juga penting kerana sesebuah kelas yang ceria mampu meningkat semangat
dan motivasi murid untuk belajar dan seterusnya boleh meningkatkan prestasi
murid (Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel, 2016). Untuk aspek
keceriaan, guru boleh memberikan peluang kepada murid-murid untuk
menghias bilik darjah mengikut kreativiti mereka. Dengan cara ini, murid
berpeluang untuk mempamerkan apa-apa sahaja bahan budaya etnik masing-

masing supaya rakan bilik darjah mereka dapat memahami unsur budaya
rakan yang lain.

2.2 PENGURUSAN EMOSI MURID

Kemudian, pengurusan emosi murid juga sangat penting dalam usaha
mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya. Sebagai contoh, guru perlulah
menghormati pegangan dan adat resam setiap murid dengan tidak menyentuh
isu sensitif yang melibatkan etnik mereka di dalam bilik darjah. Ini kerana,
Albert (1971) berpendapat bahawa kanak-kanak akan membuat pemerhatian
terhadap tingkah laku, sikap dan reaksi yang berada di sekelilingnya sewaktu
berinteraksi. Jika guru tidak peka akan isu tersebut, ia akan mengakibatkan
mereka berasa kurang selesa sehingga menyebabkan emosi mereka
terganggu, murid akan mula hilang fokus dan tidak mahu meneruskan sesi
pembelajaran tersebut. Oleh itu, bagi mengatasi isu ini guru perlu sentiasa
menghormati pegangan dan adat resam setiap murid agar mereka dapat
belajar dengan selesa. Tambahan, bagi menggalakkan lagi perkembangan
murid-murid, guru boleh memberikan pujian apabila mereka Berjaya menjawab
soalan dengan betul supaya mereka terus bersemangat untuk belajar.

2.3 PENGURUSAN SOSIAL

Seterusnya, dalam mewujudkan suasana bilik darjah mesra budaya
guru perlu merancang pergerakan murid dan tingkah laku murid dalam bilik
darjah sewaktu guru mengajar. Tamsilanya, guru perlu memperbanyakkan
aktiviti berkumpulan di dalam bilik darjah seperti menyusun murid dalam satu
kumpulan yang mana setiap kumpulan mempunyai taburan kaum yang sama
dengan kumpulan yang lain (Najeemah Md. Yusof, 2006). Ini kerana,
pengalaman bekerja dalam satu pasukan akan memberikan pengalaman
kepada murid untuk memahami orang lain dan cuba bertingkah laku agar
disenangi dan diterima oleh kumpulannya (Len, 2013). Tambahan, apabila
melakukan tugasan berkumpulan yang terdiri daripada pelbagai kaum, murid
dapat mengenali rakan mereka dengan lebih mendalam. Hubungan antara
mereka juga menjadi bertambah erat dan mesra. Kemudian, bagi
menggalakkan lagi interaksi murid di dalam bilik darjah, guru juga boleh
mengajukan soalan atau meminta pendapat daripada murid sewaktu sesi

pembelajaran berlangsung. Hal ini bertujuan untuk memastikan interaksi dua
hala antara guru dan murid berlaku di dalam bilik darjah. Hasilnya, murid akan
lebih fokus akan pelajaran sekali gus menjadikan mereka belajar dengan lebih
aktif dalam bilik darjah.

2.4 PENGURUSAN SOSIOLINGUISTIK

Sosiolinguistik secara amnya merupakan satu bidang ilmu yang
mengkaji ciri-ciri dan fungsi variasi bahasa serta turut mengkaji pengaruh
budaya terhadap sesuatu bahasa yang digunakan. Oleh kerana Malaysia
merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa, sudah semestinya
Malaysia memiliki bahasa pertuturan yang berbeza-beza. Ekoran daripada itu,
majoriti sekolah-sekolah mempunyai murid yang berbilang bangsa. Dengan itu,
guru perlulah menitikberatkan pengurusan sosiolinguistik di dalam bilik darjah
kerana bahasa merupakan satu alat perhubungan dan perantaraan sesuatu
budaya. Sebagai contoh, guru perlulah memartabatkan Bahasa Melayu dalam
kalangan murid-murid seperti mengadakan aktiviti puisi, syair, pantun, cerita
rakyat dan sebagainya. Dengan pelaksanaan aktiviti sebegini, sedikit
sebanyak dapat membantu murid menambah kosa kata dan pengetahuan
mengenai bahasa Melayu. Pada masa yang sama, guru juga boleh
menerapkan unsur kebudayaan etnik-etnik atau kaum bangsa lain. Contohnya,
meminta murid membawa apa-apa sahaja yang melambangkan budaya kaum
mereka untuk diceritakan kepada rakan kelas yang lain. Dengan itu, murid-
murid dapat menambah ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam mengenai
budaya kaum lain.

3.0 FAKTOR-FAKTOR KESEDARAN MURID TERHADAP KEPELBAGAIAN
SOSIOBUDAYA DI SEKOLAH

Dalam memupuk perpaduan rakyat di Malaysia. Menurut Noriati et, al (2011)
dalam mengupas kesedaran kepelbagaian budaya, konsep-konsep yang berkaitan
dengan sosiobudaya seperti bangsa, bahasa, adat resam, struktur masyarakat, atau
kelas sosial, dan jantina adalah penting dalam mewujudkan integrasi nasional. Hal ini
dikatakan demikian kerana, faktor-faktor tersebut merupakan peranan utama dalam
membezakan kepelbagaian sosiobudaya di Malaysia. Sebagai contoh, ianya dapat

dilihat menerusi faktor kesedaran dari segi bangsa. Menurut Kamus Dewan (1999),
bangsa merupakan sekumpulan orang yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan
aspirasi yang sama. Ia merupakan satu kelompok manusia yang memiliki identiti diri
yang sama, tinggal dan bersatu dalam wilayah yang sama dan mempunyai ikatan yang
kuat dengan wilayah tersebut. Tamsilannya, Malaysia memiliki masyarakat majmuk
yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India yang hidup bersama sejak dari
dulu hingga kini. Hasilnya, kesepaduan masyarakat inilah yang membentuk identiti
Malaysia yang ada pada hari ini. Seterusnya, faktor dari segi bahasa juga penting
untuk memberi kesedaran kepada murid terhadap kepelbagaian sosiobudaya di
sekolah. Contohnya, murid India berkomunikasi dalam bahasa Tamil, murid Cina
berkomunikasi dalam Bahasa mandarin dan Murid Melayu berkomunikasi dalam
bahasa Melayu. Perbezaan penggunaan bahasa ini membuktikan bahawa berlakunya
kepelbagaian sosiobudaya di dalam bilik darjah mereka. Akhir sekali, faktor kesedaran
dari segi adat resam. Menurut Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon
(2010), adat resam merupakan sesuatu perkara yang diwarisi sejak turun temurun
oleh masyarakat. Dalam erti kata lain, adat resam merupakan amalan yang diwarisi
sejak turun temurun. Setiap kaum mempunyai adat resam yang pelbagai mengikut
kepercayaan dan tradisi kaum masing-masing. Oleh itu, setiap murid sepatutnya cuba
untuk mempelajari adat resam masyarakat lain agar dapat memperkukuhkan
hubungan sesama mereka.

4.0 PENUTUP

Kesimpulannya, kita sebagai seorang guru mestilah mendidik murid-murid
memahami dan mempelajari kepelbagaian sosiobudaya masyarakat lain. Hal ini
kerana, apabila murid memahami budaya dan adat resam masyarakat lain, hubungan
mereka akan menjadi semakin erat. Hasilnya, guru berupaya untuk mewujudkan
suasana pembelajaran yang mesra budaya dalam bilik darjah. Oleh itu, guru-guru
perlulah merancang pengurusan bilik darjah yang mesra budaya supaya mereka dapat
menyediakan suasana bilik darjah yang kondusif dan selamat untuk kegunaan murid-
murid kelak.

RUJUKAN
Albert, B. (1971) Social Learning Theory. New York: General Learning Press. Haliza Hamzah
& Joy Nesamalar Samuel (2016), SIRI PENDIDIKAN GURU
Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku EDISI KEDUA; Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Kamus Dewan. (2002). Dewan Bahasa & Pustaka.
Len, S. T. (2013) Budaya dan Pembelajaran. Freemind Horizons.
Najeemah, M. Y. (2006). Konsep pendidikan. PTS
Professional. Noriati A. Rashid, Boon, et,al (2014) Budaya dan Pembelajaran. Oxford Fajar
Sdn. Bhd.
Noriati Abdul Rashid, et.al (2011). Budaya dan Pembelajaran. Oxford Fajar Sdn Bhd
Syed, I. S. M.et.al (2010). Budaya dan pembelajaran Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Syed, I. S. M.et.al (2012). Budaya dan pembelajaran. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd


Click to View FlipBook Version