TRANSFORMASI INFRASTRUKTUR SEKOLAH MELALUI PERMUAFAKATAN
SEKOLAH DAN PIBG
Kasbulah Mangun
2013
Guru Besar
SK Pekan Putatan, Penampang
ABSTRAK
Persekitaran sekolah dan kemudahan fizikal pembelajaran khususnya di bilik
darjah merupakan elemen penting dalam membentuk suasana pembelajaran yang
kondusif dan menyeronokkan. Penulisan ini bagi mengenal pasti tahap kualiti
pengurusan persekitaran serta kemudahan fizikal pembelajaran di SK Pekan
Putatan sejak guru besar mula bertugas di SK Pekan Putatan iaitu dari bulan Julai
2015 sehingga kini. Data yang dikumpulkan daripada student voice, teacher voice
dan komuniti telah membuktikan bahawa isu ini bukan agenda sekolah yang boleh
dijayakan secara bersendirian. Sehubungan itu, pihak sekolah telah mengambil
inisiatif melalui analisis persekitaran bagi mengenal pasti dan menyelesaikan
masalah. Strategi utama inisiatif ini ialah meningkatkan hubungan dengan
komuniti. PIBG dilibatkan sepenuhnya dalam usaha meningkatkan persekitaran
sekolah yang lebih kondusif dan selamat. Pelbagai program yang dianjurkan
terbukti sangat berkesan. Penglibatan PIBG ini telah diberi pengiktirafan dengan
memperolehi Anugerah Ikon PIBK Bidang Pembangunan Fizikal (2016) dan
Anugerah Pengurusan PIBK Terbaik Peringkat Daerah (2019). Sehingga Disember
2020, 98% persekitaran fizikal SK Pekan Putatan telah berubah wajah. Kesannya,
peratus kehadiran murid telah meningkat kepada 0.7% setiap bulan. Kemenjadian
murid dalam bidang kurikulum dan kokurikulum juga meningkat. Sikap murid
menjadi semakin positif dalam menjaga keceriaan sekolah. Begitu juga dengan
sokongan dan semangat guru–guru serta kakitangan sekolah. Adalah diharapkan
amalan ini akan diteruskan dengan memberi penekanan dalam proses pengajaran
dan pemudahcaraan (PdPc) untuk menjadikan SK Pekan Putatan sekolah indah
berimpak tinggi dalam menjana pembelajaran bermakna.
Kata kunci: Pengurusan fizikal, sumber, PIBG, kemenjadian
1.0 PENGENALAN
1.1 Sekolah Kebangsaan Pekan Putatan, Penampang memulakan sesi
persekolahannya pada 3 Januari 1989. Guru besar yang pertama ditugaskan di sekolah
ini ialah Puan Hajjah Jamilah bte Datuk Haji Fadzil dan dibantu oleh seorang Penolong
Kanan Pentadbiran iaitu Encik Amirkasan bin Abdul Rahim. Jumlah guru pada awal
tahun 1989 ialah seramai 20 orang dan jumlah murid-murid pada tahun 1989 ialah
seramai 487 orang. Sekolah ini juga telah menubuhkan Persatuan Ibu bapa dan Guru
(PIBG) yang dipengerusikan oleh Encik Majid Etting bagi sesi 1989-1990.
Pada awal tahun 1990, jumlah murid telah meningkat kepada 647 orang. Justeru,
bilangan kelas telah ditambah dari 13 buah kepada 17 buah kelas. Tenaga pengajar
juga ditambah dari 20 orang kepada 33 orang serta dibantu oleh 4 orang kakitangan
bukan mengajar.
1
SK Pekan Putatan telah beroperasi hampir 32 tahun. Infarstruktur sekolah yang
ada ialah 1 blok pentadbiran, 18 buah bilik darjah untuk 36 kelas, 2 blok prasekolah,
pusat sumber sekolah, makmal ICT, bilik gerakan, bengkel kemahiran hidup, dewan
terbuka, surau, beberapa buah bilik khas, tandas, tapak permainan dan padang. Kini,
SK Pekan Putatan merupakan sebuah sekolah rendah jenis Gred A. Mempunyai jumlah
murid seramai 1520 orang (APDM, April 2021), 90 orang guru dan 15 orang AKP.
1.2 Isu dan masalah
Isu dapat dikenal pasti melalui tinjauan, sumbang saran dan pemerhatian persekitaran,
teacher voice (TC), student voice (SV) dan parents voice (PV). Daripada tinjauan yang
dilakukan, jelas sekali suasana persekitaran di SK Pekan Putatan kurang selamat dan
kondusif untuk pembelajaran murid.
Fenomena ini wujud akibat kurang sokongan dan kerjasama dalam kalangan ibu
bapa. Maka, Analisis SWOT telah digunakan untuk mengenal pasti punca dan masalah
seterusnya merancang intervensi bagi melaksanakan projek.
2.0 AMALAN TERBAIK
Konsep permuafakatan antara pihak sekolah dengan pihak PIBG merupakan satu
bentuk kerjasama yang melibatkan sekurang-kurangnya dua pihak untuk mencapai satu
matlamat yang dikongsi bersama (Friend & Cook, 2007), merujuk kepada perhubungan
erat atau kesepakatan dalam pelaksanaan pelbagai program atau aktiviti di sekolah
(Sheldon, 2015).
2.1 Objektif
Objektif program ialah:
a) Meningkatkan jaringan dan jalinan antara PIBG dengan sekolah melalui hubungan
sekurang-kurangya dengan lima agensi yang boleh membantu sekolah dalam pelbagai
bidang fokus.
b) Meningkatkan dan merangsang persekitaran pembelajaran dan fizikal yang kondusif
untuk menyediakan pembelajaran bermakna kepada murid dengan mensasarkan
semua kelas berada dalam keadaan yang kondusif dan ceria.
c) Meningkatkan kemenjadian murid dalam bidang kurikulum dan kokurikulum serta
dapat memperbaiki kehadiran murid ke sekolah sehingga 90% pada tahun semasa.
2.2 Analisis SWOT
Jadual 1.1 : Analisis Persekitaran (SWOT)
Jadual 1.2 : Penjanaan strategik menggunakan Analisis TOWS Matriks
DALAMAN
LUARAN
2
Jadual 1.3 : Pemilihan Inisiatif / Strategi Berdasarkan Jadual Pemberatan
Menggunakan Skala Likert : 1.Amat rendah 2.Rendah 3.Sederhana 4.Tinggi 5. Amat Tinggi
Senarai Strategi :
Strategi 1 : Meningkatkan keceriaan dan prasarana sekolah
Strategi 2 : Menaik taraf infrastruktur sekolah
Strategi 3 : Membaik pulih kerosakan fizikal sekolah secara berkala
Strategi 4 : Menambah bilangan bilik-bilik khas
Strategi 5 : Memastikan kemudahan fizikal selamat dan kondusif untuk digunakan warga sekolah
Berdasarkan jadual pemberatan pada Jadual 1.3, strategi yang dipilih ialah kelima-
lima strategi kerana ia saling berkaitrapat antara satu sama lain dalam menjamin
kemenjadian sekolah. Oleh itu, Program Transformasi Kondusif telah dirancang
bermula Ogos 2015.
2.3 Pelaksanaan Projek
Pelan Intervensi Program Transformasi Kondusif (2015-2021) telah dirancang bagi
tujuan melaksanakan program transformasi infrastruktur dalam usaha mencapai objektif
yang ditetapkan. Tempoh pelaksanaan selama 7 tahun yang bermula pada bulan Julai
2015 hingga bulan Jun 2021 (OPPM,2015-2021).
Jadual 1.4 : Pelan Intervensi Program Transformasi Kondusif
Jadual 1.5 : One Page Project Manager (OPPM) Program Transformasi Kondusif
3
2.4 Cabaran
Proses yang paling mencabar dalam melaksanakan projek ini ialah proses membeli hati.
Pelbagai dugaan dan cabaran perlu dihadapi oleh pentadbir sekolah dalam menjadikan
pemuafakatan ini sebagai jambatan yang kukuh. Dalam proses membeli hati ini pihak
sekolah telah menghadapi halangan yang besar apabila ada antara komuniti
mempertikaikan keutamaan sekolah dalam bidang keceriaan fizikal dan bukannya
bidang akademik.
Pada peringkat awal, segelintir ahli komuniti terutamanya agensi-agensi luar
kurang yakin dengan keupayaan sekolah ini. Atas semangat pihak pentadbir sekolah
dan semua warga sekolah, segala program dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Kekurangan sokongan ditambah pulak dengan kurangnya sumber menjadikan harapan
kejayaan projek ini semakin pudar. Namun apabila permuafakatan antara sekolah PIBG
dan PIBK berjaya dilaksanakan maka semua cabaran menjadi mudah.
3.0 IMPAK
Hasil kepimpinan guru besar dan sokongan daripada PIBG dan komuniti, persekitaran
sekolah yang kondusif dan selamat serta bilik darjah yang bercirikan kelas abad ke-21
dapat dilaksanakan. Infrastruktur yang dinaik taraf termasuklah dewan terbuka, ruang
parkir guru, ruang kokurikulum, tandas, pagar sekolah, laluan pejalan kaki, kelas, bilik
guru dan prasekolah. Terdapat juga kemudahan yang ditambah peralatan seperti kerusi
iaitu di ruang RMT dan kantin.
Guru besar bersama YDP PIBG, Semua Guru Penolong Kanan, Setiausaha PIBG
dan guru pembangunan merupakan penggerak utama dalam menjayakan transformasi
ini. Sumber kewangan dan manusia merupakan aset penting dalam melaksanakan
program ini. Bagi menjamin kelancaran, Pemantauan Program Transformasi Kondusif,
Mesyuarat PIBK, PIBG dan Mesyuarat Pengurusan Sekolah telah diadakan.
Hasilnya sehingga bulan Jun 2021, 98% persekitaran fizikal sekolah telah berubah
wajah. Manakala 100% bilik darjah kondusif dan persekitaran sekolah yang selamat
dapat diwujudkan (OPPM, 2015-2021). Program Transformasi Kondusif ini telah
menelan belanja keseluruhan sebanyak RM 394 972. Program ini membawa tiga impak
utama iaitu:
a) Menambah infrastruktur sekolah
Program ini berjaya mewujudkan suasana sekolah yang selamat dan kondusif dan
sesuai dengan kehendak program. Pembinaan dan pengubahsuaian infrastruktur
merangkumi projek membina bumbung untuk dewan terbuka dan membina ruangan
Kokurikulum berbumbung, membesarkan ruangan serta menambah bilangan kerusi
meja kantin dan RMT. Selain itu, beberapa kemudahan telah dinaik taraf seperti ruang
parkir guru,laluan pejalan kaki, tandas, prasekolah, pagar sekolah, kelas dan bilik guru.
Projek ini dapat menampung kekurangan infarstruktur yang wujud di kawasan sekolah.
Berdasarkan Aspek 2.5: Iklim SKPMg2, 98% persekitaran fizikal sekolah telah berubah
wajah yang bermula pada bulan Julai 2015 sehingga bulan Jun 2021 (OPPM, 2015-
2021).
b) Meningkatkan pencapaian dalam kurikulum, kokurikulum dan kehadiran murid
Penggunaan dewan terbuka, ruang Kokurikulum, ruang RMT dan kantin sebagai tempat
untuk mengadakan kelas tambahan, kelas moral, bengkel dan teknik menjawab,
ceramah dan motivasi, latihan sukan dan permainan dan lain-lain mampu meningkatkan
kemenjadian murid dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah murid. Buktinya,
pencapaian murid pada UPSR tahun 2019 telah meningkat kepada 55.26 % berbanding
hanya 49% pada tahun 2015 (Analisis Pencapaian UPSR 2015-2019).
4
Manakala berdasarkan Laporan Penglibatan Murid dalam Kokurikulum (2015-
2019) yang meliputi bidang sukan, permainan dan ko akademik telah berjaya membawa
nama sekolah ke peringkat yang lebih tinggi. Antaranya ialah pasukan bola jaring telah
menjadi juara selama 5 tahun berturut-turut di peringkat daerah (2015-2019), pasukan
badminton dan ping pong (Johan, 2018), bola tampar (Naib Johan, 2019) dan permainan
dalaman seperti Sahibba (Naib Johan, 2019), scrabble dan catur (Ketiga, 2019).
Seterusnya bidang ko akademik yang turut menyumbang kejayaan ialah pidato (Johan,
2019), pantun (Ketiga,2019) dan action song (Johan,2019). Tidak ketinggalan ialah
nyanyian solo (Ketiga, 2018), tarian dan nasyid (Naib Johan, 2018).
Didapati terdapat peningkatan peratus kehadiran murid kepada 0.7% setiap bulan
(APDM, Januari 2019). Sikap murid juga menjadi semakin positif untuk hadir ke sekolah.
Banyak program dan aktiviti yang murid sertai seperti aktiviti keagamaan (bacaan
Yassin, dan Kem Solat Bestari), program panitia (Minggu Panitia), program kebudayaan
dan aktiviti kemerdekaan serta majlis anugerah (MAPEC, HEM, Graduasi Tahun 6) yang
diadakan di dewan terbuka dapat meningkatkan lagi sahsiah dan disiplin murid.
c) Mewujudkan hubungan erat antara sekolah,PIBG dan komuniti
Program ini juga dapat membina hubungan erat antara pihak sekolah, PIBG dan
komuniti. Ini terbukti apabila sekolah telah diberi pengiktirafan dengan memperoleh
Anugerah Ikon PIBK Bidang Pembangunan Fizikal (2016) dan Anugerah Pengurusan
PIBK Terbaik Peringkat Daerah (2019). Dalam hal ini, sokongan dan semangat
pentadbir, guru–guru, kakitangan sekolah dan komuniti merupakan amalan terbaik yang
memberi impak kepada proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di SK Pekan
Putatan sebagai sekolah berimpak tinggi bagi menjana pembelajaran bermakna.
4.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Pada dasarnya, program ini berjaya mencapai objektif yang disasarkan dan berpotensi
menjadi amalan. Kejayaan program ini adalah hasil gabungan bersama para pentadbir,
guru, murid, kakitangan sokongan dan komuniti serta kemantapan pelaksanaan strategi
yang dirancang. Malah pihak sekolah akan melestarikan Anjakan ke 9 dalam PPPM yang
mana keutamaan kepada kemenjadian murid dan komuniti haruslah sejajar. Sehubungan
itu, penekanan kepada peningkatan akademik dengan melibatkan komuniti amat diharap
akan dapat direalisasikan secara lebih meluas melalui pemantapan PIBG dan
memperkukuh jalinan sekolah dengan pihak luar.
5.0 RUMUSAN
Tanggungjawab mengurus persekitaran dan kemudahan fizikal sekolah tidak seharusnya
diletakkan kepada guru besar sekolah semata-mata. Semua pihak terutamanya JPNS,
PPD, PIBG dan komuniti perlu berganding bahu dalam membantu mengurus persekitaran
fizikal sekolah agar matlamat untuk mencapai visi dan misi sekolah tercapai. Cadangan
juga supaya peruntukan khas penyelenggaraan diberikan setiap tahun supaya
persekitaran sekolah lebih kondusif untuk menyokong pembelajaran murid yang lebih
berkesan.
5
6.0 RUJUKAN
Analisis Pencapaian UPSR (2015-2019).
Analisis SWOT Sekolah (2015-2021).
Friend, M., & Cook, L. (2007). Interaction: Collaboration skills for school professionals. (5 th ed.).
Boston, Allyn and Bacon.
Hairuddin Mohd. Ali & Muhammad Bustaman Abdul Manaf. (2009). Perancangan Strategik
Sekolah. Kuala Lumpur: PTS Profesional.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2016). Laporan Tahunan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025. Retrieved from https://www.moe.gov.my
Laporan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM),(2019-2021).
Laporan One Page Project Manager (OPPM) Program Transformasi Kondusif , (2015-202).
Laporan Penglibatan Murid dalam Kokurikulum (2015-2019)
Mary Yap Kain Ching. (2007). Visi Ke Realiti. Kuala Lumpur: Kreatif Kembara Sdn Bhd.
Pelan Intervensi Program Transformasi Kondusif, (2015-2021).
Robiah Kulup Hamzah (2001). Kepimpinan. Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributors Sdn
Bhd.
Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah-sekolah Malaysia (2006). Kuala Lumpur: Institut
Aminuddin Baki.
Standard Kualiti Pendidikan Malaysia gelombang 2 (SKPMg2) (2018). Kuala Lumpur: Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Sheldon, S.B. (2015). Moving beyond monitoring: A District Leadership Approach to School,
Family, and Community Partnerships. In Sheldon, S.B., & Kim, E.M. (Eds.), Family-school
partnerships in context (pp 45-63). Springer International Publishing.
6