The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

EDUP 3043 Peranan Guru Menyediakan Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Amjad Shahir, 2020-12-13 07:42:09

EDUP 3043 Peranan Guru Menyediakan Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif

EDUP 3043 Peranan Guru Menyediakan Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif

PENGURUSAN BILIK DARJAH DAN TINGKAH

LAKU- Peranan Guru Menyediakan Persekitaran

Pembelajaran yang Kondusif

1.0 Pengenalan

Pendidikan dan pembinaan negara adalah berkait rapat antara satu sama lain.
Tanpa pendidikan, proses pembinaan negara tidak akan tercapai. Sesebuah
negara perlukan warganegara yang terdidik dalam semua aspek jasmani,
emosi, rohani dan intelektual seperti yang termaktub dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Peranan guru dalam membina negara bangsa
merujuk kepada melahirkan insan yang mempunyai jati diri beridentiti Malaysia.
Identiti Malaysia boleh dirujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang
boleh dimaksudkan sebagai guru bertanggungjawab melahirkan warga
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara. Oleh yang demikian, guru perlulah mempunyai
pelbagai jenis kemahiran dan teknik pengajaran dan pembelajaran agar hasrat
kerajaan menggapai kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan terlaksana
justeru para murid mendapat pendidikan yang sepatutnya.

2.0 Peranan Guru dalam Menyediakan Persekitaran Pembelajaran yang
Kondusif

Pembelajaran murid yang selesa dan teratur sangat penting dalam
memastikan persekitaran pembelajaran berlaku dengan lebih kondusif. Guru
bukan hanya mengajar murid-murid sehingga berjaya mendapatkan gred yang
terbaik sahaja, tetapi guru berperanan juga sebagai penyelaras,
pembimbing malahan sebagai ibu bapa setiap murid semasa berada dalam
lingkungan sekolah. Pentaksiran yang dilakukan di dalam kelas juga
merupakan elemen yang berperanan dalam menyediakan persekitaran
pembelajaran murid yang kondusif. Menurut Jere Brophy, pengurusan bilik
darjah yang berkesan ialah keupayaan guru untuk membentuk, memelihara
dan memperbaharui bilik darjah bagi mewujudkan persekitaran yang efektif
untuk menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran
pembelajaran yang kondusif merangkumi persekitaran fizikal, persekitaran
psikososial dan juga peraturan dan rutin bilik darjah.

2.1 Persekitaran Fizikal

Persekitaran fizikal terbahagi kepada beberapa bahagian. Antara bahagian
persekitaran fizikal iaitu sumber bahan pembelajaran, ruang atau sudut
pembelajaran, ruang pada dinding, pencahayaan, pengudaraan dan perabot,
kebersihan, susunan dan reka bentuk fizikal dalam bilik darjah dan juga
susunan kerusi meja yang kondusif.

2.2 Persekitaran Psikososial

Ciri-ciri fizikal yang bagus iaitu suasana yang mesra dan selesa, bebas
daripada ancaman dan bahaya fizikal, perasaan murid diterima, sensitif dan
peka kepada perbezaan individu, suasana yang meransang pembelajaran,
mewujudkan komunikasi terbuka dan menggalakkan pembelajaran koperatif
dan memberi peluang yang sama kepada semua murid. Oleh yang demikian,
guru wajarlah mengambil inisiatif untuk mewujudkan suasana pembelajaran
yang berkesan seperti sentiasa mementingkan perbezaan individu agar
murid-murid tidak berasa bosan mahupun rasa dipinggirkan.

2.3 Peraturan dan Rutin Bilik Darjah

Peraturan dan rutin bilik darjah bermaksud kenyataan yang memaklumkan
tingkah laku yang boleh diterima di dalam bilik darjah. Peraturan juga dikenali
sebagai bentuk peringatan dan autoriti kepada nilai manusia. Elemen penting
yang perlu difokuskan oleh guru iaitu memastikan ayat peraturan yang
dinyatakan ringkas dan jelas, peraturan yang dibentuk mesti bermakna dan
dipersetujui oleh murid dalam bilik darjah, mengehadkan bilangan peraturan
agar murid-murid tidak berasa keliru. Guru juga perlu memastikan peraturan
yang dibuat perlulah adil dan bertujuan membantu proses pembelajaran.
Misalnya, guru harus mengelakkan daripada menggunakan perkataan ‘jangan’
serta guru harus memastikan peraturan bilik darjah selaras dan tidak
bercanggah dengan peraturan sekolah.

2.4 Pengurusan Sumber Maklumat Murid

Pengurusan sumber maklumat murid merupakan salah satu daripada
keperluan murid dalam memastikan pembelajaran berjalan dengan lebih efektif
dan kondusif. Pengurusan sumber maklumat murid merangkumi penyimpanan
data peribadi murid seperti buku rekod guru kelas, buku laporan dan juga buku

kedatangan murid. Bukan itu sahaja, pengurusan sumber maklumat murid juga
berkait rapat dengan perkara yang berkaitan dengan hal ehwal murid. Misalnya,
pihak sekolah atau guru meminta dan mengumpul maklumat berkaitan diri
murid dengan cara mengisi borang maklumat murid seperti maklumat ibu bapa,
tanggungan ibu bapa, maklumat murid dan juga maklumat bantuan yang
diterima murid. Hal ini dilakukan bagi memudahkan kerja guru mengetahui
serba sedikit latar belakang murid agar pembelajaran dapat berlaku dengan
lebih berkesan memandangkan guru mengetahui keperluan khas yang boleh
diketengahkan terhadap murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran
berlaku.

3.0 Kepentingan Membina Hubungan yang Positif dalam Bilik Darjah

Hubungan yang positif antara guru dan murid di dalam bilik darjah sangat
penting dalam memastikan pembelajaran berlaku tanpa sebarang masalah
dalaman seperti pergaduhan antara guru dan murid akibat salah faham antara
kedua-dua belah pihak. Hubungan ini dikenali sebagai hubungan guru-murid.
Hubungan ini memerlukan usaha daripada kedua-dua belah pihak walaupun
dalam jangka masa yang lama. Menurut Good and Brophy (2002), guru yang
dihormati dan mesra murid dapat bekerjasama dengan murid-muridnya dalam
menjayakan aktiviti di dalam bilik darjah. Hal ini menunjukkan bahawa aktiviti
tersebut memberikan kesan yang positif ke atas pencapaian akademik murid
dan konsep kendiri murid dan guru. Oleh yang demikian, setiap guru perlulah
mempunyai komunikasi yang berkesan antara guru-murid supaya kedua-dua
pihak dapat mencapai objektif Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada sesi
tersebut. Kepentingan membina hubungan yang positif guru-murid ini boleh
dibahagikan kepada dua secara umumnya. Dua bahagian tersebut ialah
kepentingan buat guru dan juga kepentingan buat murid.

Kepentingan membina hubungan guru-murid kepada guru iaitu dapat
menaikkan motivasi dan semangat guru semasa sesi PdP dijalankan. Guru
juga akan lebih mudah untuk mengawal perlakuan murid terutamanya semasa
sesi PdP berlangsung agar objektif yang terdapat di dalam Rancangan
Pengajaran Harian (RPH) guru dapat dilaksanakan dengan mudah. Bukan itu
sahaja, pembinaan hubungan guru-murid yang baik mampu menaikkan imej
guru di sekolah tersebut. Oleh yang demikian, guru hendaklah sentiasa
mewujudkan suasana demokratik dalam bilik darjah agar guru tidak dilihat
sebagai “pilih kasih” oleh murid-murid. Guru juga mestilah memahami masalah
yang dihadapi oleh setiap murid yang terdapat di dalam bilik darjah.

Hubungan guru-murid yang baik juga bakal memberikan impak baik yang
besar kepada murid juga. Misalnya, hubungan guru-murid yang bagus mampu
menarik minat para murid untuk mempelajari subjek yang diajar. Murid-murid
juga akan mudah untuk memberikan kerjasama kepada guru justeru dapat
meningkatkan pencapaian akademik murid kerana pembelajaran berjalan
dengan lebih berkesan. Oleh yang demikian, guru hendaklah mendekatkan
strategi-strategi yang berkesan bagi menarik minat murid memahami subjek
yang diajar. Misalnya, guru mengingati nama murid dan kerap memanggil
nama setiap murid. Guru juga perlulah sentiasa mengagihkan tugas bersama
agar setiap murid dapat bekerjasama tanpa disuruh kelak. Guru yang bijak
akan menyelitkan unsur kecindan dalam komunikasi serta sentiasa
menunjukkan keprihatinan dan semangat cintakan kelas dalam diri murid. Guru
juga hendaklah mengaplikasikan teknik-teknik yang sesuai melalui pendekatan
model-model pengurusan disiplin bilik darjah seperti Model Pengurusan
Kelompok Kounin, Model Disiplin Asertif Canter, Model Akibat Logikal Dreikurs,
Model Pengurusan Bilik Darjah Thomas Gordon dan juga Model Beyond
Discipline Alfie Kohn.

4.0 Model Pengurusan Disiplin Bilik Darjah dan Teknik : Model Kounin

Pelbagai model boleh digunakan untuk mengawal tingkah laku murid mengikut
keadaan yang sesuai. Bagi tugasan ini, saya memilih Model Kounin sebagai
model yang sesuai digunakan bagi mengurus keadaan kelas semasa sesi PdP.
Model pengurusan kelompok yang diperkenalkan oleh Jacob Kounin memberi
peluang kepada murid untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti seperti hands-on.
Persekitaran bilik darjah menjadi lebih efektif dan kondusif kerana murid lebih
menumpukan perhatian terhadap aktiviti berpusatkan murid. Merujuk Jacob
Kounin dalam Choong (2009), terdapat lima teknik pengurusan bilik darjah
yang boleh diaplikasikan oleh guru bagi mengawal disiplin para murid. Rajah
4.0 (a) menunjukkan lima teknik pengurusan bilik darjah model Kounin.

Jacob Kounin mengesyorkan lima teknik pengurusan bilik darjah yang boleh
diaplikasikan oleh guru bagi mengawal disiplin murid. Teknik yang pertama
iaitu merangkumi semua (Withitness) yang merujuk kepada kepekaan guru
untuk bertindak mengikut keadaan yang sesuai. Guru perlu bijak menjangka
masalah yang bakal timbul daripada murid-murid serta guru pandai
menghalang masalah tersebut daripada menjadi lebih serius. Misalnya, guru
yang berhadapan dengan murid yang sentiasa bising di dalam kelas, guru
perlu tahu cara yang sesuai untuk mengurangkan kadar kebisingan yang
dilakukan oleh murid tersebut. Oleh yang demikian, guru perlu sentiasa

mengawal keadaan kelas dengan lebih peka agar tingkah laku pelajar sentiasa
berada dalam kawalan.

Teknik pengurusan bilik darjah mengikut Model Kounin yang seterusnya
iaitu teknik pertindanan (Overlapping). Menurut pendapat Choong (2009),
pertindanan merujuk kepada keupayaan guru menangani lebih daripada satu
situasi secara serentak. Perkara ini membawa maksud bahawa bilik darjah
akan menjadi lebih terkawal sekiranya guru pandai meneruskan pengajaran
sambil mengawasi pergerakan murid-murid secara serentak. Misalnya guru
berupaya untuk menyemak buku latihan murid sambil mengawasi murid yang
berada di barisan belakang sekali. Oleh yang demikian guru mampu mengawal
kelas dengan lebih berkesan.

Teknik momentum merupakan teknik pengurusan bilik darjah mengikut
Model Kounin yang seterusnya. Teknik momentum ini merujuk kepada
kebolehan guru untuk meneruskan pengajaran dengan cekap dan lancar untuk
melakukan peralihan aktiviti. Misalnya apabila guru hendak melakukan
peralihan aktiviti mengikut rancangan pengajaran harian yang telah dirangka,
guru akan bersifat tegas, jelas dan serius dalam memberikan arahan. Hal ini
akan menghasilkan ripple effect atau pun dikenali sebagai kesan gelombang
kepada murid-murid. Sekiranya seorang murid ditegur oleh guru dengan tegas,
ia akan memberi kesan terhadap muriid-murid yang lain untuk terus menuruti
perintah guru. Perkara ini menunjukkan bahawa pengajaran guru lebih
berkesan serta pembelajaran murid berjalan dengan lancar.

Kelancaran (Smoothness) juga merupakan salah satu daripada lima teknik
pengurusan bilik darjah berpandukan Model Kounin. Teknik momentum
merujuk kepada kebolehan guru untuk memastikan peralihan dua aktiviti dalam
pembelajaran menjadi lebih licin. Menurut Haliza Hamzah dan Samuel J.N
(2009), bagi memastikan kelancaran pelaksanaan aktiviti bilik darjah, guru
hendaklah mengelakkan penerangan yang meleret, mengulangi perkara yang
tidak perlu dan juga melakukan fragmentasi. Misalnya guru hendaklah sentiasa
memastikan objektif pengajaran harian tercapai tanpa diselitkan unsur-unsur
yang tidak perlu sehingga meleret-leret. Hal ini bakal memudahkan
pemahaman murid terhadap sesi PdP yang disampaikan serta guru tidak perlu
lagi mengulang topik yang sama kepada murid-murid.

Teknik pengurusan bilik darjah Model Kounin yang seterusnya iaitu
kepekaan kelompok (Group Focus). Teknik ini sangat diperlukan oleh guru
bagi mengekalkan penglibatan aktif murid-murid selain mencetuskan minat

mereka terhadap topik yang disampaikan oleh guru. Menurut Choong (2009),
teknik kepekaan kelompok Model Kounin ini dapat dilakukan apabila guru
berupaya untuk mengemukakan soalan yang boleh mencetuskan minat dan
sifat ingin tahu murid atau dikenali sebagai inkuiri. Misalnya guru sentiasa
bertanyakan soalan yang meransang pemikiran mereka dengan cara
mengaitkan soalan tersebut dengan kehidupan sebenar mereka. Teknik
seperti ini bakal mencetuskan banyak persoalan kepada murid-murid
memandangkan mereka perlu menyelesaikan soalan tersebut berpandukan
kehidupan sebenar mereka. Contohnya, guru bertanyakan tentang salasilah
keluarga masing-masing dalam mata pelajaran bahasa Melayu bagi menjana
idea murid-murid justeru dapat memperkenalkan jenis kata nama dalam
pembelajaran.

5.0) Penutup

Secara konklusinya, setiap lima teknik pengurusan bilik darjah yang
diperkenalkan oleh Jacob Kounin wajar diaplikasikan oleh guru bagi
memastikan disiplin murid-murid dapat dikawal dengan lebih berkesan serta
sesi PdP berjalan dengan lebih efektif dari semasa ke semasa. Guru haruslah
mengawasi persekitaran setiap masa, memililih masa yang sesuai untuk
membuat teguran, teguran dibuat dengan tegas, jelas dan serius. Guru
janganlah melengah-lengahkan teguran serta teguran perlu dilakukan sebaik
sahaja tingkah lakuyang salah itu sedangdilakukan oleh murid. Guru perlu
mendapatkan perhatian sepenuhnya daripada murid sebelum memberi arahan
dan membuat penerangan. Kemudian guru hendaklah melibatkan murid
dengan aktif dalam setiap aktiviti yang berpusatkan murid. Guru hendaklah
sentiasa memanggil murid untuk memberi maklum balas, membuat
demonstrasi atau memberi penerangan agar murid-murid yang terdapat di
dalam kelas sentiasa memberikan perhatian semasa sesi PdP dijalankan.

RUJUKAN

Buku

Choong Lean Keow. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Kuala
Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd

Good, T. L., & Brophy, J. E. (2000). Looking in Classrooms (8th éd.). New York:
Longman.

Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel. (2014). Pengurusan Bilik Darjah
dan Tingkah Laku (Edisi Kedua). Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn Bhd

Mok Soon Sang. (2000). Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar
Bakti Sdn. Bhd

Internet

Taeachers to be, Pendidikan Awal Kanak-anak, 2018 (Diakses pada 19 Julai
2019)http://groupofearlyeducationchildhood.blogspot.com/2018/11/model-pengurusan-

kelompok-kounin.html

Nur Aliaa Mohd Ahwan, Hubungan Guru Murid, 27 Jun 2014 (Diakses pada 19
Julai 2019)https://www.slideshare.net/NurAliaaMohdAhwan/hubungan-
guru-murid-36384276

Cikgu Syam, Kepentingan Membina Hubungan Guru dan Murid, 17 Mei 2010
(Diakses pada Pada 19 Julai 2019), http://cikgusyamsp.blogspot.com/2010/05/

kepentingan-membina-hubungan-guru-dan.html


Click to View FlipBook Version