PENGAPLIKASIAN PENDEKATAN DIDIK HIBUR DALAM
PEMBELAJARAN AKIDAH TAHUN 2: MALAIKAT YANG
SETIA
Oleh
AZIANA BINTI SAIT
SJK(C) SAM HAP HIN
Pembelajaran akidah merupakan antara bidang yang wajib dipelajari oleh
murid sekolah rendah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.
Kebanyakan murid berasa bosan dan sukar untuk memahami isi
pembelajaran kerana ilmu akidah bersifat abstrak. Kajian ini bertujuan
untuk meningkatkan keupayaan murid mengingati nama dan tugas-tugas
malaikat serta untuk meningkatkan minat murid dalam pembelajaran
akidah menggunakan pendekatan didik hibur. Kajian tindakan yang
berbentuk kualitatif ini dijalankan sebanyak dua kitaran dengan
berpandukan Model Kemmis & McTaggart (1988). Seramai 17 orang murid
Islam Tahun 2 dari sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di
daerah Padawan telah dipilih menjadi peserta kajian. Data dikumpul
melalui kaedah analisis dokumen (lembaran kerja) dan kaedah
pemerhatian. Dapatan kajian ini dianalisis menggunakan analisis
deskriptif. Pendekatan didik hibur dalam kajian ini mengintegrasikan teknik
nyanyian dan pergerakan secara terancang. Hasil dapatan kajian
menunjukkan bahawa skor markah peserta kajian mengalami peningkatan
yang memberangsangkan setelah intervensi dijalankan. Majoriti (82.4%)
peserta kajian sudah dapat mengingati nama dan tugas-tugas malaikat
dengan tepat. Selain itu, minat murid juga dapat ditingkatkan setelah
pendekatan didik hibur diaplikasikan dalam pembelajaran akidah. Secara
keseluruhannya, pengaplikasian didik hibur memberi impak yang positif
dalam meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid mengingati nama
dan tugas tugas malaikat. Implikasi kajian ini diharapkan dapat memberi
galakan kepada para guru untuk mengaplikasikan pendekatan didik hibur
dalam sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) bagi mewujudkan
suasana pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan.
Kata Kunci
didik hibur, pembelajaran akidah, tugas malaikat, nyanyian, pergerakan
THROW THE FUN DICE: Permainan Untuk Meningkatkan Minat Murid bagi
Mengingat 18 Nilai Universal Pendidikan Moral
Moreeca Anak Anggo
SMK Penrissen
[email protected]
ABSTRAK
Throw the Fun Dice merupakan teknik pengajaran dan pembelajaran (PdP)
berbentuk permainan untuk menyelesaikan masalah 26 orang murid tingkatan 4
mengingat 18 nilai universal Pendidikan Moral dalam PdP. Antara permasalahan yang
dihadapi oleh murid ialah menganggap 18 nilai universal terlalu banyak, kesalahan
ejaan nilai sewaktu murid menjawab soalan peperiksaan menyebabkan jawapan
murid tidak tepat. Murid juga keliru dengan imbuhan nilai sehingga menjejaskan minat
mereka untuk terus mempelajari subjek Pendidikan Moral. Bagi mengatasi masalah
ini, guru telah mencipta satu alat bantu mengajar menggunakan bahan terpakai dan
diaplikasikan dalam bentuk permainan. Permainan yang dibangunkan ini memerlukan
murid menghafal nilai universal terlebih dahulu menggunakan teknik mengingat
mnemonik iaitu 8K 3H 4B 1R 1T 1P. Penggunaan Mnemonik sebenarnya sudah lama
dipraktiskan di dalam kelas oleh golongan pendidik. Mnemonik merupakan formula
fakta untuk memudahkan ingatan sama ada berbentuk Teknik Akronim, Teknik
Akrostik, Teknik Kata Kunci dan Teknik Loci. Kesemua teknik tersebut dapat
meningkatkan daya ingatan didalam pembelajaran. Metodologi kajian ini
menggunakan reka bentuk kajian tindakan yang diasaskan oleh Kemmis & Mc Taggart
1988. Sebanyak dua kitaran dijalankan terhadap 26 orang murid tingkatan 4 di salah
sebuah sekolah daerah Padawan. Dapatan kajian diperolehi menggunakan instrumen
seperti refleksi pembelajaran dan pemudahcaraan guru, pemerhatian, markah kuiz,
dan jawapan murid sewaktu menjawab soalan. Implikasi kajian ini mendapati bahawa
permainan Throw the Fun Dice telah berjaya menambah baik amalan pembelajaran
dan pemudahcaraan guru dengan menerapkan penggunaan alat bantu mengajar
sekali gus meningkatkan minat murid mengingat 18 nilai universal Pendidikan Moral.
Kata Kunci : 18 Nilai Universal, Pendidikan Moral, Mnemonik, Pembelajaran
Abad ke-21
PENGGUNAAN SENARAI SEMAK LAMPU ISYARAT DALAM MENINGKATKAN
KUALITI MURAJAAH PELAJAR TINGKATAN 1
Oleh:
Muhammad Mu’aadz bin Mohd Yusof
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab,
93050 Kuching, Sarawak.
[email protected]
Kajian ini dijalankan untuk mengatasi isu kualiti murajaah yang dihadapi oleh pelajar
Tingkatan 1. Seramai 11 orang pelajar tingkatan 1 di SMKA Sheikh Haji Othman
Abdul Wahab, Kuching terlibat dalam kajian ini. Tinjauan awal telah dilaksanakan
melalui pemerhatian, temubual dan ujian syafawi al-Quran. Hasil tinjauan awal ini
menunjukan pelajar tidak melakukan murajaah sama ada secara kendiri atau secara
berpasangan selepas sesi tasmik hafazan baharu bersama guru. Masalah ini dapat
diatasi dengan penggunaan senarai semak murajaah lampu isyarat untuk
mempertingkatkan kualiti murajaah dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan
pembelajaran serta menganjurkankan teknik murajaah dengan lebih sistematik dan
terancang. Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti murajaah pelajar. Selain
itu, objektif khusus kajian ini adalah untuk meningkatkan daya ingatan pelajar,
membantu pelajar untuk saling bekerjasama ketika sesi murajaah secara
berpasangan. Sementara itu, kajian ini juga dapat meningkatkan motivasi dan
semangat pelajar untuk melakukan murajaah ayat-ayat al-Quran yang telah dihafaz
serta menjadikan sesi murajaah pelajar lebih terancang dan sistematik. Enam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran dijalankan dalam tempoh 2 minggu. Aktiviti ini
dijalankan selama 20-30 minit setiap hari rabu, khamis dan jumaat. Diharapkan
keputusan pemerhatian, temubual dan ujian syafawi al-Quran menunjukkan
peningkatan kualiti prestasi murajaah pelajar. Implikasinya, dengan penggunaan
senarai semak lampu isyarat ini bukan hanya akan dapat meningkatkan kualiti
murajaah pelajar, ia juga dapat menjadikan pelajar seronok dan mempunyai motivasi
yang tinggi untuk meningkatkan kuantiti murajaah harian.
Kata kunci: murajaah, tasmik, al-Quran, motivasi, kualiti.
PENGGUNAAN KAEDAH LATIH TUBI “KAKI KE BOLA” BAGI MENINGKATKAN
KEMAHIRAN MENIMANG BOLA TAKRAW DALAM KALANGAN PELAJAR
TINGKATAN 4
Nik Muhammad Zulfikri Bin Nik Ibrahim
SMK Jalan Arang,
93250, Kuching, Sarawak.
[email protected]
Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk mengkaji kesan Kaedah Latih Tubi “Kaki
ke Bola” bagi meningkatkan kemahiran menimang bola takraw dalam kalangan
pelajar tingkatan 4.Objektif utama kajian ini dijalankan adalah untuk memperbaiki
amalan pengajaran guru dan membantu meningkatkan kemahiran menimang bola
takraw sekaligus dapat meningkatkan tahap penguasaan pelajar dalam Pentaksiran
Bilik Darjah(PBD).Pengkaji menggunakan Model Kajian Tindakan Lewin 1946 semasa
menjalankan kajian tindakan ini.Oleh yang demikian, beberapa intervensi telah
dirancang oleh pengkaji bagi mengatasi masalah ini antaranya adalah pengkaji
memperkenalkan kaedah latih tubi yang diberi nama “Bola ke Kaki” dan kaedah latih
tubi yang kedua adalah menimang bola satu kali kemudian pegang bola
tersebut.Selepas melakukan kaedah latih tubi, pengkaji menguji sampel kajian( 4
orang pelajar ) berpandukan standard pretasi yang perlu dicapai bagi memastikan
tahap penguasaan pelajar terhadap tajuk sepak takraw meningkat atau tidak.Pengkaji
mendapati dengan melaksanakan kaedah latih tubi, tahap penguasaan pelajar dalam
PBD berjaya ditingkatkan dari tahap penguasaan 1 ke tahap penguasaan 3.Akhirnya,
pengkaji berharap agar pengkaji seterusnya dapat meningkatkan tahap penguasaan
pelajar ke Tahap Penguasaan 4,5 dan 6 dengan menganjurkan Kejohanan Sepak
Takraw Mini dalam kalangan pelajar di sekolah.
Kata kunci: Sepak Takraw, Menimang, Tingkatan 4, Kemahiran Asas
KAEDAH PENDEKATAN ‘BONEKA JARIKU MENARI’ DALAM MENGUASAI
KEMAHIRAN PENJARIAN REKODER
Norfaezah binti Haroni (KP Pendidikan Seni Visual)
Theresa Amboi anak Bagos(KP Muzik)
Rozina binti Ujang(KP Sejarah)
Mohd Yunus bin Sapuan( Guru berkemahiran dalam penjarian rekoder)
SK Matang Jaya
KM 6,Q309 Petra Jaya
93050 Kuching Sarawak
Emel:[email protected]
Kajian ini dijalankan untuk meningkatan kemahiran penjarian rekoder dalam kalangan
murid sekolah rendah terutamanya untuk murid kelas tahun 6 Elit SK Matang Jaya.
Penyelidikan kajian tindakan ini melibatkan 4 daripada 24 orang murid tahun enam yang
dalam tahap pencapaian rendah dalam kemahiran penjarian rekoder.Murid yang terlibat
tidak dapat meniup rekoder dengan betul malah tidak dapat mengingati penjarian not
pada rekoder. Salah satu puncanya mungkin masa yang diperuntukkan untuk subjek
muzik kurang iaitu setengah jam seminggu menyebabkan kurangnya latihan dari segi
teori dan amali.Selain itu,kurangnya kemahiran asas guru tentang penjarian rekoder
dalam peningkatan profesionalisme guru. Tinjauan awal berpandukan kepada model
Somekh(1989) telah dibuat dimana murid yang terlibat tidak begitu mahir tentang
pengetahuan dan kemahiran asas dalam penjarian not rekoder,maka kaedah boneka
jariku menari digunakan.Boneka jariku menari adalah hasil elemen merentas kurikulum
yang berunsurkan matapelajaran muzik,sejarah dan pendidikan seni visual.Kaedah ini
digunakan untuk mengaitkan penggunaan warna dalam mengenali dan mengingati not
B,A dan G.Penggunaan warna ini merujuk kepada warna asas yang diajar dalam subjek
pendidikan seni visual dan bendera Malaysia serta penggunaan watak masyarakat kaum
di Malaysia merujuk kepada subjek Sejarah.Melalui kajian ini dapat dilihat terdapat
peningkatan di kalangan murid-murid tersebut dalam aktiviti kemahiran penjarian rekoder
selepas ujian dibuat.Cara-cara yang digunakan untuk pengumpulan data adalah seperti
membuat pemerhatian terhadap tingkah laku dan reaksi murid melalui rakaman video,
mengambil foto dan catatan,menganalisis dokumen seperti ujian sebelum dan selepas
intervensi. Kajian tindakan ini dapat membantu guru menambah baik atau memahami
amalan kendiri dalam pengajaran pendidikan muzik. Ia juga amat membantu penyelidik
selaku guru dalam memahami amalan pembelajaran murid dengan mendalam,
meningkatkan pembelajaran murid serta merapatkan hubungan dalam kalangan guru
dan murid yang terbabit.
Kata kunci: Penjarian rekoder,Boneka jariku menari
Pembentangan: (Bahasa Melayu)
LAPORAN KAJIAN TINDAKAN
AMALAN SENYUM DAN SAPAAN KE ARAH MEMBINA SAHSIAH TERUNGGUL
OLEH:
SHAZNIENADIA BINTI SHAHIDAN
SAFIAH BINTI ABU BAKAR
SEKOLAH KEBANGSAAN MATANG JAYA,
KM 6, JLN MATANG, 93050, KUCHING, SARAWAK.
Kajian ini dijalankan selaras dengan Konsep Sekolahku Sejahtera di mana elemen
adab sopan dipraktikkan dan dibudayakan di sekolah. Tinjauan awal dilaksanakan
menggunakan model kajian tindakan Stephen Kemmis (1988) melalui kaedah
merefleks, merancang, melaksana dan memerhati. Hasil tinjauan awal mendapati
amalan senyum dan sapaan kurang dibudayakan dalam kalangan guru dan murid.
Objektif kajian ialah menerapkan pembudayaan senyum dan sapaan ke arah
membina sahsiah guru dan murid. Kajian ini mensasarkan guru daripada Panitia
Pendidikan Islam dan Panitia Pendidikan Moral serta murid-murid Tahun 6 dalam
menerapkan amalan senyum dalam kalangan mereka. Teknik ini dapat mengesan
kelemahan guru dan murid dalam memastikan budaya senyum dan sapaan perlu
diterapkan selaras dengan konsep Sekolah Penyayang. Dapatan daripada teknik ini
menunjukkan amalan senyum dibudayakan oleh guru agar dapat meningkatkan
profesionalisme dan murid dapat membina sahsiah terunggul seterusnya
mengeratkan hubungan sesama mereka. Melalui kajian, pembudayaan senyum dan
sapaan merupakan kunci utama kepada pembangunan sahsiah unggul diri guru dan
murid. Diharapkan dengan maklumat yang diperolehi daripada hasil kajian tindakan
dapat membantu guru dan murid dalam menyemai amalan senyum dan sapaan ke
arah membina sahsiah semua warga sekolah.
Kata kunci: Amalan Senyum dan Sahsiah, Sekolah Penyayang.
Pembentangan: (Bahasa Melayu)
A
Penggunaan Tarian Etnik Melalui Kaedah Simulasi Dalam Meningkatkan
Tahap Penguasaan Murid Tahun 6
DISEDIAKAN OLEH:
SURIYA GANTI
ISMAIL BIN SULONG
SITI HANIM ABDULLAH
IRAWANDY ISMAIL
Guru SK Telaga Air
Kajian ini dijalankan untuk memantapkan pemahaman kompetensi guru dalam
pentaksiran dan meningkatkan tahap penguasaan murid ke TP 6 dengan melakukan
pelbagai corak pergerakan mengikut irama dan tempo yang betul menggunakan
teknik SIMULASI (model Lewin,1946) digunakan untuk menjalankan kajian tindakan
ini. Sampel diambil daripada 16 orang murid TAHUN 6 yang mempunyai
kepelbagaian tahap penguasaan individu dan latar belakang agama,budaya,bangsa
serta status sosioekonomi . Pemerhatian awal telah dilaksanakan berdasarkan
latihan dan data PBD serta pemerhatian ketika pelaksanaan pdpc di kelas . Hasil
daripada pemerhatian menunjukkan bahawa kemahiran murid untuk bergerak sama
ada pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor mengikut rentak dan irama
lagu sangat lemah . Para murid bukan sahaja tidak dapat bergerak seiringan dengan
rentak dan irama yang diperdengarkan dengan sistematik, malahan tidak dapat
memainkan alat perkusi dengan baik. Terdapat segelintir murid tidak dapat
mengenalpasti pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor. Hal ini mengakibatkan
murid-murid tidak berasa gembira serta keyakinan diri yang rendah. Oleh sebab itu,
Teknik SIMULASI diperkenalkan kepada setiap murid bagi memudahcara aktiviti
yang sesuai mengikut kebolehan murid. Guru menunjukcara memainkan alat perkusi
serta melakukan pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor.. Keputusan daripada
latihan berkala yang dijalankan menunjukkan peningkatan tahap penguasaan yang
ketara berbanding sebelum ini. Berdasarkan maklum balas daripada murid dan guru
juga bahawa Teknik SIMULASI ini lebih menarik dan memudahkan murid dalam
menguasai kemahiran pergerakan berirama seiring dengan rentak dan irama yang
diperdengarkan. Kajian ini juga membantu meningkatkan kemahiran guru dalam
pentaksiran. Seterusnya, murid dapat mengaplikasikan pengetahuan dan
kemahiran teknik SIMULASI dalam matapelajaran Pendidikan Jasmani mahupun
subjek yang lain.
Kata Kunci: Rentak Irama PJPK Pendidikan Muzik Pendidikan
Moral SIMULASI Kemahiran Lokomotor dan bukan lokomotor
Nama
Tang Sui Sieng
Sekolah
SJK Chung Hua Kim Choo Seng
Tajuk Kajian Tindakan
Penguasaan Sifir 7 Dengan Menggunakan Cerita ‘Lompat Katak’
Sifir merupakan salah satu kemahiran asas Matematik yang senantiasa tidak dikuasai
oleh murid. Kegagalan ini akan membantut penguasaan kemahiran Matematik pada
peringkat tinggi. Segelintir murid di SJK CH Kim Choo Seng tidak dapat menghafal
sifir dengan betul dan memakan masa yang panjang untuk mengingatkan semua sifir.
Golongan ini berasa bosan serta forbia dengan penghafalan sifir. Kajian ini bertujuan
untuk mengkaji keberkesanan kaedah Cerita ‘Lompat Katak’ terhadap penguasaan
sifir 7 tanpa hafalan dalam kalangan murid yang belum mahir. Responden terdiri
daripada 1 orang murid Tahun 3 dan 1 orang murid Tahun 4. Tinjauan awal kajian
telah dilaksanakan melalui temu bual, ujian pra dan pasca, latihan di dalam kelas,
pemerhatian ke atas responden yang terlibat. Dapatan dianalisis dan ditafsirkan dalam
bentuk jadual. Keputusan ujian pra menunjukkan murid menjawab soalan dengan
menggunakan masa 3 hingga 7 minit manakala ujian pasca hanya menggunakan
masa 1 hingga 3 minit iaitu pengurangan masa sebanyak 50%. Selain itu, peratus
bilangan soalan yang betul juga meningkat dari 40% ke 100%. Melalui kaedah ini,
murid dapat menyenaraikan sifir 7 tanpa hafalan dengan betul dan cepat. Selain itu,
murid juga menjawab soalan operasi asas sifir 7 dengan betul. Murid juga berasa
seronok dengan kaedah ini yang mengandungi unsur didik hibur. Tuntas, kaedah
Cerita ‘Lompat Katak’ dapat membantu murid menyenaraikan dan menguasai sifir 7
tanpa hafalan dengan betul.
Kata Kunci: kaedah Cerita ‘Lompat Katak’, operasi asas sifir 7, sekolah rendah,
tanpa hafalan, didik hibur
Nama Sekolah : SJK CHUNG HUA KIM CHOO SENG
Nama Guru : WONG SIEW AI
No. Telefon : 016-8606355
Email : [email protected]
Nama Penyelaras / Jurulatih Utama : TANG SUI SIENG
No. Telefon : 011-65749657
Email : [email protected]
TAJUK :
PENGGUNAAN PAPAN SERATUS PETAK UNTUK MENINGKATKAN
PENGUASAAN KEMAHIRAN OPERASI TAMBAH MURID TAHUN 2
Oleh:
Wong Siew Ai
SJK Chung Hua Kim Choo Seng
PPD Padawan, Kuching.
Kajian ini dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan penguasaan operasi tambah
dengan menggunakan bahan maujud iaitu papan seratus petak dalam pembelajaran dan
pengajaran mata pelajaran Matematik. Sasaran kajian ini terdiri daripada 2 orang murid
Tahun 2 di SJK Chung Hua Kim Choo Seng, Padawan. Tinjauan awal mendapati murid
tidak memahami konsep Matematik sehingga mereka tidak dapat menguasai kemahiran
operasi tambah. Selain itu, mereka juga kurang berminat semasa pembelajaran dan
pengajaran mata pelajaran Matematik. Kemahiran operasi tambah merupakan salah satu
operasi asas Matematik yang perlu dikuasai oleh murid. Operasi tambah sering
digunakan dalam kehidupan seharian. Data pentaksiran formatif secara pemerhatian dan
latihan sebelum dan selepas intervensi telah digunakan dalam kajian tindakan ini. Saya
menggunakan bahan maujud iaitu papan seratus petak dan botol minuman dalam
pembelajaran dan pengajaran untuk mengatasi masalah ini. Hasil daripada kajian
tindakan ini membolehkan guru lebih memahami gaya pembelajaran murid. Murid dapat
bermain sambil belajar untuk menguasai operasi tambah dengan menggunakan papan
seratus petak dan botol minuman. Usaha guru membuat kajian membolehkan murid
memahami konsep Matematik dan menguasai kemahiran operasi tambah dengan
menggunakan bahan maujud. Kaedah bermain sambil belajar dapat menarik minat murid
dan menjadikan pembelajaran menyeronokkan.
Kata kunci: konsep Matematik, kemahiran operasi tambah, papan seratus petak,
bermain sambil belajar