The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by roszelan, 2017-11-28 19:48:25

PERLEMBAGAAN MPSM( Deraf) 2 Dis 2013

PERLEMBAGAAN MPSM( Deraf) 2 Dis 2013

Keywords: mpsm

MAJLIS PENGETUA SEKOLAH MALAYSIA
(MPSM)

PERLEMBAGAAN

Bahagian Pengurusan Sekolah Harian
Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya

PERLEMBAGAAN
MAJLIS PENGETUA SEKOLAH MALAYSIA

(MPSM)

Fasal Nama
1 Alamat dan Tempat Urusan
2 Interpretasi
3 Keterangan dan Pengertian Logo
4 Tujuan dan Kuasa MPSM
5 Penubuhan
6 Penaung dan Penasihat
7 Keahlian, Yuran Masuk, Yuran Keahlian, Yuran Tahunan dan Bayaran Lain
8 Tanggungjawab dan Hak Ahli
9 Sumber Kewangan
10 Struktur Organisasi MPSM
11 Jawatankuasa Kerja
12 Tempoh Perkhidmatan
13 Tanggungjawab Jawatankuasa Kerja
14 Pemegang Jawatan
15 Mesyuarat Agung Tahunan
16 Mesyuarat Agung Khas
17 Juruaudit
18 Kewangan
19 Pelaburan Kewangan
20 Pemegang Amanah
21 Peruntukan-Peruntukan Umum
22 Pembubaran MPSM
23 Pindaan Perlembagaan
24 Tafsiran Perlembagaan
25

PERLEMBAGAAN MPSM 2

Fasal 1 : NAMA

Majlis Pengetua Sekolah Malaysia. Nama ringkas ialah MPSM.

Fasal 2 : ALAMAT DAN TEMPAT URUSAN

Bahagian Pengurusan Sekolah Harian,
Kementerian Pelajaran Malaysia,
Aras 3 & 4, Blok E2,
Kompleks Kerajaan Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62604 Putrajaya.

Fasal 3 : INTERPRETASI

3.1 ”Ahli” bermaksud Ahli Biasa dan Ahli Bersekutu melainkan dinyatakan
sebaliknya.

3.2 "Bekas ahli” bermaksud Pengetua yang telah bersara daripada
jawatan pengetua.

3.3 "Dana” bermaksud wang yang terkumpul oleh MPSM termasuk hasil-
hasil kutipan dan keuntungan daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan
oleh MPSM, hadiah, derma, sumbangan, legasi atau pinjaman atau
lain-lain bentuk wang yang diperolehi bagi tujuan yang dibenarkan di
bawah fasal 5.

3.4 "Luput kelayakan sebagai ahli biasa MPSM” bermaksud tidak lagi
menjadi Pengetua.

3.5 "MPSM” bermaksud Majlis Pengetua Sekolah Malaysia.

3.6 "Pengetua” bermaksud pegawai yang berkhidmat di bawah Skim
Saraan Malaysia atau apa-apa skim perjawatan yang berkuatkuasa
dengan menyandang jawatan sebagai pengetua di sekolah
menengah, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Fasal 4 : KETERANGAN DAN PENGERTIAN LOGO

4.1 Motif Sirih Junjung

Melambangkan ciri-ciri ketuanan sejagat yang unggul turun-temurun
dalam memimpin ketamadunan bangsa.

4.2 Lima Helai Daun Sirih Pelbagai Arah

Memberi makna pendidikan yang berterusan tanpa had dalam
pelbagai bidang mengikut acuan Rukun Negara dan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.

PERLEMBAGAAN MPSM 3

4.3 Garisan Dinamik Menerjah Tanda Bulat
Memberi makna kesepaduan usaha MPSM dalam mencapai matlamat
pendidikan negara yang suci dan murni.

4.4 Gelungan Separa Bulatan
Memberi pengertian usaha dan khidmat bakti MPSM adalah untuk
semua tanpa ada batas agama, budaya dan kaum.

4.5 Buku
Pelajaran dan pendidikan menjadi hal-ehwal teras yang utama MPSM.

4.6 Garisan Melunjur Pelbagai Arah Melintasi Daun Sirih Junjung
Menggambarkan peningkatan pengetahuan teknologi maklumat yang
akan menjana minda anak bangsa naungan MPSM.

4.7 Bulan Sabit dan Bintang
Lambang Negara Malaysia dan Islam sebagai agama rasminya.

4.8 Warna Pada Logo
(1) Biru membawa pengertian perpaduan yang utuh.

(2) Merah memberi erti keberanian dan berjiwa kental.

(3) Kuning memberi makna warna DiRaja dan bernaung di bawah
DYMM Yang DiPertuan Agong.

(4) Putih memberi maksud kesucian dan keikhlasan dalam
mencurah bakti.

Fasal 5 : TUJUAN DAN KUASA MPSM

5.1 Memajukan pendidikan di seluruh negara berdasarkan Dasar
Pelajaran Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

5.2 Memberikan sokongan dan pandangan terhadap pelaksanaan dasar
dan mempertahankan kepentingan pendidikan negara.

5.3 Menerima dan mendaftar ahli-ahli MPSM berdasarkan fasal 8.

5.4 Meningkatkan taraf profesionalisme ahli-ahli MPSM khususnya dan
semua guru di sekolah menengah amnya.

5.5 Mewujudkan satu jaringan perhubungan dengan pihak berkuasa dan
pihak yang berkaitan bagi menjaga kepentingan pendidikan.

PERLEMBAGAAN MPSM 4

5.6 Meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan
di peringkat sekolah melalui pelbagai aktiviti latihan dan pendedahan
bertaraf dunia di dalam atau pun di luar negeri.

5.7 Mengadakan seminar, konferen, dan lain-lain aktiviti yang seumpama
yang bertujuan untuk meningkatkan taraf profesionalisme ahli-ahli
MPSM.

5.8 Melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pengumpulan
wang dan melakukan penjualan barangan atau bahan perkhidmatan
yang berkaitan dengan kepentingan MPSM untuk tujuan mengumpul
dana bagi menggerakkan aktiviti MPSM.

5.9 Melindungi dan meningkatkan kebajikan ahli-ahli.

5.10 Menguruskan hal-hal kewangan MPSM.

5.11 Mencadangkan fasal-fasal baru atau pindaan atau membatalkan
fasal-fasal yang sedang berkuatkuasa.

5.12 Menerima derma, sumbangan, legasi, hasil-hasil kutipan dan
keuntungan daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh MPSM,
pinjaman yang mana ianya akan digunakan untuk tujuan MPSM

5.13 Melabur wang yang tidak diperlukan segera kegunaannya dalam
bentuk simpanan tetap atau bon kerajaan.

5.14 Menggaji mana-mana orang, jika diperlukan, untuk membantu MPSM
dalam menjalankan fungsinya, kuasa-kuasa dan tanggungjawabnya
tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat yang akan ditentukan.

5.15 Membeli, memajak atau menyewa mana-mana tanah atau bangunan
yang dikehendaki bagi tujuan maksud kegunaan MPSM atau
menjadikan premis MPSM dan menguruskan, memperbaiki,
mengubah, menambah dan atau membangunkan tanah atau
bangunan itu atau mengekalkan yang sama.

5.16 Membeli atau memajak mana-mana harta tak alih dan menjual atau
melupuskan mana-mana harta tak alih MPSM.

5.17 Dari masa ke semasa meminjam atau mendapatkan wang melalui
overdraf bank atau selainnya bagi maksud yang dinyatakan di dalam
fasal 5.15 dan fasal 5.16.

5.18 Memulakan atau memberhentikan apa-apa prosiding undang-undang
untuk mendapatkan apa-apa hutang atau tuntutan yang dituntut oleh
atau bagi pihak MPSM dan memberi apa-apa pernyataan yang
sebenar atau membela apa-apa prosiding yang dimulakan terhadap
MPSM atau mana-mana ahli di dalam kapasiti atau mewakili MPSM

PERLEMBAGAAN MPSM 5

dan membayar apa-apa kos atau caj yang berkaitan dengan prosiding
undang-undang tersebut.

5.19 Menubuhkan dana amanah bagi tujuan MPSM.

5.20 Menyediakan bantuan biasiswa kepada mana-mana ahli MPSM yang
cemerlang dan terpilih dalam proses meningkatkan taraf
profesionalisme.

5.21 Melantik mana-mana ahli MPSM atau mana-mana orang yang
berkelayakan atau mana-mana organisasi yang sesuai untuk
menerima dan memegang amanah bagi MPSM bagi apa-apa harta
tak alih yang dipunyai dan dimiliki oleh MPSM dan melaksanakan
serta menyempurnakan surat ikatan, suratcara, tindakan dan perkara
sebagaimana yang diperlukan dan memberi ganjaran setimpal
dengan tanggungjawab yang diamanahkan.

Fasal 6 : PENUBUHAN

6.1 Penubuhan MPSM Kebangsaan, MPSM Negeri atau MPSM
Bahagian/ Daerah juga tertakluk kepada kuasa-kuasa dan peruntukan
Kementerian Pelajaran Malaysia dan segala urusannya hendaklah
juga berdasarkan kepada Perlembagaan ini.

6.2 MPSM adalah mewakili semua Pengetua. Organisasi-organisasi
Pengetua lain adalah berada di bawah naungan MPSM.

6.3 YDP MPSM Kebangsaan, YDP MPSM Negeri dan YDP MPSM
Bahagian/Daerah adalah merupakan ex-officio kepada organisasi
Pengetua lain seperti dalam Fasal 6.2.

6.4 MPSM adalah berterusan sehingga dibubarkan dan mempunyai
meterai rasmi yang hendaklah berada di dalam simpanan Setiausaha
Kehormat. Meterai rasmi hendaklah tidak boleh diturunkan kepada
mana-mana sijil, surat ikatan atau sebarang persuratan tanpa
kebenaran MPSM dan kebenaran tersebut hendaklah dicatatkan di
dalam Minit Mesyuarat MPSM. Mana-mana sijil atau persuratan yang
menggunakan meterai rasmi hendaklah ditandatangani oleh dua org
pemegang jawatan MPSM.

Fasal 7 : PENAUNG DAN PENASIHAT

7.1 Penaung

7.1.1 Penaung

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Kementerian
Pelajaran Malaysia

7.1.2 Penaung Negeri dan Bahagian/Daerah
Pengarah Pelajaran Negeri

PERLEMBAGAAN MPSM 6

7.2 Penasihat

7.2.1 Penasihat

(1) Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi
Pendidikan), Kementerian Pelajaran Malaysia

(2) Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian,
Kementerian Pelajaran Malaysia

7.2.2 Penasihat Negeri
Ketua Sektor Pengurusan Sekolah

7.2.3 Penasihat Bahagian/Daerah
Pegawai Pendidikan Bahagian/Daerah

Fasal 8 : KEAHLIAN, YURAN MASUK, YURAN KEAHLIAN, YURAN TAHUNAN
DAN BAYARAN LAIN

8.1 Ahli Biasa

Semua Pengetua warganegara Malaysia seperti Fasal 3.6 menjadi
ahli secara automatik.

8.2 Ahli Bersekutu

8.2.1 Pengetua sekolah di bawah pentadbiran kerajaan negeri,
kementerian lain dan agensi kerajaan yang lain serta institusi
pendidikan swasta adalah layak memohon untuk menjadi ahli
bersekutu.

8.2.2 Mana-mana pengetua di bawah kategori fasal 8.2.1 yang ingin
menjadi ahli bersekutu hendaklah memohon dengan
mengemukakan borang permohonan kepada Setiausaha
Kehormat MPSM Kebangsaan. Setiausaha Kehormat akan
memajukan permohonan tersebut ke Mesyuarat Jawatankuasa
Kerja Kebangsaaan untuk kelulusan. Keputusan
Jawatankuasa Kerja Kebangsaan tersebut adalah muktamad.

8.2.3 Mereka yang telah lucut kelayakan sebagai ahli biasa MPSM
boleh memohon untuk dipertimbangkan menjadi ahli bersekutu
MPSM.

8.3 Yuran masuk, yuran keahlian dan yuran tahunan yang dikenakan ke
atas semua permohonan keahlian adalah seperti berikut:

8.3.1 Ahli Biasa
* Yuran masuk
* Yuran keahlian RM50.00
* Yuran tahunan RM200.00
RM100.00

8.3.2 Ahli Bersekutu RM50.00
* Yuran masuk

PERLEMBAGAAN MPSM 7

* Yuran keahlian RM250.00
* Yuran tahunan RM125.00

8.4 Sekiranya yuran tidak dibayar, ahli yang berkenaan tidak boleh
dicalonkan dan diundi semasa Mesyuarat Agung Tahunan tetapi
boleh mencukupkan korum mesyuarat. Ahli yang berkenaan juga tidak
boleh mengambil sebarang bahagian di dalam aktiviti yang dianjurkan
oleh MPSM sehinggalah yuran telah dibayar.

8.5 Bayaran-bayaran lain untuk perkara yang tertentu boleh dikenakan ke
atas ahli-ahli dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja MPSM.

Fasal 9 : TANGGUNGJAWAB DAN HAK AHLI

9.1 Setiap ahli bertanggungjawab mematuhi peraturan dan Perlembagaan
ini pada setiap masa.

9.2 Setiap ahli bertanggungjawab untuk memelihara nama baik MPSM
pada setiap masa.

9.3 Setiap ahli bertanggungjawab untuk memelihara harta benda MPSM.

9.4 Setiap ahli berhak untuk menerima satu salinan Perlembagaan ini.

9.5 Tertakluk kepada fasal 9.6 dan fasal 9.7, setiap ahli yang layak berhak
untuk hadir, bercakap, mengundi dan diundi untuk sebarang jawatan
di dalam MPSM.

9.6 Ahli Biasa layak untuk mengundi dan diundi untuk memegang
sebarang jawatan di dalam MPSM.

9.7 Ahli Bersekutu hanya boleh mengundi di dalam mana-mana
mesyuarat dan mencukupkan korum mesyuarat tetapi tidak boleh
memegang apa-apa jawatan di dalam MPSM Kebangsaan, MPSM
Negeri atau MPSM Bahagian/Daerah. Walaubagaimana pun Ahli
Bersekutu boleh dilantik menganggotai jawatankuasa kecil.

9.8 Setiap ahli berhak untuk mengikuti dan mengambil bahagian dalam
aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh MPSM.

9.9 Setiap Ahli Biasa boleh mewakili MPSM di dalam sebarang aktiviti-
aktiviti anjuran lain-lain organisasi di pelbagai peringkat.

9.10 Ahli Bersekutu tidak boleh mewakili MPSM untuk sebarang perwakilan
samada di peringkat negeri atau antarabangsa melainkan Ahli
Bersekutu tersebut memiliki kelayakan yang diiktiraf oleh MPSM dan
yang bersepadanan dan bersesuaian dengan kehendak perwakilan.

PERLEMBAGAAN MPSM 8

Fasal 10 : SUMBER KEWANGAN

10.1 Yuran masuk, yuran keahlian dan yuran tahunan Ahli Biasa dan Ahli
Bersekutu.

10.2 Hadiah, derma, sumbangan, legasi daripada pelbagai sumber atau
pinjaman.

10.3 Wang yang terkumpul oleh MPSM termasuk hasil-hasil kutipan dan
keuntungan daripada aktiviti mengisi tabung kewangan atau dana
pada semua peringkat yang dipersetujui oleh Jawatankuasa.

10.4 Lain-lain bentuk wang yang diperolehi bagi tujuan yang dibenarkan di
bawah fasal 5.

Fasal 11 : STRUKTUR ORGANISASI MPSM

11.1. MPSM adalah terdiri daripada :

(1) MPSM Kebangsaan.

(2) MPSM Negeri.

(3) MPSM Bahagian/Daerah.

11.2 Segala urusan yang berkaitan dengan MPSM adalah dibuat oleh
Jawatankuasa Kerja masing-masing.

Fasal 12 : JAWATANKUASA KERJA

12.1 Setiap Jawatankuasa Kerja sama ada MPSM Kebangsaan, MPSM
Negeri atau MPSM Bahagian/Daerah hendaklah terdiri daripada
Pemegang Jawatan seperti berikut:

(1) Yang Dipertua (YDP).

(2) Timbalan Yang Dipertua (TYDP).

(3) Setiausaha Kehormat.

(4) Penolong Setiausaha Kehormat.

(5) Bendahari.

(6) Tiga (3) orang Ahli Jawatankuasa

PERLEMBAGAAN MPSM 9

12.2 Semua Yang Dipertua bagi Jawatankuasa MPSM Negeri adalah Ahli
Jawatankuasa Kerja MPSM Kebangsaan.

12.3 Semua Yang Dipertua Bahagian/Daerah bagi Jawatankuasa MPSM
Bahagian/Daerah adalah Ahli Jawatankuasa Kerja MPSM Negeri.

12.4 Jawatan YDP, TYDP dan Bendahari dipilih semasa Mesyuarat Agung
Tahunan.

12.5 Jawatan Setiausaha Kehormat dan Penolong Setiausaha Kehormat
adalah dilantik oleh YDP.

12.6 Setiap pemegang jawatan di dalam Jawatankuasa Kerja dan setiap
pegawai yang menjalankan tugas eksekutif MPSM hendaklah
warganegara Malaysia.

12.7 Pencalonan dan pengundian untuk sesuatu jawatan dalam
Jawatankuasa Kerja MPSM hendaklah dibuat pada hari Mesyuarat
Agung Tahunan dengan cara undian mengangkat tangan atau kertas
undian sebagaimana yang diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja
MPSM.

12.8 Semua Pemegang Jawatan boleh dilantik semula jika dicalonkan.

12.9 Jawatankuasa Kerja hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya
sekali dalam tempoh tiga (3) bulan dan mempunyai korum yang cukup
sebanyak satu per dua (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa
Kerja. Notis mesyuarat hendaklah dikeluarkan empat belas (14) hari
sebelum tarikh mesyuarat.

12.10 Jika timbul perkara mustahak yang berhendakkan kelulusan segera
dan mesyuarat tidak dapat dijalankan, maka Setiausa Kehormat boleh
mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Kerja secara pengedaran
surat pekeliling. Syarat-syarat berikut hendaklah dipatuhi sebelum
keputusan Jawatankuasa Kerja boleh dianggap sebagai telah
diterima:

(1) Isu atau masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dinyatakan
dengan terang dan jelas di dalam surat pekeliling yang
diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa Kerja;

(2) Sekurang-kurangnya satu per dua (1/2) daripada bilangan ahli
Jawatankuasa Kerja hendaklah menyatakan persetujuan atau
bantahan terhadap cadangan itu; dan

(3) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak (majoriti).

12.11 Ahli Jawatankuasa Kerja yang gagal menghadiri Mesyuarat
Jawatankuasa Kerja sebanyak tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan

PERLEMBAGAAN MPSM 10

yang munasabah adalah dianggap sebagai telah meletakkan jawatan
di dalam Jawatankuasa Kerja.

12.12 Jawatankuasa Kerja berkuasa melantik dan mengesahkan mana-
mana ahli biasa bagi mengisi kekosongan yang berlaku sehingga
Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

12.13 Jawatankuasa Kerja boleh menubuhkan dan membubarkan
Jawatankuasa Kecil mengikut keperluan semasa dan melantik mana-
mana Ahli Jawatankuasa sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil
tersebut.

Fasal 13 : TEMPOH PERKHIDMATAN

13.1 Setiap Pemegang Jawatan di dalam Jawatankuasa Kerja MPSM akan
memegang jawatan selama dua (2) tahun daripada tarikh perlantikan
semasa Mesyuarat Agung Tahunan.

13.2 Setiap Pemegang Jawatan akan menjalankan tugasnya sehingga
keputusan perlantikan baru atau sehingga MPSM dibubarkan. Bagi
pembubaran MPSM, tempoh perkhidmatan Pemegang Jawatan
adalah tertakluk kepada fasal 23.4.

Fasal 14 : TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA KERJA

14.1 Menentukan dasar-dasar dan keputusan yang dibuat adalah selaras
dengan tujuan dan kuasa MPSM.

14.2 Menguatkuasakan dasar-dasar dan keputusan Mesyuarat Agung
Tahunan atau Khas.

14.3 Mengurus dan mentadbir MPSM dan menjalankan program atau
aktiviti dari masa ke semasa.

14.4 Menerima mana-mana pengetua sebagai menjadi Ahli Biasa menurut
fasal 8.1

14.5 Menimbang permohonan mana-mana bekas ahli atau mana-mana
orang sebagai Ahli Bersekutu.

14.6 Mengkaji dan meluluskan perbelanjaan pentadbiran dan perbelanjaan
program atau aktiviti yang diluluskan.

14.7 Hanya Jawatankuasa Kerja MPSM Kebangsaan boleh meluluskan
cadangan pindaan perlembagaan untuk dibahaskan di dalam
Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan atau Mesyuarat Agung Khas
Kebangsaan.

PERLEMBAGAAN MPSM 11

14.8 Merancang dan mengawal perbelanjaan tahunan MPSM dengan
mengambil kira bimbingan dan nasihat penasihat MPSM.

14.9 Menerima dan mengkaji laporan mana-mana Jawatankuasa Kecil
yang ditubuhkan dari masa ke semasa mengikut keperluan.

14.10 Mendengar dan menerima aduan daripada ahli sekiranya berlaku
pertentangan berhubung dengan keputusan atau dasar-dasar yang
dibuat oleh Jawatankuasa Kerja.

14.11 Membuat perlantikan dan pemberhentian kakitangan pengurusan
yang bergaji, jika ada.

Fasal 15 : PEMEGANG JAWATAN

15.1 Yang Dipertua (YDP)

(1) Mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat
Agung Khas.

(2) Mempengerusikan semua mesyuarat Jawatankuasa Kerja.

(3) Menggunakan kuasa undi pemutus sekiranya berlaku bilangan
undi yang sama dalam mesyuarat.

(4) Mengetuai segala urusan perhubungan dan protokol.

(5) Melantik Setiausaha Kehormat dan Penolong Setiausaha
Kehormat.

(6) Menjadi ex-officio kepada organisasi Pengetua lain seperti di
dalam fasal 6.2 dan 6.3.

(7) Menandatangani semua cek bersama-sama dengan
Bendahari dan atau Setiausaha Kehormat.

(8) Menandatangani minit mesyuarat setelah disahkan, yang
mana berkenaan.

15.2 Timbalan Yang Dipertua (TYDP)

(1) Membantu tugas-tugas Yang Dipertua

(2) Memangku jawatan Yang Dipertua semasa ketiadaannya atau
semasa jawatan YDP dikosongkan.

PERLEMBAGAAN MPSM 12

15.3 Setiausaha Kehormat

(1) Menjalankan perintah Mesyuarat Agung, Mesyuarat
Jawatankuasa dan Mesyuarat Agung Khas

(2) Menyimpan semua rekod ahli berdaftar, rekod perjalanan
aktiviti MPSM, menyelenggarakan semua surat menyurat
rasmi, buku-buku, catatan-catatan, rekod rasmi, minit
mesyuarat dan pekeliling dan semua urusan yang berkaitan
dengan pentadbiran MPSM.

(3) Menghadiri semua mesyuarat dan membuat catatan
perjalanan mesyuarat.

(4) Mengurus jemputan semua mesyuarat MPSM.

(5) Menandatangani semua cek bersama-sama dengan Yang
Dipertua.

(6) Menyediakan dan mengedarkan agenda mesyuarat.

(7) Menyediakan laporan tahunan dan membentangkannya dalam
Mesyuarat Agung Tahunan.

(8) Membuat semua kenyataan atas nama MPSM setelah
dipersetuju oleh Jawatankuasa Kerja MPSM.

15.4 Penolong Setiausaha Kehormat

(1) Membantu kerja-kerja Setiausaha Kehormat.

(2) Memangku jawatan Setiausaha Kehormat semasa
ketiadaannya.

15.5 Bendahari

(1) Mengutip dan menerima semua yuran daripada ahli dan
mengeluarkan resit.

(2) Mengumpul dan merekodkan semua jenis bayaran dan
penerimana hadiah, derma, sumbangan, legasi daripada
pelbagai sumber, pinjaman dan wang terkumpul termasuk
hasil-hasil kutipan dan keuntungan daripada aktiviti mengisi
tabung kewangan atau dana.

(3) Menyimpan semua rekod penerimaan dan pembayaran wang
MPSM.

PERLEMBAGAAN MPSM 13

(4) Menyimpan semua wang yang diterima ke dalam bank seperti
yang diarahkan oleh Jawatankuasa Kerja dan tidak boleh
menyimpan wang dalam tangan melebihi RM500.00 (Ringgit
Malaysia Lima Ratus) Sahaja sebagai tunai runcit.

(5) Menyediakan draf anggaran belanjawan tahunan MPSM untuk
perbincangan dan kelulusan Jawatankuasa Kerja MPSM.

(6) Menyediakan dan membentangkan laporan kewangan yang
telah diaudit semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MPSM
dan Mesyuarat Agung Tahunan.

(7) Menandatangani semua cek bersama-sama dengan Yang
Dipertua.

15.6 Ahli Jawatankuasa

(1) Membantu menjalankan tugas-tugas pentadbiran dan aktiviti-
aktiviti MPSM.

(2) Mempengerusikan Jawatankuasa Kecil, sekiranya dilantik, dan
memastikan Jawatankuasa Kecil yang dipengerusikannya
melaksanakan aktiviti dan fungsinya.

Fasal 16 : MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

16.1 Mesyuarat Agung Tahunan MPSM hendaklah diadakan dalam tempoh
enam (6) bulan selepas tarikh akhir Tahun Kewangan MPSM. Tarikh,
masa dan tempat bagi Mesyuarat Agung Tahunan ditetapkan oleh
Jawatankuasa Kerja MPSM.

16.2 Notis mengenai Mesyuarat Agung Tahunan MPSM yang menyatakan
tarikh, masa dan tempat serta cadangan atau usul untuk
diperbincangkan, jika ada bersama-sama dengan Laporan Tahunan
dan Laporan Kewangan hendaklah diberikan oleh Setiausaha
Kehormat kepada semua ahli sekurang-kurangnya empat belas (14)
hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.

16.3 Agenda Mesyuarat Agung Tahunan MPSM hendaklah mengandungi
perkara-perkara berikut:

(1) Ucapan Pengerusi;

(2) Membentang dan menerima Minit Mesyuarat Agung Tahunan
yang lalu;

(3) Membentang dan Meneria Laporan Tahunan Jawatankuasa
Kerja MPSM bagi tahun sebelumnya;

PERLEMBAGAAN MPSM 14

(4) Membentang, menerima dan meluluskan Laporan Kewangan
bagi tahun sebelumnya;

(5) Membahaskan usul-usul, jika ada;

(6) Memilih ahli-ahli Jawatankuasa Kerja dan dua (2) Juru Audit
Dalam untuk dua (2) tahun berikutnya, kecuali jawatan
Setiausaha Kehormat dan Penolong Setiausaha Kehormat.

(7) Perkara-perkara berbangkit;

(8) Ucapan penangguhan

16.4 Ketinggalan yang tidak disengajakan untuk memberi notis dan atau
Laporan Tahunan dan atau Laporan Kewangan bagi tahun
sebelumnya kepada satu atau lebih ahli MPSM atau
ketidakpenerimaan notis, laporan atau laporan-laporan tersebut
hendaklah tidak dalam apa-apa keadaan menjejaskan atau
memprejudiskan apa-apa yang dibuat atau dipersetujui semasa
Mesyuarat Agung Tahunan.

16.5 Usul-usul atau cadangan untuk pertimbangan Mesyuarat Agung
Tahunan hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat sekurang-
kurangnya tujuh (7) hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk
Mesyuarat Agung Tahunan.

16.6 Korum untuk Mesyuarat Agung Tahunan dianggap cukup jika ahli
yang hadir berjumlah sekurang-kurangnya satu per dua (1/2) daripada
jumlah ahli atau dua kali ganda daripada jumlah ahli Jawatankuasa
Kerja, yang mana lebih rendah. Sekiranya korum tidak mencukupi
selepas setengah (1/2) jam dari masa yang ditetapkan, maka
mesyuarat hendaklah ditunda ke tarikh baru dalam tempoh tiga puluh
(30) hari. Sekiranya korum masih lagi tidak mencukupi pada tarikh
baru mesyuarat itu, maka ahli yang hadir bolehlah meneruskan
mesyuarat seperti yang telah ditetapkan kecuali meminda
Perlembagaan MPSM.

Fasal 17 : MESYUARAT AGUNG KHAS

17.1 Mesyuarat Agung Khas sama ada di peringkat MPSM Negeri atau
MPSM Bahagian/Daerah boleh diadakan di dalam keadaan berikut:

(1) Bila difikirkan mustahak atau perlukan perhatian segera oleh
Jawatankuasa Kerja MPSM; atau

(2) Atas permintaan dengan bertulis oleh sekurang-kurangnya tiga
(3) ahli-ahli jawatankuasa atau ahli-ahli dengan menerangkan
tujuan atau sebab-sebab untuk mengadakannya.

PERLEMBAGAAN MPSM 15

17.2 Mesyuarat Agung Khas Kebangsaan hanya akan di dalam keadaan
berikut:

(1) Bila difikirkan mustahak atau perlukan perhatian segera oleh
Jawatankuasa Kerja MPSM Kebangsaan; atau

(2) Atas permintaan dengan bertulis oleh ahli-ahli jawatankuasa
bagi dua (2) negeri atau lebih dengan menerangkan tujuan
atau sebab-sebab untuk mengadakannya

17.3 Mesyuarat Agung Khas hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam
tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh permintaan mesyuarat itu.

17.4 Pengumuman dan agenda Mesyuarat Agung Khas hendaklah
diedarkan kepada semua ahli sekurang-kurangnya empat belas (14)
hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Khas yang telah ditetapkan.

17.5 Mesyuarat hanya akan membincangkan perkara-perkara seperti di
dalam agenda sahaja.

17.6 Korum untuk Mesyuarat Agung Khas dianggap cukup jika ahli yang
hadir berjumlah sekurang-kurangnya satu per dua (1/2) daripada
jumlah ahli atau dua kali ganda daripada jumlah ahli Jawatankuasa
Kerja, yang mana lebih rendah. Sekiranya korum tidak mencukupi
selepas setengah (1/2) jam dari masa yang ditetapkan, maka
mesyuarat hendaklah dibatalkan, dan Mesyuarat Agung Khas atas
permintaan yang sama tidak boleh diadakan sehinggalah luput
tempoh tiga (3) bulan selepas tarikh Mesyuaarat Agung Khas
dibatalkan.

Fasal 18 : JURUAUDIT

18.1 Juruaudit seramai dua (2) orang dipilih di kalangan ahli semasa
Mesyuarat Agung Tahunan.

18.2 Juruaudit tidak boleh memegang apa-apa jawatan di dalam mana-
mana jawatankuasa termasuk tidak boleh menjadi Pemegang
Amanah bagi harta tidak alih MPSM.

18.3 Juruaudit dikehendaki memeriksa kira-kira tahunan MPSM dan
membuat laporan atau pengesahan untuk dibentangkan semasa
Mesyuarat Agung Tahunan MPSM.

18.4 Juruaudit hendaklah mengaudit kira-kira kewangan MPSM pada bila-
bila masa yang diminta oleh Yang Dipertua MPSM.

18.5 Juruaudit dikehendaki membuat laporan audit sebelum Laporan
Kewangan MPSM dibentang dalam Mesyuara Agung Tahunan
MPSM.

PERLEMBAGAAN MPSM 16

18.6 Mesyuarat Agung Tahunan boleh melantik firma Audit yang bertauliah
bagi menjalakan kerja-kerja audit ke atas MPSM sekiranya perlu.

Fasal 19 : KEWANGAN

19.1 Perbelanjaan dan pembayaran wang MPSM adalah tertakluk kepada
peruntukan di dalam Perlembagaan ini.

19.2 Semua wang MPSM Kebangsaan, MPSM Negeri atau MPSM
Bahagian/Daaerah hendaklah disimpan di atas nama MPSM di dalam
bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja dan kira-kira wang
itu hendaklah dikelolakan bersama-sama oleh Yang Dipertua,
Setiausaha Kehormat dan Bendahari.

19.3 Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai dalam tangan tidak
lebih daripada RM500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus) Sahaja pada
sesuatu masa. Semua wang yang melebihi jumlah ini hendaklah
dalam masa tujuh (7) hari dari tarikh penerimaan didepositkan di
dalam bank yang diluluskan seperti di dalam fasal 19.2.

19.4 Perbelanjaan yang tidak melebihi RM10,000.00 (Ringgit Malaysia
Sepuluh Ribu) Sahaja boleh diluluskan oleh Yang Dipertua bersama-
sama Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat. Pengeluaran
cek bagi jumlah ini hendaklah ditandatangani oleh mana-mana dua (2)
orang sama ada Yang Dipertua, Bendahari atau Setiausaha
Kehormat.

19.5 Perbelanjaan yang melebihi RM10,000.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh
Ribu) perlu mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Kerja
MPSM dan pengeluaran cek hendaklah ditandatangani oleh Yang
Dipertua, Setiausaha dan Bendahari.

19.6 Semua Bendahari MPSM Negeri hendaklah menyerahkan yuran
keahlian dan yuran tahunan kepada Bendahari MPSM Kebangsaan
sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum Mesyuarat Agung
Tahunan MPSM Kebangsaan.

19.7 Semua Bendahari MPSM Bahagian/Daerah hendaklah menyerahkan
yuran keahlian dan yuran tahunan kepada Bendahari MPSM Negeri
sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum Mesyuarat Agung
Tahunan MPSM Negeri.

Fasal 20 : PELABURAN KEWANGAN

20.1 MPSM boleh melabur wang yang tidak diperlukan segera
kegunaannya dalam bentuk simpanan tetap atau bon kerajaan.

20.2 MPSM boleh menggunakan wang untuk membeli harta tak alih
sebagai aset atau premis MPSM.

PERLEMBAGAAN MPSM 17

Fasal 21 : PEMEGANG AMANAH

21.1 Tiga (3) orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21
tahun dan warganegara Malaysia dari kalangan ahli MPSM hendaklah
dilantik semasa Mesyuarat Agung Tahunan MPSM dan mereka akan
berkhidmat selama yang dikehendaki oleh MPSM.

21.2 Semua harta tak alih yang dipunyai oleh MPSM akan diamanahkan
kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Ikatan Amanah.

21.3 Pemegang Amanah tidak boleh dilantik daripada ahli-ahli
jawatankuasa Kerja MPSM.

21.4 Pemegang Amanah tidak boleh menjual, diserahhak atau
dipindahmilik tanpa persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh
Mesyuarat Agung Tahunan MPSM.

21.5 Seorang Pemegang Amanah boleh dilucutkan daripada jawatannya
oleh Mesyuarat Agung Tahunan oleh sebab uzur kerana penyakit,
tidak siuman, tidak berada di dalam negeri, dilantik memegang
sebarang jawatan di dalam Jawatankuasa Kerja MPSM atau apa-apa
jawatankuasa MPSM atau atas sebab lain mengakibatnnya tidak
boleh menjalankan tugas atau tanggungjawabnya dengan
memuaskan. Jika berlaku kematian, kekosongan itu dipenuhkan oleh
Pemegang Amanah baru yang dilantik semasa Mesyuarat Agung
Tahunan atau Mesyuarat Jawatankuasa kerja dengan secepat
mungkin.

Fasal 22 : PERUNTUKAN-PERUNTUKAN UMUM

22.1 Di mana tiada peruntukan khas disebut di dalam Perlembagaan ini
bagi perkara-perkara berhubung dengan pentadbiran MPSM
Kebangsaan, MPSM Negeri atau MPSM Bahagian/Daerah, maka
Jawatankuasa Kerja MPSM Kebangsaan akan menentukan tatacara
berkaitan dengan pengurusan pentadbiran MPSM.

22.2 Mesyuarat Agung Tahunan MPSM Kebangsaan dan Mesyuarat
Jawatankuasa Kerja Kebangsaan akan memberi arahan kepada
Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Jawatankuasa Kerja
Negeri atau Bahagian/Daerah mengenai pentadbirannya.

Fasal 23 : PEMBUBARAN MPSM

23.1 Pembubaran MPSM Kebangsaan adalah tertakluk kepada kuasa-
kuasa dan peruntukan Kementerian Pelajaran Malaysia.

23.2 Pembubaran MPSM Negeri, Bahagian/Daerah juga adalah tertakluk
kepada kuasa-kuasa dan peruntukan Kementerian Pelajaran Malaysa.

PERLEMBAGAAN MPSM 18

23.3 Apabila berlaku pembubaran, segala hutang dan tanggungan MPSM
yang sah dari segi undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki
wang yang tinggal hendaklah mengikut cara yang diputuskan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia. Segala aset dan premis, jika ada
hendaklah dijual dan wang yang terkumpul hasil jualan tersebut juga
akan diputuskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

23.4 Tugas, tanggungjawab dan tempoh perkhidmatan Pemegang Jawatan
dalam Jawatankuasa Kerja semasa berlaku pembubaran hanya akan
tamat apabila hutang dan tanggungan MPSM dijelaskan dan baki
diuruskan seperti yang diputuskan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia atau apabila pindahmilik aset dan premis telah
disempurnakan, yang mana terkemudian.

Fasal 24 : PINDAAN PERLEMBAAN

24.1 Perlembagaan ini tidak boleh dibuah atau dipinda kecuali dengan
keputusan Mesyuarat Agung Tahunan MPSM Kebangsaan atau
Mesyuarat Agung Khas Kebangsaan.

Fasal 25 : TASFIRAN PERLEMBAGAAN

25.1 Mesyuarat Agung Tahunan MPSM Kebangsaan atau Jawatankuasa
Kerja MPSM Kebangsaan hendaklah mentafsirkan Perlembagaan ini
apabila perlu, menentukan mana-mana fasal atau peruntukan tertentu
apabila sesuatu masalah timbul.

25.2 Keputusan Mesyuarat Agung Tahunan MPSM Kebangsaan atau
Jawatankuasa Kerja MPSM Kebangsaan adalah muktamad dan
mengikat semua ahli MPSM melainkan ianya bertentangan dengan
mana-mana dasar yang telah diputuskan di dalam Mesyuarat Agung
Tahunan MPSM Kebangsaan atau Jawatankuasa Kerja MPSM
Kebangsaan sebelum ini, atau melainkan ianya telah diputuskan
dalam Mesyuarat Agung Tahunan MPSM Kebangsaan atau
Jawatankuasa Kerja MPSM Kebangsaan yang terkini yang telah
membatalkan dasar terdahulu.

Yang Dipertua Setiausaha Kehormat
MPSM Kebangsaan MPSM Kebangsaan

Tarikh: __________

PERLEMBAGAAN MPSM 19


Click to View FlipBook Version