The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by roziahadama17, 2024-01-18 04:06:03

Bulan Belum Kelam 1

Bulan Belum Kelam 1

DRAMA PENTAS SEBABAK Bulan Belum Kelam Karya Roziah Adama


WATAK DAN PERWATAKAN 1. MIRA @ Munarti – Usia 19 tahun, berbadan ramping dan cantik. Isteri kepada Jali, tinggal di kawasan setinggan Bulan Kelam. Seorang yang lurus, taat kepada suami tetapi mudah terpengaruh. Kongkongan Jali menekan dirinya. Mempunyai keinginan untuk hidup bebas, bekerja dan mempunyai duit sendiri. 2. Ti @ Sumarti – Usia 25 tahun, isteri kepada Karim, tinggal di Flat Mentari. Agak berisi, suka bergaya, agak cantik dan bekerja. Bijak berkata-kata, pandai memujuk dan mengongkong suami. Merancang pembunuhan suami Mira. 3. Jali – Suami kepada Mira. Berusia lewat 30-an. Kurus dan berkulit gelap. Seorang yang garang dan suka mengongkong. 4. Karim – Suami kepada Ti. Berusia lewat 30-an. Kurus dan berkulit gelap. Seorang yang suka tunduk kepada kata-kata isteri.


BABAK 1 Ruang tamu dihias dengan set ruang tamu rumah setinggan, sebuah meja makan kecil dua bangku yang usang terletak di sebelah kiri. Di atas meja terdapat sekuntum bunga plastik. Terdapat dua pintu, iaitu pintu ruang tamu dan pintu bilik, langsir tergantung di pintu bilik. Sebelah kanan terdapat ruang dapur dan tempat meletak pinggang mangkuk yang buruk, di bawahnya terdapat kotak kecil bertulis racun tikus. Longgokan surat khabar terdapat di mana-mana sudut dengan lapik lantai yang koyak dan tidak tersusun. Botol-botol kaca di mana-mana. Di dinding tersangkut guni dan tali. MIRA mengemas meja, dia memakai T-Shirt putih, berkain batik dan berserkup kepala. Beberapa kali dia memandang ke jam dinding. Keadaannya kelam kabut. TI menolak pintu dengan berpakaianan blaus merah, berskirt labuh merah dan berselendang merah. Dia tidak memberi salam, dia memerhatikan MIRA. Skirt labuhnya tercemar dengan lumpur. TI melangkah masuk dan duduk di bangku. Dia memandang ke seluruh ruang tamu. MIRA (terkejut dan mengurut dada) : Kak Ti ni, bila masa datang Mira tak dengar pun, kak dari mana? Abang Karim mana? MIRA mengambil botol kaca di satu sudut dan meletakkan di atas meja. TI (Membetulkan selendang) : Kenapa tak kunci pintu? Lupa? Abang Karim tu demam tapi ada hati melepak di warung Pak Karimon menengok bola. Entahlah, tak faham kak. Macam mana, dah cakap dengan Bang Jali? (teruja).


MIRA (mengeluh): Entahlah kak, Bang Jali tak suka. Dia tak nak tinggal tempat tinggi macam tu… (Mira mengambil sebatang bunga plastik di atas meja dan memasukkan ke dalam botol). TI : Ah kau ni hal sekecil lada hitam tu pun susah diluahkan? Takkan tu pun kak nak ajar? Eh, hidup yang mudah ni jangan dirumit-rumitkan Mira. Kita ni (menghampiri Mira) jadi isteri bukan bererti jadi kuli, menurut saja macam haiwan sarkas. Kau faham? (Mira menggeleng) Hah, geliga dalam tu... jangan simpan Mira (menunjuk ke kepala Mira). Alah kau tau, Abang Karim dulu pun tak nak, tapi kak desak pergi cabut undi rumah flat tu. MIRA: Kak kata apa kepada Abg Karim? TI: Kak kata “Apa guna celup jari dengan dakwat...kalau hidup merempat!” (mengangkat jari telunjuk kemudian meniupnya) sampai bila kita duduk berjiran tempat yang busuk ni yang menjanjikan harapan kosong! Hidup kita bukan tentang meletakan kepala di atas bantal dan lena kemudian menunggu esok yang kita kata “esok insya Allah pasti ada”. Apa yang ada? Di atas meja kita perlu hidang makanan, dalam beg ni( menunjuk beg tangannya) perlu kita isi. Zaman ni semua kita kena suap, beg ni pun kena suap! Kita tak boleh petik jari semua datang melayang-layang. Hidup ini bukan tentang kesetian tetapi tentang harapan, kau faham Mira? Kak kata pujuk Bang Jali! (menghampiri Mira dengan lebih rapat) Lampu perlahan-lahan suram kemudian terang semula. MIRA dan TI berpandangan seketika.


MIRA : Bang Jali kata kak, antara Kampung Bulan Kelam ni dengan flat Mentari Suram sama saja kak. Sini sampah sana pun sampah. Sama-sama busuk, hanyir… entahlah. Lagipun dah enam tahun Bang Jali tinggal di sini, semua yang ada di sini dah sebati. TI : Kau pujuk macam mana? Pujuk ada cara, Mira. Bukan main hentam, Bang Jali tu kena ada cara. Bak kata orang, cucuk jarum mesti berhati-hati, ikut macam kakak (dia menarik tangan Mira dan berbisik). MIRA (terkejut): Kak, jangan kak. Saya tak berani, dosa, kak. Tuhan marah, saya tak nak buat perkara-perkara syirik ni. TI : Eleh, zaman ni jangan nak setia-setia sangat, tengok ni. (Menunjukkan emas di tangan). Bang Karim belikan kak, dalam beg kak ni (menunjuk beg sandang) duit Bang Karim kak pegang. Kata orang kita mesti bijak cari peluang, di mana-mana saja kita hidup dan dengan siapa kita hidup! Inilah perjuangan! MIRA : Kak lain, Mira redha, kak. Mira tak nak apa-apa dari Bang Jali. Dapat kahwin dengan Bang Jali dan dapat tinggal di Kampung Bulan Kelam ni, Mira dah bersyukur. Tak merempat dan lari ke sana sini. (Mengambil botol sambil membawa ke dalam bilik) TI (menguatkan suara) : Mira, sampai bila nak tinggal di sini? Semua orang dah berpindah, sekarang ni ramai maling eh… pencuri. Malam-malam macam ni mereka suka menghambat. Jangan setia sangat Mira,belum pernah selama ini kak lihat yang setia mendapat manfaat melainkan mudarat.


MIRA (dari dalam bilik) : Abang Jali kata, tinggal di bawah ni dia rasa berhak. Tinggal di atas macam kehilangan. Mungkin betul juga, di sini ada tanah nak dipijak. Di atas… TI : Hak? Hak itu jadi milik kita kalau kita cepat merebut, cepat menangkap, cepat merampas. Tanah? Siapa peduli tentang tanah sekarang ni, Mira? Di atas tu tak payah berebut-rebut air, tak payah kongsi api, tak payah hidu bau busuk, tak payah… pendek kata semua tak payah. Kau tahu tak, angin di atas sejuk, kadang-kadang tak payah hidupkan kipas, tengok bawah kereta dan orang kecil. (Ketawa) Kadang-kadang macam orang kaya! Lagi satu, tak payah meredah lumpur sepanjang lorong jalan. Tekan lif… dah sampai tingkat 20, sekelip mata. Api tak pernah mati macam di sini, tak hidup mati hidup mati macam...hidup kau. Hidup tak ubah macam bulan kelam. Lampu suram semula dan terang semula. MIRA (Mira keluar dari bilik.) : Betulkah, kak? TI : Itulah kau Mira, bukalah mata dengan fikiran. Sekarang kan dah maju, kita nikmatilah apa yang diberi walaupun kita... err (berfikir sesuatu) kata orang Melayu macam melukut di tepi gantang. (Berbisik) Kita juga patut menikmati. Lama-lama tempat akan dirobohkan termasuk rumah kau ni. Jadi lebih baik kau pujuk Bang Jali pindah. Boleh kita sama-sama pergi kerja. MIRA (tertarik): Kerja? Di mana kak? TI : Kuala Lumpur banyak kerja. Di mana-mana dapat kerja, lebih-lebih lagi orang cantik macam kau dan… aku ni. (TI bangun dengan rasa bangga)


MIRA : Mira memang nak kerja kak, tapi Bang Jali tak bagi. Dia nak ada isteri di rumah yang siapkan semua perkara untuk dia. TI : Mira ni dah macam kuli, tau tak? Kelam-kabut ke sana sini. Balik-balik tengok jam. Menyampah! MIRA : Mira buat dengan ikhlas kak. Kejap lagi Bang Jali balik. TI : Ikhlas? Ni tengok lebam ni. Bang Jali pukul kau, kan? (MIRA mengelak, dia tak mahu TI melihat lengannya) Kak nak Mira pandang ke depan, Mira masih muda dan cantik, banding dengan Bang Jali yang dah masuk separuh senja tu memang tak padan, badan kurus keding. MIRA (bergurau) : Bang Karim dengan Bang Jali tu sama kurus kak. Dari belakang pun tak tahu mana satu Bang Karim mana satu Bang Jali, cuma Bang Karim tak cukup jari (ketawa lucu). Kak, Bang Jali sebenarnya baik. TI : Cukup-cukuplah Mira, memuji jangan sampai menyanjung meluat kak. Umur Mira baru 19 tahun. Di luar tu ramai lelaki tau boleh jatuh hati dengan Mira. Sebab itulah Bang Jali simpan Mira dalam rumah ni, tak campur gaul dengan orang lain. Jadi burung dalam sangkar emas, disuruh makan... makan, suruh bernyanyi ikut, suruh... ah sudahlah! (TI membersih-bersihkan skrit yang kotor.) Kan kak dah kata kita ni Mira, macam kotoran di kain, tak pun macam daki di badan lelaki. Sekali jirus dengan air jatuh... hancur... tak berharga! MIRA tunduk, dia menyapu-nyapu lengannya. MIRA: Memang Mira selalu teringat-ingat kata-kata kak Ti, Mira teringin juga bergelang emas, pakai baju lawa-lawa, jalan sana sini, ada duit sendiri tapi apa boleh Mira buat, kak?


TI : Mira kak ulang lagi “perempuan bukan kuli”, kalau lelaki nak dilayan seperti raja mereka kena layan perempuan seperti permaisuri. Baru adil! MIRA :Mira ikhlas kak. TI: Ikhlas dalam tangisan, ikhlas dalam rintihan? (menyindir) Kau tahu tak, Bang Jali dan Bang Karim dah terima bonus, sebab tu kak boleh bergelang emas ni. MIRA (terkilan): Kerja buruh pun ada bonus? Mira tak tahu pun, tentang duit memang Mira tak tahu. Bang Jali tu... TI : Itulah kak cakap, cari duit sendiri. Duit dia duit kita, duit kita duit kitalah. Itu yang kak nak Mira belajar. Ni kak nak cakap, tempat kak kerja nak pekerja. Kak dah cakap Mira bersetuju dan ambil duit pendahuluan. (TI mengeluarkan sejumlah wang dari beg dan menghulurkan kepada MIRA). Ambil duit pendahuluan ni. MIRA menyambut dan mengira-gira. Dia begitu teruja. MIRA : Tiga ratus ringgit, banyaknya kak? Mira tak pernah pegang duit sebanyak ni. MIRA mengeletar tetapi mencium-cium bau duit itu. Ti mengambil duit itu semula. TI : Nak duit ni? Mira kena kerja dan ikut cakap Kak Ti. MIRA : Kerja apa kak? Kak kan tahu Mira orang kampung, keluarga susah. TI : Jangan cakap lebih-lebihlah Mira, kita ni sekampung, pernah duduk berjiran. Belum roboh lagi rumah kak di sebelah tu. Jadi kak nak pesan dengan Mira, jangan lagi kita mewarisi kemiskinan, kepapaan dan kebingungan ibu bapa kita yang berhati batu tu. Dengan kelebihan yang ada kita cari makan. (Berdiri dan memegang pinggang). Faham tak? Kita mesti bijak merancang dan melaksana.


Masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek. Susah sangat ke? MIRA (ragu-ragu) : Abang Jali tak bagi kak. Nak pindah ke flat pun dia tak bagi, apa lagi nak kerja. Lagipun Mira… (memeluk badan kemudian mundar- mandir). TI : Sebab tu kita mesti ada ni? (menujuk ke kepala Mira) Sampai bila nak jadi hamba? (marah) Kau ni bukan sampah, Mira! Ditendang, diterajang sana sini. Kau nak lebam kau naik sampai ke dahi? MIRA : Mak Mira kata, isteri bukan hamba, tapi teman kepada suami. Kalau dimarahi suami itu perkara biasa. Mesti banyak bersabar, itu resam rumah tangga. MIRA ke dapur membancuh dua cawan air kopi lalu diletakkan di atas meja. TI: Kalau kena pukul kena maki tu resam rumah tangga ke? Mira, kak ni dah lama menyampah dengan Bang Jali tu. Selama ni kak butakan mata pekakkan telinga, kak benci dengan Bang Jali, dengan Mira kak geram menengok. Mira mesti mengubah hidup, bela nasib keluarga di kampung. MIRA (Sebak): Kak, Mira rindu emak dan ayah… dah dua tahun Mira tak balik. Mak pun sakit–sakit, perlu duit rawatan. Bang Jali kata hidup mati Mira di Bulan Kelam inilah, kak. Mira takut sendirian, sunyi, benci, sesal, sebal dan segala macam perasaan yang bodoh datang setiap masa. TI mengipas-ngipas muka dengan wang. Menyebabkan MIRA memandang wang dengan rasa teruja. TI sengaja meletakkan wang satu persatu di atas meja. TI (tegas): Dengar sini cakap Mira, kehidupan di zaman ini hanya berpaut kepada wang. Cantik tanpa wang tak guna, begitu juga kacak kalau poket kosong tak


ubah macam sampah. Sampai bila nak hidup melarat di rumah usang, buruk dan busuk, hanyir ni? Keluarga Mira di kampung perlukan wang, perlukan pembelaan. (menekan suara) Mira menderita, kak tahu Mira menderita. Jadi bunga perhiasan dalam rumah buruk, jadi boneka, jadi orang suruh, jadi hamba, jadi kuli dan semua kerja yang hodoh dan bodoh! MIRA : Mira ikhlas kak. TI: Ikhlas yang macam mana Mira, kau jangan buta mata buta hati. Ikhlas tu bukan bermakna kita menadah takdir, menyerah kalah, menyerah diri. Lebam di badan akan hilang, luka berdarah cepat sembuh tapi luka dalam hati kau mampu kau ubat? MIRA: Mak kata sepuluh kejahatan suami, pasti ada satu kebaikan yang membawa kita ke syurga. TI: Sepuluh kejahatan satu kebaikan? Aku tak faham, cuba kau cerita apa kebaikan Bang Jali? Cuba kau buka mata aku ni. Aku kenal kau Mira, dah lama. Aku tahu kau bukan begini. Kau lupa janji kita, kita sama-sama dari kampung datang ke sini kerana duit, D.U. I. T ! MIRA tunduk. MIRA : Mira redha kak. TI (Mengeluh) : Redha yang menjerat kau dalam kemiskinan, kan? Mana janji Mira kepada ayah? Mana janji Mira kepada adik-adik? Janji mengubati ibu yang sakit? Mana janji Mira membaiki rumah yang menunggu rebah? Berjanji tetapi mungkir! Zaman ni zaman duit menjadi raja!


Kata-kata TI menyebabkan Mira tertekan. Dia menutup muka dalam tangisan, seketika dia membuka tangan, mengesat air mata dan menarik nafas. MIRA : Kak juga pernah berjanji nak pulang ke kampung dengan Mira, kan? TI: Jangan tanya aku soalan tu! MIRA: Kak... TI (bersemangat): Aku benci, di sini aku dapat kebebasan dan wang. Aku benci mengingati kampung, aku benci mengingati paksaan demi paksaan ayahku...memaksa aku... (sedih). Aku mahu bebas dari paksaan dan kemiskinan! Kita mesti bangkit Mira, perempuan tak patut menjadi hamba jari telunjuk lelaki selama-lamanya. Kita ada hak! Kita ada kemampuan! Kita mesti berani! Perempuan tidak lemah! MIRA: Tapi, sudah menjadi fitrah lelaki itu pemimpin. TI: Ya lelaki yang bijak memimpin kira hormat! Lelaki yang tahu hukum dan mengerjakan hukum kita ikut tetapi lelaki yang merobek harapan, membunuh hati kita berkali-kali dan lelaki yang mengurung kata-kata kita, kita nyahkan! MIRA (mengumpul keberanian) : Apa yang mesti Mira buat, kak? Demi kebebasan Mira dan keluarga di kampung. TI bertepuk tangan kemudian memasukan wang ke dalam beg. Dia mengambil serbuk racun tikus dan mengisi ke dalam cawan. MIRA memandang dengan bingung. TI : Kebiasaanya Bang Jali pulang dan minum kopi ‘kan?


MIRA (ketakutan) : Apa ni Kak? Mira tak nak, Mira tak nak. Mira takut. TI: Jadi Mira tak nak ni? (menunjuk beg). Kak mudahkan kerja, Mira. TI menuju ke ke dapur mengambil guni dan tali. MIRA : Kak, mesti ada cara lain, kak. Tiba-tiba lampu terpadam (lampu dihidupkan, pelakon beraksi seolah-olah dalam gelap). TI menarik tangan MIRA ke satu sudut berhampiran jeraian. TI : Kebetulan yang tepat, Mira. Kita tunggu Bang Jali pulang. MIRA (ketakutan): Kak... Tiba-tiba seorang lelaki bertubuh kurus menolak pintu, dia meraba-raba meja makan dan terlanggar pinggan. Dia mengambil cawan yang tidak berisi racun lalu meneguk, seketika kemudian dia terbatuk-batuk kuat dan rebah. TI menerpa ke arah lelaki itu dan memukul bertalu-talu, sementara MIRA menjerit-jerit menutup muka. Ketika ini loghat mereka bertukar loghat Indonesia. TI (loghat Indonesia) : Ayo, cepat Mira, tolong aku! Ayo! TI menyarung kepala lelaki dengan guni dan mengikatnya. Lelaki itu tidak bergerak. MIRA (mengheret lelaki keluar) : Tolong kakak! Waduh, aku takut kak! Bang Jali, ampunkan Mira... Mira... Mira. TI : Ayo, kita simpan di rumah lama kakak! Mereka mengheret keluar dan masuk semula ke dalam rumah. TI : Kumpulkan bajumu sekarang.


MIRA tercegat, dia memeluk tubuh. MIRA (cemas): Aku takut kak, aku... TI: Enggak usah fikir banyak, semua sudah terjadi. Kita lari sekarang, (menolak MIRA) pergi ambil baju-bajumu! MIRA keluar masuk bilik kebingungan, dia memegang beberapa helai baju. TI : Sekarang kau sudah bebas, kita balik rumah aku dulu. Aku juga tidak mahu hidup dengan laki-laki itu! TI memegang tangan Mira, tiba di pintu langkah TI terhenti. TI : Nanti... nanti... mana Bang Jali selalu simpan duitnya? MIRA : Dalam uncang hijau di pinggangnya selain di dalam dompet. TI : Kau ambil wang tu. MIRA (cemas): Tidak mahu, tidak... aku takut, kak... TI bergegas keluar memasuki rumah lamanya, MIRA yang ditinggal sendirian terkulai di atas lantai. MIRA (monolog) : Bang Jali, ampunkan Mira. Mira... Mira sayangkan abang. Mira... Mira tidak mahu, tapi Kak Ti... Kak Ti... Masuk TI dengan wajah pucat, MIRA memandang kehairanan. TI (gementar) : Mira... ta... tadi...laki-laki itu... bu... bu... bukan... MIRA (bangun) : Kak, kenapa kak?


TI: Laki-laki itu bu... bukan Bang Jali... kayak Bang Karim. Itu emang Bang Karim, anak jarinya tiada. MIRA (binggung) : Apa kakak bilang? Abang Karim? Kita bunuh Bang Karim? Jadi, di mana Bang Jali? TI mundar-mandir, dia kebingungan. Tiba-tiba dia memegang tangan MIRA dengan kuat, MIRA cuba melepaskan tetapi gagal. TI (memandang Mira dengan marah) : Buat apa Bang Karim ke mari? Buat apa? MIRA (Ketakutan) : Apa maksud kakak? TI : Kenapa Bang Karim ke mari? Bang Jali kerja, Bang Karim dateng ke sini. Apa maksudnya itu? MIRA (Cemas) : Kak? Aku juga tidak tahu (menggeleng-geleng dengan panik) TI: Lewat malam sebegini Bang Karim dateng ke mari? Bang Karim sering ke mari? (menghampiri MIRA) MIRA (meneka): Kak sangka aku? Aku tidak sekeji itu, kak. Aku tak sekeji itu. (MIRA berundur menjauhi TI) Sudahlah, kita serah diri ke polisi. Aku tidak mahu tanggung dosa. Mereka mengelilingi meja, TI mencapai pisau atas meja. TI cuba menikam MIRA, tetapi MIRA sempat memegang tangan TI. Pisau menghampiri lehernya. Mungkin Bang Karim cari kakak bukan cari aku. Tolong kak, kasihani aku. (merayu dan menangis)


TI : Sejak kapan Bang Karim datang ke sini? Kau fikir aku dungu? Kucing mana melepaskan ikan dari mulutnya MIRA : Tapi... tapi Bang Karim bukan kucing, kak! TI: Kau fikir semudah itu aku percaya? Kau sembunyikan sesuatu daripada aku? MIRA: Kak TI, Mira tidak pernah buat onar kepada kakak apalagi berselingkuh. Sumpah kak! TI: Kau tahu sumpah tidak membuktikan apa-apa? Jawab iya atau tidak, Bang Karim sering ke mari? MIRA: Iya tapi bukan berjumpa aku kak, dia berurusan dengan Bang Jali. TI : Kau tahu aku sayang kau kayak adikku sendiri. Jari kau yang terluka aku yang terasa sakitnya. MIRA menggeleng-geleng dalam ketakutan. TI: Kau tahu apa balasannya orang yang menghancurkan kepercayaan orang lain? TI merenung MIRA dengan tajam. Ketika itu JALI memanggil nama MIRA berberapa kali dengan suara yang garau. TI dan MIRA terkejut, serta merta TI melepaskan pegangan. MIRA mengamati lalu mengesat air mata.


JALI : Mira, buka pintu! TI meletakan pisau di atas meja. MIRA menuju ke pintu, dia membuka pintu. Masuk JALI dengan lampu suluh di tangan. Dia tersuluh TI. JALI(menyindir) : Apa lif rumah kau sudah rosak? Malam-malam begini datang ke rumahku. TI tidak menjawab, dia memandang JALI tanpa berkelip. MIRA : Bang Jali! Abang nak makan? MIRA menghampir JALI, tetapi JALI tidak mengendahkan. JALI : Badan aku tak sedap, jangan kacau aku tidur! JALI masuk ke bilik tanpa memandang MIRA, seketika kedengaran suaranya berdengkur kuat. MIRA berdiri dengan kepala tertunduk. TI : Bang Jali sudah balik, rahsia kita akan terbongkar. (TI mengambil pisau atas meja, menghampir MIRA dan menghulur pisau kepada MIRA). MIRA (terkejut) : Kak Ti? TI : Kau selesaikan Bang Jali. Ambil duitnya kemudian kita lari. MIRA (merayu dengan suara perlahan) : Kak Ti, aku tidak sanggup. TI : Bang Karim udah mati, Bang Jali juga harus mati. Itu kebebasan yang sebenar. MIRA: Sudah kak, cukup apa yang sudah kita lakukan.


TI : Aku tidak mahu masuk penjara, perbuatan kita ini mesti dirahsiakan, tidak ada sesiapa harus tahu. Ke mana kau mahu lari, kau sudah berjanji mengikut aku. Duit di dalam beg ini dikira persetujuannya. Ayo cepat lakukan! MIRA menyambut pisau dengan tergetar-getar. Dia masuk ke dalam bilik, kemudian keluar semula. Dia masuk lagi, kemudian keluar. Dia mencari kekuatan. TI : Ayo! MIRA masuk lagi, bunyi benda jatuh diiringi suara JALI mengerang. MIRA segera keluar di tangannya memegang ucang duit, sedikit darah terpercik di bajunya. Baju dan kepalanya turut dipenuhi kekabu. TI cepat-cepat merampas uncang duit dari tangan MIRA. Dia mengheret MIRA ke arah pintu, MIRA bertahan. TI bertepuk tangan gembira melihat MIRA. TI : Akhirnya kau berjaya, kau perempuan yang tidak perlu lagi menadah takdir hidup dengan rintihan dan tangisan. Ayo kita pergi, kita tinggalkan kedunguan dan kemiskinan tempat ni! MIRA (berani) : Tidak kak! Biarkan aku di sini. Aku sanggup menerima hukuman. Hidup mati aku di Bulan Kelam ini dengan Bang Jali. Kakak pergilah. TI : Sudah, jangan jadi dungu. Kita sudah mendapat apa yang kita mahu. MIRA : Barangkali Kak Sumarti sudah mendapat apa yang kakak mahu tetapi sejauh mana kita boleh lari dengan menggalas dosa di bahu? Sampai bila? Bisakah wang mengganti rasa berdosa kita, kak? TI : Mira, kau sudah bebas. Kita sudah bebas!


MIRA : Kita sudah terlanjur bermain kesalahan, membunuh itu berdosa besar kak. Tidak akan terampun dengan kata-kata. Bebas bukan bermakna kita bebas menghilangkan nilai kemanusiaan. TI : Mira, usah banyak omongan. Sudah lama kita menderita di sini, sudah lama kita berpura-pura demi sesuap nasi. MIRA : Ya Allah ampunkanlah dosaku.... Aku mohon kepada-Mu, ya Allah. Aku tidak merelakan semua ini berlaku. Izinkan aku menebus dosaku. Kakak lupa janji kakak padaku. TI: Apa yang pernah aku janjikan? MIRA: Janji kakak kita akan pulang ke Lombok sama-sama satu hari nanti, aku tahu rindu kakak pada inaq di kampung tidak pernah sirna. Aku tahu hati kakak sakit meninggalkan inaq menelan segala derita di kampung sendirian. Mana janji kakak? Kakak bilang mau buktikan kepada amaq bahawa kakak bisa hidup di Kuala Lumpur ini, bisa hidup mandiri tanpa laki-laki! Sampai kapan kakak mau jadi anak derhaka? TI (menekup telinga) : Diam! Jangan sebut semua itu, aku benci! MIRA : Ini kebenaran! TI: Diam! MIRA kembali tenggelam dalam kesedihan, perlahan-lahan lampu suram. Ti bermonolog, dia berdiri di jeti. “Aku bukan ingin derhaka kepada orang tua, apatah lagi derhaka kepada tanah yang kupijak ini. Di sini kakiku dijerat, mulutku dikunci, jiwaku direntap. Aku


kehilangan diriku? Di mana diriku? Di mana jiwaku. Aku hanya ada satu pilihan berkata iya atas semua perkara. Inaq bilang “Lelaki itu cocok benar denganmu, semua orang di desa Sade ini mengatakan dia lelaki yang gagah, rajin dan berkuasa kayak amaqmu (bapamu). Dia bisa memberikan kehidupan kepadamu, dia juga punya wibawa, mungkin aja bisa menjadi kepala desa kayak amaqmu satu hari nanti.” Pujian inaq keterlaluan bagiku, inaq terlalu lurus. Omongan orang, bukan jaminan kebenaran. Inaq memang isteri yang setia, tetapi bukan aku. Bagiku kesetiaan itu kesengsaraan yang melemaskan manusia. Kesetian yang buta. “Inaq berkata tentang kehidupan? Di sini kita juga sengsara mencari sesuap nasi. Kita tetap hamba, tanah yang kita kerjakan itu milik orang. ‘Laki-laki yang boleh memberikan kehidupan’ itu juga hamba sama seperti kita, inaq. Kesenangan apa yang bisa dia berikan?” Inaq yang setia itu tersenyum manis, sedang senyuman itu kayak sebilah pisau yang tajam menghiris-hiris harapanku. “Kesengsaran itu makanan rohani kita sejak dulu lagi Sumarti. Kita tidak pernah punya kalimat ‘tidak’ kerna menerima itu kemenangan hati.” “Inaq, aku tidak bisa menerima. Aku juga punya keinginan. Tidakkah inaq lelah dengan kemiskinan, kesengsaraan dan...kesetiaan. Setia pada takdir yang dicpita oleh manusia, setia kepada putaran hidup, setia kepada telunjuk lakilaki yang menentukan segalanya tanpa bertanya rasa hati kita! Sehingga tidak ada satu yang bisa kita tidakkan!”


“Perempuan sifatnya mewarisi. Kita tidak punya kuasa menidakkan kemahuan amaqmu. Sudah menjadi hukum, bicara amaqmu itu tiada putihnya. Patuh dan akur itu juga satu kebahagian.” Kata-kata inaq menyentap jantungku, merobek hatiku, menghentikan nadiku sehingga nafasku... (sesak nafas) semuanya mati. Sepi. Mati. Sepi. Mati. Sepi. Mau aja aku menjerit “Inaq, Kesetiaan itu menjerat kita inaq, menjerat kaki, menjerat hati dan hak kita. Kita sentiasa terhukum...terhukum selamalamannya!” Dalam lembut dan tegas, inaq menyusun kalimat “Perempuan harus tetap setia, kerna itu sudah ketentuan sejak azali. Perempuan itu kayak angin yang sentiasa mencumbui setiap apa saja di sekelilingnya dengan gemalai dan mesra kerna aturan itu tidak pernah mati.Menyejukkan.Menyamankan. Membahagiakan.” (Menjerit) “Inaq...Aku lelah inaq...lelah...kesakitan itu menyiat-yiat hatiku. Inaq, perempuan juga punya segumpal hati yang berdenyut yang ingin difahami. Difahami waima sekelumit. Dengan ‘sekelumit faham’ itu tidak mungkin membinasakan lautan Lombok ini atau meruntuhkan gunung Rinjani, apatahlagi meranapkan kuasa seorang laki-laki!” Inaq hanya mendengar dan mendengar, matanya redup merenungku sebelum berkalih merenung dedaun lolon nyiur yang lesu. Ahh...sukar benar memahami hati tua Inaq. “Laki-laki itu kayak pulau...yang ditaati oleh ombak dan kitalah ombak itu.” Suara inaq menjauh diseret angin gemersik.


Hatiku sakit. Sakit.Sakit hati...mati.” Saat ini aku nekad. Segare (laut) ini jadi saksi, aku terpaksa pergi inaq. Aku pasti rindu pada inaq. Rindu pada geres (pasir) tempatku bermain, aik paeq (air masin) yang pernah membasahi tubuhku. Hatiku tidak seteguh karang yang pasrah berkali-kali dipukul oleh sang ombak...berdiri menunggu disapa angin. Aku tidak ingin menjadi ombak. Tetap patuh dalam putaran setianya (kecewa) Selamat tinggal desa Sade. Selamat tinggal semuanya. TI kembali kepada dirinya. TI (bercakap perlahan): Akhirnya kita tetap dalam putaran setia. Terhukum dan terus terhukum. (bersemangat) Tidak, aku tidak mungkin mengalah. Ini Sumarti yang sudah bangkit daripada kekalahan. Tidak ada siapa yang akan menghalang! Ayo Mira kita mesti pergi sebelum semuanya ketahuan. (bersemangat) Lampu terang. Perlahan-lahan MIRA bangun, dia menuju ke meja makan dan duduk di bangku. MIRA : Kalau Kak Ti mahu pergi, silakan. Aku akan duduk di sini sehingga subuh menjelang. Kalau Kak Ti masih punya rasa kemanusiaan, telefonkan aja ke polisi dan titipkan salamku kepada inaq, amaq dan keluargaku di Lombok. Katakan Munarti sudah membunuh suami dan teman suaminya sendiri, dia rela dihukum mati sekalipun. Dia khilaf kerana wang.


TI menahan-nahan geram, dia menuju ke pintu tetapi langkahnya terhenti. Uncang duit terjatuh di atas lantai. TI bergerak ke belakang MIRA, dia meletakkan tangan di bahu MIRA. TI (menggeleng) : Tidak Mira, usah kau letakkan kembali kebodohan di kepalamu. Kita masih punya masa... MIRA (menggelang-geleng) : Kak, benar kata inaq. Kalau kita tidak punya kesabaran, segala-galanya akan jadi nanar. TI (memujuk): Mira, fikirkan tentang inaqmu, kau sanggup dia menderita mengetahui anaknya pembunuh? Kau sanggup bergelar banduan? Inaqmu yang sakit itu bagaimana? Ariq-ariqmu? Harapan amaqmu? MIRA: Bagaimana dengan kakak? TI: Kisah kita berbeda Munarti! MIRA: Tapi kita sama-sama manusia yang punya ihsan. TI: Hidup ini pilihan...keputusan di tangan kita! TI memandang MIRA dengan pandangan menakutkan. Kebencian dan kemarahan berbaur. Perlahan-lahan tangannya naik ke leher MIRA. MIRA : Benar kata inaq, neraka itu untuk manusia yang mencintai dosa, dan syurga itu untuk manusia yang membenci kemungkaran. Ampunkan aku... ampunkan aku inaq. TI: Benar kau mahu mati di Bulan Kelam ini? MIRA : Inaq bilang, hidup bertiang agama, mati juga bertiang agama.


TI : Kau memilih kematian di tanah yang hanyir ini? MIRA: Tanah hanyir ini saksi...semuanya sudah hancur. (menangis) TI: Kau yang mau cara ini... MIRA: Ya Allah, ampuni dosa hambamu ini. TI terkedu mendengar kata-kata MIRA. Tangannya dijarakkan dari leher MIRA, diletak semula dan dijarakkan lagi. TI dalam keadaan serba salah tetapi mengangkat tangannya semula. TI: Sebentar lagi semuanya akan selesai, Munarti. MIRA: Ya Allah ampuni dosaku, ampuni dosa Kak Sumarti, dia kakak yang baik. Sudah terlalu banyak luka di hatinya, Lombok saksi penderitaannya. Kasihani dia ya Allah... TI terkedu dan kembali berasa serba salah dan sedih. Tiba-tiba pintu di tolak, KARIM berdiri di muka pintu dengan wajah pucat menyebabkan MIRA dan TI tergamam. Karim : Ti, kamu di sini? Mana Bang Jali? Tadi kepala abang pening betul, belum sempat panggil Bang Jali tiba-tiba semuanya gelap, sedar-sedar di rumah lama, hairan abang dibuatnya. Ni (mengeluarkan dompet dari saku seluar) dompet Bang Jali terjatuh di jalanan. (Mira tidak menyambut). TI (binggung) : Bang Karim? Abang masih hidup? KARIM (kehairanan) : Bagaimana yang masih hidup dikatakan masih hidup? MIRA bingkas bangun, ketika itu JALI keluar dari bilik, dia memegang dahinya yang berdarah. Badan dan kepalanyanya dipenuhi kekabu.


MIRA (terkejut) : Bang Jali? JALI : Apa bising-bising ni? Aduh, kepala aku... kenapa ni? (Tangan kanan menekup dahinya yang berdarah sementara tangan kiri memegang bantal yang koyak). Mira, berapa kali abang nak cakap, jangan letak botol atas para-para tempat tidur kita. Tengok dahi abang ni! Mira, kenapa bantal ni? (menunjukkan bantal). MIRA terpaku. KARIM : Err Bang Jali, tadi pulang dari warung saya terjumpa dompet bang Jali terjatuh di jalanan. Mujur saya yang jumpa, nasib baik juga bulan malam tidak kelam, saya boleh melihat dengan jelas beg ini. JALI : Bagi Mira. Mira ambil wang di dalamnya, simpan. Terima kasihlah, Karim. MIRA : Bang Jali... Bang Jali masih hidup? KARIM (menggaru-garu kepala): Macam mana yang masih hidup dikatakan masih hidup? MIRA dan TI berpandangan. TI meluru kepada MIRA dan mereka berpelukan. TI (sebak dan kesal): Mira, maafkan kakak, Allah masih sayangkan kita, Mira. MIRA : Kak, bulan belum kelam. TI: Iya Mira... JALI dan KARIM saling kehairanan. Pentas gelap.


Glosari Inaq – Bapa Amaq – ayah Ariq-ariq – bapa Lolon nyiur – pokok kelapa Rujukan web (shandi Lombok) https://www.youtube.com/watch?v=s9N8TN0WMfU&t=131s https://www.youtube.com/watch?v=p1rNY7i4Et0 https://www.youtube.com/watch?v=En7viHYF5lw&t=59s


Click to View FlipBook Version